JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor menahan sebuah kontena membawa susu kambing dari New Zealand bernilai RM752,302.64 di Pelabuhan Klang Barat, Klang, Shah Alam, Khamis lepas.
Kontena yang membawa susu kambing seberat 15,057.4 kilogram ditahan susulan hasil pemeriksaan rutin dijalankan kira-kira jam 10.30 pagi mendapati tidak mempunyai permit import sah dikeluarkan oleh Maqis.
“Kesemua barang dagangan bernilai RM752,302.64 itu ditahan untuk tindakan lanjut,” menurut Maqis dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga enam tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – Bernama
TAKTIK sebuah pusat hiburan di Taman Molek, Johor Bahru cuba memperdaya pihak berkuasa dengan menutup pintu depan dan belakang premis tidak berjaya selepas dapat dikesan dan diserbu malam tadi.
Serbuan dilakukan pada pukul 10.30 malam dan selesai pukul 12.30 tengah malam melibatkan dua pegawai dan 10 anggota dari Balai Polis Seri Alam selepas melakukan intipan dan siasatan.
Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, pemerhatian polis mendapati hanya pelanggan sahaja dibenarkan masuk dengan kenderaan mereka diletak di belakang bangunan.
“Taktik ini untuk menunjukkan bahawa tidak ada aktiviti hiburan di premis tersebut.
“Kita periksa di bahagian belakang dan ketuk pintu untuk dibuka tetapi diabaikan dan kita dengar bunyi yang sangat kuat daripada dalam dan ada aktiviti hiburan yang sedang berlangsung.
“Apabila pihak polis berjaya masuk ke dalam kita mendapati seramai 55 individu berada di dalam premis ini yang mana satu penjaga,empat pekerja dan selebihnya pelanggan membabitkan 32 lelaki dan 18 wanita,” katanya ketika ditemui selepas serbuan itu.
Serbuan dilakukan pada pukul 10.30 malam dan selesai pukul 12.30 tengah malam melibatkan dua pegawai dan 10 anggota polis
Jelasnya, seorang pelanggan merupakan individu yang dikehendaki dalam kes penipuan di Bukit Martajam pada tahun lalu berumur 30-an.
Sohaimi berkata, sebanyak RM296,000 kompaun dikeluarkan polis dan seorang pelanggan juga gagal menunjukkan imbasan kod MySejahtera.
“Tindakan yang diambil adalah kompaun sebanyak RM25,000 ke atas penjaga premis,manakala pelanggan dan pekerja RM5,000 seorang dan individu yang gagal mengimbas MySejahtera pula tambah lagi RM1,500,” katanya.
Kesemua yang ditahan merupakan lelaki dan perempuan warga tempatan dibawa ke Balai Polis Johor Jaya untuk tindakan selanjutnya.
“Pihak polis tiada sebarang kompromi kepada mana-mana individu atau pengusaha pusat hiburan yang melanggar prosedur operasi standard (SOP). Jika kita lihat sekarang ini pusat hiburan memang tidak dibenarkan beroperasi.
Tambahnya, kebanyakkan premis pusat hiburan yang ingkar mengambil kesempatan menutup kesemua pintu masuk dan merahsiakan daripada orang lain dan hanya mereka tertentu dibenarkan masuk.
PUSAT Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) akan mengemukakan laporan separuh penggal Semakan Berkala Sejagat (UPR) untuk pusingan ketiga membabitkan Malaysia dalam bulan ini.
CENTHRA menerusi satu kenyataan memberitahu, hasil penyelidikan laporan separuh penggal itu membentuk dokumen yang akan dikemukakan CENTHRA kepada pihak UNHRC.
Jelas pusat tersebut, pihak Jawatankuasa Kerja, Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) akan mengemuka laporan berkenaan di Geneva, Switzerland.
