Author: Admin

  • Harga ikan ‘low class’ di Terengganu mahal macam bedil?

    Harga ikan ‘low class’ di Terengganu mahal macam bedil?

    “IKAN Selayang ‘low class’ macam ni pun RM13 sekilogram? Mahal macam bedil!” rungut seorang suri rumah dikenali sebagai mak cik Jenab mengenai harga ikan di pasaran Terengganu sejak kebelakangan ini yang didakwa sangat mahal.

    Begitulah antara senario yang sering berlaku di negeri ini sejak dahulu hingga sekarang terutama ketika menjelang musim perayaan dan juga menghampiri musim tengkujuh.

    Rungutan demi rungutan masyarakat pengguna tidak pernah padam, harga ikan di Terengganu terus melonjak naik di mana kategori ikan kecil yang disifatkan sebagai ‘low class’ pun kini dijual lebih mahal daripada harga sekilogram ayam.

    Bayangkanlah kalau harga ikan Selayang dan Selar Pucat kini di jual sehingga RM13 sekilogram apatah lagi dengan ikan Cencaru, kembong dan Selar yang harganya terus melonjak antara RM15 hingga RM20 sekilogram.

    Ini belum lagi memperkatakan mengenai ikan kategori gred A seperti Merah, Tenggiri, Jebong, Kerapu, Bawal Putih, Bawal Hitam, Jemuduk dan Cermin.

    Boleh dikatakan sejak kebelakangan ini harga ikan di pasar-pasar tertentu di Terengganu kini semakin tidak stabil bukan sahaja pada musim perayaan dan musim tengkujuh semata-mata.

    Malah, pada hari-hari biasa juga harga ikan adakalanya melonjak mahal, namun bagi menyediakan lauk pauk seisi keluarga, orang ramai masih membelinya.

    Ada yang mengaitkan kenaikan harga ikan di pasaran disebabkan musim tengkujuh dan berlakunya wabak Covid-19 sehingga menjejaskan pergerakan nelayan untuk turun ke laut.

    Benarkah itu yang mempengaruhi harga ikan di pasaran Terengganu sedangkan harga ikan mahal merupakan isu lama yang sehingga ini masih lagi belum selesai.

    Alasan musim tengkujuh dan Covid-19 juga tidak berasas kerana ketika ini kebanyakan bot nelayan termasuk pukat jerut dan laut dalam masih keluar menangkap ikan.

    Malah, rata-rata bot kelas A, B dan C masih belum berhadapan halangan besar memandangkan Monsun Timur Laut yang menyebabkan angin kencang dan laut bergelora beserta ombak besar belum lagi membadai perairan negeri ini.

    Di pesisir pantai pula, nelayan pesisir yang menggunakan bot gentian kaca masih keluar menahan pukat, memancing dan mencandat sotong.

    Begitu juga dengan stok ikan yang ditempatkan dibilik-bilik sejuk beku di lokasi tertentu negeri ini masih belum kehabisan.

    Memandangkan Terengganu merupakan antara negeri yang terkenal dengan masyarakat nelayan dan aktiviti penangkapan ikan, isu ini tidak wajar dibiarkan berlarutan.

    Sebenarnya isu harga ikan mahal di Terengganu bukan perkara baharu, ia merupakan isu lama yang belum dapat diselesaikan sama ada mahal disebabkan wujudnya orang tengah atau sebaliknya.

    Akhirnya nelayan terus hidup sengsara manakala pengguna semakin terbeban, dipihak lain pula bergaya sakan.

    Ekoran perkara inilah menyebabkan mengapa golongan anak muda kini semakin ramai tidak berminat untuk menjadi nelayan.

    Kini, sudah sampai masanya kerajaan negeri mencari formula, kaedah dan pendekatan terbaik bagi menyelesaikan isu tersebut, sekaligus turut membantu memberi kehidupan baharu kepada masyarakat nelayan di negeri ini selain mengurangkan bebanan yang dialami pengguna.

  • Remaja meninggal dunia ada ketumbuhan ovari, anomali struktur jantung

    Remaja meninggal dunia ada ketumbuhan ovari, anomali struktur jantung

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) akan memaklumkan keputusan lanjut pemeriksaan Allahyarham Noor Hayati Nabila Abdullah, 14, yang meninggal dunia pada 8 Oktober lalu, antara 24 hingga 28 Oktober ini.

    Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr. Aman Rabu berkata, sampel tisu dalam badan juga telah dihantar ke Pakar Perubatan Forensik Patologi di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk maklumat lanjut.

    Jelasnya, keputusan pemeriksaan awal yang diterima, mendapati remaja itu mempunyai ketumbuhan di ovari dan anomali struktur jantung.

    “Pada 3 Oktober lalu, Allahyarhamah telah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 berjenama Comirnaty Pfizer.

    “Status kesihatan Allahyarhamah pasca vaksin dalam keadaan baik, tidak menghidap demam, selesema, lemah sendi atau susah bernafas dan boleh menjalani aktiviti harian seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Pada Jumaat, Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr. Puad Zarkashi memuat naik satu kenyataan ringkas mendakwa remaja meninggal dunia beberapa hari selepas menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19.

    Dalam kenyataan itu, Dr. Puad turut meminta Kementerian Kesihatan untuk mengeluarkan keputusan ‘post mortem’ dengan telus dan segera.

    Sebelum ini remaja berkenaan dilaporkan telah ditemui meninggal dunia oleh ibunya di ruang tamu rumah mereka di Batu Pahat.

    Dr Aman berkata, temubual bersama-sama waris mendapati Allahyarhamah tidak mempunyai sebarang jenis penyakit dan alahan.

    “Pelbagai ujian darah telah dihantar ke makmal dan masih menunggu keputusan. Laporan bedah siasat ini dikategorikan masih belum lengkap kerana keputusan ujikaji masih belum diterima.

    “Walaubagaimanapun, Jabatan ini mengambil perhatian di atas perkara yang telah tular,” ujarnya.

  • PRN Sarawak:PM minta jangan dahului kuasa Agong

    PRN Sarawak:PM minta jangan dahului kuasa Agong

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob meminta mana-mana pihak supaya tidak mendahului Yang di-Pertuan Agong dalam urusan berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

    Kata Perdana Menteri, Sarawak kini masih dalam tempoh darurat sehingga 2 Februari 2022 dan keputusan untuk melakukan PRN harus melalui pemakluman kepada Yang di-Pertuan Agong.

    “Segala keputusan pembubaran darurat di Sarawak sehingga boleh melakukan PRN adalah keputusan Yang di-Pertuan Agong.

    “Jangan kita mendahului keputusan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas lawatan kerja ke tapak pembinaan di Hospital Petra Jaya, Kuching, hari ini.

    Menerusi lawatan rasmi pertama ke negeri Bumi Kenyalang, Ismail Sabri memberi fokus untuk melihat sendiri gambaran sebenar pembangunan di Sarawak.

    “Saya diberi taklimat untuk membangunkan negeri Sarawak sehingga 2030 dan saya melihat pembangunan dan masalah yang timbul.

    “Jadi saya mendapat gambaran sebenar pembangunan yang memerlukan bantuan daripada kerajaan Pusat,”ujarnya.

    Sementara itu, beliau juga memberi bayangan bahawa ada berita gembira buat Sarawak dalam pembentangan Bajet 2022.

    Namun katanya, ia akan diumumkan sendiri oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz pada 29 Oktober 2021.

  • MAFI nafi penyelewengan pembekalan benih

    MAFI nafi penyelewengan pembekalan benih

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menafikan dakwaan berlakunya penyelewengan pembekalan benih padi hingga menjejaskan jadual tanaman lebih 50,000 pesawah di Kedah dan Perlis.

    Menterinya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, apa yang berlaku ialah varieti padi MR 297 tidak mencukupi pada musim ini disebabkan permintaan tinggi.

    “Isu benih padi yang dilaporkan di Kedah dan Perlis tidak seserius seperti musim yang lalu dan ia lebih kepada isu varieti padi yang dikehendaki pesawah.

