Author: Admin

  • Tiada ADUN Pas Perak tarik sokongan terhadap MB

    Tiada ADUN Pas Perak tarik sokongan terhadap MB

    PAS Perak menafikan dakwaan terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu akan menarik sokongan terhadap kerajaan pimpinan Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad.

    Setiausaha Pas Perak, Mohd. Akmal Kamarudin berkata, dakwaan tersebut yang tular ketika ini langsung tidak berasas kerana Pas sebahagian daripada kerajaan negeri.

    Menurutnya, mereka tiada masa bermain politik ketika ini kerana tumpuan utama diberikan kepada usaha pemulihan pandemik Covid-19.

    “Tak benar (dakwaan tarik sokongan terhadap kerajaan), memang kita masih kekal di dalam kerajaan. Kerajaan negeri sedang giat berusaha dan bekerja keras untuk bawa Perak ke fasa seterusnya.

    “Tumpuan kita ketika ini lebih kepada usaha memutuskan rantaian Covid-19 dan proses vaksinasi rakyat. Kita elakkan politiking,” katanya yang juga ADUN Selama kepada Sinar Harian, hari ini.

    Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan yang tular menerusi satu rakaman video di YouTube mendakwa terdapat lima ADUN di Perak menarik sokongan kepada kerajaan sedia ada.

    Sementara itu, Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin turut menafikan dakwaan tersebut dan menganggapnya sebagai palsu.

    Dalam video berdurasi 6:48 minit itu, seorang individu mendakwa ADUN tersebut daripada Parti Amanah Negara (Amanah), Pas dan Bersatu.

  • Enam beranak bersyukur sembuh daripada Covid-19

    Enam beranak bersyukur sembuh daripada Covid-19

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG ibu tunggal bersyukur kerana dia dan lima anaknya terselamat selepas didapati positif Covid-19 walaupun kehilangan suaminya akibat jangkitan itu pada Ogos lalu.

    Menurut Nor Fairus Johar, 41, dia kehilangan suami, Selamat Omar, akibat pandemik itu selepas disahkan positif pada 3 Ogos lalu sebelum dimasukkan ke hospital pada 7 Ogos dan meninggal dunia lima hari kemudian.

    Selepas arwah suaminya dimasukkan ke hospital, dia dan lima anaknya berusia tiga hingga 16 tahun turut m?mbuat ujian calitan dan mendapat keputusan positif Covid-19.

    “Anak-anak saya positif Covid-19 tetapi pada tahap rendah manakala saya pula berada di tahap empat. Selama 20 hari saya ditempatkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

    “Doktor memberitahu 20 peratus paru-paru sudah rosak. Kini keadaan saya sudah tak sama seperti dulu, jangan kata nak berjalan, masa bercakap lama-lama pun saya akan mengah.

    “Bila saya batuk sahaja, terus akan alami sesak nafas. Dengan keadaan sekarang ini, saya rasa sudah tak larat hendak meneruskan pekerjaan yang diusahakan suami,” katanya ketika ditemui di Flat Serantau Baru, Johor Bahru.

    Dia sebelum itu menerima bayaran Skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah Skim Keilatan di bawah Faedah Penakat yang disampaikan Exco Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan dan Sumber Manusia Negeri Johor, Datuk Mohd. Izhar Ahmad.

    Nor Fairus tidak tahu layak menerima bantuan serta faedah Perkeso itu kerana suaminya tidak lagi membayar caruman tersebut setelah bekerja sendiri sebagai pengusaha van sekolah.

    Jelasnya, kali terakhir suaminya membuat mencarum Perkeso pada 2015 ketika masih bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang di daerah ini.

    “Ketika pandemik Covid-19 melanda, pendapatan kami terjejas dan arwah suami mencari alternatif lain bagi menambah pendapatan seperti kerja membuat rumah, mengecat dan sebagainya.

    “Alhamdulillah, saya merasa sangat bersyukur menerima pencen Penakat ini. Saya sendiri tak tahu layak menerima bantuan ini yang amat membantu buat kami sekeluarga,” katanya.

