Author: Admin

  • Lelaki mengamuk cederakan jiran, pecahkan cermin kereta

    Lelaki mengamuk cederakan jiran, pecahkan cermin kereta

    IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Setar menahan seorang lelaki selepas disyaki melakukan perbuatan khianat dan mencederakan jirannya di kawasan perumahan Bee Bee Park, Alor Setar semalam.

    Suspek warga tempatan, 52, ditahan sekitar pukul 7.50 malam selepas mangsa berusia 46 tahun membuat laporan polis pukul 2.09 petang di Balai Polis Alor Setar.

    Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, suspek didakwa mencederakan mangsa dan memecahkan cermin kereta serta perkakas perniagaan iaitu rak cermin dan peti ais tiga pintu.

    “Polis turut merampas sebiji batu bata berwarna kelabu serta sebatang besi berwarna coklat sepanjang 75 sentimeter yang disyaki digunakan oleh suspek dalam kejadian berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 323/427 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan melakukan khianat.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian terbabit juga diminta berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Syazwani Sazali,” katanya.

  • 2 OKU buta bakal cipta rekod ekspedisi kayak, catat nama dalam MBOR

    2 OKU buta bakal cipta rekod ekspedisi kayak, catat nama dalam MBOR

    DUA anak muda cacat penglihatan bakal mecipta nama dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) apabila menjadi orang kelainan upaya (OKU) pertama menyertai Ekspedisi Dayungan Duo sempena Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Sungai Perak pada 5 November ini.

    Khairruddin Mazli, 30, dan Muhamad Shahrizal Ismail, 24, akan merentasi sungai sejauh 22 kilometer bermula dari Kem Intan Suraya, Sungai Siput dan berakhir di Jambatan Victoria, Karai di Kuala Kangsar.

    Kedua-dua mereka adalah peserta kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) OKU refleksologi di bawah pemantauan Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) telah memulakan latihan fizikal sejak sebulan lalu menerusi bimbingan Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kampar, Yusnizan Md. Yusof dan pendayung solo negara, Nur Adilla Abu Hassan.

    Khairruddin yang mengalami cacat penglihatan sejak berusia 17 tahun mengakui suka mencabar diri melakukan aktiviti sukan sama seperti individu normal lain.

    “Saya yang pernah menyertai pasukan bola sepak paralimpik negara tidak berdepan kesukaran menjalani latihan insentif dalam air dan gimnasium sebagai persediaan misi dayungan itu.

    “Mula-mula sahaja macam susah, tetapi bila dah selalu berlatih jadi dah biasa. Sekarang nak pegang pedal dan cara dayungan pun dah tahu.

    “Sempena sambutan Hari Sukan Negara yang lepas, saya ada dijemput ke Pulau Langkawi untuk sertai ekspedisi kayak di sana, jadi secara tak langsung membuatkan saya lebih yakin untuk menghadapi misi kali ini,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

    Anak keempat daripada enam beradik yang menetap di Meru Raya, Ipoh itu berkata, latihan dijalankan setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari untuk latihan kayak dan sesi petang bagi latihan ketahanan fizikal di gimnasium.

    “Misi kali ini memang agak sukar kerana hanya membabitkan dua peserta sahaja, tetapi kami yakin mampu lakukannya, doakan kami berjaya,” katanya.

    Muhamad Shahrizal yang cacat penglihatan sejak lahir menganggap misi dayungan ini sebagai platform membuktikan kemampuan diri supaya dapat dijadikan contoh kepada OKU lain.

    Anak sulung daripada tujuh beradik itu sebelum ini belum pernah menyertai mana-mana aktiviti sukan dan hanya aktif dalam perniagaan menjual kuih loyang dan membuka pusat refleksologi sendiri di Batu Kurau.

    “Keluarga amat menyokong penyertaan saya dalam aktiviti kayak ini, walaupun ada yang risau dengan keadaan diri saya, tetapi mereka tetap beri semangat.

    “Jurulatih sangat memahami kekurangan kami dan sedaya upaya memberi tunjuk ajar yang terbaik. Alhamdulillah, saya semakin bersedia untuk berdepan misi ini,” katanya.

    Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, misi dayungan duo itu ditanggung sepenuhnya kerajaan negeri dengan fasiliti latihan seperti gimnasium, kayak dan peralatan latihan disediakan Jabatan Belia dan Sukan di Kompleks Rakan Muda Kampar.

    Katanya, keberkesanan misi itu nanti akan dijadikan kayu ukur terhadap pelaksanaan program pembangunan bagi golongan TVET OKU di negeri ini.

  • Lelaki Orang Asli pulang selepas 4 hari merajuk dalam hutan

    Lelaki Orang Asli pulang selepas 4 hari merajuk dalam hutan

    SEORANG lelaki Orang Asli yang bersembunyi dalam hutan selama empat hari selepas bergaduh dan merajuk dengan isteri, akhirnya pulang ke rumah kakaknya, malam tadi kerana terlalu lapar.