    “Kementerian sudah ambil langkah yang perlu bagi mengurangkan isu pengedaran benih ini. Isu ini perlu diambil tindakan dan penyelesaian segera untuk elak masalah lebih besar dihadapi pesawah,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas sesi sidang video dengan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura bagi memperkasa eksport agromakanan ke Singapura, di Pejabat FAMA Negeri Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Rabu lalu, Jabatan Pertanian dalam satu kenyataan dilaporkan memberi jaminan benih padi mencukupi bagi keperluan pesawah melaksanakan penanaman musim 2/2021 di kawasan seluas 520,000 hektar di Semenanjung.

    Menurut jabatan itu, berdasarkan data hingga 10 Oktober lalu, sebanyak 52,922.5 tan metrik benih padi sedang dalam proses pengesahan dan jumlah itu mencukupi untuk keperluan mengikut jadual penanaman di Kedah dan Perlis hingga akhir November depan.

    Katanya, pesawah dinasihatkan tidak bimbang mengenai bekalan benih walaupun terdapat permintaan agak tinggi terhadap varieti MR 297 sehingga menyebabkan ia tidak mencukupi pada musim 2/2021.

    Mengulas lanjut, Ronald memberitahu, penetapan harga siling RM35 bagi setiap beg ditetapkan Benih Padi Sah (BPS) yang diambil kementerian pada Februari lalu, telah mengurangkan isu penyelewengan atau manipulasi benih padi.

    “Kita tidak menafikan sebelum ini ada berlaku penyelewengan benih padi, namun isu itu bukanlah isu baru dan sentiasa dibaiki termasuk dengan penetapan harga siling BPS.

    “Langkah penetapan harga siling benih padi adalah tindakan yang dapat kurangkan isu pengelewangan dan penyorokkan. Jadi, tiada ruang untuk manipulasi demi menjaga masa depan pesawah negara,” ujarnya.

  • JPJ naik taraf sistem perkhidmatan ke arah pendigitalan

    JPJ naik taraf sistem perkhidmatan ke arah pendigitalan

    JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang menaik taraf sistem perkhidmatannya ke arah pendigitalan secara berperingkat bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan penyampaian kepada pelanggan.

    Ketua Pengarahnya, Datuk Zailani Hashim berkata, pendigitalan berkenaan melibatkan semua perkhidmatan JPJ termasuk memperbaharui lesen kenderaan motor selaras dengan slogan sambutan Jubli Platinum (Ulang Tahun ke-75) JPJ pada April lepas iaitu ‘Digitalisasi Melestari Integriti’.

    “Itu antara usaha terkini yang kita akan gerakkan dalam masa terdekat selepas melalui semua proses yang sepatutnya.

    “Setakat ini, usaha ini telah mencapai lebih 50 peratus meliputi semua aspek termasuk pengumpulan maklumat dan penyediaan infrastruktur bagi melaksanakannya,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Asas Pegawai Pengangkutan Jalan Siri 1/2021 di Akademi JPJ di Tiang Dua, Melaka, hari ini.

    Pada majlis itu, seramai 103 peserta kursus terdiri daripada 12 pegawai penguat kuasa gred KP41, penolong pegawai penguat kuasa gred KP29 (58 orang), pembantu penguat kuasa gred KP19 (32 orang) dan seorang pemeriksa kereta motor gred AB19 berjaya menamatkan latihan lebih sebulan sejak 1 September hingga Sabtu.

    Mengulas lanjut, Zailani berkata, setakat ini antara perkhidmatan yang telah melalui proses pendigitalan ialah pembelian nombor kenderaan menerusi sistem JPJeBid manakala sistem JPJeQ iaitu nombor giliran bagi melakukan urus niaga JPJ telah dilaksanakan di beberapa kaunter Pejabat JPJ di seluruh negara.

    “Kita jangkakan sistem JPJeQ ini akan diguna pakai di semua kaunter Pejabat JPJ di seluruh negara pada tahun hadapan bagi memudahkan pelanggan dan melancarkan urusan mereka,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, beliau berkata, JPJ telah berjaya mengumpul kutipan hasil mencecah RM3 bilion dalam tempoh Januari hingga September tahun ini walaupun berdepan dengan pandemik Covid-19.

    “Tahun lepas kita berjaya mengutip hasil berjumlah RM4.2 bilion tetapi disebabkan Covid-19 jumlah itu sedikit berkurang namun saya yakin kita dapat mencapai sasaran RM4 bilion kutipan untuk tahun ini.