    Sementara itu, Pengarah Perkeso Johor, Tong Sing Chuang berkata, selain menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM2,000, ibu tunggal itu juga sudah mula menerima Faedah Pencen Penakat bagi arwah dengan kadar pencen bulanan RM1,635.48.

  • Indonesia lakukan ujian penerbangan guna minyak sawit yang pertama

    Indonesia lakukan ujian penerbangan guna minyak sawit yang pertama

    SEBUAH pesawat penumpang hari ini berjaya melengkapkan penerbangan sejauh 100 km dari Jakarta ke Bandung dengan menggunakan bahan bakar yang dicampur dengan minyak sawit.

    Menurut Menteri Kanan Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto, penerbangan itu merupakan ujian pertama yang dilakukan oleh rupublik berkenaan bagi menguji keberkesanan bahan biodiesel itu untuk kegunaan pesawat komersial.

    Jelas beliau, penerbangan itu dilakukan ketika republik berkenaan merancang mengkomersialkan minyak sawit sebagai bahan bakar pesawat, dalam usaha kreatifnya bagi memperluaskan kegunaan minyak masak itu.

    “Indonesia, sebagai pengeluar terbesar, tentu saja perlu melakukan inovasi penggunaan minyak sawit, termasuk dalam pengembangan biodiesel, bahan bakar jet dan juga melanjutkan program D100,” kata Airlangga pada sidang maya, merujuk pada diesel yang dibuat sepenuhnya daripada minyak sawit yang dikembangkan oleh syarikat minyak negara Pertamina.

    Indonesia ketika ini memiliki program biodiesel wajib dengan kandungan minyak sawit 30 peratus yang dikenali sebagai B30.

    Pemerintah Indonesia berusaha memperluas penggunaan minyak sayuran untuk tenaga dan mengurangkan import bahan bakar.

    Bahan bakar jet yang digunakan selama penerbangan ujian itu hanya mengandungi 2.4 peratus kandungan sawit, tetapi dalam peraturan 2015, Indonesia telah mewajibkan jumlah itu dinaikkan kepada lima peratus. – Agensi

  • KPKT nafi tawar skim pinjaman KWSP melalui iklan

    KPKT nafi tawar skim pinjaman KWSP melalui iklan

    KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini menafikan sebarang penglibatan dengan iklan yang menawarkan skim pinjaman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti yang tular di media sosial dan laman web.

    Penafian itu dikeluarkan berikutan iklan yang menyasarkan pemilik akaun KWSP tersebut menggunakan nama syarikat pemberi pinjam wang (PPW) berlesen atau kredit komuniti yang berdaftar di bawah KPKT.

    KPKT dalam satu kenyataan memaklumkan iklan tersebut menawarkan pinjaman dengan kadar faedah antara lima hingga tujuh peratus sebulan, jauh melebihi kadar faedah yang ditetapkan dalam Akta Pemberi Pinjam Wang (1951) (Akta 400) iaitu maksimum 1.5 peratus sebulan atau 18 peratus setahun bagi pinjaman individu.

    Ia juga mengandungi maklumat pinjaman mencurigakan bertujuan memperdaya orang ramai antaranya skim pinjaman tanpa bayaran bulanan dengan hanya penyata KWSP diperlukan bagi semakan kelayakan pinjaman, dengan sasaran individu berumur antara 48 hingga 55 tahun.

    KPKT yang memandang serius iklan berkenaan menegaskan bahawa urusan dengan pihak kredit komuniti hanya boleh dilakukan dalam premis perniagaan berdaftar dan sah sahaja.

    I. – Gambar media sosial

    “Orang ramai perlu mendapatkan pengesahan maklumat daripada KPKT dahulu sebelum sebarang perjanjian dibuat dan tidak menandatangani perjanjian kosong,” katanya.

    KPKT berkata, iklan berkenaan dikhuatiri menjejaskan imej dan kredibiliti sektor kredit komuniti dan memberi implikasi negatif kepada orang ramai khususnya peminjam yang terjebak dengan aktiviti yang tidak bertanggungjawab tersebut.