CENTHRA mengadakan mesyuarat penyelarasan kumpulan penyelidikan bagi memuktamadkan laporan separuh penggal UPR, bagi pusingan ketiga membabitkan Malaysia, hari ini
“Seramai kira-kira 21 penyelidik terdiri daripada pakar rujuk dalam kalangan pensyarah universiti tempatan, pengamal undang-undang dan aktivis CENTHRA menyumbangkan idea serta pandangan mengenai kemajuan penyelidikan berkenaan.
“Sebanyak 10 tema kajian dibentangkan sebagai ringkasan laporan merangkumi tema Hak Pelarian, Pekerja Migran, Pemerdagangan Manusia, Isu Individu Tanpa Negara, Kebebasan Bersuara, Hak Kanak-kanak, Perniagaan dan Asasi Manusia, Kebebasan Beragama, Mahkamah Sivil dan Syariah serta Perjanjian Antarabangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pihak CENTHRA mengadakan mesyuarat penyelarasan kumpulan penyelidikan bagi memuktamadkan laporan separuh penggal UPR, bagi pusingan ketiga membabitkan Malaysia, hari ini.
Pihak Jawatankuasa Kerja, Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) akan mengemuka laporan berkenaan di Geneva, Switzerland
Projek penyelidikan itu, katanya, susulan usaha dimulakan CENTHRA sejak pembabitannya dalam proses UPR di UNHRC, Geneva seawal 2014.
“Penyertaan CENTHRA melalui Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) dalam sesi UPR memperkukuh suara Organisasi Masyarakat Sivil Islam dalam menyuarakan isu hak asasi manusia pada November 2018.
“Melalui sokongan berterusan daripada pelbagai pihak khususnya Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), CENTHRA memberi perhatian kepada tema penyelidikan dipilih bagi memastikan gambaran serta data tepat diperoleh untuk dijadikan asas rujukan advokasi dalam isu hak asasi manusia.
Penyertaan CENTHRA melalui Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi MACSA dalam sesi UPR memperkukuh suara Organisasi Masyarakat Sivil Islam dalam menyuarakan isu hak asasi manusia
“Bersesuaian prinsip dan pendekatan CENTHRA sejak awal penubuhannya, usaha mempertahan, mempromosi dan memperjuangkan hak asasi di Malaysia berdasarkan beberapa pematuhan.
“Ia membabitkan Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) 1948, Pengisytiharan Kaherah mengenai Hak Asasi Manusia Dalam Islam (CDHRI) 1990, Pengisytiharan Hak Asasi Manusia ASEAN 2012, Perlembagaan dan undang-undang syariah,” katanya.
CENTHRA berharap usaha berterusan itu akan dapat memperkukuh usaha mempertahankan hak asasi manusia berdasarkan acuan tersendiri serta konsisten dengan kedudukan sebagai anggota Majlis Hak Asasi Manusia bagi penggal 2022-2024.
PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka bertambah panas apabila poster, kain rentang dan tiang bendera Perikatan Nasional (PN) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana dirosakkan.
Kejadian tersebut yang berlaku seminggu sebelum hari pengundian PRN Melaka dimaklumkan kepada Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan, hari ini.
Menurut beliau, kejadian itu mengecewakan PN dan pihaknya menganggap situasi itu tidak sepatutnya berlaku.
Poster, kain rentang dan tiang bendera PN, laporan akan dibuat dalam masa terdekat
“Saya telah mengarahkan jentera pilihan raya PN menyiasat jika ada kerosakan di DUN lain. Jentera PN sedang memeriksa jika kerosakan ini dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
“Laporan akan kami buat kepada pihak berkuasa sekiranya kami mendapati ada unsur samseng dalam kempen ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.
Beliau turut memuat naik gambar kerosakan berkenanan yang memaparkan poster calon PN dikoyak dan kain rentang serta tiang bendera dicabut dan dipatahkan.
Berikutan itu, Wan Saiful menyeru supaya semua parti politik yang bertanding berkempen dengan cara yang baik.
“Janganlah merosakkan bahan kempen parti lain.
