Author: Admin

  • Lelaki tinggalkan nota, motosikal atas Jambatan Pulau Pinang dipercayai lemas

    Lelaki tinggalkan nota, motosikal atas Jambatan Pulau Pinang dipercayai lemas

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menggerakkan usaha mencari seorang lelaki yang dipercayai lemas selepas terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang di Kilometer 2.5 laluan arah Perai malam tadi.

    Usaha menyelamat digerakkan menggunakan Bot Perkasa 1221 ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima maklumat dari Maritme Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, mangsa berusia 24 tahun itu dikatakan meninggalkan sebuah motosikal di tepi jalan di atas Jambatan Pulau Pinang sebelum dilaporkan jatuh kira-kira pukul 11.20 malam.

    Katanya, turut dijumpai bersama motosikal mangsa adalah sekeping nota yang memaklumkan dia tinggal di Pangsapuri Kejora Teluk Kumbar.

    ota dan motosikal ditinggalkan atas Jambatan Pulau Pinang sebelum dipercayai lemas

    “Operasi mencari dan menyelamat yang mula diaktifkan tengah malam tadi turut membabitkan pasukan Jabatan Bomba Dan Penyelamat serta Polis Marin Batu Uban,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Sementara itu Abd. Razak meminta orang awam melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut dengan menghubungi talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.

  • Lelaki hilang selepas bot terbalik di Kuala Selangor

    Lelaki hilang selepas bot terbalik di Kuala Selangor

    SEORANG lelaki warganegara Indonesia dikhuatiri hilang di laut selepas bot yang dinaikinya terbalik akibat dilambung ombak kira-kira 13.6 batu nautika barat daya Kuala Selangor, pada Rabu lepas.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata pihaknya yang menerima laporan kejadian itu semalam, menggerakkan operasi mencari dan menyelamat mangsa dikenali sebagai Sutri, 21.

    “Mangsa bersama tekong dan seorang lagi kru bot jatuh ke laut apabila bot yang dinaiki dilambung ombak sebelum terbalik di lokasi kejadian, tekong dan kru bot tersebut berjaya menyelamatkan diri manakala mangsa masih gagal ditemukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Rosli berkata operasi bagi hari kedua yang dikoordinasikan Sub Pusat Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru disambung pada 7 pagi tadi membabitkan bot Maritim Pengawal 26 dan aset udara Maritim dengan dibantu Pasukan Polis Marin (PPM) serta Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

    “Operasi hari ini meliputi keluasan 143.4 batu nautika persegi dengan tumpuan di kawasan perairan Kuala Selangor. Cuaca di lokasi cerah dengan kelajuan angin sekitar 10 hingga 20 kilometer sejam,” katanya.

    Beliau berkata pihaknya telah menubuhkan Pengkalan Hadapan Carilamat di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Selangor.

    Pihak Maritim Malaysia juga meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan laut menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 dan MERS 999 yang beroperasi  24 jam. – Bernama

  • Jangan korbankan negara hanya kerana perebutan kerusi

    Jangan korbankan negara hanya kerana perebutan kerusi

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PERTIKAIAN beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) antara Parti Pribumi Pribumi Malaysia (Bersatu) dan UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak harus menjadi punca yang semakin meretakkan hubungan dua parti itu.

    Sebaliknya Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Prof. Madya Dr. Mohd. Mazri Yahya berkata, satu formula penyelesaian perlu dicari bagi mengelak perebutan kerusi antara Bersatu dan UMNO dalam PRN Melaka.

    Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor berkata, pucuk pimpinan Bersatu dan UMNO perlu duduk berbincang mengenai perkara itu.

    “Jangan korbankan (kestabilan) negara hanya kerana beberapa kerusi. Bersatu dan UMNO perlu duduk bersama mencari formula (berkenaan pertikaian) beberapa kerusi yang menjadi pertikaian.

    “Perkara ini perlu dibincangkan bukan untuk kebaikan satu parti tetapi seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas Program Jelajah Ziarah Prihatin Perikatan Nasional (PN) Johor di Bandar Baru Uda, Johor Bahru, hari ini.

    Kelmarin, Presiden UMNO, Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiada kerjasama UMNO dengan Bersatu dalam PRN Melaka.

    Dr. Ahmad Zahid berkata, ini kerana selagi tiada perbincangan rasmi antara Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka dangan Biro Politik, maka belum ada keputusan terhadap kerjasama tersebut.

