Author: Admin

  • Muhyiddin tidak beri duit, hanya pulangkan baki wang

    Muhyiddin tidak beri duit, hanya pulangkan baki wang

    PERIKATAN Nasional (PN) Melaka menafikan dakwaan pihak tertentu yang menyebarkan fitnah kononnya Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi wang RM5 kepada seorang pengunjung ketika hadir melawat Gerai Prihatin Rakyat di Pantai Klebang, Melaka, hari ini.

    Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen berkata, pihak tersebut sengaja dengan niat jahat mahu memburukkan Muhyiddin dengan membawa persepsi negatif sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November nanti.

    “Gambar yang disebarkan itu adalah gambar ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin singgah di sebuah Gerai Prihatin Rakyat di mana beliau membantu memulangkan baki wang yang dibeli oleh rakyat Melaka bernilai RM5 ke atas jualan Gerai Prihatin Rakyat anjuran sebuah NGO di Melaka.

    “Saya harap pihak yang tidak bertanggungjawab harus menghentikan fitnah dan rakyat Melaka harus menilai taktik jahat pihak tertentu ini,’ katanya ketika dihubungi hari ini.

    Terdahulu, Muhyiddin dalam siri melawat ke program Gerai Prihatin Rakyat di Kampung Tersusun Jus Permai, Selandar dan Pantai Klebang.

    Sementara itu, satu laporan polis akan dibuat oleh Bersatu berhubung posting yang dimuat naik oleh pihak berkenaan.

    Ketua Penerangan Bersatu Melaka, Datuk Hishamuddin Abdul Karim berkata laporan polis itu akan dibuat di Balai Polis Air Keroh pukul 5 petang ini.

    “Saya akan membuat laporan polis terharap mereka hari ini. Tindakan tidak bermoral ini perlu dihentikan dan harus diambil tindakan tegas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

  • AIM turunkan caj pengurusan untuk empat skim pembiayaan

    AIM turunkan caj pengurusan untuk empat skim pembiayaan

    AMANAH Ikhtiar Malaysia (AIM) menurunkan kadar caj pengurusan sebanyak dua peratus bagi empat skim pembiayaan yang ditawarkan.

    Menurut AIM dalam satu kenyataan, penurunan caj pengurusan itu membabitkan Skim Pembiayaan i-Wibawa, i-Sejahtera, i-Bestari dan i-Penyayang.

    Pengumuman penurunan kadar caj yang dahulunya sebanyak 10 peratus kepada lapan peratus itu dilakukan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.

    “Noh mengumumkan perkara itu ketika merasmikan program Karnival Usahawan dan Koperasi di Padang Astaka, Tanjong Karang.

    “Penurunan caj pengurusan sebanyak dua peratus itu akan berkuat kuasa selama dua tahun bermula tahun hadapan hingga tahun 2023.

    “Ia membabitkan peruntukan pembiayaan sebanyak RM970.39 juta dan akan memberi manfaat kepada kira-kira 380,000 Sahabat seluruh negara.

    “Keempat-empat skim pinjaman ini mempunyai had pinjaman sehingga RM20,000,” katanya seperti dilaporkan UtusanTV, hari ini.

    Mengulas lanjut, AIM memaklumkan, Noh turut mengumumkan pemberian rebat secara prorata kepada semua Sahabat yang melunaskan pinjaman lebih awal.

    AIM memberitahu, rebat prorata itu diberikan sehingga 50 peratus kadar caj pengurusan sekali gus bermakna lebih awal Sahabat melunaskan pinjaman, lebih tinggi diskaun yang akan diberikan.

    Pada masa sama, Noh turut mengumumkan bahawa AIM membuka tawaran pinjaman kepada individu dalam kategori pertengahan (B50) dengan pendapatan isi rumah sebanyak RM5,880 ke bawah.

    “Atas rasa kebersamaan dalam usaha memulihkan kembali ekonomi Sahabat yang terjejas akibat pandemik Covid-19, AIM juga tidak melupakan golongan pertengahan.