Wan Saiful berharap budaya samseng dan budaya ekstrem seperti merosakkan bahan kempen parti mesti dihentikan serta-merta dan dipadam daripada landskap politik negara
“Budaya samseng dan budaya ekstrem mesti dihentikan serta-merta dan dipadam daripada landskap politik negara,” katanya.
PRN Melaka yang dijadualkan berlangsung pada 20 November ini diadakan berikutan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Ketua Menterinya terdahulu, Datuk Seri Sulaiman Md. Amin.
CALON Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Mejar (B) Abdullah Mahadi berhasrat meneruskan program-program amal Kelab Sukarelawan Masjid Tanah (SMART) kerana ia terbukti berjaya membantu penduduk setempat sepanjang tempoh pandemik Covid-19.
Beliau yang juga Pengerusi SMART berkata, kelab berkenaan yang kini berjaya mengumpul lebih 100 ahli, sebelum ini banyak melakukan kerja amal membantu barisan hadapan dan melancarkan program vaksinasi di daerah Masjid Tanah.
“Kami membantu meringankan beban petugas barisan hadapan dari segi pendaftaran vaksin terutamanya untuk warga tua yang agak ketinggalan dan menghadapi masalah untuk pendaftaran vaksin mereka.
“Kadang-kadang kami buat lawatan dari rumah ke rumah untuk bantu mereka daftar dan membuka pusat kami untuk mereka datang seperti di Klinik Kesihatan Masjid Tanah.
“Jadi, mereka sambil-sambil datang nak periksa kesihatan, mereka boleh dapatkan bantuan untuk selesaikan pendaftaran vaksin,” katanya ketika siaran langsung di akaun Facebook rasmi beliau.
Menurutnya, SMART yang dinaungi Ahli Parlimen Masjid Tanah yang juga calon PN DUN Tanjung Bidara, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mensasarkan penglibatan 70 peratus golongan muda di kawasan tersebut.
Katanya, selain proses vaksinasi, SMART membantu proses sanitasi penduduk setempat, menyediakan kemudahan logistik kepada warga emas, ibu tunggal dan penduduk kurang berkemampuan ke pusat vaksinasi.
Dalam pada itu tambahnya, SMART juga membantu masyarakat setempat dengan menyediakan semburan sanitasi dari rumah ke rumah secara percuma khususnya kepada golongan yang kurang berkemampuan serta menyediakan inisiatif teksi.
Beliau menambah, SMART juga menyediakan perkhidmatan panggilan peringatan kepada penerima-penerima vaksin dos pertama dan kedua, serta menghantar bantuan kit makanan kepada golongan memerlukan dari rumah ke rumah.
Perkhidmatan panggilan peringatan kepada penerima vaksin dos pertama dan kedua yang disediakan oleh SMART sepanjang tempoh pemberian vaksin di Masjid Tanah. Foto- FB SMART MTV
“Mereka yang mendapat bantuan ini cukup bersyukur dan berterima kasih serta merasa dihargai dan didengari oleh pemimpin bagi mengurangkan beban mereka,” tambahnya.
Sementara itu, mengenai isu setempat, Abdullah menggesa pihak berkuasa tempatan menjalankan kajian komprehensif menyelesaikan masalah lalt dan langau di pekan Lendu termasuk di kawasan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu.
Servis pengangkutan yang disediakan oleh SMART bagi meringankan beban mereka yang memerlukan untuk dihantar pulang ke kediaman masing-masing selepas menerima suntikan vaksin.Foto- FB SMART MTV
“Ia mungkin datang daripada kekotoran yang mungkin datang di pusat-pusat pertenakan dan masalah ini perlu diambil tindakan oleh pemantau-pemantau kesihatan,” katanya.
Pada PRN Melaka 20 November ini Abdullah akan ditentang calon Pakatan Harapan (PH), Mohamad Asri Ibrahim dan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali mewakili Barisan Nasional (BN).