    Sebelun itu, Zali Yasa, 19, meninggalkan motosikalnya di tepi jalan dan melarikan diri masuk ke dalam hutan di Kampung Kundang, Muadzam Shah sehingga operasi mencarinya dilakukan selepas menerima laporan keluarganya.

    Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pahang, Johari Alwi berkata, pihaknya dimaklumkan oleh Tok Batin Kampung Kundang, Wahid Abdullah menyatakan pemuda itu datang ke rumah kakaknya yang terletak kira-kira dua kilometer dari kawasan hutan, malam tadi.

    “Lelaki itu bertindak demikian kerana terlalu lapar dan dahaga selepas lebih 96 jam bersembunyi dalam hutan, selain kesejukan berikutan hujan lebat dan angin kencang petang semalam.

    “Saya bertemu dengan keluarga pemuda berkenaan bagi mendapatkan cerita sebenar kenapa dia (Zali) melarikan diri ke dalam hutan hingga mencetuskan kebimbangan banyak pihak.

    “Selain konflik rumah tangga yang berlarutan, sifat pemuda berkenaan yang mudah merajuk menjadi faktor dia bertindak nekad bersembunyi dalam hutan,” katanya, hari ini.

    Beliau mengarahkan batin dan keluarga kedua belah pihak supaya berusaha membantu menyelesaikan konflik rumah tangga Zali dan isterinya, bagi memastikan tidak berlaku lagi perkara tidak diingini.

    Beliau turut mengucapkan terima kasih pada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang serta Unit K9 JBPM yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd. Azahari Mukhtar berkata, pihaknya memutuskan menamatkan SAR mencari orang hilang di Kampung Kundang

  • Anggota polis ditemukan maut dalam kereta

    Anggota polis ditemukan maut dalam kereta

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG anggota polis berpangkat Lans Koperal yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar ditemukan maut selepas dipercayai menembak diri sendiri dalam kejadian di Jalan Abdullah, Muar hari ini.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya mengetahui kejadian tersebut selepas anggota yang berusia 29 tahun itu menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp memberitahu tindakannya itu.

    Sehubungan itu katanya, satu operasi mengesan anggota berkenaan dijalankan sebelum mangsa ditemui mati dalam kenderaannya dengan kesan tembakan di leher kira-kira pukul 11.18 pagi.

    “Pada pukul 8.20 pagi pihak polis daerah Muar ada menerima satu maklumat berkaitan seorang anggota polis ingin membunuh diri melalui pesanan ‘WhatsApp’.

    “Bertindak atas maklumat tersebut, satu operasi dijalankan dan anggota berkenaan ditemui mati dalam kenderaanya di lot parkir di pekan Muar dengan kesan tembakan di leher,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, polis turut menemui sepucuk pistol jenis Revolver 38 bersama mayat mangsa.

    Katanya, siasatan lanjut berhubung kes berkenaan sedang dijalankan.

  • Lelaki Myanmar maut ditikam rakan ketika mabuk

    Lelaki Myanmar maut ditikam rakan ketika mabuk

    SEORANG lelaki warga Myanmar maut selepas dipercayai ditikam ketika mabuk bersama-sama tiga rakan senegaranya dalam kejadian di sebuah kilang di Mahsan, hari ini.

    Dalam kejadian pada pukul 1 pagi itu, mangsa, Moe Naing, 36, dipercayai meninggal dunia di lokasi selepas mengalami kecederaan parah akibat ditikam di beberapa bahagian badan.

    Pemeriksaan di kilang tempat kejadian mendapati lima pekerja asing termasuk tiga suspek sudah menghilangkan diri.

    “Siasatan awal mendapati suspek merupakan tiga lelaki warga Myanmar tetapi dua lagi yang dipercayai bekerja di kilang sama turut melarikan diri.

    “Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Jempol untuk proses bedah siasat,” kata sumber kepada Sinar Harian, hari ini.

    Sementara itu, Ketua Polis daerah Jempol, Hoo Chang Hook ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian.

    “Usaha mengesan suspek sedang dipergiat dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta melaporkannya di balai polis berhampiran.

    “Kes di siasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Kastam rampas alat ganti kenderaan, minuman keras bernilai RM2.6 juta

    Kastam rampas alat ganti kenderaan, minuman keras bernilai RM2.6 juta

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEJUMLAH alat ganti kenderaan dan minuman keras bernilai RM2.6 juta yang cuba diseludup masuk ke negara ini berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor dalam dua operasi berasingan pada akhir bulan lepas dan 8 Oktober lalu.