    “Ketiga-tiga langkah yang dibuat AIM ini merupakan sebahagian daripada keprihatinan dalam menyambut serta menyokong konsep Keluarga Malaysia yang diinspirasikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    “Ia diharapkan dapat membantu menjana ekonomi Sahabat dan peniaga kecil seterusnya memulihkan negara daripada masalah serta kesan akibat pandemik COVID-19,” jelas AIM.

  • Lelaki jatuh parit semasa tangkap ikan ditemukan lemas

    Lelaki jatuh parit semasa tangkap ikan ditemukan lemas

    SEORANG lelaki yang dipercayai terjatuh ke dalam parit berhampiran sungai di Taman Alor Rela, Langgar, Alor Setar, ketika menangkap ikan semalam ditemui lemas hari ini.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, Mayat Mohd. Nazri Musa, 51, ditemui terapung pukul 7.07 pagi pada jarak 17 meter dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh.

    “Mayat mangsa diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) pukul 7.57 pagi untuk tindakan lanjut.

    “Pusat Kawalan Bomba (PKB) Alor Rela ditutup dan operasi tamat sepenuhnya jam 8 pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, sebelum itu anggota bomba melakukan operasi pencarian di permukaan sungai serta pemantauan dijalankan di sekitar lokasi selepas menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 6.28 petang.

    Bagaimanapun katanya, pihaknya terpaksa menangguhkan operasi pencarian atas faktor keselamatan berikutan keadaan arus sungai yang deras dan hujan lebat pada pukul 9 malam tadi dan menyambung operasi pada hari ini.

  • 57,635 peladang dapat manfaat daripada Peladang-i

    57,635 peladang dapat manfaat daripada Peladang-i

    Oleh RIZQI ZABIDI

    LEMBAGA Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menyambut baik langkah kerajaan untuk memberi perlindungan takaful kepada semua ahli Pertubuhan Peladang Kebangsaan (PPK) seluruh negara di bawah Skim Perlindungan Takaful Kad Pintar Keluarga Peladang (Peladang-i) dengan peruntukan sebanyak RM5 juta seperti diumumkan dalam pembentangan Bajet 2022 semalam.

    Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, langkah tersebut dijangka akan turut memanfaatkan seramai 57,635 peladang yang mengusahakan sawah seluas 100,658 hektar dalam pentadbiran 27 PPK MADA.

    “Kad Peladang-i ini mempunyai gabungan ciri-ciri tiga dalam satu menerusi kad debit Co-Brand Agrobank.

    “Kami menyambut baik inisiatif berkenaan. Kad itu juga akan dijadikan sebagai kad identiti berkonsepkan transaksi perbankan moden yang turut dilengkapi manfaat perlindungan takaful hingga RM5,000, sekali gus memberi manfaat tambahan kepada peladang di kawasan MADA,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Selain itu Ahmad Tarmizi berkata, pengumuman pemberian subsidi dan insentif bagi industri pertanian dan perikanan yang diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM1.7 bilion, diyakini turut membantu pesawah untuk mengurangkan kos operasi ladang.

    “Antara yang akan membantu adalah peruntukan RM1.5 bilion bagi subsidi benih, baja, harga dan pengeluaran padi termasuk subsidi padi huma sebanyak RM40 juta,” katanya.

    Tambahnya, pembentangan Bajet 2022 membuktikan keprihatinan kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ dalam mentransformasikan sektor pertanian supaya menjadi sektor yang lebih moden dan dinamik.

    “Langkah ini bakal membantu negara menjadi lebih kompetitif sebagai pengeluar utama makanan sekali gus menjadikan sektor pertanian sebagai salah satu jentera pertumbuhan ekonomi negara,” katanya. – SB

  • Bajet 2022:Komitmen kerajaan bantu semua yang terjejas-Muhyiddin

    Bajet 2022:Komitmen kerajaan bantu semua yang terjejas-Muhyiddin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BAJET 2022 adalah satu bukti jelas yang menunjukkan komitmen kerajaan untuk memastikan kesinambungan konsep Prihatin Rakyat dalam menyalurkan bantuan terus kepada golongan yang terkesan.

    Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua pihak tidak akan tertinggal sama ada individu mahupun perniagaan dalam semangat kebersamaan Keluarga Malaysia.