JAWATANKUASA Khas yang ditubuhkan untuk menyiasat secara teliti kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim kini dianggotai oleh pakar undang-undang, patologi forensik dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar turut mengumumkan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Kamardin Hashim dan Perunding Kanan Patologi Forensik Penang Medical College Datuk Dr Bhupinder Singh sebagai anggota Jawatankuasa Khas itu.
Ia juga dianggotai Profesor Ulung Fakulti Perubatan Universiti Malaya Datuk Prof Dr Looi Lai Meng; pakar kriminologi Datuk Dr P. Sundramoorthy; Ketua Penolong Pengarah (D10) Forensik PDRM SAC Azari Abd Rahman serta Ketua Pusat Pengajian Sains Penyiasatan dan Pendakwaan PDRM SAC Mohammad Abd Hamid.
“Mesyuarat Jemaah Menteri pada 29 Okt lepas bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Khas tersebut bagi memastikan pembelaan sewajarnya dibuat terhadap kes kematian Muhammad Adib,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 9 Okt, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sebuah Jawatankuasa Khas akan diwujudkan bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya berhubung kes kematian Muhammad Adib.
Ismail Sabri berkata Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan Wan Junaidi itu dianggotai Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; serta Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun.
Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri akan menjadi urus setia bersama Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi Jawatankuasa Khas itu.
“Memorandum Jemaah Menteri berhubung penubuhan Jawatankuasa Khas ini termasuk terma rujukan, keanggotaan dan implikasi kewangan akan dibentangkan untuk pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
“Jawatankuasa ini akan mengemukakan dapatan dan syor-syor kepada mesyuarat Jemaah Menteri dalam tempoh enam bulan sebagaimana keputusan Jemaah Menteri pada 29 Okt lepas,” katanya.
Muhammad Adib, cedera parah semasa rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov 2018 dan meninggal dunia pada 17 Dis 2018, selepas berjuang untuk hidup selama 21 hari.
Allahyarham dikatakan diserang serta dipukul sehingga cedera parah, malah jentera bomba turut dirosakkan selain dua kenderaan lain dibakar dalam rusuhan yang berlaku berikutan perselisihan antara dua kumpulan mengenai isu perpindahan tapak kuil berusia lebih 100 tahun itu.
Prosiding inkues bagi menyiasat kematian Muhammad Adib di Mahkamah Koroner Shah Alam di hadapan Koroner Rofiah Mohamad berlangsung selama 41 hari dan berakhir 24 Julai 2019. Seramai 30 saksi dipanggil dan 137 bahan bukti dikemukakan.
Pada 27 Sept 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib adalah perbuatan jenayah dilakukan lebih daripada dua individu tidak dikenali. – Bernama
PENGALAMAN lebih 20 tahun mendidik anak-anak istimewa sudah cukup untuk menyuburkan sifat kental dan sabar dalam diri Aziah Mohd Sa’ad atau Cikgu Aziah, calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Justeru kelebihan itu akan dimanfaatkan dalam perjalanannya sebagai wakil rakyat kawasan itu jika diberi mandat oleh pengundi pada PRN kali ini.
Aziah, 60, yang memiliki seorang anak istimewa Mujahid Abdul Ghani, 29, juga akan mengangkat isu pendidikan anak Orang Kurang Upaya (OKU) sebagai antara misinya pada pilihan raya ini.
“Masih ramai ibu bapa ‘menyimpan’ anak-anak OKU di rumah sedangkan anak-anak ini perlu dihantar ke sekolah pendidikan khas supaya potensi diri mereka boleh dicungkil sekali gus berupaya menguruskan diri sendiri.
“Mereka ini kita gelar anak syurga, tiket kita untuk masuk syurga, tetapi jika tidak kena caranya, umpama kita dapat tiket bola sepak tetapi bila nak masuk stadium tiket tertinggal di rumah, maka kita tak dapat masuk ke dalam stadium,” katanya kepada Bernama di sini.