    Kegiatan itu berjaya dikesan Kastam di pintu sempadan Malaysia-Singapura, namun tangkapan dan serbuan itu hanya dilakukan setelah sindiket berkenaan memasuki negara ini.

    Pengarah JKDM Johor, Sazali Mohamad berkata, tindakan itu bagi mengukuhkan lagi pendakwaan terhadap pihak terlibat dalam sindiket tersebut.

    “Dalam operasi pertama pada 30 September lalu, JKDM Johor telah merampas 9,364 alat ganti kenderaan mewah dengan menahan sebuah lori kontena di Jalan Bertingkat Skudai, Kampung Pasir, Johor Bahru pada pukul 5.30 petang.

    “Pemeriksaan dibuat mendapati pihak berkenaan mengikrar jumlah alat ganti kenderaan yang bernilai lebih rendah untuk mengelak membayar cukai sepatutnya.

    “Barangan alat ganti kenderaan yang dirampas sebanyak RM363,340, manakala lori kontena bernilai RM80,000 dengan nilai duti dan cukai terlibat berjumlah RM145,763.25,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

    Seorang lelaki tempatan yang merupakan pemandu lori berkenaan berusia 51 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967.

    Sementara itu, dalam operasi kedua pula, Kastam Johor telah menggagalkan cubaan menyeludup minuman keras pelbagai jenama yang dianggarkan sebanyak 12,988 liter.

    “Dalam operasi pada pukul 9 pagi itu, JKDM Johor merampas sebuah lori kontena di Plaza Tol Kempas mengala ke utara yang dipercayai sedang dalam perjalanan ke ibu negara.

    “Pemeriksaan mendapati 17,000 botol minuman keras dianggarkan bernilai RM324,720 dengan jumlah duti dan cukai sebanyak RM1,722,954.82,” katanya yang memaklumkan turut merampas lori kontena bernilai RM100,000.

    Tambah Sazali, sindiket terbabit bertindak mengikrar barangan dibawa sebagai ‘mineral nutrien mixture’ dengan tujuan mengelak dikesan agensi penguatkuasaan.

    “Dalam operasi tersebut, dua lelaki warganegara tempatan berusia 34 dan 56 tahun yang merupakan pemandu dan kelindan lori ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya.

    Dalam pada itu, Sazali turut menggesa masyarakat untuk membantu JKDM Johor memerangi jenayah penyeludupan khususnya melibatkan rokok, minuman keras dan lain-lain.

    “Kedua-dua operasi itu juga hasil maklumat awam dan orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti berkenaan dengan menghubungi talian bebas tol Kastam iaitu 1800-88-8855 atau pejabat JKDM terdekat,” katanya.

  • PGA Kuantan rampas RM6.3 juta barangan seludup

    PGA Kuantan rampas RM6.3 juta barangan seludup

    SEJAK Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan mengambil alih penugasan Ops Benteng Covid-19 di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan bermula 16 September sehingga hari ini, lebih RM6.3 juta pelbagai barangan seludup dirampas.

    Rampasan membabitkan barangan kontraban seperti pakaian, vape, rokok dan pelbagai jenis makanan mencatatkan nilai tertinggi iaitu RM5.03 juta sepanjang tempoh penugasan itu.

    Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, rampasan membabitkan penyeludupan haiwan seperti lembu, rusa dan kambing berjumlah RM847,440 menjadi penyumbang kedua tertinggi kepada kejayaan itu.

    “Ia diikuti oleh barangan kawalan seperti tepung, minyak masak dan petrol berjumlah RM235,025.

    “Rampasan membabitkan dadah, daun ketum, ubat batuk dan haiwan eksotik turut berjaya dilakukan Batalion 7 PGA Kuantan.

    “PGA turut menahan seramai 94 individu termasuk seorang warga Thailand yang dipercayai terlibat dengan aktiviti penyeludupan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Selain itu katanya, rampasan membabitkan dadah, daun ketum, ubat batuk dan haiwan eksotik turut berjaya dilakukan Batalion 7 PGA Kuantan.

    Menurutnya, pasukan tersebut turut menahan seramai 94 individu termasuk seorang warga Thailand yang dipercayai terlibat dengan aktiviti penyeludupan.

    Sementara itu, Azhari berkata, seramai 19 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan menerusi Ops Benteng Covid-19 itu.

    “Menerusi operasi itu, kita dapati trend membawa masuk PATI sepanjang tempoh penugasan kali ini ialah menggunakan kenderaan mewah seperti Toyota Alphard dan pacuan empat roda seperti Ford Ranger dan Toyota Hilux.

    “Kesemua kenderaan itu menggunakan cermin gelap bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya.

    Azhari berkata, kemua kejayaan tangkapan PATI itu diperoleh hasil penguatkuasaan sekatan jalan raya (SJR) di Lalang Pepuyu dan Cabang Empat Salam.

