Author: Admin

  • Pulang balik duit pakej umrah – Idris Ahmad

    Pulang balik duit pakej umrah – Idris Ahmad

    AGENSI pelancongan yang mengendalikan pakej umrah perlu segera memulangkan semula wang yang telah dibayar bakal umrah yang terkandas akibat pendemik COVID-19 tahun lalu susulan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan Arab Saudi.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad berkata bagaimanapun, bayaran pulangan tidak semestinya 100 peratus kerana mengambil kira kos pengurusan yang telah dibayar kepada pihak ketiga.

    “Pembatalan itu bukan disebabkan salah mereka namun SOP yang ditetapkan oleh Arab Saudi. Agensi atau syarikat terbabit menerima wang mereka ini, dapat membuat pembayaran semula kepada jemaah yang tidak dapat menunaikan umrah,” katanya dalam sidang media selepas majlis penyampaian Musaadah Banjir Sekolah Rendah Islam Bistari Darul Mulkan di Jalan Kuala Sepetang dekat Matang, Bukit Gantang, hari ini.

    Sebelum ini kerajaan Arab Saudi menetapkan syarat umur 18 hingga 60 tahun, berikutan itu ramai bakal umrah berusia lebih 60 tahun di Malaysia yang telah mendaftar tahun lalu, tidak dapat menunaikan ibadah umrah biarpun pembayaran telah dibuat.

    Idris berkata agensi pelancongan yang mengendalikan pakej umrah dinasihatkan memahami konsep muamalat atau bertolak ansur dalam Islam.

    Menurutnya, bagi agensi atau syarikat pelancongan yang culas atau enggan membayar semula wang jemaah tersebut, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) disaran campurtangan dalam soal tuntutan dan tindakan berikutan agensi atau syarikat pelancongan terletak di bawah bidang kuasa mereka.

    Ditanya mengenai SOP umrah oleh kerajaan Malaysia, Idris menegaskan ia akan diumum tidak lama lagi.

    “Kami telah mesyuarat semalam namun saya tidak dapat mengumumkannya kerana ia melibatkan dasar. Insya-Allah perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.

    Dalam pada itu, Idris berkata mana-mana pegawai yang didapati melakukan penyelewengan di 14 agensi di bawah Bahagian Agama di Jabatan Perdana Menteri akan dipecat serta-merta.

    Jelasnya, tindakan tegas itu diambil kerana pihaknya tidak akan berkompromi dengan mereka yang tidak amanah dan tidak berintegriti dalam menjalankan tugas bagi membantu umat Islam malahan pegawai yang terbabit dengan penyelewengan dan amanah tidak perlu disimpan.

    “Semua 14 agensi di bawah saya akan bertemu pada setiap Isnin bagi melaporkan apa yang mereka laksanakan. Saya telah melantik seorang pegawai untuk mengendalikan pemantauan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) di setiap agensi dan KPI 100 hari kementerian,” katanya.

    Terdahulu, Idris berkata bantuan sebanyak RM50,000 dari Yayasan Taqwa kepada sekolah itu bagi meringankan beban yang mereka hadapi akibat banjir pada 18 hingga 2O Ogos lalu. – Bernama

  • Parti Kuasa Rakyat pimpinan Abang PM dilancar esok

    Parti Kuasa Rakyat pimpinan Abang PM dilancar esok

    PARTI Kuasa Rakyat yang diterajui abang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual dilancarkan di ibu negara esok.

    Memetik laporan BH Online, Kamarazaman Yaakob yang diberi jolokan ‘Bung Kamara’ akan bertindak selaku Presiden Penaja Parti Kuasa Rakyat.

    Parti tersebut yang berteraskan perjuangan rakyat marhaen, alam sekitar, keadilan sosial dan hak asasi manusia itu juga difahamkan telah mengadakan libat urus pertama bagi tujuan pendaftaran dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

    Setiausaha Agung Penaja Parti Kuasa Rakyat, Dr. Helmi Ibrahim memaklumkan, parti itu ditubuhkan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kerana pergerakan politik lain didakwa gagal membawa aspirasi membela masyarakat marhaen.

