Author: Admin

  • 600 daripada 800 nelayan sampan khas di Terengganu dapat lesen

    600 daripada 800 nelayan sampan khas di Terengganu dapat lesen

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    SEBANYAK 600 daripada 800 permohonan lesen Sampan Khas telah diluluskan kepada nelayan di Terengganu sepanjang tahun ini.

    Malah, kelulusan tersebut disifatkan sebagai jumlah terbanyak setakat ini melalui komitmen dan usaha kerajaan negeri dalam memperjuangkan nasib golongan berkenaan.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim, isu mengenai lesen sampan khas nelayan telah diperkatakan sejak sekian lama.

    Katanya, kebanyakan golongan nelayan terbabit telah lama turun ke laut untuk mencari rezeki secara sepenuh masa, tetapi tidak mempunyai lesen sampan.

    Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan mereka dinafikan banyak hak termasuk gagal mendapat minyak subsidi, elaun sara diri nelayan, bantuan bencana dan sebagainya.

    “Sebab itulah, kita terus perjuangkan hak tersebut di peringkat kementerian bersama jawatankuasa khas dianggotai pelbagai wakil jabatan dan persatuan nelayan.

    “Kita telah membuat pemutihan ke atas 800 nelayan sampan yang belum mendapat lesen dengan mengemukakan permohonan ke ibu pejabat Jabatan Perikanan di Putrajaya,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Labuh Tukun Tiruan, di perairan Tok Jembal Kuala Nerus, hari ini.

    Turut hadir Pengarah Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat dan Pengarah Pertanian Negeri Terengganu Zulkepli Amin Mat Jusoh.

    Menurut Dr Azman, baki 200 lagi permohonan yang belum lulus akan diteliti melibatkan beberapa aspek teknikal.

  • Hebatnya Idris Haron ‘kotakan’ kata-kata

    Hebatnya Idris Haron ‘kotakan’ kata-kata

    OLEH RAHIMI MOHAMAD

    KERAJAAN negeri Melaka sebelum ini yang terbentuk sejak Mac tahun lalu akan terus kekal dan utuh selagi empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyatakan sokongan kepada kerajaan UMNO tidak mengubah fikiran.

    Demikian dinyatakan Datuk Seri Idris Haron dalam temubual bersama sebuah akhbar bahasa Melayu pada 8 Disember tahun lalu yang ketika itu merujuk kepada dua ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan dua ADUN Bebas yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) Melaka.

    Nampaknya bekas Ketua Menteri Melaka itu memang benar-benar membuktikan kata-katanya apabila kerajaan negeri diketuai UMNO iaitu partinya sendiri sebelum ini kini tidak lagi memerintah kerana empat ADUN menarik sokongan.

    Apa yang lebih hebat dengan ramalan Idris itu apabila bukan keempat-empat mereka yang didakwanya memegang talian hayat kerajaan Melaka menarik sokongan, sebaliknya beliau sendiri berjaya memancing dua daripada ADUN itu untuk mengetuai gerakan itu.

    Beliau bersama ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan; ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad telah sepakat mengadakan sidang akhbar menyatakan hilang kepercayaan kepada Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

    Walhal yang dimaksudkan Idris dalam temubual itu adalah ADUN Paya Rumput, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen; ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan Norhizam serta Noor Effandi sendiri.

    “Kerajaan yang terbentuk hari ini dan keupayaan mentadbir negeri Melaka kali ini disokong oleh ADUN yang menukar haluan untuk bersama-sama UMNO, memang kekuatan kita bergantung kepada empat orang ini.

    “Kita tidak boleh yakin sepenuhnya kerajaan ini kukuh, teguh dan sebagainya kerana kalau mereka tukar seperti dilakukan sebelum ini, apa akan terjadi kepada kerajaan negeri sedia ada maka mereka perlu lebih waspada dan hati-hati serta tidak mengambil mudah,” kata Idris pada masa itu.

    Malah, ketika itu Idris yang juga ADUN Sungai Udang percaya keempat-empat ADUN tersebut akan terus kekal menyokong kerajaan PN Melaka walaupun suasana masa itu tertumpu kepada krisis politik yang sedang berlaku di Perak melibatkan pertukaran Menteri Besar.