    “Fokus utama PGA sebagai agensi penguat kuasa di sempadan adalah mencegah dan membenteras segala bentuk penyeludupan termasuk jenayah rentas sempadan walau dalam apa jua keadaan,” kata beliau.

  • JPNP tahan pemandu jengkaut rata hutan simpan

    JPNP tahan pemandu jengkaut rata hutan simpan

    JABATAN Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menahan seorang pemandu jengkaut yang sedang leka melakukan kerja-kerja pembersihan secara haram di kawasan Hutan Simpan Purun, Bera, semalam.

    Lelaki tempatan berusia 43 tahun itu ditahan ketika lima anggota Penguat Kuasa (UPK) Pahang Timur yang diketuai Pengawas Hutan, Mohd. Azhar Mudzafar melakukan rondaan di kawasan hutan terbabit.

    Ketua Penolong Pengarah (Penguat Kuasa) JPNP, Nor Azirim Ahmad berkata, lelaki tersebut mendakwa telah ditugaskan untuk meratakan tanah di kawasan hutan berkenaan dan tidak mengetahui kerja itu satu kesalahan besar.

    Susulan itu katanya, JPNP menahan lelaki terbabit dan satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera atas kesalahan menceroboh dan membersihkan Hutan Simpan Purun.

    “Lelaki itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis. Kita turut menyita jentera terbabit dan kini ditempatkan di pusat simpanan barangan rampasan Pejabat Ladang Hutan Kemasuk, Mentakab di Temerloh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Nor Azirim tidak menolak kemungkinan kegiatan membersihkan hutan dan meratakan tanah di kawasan hutan tersebut adalah untuk menanam kelapa sawit.

    “Kalau kita lihat kawasan berhampiran Hutan Simpan Purun ini begitu terkenal dengan tanaman kelapa sawit.

    “Atas sebab itu terdapat banyak percubaan daripada individu atau pihak tertentu meneroka tanah haram di hutan simpan bagi tujuan pertanian,” katanya.

  • Pengebumian besar-besaran mangsa serangan masjid Afghanistan

    Pengebumian besar-besaran mangsa serangan masjid Afghanistan

    KUMPULAN minoriti syiah di Afghanistan mengebumikan rakan-rakan dan saudara-mara mereka yang terbunuh dalam letupan ketika solat Jumaat di sebuah masjid.

    Menurut ketua komuniti syiah yang hanya mahu dikenali sebagai Farhad, angka korban terkini adalah sebanyak 63 orang.

    “Namun jumlah itu mungkin bertambah susulan terdapat ramai mangsa kritikal di hospital. Angka rasmi kematian dikeluarkan pegawai kerajaan kekal 47 orang,” katanya.

    Keluarga mangsa meratapi pemergian saudara mereka dan menggesa Taliban melindungi mereka.

    Kumpulan penyokong Daesh mengaku bertanggungjawab terhadap kedua-dua serangan pengebom berani mati itu yang mengorbankan lebih 120 nyawa.

    Pembunuhan terbaru itu berlaku seminggu selepas satu lagi serangan terhadap penganut syiah di sebuah masjid di utara bandar Kunduz yang meragut lebih 60 nyawa dan turut didakwa didalangi Daesh.

    Kejadian itu mencetus kritikan pihak antarabangsa termasuk Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres, yang mengutuk ‘serangan keji’ berkenaan.

    Beliau menuntut pihak yang menggunakan keganasan untuk menyekat kebebasan beragama di Afghanistan itu segera dibawa ke muka pengadilan.

  • Lelaki maut tersepit selepas kereta terbabas

    Lelaki maut tersepit selepas kereta terbabas

    SEORANG lelaki yang memandu sebuah kereta jenis Honda Civic terbabas dan terlibat dalam kemalangan di Jalan Kampung Melayu Subang, Shah Alam awal pagi ini.

    Kejadian kira-kira pada pukul 4 pagi itu juga mengakibatkan rakannya cedera.

    Ketika kejadian mangsa, Muhammad Daniel Aifiq dan rakannya dalam perjalanan menghala ke arah Bukit Jelutong sebelum dipercayai terbabas.

    Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis, pihaknya menerima panggilan pukul 4.16 pagi sebelum anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Anggerik tiba di lokasi kejadian tujuh minit kemudian.

    “Kemalangan melibatkan sebuah kereta Honda Civic dipandu seorang lelaki berumur 22 tahun bersama-sama seorang penumpang.

    “Pemandu kereta didapati tersepit di bahagian pemandu manakala penumpang hanya mengalami kecederaan dihantar ke hospital sebelum bomba tiba di lokasi,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

    Pihaknya kemudian menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit.

    “Mangsa dikeluarkan dengan menggunakan alat rescue tool.

    “Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.