Author: Admin

  • Percepat draf RUU Sumbangan Politik untuk dibentang Oktober

    Percepat draf RUU Sumbangan Politik untuk dibentang Oktober

    DRAF Rang Undang-undang (RUU) Sumbangan Politik perlu disediakan secepat mungkin supaya ia boleh dibentangkan di Dewan Rakyat pada Oktober ini.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar semasa membuat gesaan itu berkata, draf tersebut perlu dipercepatkan supaya sesi libat urus boleh diadakan dengan semua pemegang taruh mengikut garis masa disediakan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC).

    Beliau berkata, satu memorandum dijangka dikemukakan dalam mesyuarat Jemaah Menteri bulan depan bagi membolehkan RUU Sumbangan Politik dibentang dalam sidang Dewan Rakyat pada Oktober ini.

    “Bagi menunjukkan ketelusan dan akauntabiliti dalam tadbir urus politik, adalah wajar undang-undang ini dilaksanakan dengan segera,” katanya dalam kenyataan yang dipetik Free Malaysia Today.

    Wan Junaidi berkata, satu perbincangan sudah diadakan berkaitan RUU itu antara GIACC, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM), Suruhanjaya Syarikat (SSM) dan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU).

    Katanya, antara perkara dasar penting yang dibincangkan adalah penubuhan entiti pengawalseliaan sumbangan politik, penyumbang yang dibenarkan dan penetapan penalti ke atas kesalahan di bawah undang-undang ini.

    Beliau turut mengarahkan GIACC memperhalusi perkara dasar itu, manakala BHEUU dan Jabatan Peguam Negara menyediakan draf pentadbiran dengan mengambil kira pandangan serta contoh diberikan pertubuhan masyarakat sivil dan badan bukan kerajaan.

    Selain itu, katanya, analisa perbandingan pemakaian undang-undang sama dari negara lain perlu dilaksanakan bagi tujuan penanda aras, selain menyelaraskan RUU itu dengan undang-undang sedia ada di bawah JPPM dan SSM.

  • Pemandu treler bawa konkrit maut tersepit

    Pemandu treler bawa konkrit maut tersepit

    SEORANG pemandu treler ditemukan maut selepas kenderaan dipandunya yang membawa muatan konkrit dipercayai terbabas ke gaung di Gunung Paku, Pengkalan Hulu, Perak pagi tadi.

    Memetik laporan Berita Harian, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 9.52 pagi.

    Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Hulu kemudiannya digerakkan ke tempat kejadian.

    “Nahas membabitkan seorang lelaki berudia 48 tahun dipercayai pemandu treler yang ditemukan tersepit dalam kenderaan itu.

    “Treler muatan konkrit terbabas ke dalam gaung,” katanya.

    Katanya menambah, anggota bomba kemudian mengeluarkan mangsa yang tersepit dan menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut.

  • Pelajar dan guru pusat tahfiz dibenar pulang

    Pelajar dan guru pusat tahfiz dibenar pulang

    PUSAT tahfiz di Jalan Cheneras di Lipis, Pahang yang tular di media sosial semalam ekoran lima lelaki memukul seorang pelajar dan seorang guru hingga cedera ditutup sementara waktu.

    Memetik laporan Astro Awani, difahamkan 25 pelajar yang majoriti dari daerah Lipis dan Gua Musang berserta tiga tenaga pengajar dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

    Menurut sumber, pusat tahfiz yang beroperasi sejak 2016 itu ditutup sehingga siasatan polis selesai dan dijangka dibuka semula sekitar bulan hadapan.

    Semalam, media melaporkan seorang ustaz menerima empat jahitan di mata kanan dan tangan serta badan lebam selepas diserang lima lelaki di sebuah pusat tahfiz di Jalan Cheneras, di Lipis.

    Kejadian pada pukul 5.10 petang Khamis lalu dipercayai berlaku ekoran tidak berpuas hati soal pembayaran makanan di pusat tahfiz terbabit.

    Suspek berusia 30-an bersama seorang pelajar tahfiz pergi ke pusat itu yang mana tiga orang menyerang mangsa berusia 30-an yang ditugaskan menjaga pusat terbabit.

    Kejadian tersebut tular di media sosial apabila satu video berdurasi 2.51 minit menunjukkan seorang lelaki yang memakai seluar pendek memarahi seorang mangsa sebelum bertindak memukulnya.