    Itulah yang dinamakan seni dalam berpolitik, apa yang akan diperkatakan esok mungkin sudah berlaku hari ini atau pun ‘hari ini nafi esok pasti jadi’.

    Perkembangan politik di Melaka masih terlalu awal untuk diramalkan walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah secara rasmi terbubar dan memerlukan satu Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan dalam tempoh 60 hari.

    Sekiranya pilihan raya tetap mengambil tempat, inilah masanya pengundi menjadi hakim untuk mengadili wakil-wakil dipilih mereka sebelum ini. Buang yang keruh, ambil yang jernih.

  • JPJ P. Pinang keluarkan 136 saman kenderaan berat

    JPJ P. Pinang keluarkan 136 saman kenderaan berat

    HANYA dalam tempoh pelaksanaan empat hari, OP Kenderaan Perkhidmatan Barangan (KPB) yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang berjaya mengeluarkan sebanyak 136 saman terhadap kenderaan berat bernilai RM40,800.

    Saman itu membabitkan kesalahan utama tidak memiliki lesen memandu biasa (CDL) iaitu sebanyak 35 kes dan 29 kes tidak memiliki lesen memandu kenderaan barangan (GDL).

    Malah, dua buah lori juga didapati telah tamat cukai jalan serta tidak memiliki insurans kenderaan namun masih bebas digunakan pemandu serta pemiliknya.

    Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md. Isa berkata, operasi yang diadakan sejak Isnin lalu melibatkan pemeriksaan ke atas beberapa jenis kenderaan berat antaranya lori sampah, lori membawa mesin atau jentera berat serta trak tunda.

    Dalam operasi itu jelas beliau, pihaknya memeriksa sebanyak 358 kenderaan terbabit secara keseluruhan dengan 102 daripadanya diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.

    “Selain itu, sebanyak 88 notis lain iaitu Notis Arah Periksa Kenderaan di bawah Seksyen 61(1) dan Notis Larangan Penggunaan Kenderaan (Notis PG1) turut dikeluarkan pihaknya kepada pemilik kenderaan terbabit sepanjang operasi tersebut,” katanya kepada pemberita selepas turut menyertai operasi sama di Nibong Tebal hari ini.

    Dalam pada itu Adenan berkata, terdapat pemandu warga tempatan yang ditahan didapati tidak memiliki lesen memandu sekali gus tidak dibenarkan meneruskan perjalanan sehingga diganti pemandu lain.

    Tegasnya, tindakan pemandu tanpa lesen itu adalah kesalahan serius dan boleh membahayakan mereka sendiri serta orang lain sekiranya berlaku kemalangan.

    Sehubungan itu, beliau memberi amaran kepada majikan supaya tidak sewenang-wenangnya menggajikan pemandu lori yang tidak mempunyai lesen memandu dan lesen GDL selain memastikan kenderaan mereka mengikut peraturan yang ditetapkan.

  • Dua lelaki berhadapan hukuman mati edar 54.7 kilogram Methamphetamine

    Dua lelaki berhadapan hukuman mati edar 54.7 kilogram Methamphetamine

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Petani hari ini bagi berdepan pertuduhan mengedar dadah seberat lebih 54 kilogram, yang didakwa dilakukan pada hujung bulan lalu.

    Tertuduh, Amiruddin Yaakub, 31, dan Nurzaihan Ismail, 41, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di depan Majistret, Nurul Ainna Ahmad dengan tiada pengakuan direkodkan dari kedua-dua mereka.

    Mengikut kertas pertuduhan, Amiruddin yang bekerja sebagai peniaga dan Nurzaihan yang tidak bekerja, didakwa secara bersama mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 54.7 kilogram.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira 8.10 pagi, 27 September lalu di depan sebuah rumah di Persiaran Amanjaya 10, Bandar Amanjaya di Sungai Petani.

    Pendakwaan dilakukan mengikut seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut seksyen 39B(b)(2) akta sama, dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan dikenakan tidak kurang 15 sebatan.

    Pertuduhan dikendalikan Pegawai Siasatan dan Perundangan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Asisten Superintendan Mohd Fakruzi Ismail dengan Nurzaihan diwakili peguam, Shaharuddin Mohamed manakala Amiruddin pula tidak diwakili peguam.

    Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 8 September depan sementara menanti laporan kimia dengan kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan untuk diikat jamin.

  • Johor, Pahang beralih fasa PPN-Hishammuddin

    Johor, Pahang beralih fasa PPN-Hishammuddin

    JOHOR akan beralih kepada fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) manakala Pahang beralih memasuki fasa empat PPN bermula Jumaat ini.

    Perkara itu diputuskan dalam satu Mesyuarat Sidang Khas Pengurusan Pandemik Covid-19, hari ini.

    Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, peralihan fasa itu dibuat mengikut garis panduan ditetapkan PPN.

    “Ini setelah mengambil kira penilaian risiko semasa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    “Prosedur operasi standard (SOP) bagi negeri-negeri yang memasuki fasa tiga dan empat adalah sama dengan sebelum ini. Keterangan SOP terkini akan dikemaskini oleh MKN di laman sesawang www.mkn.gov.my,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

  • PRN Melaka: Kerajaan ambil iktibar daripada PRN Sabah

    PRN Melaka: Kerajaan ambil iktibar daripada PRN Sabah

    APA yang berlaku rentetan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada tahun lalu akan dijadikan iktibar untuk dipelajari dalam membuat keputusan mengenai PRN Melaka.

    Justeru, keputusan untuk mengadakan PRN Melaka hanya akan diputuskan selepas meneliti kesemua aspek keselamatan dan risiko yang ada.

    Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein berkata, kerajaan perlu melihat pandangan segala kepakaran yang akan membabitkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    “Kita belajar daripada apa yang berlaku dalam PRN Sabah dan kita tengok kesannya. Agenda kita adalah untuk selamatkan rakyat.

    “SPR akan tentukan selepas kita bawa kepada pimpinan tertinggi. Saya dah arah MKN untuk dekati pihak berkenaan termasuk KKM.

    “Saya nak tahu daripada pakar-pakar apa kesanya kalau sekiranya kita adakan PRN di Melaka. Jadi itu pertimbangan yang perlu kita fikirkan dalam memutuskan apa yang patut kita meniti perkembangan di negeri Melaka,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada media selepas hadir pada Program Bakul MINDEF Prihatin bersama Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee di ibu negara, hari ini.

    Beliau mengulas perkembangan Dewan Undangan Negeri Melaka selepas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali, mengambil langkah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) mulai semalam, dalam usaha menyelesaikan kemelut politik di negeri itu.

    Pembubaran DUN Melaka itu dibuat selepas Sulaiman hilang majoriti sokongan, susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada blok kerajaan, menarik sokongan terhadap kepemimpinannya kelmarin.

    Empat ADUN kerajaan mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman iaitu Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

    Sebelum ini, Kerajaan Melaka pimpinan Barisan Nasional (BN) diwakili 17 ADUN yang terdiri daripada 14 ADUN UMNO, dua (Bersatu) dan satu Bebas manakala pembangkang mempunyai 11 kerusi iaitu tujuh DAP, dua (PKR) dan dua (Amanah).

  • Keahlian UMNO Idris Haron gugur secara automatik

    Keahlian UMNO Idris Haron gugur secara automatik

    SETIAUSAHA Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan keahlian UMNO Datuk Seri Idris Haron tergugur secara automatik berkuat kuasa serta merta.

    Beliau berkata, keahlian bekas Ketua Menteri Melaka itu gugur dengan sendirinya mengikut Fasal 20.11 dan Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO.

    “Ini adalah kerana tindakan Datuk Seri Idris pada 4 Oktober lalu membuktikan beliau tidak lagi menyokong kepimpinan dan kerajaan negeri Melaka yang ditunjangi parti UMNO sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Terdahulu, Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Udang dan Nor Azman (Pantai Kundor) menarik sokongan terhadap kerajaan negeri bersama dua lagi Adun Bebas dan Bersatu pada Isnin lalu.

    Tindakan empat ADUN berkenaan mengakibatkan pembubaran DUN Melaka yang diumumkan oleh Speaker DUN, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

  • Harga RON97 naik satu sen, RON95 dan diesel tidak berubah

    Harga RON97 naik satu sen, RON95 dan diesel tidak berubah

    HARGA runcit petrol RON97 naik satu sen seliter kepada RM2.77 mulai esok (7 Okt) hingga 13 Oktober, menurut Kementerian Kewangan hari ini.