    Pada masa sama, kata Helmi, penubuhan parti itu bagi memecah dominasi parti politik di negara ini yang dilihat lebih dikuasai golongan pemimpin elit.

    “Kalau kita lihat parti politik sekarang, tiada yang boleh kita namakan khusus untuk perjuangkan golongan marhaen, justeru kebanyakan didominasi kumpulan elit politik.

    “Oleh itu, Parti Kuasa Rakyat ditubuhkan, dengan mengutamakan kepentingan rakyat, mesra golongan muda dan memberi penekanan terhadap isu alam sekitar.

    “Parti ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia, berbilang kaum, malah kita beri penghormatan kepada Sabah dan Sarawak, dengan memperuntukkan kerusi timbalan dan naib presiden dalam kalangan kepemimpinan Sabah serta Sarawak.

    “Pada masa sama, kita mempunyai fakulti pemikiran sendiri dan tidak sekadar mendambakan kuasa. Ada perkara teras yang kita perjuangkan,” katanya, hari ini.

    Rabu lalu, media laporkan Kamarazaman akan menubuhkan sebuah parti politik baharu dengan sekumpulan pengasas telah mengadakan mesyuarat sejak dua bulan lalu termasuk beberapa individu dari Sabah, Sarawak dan ramai ahli politik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

    Kamarazaman merupakan bekas Presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (UMSU), salah seorang peserta demonstrasi Baling 1974 untuk membantah kemerosotan harga getah.

    Beliau kemudian ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang sudah dimansuhkan bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim.

  • PN Melaka akur jika PRN ditangguhkan

    PN Melaka akur jika PRN ditangguhkan

    PERIKATAN Nasional (PN) Melaka percaya kerajaan akan membuat pertimbangan terbaik sebelum mengambil sebarang keputusan, termasuk mengisytiharkan proklamasi darurat di negeri itu.

    Pengerusinya, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, pihaknya akan akur sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) terpaksa ditangguhkan berikutan terdapat kebimbangan penularan jangkitan COVID-19.

    Beliau berkata, segala keputusan yang akan dibuat kerana sudah tentu mengambil kira faktor kesihatan dalam tempoh pandemik Covid-19.

    “Saya yakin bahawa semua pertimbangan itu akan mengambil kira laporan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) memandangkan kepentingan rakyat harus mengatasi kepentingan politik.

    “Bagi menghormati proses demokrasi dan perlembagaan negeri, sekiranya kerajaan memutuskan untuk mengadakan juga PRN, PN Melaka akan tetap menyertainya,” katanya selepas program Hari Sukan Negara peringkat negeri di Serkam, Jasin, hari ini.

    Dalam pada itu, mengulas kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan parti itu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu sekiranya PRN diadakan, Mohd. Rafiq yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka akur dengan keputusan itu.

    “Kita, Bersatu dan PN, akur dengan Presiden UMNO yang mengatakan tidak akan bekerjasama dengan kita. Namun, kita (PN) tidak bersendirian.

    “Dalam PN ada gabungan lima parti dan di peringkat Semenanjung ada tiga buah parti iaitu Bersatu, Pas dan Gerakan.

    “Jadi, kita sentiasa menjalinkan kerjasama yang erat antara ketiga-tiga parti komponen ini,” tambahnya.

    Semalam, Perdana Menteri. Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan membuat keputusan minggu depan, sama ada akan menasihatkan Pemangku Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat di Melaka bagi menangguhkan PRN.

    Beliau berkata. Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam proses mendapat taklimat daripada beberapa pihak berhubung perkara berkenaan, sebelum membuat keputusan.

  • KJ buat lawatan mengejut ke HTJ Seremban

    KJ buat lawatan mengejut ke HTJ Seremban

    MENTERI Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini meluangkan masa bagi mengadakan lawatan mengejut di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban.

