Author: Admin

  • Guru bukan Islam terima anugerah tokoh Maulidur Rasul Melaka

    Guru bukan Islam terima anugerah tokoh Maulidur Rasul Melaka

    GURU bimbingan dan kaunseling, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal, Chan Chin Ho, dipilih Jawatankuasa Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Melaka sebagai penerima Anugerah Tokoh Abdullah Uraiqith pada tahun ini.

    Pemilihan itu berdasarkan usahanya membimbing pelajar menghasilkan video berbentuk dakwah dan kerohanian

    Menurut Chin Ho, 41, sebagai guru kaunseling sudah pasti dia perlu prihatin dengan keadaan pelajar terutama mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

    Selain itu katanya, menjadi perantaraan penyerahan peranti di bawah program cerdik kepada kira-kira 50 pelajar yang tidak berkemampuan agar mereka tidak tercicir mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

    “Terima kasih atas penghargaan ini oleh kerajaan negeri Melaka.

    “Anugerah ini memberikan semangat kepada saya untuk terus membantu pelajar terutama pelajar beragama Islam bagi mengikuti program-program anjuran Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM),” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

    Sementara itu pengurus jenazah pesakit Covid-19 Hospital Melaka, Hasnul Hussien, 52, menzahirkan rasa terharu kerana diberikan penghargaan menerima Anugerah Abu Thalhah.

    Selama lebih 15 tahun menguruskan jenazah, dia mengakui menguruskan jenazah pesakit Covid-19 merupakan satu cabaran besar lebih-lebih lagi perlu memakai perlindungan diri (PPE) dalam bilik kecil dan bahang.

    “Bagi saya apa jua kerja dan tugas yang kita lakukan, buatlah seikhlas hati tanpa mengharapkan penghargaan dan sebagainya,” katanya.

    Sembilan individu menerima Anugerah Khas Tokoh Maulidur Rasul termasuk Pengerusi Kluster Penguatkuasaan dan Pendakwaan Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah Malaysia Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Rahimin Bani yang menerima Tokoh Muhamad Al-Fateh manakala bekas Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Sharul Lalli Masduki menerima anugerah Tokoh Umar Abdul Aziz.

  • Fida Ibrahim beri amaran, kini sudah ‘berpisah’

    Fida Ibrahim beri amaran, kini sudah ‘berpisah’

    KERJA sudah dilakukan tetapi bayaran masih belum diterima. Itu juga nasib yang dialami Rafidah Ibrahim apabila mendedahkan perkara tersebut kepada umum menerusi Instagram miliknya baru-baru ini.

    Rafidah atau lebih mesra disapa dengan panggilan Fida memberikan amaran kepada syarikat tersebut agar tidak lagi menggunakan hasil kerja lamanya serta wajahnya lagi dalam mana-mana platform.

    “Hari ini saya mahu membuat pengumuman bahawasanya saya tidak lagi bersama dengan company lama iaitu Arisprop/Aris Burger. Terima kasih kepada semua yang sudi memberikan sokongan kepada saya selama ini, sepanjang saya dengan syarikat berkenaan.

    “Dengan itu, saya memohon pihak syarikat untuk tidak lagi menggunakan segala hasil kerja atau pun wajah saya di mana-mana medium sekalipun,” tulisnya lagi.

    Tangkap layar hantaran Rafidah Ibrahim di akaun Instagram miliknya.

    Jelasnya lagi dia terpaksa melakukan perkara tersebut memandangkan pihak syarikat masih menggunakan hasil kerja yang dilakukan meskipun sudah diberi amaran.

    Sambil menegaskan belum menerima sebarang bayaran, dia berharap pihak tersebut berasa malu sekiranya tidak mampu melangsaikan bayaran tersebut.

    “Untuk mengelakkan tindakan undang-undang diambil, saya tegaskan untuk menurunkan segala (bahan promosi) termasuklah video TVC yang dihasilkan oleh saya,” kata penyanyi yang popular dengan lagu Apa Kono Eh Jang.

