Author: Admin

  • Lelaki warga India miliki 62 kg ganja

    Lelaki warga India miliki 62 kg ganja

    POLIS menahan seorang lelaki warga India selepas menjadikan sebuah rumah kedai sebagai stor menyimpan 62 kilogram (kg) ganja dianggarkan bernilai RM248,000 dalam serbuan di Bandar Lahat Mines, Ipoh, Perak.

    Serbuan kira-kira 5 petang kelmarin itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Perak dan menemui 62 ketulan mampat daun kering dipercayai ganja.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalatrash Wahid berkata, pemeriksaan mendapati, suspek yang berusia 42 tahun tidak mempunyai sebarang pekerjaan.

    Katanya, susulan tangkapan itu, polis melakukan serbuan susulan terhadap sebuah rumah di kawasan Lahat dan yang merampas sejumlah lagi dadah, selain menahan dua wanita tempatan, masing-masing berusia 26 tahun serta warga Indonesia berusia 21 tahun.

    • “Di rumah itu, polis merampas 1,400 biji disyaki Pil Yaba (pil kuda) dianggarkan seberat 161 gram serta ganja dianggarkan seberat 2.05 gram membabitkan nilai rampasan bagi serbuan susulan ini adalah RM28,102.50.

    “Siasatan awal terhadap ketiga-tiga suspek itu mendapati mereka negatif dadah serta tidak mempunyai sebarang kesalahan lampau.

    “Tiada hubungan kekeluargaan di antara ketiga-tiga suspek itu. Siasatan awal mengesyaki mereka adalah ahli sindiket pengedaran yang aktif sejak tiga bulan lalu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, hari ini.

    Mior Faridalathrash berkata, penahanan dan rampasan hasil operasi itu dianggap suatu kejayaan dalam melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di negeri ini.

    Nilai keseluruhan dadah yang dirampas bagi kedua-dua serbuan terbabit berjumlah lebih RM276,102 yang mampu menampung keperluan lebih 151,000 penagih.

    “Dadah dipercayai diperoleh dari Pulau Pinang itu disyaki untuk edaran pasaran tempatan,” katanya.

    Beliau berkata, polis juga menyita sebuah lori dan kereta, di samping dua motosikal serta barang kemas dalam kedua-dua serbuan itu membabitkan nilai sitaan RM86,663.

    Katanya, polis tidak menolak kemungkinan sindiket ini banyak merekrut ahli daripada kalangan warga asing.

    “Suspek lelaki yang ditahan itu mempunyai pasport tanpa visa dan sudah berada di negara ini sejak tahun 2014,” katanya.

    Mior Faridalathrash berkata, kesemua suspek direman enam hari bermula semalam untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati mandatori.

  • Elak pertembungan tiga penjuru Pas, UMNO dan Bersatu dalam PRU-15

    Elak pertembungan tiga penjuru Pas, UMNO dan Bersatu dalam PRU-15

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PERPECAHAN dan pertembungan sesama sendiri antara Pas, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) hanya merugikan orang Melayu.

    Ketua Penerangan Wanita Perikatan (PN) Johor, Normala Sudirman berkata, keadaan itu juga akan memberi peluang kepada Pakatan Harapan (PH) untuk menang dan berkuasa semula selepas PRU-15.

    “Semua ini disebabkan undi Melayu yang berpecah dan tiada parti berteraskan Melayu atau Islam yang akan menjadi dominan selepas PRU-15.

    “Di Johor, saya berharap supaya hubungan antara Pas, UMNO dan Bersatu terus diperkuatkan di semua peringkat demi menghadapi PRU-15.

    “Jika semua yang bertanding kalah dan tidak dapat berkuasa, ketika itu menangis air mata darah pun tidak berguna lagi. Menyesal kemudian tidak berguna lagi kerana nasi telah menjadi bubur,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Jumaat lalu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof mencadangkan PN boleh melakukan perbincangan dengan UMNO untuk bergabung dalam PRU-15.

    Cadangan itu katanya, bagi memastikan kepimpinan Melayu dapat terus dikekalkan sekiranya PN memang PRU15, namun jika UMNO enggan bergabung dengan PN dalam PRU-15, Bersatu sedia untuk bertanding tiga atau empat penjuru melawan parti tersebut di mana-mana kerusi.

    Mengulas lanjut, Normala berkata, semua pimpinan dari Pas, UMNO dan Bersatu perlu bersatu hati mengenepikan kepentingan peribadi dan kerakusan kuasa demi survival umah dan politik Melayu.