Aziah berkata ibu bapa yang mempunyai anak OKU perlu mendaftarkan anak mereka dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya pihak terlibat boleh menyalurkan pelbagai bantuan termasuk pendidikan.
Selain isu OKU, Aziah juga memperjuangkan pendidikan terutama dalam kalangan anak-anak nelayan di Kuala Linggi.
Pesara guru itu sedar golongan nelayan banyak menghabiskan masa di laut dan mungkin kurang mengambil berat tentang pendidikan anak-anak.
“Ada anak-anak nelayan yang membantu ibu bapa mereka menjadi nelayan, kadang-kadang mereka tidak ke sekolah sebab sudah letih turun (ke laut) tangkap ikan.
“Lalu bagaimana anak-anak ini akan menjadi harapan untuk mengubah kehidupan keluarga jika mereka terperangkap dalam situasi seperti ini,” katanya.
Selaku calon wanita, pembangunan ekonomi wanita di Kuala Linggi turut menjadi perhatian Aziah dan tekad untuk memberikan sebanyak mungkin bantuan dari segi modal dan ilmu agar golongan wanita di kawasan itu mampu menjana pendapatan dalam membantu meningkatkan ekonomi keluarga.
Beliau turut melihat potensi Kuala Linggi sebagai tempat pelancongan dengan membangunkan kawasan itu sebagai satu lagi tarikan produk ikan bakar seperti Umbai, Muara Sungai Duyong dan Alai.
“Pelancong akan mempunyai banyak pilihan jika mereka mahu makan di sini. Di sini kita mempunyai Restoran Ikan Bakar Terapung Fort Supai yang boleh kita promosikan lebih giat,” katanya.
Pada hari pengundian yang ditetapkan 20 Nov ini, Aziah yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Masjid Tanah akan menentang Rosli Abdullah (BN), Julasapiyah Kassim (PH) dan Kamisan Palil (Bebas).
Selain aktif berpolitik, isteri kepada bekas Pesuruhjaya PAS Melaka Abdul Ghani Abdul Rahman itu turut menggerakkan badan bukan kerajaan (NGO) yang membantu menjahit dan membekalkan peralatan pelindung peribadi (PPE) kepada Hospital Besar Melaka apabila hospital itu mengalami kekurangan peralatan ketika COVID-19 melanda negara. – Bernama
TINDAKAN kesemua 28 calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menandatangani dokumen aku janji menentang rasuah malam tadi adalah satu langkah ke hadapan, kata Pengerusi PN Negeri Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.
Mohd Rafiq yang juga Naib Presiden Bersatu berkata PN menjadi gabungan pertama melakukan tindakan tersebut dalam memastikan setiap calonnya menjauhi aktiviti rasuah yang mampu memberi kesan negatif kepada bukan sahaja rakyat tetapi juga pembangunan negeri itu.
“Usaha PN ini adalah satu usaha yang baik dalam membuktikan komiten kita yang memang telus mahukan satu kerajaan dan pemimpin berintegriti sekiranya diberi mandat nanti,” katanya di Melaka, hari ini.
Dalam perkembangan lain, calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas itu menjelaskan insiden bilik gerakan ditutup dan dikompaun kerana kes positif COVID-19 melibatkan seorang petugas jentera parti itu tidak mengganggu perjalanan kempennya.
“Kita terima kecuaian tersebut (tidak mengeluarkan pengimbas suhu) dan kita akan jelaskan kompaun. Bagi bilik gerakan, kita sudah wujudkan bilik lain yang juga di dalam DUN Telok Mas. Kita sentiasa bersedia dengan pelan kecemasan sekiranya perkara sebegini berlaku,” katanya.