    Mengulas lanjut, Dr. Mohd Mazri yang juga Pengerusi Lajnah Kesihatan Pas Pusat berkata, pihaknya sentiasa terbuka untuk sebarang rundingan berkenaan kerjasama itu.

    “Pintu kita sentiasa terbuka untuk UMNO bekerjasama sehingga ke saat akhir (pilihan raya umum). Kerjasama ini bukan sahaja harapan ahli parti tetapi juga majoriti rakyat negara ini,” katanya.

    Sementara, Ketua Bahagian BERSATU Johor Bahru, Datuk Abu Bakar Ali berkata, semua pihak perlu menumpukan cara untuk menyelesaikan masalah rakyat terutama mereka yang hilang kerja akibat pandemik Covid-19.

    Beliau berkata, sekiranya mana-mana parti mahu berpolitik ketika ini, mereka perlu tunggu sehingga PRU-15 kerana itu merupakan masa yang paling sesuai.

    Mengenai program itu, beliau berkata, sebanyak 1,000 bungkusan barang basah mengandungi ayam, ikan dan sayur diberikan kepada lebih lebih 50 cawangan Bersatu, Pas dan Parti Gerakan di daerah ini.

  • Pahang tawar 2,000 baucar pelancongan diskaun hotel

    Pahang tawar 2,000 baucar pelancongan diskaun hotel

    KERAJAAN Pahang menawarkan Baucar Pelancongan Pahang berupa diskaun hotel menerusi aplikasi Pahang Go yang dibangunkan kerajaan negeri.

    Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, 2,000 baucar yang dihasilkan dengan kerjasama Tourism Pahang itu bertujuan merancakkan semula aktiviti pelancongan negeri yang suram selama hampir dua tahun akibat Covid-19, dan boleh ditebus di lebih 100 hotel bajet terpilih sekitar Pahang.

    “Baucar ini berdasarkan ketetapan ‘first come, first served‘ dengan pengguna boleh terus menebusnya di hotel bajet pilihan mereka. Ini diharapkan membantu pengusaha hotel terlibat memperoleh keuntungan melalui kehadiran pelanggan.

    “Pengguna boleh melihat senarai hotel yang mengambil bahagian di aplikasi Pahang Go dan menunjukkan baucar itu di kaunter hadapan semasa mendaftar masuk,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

    Mohd. Sharkar berkata penggunaan baucar itu juga dipertimbangkan untuk diteruskan apabila sempadan negeri dibuka yang dijangka dalam masa terdekat, bagi menarik lebih ramai memilih Pahang sebagai destinasi percutian.

    Beliau berkata Tourism Pahang bersedia menambah baik baucar berkenaan termasuk meningkatkan kuantitinya jika ia mendapat sambutan baik daripada masyarakat.

  • Penggunaan dos penggalak Comirnaty diberi kelulusan bersyarat – Dr Noor Hisham

    Penggunaan dos penggalak Comirnaty diberi kelulusan bersyarat – Dr Noor Hisham

    PIHAK Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) memberi kelulusan bersyarat bagi pemberian dos penggalak (booster dose) vaksin Covid-19, Pfizer BioNTech, bagi golongan berusia 18 tahun ke atas, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

    Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata, pemberian dos vaksin berkenaan akan dibuat sekurang-kurangnya selepas enam bulan dos kedua.

    Kementerian Kesihatan Kesihatan (KKM) katanya, ingin memaklumkan bahawa Mesyuarat PBKD kali ke-365 telah bersidang pada hari ini.

    “Mesyuarat telah memberi kelulusan bersyarat bagi pemberian dos penggalak (booster dose) vaksin COVID-19 Pfizer iaitu Comirnaty Concentrate for Dispersion for Injection (Comirnaty) keluaran Pfizer Manufacturing Belgium NV (Belgium) dan BioNTech Manufacturing GmbH, Germany, sekurang-kurangnya selepas enam bulan dos kedua untuk golongan berumur 18 tahun dan ke atas.

    “KKM ingin memaklumkan bahawa kelulusan pendaftaran bersyarat ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin ini dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa,” katanya.

    Jelasnya, ini bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) bagi vaksin tersebut kekal positif.

    “KKM juga sentiasa komited dalam mempertingkatkan akses kepada produk vaksin COVID-19 di Malaysia, dengan memastikan ia telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD,” katanya.

    Comirnaty merupakan vaksin Covid-19 pertama yang diluluskan bagi penggunaan dos penggalak di negara ini.