    Beliau berharap semua pihak melupakan seketika soal sejarah lama yang mungkin pahit untuk dikenang dan belajar memaafkan demi kelangsungan generasi pelapis pada masa hadapan.

    “Tiada gunanya kita berpecah kerana akan hilang kekuatan kita dan musuh politik pasti akan gembira melihat kehancuran sebuah ikatan tiga parti teras umat Islam yang selama ini dibina setelah kerajaan PH tumbang.

    “Pas sebagai pendamai dan tali pengikat untuk mempertautkan tiga parti terbesar umat Islam itu dan sedia berkorban perasaan demi melihat kesatuan ini dapat diperkuatkan demi citra wajah Malaysia yang lebih terarah hala tujunya dalam persada politik Malaysia,” katanya.

    Normala berkata, apa yang perlu dilakukan ialah perkasakan Muafakat Nasional (MN) dan pertahankan PN sekali gus menjadi penyubur semangat untuk melihat masa depan yang lebih cerah.

    “Buang yang keruh, ambil yang jernih. Lupakan segala kepahitan lalu dan melangkahlah demi sebuah perjuangan yang luhur dan suci murni.
    Bagi UMNO, ingatlah pada saat kejatuhan lalu yang cukup melukakan.

    “Jangan biarkan nasi menjadi bubur. Bertindaklah segera demi sebuah perpaduan dan penyatuan ummah dan menyelamatkan negara dari sebuah kehancuran kuasa yang pasti akan mengundang penyesalan,” katanya yang juga Timbalan Ketua Dewan Muslimat Pas Johor.

  • Radzi Jidin jelaskan gambar tular dakwa langgar SOP

    Radzi Jidin jelaskan gambar tular dakwa langgar SOP

    MENTERI Kanan Pendidikan Datuk Dr. Radzi Jidin menafikan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan tiada penjarakan fizikal semasa mengadakan sidang akhbar di Sekolah Menengah (SM) Sains Dungun, Terengganu pada 3 Oktober lalu.

    Menerusi hantaran dalam Facebook miliknya, Mohd Radzi menjelaskan, sebenarnya dalam sidang akhbar itu hanya mereka bertiga dengan mematuhi penjarakan sosial dan bukan berlima seperti dalam gambar yang sedang tular tersebut.

    “Ketika sidang akhbar di SM Sains Dungun itu hanya ada Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd. Ramli dan Exco Pendidikan Terengganu, Satiful Bahari Mamat.

    “Setelah disemak, gambar tersebut sebenarnya adalah gambar palsu,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

    Gambar palsu dimuat naik dalam Facebook Dr. Radzi yang jelas menunjukkan sudah disunting berbanding gambar asal

    Mohd. Radzi berkata, tindakan berniat jahat oleh pemilik akaun Facebook berkenaan amat tidak bertanggungjawab.

    “Pohon sahabat semua dapat kongsikan penjelasan ini,” kata Mohd Radzi dan satu laporan polis dibuat berhubung gambar palsu tersebut.

    Pada hantaran tersebut, Mohd. Radzi turut memuat naik sekeping tangkap layar pengguna Facebook Yuseri Yusoff mempersoalkan sidang akhbar yang didakwa gagal mematuhi SOP.

  • Wajibkan penjawat awam ambil vaksin selari syarak

    Wajibkan penjawat awam ambil vaksin selari syarak

    KEPUTUSAN kerajaan mewajibkan penjawat awam mengambil vaksin COVID-19 berdasarkan pertimbangan tertentu, adalah sah dari sudut pandangan syariah dan perlu dipatuhi serta tidak boleh dianggap menyekat kebebasan individu di negara ini.

    Ketua Penolong Mufti (Penyelidikan), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed berkata, berdasarkan Siasah Syar’iyah, apabila kerajaan mewajibkan penjawat awam divaksinasi, maka kelompok yang enggan patuh boleh dikenakan tindakan tatatertib kerana ingkar arahan berkaitan kepentingan umum serta tidak bertentangan dengan syariat.

    “Agama Islam melalui bidang Siasah Syar’iyah memberikan hak mutlak kepada pemerintah (kerajaan yang mentadbir) untuk mengeluarkan arahan tertentu dalam menguruskan keadaan darurat seperti penularan COVID-19.

    “Tindakan tatatertib dikategorikan sebagai hukuman ringan yang boleh dikenakan kerajaan menurut Siasah Syar’iyah,” katanya baru-baru ini.

    Pada 30 September lalu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataannya memaklumkan semua pegawai perkhidmatan awam Persekutuan diwajibkan mengambil vaksin COVID-19 dan mereka dikehendaki untuk segera melengkapkan vaksinasi sebelum 1 November ini.

