Author: Admin

  • MOSTI terima 322 permohonan geran MySI: Dr Adham

    MOSTI terima 322 permohonan geran MySI: Dr Adham

    KEMENTERIAN Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerima sebanyak 322 permohonan geran Malaysia Social Innovation (MySI) 2021 sejak Januari sehingga bulan lepas, kata Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba.

    Beliau berkata, peruntukan sehingga RM300,000 bagi setiap permohonan ditawarkan bagi pembangunan aplikasi tempatan berinovatif sekali gus membantu meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

    “Pengkhususan yang diberi keutamaan (untuk geran ini) termasuk bidang tenaga, perniagaan, perkhidmatan kewangan, budaya, kesenian dan pelancongan, serta perubatan dan kesihatan.

    “Inisiatif ini juga mampu mewujudkan peluang pekerjaan baharu, meningkatkan produktiviti dan pendapatan komuniti terlibat dengan pulangan pelaburan yang terjamin,” katanya ketika berucap selepas melawat Tapak Projek Ternakan Moden Kelulut Modular Inovasi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kluang, hari ini.

    Beliau berkata, dari 2015 hingga tahun lepas, inisiatif MySI yang membabitkan dana berjumlah RM48 juta menerusi 234 projek aplikasi teknologi tempatan berinovatif, berjaya memanfaatkan hampir 100,000 penerima di seluruh negara.

    Untuk rekod, MySI merupakan antara usaha kerajaan mengetengahkan teknologi tempatan yang berinovatif dalam menangani isu-isu komuniti setempat.

    Penawaran dana itu juga sebagai usaha melonjakkan ekonomi negara daripada negara pengguna teknologi kepada pengeluar teknologi, selain menjadikan Malaysia sebagai negara berteknologi dan berpendapatan tinggi.

    Sementara itu, Dr Adham berkata, Projek Teknologi Bee-Modular-UTM yang berasaskan prinsip tanggungjawab sosial menerusi aplikasi Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE), telah memanfaatkan 100 komuniti B40 melalui ternakan kelulut yang lebih mampan, inovatif dan berkesan.

    Katanya, projek tersebut dijangka dapat menghasilkan pendapatan sehingga RM1,500 sebulan bagi setiap set modular sarang lebah, bergantung kepada hasil jualan produk mentah seperti madu dan produk hiliran. – Bernama

  • Kawasan 23.83 hektar di KL diisytihar Hutan Simpan Kekal

    Kawasan 23.83 hektar di KL diisytihar Hutan Simpan Kekal

    SEBUAH kawasan seluas 23.83 hektar di Mukim Petaling, Kuala Lumpur telah diisytiharkan sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK) baharu di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).

    Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan yang diedarkan hari ini berkata, Hutan Simpan Kekal tersebut akan dikenali sebagai Hutan Simpan Sungai Besi (Tambahan) melalui siaran Warta Kerajaan Persekutuan P.U.(B) 495/2021 bertarikh semalam.

    Beliau menjelaskan, pewartaan hutan itu adalah untuk menggantikan kawasan Hutan Simpan Bukit Sungei Puteh, mukim Cheras seluas 7.48 hektar yang diwarta keluar bagi pembangunan lebuh raya.

    Menurut beliau, HSK itu diwartakan sebagai hutan perlindungan dan dikelaskan sebagai hutan penyelidikan, hutan lipur dan hutan pelajaran di bawah Seksyen 45 Akta 313.

    “HSK di Wilayah Persekutuan terletak di bawah bidang kuasa Menteri Tenaga dan Sumber Asli selaras dengan Seksyen 2 dan Seksyen 114 (Jadual Kelima) Akta 313.

    “Ia juga dibaca bersama Perintah Wilayah Persekutuan Putrajaya (Ubah Suaian Akta Perhutanan Negara 1984) 2017 dan Perintah Wilayah Persekutuan Labuan (Ubah Suaian Akta Perhutanan Negara 1984) 2017.

