Author: Admin

  • Tiga sekeluarga maut Perodua Alza bertembung lori

    Tiga sekeluarga maut Perodua Alza bertembung lori

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG cucu bersama datuk dan neneknya maut selepas Perodua Alza dinaiki mereka bertembung lori pasir di Jalan Johor Kampung Pinggir, di Kluang kira-kira 9 pagi tadi.

    Mangsa yang maut ialah pemandu kereta iaitu Izzah Shahirah Sahri, 22, dan datuknya, Md. Salleh Kosran, 75, serta nenek, Miskina Naining, 70.

    Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Fauzi Md. Nor berkata, ketiga-tiga mereka dikatakan dalam perjalanan ke Simpang Renggam untuk mengambil ubat.

    “Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Johor menerima panggilan kecemasan kemalangan jalan raya melalui talian Mers999 dan sebuah jentera FRT dari BBP Renggam dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Terdapat tiga mangsa tersepit di dalam kereta Perodua Alza dan anggota bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Mohd. Fauzi berkata, ketiga-tiga mangsa disahkan maut di tempat kejadian dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

    Pemandu lori yang berusia 52 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan dan operasi terbabit ditamatkan pada pukul 11.25 pagi.

  • Tujuh kanak-kanak lari dari rumah penjagaan

    Tujuh kanak-kanak lari dari rumah penjagaan

    TUJUH kanak-kanak lelaki yag dipercayai melarikan diri dari rumah penjagaan kanak-kanak, di Kuantan, semalam.

    Susulan itu, polis melancarkan operasi mencari kanak-kanak tersebut yang berumur antara 12 dan 15 tahun itu selepas menerima laporan kehilangan mereka.

    Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, berdasarkan siasatan awal, kehilangan kanak-kanak terbabit disedari seorang rakan mereka sebelum memaklumkan kepada pengurusan.

    “Oleh itu, kerjasama masyarakat amat diperlukan untuk mengesan kanak-kanak ini yang mungkin berlindung di tempat tertentu.

    “Jika melihat kanak-kanak dalam keadaan mencurigakan, orang ramai diminta memaklumkan kepada polis. Kita percaya mereka masih berada di daerah ini,” katanya pada sidang media kes Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) di Ibu Pejabat Kontinjen Pahang, hari ini.

    Mengulas motif kanak-kanak terbabit melarikan diri, beliau berkata, pihaknya masih lagi menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

    Katanya, siasatan turut mengenal pasti punca mereka melarikan diri sama ada melalui pintu pagar atau memanjat pagar.

    “Semua masih lagi dalam siasatan dan polis berharap mereka pulang demi keselamatan,” katanya.

  • Kilang tutup akibat Covid-19 jadi punca bekalan minyak masak paket kurang

    Kilang tutup akibat Covid-19 jadi punca bekalan minyak masak paket kurang

    TINDAKAN sebuah pengilang minyak masak paket di daerah Timur Laut, Pulau Pinang yang terpaksa menutup operasi akibat Covid-19 dikesan menjadi antara punca bekalan produk itu khususnya di bahagian pulau negeri tersebut terjejas sejak minggu lalu.

    Lebih memburukkan keadaan apabila pengilang itu merupakan antara pengilang terbesar di bahagian pulau yang membungkus semula minyak masak paket untuk diedarkan kepada peruncit dan ejen.

    Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, pengilang yang diberi kuota mengeluarkan 150 tan minyak masak paket sebulan itu terpaksa menutup operasi selama tujuh hari sejak minggu lalu.

    Bagaimanapun ujar beliau, pihaknya yakin masalah kekurangan bekalan minyak masak paket itu akan pulih selepas pengilang terbabit akan meneruskan semula operasi minggu ini.

    Dalam masa sama jelas beliau, kekurangan bekalan minyak masak paket minggu lalu juga disebabkan pengeluarannya dikawal memandangkan berada pada minggu akhir bulan Oktober.

    “Kebiasaan kuota yang ditetapkan untuk Pulau Pinang adalah sebanyak 3,434 kilogram minyak masak paket dan terdapat 25 pengilang yang diberi kebenaran untuk membungkus semula minyak masak paket ini.