    KPKT berkata mana-mana syarikat kredit komuniti berlesen yang didapati terlibat dengan pinjaman mengelirukan atau mengenakan kadar faedah tinggi boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 17A Akta 400 yang memperuntukkan denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak melebihi 18 bulan atau kedua-duanya sekali.

    Sebarang aduan berkaitan boleh dikemukakan melalui Sistem Aduan Bersepadu KPKT iaitu aduan.kpkt.gov.my, aplikasi mudah alih i-KrediKom, Talian Hotline Bahagian Kawalan Kredit Komuniti (BKKK) di talian 03-8891 4694/4690 ataupun hadir di Kaunter Aduan KPKT di Aras 1, KPKT di Putrajaya. – Bernama

  • 5 direman bantu siasatan kes pukul mati rakan

    5 direman bantu siasatan kes pukul mati rakan

    LIMA individu termasuk empat warganegara Kemboja direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini, bagi membantu siasatan kes pukul hingga mati seorang lelaki, kejadian Ahad lalu.

    Mereka yang berusia antara 29 hingga 48 tahun itu direman bermula hari ini sehingga Selasa depan untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.

    Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud ketika dihubungi mengesahkan lima termasuk seorang wanita warga kemboja direman.

    Menurutnya, kelima-lima suspek itu ditahan semalam di sekitar Kota Bharu.

    “Tahanan reman itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Harian Metro, hari ini.

    Media semalam melaporkan, perselisihan faham mengenai bayaran upah membaiki tandas dipercayai menjadi punca seorang buruh binaan warga Kemboja dipukul hingga mati oleh rakan senegaranya.

    Mangsa, Sovann Arozak, 40, cedera di kepala akibat dipukul dengan objek tumpul kejadian pada 10.45 malam Ahad lalu di rumah mangsa di Kampung Penambang dan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) pada 11 pagi kelmarin.

    Seorang suspek berusia 29 tahun berjaya ditahan di Kampung Bukit Marak pada 11.20 pagi semalam dan susulan itu empat lagi termasuk seorang wanita warga Kemboja dan seorang lelaki tempatan turut ditahan.

  • Polis tahan 5 anggota penguat kuasa yang menjadi dalang kes samun

    Polis tahan 5 anggota penguat kuasa yang menjadi dalang kes samun

    BAHAGIAN Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras menahan tujuh individu termasuk lima anggota agensi penguat kuasa selepas disyaki terbabit kes samun berkumpulan semalam dan kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, risikan bahagian itu membawa kepada penahanan lima lelaki dan dua wanita berusia antara 19 hingga 30 tahun di Jalan Pekan Salak Selatan, Pandan Indah, Salak Selatan, Pudu, Ampang dan Kajang.

    Selain itu katanya, dua motosikal jenis Yamaha, kunci motosikal Honda, sebuah kereta Proton Iswara, tiga telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM3,000 serta pakaian dipercayai digunakan suspek untuk merompak turut dirampas.

    “Pada pukul 11 malam kelmarin, kita menahan seorang lelaki di Jalan Pekan Salak Selatan dan soal siasat suspek membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki di Pandan Indah pada pukul 1.20 pagi semalam.

    “Pada pukul 8.30 pagi hari sama, kita menahan lima suspek di empat lokasi berasingan dan keseluruhannya tujuh orang ditangkap termasuk lima yang bekerja di agensi penguatkuasaan kerajaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Muhammad Idzam berkata, semakan lanjut mendapati tiga suspek mempunyai rekod jenayah termasuk samun dan dadah, manakala ujian saringan awal air kencing mengesahkan semuanya negatif dadah.

    Semua suspek katanya, ditahan di lokap Balai Polis Bukit Jalil dan lokap Balai Polis Salak Selatan Baru.

    Mereka katanya, direman hingga Isnin depan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

  • 9,380 kes positif Covid-19 dicatat hari ini

    9,380 kes positif Covid-19 dicatat hari ini

    MALAYSIA mencatatkan peningkatan apabila merekodkan 9,380 kes baharu Covid-19 hari ini berbanding 8,817 kes semalam.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, angka tersebut menjadikan jumlah kes Covid-19 secara keseluruhan adalah 2,303,837 kes.