    Untuk rekod, Fida, 35 tahun baru sahaja bernikah dengan Shahzemir Shahzulkarib, 37, Mei lalu. Lelaki berkenaan juga merupakan pengurus kerjaya seninya sejak 10 tahun yang lalu.

  • Lelaki terperangkap, rentung dalam kebakaran

    Lelaki terperangkap, rentung dalam kebakaran

    SEORANG lelaki terperangkap sebelum rentung dalam kebakaran di rumahnya di Taman Seri Petaling, Kuala Lumpur, hari ini.

    Kejadian tersebut berlaku pada pukul 1 pagi dan mangsa gagal keluar dari rumah teres dua tingkat tersebut.

    Ketua Polis Daerah Brickfield, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat telah dikejarkan ke tempat kejadian dan mengambil masa 30 hingga 40 minit memadamkan kebakaran tersebut.

    “Siasatan di tempat kejadian telah menjumpai mayat seorang lelaki yang telah rentung di dalam rumah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Anuar berkata, punca kejadian masih dalam siasatan dan saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan.

    “Kes diklasifikasikan sebagai laporan kebakaran dan mati mengejut. Kes disiasat oleh Ketua Polis Balai Sri Petaling, Inspektor Nik Faidrul Nik Fauzi,” katanya.

    Pihak polis mengalu-alukan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu tampil untk memberi keterangan.

    Maklumat lain berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222.

  • Lelaki maut diserang sakit jantung ketika daki gunung

    Lelaki maut diserang sakit jantung ketika daki gunung

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki ditemukan sudah meninggal dunia ketika mendaki Gunung Lambak, Kluang, hari ini.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Pegawai Bomba Kanan II, Norhakim Nordin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 12.25 tengah hari.

    Susulan itu katanya, seramai 11 anggota dan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Setibanya di lokasi kejadian, bomba dapati terdapat seorang lelaki berusia 52 tidak sedarkan diri.

    “Mangsa, Teo Chee Kiong@Tiu Chee Kiong, dikatakan ditemui orang awam yang lalu di kawasan berkenaan.

    Mangsa ditemukan orang awam dalam keadaan tidak sedarkan di kawasan berkenaan.

    “Mangsa kemudiannya telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dipercayai akibat serangan jantung,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Norhakim berkata, ketika ditemui mangsa hanya berseorangan dan dipercayai dalam perjalanan untuk turun ke bawah.

    Pasukan penyelamat kemudiannya menurunkan mangsa dari puncak gunung menggunakan alat pengusung dengan bantuan pihak polis dan KKM.

    “Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak terbabit untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada pukul 4.05 petang,” katanya.

  • Maritim halau bot cuba seludup masuk 40 PATI

    Maritim halau bot cuba seludup masuk 40 PATI

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) telah memintas dan menghalau cubaan menyeludup masuk 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) oleh sebuah bot dari Indonesia sekitar jam 4 pagi ini.

    Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata, Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor telah menerima maklumat risikan berkaitan pergerakan sebuah bot telah keluar dari Tanjung Balai, Asahan, Indonesia sekitar jam 9 malam dengan disyaki membawa lebih kurang 40 orang PATI warga Indonesia dan dipercayai menuju ke perairan Selangor.

    Beliau berkata, kira-kira jam 12.20 malam, radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Maritim yang berpangkalan di Area Command Centre (ACC) Klang telah mengesan bot sasaran curiga tersebut sedang bergerak dari perairan Permatang Sedepa menuju ke perairan Morib.

    “Berikutan itu, bot Penggalang 10 yang dalam tugasan Ops Benteng Sektor 5 telah digerakkan bagi pemintasan sasaran dengan dibantu bot PR4 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, sekitar jam 2 pagi ini, Penggalang 10 dan PR4 tiba di lokasi dan telah bertembung dengan bot yang disyaki membawa PATI, lalu mengarahkan untuk berhenti.