    “Bagaimanapun, pada minggu akhir Oktober, kita dapati jumlah pengeluaran telah menghampiri kuota yang ditetapkan dan pengilang mengawal bekalan kerana tidak mahu melepasi kuota yang ditetapkan,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2021 di Pasar Chowrasta, Georgetown, Pulau Pinang, hari ini.

    Sebelum ini, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa menyiasat masalah kekurangan bekalan minyak masak paket selepas menerima banyak aduan daripada orang ramai yang bimbang berikutan sambutan Deepavali tidak lama lagi.

    Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Ridzuan berkata, pihaknya akan menjalankan pemantauan setiap hari sempena SHMMP Deepavali bagi memastikan tiada kenaikan harga melampau dan bekalan mencukupi ketika musim perayaan.

    Tegasnya, mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga yang tidak munasabah akan dikenakan tindakan dibawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

  • 200,000 pekerja asing mohon untuk bekerja semula – KDN

    200,000 pekerja asing mohon untuk bekerja semula – KDN

    MENTERI Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin memberitahu, seramai 212,926 pekerja asing telah memohon untuk bekerja semula melalui Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) sejak dilaksanakan tahun lalu.

    Beliau berkata, pada masa sama sebanyak 11,751 majikan turut memohon dalam program tersebut untuk mendapatkan khidmat tenaga kerja asing.

    “KDN telah membuat semakan mengenai permohonan-permohonan tersebut meliputi beberapa sektor antaranya perkilangan, pembinaan, pertanian serta peladangan.

    “Ada beberapa sektor khusus ingin mereka mendaftarkan diri iaitu melalui perkilangan sahaja sebanyak 65,484 telah berdaftar untuk bekerja semula, pembinaan (122,075) manakala pertanian (12,003) dan peladangan (7,176). Ini adalah mereka yang sedang telah berdaftar dan berminat untuk mana-mana majikan mengambil bekerja semula.

    “Selain itu, melalui Program Rekalibrasi Pulang PATI pula, sebanyak 147,705 (mendaftar untuk pulang), dengan kutipan wang kompaun berjumlah RM71,368,700.

    “Ini membuktikan program ini mencapai kejayaan buat setakat ini,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

    Terdahulu, Steven Choong Shiau Yoon (PH-Tebrau) meminta menteri menyatakan sektor mana yang dibenar menerima kemasukan pekerja asing baharu, selain jumlah pekerja asing yang akan diluluskan bagi setiap sektor serta berapa lama kelonggaran ini akan berlangsung.

    Menjawab pertanyaan tersebut, Hamzah (Bersatu-Larut) berkata, kerajaan bersetuju membawa masuk kira-kira 32,000 tenaga buruh asing ke Malaysia untuk sektor perladangan secara pengecualian khas.

    Jelas beliau, keputusan itu dibuat dalam Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 22 Oktober lalu selepas bersetuju dengan cadangan prosedur operasi standard (SOP) kemasukan pekerja asing ke Malaysia bagi sektor yang dibenarkan.

    “SOP yang sama akan dikuatkuasakan kepada semua sektor yang ditetapkan dan diluluskan secara kes mengikut kes (case-by-case basis) oleh Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing,” ujarnya.

    Dalam masa yang sama, Hamzah berkata, setakat ini kerajaan masih meneliti jumlah pekerja asing yang akan diluluskan bagi setiap sektor yang dibenarkan.

    Katanya, kementerian dan agensi berkaitan sedang melaksanakan analisis terperinci mengenai perkara tersebut bagi memastikan hala tujuk strategik dalam mencapai keseimbangan antara ekonomi dan kesihatan.

  • PGA tumpas kegiatan arak dan rokok seludup

    PGA tumpas kegiatan arak dan rokok seludup

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    PASUKAN Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan arak dan rokok membabitkan nilai yang mencecah RM127,318 hasil penahanan tiga lelaki tempatan dalam dua serbuan di Kluang, semalam.

    Sindiket terbabit dipercayai mensasarkan jualan di kedai runcit sekitar daerah itu selepas menyeludup masuk bekalan terbabit dari luar negara.