    Pecahan setiap negeri bagi jumlah kes hari ini dan kumulatif adalah seperti berikut:

    Selangor – 1,116 (684,768)
    Sarawak – 1,503 (219,629)
    Sabah – 790 (202,668)
    Johor – 1,105 (201,939)
    Kuala Lumpur – 214 (187,301)
    Kedah – 556 (138,549)
    Pulau Pinang – 623 (134,447)
    Kelantan – 1,170 (121,503)
    Perak – 629 (106,369)
    Negeri Sembilan – 191 (98,264)
    Pahang – 511 (68,411)
    Melaka – 200 (59,810)
    Terengganu – 704 (59,685)
    Labuan – 8 (9,982)
    Putrajaya – 18 (6,290)
    Perlis – 42 (4,222)

  • Tiada yang terkecuali, pendaftaran pengundi automatik – Timbalan Menteri

    Tiada yang terkecuali, pendaftaran pengundi automatik – Timbalan Menteri

    TIADA warganegara berusia 18 tahun ke atas yang akan terkecuali daripada didaftarkan sebagai pengundi susulan perlaksanaan pendaftaran undi automatik dan Undi 18 pada 31 Disember ini.

    Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, ketetaoan itu sebagaimana yang telah termaktub dalam peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

    “Pendaftaran pengundi automatik yang akan dilaksanakan pada 31 Disember ini berdasarkan keputusan Mahkamah Kuching baru-baru ini.

    “Berdasarkan itu, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) komited untuk laksanakan pendaftaran pengundian secara automatik dan Undi 18.

    “Sebab itu segala maklumat atau warganegara pasti akan turut didaftarkan sebagai pengundi. Kalau ikut apa yang termaktub dalam undang-undang, tidak akan ada yang terkecuali,” katanya dalam persidangan di Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau menjawab soalan tambahan Maria Chin Abdullah (PH-Petaling Jaya) mengenai pendaftaran automatik sama ada akan akan melibatkan rakyat Malaysia yang bermastautin di luar negara dan penduduk Sabah Sarawak yang berada di Semenanjung serta mekanisme pelaksanaannya.

    Dalam pada itu, menjawab soalan asal, Mas Ermieyati berkata, pengundi-pengundi di Negeri Sabah dan Sarawak yang bermastautin di Semenanjung digalakkan untuk memohon pertukaran Bahagian Pilihan Raya berdasarkan tempat bermastautin terkini.

    Menurutnya, tindakan itu bagi memudahkan urusan pengundian bagi suatu pilihan raya umum atau kecil sekiranya tidak termasuk dalam golongan yang mendapat kemudahan mengundi secara pos.

    “Buat masa ini, kemudahan mengundi secara pos diberikan kepada pengundi terdiri daripada ahli SPR dan kakitangan SPR; petugas pilihan raya; tentera, polis, dan Polis Pasukan Gerak Am (PGA) yang bertugas pada hari mengundi awal.

    “Turut dibenarkan kepada pengamal media yang bertugas membuat liputan pilihan raya di luar kawasan pada hari mengundi; kakitangan bagi sembilan agensi (Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Sukarelawan Simpanan Polis, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kesihatan Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara-UTC, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Agensi Pengurusan Bencana Negara) yang bertugas pada hari mengundi.

    “Selain itu, turut termasuk pengundi Malaysia yang berada di luar negara (kecuali Brunei, Singapura, Kalimantan dan Selatan Thai); dan Pengundi Tidak Hadir (PTH) luar negara iaitu penjawat awam yang berkhidmat di luar negara dan pasangan serta pelajar universiti/institusi tinggi sepenuh masa di luar negara dan pasangan,” katanya.

  • 160 pemilik RPMM Pulau Redang akan terima kunci November depan

    160 pemilik RPMM Pulau Redang akan terima kunci November depan

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    SETELAH sekian lama menanti, akhirnya penduduk Pulau Redang menerima perkhabaran gembira, apabila
    Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) di pulau itu dijangka diserahkan kepada semua pemiliknya pada bulan November depan.