    Menurut perkongsian salah seorang petugas HTJ, Ahli Parlimen Rembau itu difahamkan meluangkan hampir satu jam di hospital itu.

    Difahamkan beliau melawat beberapa wad dan sempat berbual dengan para doktor, terutama doktor-doktor kontrak bagi mendengar aduan mereka.

    Berdasarkan beberapa video yang dikongsikan oleh petugas hospital, Khairy dilihat bertanya tentang situasi menangani Covid-19 di hospital berkenaan.

    Menurut akaun rasmi Khairy di Twitter, beliau turut mengadakan lawatan ke Pusat Perubatan Mawar, sebuah hospital swasta di Seremban.

    Khairy sebelum ini turut pernah mengadakan lawatan mengejut di Hospital Kajang pada September lalu.

    Lawatan tersebut menjadi topik perbualan netizen yang rata-rata memuji tindakannya untuk meninjau sendiri keadaan di hospital tanpa protokol dan sambutan besar-besaran.

  • Kemelut politik Melaka tidak patut berlaku, namun PN tetap bersedia – Azmin

    Kemelut politik Melaka tidak patut berlaku, namun PN tetap bersedia – Azmin

    AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kesal dan menyifatkan kemelut yang melanda Melaka, sehingga mengakibatkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) minggu lalu, tidak sepatutnya berlaku.

    Beliau yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu berkata, pergolakan tersebut tidak sepatutnya terjadi pada saat kerajaan sedang berusaha membuka kembali sempadan negeri dalam keadaan yang selamat dan memulihkan sektor pelancongan.

    Bagaimanapun katanya, sebagai kerajaan bertanggungjawab, Kabinet akan membuat keputusan berlandaskan Perlembagaan Negeri, Persekutuan, dan mengikut lunas perundangan yang sesuai.

    “Walaupun dah ada tanda positif yang semakin baik, tetapi kita masih lagi bergelut dengan masalah ini. Kita tak mahu ada sudden spike kerana wujudnya pilihan raya negeri.

    “Sebab itu kita melihat, perkara ini tidak sepatutnya berlaku dalam keadaan rakyat masih lagi berhadapan dengan pandemik, dan kita harus ingat Melaka ini negeri pelancongan.

    “Kita baru saja nak buka sempadan untuk pulihkan sektor pelancongan, dan saya bimbang perkara ini akan mengganggu (usaha pembukaan sempadan dengan selamat),” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Iltizam Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ahmad Razali dan menyampaikan bantuan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) kepada penduduk, di Kuala Lumpur, hari ini.

    Mengulas lanjut, Azmin yang juga Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) berkata, Bersatu dan PN akan membuat persediaan seandainya pilihan raya negeri tidak dapat dielakkan.

    “Sekiranya keputusannya untuk mengadakan pilihan raya negeri, sebagai sebuah parti politik, sudah tentu kita harus bersedia, dan kita mahu jalinan kerjasama yang wujud selama hampir dua tahun ini dipertahankan.

    “Kerana rakyat ingin lihat perpaduan, rakyat ingin lihat permuafakatan yang erat. Dan hanya dengan perpaduan dan kerjasama erat ini, kita dapat mengatasi masalah pandemik dan juga pemulihan ekonomi,” katanya.

  • Jangan rentas negeri selagi tidak dibenarkan

    Jangan rentas negeri selagi tidak dibenarkan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SAMA ada penduduk di Kedah atau Perlis, kedua-duanya dinasihatkan supaya tidak merentas negeri secara haram bagi memastikan penularan Covid-19 dapat dikawal di dua negeri paling utara dalam semenanjung tanah air itu.

    Menurut Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor, arahan kerajaan yang masih tidak membenarkan kegiatan rentas negeri perlu terus dipatuhi supaya tidak berlaku penularan yang mungkin sukar untuk dikawal.

    Begitu pun katanya, beliau setakat ini tidak menerima laporan menyatakan bahawa penularan Covid-19 di kedua-dua negeri berpunca daripada kegiatan rentas secara haram.