    “Saya percaya bajet yang telah dibentangkan ini akan memastikan segala bentuk bantuan dan sokongan yang diumumkan sampai kepada sasaran, lebih-lebih lagi kepada semua pihak dan sektor yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

    “Ini amat penting dalam memastikan kejayaan tahun 2022 sebagai tahun pemulihan untuk Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika hadir Bagi membentangkan bajet 2022 di Parlimen, semalam. GAMBAR: Jabatan Penerangan

    Beliau yakin, bajet itu akan terus memperkasa usaha-usaha pemulihan negara di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang dijalankan dengan berpaksikan tiga strategi utama iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan.

    Bajet itu katanya, akan terus menyokong pemulihan negara melalui dasar fiskal yang mengembang dan dirangka berdasarkan keutamaan untuk memulihkan negara daripada kesan jangka panjang krisis pandemik terhadap sistem kesihatan awam serta struktur ekonomi.

    “Ini adalah cerminan tekad kerajaan untuk mengembalikan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama,” katanya yang juga bekas Perdana Menteri.

    Bajet 2022

    Muhyiddin berkata, peruntukan kedua terbesar yang diberikan kepada Kementerian Kesihatan amat tepat bagi memacu pemulihan negara ke fasa endemik.

    Justeru belia berharap, penekanan pada sektor kesihatan bukan sahaja mampu menampung fasa endemik tetapi juga memperkukuh sistem kesihatan negara untuk menghadapi cabaran pandemik lain pada masa depan termasuk daripada segi kapasiti hospital, fasiliti dan kepakaran.

    Peruntukan paling besar sebanyak RM52.6 bilion kepada Kementerian Pendidikan pula katanya, menunjukkan keutamaan kerajaan terhadap aspek pembangunan modal insan termasuk penyediaan fasiliti dan akses pembelajaran yang masih menjadi masalah utama bagi murid di luar bandar.

    “Saya berharap dana yang diperuntukkan misalnya untuk membaiki sekolah daif dapat disalurkan ke sekolah yang benar-benar memerlukan, yang belum pernah mendapat bantuan kerajaan.

    “Saya menyeru semua rakyat Malaysia dapat bersatu padu dalam memastikan usaha pemulihan negara berjalan lancar dan kita semua dapat kembali merancakkan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat demi mencapai aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.

  • PRN Melaka: Rintis jalan baharu kerjasama Pas, UMNO Bersatu

    PRN Melaka: Rintis jalan baharu kerjasama Pas, UMNO Bersatu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KENYATAAN Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang memberi bayangan bahawa masih ada ruang untuk Pas, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) duduk bersama menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka disifatkan sebagai perintis jalan.

    Bayangan itu seolah-olah menyuluh dan membuka jalan yang sepatutnya ditempuh tiga parti tersebut dan apa yang perlu dilakukan, semua parti perlu berlapang dada serta pandang ke depan.

    Cadangan tersebut amat relevan ketika ini pada masa UMNO dan Bersatu tidak lagi sehaluan sekali gus mengendurkan ketegangan sedia ada.

    Ini boleh dikatakan Tahaluf Siyasi atau perjanjian persefahaman politik baharu yang perlu disepakati antara Pas, UMNO dan Bersatu.

    Malah boleh dikatakan lebih daripada Tahaluf Siyasi kerana Tahaluf Siyasi adalah kerjasama antara Islam dan musuhnya.

    Ini tidak terpakai atau tidak sesuai antara Pas, UMNO dan Bersatu. Lebih molek dipanggil kerjasama dalam kerangka moden politik Islam.

    Menurut Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air, perkara itu dicapai dalam pertemuan dan mesyuarat pada malam tadi.

    “Saya ingin menyampaikan berita gembira, walaupun ini bukan keputusan muktamad tetapi nampaknya ada ruang untuk ketiga-tiga parti duduk bersama pada PRN Melaka nanti.

    “Malam tadi saya ada pertemuan serta mesyuarat dan ada beberapa ruang yang boleh kita capai bersama,” katanya ketika merasmikan Muktamar Dewan Muslimat Pas Kali ke-61 dan melancarkan TV Wanita Sejahtera secara maya, hari ini.

    Muafakat politik antara ketiga-tiga parti itu bukan sahaja meredakan malah mendinginkan suhu politik yang sedang menggelegak ketika ini.