    Ia sebelum ini diluluskan pendaftaran bersyarat bagi penggunaan dalam kalangan individu berumur 12 tahun dan ke atas pada 15 Jun 2021.

  • 3 Januari dengar permohonan lucut hak harta keluarga Abdul Azeez

    3 Januari dengar permohonan lucut hak harta keluarga Abdul Azeez

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur pada hari ini menetapkan 3 Januari tahun depan untuk pendengaran permohonan kerajaan melucut hak hampir RM16 juta termasuk satu lot kedai daripada keluarga bekas Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

    Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh itu selepas pihak pemohon, responden dan penuntut bersetuju dengan tarikh berkenaan.

    Muhammad Jamil turut memerintahkan hujahan bertulis masing-masing difailkan dua minggu sebelum tarikh pendengaran.

    Pemohon dalam kes ini ialah kerajaan manakala responden merupakan isteri Abdul Azeez, Datin Seri Khadijah Mohd. Noor serta empat anak mereka, lapor Sinar Harian.

    Ini termasuk syarikat Azeera Management Consultants (M) Sdn Bhd sementara penuntut ialah Maybank Islamic Berhad.

    Prosiding pada hari ini dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Dona Liyanna Sabariah manakala semua responden diwakil peguam Sharin Raaj dan penuntut oleh peguam Choy Kay Chun.

    Berdasarkan senarai kausa dalam laman web e-pemfailan, kerajaan telah memulakan prosiding untuk melucut hak wang itu daripada akaun peribadi TH milik isteri Abdul Azeez dan empat anak mereka dan satu unit pejabat milik Azeera Management Consultants (M) Sdn. Bhd.

    Permohonan melucut hak itu difailkan pihak pendakwaan terhadap ahli keluarga Abdul Azeez pada September 2019 lalu manakala mereka memfailkan permohonan untuk penangguhan pada Januari lalu.

  • Harga baharu kit ujian Covid-19 dimuktamad November

    Harga baharu kit ujian Covid-19 dimuktamad November

    SATU paras harga baharu kit ujian kendiri Covid-19 akan dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

    Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, perkara itu akan dilaksanakan selepas beberapa faktor diperhalusi dan dimuktamadkan pada November.

    Kerajaan katanya, telah menerima maklum balas dari industri berhubung paras harga yang wajar dipertimbangkan supaya dapat menjamin bekalan mencukupi dan berterusan.

    “KPDNHEP sedang berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membolehkan lebih banyak premis yang menjual kit ujian kendiri seperti pasar raya.

    “Sudah ada premis yang bersetuju untuk menjual lebih rendah daripada paras harga yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ijni .

    Beliau berkata, pembukaan penjualan kit ujian pantas oleh pasar raya dijangka dapat dilaksanakan menjelang akhir Oktober ini.

    “Kementerian juga akan memantau harga dan persaingan kesan daripada peluasan penjualan kit ujian pantas selain daripada farmasi dan klinik,” katanya.

    Alexander berkata, terdapat lebih kurang enam juta kit ujian kendiri telah berada dalam pasaran.

    “Penetapan harga yang dilaksanakan oleh kerajaan pada 5 September lalu turut mengambil kira kos yang terlibat di dalam membawa masuk dan mengeluarkan kit tersebut,” katanya.

    Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak yang terlibat di dalam penjualan kit ujian kendiri memberikan kerjasama.

    “Usaha yang digembleng bersama ini juga diharap dapat membantu negara keluar daripada pandemik dan seterusnya menghidupkan semula pelbagai sektor di dalam negara termasuk sektor ekonomi domestik,” katanya.

  • 6.39 bilion dos vaksin Covid-19 disuntik seluruh dunia

    6.39 bilion dos vaksin Covid-19 disuntik seluruh dunia

    DATA terbaharu Johns Hopkins University (JHO) memaklumkan, China kini mendahului dengan lebih 2.21 bilion dos vaksin yang sudah didaftarkan.

    Jelas data tersebut, ini diikuti India sebanyak 931 juta dos manakala Amerika Syarikat dengan lebih 398 juta dos vaksin.

    Brazil catat lebih 245 juta dos sementara Jepun melebihi 170 juta dos.

    Manakala Turki, Jerman dan Mexico mencatat angka melepasi 100 juta dos.

    Di Asia Tenggara, Indonesia jauh di hadapan negara lain dengan 152 juta dos.

    Ini diikuti Thailand dengan lebih 57 juta, manakala Filipina dan Malaysia lebih 45 juta.