    “JPJ bernasib baik sebab kita ada perkhidmatan secara dalam talian selain kerjasama dengan rakan strategik seperti Pos Malaysia, Puspakom dan MyEG yang membantu dari segi kutipan hasil,” katanya. – Bernama

  • SOP khas PRN Melaka dijangka diumum minggu depan

    SOP khas PRN Melaka dijangka diumum minggu depan

    PROSEDUR operasi standard (SOP) khas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dijangka dimuktamadkan minggu depan.

    Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk TS Kamel Mohamad berkata, garis panduan dan perbincangan mengenai SOP itu kini berada di peringkat akhir.

    “Kita sekarang di peringkat ‘working level’. Apa yang boleh saya katakan, kita sudah di peringkat 75 hingga 80 peratus dalam mempersiapkan SOP khas ini.

    “Awal minggu depan, saya rasa dapat dimaklumkan kerana kita mahu pastikan SOP itu mengambil kira pandangan profesional, kepakaran teknikal dan beberapa lagi,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Pakej Pelancongan Pit Stop Melaka River Cruise, di Taman Rempah, hari ini.

    Menurutnya, dalam mempersiapkan SOP Khas itu, input terbaharu membabitkan pendidikan dan pelancongan juga perlu diambil kira.

    “Sektor pendidikan sudah dibuka, jadi kita mahu lihat balik dari situ dan juga dari pematuhan SOP oleh pelancong serta hotel. Dalam mempersiapkan SOP ini, kita perlu melihat di mana titik keseimbangannya,” katanya.

    Kamel berkata, perbincangan SOP khas itu membabitkan pelbagai pihak termasuk Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Melaka.

  • MAFI, KPDNHEP bekerjasama atasi isu kenaikan harga barangan makanan

    MAFI, KPDNHEP bekerjasama atasi isu kenaikan harga barangan makanan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    ISU kenaikan harga barangan makanan yang dilaporkan sejak kebelakangan ini bukan berpunca daripada bekalan yang berkurangan.

    Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, stok makanan antaranya hasil pertanian tidak pernah berdepan masalah kekurangan bekalan walaupun ketika negara berdepan pandemik Covid-19.

    “Bekalan makanan bukan punca utama kenaikan harga di pasaran. Ini kerana ketika pandemik Covid-19, kekurangan bekalan makanan tidak berlaku malah berlaku lambakan seperti sayur, tembikai dan nanas.

    “Kita akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi memastikan harga makanan stabil dan tidak melambung.

    “Kerjasama dengan KPDNHEP penting dalam mengawal kenaikan harga produk makanan. Sebagai contoh, MAFI mengadakan perbincangan dengan KPDNHEP berhubung langkah menangani kenaikan harga ayam yang melebihi harga siling pada bulan lalu,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas sidang video bersama-sama Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr. Azfar Mohammad Mustafa di Pejabat Lembaga Permasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Yang turut hadir Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Yang Razalli.

    Sebelum ini, akhbar melaporkan aktiviti rentas negeri sejak 11 Oktober lalu menyebabkan harga kebanyakan barang membabitkan makanan dan binaan meningkat antara 15 hingga 50 peratus.

    Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, peningkatan tersebut dikesan berdasarkan kajian Cassa di seluruh negara khasnya di kawasan-kawasan pelancongan.

    Peningkatan itu membebankan semua golongan yang baru mahu bangkit semula selepas teruk terkesan akibat penutupan sektor ekonomi dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu.

  • Agong berkenan berangkat ke majlis perjumpaan semula rakan kadet Royal Military Academy Sandhurst

    Agong berkenan berangkat ke majlis perjumpaan semula rakan kadet Royal Military Academy Sandhurst

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke majlis perjumpaan semula bersama rakan kadet Intake SMC 19 Royal Military Academy Sandhurst tahun 1978 dan 1979, di akademi tersebut semalam.

    Kenyataan Istana Negara di Facebook memaklumkan keberangkatan Sultan Abdullah disambut Komandan Royal Military Academy Sandhurst, Major Jeneral Duncan Capps dan isteri Robyn Capps serta Penasihat Pertahanan Malaysia di United Kingdom Brigadier Jeneral Safwan Ismail. 