    Berdasarkan rakaman lelaki yang memakai kasut berkenaan menyatakan tidak berpuas hati apabila anak saudaranya dan pelajar lain dipukul.

    Lelaki tersebut berkenaan kemudiannya memukul mangsa sebelum mengajaknya bergaduh.

    Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, bertindak atas laporan, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis menjalankan beberapa serbuan pada awal pagi tadi di kawasan Damak, Jerantut dan menahan dua suspek.

    Katanya, semakan mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan lampau jenayah dadah dan mereka berdua juga positif methamphetamine.

    Pusat tahfiz di Jalan Cheneras itu ditutup sementara waktu sehingga siasatan polis selesai.

    Video rakaman insiden seorang ustaz dan pelajar tahfiz diserang tular di media sosial semalam dan mencetus perbincangan dalam kalangan warga maya.

  • Wanita warga emas hilang selepas ke kebun

    Wanita warga emas hilang selepas ke kebun

    SEORANG wanita warga emas dilaporkan hilang sejak tiga hari lalu selepas keluar dari rumahnya di Kampung Parit Kasih Sayang di Senggarang, Batu Pahat.

    Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, pihaknya menerima aduan daripada anak mangsa menyatakan ibunya Painah Siwan, tidak pulang ke rumah, pada Rabu lalu pada pukul 11 malam.

    Beliau berkata, ibu pengadu yang berusia 79 tahun, keluar ke kebun kelapa sawit berhampiran rumahnya sejak pukul 3.30 petang.

    “Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan oleh polis, keluarga dan orang kampung tetapi gagal menemui mangsa,” katanya dalam kenyataan.

    Ismail berkata, operasi pencarian diteruskan pada hari kedua dan ketiga dengan 187 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi tetapi tetap gagal menemui mangsa.

    “Khidmat bantuan unit pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut digunakan, selain bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta penduduk setempat.

    “Pada hari ini, operasi mencari mangsa akan diperluas melebihi dari tempat mangsa dilaporkan hilang,” katanya.

  • UMNO tak dapat jadi kerajaan tanpa sokongan PN – Hamzah

    UMNO tak dapat jadi kerajaan tanpa sokongan PN – Hamzah

    SETIAUSAHA Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin memberi amaran kepada pemimpin UMNO yang menggesa pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) disegerakan bahawa parti itu tidak dapat membentuk kerajaan tanpa sokongan Perikatan Nasional (PN).

    Memetik laporan Free Maaysia Today beliau menegaskan, PN tidak akan teragak-agak “mengambil alih kuasa”, sekiranya gesaan dari UMNO untuk mengadakan PRU-15 lebih awal berterusan.

    Beliau mengingatkan mereka yang meminta PN menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya jangan sombong dan angkuh.

    “Dia naib presiden parti itu pun boleh jadi perdana menteri. Bukan presiden mereka, bukan timbalan presiden mereka, tetapi naib presiden mereka. Mana mungkin naib presiden boleh jadi perdana menteri tanpa sokongan PN?

    “Jadi yang angkuh ini pasal apa? Sudah engkau kira betul-betulkah?Sudah engkau buat bancian yang betul-betul?

    “Kalau strategi kita mengena, insya Allah mereka tidak boleh menang lebih daripada 50 kerusi. Yang konon-kononnya nak mencabar kita pasal apa?” katanya ketika menghadiri perasmian Persidangan Bersatu Wilayah Persekutuan.

    PRU-15 perlu diadakan menjelang September tahun depan, tetapi terdapat pemimpin UMNO yang mendesak ia disegerakan tahun ini susulan kemenangan mereka dalam beberapa pilihan raya negeri baru-baru ini.

    Bulan lalu, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, Oktober atau awal November adalah masa sesuai untuk mengadakan PRU-15 kerana pembentangan bajet dapat diawalkan sebelum Parlimen dibubarkan.

    Beliau turut mencadangkan pembentangan bajet diawalkan bagi mengelak PRU diadakan sekitar hujung November dan Disember kerana musim banjir.

    Jun lalu, Pengerusi BN dan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi berkata, masa ini sesuai untuk mengadakan PRU15 kerana sokongan pengundi muda sudah kembali kepada BN berdasarkan keputusan PRN di Sarawak, Melaka dan Johor.