    Singapura pula dengan lebih 9 juta dos vaksin.

  • Pegawai sumber manusia maut, pemandu bas kilang direman hari ini

    Pegawai sumber manusia maut, pemandu bas kilang direman hari ini

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG lelaki maut selepas kereta dipandu merempuh pokok dalam kemalangan membabitkan bas kilang dan sebuah lagi kereta di Jalan Kulim-Baling, Ladang Bukit Salarong, dekat sini, semalam.

    Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, mangsa, Muhamad Syafiq Sariff, 33, yng bekerja sebagai pegawai sumber manusia sebuah syarikat meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan.

    Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazalee Adam berkata, mangsa yang berasal dari Parit Buntar, Perak itu tersepit dalam kereta yang remuk teruk selepas merempuh pokok dan anggota bomba dipanggil untuk memberi bantuan mengeluarkan mangsa.

    Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu bas kilang berusia 36 tahun yang datang dari Kulim Hi-Tech hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar kereta dipandu mangsa.

    “Pelanggaran itu turut menyebabkan sebuah lagi kereta dipandu seorang wanita berusia 24 tahun yang berada di belakang tidak sempat mengelak sebelum melanggar bahagian tepi kereta mangsa.

    “Akibatnya, kereta dipandu mangsa berpusing dan melanggar pokok di bahu jalan membuatkan dia tersepit dan meninggal dunia dalam kenderaannya yang remuk,” katanya dalam satu kenyataan.

    Sazalee berkata, pemandu bas yang berasal dari Pelabuhan Klang dan pemandu wanita yang bekerja sebagai eksekutif serta berasal dari Kilang Lama, di sini tidak mengalami kecederaan.

    “Mayat dihantar ke Hospital Kulim dan ujian saringan Covid-19 akan dilakukan sebelum proses bedah siasat.

    “Setakat ini, kita menahan pemandu bas kilang terbabit dan dia akan direman hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • 34 gelandangan, pengemis di Bandaraya JB dipindahkan

    34 gelandangan, pengemis di Bandaraya JB dipindahkan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MAJLIS Bandaraya Johor Bahru (MBJB) memindahkan 34 gelandangan dan pengemis di bandar raya ini ke Dewan Serbaguna Pusat Perlindungan Wanita Taman Perling di sini pada malam semalam.

    MBJB menerusi satu kenyataan memberitahu, mereka dikesan dalam Operasi Menyelamat Orang Papa (Gelandangan dan Pengemis) Fasa 3 di sekitar bandar raya ini yang bermula pukul 11 malam.

    “Kesemua individu berkenaan akan menjalani saringan menyeluruh daripada segi Covid-19, pemeriksaan kesihatan, penyalahgunaan bahan terlarang, rekod kendiri dan lain-lain lagi.

    Polis melakukan pemeriksaan seorang gelandangan dalam Operasi Menyelamat Orang Papa (Gelandangan dan Pengemis) di Bandaraya Johor Bahru

    “Setelah mendapat keputusan saringan berkaitan, mereka akan ditempatkan di dewan tersebut dan sebahagian daripada mereka akan diserahkan kepada agensi berkaitan,” menurut MBJB dalam kenyataan, hari ini.

    MBJB katanya, menyediakan peruntukan bagi memastikan golongan berkenaan yang ditempatkan di dewan itu berjalan lancar dan teratur.

    Jelas MBJB, peruntukan yang disediakan melibatkan pembaikan dan ubah suai bangunan, penyediaan keperluan peralatan pembersihan diri, keperluan bilik tidur dan tuala, perkhidmatan dobi, utiliti, perubatan serta elaun harian petugas.

    Gelandangan dipindahkan ke Dewan Serbaguna Pusat Perlindungan Wanita Taman Perling, Johor Bahru untuk sementara

    “MBJB memberi tumpuan sepenuhnya untuk menyelamatkan golongan gelandangan ini yang terdedah dan berisiko tinggi kepada jangkitan wabak Covid-19 selain memelihara kebajikan mereka.

    “Ini adalah usaha berterusan melindungi warga bandar raya dari wabak Covid-19 dan memelihara kebajikan setiap warga bandar raya. Program seumpama ini akan dijalankan dari masa ke semasa,” kata MBJB lagi.

    Operasi bersepadu itu disertai polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM).

    Dalam pada itu, MBJB memaklumkan, sehingga kini seramai 87 gelandangan di daerah ini telah diselamatkan.