    Menurut Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perumahan Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Ahmad Shah Muhamed, projek kediaman rakyat melibatkan perbelanjaan RM28.5 juta itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh terdekat ini.

    Malah katanya, berdasarkan lawatannya ke lokasi itu baru-baru ini mendapati projek yang dimulakan sejak 2012 itu telah siap sebanyak 99.90 peratus dan kini hanya tinggal 0.01 peratus sahaja bagi memenuhi syarat Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC).

    “Jika tiada aral melintang, insya Allah semuanya akan diselesaikan dalam tempoh terdekat ini.

    “Terdapat empat blok bangunan yang dibina di mana setiap blok mempunyai 40 unit dengan keseluruhannya adalah sebanyak 160 unit,” katanya kepada media di Kuala Terengganu, hari ini.

    Menurut Ahmad Shah, projek RPMM Pulau Redang merupakan antara yang dinanti-nantikan penduduk Pulau peranginan tersebut dan kerajaan negeri menjangkakan penyerahan kunci kepada semua pemilik terbabit akan diadakan pada awal November depan.

    Malah katanya, kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian mengenai perkara itu kerana kediaman merupakan satu keperluan mendesak kepada rakyat.

  • Nenek 105 tahun tekad ambil vaksin demi perkahwinan cucu

    Nenek 105 tahun tekad ambil vaksin demi perkahwinan cucu

    SEORANG wanita warga emas yang berusia 105 tahun terbuka hati untuk menerima suntikan vaksin selepas menerima penerangan kebaikan vaksinasi selain mahu hadir dalam majlis perkahwinan cucunya.

    Goh Bak Nai, yang tinggal di Taman Sin Far, Ipoh dibawa ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hospital Pakar Komuniti Ipoh (PCSH) dengan ditemani ahli keluarga untuk menerima suntikan dos pertama vaksin Sinovac.

    Menurutnya cucunya, Shim Wen Jie, 31, pada awal neneknya tidak mengetahui tentang vaksin namun selepas diberi penerangan oleh ahli keluarga, neneknya bersetuju untuk mendapatkan suntikan vaksin.

    Kata Wen Jie, selain kelonggaran yang diumumkan kerajaan kepada individu lengkap divaksin, majlis perkahwinannya yang dijadualkan berlangsung hujung tahun ini menjadi satu sebab nenek kepada lebih 20 cucu itu mengambil keputusan demikian.

    “Sebelum pandemik Covid-19, nenek gemar keluar untuk meminum teh di kedai namun aktiviti itu tidak dapat dilakukan kerana Covid-19 sejak lebih setahun.

    “Kami sekeluarga memberitahunya bahawa individu yang lengkap divaksin mendapat beberapa kelonggaran oleh kerajaan seperti makan di kedai. Justeru, dia bersetuju untuk divaksin.

    “Selain itu, saya juga merancang untuk mengadakan majlis perkahwinan selepas sambutan Krismas penghujung tahun ini yang mana majlis berkenaan telah ditangguh sejak tahun lalu akibat Covid-19. Nenek beritahu bahawa dia juga mahu hadir majlis itu nanti.

    “Akan tetapi, berdasarkan situasi semasa, saya melihat kemungkinan majlis itu akan ditangguh lagi. Walau bagaimanapun saya berpandangan lebih baik nenek tetap menerima vaksin terlebih dahulu. Saya gembira akhirnya nenek menerima vaksin,” katanya.

    Dia ditemui ketika menemani neneknya untuk mendapatkan suntikan vaksin di hospital swasta berkenaan, hari ini.

    Bak Nai dipercayai tenang dan gembira sebelum dan selepas menerima suntikan vaksin Covid-19.

    Sementara itu, Wen Jie yang tinggal dan menjaga neneknya sejak beberapa tahun mengakui gembira kerana nenek kesayangan akhirnya menjadi individu terakhir dalam kalangan ahli keluargnya yang menerima vaksin.

    Wen Jie memberitahu walaupun mencecah usia 105 tahun namun neneknya tidak mempunyai sebarang penyakit kronik kecuali tekanan darah tinggi dan kolesterol.