    Malah, mereka juga menggunakan pelekat Kastam palsu disyaki sebagai helah atau bagi mengaburi mata pihak berkuasa supaya tidak mengesan kegiatan itu.

    Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintenden Dimin Awang berkata, berdasarkan risikan dan maklumat, tiga lelaki terbabit yang berusia 20, 28 dan 33 tahun ditahan di Taman Delima dan Taman Saujana, di sini.

    Dua daripada tiga lelaki yang berusia 20, 28 dan 33 tahun ditahan di Taman Delima dan Taman Saujana, Kluang.

    “Dalam operasi pertama kira-kira 9.30 pagi, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Batalion 5 PGA telah menahan dan membuat pemeriksaan ke atas dua orang lelaki di sebuah premis di Jalan 1, Taman Delima.

    “Antara barang yang berjaya dirampas adalah 54 karton rokok pelbagai jenama dan 1,745 botol arak pelbagai jenama. Semua barang tersebut tidak memiliki cukai kastam serta menggunakan pelekat kastam yang disyaki palsu,” katanya dalam kenyartaan, hari ini.

    Dimin berkata, hasil soal siasat, kedua-dua suspek membawa pasukan ke lokasi kedua di sebuah premis di Jalan Saujana Perdana 1, Taman Saujana sebelum menahan seorang lagi lelaki yang terlibat dalam kegiatan itu.

    Suspek ketiga ditahan di sebuah premis di Jalan Saujana Perdana 1, Taman Saujana, Kluang

    Katanya, di lokasi terbabit, 168 tin arak pelbagai jenama dan 175 botol arak pelbagai jenama yang tidak memiliki cukai kastam dirampas.

    Beliau berkata, tangkapan serta barangan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kluang untuk tindakan Ianjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 135 (I) Akta Kastam 1967.

    “Orang awam diminta terus menyalurkan maklumat kepada polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi jalan yang tidak diwartakan melalui talian hotline 07-7557280,” katanya.

  • JSJN Perak lupuskan dadah bernilai lebih RM58 juta

    JSJN Perak lupuskan dadah bernilai lebih RM58 juta

    JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak melupuskan pelbagai dadah bernilai lebih RM58 juta yang membabitkan kes dari 15 daerah di negeri itu sejak 1988 hingga kini.

    Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Mazlan Santarai berkata, pelupusan membabitkan 4,991 kertas siasatan sepanjang tempoh 33 tahun itu melibatkan kes-kes yang telah selesai perbicaraan.

    “Pelupusan melibatkan 10 jenis dadah seberat 1,561.4 kilogram (kg), daun ketum (2,773.7 kg), 1.7 juta liter cecair ketum dan ubat batuk.

    “Antara dadah yang dilupuskan adalah ganja seberat 699 kg, heroin (413 kg), syabu (34 kg), ketamin (1.2 kg), ecstasy (21.86 gram) dan 57 gram Eramin 5,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Majlis Pelupusan Barang Kes Narkotik JSJN di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, hari ini.

    Menurutnya, kerja-kerja pelupusan itu akan dijalankan oleh sebuah syarikat di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan.

    Mazlan berkata, seramai 1,752 individu telah diambil tindakan sepanjang tempoh Januari hingga September lalu dalam usaha pembanterasan ke arah pengurangan bekalan dadah.

    “Usaha sama dijalankan bagi membanteras pengurangan permintaan memiliki dadah dengan seramai 3,721 orang telah diambil tindakan manakala pengurangan positif urin pula melibatkan 1,598 orang.

    “Pada masa sama, sebanyak 3,777 kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952 dan daripada jumlah itu, sebanyak 3,543 kertas siasatan telah dituduh iaitu pencapaian sebanyak 94 peratus,” katanya.

  • Seludup PATI:Anggota PGA, dua individu didakwa

    Seludup PATI:Anggota PGA, dua individu didakwa

    SEORANG anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) berpangkat koperal dan dua individu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Pasir Mas hari ini atas tuduhan menyeludup lima pendatang asing tanpa izin (PATI) pada awal bulan lalu.