    Dalam kenyataannya hari ini, kementerian itu berkata bagaimanapun harga runcit petrol RON95 dan diesel masing-masing kekal pada harga RM2.05 dan RM2.15 sehingga 13 Oktober.

    Menurutnya ia berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

    “Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada paras harga siling RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter, sungguhpun harga pasaran APM bagi kedua-dua produk telah meningkat melebihi paras harga siling semasa,” menurut kenyataan itu.

    Kementerian itu berkata, kerajaan juga akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara. – Bernama

  • Tujuh diberkas termasuk dua wanita terlibat sindiket ‘love scam’

    Tujuh diberkas termasuk dua wanita terlibat sindiket ‘love scam’

    POLIS menahan tujuh individu termasuk dua wanita warganegara asing yang disyaki terlibat dengan sindiket penipuan ‘love scam’ dalam serbuan berasingan di tiga premis di Puchong, semalam.

    Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din, kesemua mereka berusia dalam lingkungan 25 hingga 40 tahun itu menyasarkan mangsa dalam kalangan rakyat Malaysia dan Hong Kong.

    Pihkanya merampas beberapa buah komputer riba, telefon bimbit, ‘router’, pasport dan sejumlah kad pengeluaran tunai daripada pelbagai bank

    “Siasatan mendapati ahli sindiket itu memasuki Malaysia sekitar tiga tahun lalu dengan menggunakan pas pelajar.

    “Sindiket ini menggunakan pelbagai nama samaran dan akaun palsu di platform Facebook dan Instagram, mereka akan menghantar permohonan untuk menjadi rakan kepada pengguna media sosial.

    “Mangsa yang terpedaya dengan kata-kata manis dan janji palsu kemudiannya akan diminta untuk memindahkan wang ke dalam akaun bank yang diberikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, kesemua mereka ditahan direman sehingga Sabtu bagi membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.

  • Henti spekulasi kes kematian pemaju hartanah terkenal Pulau Pinang

    Henti spekulasi kes kematian pemaju hartanah terkenal Pulau Pinang

    POLIS Pulau Pinang meminta orang ramai menghentikan spekulasi berhubung kematian pemaju hartanah terkenal di negeri itu yang ditemukan maut dipercayai akibat terjatuh di sebuah kondomonium di Jalan Kelawai, Georgetown semalam.

    Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh berkata, siasatan awal polis menunjukkan kematian mangsa tidak mempunyai sebarang unsur jenayah dan diklasifikasi sebagai mati mengejut.

    Menurut beliau, siasatan polis menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kolam renang, pintu masuk dan lif di kondominium itu juga mendapati tiada pergerakan individu yang mencurigakan.

    Jelasnya, laporan bedah siasat pula mendapati mangsa mati disebabkan kecederaan yang pelbagai akibat jatuh dari tempat yang tinggi.

    “Sementara itu ujian darah juga mendapati mangsa bebas daripada unsur alkohol atau dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

    Media semalam melaporkan seorang  pemaju hartanah terkenal di Pulau Pinang ditemukan maut di dalam kolam renang selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 16 kondominum mewah miliknya di Jalan Kelawai.

    Mayat mangsa ditemui kira-kira pukul 5.20 pagi oleh pengawal keselamatan kondominium tersebut yang kemudiannya memaklumkan kepada polis.

    Difahamkan, mangsa sepatutnya menjadi saksi utama membabitkan kontroversi projek pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang yang sedang dibicarakan di mahkamah ketika ini namun tidak sempat memberi keterangan.

    Dalam pada itu Fisol berkata, polis tidak dapat mendedahkan identiti sebenar mangsa kerana bagi menghormati perasaan ahli keluarganya.

    Ujarnya, siasatan awal polis jugamendapati tiada sebarang kelakuan mencurigakan atau luar biasa oleh mangsa seperti dimaklumkan isteri dan dua anaknya.

    “Bagaimanapun, isteri mangsa ada memaklumkan mangsa sebelum ini memberitahu dia dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    “Isterinya juga memaklumkan mangsa tidak mempunyai masalah tekanan dan ketika kejadian isteri mangsa dan dua anaknya sedang tidur di rumah mereka,” katanya.