  • Campuran orang lama, baharu ramuan kukuhkan Bersatu

    Campuran orang lama, baharu ramuan kukuhkan Bersatu

    SETIAP ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) digesa tidak membezakan orang lama dan baharu kerana ia ramuan yang memperkukuhkan parti itu.

    Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, terdapat pihak yang membezakan ahli Bersatu sejak penubuhannya pada 2016 dan pemimpin seperti beliau yang hanya masuk pada 2018.

    “Siapa pula yang meletakkan garis pemisah antara yang baharu dan lama. Sebenarnya, bila-bila (masa) masuk (Bersatu) itu adalah orang parti kita.

    “Jangan biarkan sesiapa pun memecahkan kita. Kalau musuh dari luar itu memang kerja dia,” katanya di Facebook sebagaimana lapor Free Malaysia Today.

    Wan Saiful berkata, terdapat juga pihak yang mempertikaikan kemasukan sekumpulan ahli selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) seperti Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali.

    “Selepas PRU14, ada lagi kelompok-kelompok yang masuk bersama Hamzah. Ramai yang menyertai kita daripada UMNO.

    “Tidak berapa lama, datang pula kelompok dari PKR, Azmin. Ini semua patut dianggap ramuan perkukuhkan (parti),” katanya.

    Beliau bagaimanapun sedih dan bimbang dengan sikap sesetengah pihak yang membeza-bezakan orang baharu dan lama kerana perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

  • 50 rumah dipukul ribut, mangsa dipindahkan ke PPS

    50 rumah dipukul ribut, mangsa dipindahkan ke PPS

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    LEBIH 50 keluarga dikejutkan dengan kejadian bumbung rumah mereka diterbangkan angin dalam kejadian ribut di Rumah Pangsa Ros Merah, Johor Jaya, Johor Bahru, hari ini.

    Menurut mangsa, Rosliza Jaafar, 50, yang tinggal di Blok E berkata, semasa kejadian pada pukul 1.15 petang, dia dan suami sedang mengemas rumah sebelum tergamam melihat bumbung rumah di blok sebelah diterbangkan angin ribut.

    “Tidak lama kemudian, sebatang kayu dari bumbung sebelah masuk ke kediaman kami, sebelum bumbung rumah kami pula diterbangkan angin kencang dalam keadaan hujan lebat sebelum masuk dalam rumah.

    “Hujan terlalu lebat sehingga segala perkakasan dalam rumah rosak dan musnah akibat banjir. Masa itu hanya ALLAH SWT sahaja yang tahu perasaan saya, terlalu takut,” katanya ketika ditemui.

    Ribut yang melanda menerbangkan bumbung dan mengakibatkan air hujan masuk ke dalam bilik hingga bertakung dalam kejadian di Rumah Pangsa Ros Merah

    Kejadian tersebut mengakibatkan keluarga 50 keluarga terjejas melibatkan enam daripada 10 blok iaitu blok C, D, E, F, G dan H.

    Rata-rata mangsa adalah penduduk yang di tingkat empat blok terbabit dan terdapat mereka yang dipindahkan ke pusat penempatan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya berikutan rumah mereka rosak teruk.

    Selain kawasan rumah pangsa tersebut, beberapa kawasan lain turut terjejas dengan insiden pokok tumbang antaranya di Jalan Surau dan Jalan Bilal, Kampung Melayu Pandan selain Jalan Balau 15, Bandar Seri Alam, Taman Megah Ria, Taman Bukit Rinting dan Taman Rinting.

    Turut dilaporkan terdapat pokok tumbang adalah Jalan Teratai 9, Rumah Pangsa Ros Merah selain Kawasan Perindustrian Pasir Gudang, Kawasan Perindustrian Tebrau, Taman Molek dan Bandar Putra di Pasir Gudang.

    Rosliza berkata, kejadian tersebut disifatkan sebagai terburuk pernah berlaku di kawasan tersebut sejak 1999.

    “Tidak pernah terjadi kejadian seumpama ini. Hujan lebat melanda dalam kira-kira 30 minit beserta angin dan ribut kencang.

    “Memang tidak sempat selamatkan barang-barang. Tidak sangka duduk ditingkat empat rumah boleh banjir dan basah,” katanya.