    Pada majlis perjumpaan semula yang berlangsung di Indian Army Memorial Room itu,  Sultan Abdullah berkenan menyantuni dan bertanya khabar serta mengimbau kenangan manis bersama rakan kadet Intake SMC 19 yang telah menjalani latihan bersama Seri Paduka.

    Turut hadir, jurulatih Seri Paduka Colin John yang menzahirkan perasaan bangga dan terharu kerana dapat bertemu semula Sultan Abdullah yang juga merupakan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia.

    “Keberangkatan Seri Paduka ke majlis ini turut mencerminkan keperibadian tinggi Seri Paduka dan keakraban serta keutuhan semangat setia kawan yang telah terjalin sejak lebih 40 tahun lepas.

    “Untuk kesinambungan tradisi, Seri Paduka telah menzahirkan hasrat agar dua anakanda Seri Paduka, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah untuk turut menjalani latihan pegawai kadet di Royal Military Academy Sandhurst pada tahun hadapan,” menurut kenyataan itu.

    Seri Paduka turut berkenan meluangkan masa menyantuni dan memberi kata-kata perangsang kepada dua Pegawai Kadet Malaysia yang sedang menjalani latihan di Royal Military Academy Sandhurst, menurut kenyataan itu.

    Pegawai Kadet Muhammad Yaasin Kamaruddin dan Pegawai Kadet Muhammad Haikal Mohd Tukiman dijadualkan tamat latihan di akademi itu pada Disember 2021 dan April 2022 kelak.

    Royal Military Academy Sandhurst di London ini merupakan sebuah institusi latihan ketenteraan terkemuka dunia yang amat terkenal dalam pembangunan kepimpinan dan latihan asas pegawai tentera darat. – Bernama

  • Ular sawa ditangkap, tidak sempat baham lembu

    Ular sawa ditangkap, tidak sempat baham lembu

    SEEKOR ular sawa batik tidak sempat membaham lembu apabila berjaya ditangkap di Kampung Paya Luas, Temerloh, pukul 8.30 malam semalam.

    Reptilia tersebut dilihat datang dari kawasan paya menuju ke arah kandang lembu milik seorang penduduk kampung tersebut.

    Ketua Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Temerloh, Mohd Dzul Ain Bahirun berkata, reptilia tersebut dipercayai berusia antara tiga hingga empat tahun.

    “Saya bersama-sama tiga anggota APM mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menangkap ular berkenaan sepanjang tujuh meter dengan berat 150 kilogram dengan bantuan penduduk kampung.

    “Ular sawa terbabit bertindak agresif sebelum berjaya ditangkap dengan menggunakan peralatan khas,” katanya hari ini.

    Katanya, ular sawa itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.

    Sementara itu, Pegawai APM Temerloh, Mohd. Ikram Haron berkata, pihaknya merekodkan purata 20 tangkapan ular setiap bulan di daerah ini yang menyaksikan jumlah aduan meningkat ketika musim panas.

    “Antara ular yang sering ditangkap ialah sawa, tedung hitam dan selar di mana ular sawa yang ditangkap malam semalam adalah yang terbesar pada tahun ini,” katanya.

  • Anggota polis tunggang motosikal kuasa tinggi maut kemalangan

    Anggota polis tunggang motosikal kuasa tinggi maut kemalangan

    SEORANG anggota polis maut berpangkat Koperal maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya terbabas dan melanggar konkrit pembahagi jalan di Kilometer 58 Jalan Kuching- Sri Aman, Serian, hari ini.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 10.04 pagi itu dan Zairulizan Ismail, 38, beralamat di Kampung Melayu Tebakang meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

    Jelasnya, kemalangan berlaku ketika motosikal Kawasaki Z1000 ditunggang mangsa dari arah Kuching menuju ke Serian.

    “Sampai di tempat kejadian, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke tepi jalan dan melanggar konkrit pembahagi jalan.

    “Mangsa terbabas dan mengalami kecederaan serius di kepala dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang ke lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

    Beliau berkata, mayatnya dibawa ke hospital Serian untuk tindakan lanjut.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.