    Namun, katanya, tekong bot itu bertindak agresif memecut laju dan melakukan pergerakan berbahaya yang bertujuan meloloskan dari ditahan serta berusaha merapat ke kawasan pantai.

    “Penggalang 10 dan PR4 terus menghalang tindakan bot berkenaan dengan menghimpit dan membayangi secara kejar buru sehingga ke laut lepas bagi menghindar daripada menuju dan mendarat di pantai,” katanya.

    Mohd Rosli berkata, dalam tempoh kejar buru hampir satu jam 30 minit itu, bot tersebut masih berdegil untuk berhenti serta bergerak secara agresif dan berbahaya.

    Katanya, Penggalang 10 dan PR 4 seterusnya melaksanakan tugas pengusiran dengan membayangi bot berkenaan keluar dari perairan negara sepenuhnya sekitar jam 4 pagi, seterusnya dipantau rapat oleh radar SWASLA di ACC Klang. – Bernama

  • Suami isteri dikompaun tidak lengkap vaksin tapi rentas negeri

    Suami isteri dikompaun tidak lengkap vaksin tapi rentas negeri

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TINDAKAN sepasang suami isteri dari Perak yang merentas negeri memasuki Kota Tinggi biarpun masih tidak lengkap vaksin membawa padah apabila dikompaun semalam.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, pasangan itu dikesan ketika operasi pematuhan dilakukan di sekatan jalan raya (SJR) Jalan Kulai-Kota Tinggi. 

    Katanya, bagi perbuatan itu, pasangan suami isteri terbabit diberikan kompaun kerana merentas negeri tanpa vaksin yang lengkap. 

    “Siasatan mendapati mereka dari negeri Perak ke Kulai melalui SJR (Inas) Jalan Kulai-Kota Tinggi untuk melakukan rentas negeri.

    “Nilai kompaun dikenakan adalah sebanyak RM2,000 setiap seorang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, kompaun dikeluarkan adalah di bawah Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

    Jelasnya, orang ramai dinasihatkan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan meskipun kerajaan telah memberikan kebenaran bagi mereka yang sudah menerima vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas negeri.

    Tambahnya, masyarakat juga dinasihat agar tidak bersikap sambil lewa terhadap kelonggaran perjalanan rentas negeri yang diberikan.

  • Wanita murung maut jatuh tingkat 13, tinggalkan nota derma organ

    Wanita murung maut jatuh tingkat 13, tinggalkan nota derma organ

    SEORANG wanita yang mengalami kemurungan ditemui maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 13 sebuah pangsapuri di Butterworth, Pulau Pinang kira-kira pukul 7 pagi tadi.

    Turut ditinggalkan oleh mangsa berusia 46 tahun itu di dalam biliknya adalah sekeping nota yang memaklumkan mahu pergi jauh dan meminta organnya didermakan kepada ahli keluarganya.

    Difahamkan mangsa tidak bekerja sejak kira-kira dua tahun lalu dan telah bercerai.

    Sementara itu, ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali, wanita itu mengalami kemurungan dan sedang dalam rawatan selain bergantung kepada ubat-ubatan.

    “Dia tinggal dengan keluarga di tingkat lima dan kejadian berlaku ketika semua sedang tidur.

    “Dia meninggalkan nota di dalam bilik menyatakan mahu pergi jauh dan jima mati, organnya boleh diberikan kepada ahli keluarga,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor mengesahkan kejadian dan memaklumkan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

  • Lelaki menyamar anggota polis, ‘lalok’ dan bergaduh ditahan

    Lelaki menyamar anggota polis, ‘lalok’ dan bergaduh ditahan

    SEORANG lelaki yang menyamar sebagai anggota polis ditahan selepas terlibat dengan satu pertelingkahan di deretan rumah kedai di Taman TTDI Groove, Kajang, Sabtu lalu.

    Suspek yang tular dalam media sosial selepas pertelingkahan itu dirakam dan disebarkan, menyamar sebagai polis dan mengeluarkan kad kuasa palsu untuk melindungi dirinya dalam kejadian tersebut.