    “Kita pun tak pasti kerana cuma baca perkara itu dari akhbar dan tak dapat laporan rasmi. Tetapi kalau benar berlaku, kita harap mereka yang buat demikian agar hentikanlah.

    “Orang Kedah usah ke Perlis dan penduduk Perlis pun jangan datang ke Kedah hingga rentas negeri dibenarkan nanti. Kalau masuk ke salah satu negeri ini sekarang dan dijangkiti, lalu pulang ke negeri masing-masing, tak mustahil berlaku penularan dua hala menyebabkan keadaan menjadi lebih sukar dikawal,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Hari Sukan Negara 2021 peringkat negeri Kedah di Dataran Pantai Chenang di Langkawi, hari ini.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah sebelum ini dilaporkan berkata, aktiviti rentas negeri secara haram menjadi punca jangkitan harian COvid-19 di Perlis melonjak hingga 200 kes pada Khamis lalu.

    Menurut laporan sebuah akhbar tempatan, Noor Hisham turut tidak menolak kemungkinan individu tidak bertanggungjawab tersebut memasuki Perlis melalui jalan tikus bagi mengelak sekatan jalan raya.

  • Lelaki mabuk pandu lawan arus di Kerinchi Link ditahan

    Lelaki mabuk pandu lawan arus di Kerinchi Link ditahan

    SEORANG lelaki yang dipercayai mabuk dan memandu secara melawan arus di kilometer 6.5 Kerinchi Link dari arah Plaza Tol A ke Plaza Tol B di Kuala Lumpur ditahan pada awal pagi tadi.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, lelaki berusia 33 tahun itu ditahan polis bantuan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP)-Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint) sekitar pukul 1.15 pagi.

    “Suspek memandu sebuah kenderaan jenis Proton Saga berwarna emas secara melawan arus dari arah Plaza Tol A ke Plaza Tol B dengan jarak sejauh kira-kira 50 meter.

    “Suspek disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol. Anggota polis yang melakukan tugas rondaan kawasan tanggung jawab di Lebuhraya LDP-Sprint telah membawa suspek dan kenderaannya ke Balai Polis Jalan Tun H.S Lee,” katanya ketika dihubungi.

    Sarifudin berkata, keputusan ujian pernafasan atau Evidential Breath Analyzer (EBA) terhadap suspek menunjukkan terdapat sebanyak 254 miligram alkohol dalam 100 mililiter darah.

    Tambahnya, suspek ditahan di bawah Seksyen 28A Kanun Tatacara Jenayah.

    “Kita buka siasatan di bawah Seksyen 45(a) dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • Perak dijangka tutup 25 PPV hujung bulan ini

    Perak dijangka tutup 25 PPV hujung bulan ini

    KESEMUA 25 pusat pemberian vaksin (PPV) awam di Perak dijangka akan ditutup sepenuhnya penghujung bulan ini, kata Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Mohd Akmal Kamarudin.

    Beliau berkata, keputusan itu dibuat oleh Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) selepas mengambil kira kadar vaksinasi lengkap bagi dewasa akan mencapai sasaran 80 peratus tidak lama lagi selain kurangnya kehadiran penerima vaksin di PPV.

    “Setakat hari ini, sebanyak sembilan PPV awam telah ditutup sejak 1 Oktober lepas antaranya PPV Dewan Merdeka Lenggong, Dewan Bandaran Kinta Batu Gajah, Dewan Serbaguna, Dewan Tan Sri Ghazali Jawi Slim River serta Dewan Besar Felcra Seberang Perak dan PPV terakhir yang akan ditutup ialah PPV Stadium Indera Mulia di Ipoh.

    “Bagaimanapun bagi mereka yang belum melengkapkan dos kedua boleh pergi ke klinik atau hospital berhampiran dengan tempat tinggal selain kami akan mempergiatkan program outreach ke merata tempat,” katanya.

    Mohd Akmal berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program pengumpulan minyak masak terpakai di Pondok Raudatul Muttaqin,
    Malim Nawar, Kampar, hari ini.