    Menurut JPA, hampir 98 peratus pegawai mengambil vaksin manakala kelompok yang belum mendaftar adalah kecil iaitu hanya 1.6 peratus membabitkan 16,902 orang.

    Semua pegawai awam adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

    Syed Shahridzan berkata, vaksinasi adalah demi kepentingan umum dan bukan individu serta memerlukan kerjasama orang ramai untuk menjayakannya kerana sudah terbukti secara saintifik individu tidak divaksin boleh menyebabkan orang lain mudah dijangkiti COVID-19.

    “Dalam kes ini, kita menggunakan kaedah fekah ‘al-masalahatu al-‘ammatu muqaddamatun ‘ala al-maslahati al-khaassati’ (kepentingan awam lebih diutamakan daripada kepentingan peribadi).

    “Kerajaan boleh mewajibkan pengambilan vaksin COVID-19 ke atas penjawat awam atas dasar maslahat (kepentingan).

    “Berdasarkan kelebihan yang diperuntukkan oleh Siasah Syar’iyah kepada pemerintah (kerajaan), ia boleh mewajibkan pengambilan vaksin COVID-19 ke atas semua rakyat di negara ini,” katanya.

    Menurut Syed Shahridzan, ini berpandukan kaedah fekah lain yang menyatakan, ‘tasarruful Imami ‘ala al-ra’iyyati manutun bil maslahati’ (keputusan kerajaan untuk rakyat dilaksanakan demi kepentingan mereka).

    Beliau berkata, majoriti umat Islam di negara ini bermazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah yang mewajibkan taat kepada arahan pemerintah dalam perkara berhubung kepentingan umum dan tidak bertentangan dengan syariah. – Bernama

  • Lelaki pengedar dadah maut dalam serbuan polis

    Lelaki pengedar dadah maut dalam serbuan polis

    SEORANG lelaki dipercayai pengedar dadah, meninggal dunia selepas serbuan polis di rumahnya di sebuah pangsapuri di Taman Dato Senu, Kuala Lumpur.

    Dalam kejadian pukul 5 petang semalam, anggota polis dari Bahagian Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, menyerbu satu unit kediaman di Blok 209, selepas menerima maklumat awam tentang pengedaran dadah.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, lelaki itu bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan dan cuba mencapai sebilah sabit, tetapi anggota polis berjaya menggarinya.

    Bagaimanapun, katanya, tidak lama selepas itu suspek pengsan dan pegawai perubatan yang tiba 10 minit kemudian mengesahkan kematiannya.

    Turut berada dalam rumah semasa serbuan ialah ibu serta tiga lagi anak saudara si mati.

    “Polis turut menemui sejumlah dadah jenis methapitamine dan heroin.

    “Siasatan lanjut sedang dijalankan dan pada peringkat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.

  • 88.4 peratus penduduk dewasa di Malaysia lengkap vaksin

    88.4 peratus penduduk dewasa di Malaysia lengkap vaksin

    PROGRAM Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang diperkenalkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terus menunjukkan perkembangan positif apabila seramai 20,698,852 atau 88.4 peratus populasi dewasa di negara ini sudah lengkap divaksin.

    Menerusi data yang dikemas kini dalam laman sesawang COVIDNOW setakat pukul 11.59 semalam, sejumlah 1,418,743 atau 94.5 peratus individu menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

    Mereka yang tidak divaksinasi pula ialah seramai 1,292,005 orang.

    Berdasarkan kemajuan PICK mengikut negeri, empat negeri dan wilayah merekodkan peratusan melebihi 90 peratus iaitu Labuan (98.9), Negeri Sembilan (98.3), Perlis (92.7) serta Lembah Klang (111.8).

    Lima negeri mencatatkan peratusan melebihi 80 peratus ialah Sarawak (89.6), Melaka (88.5), Pulau Pinang (86.5), Terengganu (86.0) dan Johor (84.6).

    Pahang pula merekodkan 78.4 peratus, selain Kedah (77.5), Perak (76.6), dan Kelantan (72.4), manakala Sabah kekal negeri terendah kadar vaksinasi iaitu 62.7 peratus.

    Unjuran menunjukkan negara akan mencapai 100 peratus populasi dewasa lengkap menerima vaksinasi ialah pada 26 Oktober ini.

    Sementara itu, bagi Program PICK-Remaja, sebanyak 3.8 peratus sudah lengkap dos suntikan vaksin, manakala 62.5 peratus lagi menerima satu suntikan.

    Sebanyak 224,034 dos diberikan pada Selasa menjadikan jumlah keseluruhan pemberian vaksin sejak PICK dilancarkan pada Februari lalu ialah 44,797,925 dos.