    Bukan itu sahaja Pas, UMNO dan Bersatu akan dapat mengelak pertembungan tiga atau empat penjuru pada PRN Melaka.

    Tuan Ibrahim Tuan Man

    Ini akan menjadi model terbaik dan diteruskan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15). Jika berjaya adalah mekanisme terbaik untuk PRU-15.

    Pada masa sama akan memberikan situasi menang-menang bukan sahaja kepada parti politik yang bertanding tetapi juga manfaat kepada rakyat.

    Masih belum terlambat untuk mementerai dan mematri satu persefahaman politik antara tiga parti terbesar Melayu dan Islam itu.

    Apatah lagi Rabu lalu, Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan untuk meneruskan persefahaman dengan Pas pada PRN Melaka menerusi Muafakat Nasional (MN) walaupun tiada pendirian yang dinyatakan mengenai kerjasama dengan Bersatu.

    Perkara ini tidak mustahil kerana ketiga-tiga parti itu sebelum ini pernah bekerjasama dalam pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

    Apa yang perlu dilakukan ketika ini berbincang dan mencari titik perdamaian dan persetujuan demi survival politik Melayu dan Islam.

  • Mohammadin umum keluar Warisan, jadi ahli Parlimen Bebas

    Mohammadin umum keluar Warisan, jadi ahli Parlimen Bebas

    AHLI Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohammadin yang juga bekas Menteri Pelancongan Seni dan Budaya mengumumkan keluar daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) hari ini.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama itu mengumumkan keputusan tersebut dan memilih untuk menjadi wakil rakyat Bebas, dalam satu sidang akhbar di Kota Kinabalu.

    Mohammadin menegaskan, keputusan tersebut tiada kaitan dengan isu ‘beli’ wakil rakyat dan dibuat semata-mata demi untuk memastikan kemajuan dibangunkan di kawasan Segama.

    Beliau mendakwa, keputusan itu dibuat selepas melihat tiada sebarang bentuk pembangunan dan kemajuan dapat disalurkan di kawasan diwakilinya sepanjang berada di kerusi pembangkang.

    “Sudah lebih setahun saya berada di pihak pembangkang namun tiada sebarang kemajuan yang dapat dibawa ke kawasan Parlimen Lahad Datu.

    Mohamaddin berkata, ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 tahun lalu, beliau berjanji kepada pengundi Segama untuk membawa seberapa banyak kemajuan dan pembangunan di kawasan itu.

    Katanya, jika beliau masih berada dalam kelompok pembangkang, sudah tentu kemajuan serta pembangunan di DUN Segama akan terus terabai dan tidak akan maju.

    Beliau menjelaskan selaku wakil rakyat Bebas beliau mempunyai hak untuk menyokong sebarang usaha kerajaan yang bertunjangkan kebajikan rakyat.

    Tambahnya, di peringkat kerusi Parlimen beliau memilih untuk kekal bebas tanpa menyokong mana-mana pihak.

    Mengulas lanjut, walaupun mesra kepada kerajaan negeri bagi DUN yang diwakili, beliau memaklumkan dirinya kekal menjadi seorang Ahli Parlimen bebas dan tidak menyokong mana-mana pihak di peringkat Persekutuan.

    “Bagaimanapun, saya sangat berbesar hati untuk mengundi dan menyokong usaha kerajaan Persekutuan sekiranya undi yang ada pada saya iaitu satu undi Bebas boleh membantu membuat keputusan demi kepentingan rakyat dan negara.

    “Hal ini disebabkan sudah menjadi tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat yang dipilih pengundi bagi menjayakan sebarang usaha kerajaan untuk negara secara keseluruhannya,” katanya.

  • Warga emas maut digilis lori, dilanggar lari

    Warga emas maut digilis lori, dilanggar lari

    SEORANG warga emas maut dalam keadaan mengerikan apabila kepalanya digilis lori selepas terlibat kemalangan di Kilometer 35.5 Jalan Klang-Banting-Port Dickson, Kuala Langat, semalam.