    “Pengurusan Hutan Simpan Kekal di Wilayah Persekutuan dilaksanakan oleh Jabatan Perhutanan Wilayah Persekutuan,” katanya.

    Sebelum pewartaan ini, Takiyuddin berkata, HSK di Kuala Lumpur adalah seluas 68.27 hektar iaitu 0.28 peratus daripada keluasan tanah ibu negara yang meliputi Hutan Simpan Bukit Nanas (9.37 hektar), Hutan Simpan Sungei Puteh (14.51 hektar), Hutan Simpan Sungai Besi (42.29 hektar) dan Hutan Simpan Bukit Lagong Tambahan (2.10 hektar).

    Kata beliau, penggantian HSK secara serentak itu telah meningkatkan kawasan hutan di Kuala Lumpur kepada 0.35 peratus keluasan tanah keseluruhan.

    “Pewartaan ini juga mewujudkan kompleks Hutan Simpan Sungai Besi – Hutan Simpan Sungai Besi (Tambahan) seluas 66.12 hektar mewakili 78.13 peratus daripada keseluruhan kawasan HSK di Kuala Lumpur yang berperanan sebagai ‘jantung hijau’ bandar raya ini.

    “Proses pewartaan keluar dan penggantian HSK secara serentak yang berlaku ini adalah selaras dengan hasrat serta cadangan pindaan Akta 313 yang sedang diusahakan oleh kerajaan.

    “Proses ini juga merupakan manifestasi komitmen untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada kawasan tanah negara sebagai kawasan berhutan dan dilitupi pokok-pokok,” jelas beliau. 

  • Kerajaan jamin bekalan kit ujian Covid-19 mencukupi

    Kerajaan jamin bekalan kit ujian Covid-19 mencukupi

    KERAJAAN memberi jaminan bekalan kit ujian kendiri antigen Covid-19 di pasaran mencukupi untuk menampung permintaan yang dijangka meningkat susulan kebenaran rentas negeri yang akan diumumkan kerajaan beberapa hari lagi.

    Timbalan Menteri Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid memberitahu, ketika ini terdapat kira-kira enam juta kit ujian tersebut di pasaran.

    “Terkini kira-kira 28 syarikat pembekal diberikan lesen untuk mengilang dan mengedar kit ujian kendiri itu.

    “Jumlah ini dijangka akan bertambah dari semasa ke semasa dan sekaligus akan meningkatkan bekalan kit ujian kendiri antigen Covid-19 di pasaran,” katanya ditemui selepas merasmikan program Fun Ride di Kuala Berang, Hulu Terengganu hari ini.

    Katanya, daripada segi alat rakyat tidak perlu bimbang dan kerajaan sedang mengusahakan untuk membenarkan alat-alat itu bukan sahaja dijual di farmasi dan premis-premis perubatan, tetapi kita mahu dijual di pasar raya dan kedai runcit serta tempat yang mengikut syarat.

    “Ini akan menjadi satu kemudahan kepada masyarakat, pada anak sekolah dan pada keluarga,” katanya.

    Sebelum ini kerajaan menetapkan harga runcit maksimum kit ujian kendiri Covid-19 adalah RM19.90 manakala harga borong RM16.

    Penetapan harga tersebut dibuat selepas kerajaan mengambil kira keperluan rakyat.

  • 15 nelayan tempatan, asing ditahan positif dadah

    15 nelayan tempatan, asing ditahan positif dadah

    SERAMAI 15 nelayan tempatan dan asing ditahan dalam kerana didapati positif dadah ketika diperiksa dalam Ops Bersama di sekitar perairan Kuantan dan Kuala Rompin, Kuantan.

    Mereka yang terdiri daripada tujuh nelayan tempatan dan lapan nelayan asing berusia 20 hingga 46 tahun ditahan kerana positif dadah jenis methamphetamine.

    Ops Bersama itu dijalankan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pahang baru-baru ini.

    Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, semua nelayan tempatan yang ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah (Rawatan Dan Pemulihan)1983 pindaan 1988 diserahkan kepada pihak AADK untuk siasatan lanjut.

    “Nelayan asing diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

    Rata-rata nelayan yang ditahan memberi alasan terpaksa mengambil dadah untuk menghilangkan tekanan ketika bekerja di tengah laut.

    “Dalam operasi itu, sebanyak 14 bot nelayan tempatan dengan 71 orang nelayan tempatan dan nelayan asing serta lapan pekerja kapal pengangkut pasir diperiksa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Amran berkata, operasi melibatkan sembilan pegawai dan 28 anggota itu dijalankan dalam dua siri pada 29 hingga 30 September di sekitar perairan Kuantan dan pada 7 Oktober lalu di sekitar perairan Kuala Rompin.

    “Sebuah bot ronda dan Kapal Maritim (KM) Tatau juga digerakkan dalam operasi itu bagi membanteras kegiatan penagihan dan penyalahgunaan dadah dalam kalangan komuniti maritim di sekitar perairan Pahang di samping mencegah aktiviti jenayah maritim lain,” katanya.

    Sementara itu, beliau berkata, Maritim Malaysia mengalu-alukan operasi bersama agensi penguatkuasa lain pada masa hadapan terutama yang melibatkan operasi memantau dan mencegah aktiviti yang menyalahi undang-undang di laut.

    “Sebarang maklumat berkaitan kejadian kecemasan dan kegiatan jenayah di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999,” katanya.

  • Individu belum lengkap vaksin tangguh balik Kelantan – MB

    Individu belum lengkap vaksin tangguh balik Kelantan – MB

    MENTERI Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menasihatkan rakyat negeri itu di perantauan yang belum lengkap vaksin Covid-19 supaya menangguhkan perancangan untuk pulang ke kampung apabila rentas negeri dibenarkan dalam masa terdekat ini.

    Beliau berkata, walaupun rindu berjumpa dengan ibu bapa, keluarga dan saudara mara, apa yang lebih penting adalah melengkapkan terlebih dahulu dua dos suntikan vaksin.

    “Selain itu, mereka juga disaran melakukan saringan melalui kit ujian kendiri Covid-19 sebelum pulang selain memastikan tidak bergejala.

    “Sekiranya bergejala, saya mohon jangan balik lagi dan bertenang dahulu serta patuh prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mencegah penularan pandemik COVID-19,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Kelantan di Kompleks Belia Dan Sukan Negeri Kelantan, Panji, Kota Bharu, hari ini.

     Ahmad Yakob (kanan) melakukan gimik pelancaran Hari Sukan Negara 2021 peringkat Kelantan di Kompleks Belia dan Sukan, Panji, Kota Bharu, hari ini. 

    Katanya, kadar vaksinasi di Kelantan masih rendah disebabkan ramai rakyat negeri itu berada di luar tetapi beralamat di negeri itu.

    Ahmad berkata, kemungkinan mereka sudah mendapatkan dua dos suntikan vaksin.

    “Jadi ini yang mungkin menyebabkan kadar vaksinasi di Kelantan tidak sepantas negeri lain sedangkan kita sebenarnya sudah berusaha memberi suntikan vaksin kepada rakyat di negeri ini melalui program Outreach dan juga Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

    “Sehingga hari ini, kita sudah mencapai 79 peratus kadar vaksinasi dan ini bermakna hasrat dan sasaran kerajaan untuk mendapatkan 80 peratus kadar vaksinasi pada pertengahan Oktober ini akan dapat dicapai,” katanya.

  • 46 maut dalam serangan bom di masjid di Afghanistan

    46 maut dalam serangan bom di masjid di Afghanistan

    SERANGAN bom di sebuah masjid Syiah di bandar Kunduz,  Afghanistan meragut sekurang-kurangnya 46 nyawa pada Jumaat. 

    Kejadian berlaku di Masjid Seyedabad kira-kira 1.30 tengah hari waktu tempatan (0900 GMT), lapor Agensi Anadolu.