  • Kesihatan mental tentera, pengusiran Rohingya fokus Dewan Rakyat hari ini

    Kesihatan mental tentera, pengusiran Rohingya fokus Dewan Rakyat hari ini

    ISU berkaitan tindakan kerajaan dalam memastikan tahap kesihatan mental dalam kalangan anggota dan pegawai tentera dalam keadaan baik antara yang dijangka menarik perhatian pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

    Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, soalan itu akan dikemukakan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) kepada Menteri Kanan Pertahanan, yang turut ingin tahu pampasan diberikan kepada ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden tembakan di Balai Pengawal Skuadron 330 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kota Samarahan, Sarawak baru-baru ini.

    Selain soalan-soalan berkaitan Covid-19 dan vaksin, sesi pertanyaan bagi jawab lisan juga dijangka turut menyentuh kedudukan kerajaan mengenai rancangan untuk menghentikan pengusiran pelarian Rohingya yang akan dikemukakan Wong Chen (PH-Subang).

    Wong turut meminta Menteri Luar menyatakan tindakan politik dan kemanusiaan sehala yang kerajaan sedia ambil terhadap rampasan kuasa di Myanmar, di luar daripada payung ASEAN.

    Persidangan Dewan Rakyat juga akan menyambung sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) hari ini melibatkan 12 lagi kementerian, antaranya Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli serta Kementerian Kesihatan.

    Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 17 hari hingga 12 Oktober ini. – Bernama

  • Kerajaan pastikan rakyat tidak terbeban kenaikan harga minyak

    Kerajaan pastikan rakyat tidak terbeban kenaikan harga minyak

    PEMBERIAN subsidi harga bahan bakar diesel dan petrol RON95 akan dikekalkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

    Menurut beliau, harga diesel dan petrol RON95 masing-masing akan kekal pada RM2.15 maksimum dan maksimum RM 2.20.

    “Kerajaan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk mengurangkan beban rakyat berikutan peningkatan semula harga minyak mentah di pasaran global ketika ini mencecah AS$80 (RM334.24) satu tong.

    “Ini penting kerana pada 1 Oktober lalu, harga minyak mentah di pasaran global mencecah AS$80. Seperti kita sedia maklum harga siling diesel RM2.15 dan petrol RON95 RM2.05 seliter.

    “Dalam hal ini, kerajaan sentiasa mengkaji perkara ini dengan mengambil kira pelbagai aspek bagi mengurangkan beban pengguna di Malaysia,” katanya bagi menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat, hari ini.

    Terdahulu, Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) meminta kerajaan menjelaskan situasi sekuriti krisis tenaga global dan hala tuju bagi meningkatkannya di negara ini.

    Dalam perkembangan sama, Mustapa turut berkata, Malaysia tidak menghadapi masalah berkaitan krisis bekalan tenaga sebagaimana berlaku di beberapa negara lain termasuk China, Eropah dan India.

    “Negara kita berada dalam keadaan yang baik kerana sumber penjanaan elektrik negara telah berjaya dipelbagaikan iaitu 47 peratus arang batu, 41 peratus gas asli dan 12 peratus tenaga boleh diperbahrui (RE) termasuk hidro.

    “Selain itu, rizab margin kapasiti terpasang elektrik di Semenanjung Malaysia adalah tinggi iaitu sebanyak 38 peratus, manakala kapasiti terpasang kira-kira 27,000 megawatt berbanding permintaan maksimum sebanyak 19,000 megawatt.

    “Pada masa ini, Unit Perancang Ekonomi (UPEN), Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) bersama beberapa pihak berkepentingan lain sedang merangka Dasar Tenaga Negara 2021 hingga 2040,” katanya.

  • PKPD di Ladang Bera Selatan 5, 7 bermula Rabu

    PKPD di Ladang Bera Selatan 5, 7 bermula Rabu

    MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) akan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di lokaliti Ladang Bera Selatan 5 dan 7, Bera, Pahang bermula Rabu hingga 19 Oktober ini.

    “Keputusan ini dibuat selepas meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkaitan penilaian risiko dan trend jangkitan Covid-19 di lokaliti tersebut.

    “Prosedur operasi standard (SOP) bagi kesemua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini,” ujar Ketua Pengarah Keselamatan Negara MKN, Datuk Rodzi Md. Saad katanya dalam kenyataan menerusi Facebook miliknya, hari ini.

    Beliau menambah, prosedur operasi standard (SOP) bagi kesemua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini.