Pada hari pengundian 20 Nov ini, Mohd Rafiq berdepan saingan empat penjuru menentang Muhammad Ariff Adly Mohammad (Bebas), Ashraf Mukhlis Minghat (PH) dan Abdul Razak Abdul Rahman (BN). – Bernama
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini mengingatkan rakyat bahawa kelonggaran daripada Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dinikmati kini boleh hilang sekali lagi jika mereka berterusan lalai.
Seri Paduka bertitah semua pihak mengambil iktibar daripada pelbagai ujian sebelum ini selain terus memainkan peranan sehingga negara bebas sepenuhnya daripada wabak COVID-19.
Al Sultan Abdullah dalam pada itu turut menasihati rakyat agar terus bersabar, menjaga kesihatan diri dan mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan dalam usaha mengekang penularan pandemik itu.
“Beta percaya, setiap badai yang melanda akan berhenti jua, yang gelap pasti akan menjadi terang dan yang kelam akan kembali bercahaya,” titah Al-Sultan Abdullah pada Istiadat Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tahun 2021 di Istana Negara, Kuala Lumpur, hari ini.
Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Pada istiadat itu, seramai 44 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan Tahun 2021 hari ini sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong yang disambut 7 Jun lepas, namun tiada istidat sambutan diadakan berikutan penularan COVID-19.
Mengenai sambutan hari ini, Seri Paduka bertitah ia dirancang untuk berlangsung pada Julai, namun tidak dapat dilaksanakan berikutan keadaan pandemik COVID-19 yang belum reda.
“Alhamdulillah, situasi pandemik COVID-19 di negara kini semakin bertambah baik, negara mula beransur meniti ke fasa terakhir PPN yang memberi pelbagai kelonggaran kepada rakyat beta,” titah Yang di-Pertuan Agong.
PPN yang merangkumi empat fasa diumumkan pada 15 Jun lepas oleh Perdana Menteri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin. – Bernama
TINDAKAN berani satu sindiket dadah antarabangsa yang menyimpan bekalan dadah di dalam sebuah bilik hotel di Teluk Bahang, Pulau Pinang untuk diseludup menggunakan jalan laut tidak berhasil apabila berjaya dibongkar polis Pulau Pinang.
Dalam serbuan di hotel yang terletak di Jalan Hassan Abbas, Teluk Bahang kira-kira pukul 9.15 malam Khamis lalu, tiga lelaki tempatan berusia 34 hingga 41 tahun yang dipercayai ahli sindiket dadah antarabangsa berjaya ditahan.
Turut dirampas bersama suspek adalah 19.2 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM690,635 yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran menggunakan laluan laut.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Mohd. Ra’ais berkata, dadah jenis syabu dalam bentuk hablur kristal itu ditemukan di dalam sebanyak 18 bungkusan plastik berwarna hijau keemasan.
Tambahnya, polis turut merampas dua pucuk pistol bersama satu kelopak mengandungi 16 butir peluru bersaiz 9 milimeter (mm) dan satu kelopak dengan tiga butir peluru bersaiz 9mm serta lima buah telefon bimbit pelbagai jenis daripada suspek.
“Siasatan awal mendapati suspek menjadikan bilik hotel tersebut sebagai transit sementara sebelum menggunakan jalan laut untuk menghantar dadah ke negara jiran.
“Mereka dipercayai akan menggunakan bot ke perairan antarabangsa untuk menghantar bekalan syabu kepada ahli sindiket yang menunggu di situ.
“Sehubungan itu, kita kini sedang mengesan beberapa lagi ahli termasuk dalang utama sindiket tersebut yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah berkenaan sejak beberapa bulan lepas,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.
Menurut Rahimi, siasatan juga sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada dua pucuk pistol dan peluru yang dirampas bersama suspek digunakan untuk kegiatan jenayah atau bagi mempertahankan diri ketika mengedarkan dadah.
Tambahnya, ujian air kencing pula mendapati ketiga-tiga suspek yang bekerja sendiri itu positif dadah dan mempunyai empat hingga 10 rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.
“Kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952; Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960,” katanya.