    Ketua Jabatan Penerangan dan Kebudayaan Kunduz, Matiullah Rouhani berkata, letupan itu mengorbankan sekurang-kurangnya 46 nyawa manakala 143 yang lain cedera.

    Jurucakap Taliban Zabihullah Mujahid menerusi Twitter berkata ramai mangsa terbunuh dan cedera oleh serangan “pemberontak” itu.

    Beliau turut mengecam tindakan keji itu serta berjanji akan mencari pelakunya dan membawanya ke muka pengadilan. 

    Sementara itu, kumpulan pengganas Daesh/ISIS dalam satu kenyataan mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

    Pada Ahad, sekurang-kurangnya lapan terbunuh dan 20 yang lain cedera selepas sebutir bom meletup berhampiran pintu masuk Masjid Eidgah di Kabul. – Bernama

  • Jurujual rugi RM21,000 ditipu ‘pegawai polis, LHDN’

    Jurujual rugi RM21,000 ditipu ‘pegawai polis, LHDN’

    SEORANG jurujual di Jerantut mengalami kerugian sebanyak RM21,000 apabila wang simpanannya lesap ditipu individu yang menyamar sebagai pegawai polis dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa, 59, didakwa membuat pembayaran ke akaun yang diberikan sindiket penipuan itu selepas diperdaya kononnya dia mempunyai tunggakan cukai syarikat.

    Katanya, lelaki itu dikatakan mendapat panggilan telefon pukul 12.55 tengah hari daripada individu yang mendakwa dirinya sebagai pegawai LHDN dengan memperkenalkan diri sebagai James David pada Khamis lalu.

    “Melalui panggilan berkenaan, individu itu memaklumkan bahawa mangsa mempunyai tunggakan cukai syarikat berjumlah RM58,509.82 yang tidak dibayar selama enam bulan yang didaftarkan atas nama mangsa di Kota Bharu, Kelantan.

    “James memberitahu untuk selesaikan perkara itu, lelaki itu perlu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan selain perlu menghubungi dan bercakap dengan seorang lelaki dikenali dengan Asisten Komisioner Datuk Mohd Nizam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mohd. Wazir berkata, dalam perbualan tersebut, lelaki itu memberitahu mangsa bahawa syarikat yang didaftarkan atas nama mangsa terlibat dengan sindiket penggubahan wang haram dan sindiket dadah.

    Menurutnya, mangsa yang mengakui tidak pandai berurusan secara dalam talian kemudiannya dibimbing oleh ‘pegawai polis’ terbabit dan terus bercakap hingga sampai ke sebuah bank di Jerantut.

    “Pada pukul 3.35 petang hari sama (Khamis) semasa berada di bank terbabit, mangsa telah memasukkan wang berjumlah RM21,000 selepas diarahkan oleh ‘pegawai polis’ itu ke dalam satu akaun bank CIMB.

    “Semasa sampai di rumah, perbualan mereka terputus namun tidak disyaki oleh mangsa sebelum keesokan hari (Jumaat), mangsa berasa tidak sedap hati dan ingin membuat semakan di bank,” katanya.

    Tambahnya, semakan di bank tersebut mendapati ada transaksi wang sebanyak RM21,000 daripada akaun mangsa ke satu nombor akaun yang tidak pasti.

    “Mangsa yang berasa dirinya telah ditipu kemudiannya membuat laporan polis,” ujarnya dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

  • Covid-19: Nilai R-naught kekal 0.86 tiga hari berturut-turut

    Covid-19: Nilai R-naught kekal 0.86 tiga hari berturut-turut

    KADAR kebolehjangkitan Covid-19 atau R-naught (R0) di Malaysia kekal pada nilai yang sama iaitu pada paras 0.86 selama tiga hari berturut-turut.

    Pada masa sama, sebanyak 12 negeri mencatatkan kadar kebolehjangkitan melebihi purata kebangsaan.