    Muhd. Nor Hafifi Md. Khanapiah, 33, Mohd. Azhar Mohamad, 28, dan Muhammad Rahmat Muhammad, 33, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Badrul Munir Mohd. Hamdy.

    Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh semasa proses tersebut berjalan, lapor Sinar Harian hari ini.

    Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan penyeludupan lima migran warga Thailand semasa melalui sekatan jalan raya (SJR) Lalang Pepuyu, Tanah Merah pada 6 Oktober lalu dan kesalahan itu dilakukan pada jam 10 malam.

    Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 20A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Jika disabitkan kesalahan, kesemua tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun, atau denda atau kedua-dua sekali.

    Pendakwaan dilakukan oleh Abu Arsalnaa Zainal Abidin.

    Mahkamah bagaimanapun menetapkan 9 Disember ini untuk memanggil kesemua migran itu bagi tujuan merekodkan keterangan.

    Tertuduh ketiga, Muhammad Rahmat diwakili peguam Shaharuddin Mohamed, manakala dua lagi tidak diwakili peguam.

  • Pastikan sistem pengudaraan di bilik guru dalam keadaan baik

    Pastikan sistem pengudaraan di bilik guru dalam keadaan baik

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEMUA sekolah perlu memastikan bilik guru mempunyai sistem pengudaraan yang baik bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19.

    Menteri Kanan Pendidikan (KPM), Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, perkara itu amat ditekankan selepas arahan sama dikeluarkan terhadap bilik darjah sebelum ini bagi memastikan pengudaraan yang baik dan selamat untuk pelajar.

    “Pengudaraan ini perlu diberikan perhatian khusus, sebelum ini ramai yang keliru sedikit tetapi akhirnya semua pihak dapat memahami

    kepentingan pengudaraan yang baik dan memastikan tahap pengudaraan di sekolah berada pada tahap paling optimum.

    “Sebelum ini pengudaraan yang baik di bilik darjah dah selesai tetapi di bilik guru yang gunakan penghawa dingin sebagai contoh, sebaiknya ada pengudaraan dengan membuka tingkap bagi membolehkan keadaan lebih untuk guru-guru,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Semasih, Panchor, Muar hari ini.

    Dalam perkembangan lain, Radzi berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) telah selesai melengkapkan pemilihan guru bagi Fasa 1 pengambilan secara one-off.

    Katanya, kriteria pemilihan awal itu adalah berlandaskan calon yang bakal mengajar subjek penting di sekolah serta mempunyai latar belakang dalam pengajian pendidikan.

    “Fasa 1 telah dipilih dan kita tak ikut berapa ramai, kita berpandukan pada susunan subjek, setelah perkara ini tercapai, baru kita lihat graduan yang tidak ada latar belakang pendidik.

    “Sebab itu kita buat secara berperingkat, ada fasa yang hanya memerlukan ratusan tenaga pengajar namun ada fasa yang perlukan beribu, justeru kita perlu lihat keperluan subjek dalam fasa tersebut,” katanya.

    Mengenai Bajet 2022, beliau berpuas hati dan berterima kasih kepada kerajaan dan Perdana Menteri kerana KKM mendapat peruntukan besar iaitu 16 peratus daripada keseluruhan bajet berkenaan.

    Jelas beliau, pelbagai pengumuman penting dalam bajet tahun depan itu yang akan memberi manfaat terutama membabitkan kerja-kerja penyelenggaraan di 10,000 buah sekolah seluruh negara.

    “Menerusi Bajet 2022 ini juga RM50 juta diperuntukkan untuk murid berkeperluan khas. Ini perkara yang sentiasa kita tekankan, pada tahun ini (menerusi Bajet 2021) kita memperoleh RM45 juta manakala pada tahun depan (menerusi Bajet 2022) kita memperoleh RM50 juta,” katanya.

    Katanya, dana itu akan digunakan untuk segmen-segmen baharu dalam melonjakkan pendidikan khas tersebut agar pelajar tidak ketinggalan.

    “Dalam konteks kemasukan sekolah tahun depan, Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan pemberian susu setiap hari kekal manakala bantuan persekolahan dinaikkan daripada RM100 kepada RM150,” katanya.