    Pada masa sama, beliau memaklumkan pelaksanaan PKPD di Perumahan Ladang FELDA Umas 6, Kalakaban Sabah dan Kampung Baru Cenderawasih, Pekan Pahang akan ditamatkan pada 6 Oktober ini mengikut jadual.

  • Mahkamah diberitahu Ahmad Zahid atur gubah wang haram RM7.5 juta

    Mahkamah diberitahu Ahmad Zahid atur gubah wang haram RM7.5 juta

    MAHKAMAH Tinggi hari ini diberitahu bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengatur skim pengubahan wang haram berjumlah RM7.5 juta menggunakan perkhidmatan pengurup wang untuk mengubah wang menjadi cek dan akhirnya dimasukkan ke dalam pelbagai akaun simpanan tetap.

    Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Harris Ong Mohd Jeffrey Ong berhujah bahawa pengurup wang, Omar Ali Abdullah sebagai ejen, mendapat arahan daripada Ahmad Zahid untuk menukarkan RM7,511,250.20 menjadi 35 cek dan kemudian cek itu diserahkan kepada Tetuan Lewis & Co, pemegang amanah Yayasan Akalbudi milik bekas Timbalan Perdana Menteri (Ahmad Zahid).

    Harris Ong berkata, dana itu kemudian dimasukkan ke dalam pelbagai akaun simpanan tetap.

    “Omar Ali atas arahan tertuduh telah menerima wang tunai dari individu yang tidak dikenali. Dia (Omar Ali) menggunakan isterinya, syarikat Kamarunisah Ahmad Shah (Ekares Sdn Bhd) untuk mengeluarkan 35 keping cek kepada Lewis & Co.

    “Dia memasukkan wang tunai ke cek Ekares dan meminta isterinya untuk membuat pengesahan mengenai pembayaran jika diminta oleh bank.

    Dia kemudian mengisi jumlah dan penerima pada setiap cek dan menyampaikan semua cek kepada tertuduh,” katanya sebagai menjawab hujah pembelaan mengenai 27 tuduhan pengubahan wang haram di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

    Harris Ong berkata, Kamarunisah tidak tahu mengenai kegunaan cek Ekares, jumlah yang tertera di setiap keping cek dan siapa penerima.

    Merujuk kepada isu tunai RM500,000 (sebahagian daripada RM7,511,250.20) yang diterima Omar Ali, TPR itu berkata, ia adalah daripada Yayasan Al-Bukhari (YALB).

    “Wang tunai itu dihantar oleh lelaki yang tidak dikenali kepada Omar Ali menunjukkan bahawa urusniaga itu mencurigakan dan meragukan.

    “Sekiranya benar wang itu berasal dari penderma untuk tujuan amal, mengapa semua wang tunai itu harus ditukar menjadi cek dan berakhir di akaun pelanggan Lewis & Co dan bukannya akaun Yayasan Akalbudi?

    “Tanpa dokumentasi yang tepat, kami mengatakan bahawa semua wang tunai yang diterima Omar Ali berasal dari sumber haram dan bukan YALB. Omar Ali tidak tahu siapa lelaki itu dan tidak ada petunjuk bahawa lelaki itu adalah wakil YALB,” tambahnya.

    Bagi pertuduhan ke-27, Ahmad Zahid dituduh mengarahkan pengurup wang Omar Ali Abdullah menukar wang tunai berjumlah RM7,511,250.20 menjadi 35 cek yang dibuat kepada Lewis & Co sebagai simpanan tetap di Maybank adalah satu bentuk pengubahan wang haram yang berasal dari sumber tidak sah.

    Sementara itu, Harris Ong berkata, berdasarkan pertuduhan satu hingga 25, Lewis & Co menerima sejumlah 92 cek, berjumlah RM76.9 juta dari pelbagai individu dan entiti yang tidak mempunyai kaitan perniagaan dengan firma itu.

    Beliau berkata, rakan kongsi syarikat itu, B Muralidharan dalam keterangannya memberitahu bahawa dia telah menerima cek dari Ahmad Zahid di rumah bekas Timbalan Perdana Menteri itu atau cek berkenaan diserahkan kepadanya di syarikat tersebut.

    “Cara cek disampaikan oleh tertuduh dan arahan yang diberikan kepada Muralidharan jelas menunjukkan bahawa Ahmad Zahid terlibat secara langsung dalam memberi arahan kepada Muralidharan untuk menyimpan semua cek yang diterima untuk dimasukkan ke dalam 25 simpanan tetap, sebagaimana tuduhan satu hingga 25,” katanya.

    Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah jenayah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik Yayasan Akal Budi.

    Pendakwaan akan menyambung hujahnya pada Rabu. – Bernama