    Dalam perkembangan lain, Mohd Akmal berkata, pihaknya akan mempergiatkan lagi kempen pengumpulan minyak masak terpakai di setiap daerah bagi mengurangkan bahan itu daripada dibuang begitu sahaja ke dalam sistem perparitan awam dan sungai.

    “Minyak masak terpakai ini boleh diproses menjadi biodiesel, syampu, sabun atau lilin sekali gus mampu menjana pendapatan,” katanya. – Bernama

  • Kejayaan budak 8 tahun kumpul sumbangan RM7,000 dipuji Sultan Johor

    Kejayaan budak 8 tahun kumpul sumbangan RM7,000 dipuji Sultan Johor

    UMURNYA baru 8 tahun, tetapi itu tidak menjadi penghalang bagi Krishh Haran Nair untuk mengumpulkan sejumlah RM7,000 untuk disumbangkan kepada Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) sekaligus menjadikan dia penyumbang termuda buat yayasan berkenaan.

    Kejayaan Krishh itu telah menarik perhatian serta pujian Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

    Sultan Ibrahim menzahirkan kekagumannya dengan bertitah bahawa tindakan kanak-kanak itu adalah satu inspirasi buat masyarakat dan boleh dijadikan contoh ikutan.

    “Saya berasa berbangga dengan kanak-kanak lelaki ini dan ibu bapa mereka kerana telah membesarkan seorang anak yang cerdik dan baik hati.

    “Kamu adalah inspirasi kepada orang lain dan seharusnya menjadi ikutan ramai. Saya berterima kasih dengan usaha yang kamu lakukan untuk membantu orang lain yang memerlukan,” titahnya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Krishh menghabiskan tempoh satu bulan untuk menulis kisah ringkas bertajuk ‘A Mysterious War to the Deep’ yang merupakan satu tugasan atas talian diberikan oleh gurunya, Alicia Bailey.

    Hasilnya kemudian ditukarkan dalam format e-buku dan juga versi cetakan dengan bantuan ibu bapanya selepas dia memaklumkan mahu menjual karya berkenaan untuk mengutip wang bertujuan untuk menyumbang kepada pihak memerlukan.

    Bapa kanak-kanak itu, N. Ramakrishnan berkata, anaknya sentiasa mempunyai perasaan belas ihsan kepada golongan yang kurang bernasib baik.

    “Semasa kecil, dia selalu meminta kami membantu golongan gelandangan dan akan menangis sehinggalah kami melakukan sesuatu untuk membantu,” katanya.

  • 8,743 kes hari ini, turun lebih 1,000 jangkitan berbanding semalam

    8,743 kes hari ini, turun lebih 1,000 jangkitan berbanding semalam

    ANGKA jangkitan Covid-19 pada hari ini menurun lebih 1,000 jangkitan berbanding semalam apabila sebanyak 8,743 kes baharu dilaporkan di seluruh negara.

    Angka tersebut menjadikan hari ini genap seminggu berturut-turut kes berada di bawah paras 10,000 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes positif setakat hari ini adalah sebanyak 2,332,221 kes.

    Bagaimanapun, buat pertama kalinya Dr. Noor Hisham tidak memberi pecahan dan perincian jumlah kes mengikut negeri seperti kebiasaan.

    Sebaliknya, beliau menyatakan bahawa maklumat terperinci mengenai kes harian terbaharu Covid-19 akan dimuat naik ke laman web yang dikendalikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu COVIDNOW.

    Sehingga artikel ini ditulis, pecahan mengikut negeri masih belum dikongsi dalam laman web tersebut.

    Terdahulu sebanyak 9,751 kes dilaporkan di seluruh negara pada Jumaat dengan Selangor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 1,796 jangkitan dan diikuti Sarawak dengan 1,339 kes, Kelantan (1,052) dan Johor (864 kes).

    Jangkitan COVID-19 mula menurun ke paras empat angka sejak hari Ahad lalu dengan 9,066 kes.