  • Sekolah diingatkan beri kelonggaran murid berpakaian

    Sekolah diingatkan beri kelonggaran murid berpakaian

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    MURID dan pelajar tetap diberikan kelonggaran dalam aspek pemakaian ketika hadir ke sekolah sehingga sesi persekolahan berakhir pada pertengahan Disember ini.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, kelonggaran itu telah dinyatakan sebelum ini bahawa mereka dibenarkan untuk mengenakan apa sahaja pakaian yang sopan ke sekolah.

    Bagaimanapun kata beliau, masih terdapat rungutan daripada ibu bapa mengenai segelintir guru yang menetapkan syarat agar murid perlu mengenakan uniform sekolah yang lengkap.

    “Saya tekankan sekali lagi bahawa seperti dinyatakan sebelum ini kita benarkan murid-murid untuk berpakaian yang sesuai serta sopan dan kemas sehingga tempoh akhir tahun persekolahan.

    “Ini penting kerana kita dapat aduan ada yang beritahu cikgu suruh pakai baju sekian-sekian, kasut sekolah betul-betul sedangkan sebahagian mereka ini ada yang baju pun sudah tak muat,” katanya ketika melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Semasih, Panchor di Pagoh hari ini.

    Semalam lebih 1.3 juta pelajar sekolah rendah dan menengah melibatkan empat negeri yang sudah beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) memulakan sesi persekolahan.

    Radzi Jidin ketika mengadakan lawatan ke SK Semasih di Panchor, Pagoh, Muar, hari ini.

    Jumlah tersebut merangkumi 694,531 murid sekolah rendah membabitkan Tahap Satu (Tahun Satu, Dua dan Tiga) dan 652,148 pelajar Tingkatan Tiga dan Tingkatan Empat.

    Pada 21 September lalu, Radzi memaklumkan murid-murid yang kembali mengikuti sesi persekolahan secara bersemuka mulai 3 Oktober tidak diwajibkan untuk memakai pakaian seragam sekolah.

    Sementara itu, ujar beliau, pihak sekolah seharusnya memudahkan urusan kehadiran murid ekoran kekangan yang dihadapi ibu bapa tatkala pembukaan sekolah di waktu pandemik.

    “Saya mohon pihak sekolah khususnya guru-guru pastikan anak murid dimudahkan kehadiran mereka ke sekolah. Kita tak nak tetapkan hari tertentu pakai pakaian tertentu, kalau tak boleh pakai misalnya kena beritahu mak ayah dan sebagainya.

    “Ini mungkin memberikan satu bebanan kepada ibu bapa khususnya mereka yang kurang berkemampuan,” katanya.

  • Sub kontraktor maut kereta langgar pokok, lemas jatuh dalam parit

    Sub kontraktor maut kereta langgar pokok, lemas jatuh dalam parit

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG sub kontraktor dipercayai mabuk maut selepas kereta dipandu terbabas dan melanggar pokok di Persiaran Gelang Patah, Iskandar Puteri, semalam.

    Dalam kejadian pada pukul 8 pagi itu, mangsa yang merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 59 tahun disyaki terjatuh dalam parit berhampiran sebelum dibawa arus deras.

    Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, mangsa dipercayai lemas selepas dibawa arus hingga ke muara Sungai Ulu Pulai.

    “Mangsa ditemukan tersangkut di sungai tersebut. Siasatan mendapati keretanya yang dalam keadaan remuk ditinggalkan di tepi jalan dalam keadaan pintu terbuka manakala sebelum mangsa disyaki terjatuh ke dalam parit utama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, mangsa yang bekerja sebagai seorang sub kontraktor itu ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian.

    “Siasatan dengan dua rakan mangsa mengatakan mereka minum bersama-sama di Gelang Patah pada 30 Oktober 2021 sebelum balik menaiki kereta berasingan.

    “Berdasarkan maklumat diberikan rakan, mangsa dalam keadaan mabuk selepas minum bersama-sama,” ujarnya sambil memaklumkan mayat mangsa dicamkan rakan mereka.

    Dzulkhairi turut memberitahu, mayat mangsa di bawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk dibedah siasat.