    Sebuah klip video berdurasi 50 saat tular dalam media sosial memaparkan suspek mendakwa dirinya bertugas di Balai Kajang dan mengaku berada di bawah pengaruh dadah.

    Menurut
    Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan, pihaknya menerima laporan berkenaan kejadian pertelingkahan dipercayai berkaitan isu hutang sewa rumah membabitkan suspek sekitar pukul 2.29 pagi.

    “Kejadian tersebut dapat dileraikan orang awam dan dalam kejadian itu suspek seorang lelaki tempatan berusia 30-an mengaku dirinya anggota polis serta mengeluarkan kad kuasa polis untuk melindungi diri.

    “Oleh kerana curiga pengadu dalam kejadian ini seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun telah menghubungi pihak polis untuk hadir ke lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mohd. Zaid memberitahu, hasil pemeriksaan mendapati suspek menggunakan kad kuasa palsu dan ditahan oleh anggota polis peronda.

    “Hasil siasatan, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang telah berjaya merampas beberapa peralatan polis iaitu sepasang baju operasi polis tertera nama suspek, kasut, tali pinggang, satu unit gari dan kad kuasa polis yang dirampas,” katanya.

    Menurutnya, suspek direman sehingga Jumaat untuk membantu siasatan membabitkan kes penyamaran sebagai anggota polis melibatkan suspek sebelum ini.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan Seksyen 89 Akta Polis 1967 kerana menyamar polis dan memiliki barangan peralatan polis yang tidak sah di sisi undang-undang.

    “Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 2 tahun atau denda,” katanya. – SB

  • Mohamad Shakir tokoh Maulidur Rasul Pulau Pinang

    Mohamad Shakir tokoh Maulidur Rasul Pulau Pinang

    HAKIM Mahkamah Rayuan Syariah di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Datuk Mohamad Shakir Abdul Hamid dinobatkan Tokoh Maulidur Rasul Pulau Pinang tahun ini.

    Mohamad Shakir, 55, yang merupakan anak kelahiran Padang Menora, Tasek Gelugor itu membawa pulang trofi, wang tunai RM5,000, sijil dan hadiah iringan.

    Anugerah disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri yang diadakan secara maya dan hibrid menerusi aplikasi Zoom malam tadi.

    Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor.

    Sementara itu, dalam ucapannya, Ahmad Fuzi menggesa umat Islam di Pulau Pinang menghayati tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini iaitu ‘Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti’.

    Menurut beliau, penerapan ‘manhaj rabbani’ itu merujuk kepada tiga elemen utama iaitu keilmuan, kerohanian dan aktivitisme atau gerakan dakwah berteraskan ‘amar makruf nahi mungkar’ dalam memangkin umat Islam berkualiti.

    Dalam masa sama, beliau turut menyeru umat Islam meneladani akhlak yang ditunjukkan oleh junjungan mulia Nabi Muhammad SAW dalam setiap norma kehidupan.

  • Wanita pengsan semasa daki Bukit Tunggal

    Wanita pengsan semasa daki Bukit Tunggal

    SEORANG wanita yang melakukan aktiviti rekreasi sebelum mendaki Bukit Tunggal, Kampung Gajah, hari ini mengalami sesak nafas dan pengsan.

    Pengunjung yang menyedari kejadian itu kemudian menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak untuk bantuan.

    Jurucakap JBPM Perak berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Gajah menerima panggilan kecemasan jam 8.50 pagi.

    “Anggota bomba menaiki pacuan empat roda milik orang awam sejauh kira-kira 2.5 kilometer (km) dari kaki bukit untuk membawa turun mangsa.

    “Mangsa, 26, kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Kampung Gajah untuk rawatan lanjut,” katanya.

    Operasi yang diketuai Megat Mohd. Dahari Megat Jamaludin itu tamat pukul 11.40 pagi.