    Seorang lagi mangsa, Nizam Maskam, 45, berkata, dia hanya ingat untuk menyelamatkan kedua ibu bapanya yang uzur dalam rumah ketika kejadian ribut melanda.

    Dia yang bekerja Kilang berkata, bapanya, Maskam Sarbini, 80, dan ibunya, Masitah Yusuf, 82, tinggal bersamanya di tingkat empat Blok H.

    “Hari ini Jumaat, jadi sebelum hendak keluar solat Jumaat, saya lihat angin kencang dengan hujan yang lebat ini lain macam.

    Mangsa dipindahkan ke pusat penempatan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya berikutan rumah mereka rosak teruk

    “Apabila tiba-tiba bumbung rumah terbang, perkara pertama yang saya cari ialah mak ayah yang sedang uzur. Saya terus angkat mak dan ayah ke beranda, ini adalah kejadian paling teruk,” katanya.

    Menurutnya yang sudah menetap di situ lebih 20 tahun, tiada barang yang dapat diselamatkan kerana semuanya basah dan rosak termasuk perkakasan elektrik.

  • Wanita cedera jatuh dari tingkat 19 sambil peluk al-Quran

    Wanita cedera jatuh dari tingkat 19 sambil peluk al-Quran

    SEORANG wanita berusia 33 tahun cedera dipercayai terjatuh dari tingkat 19 sebuah pangsapuri di Sungai Ara, di Georgetown, hari ini.

    Mangsa yang juga penduduk di situ ditemukan dalam keadaan memeluk kitab dipercayai terjemahan al-Quran.

    Wanita berkenaan kemudian dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi mendapatkan rawatan lanjut.

    Menurut Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru, Mohd. Awis Kharni Abd. Rahman, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.05 tengah hari.

    “Ketika tiba di lokasi, mangsa terbaring di lantai dan mengalami kecederaan.

    “Anggota bersama petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi rawatan awal, sebelum mangsa dibawa ke HPP bagi tindakan lanjut,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Difahamkan mangsa ditemukan terbaring oleh orang awam di bahagian parkir bertingkat pangsapuri berkenaan.

  • Mayat dengan kesan tembakan ditemukan di deretan rumah kedai

    Mayat dengan kesan tembakan ditemukan di deretan rumah kedai

    SEORANG lelaki ditemukan maut dengan beberapa kesan tembakan pada badan di Taman Alam Jaya, Puncak Alam, Kuala Selangor, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pukul 11.40 pagi.

    “Semasa kejadian, mangsa berusia 29 tahun ditemukan dalam keadaan tertiarap. Turut ditemukan, sebuah motosikal Yamaha LC 135 dipercayai ditunggang mangsa

    “Pihak forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hadir ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan dan menemui beberapa kelongsong peluru.

    “Hasil pemeriksaan pada tubuh mangsa mendapati terdapat beberapa kesan tembakan,” katanya menerusi kenyataan, malam ini, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah deretan rumah kedai satu tingkat Pusat Industri Alam Jaya.

    Sehubungan itu katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).

  • Polis serbu pusat tipu tawaran kerja, 22 ditahan 

    Polis serbu pusat tipu tawaran kerja, 22 ditahan 

    POLIS menyerbu sebuah pusat panggilan penipuan tawaran kerja di Jalan Bangkong, Taman Bandaraya, Kuala Lumpur dan menahan 22 orang semalam.

    Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, hasil maklumat diterima pihaknya melakukan serbuan pukul 7.45 petang di premis terbabit.

    Menurutnya, dalam serbuan itu, polis menahan 22 orang terdiri 21 tempatan dan seorang warga asing membabitkan 18 lelaki serta empat wanita berusia 19 hingga 37 tahun.

    “Mereka yang ditahan dipercayai terbabit dalam kegiatan penipuan tawaran kerja dalam talian di mana premis itu dijadikan tempat operasi pusat panggilan.

    “Turut dirampas 96 unit telefon telefon bimbit pelbagai jenama dan 20 set komputer pelbagaijenama,” katanya dalam kenyataan memetik laporan BH Online.

    Beliau berkata, hasil siasatan awal sindiket beroperasi selama hampir tiga bulan dan kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959,” katanya.