    Semasa kejadian pukul 12.30 tengah hari itu, warga emas lelaki berusia 70 tahun itu menunggang motosikal jenis Yamaha Y10SS2 dalam perjalanan dari arah Banting menghala ke rumahnya di Kelanang.

    Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Salleh berkata, semasa tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai melanggar pembahagi jalan segi tiga selekoh (arah Sungai Lang) lalu jatuh di lorong sebelah kiri Jalan Banting menghala ke Morib.

    “Mangsa kemudian digilis di bahagian kepala oleh lori. Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Menurut saksi yang melihat kemalangan itu, mangsa melanggar pembahagi jalan yang berada di kiri jalan sebelum terjatuh di permukaan jalan di lorong kiri kemudian digilis lori berkenaan.

    “Saksi bagaimanapun tidak sempat mencatat nombor pendaftaran kenderaan terbabit kerana selepas kejadian ia tidak berhenti dan hanya meneruskan perjalanan. Ini merupakan kemalangan langgar lari,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

    Ahmad Ridhwan berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Banting untuk tujuan bedah siasat yang akan dijalankan hari ini selepas mendapat keputusan Ujian PCR Covid-19.

    Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat, Inspektor Fatin Husna Khairuzzaman di talian (017-3012621 atau 03-31872222).

  • Tidak serik, ‘Minah Saleh’ degil, buat hal lagi

    Tidak serik, ‘Minah Saleh’ degil, buat hal lagi

    TINDAKAN seorang ‘minah saleh’ yang baru-baru ini tular menimbulkan kekecohan cuba memasuki sebuah butik di Suria KLCC tanpa memakai pelitup muka sekali lagi mencuri perhatian netizen apabila mengulangi insiden sama.

    Insiden itu kali ini berjaya dirakam seorang pengguna Twitter dan video yang berdurasi 20 saat itu menunjukkan pertengkaran antara wanita warga asing berkenaan dengan pihak pengawal apabila cuba memasuki pusat beli-belah Bangsar Shopping Centre (BSC) tanpa memakai pelitup muka.

    Tindakan wanita berkenaan yang dilihat mengulangi perkara sama mengundang kecaman netizen malah ada yang meminta agar dia kembali pulang ke negara asalnya.

    Sebelum ini, tindakan wanita warga asing itu turut mendapat perhatian Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang turut tidak bersetuju dengan tindakan wanita terbabit.

    Mengambil pepatah Inggeris, ‘Bila di Rome, lakukan seperti orang Roman’, Khairy meminta setiap individu untuk sentiasa mengenakan pelitup muka tanpa mengira perbezaan peraturan di tempat atau negara lain.

    Dalam pada itu, sebahagian besar warganet memuji tindakan tegas pasukan pengawal berhubung prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.

    Sebelum ini, wanita warga asing itu mendakwa individu yang memakai pelitup muka sebagai komunis selain meminta keistimewaan sebagai individu yang berkulit putih.

  • Bayi gagal diselamatkan, rentung dalam kebakaran

    Bayi gagal diselamatkan, rentung dalam kebakaran

    SEORANG bayi lelaki rentung dalam kebakaran di rumah mereka Jalan Dua, Pusat Bandar Sandakan, Sandakan, malam tadi.

    Bayi berkenaan yang dikenali seabgai Adam berusia kira-kira satu tahun tidak dapat diselamatkan dalam kejadian pada pukul 11.05 malam.

    Difahamkan, rumah yang disewa itu dihuni kira-kira 20 penghuni termasuk keluarga bayi berkenaan.

    Ketika kejadian, ibu bapa bayi berkenaan tidak berada rumah dan mangsa dikatakan dijaga oleh adik-beradiknya yang lain.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 11.09 malam.

    Menurutnya, sejurus itu 18 anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian menggunakan dua jentera penyelamat.

    “Sebaik tiba di lokasi kejadian, api sedang marak di tingkat tiga bangunan enam tingkat berkenaan.

    “Pada pukul 12.24 tengah malam, api berjaya dikawal dan pemeriksaan lanjut menemui bayi rentung berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Jimmy berkata, mayat bayi itu kemudiannya diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke bilik mayat Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan untuk tindakan lanjut.

    Tambahnya, punca kejadian serta anggaran nilai kerugian masih dalam siasatan.