    Putrajaya mencatatkan R-naught tertinggi dengan 1.11, diikuti Perlis (1.08), Negeri Sembilan (0.99), Terengganu (0.98), Melaka (0.97), Kelantan (0.97), Pahang (0.95), Kuala Lumpur (0.88), Sarawak, Perak, Kedah dan Selangor (masing-masing 0.87).

    Sementara itu, Pulau Pinang (0.83), Johor (0.82) dan Sabah (0.82) mencatat R-naught di bawah purata kebangsaan, Labuan pula merekodkan dua kes baharu Covid-19.

    Kadar kebolehjangkitan terendah yang pernah direkodkan tahun ini ialah 0.81 pada 3 Mac dan yang tertinggi 1.21 pada 23 Mei.

    Nilai R-naught merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.

  • Ringgit dijangka kukuh dalam jajaran ketat minggu hadapan

    Ringgit dijangka kukuh dalam jajaran ketat minggu hadapan

    RINGGIT dijangka mengukuh tetapi bergerak dalam jarak yang ketat antara 4.1700 dan 4.1800 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu hadapan berdasarkan sentimen pasaran yang bercampur-campur, kata seorang penganalisis.

    Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kenaikan harga komoditi akan membantu menyokong ringgit memandangkan ekonomi negara akan mendapat keuntungan daripada harga minyak mentah, gas asli cecair dan minyak sawit mentah yang lebih tinggi.

    “Bagaimanapun, situasi di China yang berkaitan dengan isu pasaran hartanahnya termasuk perkembangan geopolitik antara AS dan China dalam kaitannya dengan Taiwan cenderung memberi tekanan ke atas pasaran mata wang baru muncul,” katanya kepada Bernama.

    Oleh itu, beliau berpendapat pelabur biasanya akan mencari perlindungan dalam mata wang komoditi selamat.

    Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd melaporkan ringgit mungkin mengumpulkan beberapa momentum dan kenaikan berbanding dolar AS dalam waktu terdekat berdasarkan keyakinan pada pembukaan semula ekonomi Malaysia, walaupun siling hutang AS mampu mencetuskan beberapa permintaan untuk komoditi selamat.

    “Selanjutnya, mulai November dan seterusnya, arah ringgit akan dipengaruhi oleh faktor luaran seperti pengumuman Rizab Persekutuan, ketidaktentuan ekonomi China, hubungan perdagangan AS-China dan situasi Covid-19 global,” katanya.

    Sepanjang minggu ini, ringgit kebanyakannya lebih tinggi berbanding dolar AS disebabkan peningkatan sentimen ke atas mata wang tempatan dan sentimen pelabur yang berhati-hati menjelang pengeluaran data gaji bukan ladang AS pada Jumaat.

    Secara mingguan, ringgit naik 20 mata asas (bps) kepada 4.1750/1800 berbanding dolar AS pada Jumaat daripada 4.1770/1810 seminggu sebelumnya.

    Unit tempatan itu didagangkan bercampur-campur dengan mata wang utama yang lain.

    Ia meningkat berbanding euro kepada 4.8292/8350 daripada 4.8361/8408 dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.7320/7368 daripada 3.7580/7616.

    Bagaimanapun, ringgit merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0771/0810 daripada 3.0756/ 0788 dan turun berbanding pound Britain kepada 5.6880/6948 daripada 5.6373/6427. – Bernama

  • PM lancar tiga inisiatif baharu hala tuju sukan negara

    PM lancar tiga inisiatif baharu hala tuju sukan negara

    KERAJAAN melancarkan tiga inisiatif baharu iaitu Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan, Program Talent Identification and Development (MyTID KPM-KBS) dan Pelan Tindakan Industri Sukan Negara sempena Hari Sukan Negara 2021 hari ini.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, itu adalah sebahagian daripada hala tuju perancangan dan pembangunan sukan yang sedang dibentuk oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Visi Sukan Negara 2030.