Author: Admin

  • Jangan ulangi kesilapan, pilih PN yang stabil-Calon PN Kelebang

    Jangan ulangi kesilapan, pilih PN yang stabil-Calon PN Kelebang

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelebang, Bakri Jamaluddin meningatkan pengundi supaya tidak membuat kesilapan yang sama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Sabtu ini.

    Peringatan itu katanya, agar ‘pisang tidak berbuah dua kali’ dan sewajarnya pengundi memilih PN yang stabil serta pihak yang mampu memberi perkhidmatan terbaik terutama di Kelebang.

    Beliau berkata, nasihat itu dititipkan selepas seorang warga emas datang menemuinya dan meluahkan kekecewaannya.

    “Terkejut saya bila seorang pak cik ni datang meluahkan rasa kecewanya terhadap pemimpin negeri yang terdahulu.

    “Rasa geram dan marahnya sampai nak dicampakkan barang kat saya. Saya faham perasaan pak cik ni, bukan dia saja yang marah, ramai orang Melaka yang marah kepada mereka ni.

    “Saya pesan kepada pak cik ni. Kesilapan yang lepas nak marah pun tak guna, pak cik kena buktikan melalui peti undi pada Sabtu ni. Kalau nak tahu calon pemimpin yang berwibawa, jom bersama saya malam ni di Astro Awani,” katanya melalui laman Facebook beliau, hari ini.

    Beliau mengakhiri kemas kini dalam Facebook miliknya dengan pesanan orang tua-tua daulu.

    Kalau memilih tempat mandi,
    Pertama teluk, kedua pantai,
    Kalau memilih pemimpin negeri,
    Pertama elok kedua pandai.

  • Bantuan one off RM200 kepada guru agama-calon PN Serkam

    Bantuan one off RM200 kepada guru agama-calon PN Serkam

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PERIKATAN Nasional (PN) akan memberi bantuan one-off RM200 kepada guru tahfiz, guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) dan guru tadika di bawah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menghargai sumbangan mereka dalam pendidikan Islam.

    Calon PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N26 Serkam, Ahmad Bilal Rahudin berkata, bantuan itu
    jgua sudah pasti merupakan satu pengiktirafan buat guru-guru agama terutama di Serkam.

    “Oleh sebab itulah, PN amat cakna dengan anak-anak tahfiz ini dengan menyediakan bantuan penyelanggaraan kepada semua sekolah tahfiz yang berdaftar di seluruh negeri Melaka.

    “Sudah tiba masanya, kita cakna dengan kebajikan golongan huffaz yang sebenarnya amat rapat dan dekat dengan rakyat Serkam dan sudah pasti menjadi lubuk keluaran para ulama tanah air sekian lama.

    “Pernah tak kita rasa tenang sangat apabila anak-anak tahfiz ini mengalunkan ayat Al-Quran semasa mereka menjadi imam. Tambah-tambah masa solat tarawih.

    “Sedih sebenarnya apabila masih ada sekolah-sekolah tahfiz yang tidak mempunyai infrastruktur yang sempurna untuk meneruskan tugas mendidik pemimpin masa hadapan,” katanya menurusi Facebook milik beliau, hari ini.

  • Juruterbang TUDM sempat keluar pesawat guna kerusi anjal sebelum terhempas

    Juruterbang TUDM sempat keluar pesawat guna kerusi anjal sebelum terhempas

    DUA juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terlibat dalam nahas pesawat Hawk 108 yang terhempas di Lapangan Udara Butterworth, Pulau Pinang kelmarin sempat keluar menggunakan kerusi anjal sebelum pesawat itu terhempas dan meletup.

    Bagaimanapun menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain, seorang daripada mereka iaitu Kapten Mohamad Affendi Bustamy, 31, meninggal dunia manakala Mejar Mohd. Fareez Omar, 33, cedera.

    Menurut beliau, polis masih menjalankan siasatan terperinci berhubung nahas pesawat itu dan mengklasifikasikan kematian Mohamad Affendi sebagai kes mati mengejut.

    “Berdasarkan maklumat oleh pakar perubatan forensik, punca kematian juruterbang berkenaan adalah disebabkan oleh pelbagai kecederaan yang konsisten dengan nahas udara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurut Mohd. Shuhaily, polis masih belum mengambil keterangan daripada Mohd. Fareez memandangkan beliau sedang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

    Jelasnya, siasatan awal mendapati pesawat BAE Hawk TUDM yang dikendalikan dua juruterbang itu berlepas dari Lapangan Terbang Pangkalan Udara Butterworth untuk melaksanakan latihan penerbangan malam.

    “Ia dilaksanakan di ruang udara pengkalan udara tersebut dan sesi latihan itu dikatakan telah berlangsung selama satu jam.

    “Pada pukul 10.07 malam, pesawat tersebut dilaporkan terhempas di atas lapangan terbang Pangkalan Udara Butterworth dan menyebabkan letupan,”  katanya.

  • Muhyiddin hadir pembentangan Bajet Johor 2022

    Muhyiddin hadir pembentangan Bajet Johor 2022

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir ke pembentangan Belanjawan Johor 2022 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini.

    Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gambir tiba pukul 9.15 pagi.

    Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) duduk di barisan sama dengan dua bekas Menteri Besar iaitu Datuk Osman Sapian (Bersatu-Kempas) dan Datuk Dr. Sahruddin Jamal (Bersatu-Bukit Kepong).

    Beliau pernah menjadi Menteri Besar Johor ke-13 pada 1986 hingga 1995 selepas memenangi kerusi DUN Bukit Serampang dan juha Ahli Parlimen Pagoh.

    Bagaimanapun Osman tidak hadir pada persidangan untuk pembentangan Belanjawan Johor 2022 hari ini berikutan masih berehat selepas diserang angin ahmar pada 13 Oktober lalu.

    Dilaporkan Osman sudah menyerahkan surat ketidakhadiranya ke persidangan DUN Johor yang diadakan bermula hari ini sehingga 28 November lalu, kepada jurutulis DUN Johor, petang semalam.

    Difahamkan bekas Menteri Besar Johor itu kini sedang menjalani fisioterapi pemulihan.

  • PN mampu bentuk kerajaan Melaka – tinjauan Ummah

    PN mampu bentuk kerajaan Melaka – tinjauan Ummah

    TINJAUAN di lapangan memberi indikasi bahawa Pakatan Nasional (PN) mampu membentuk kerajaan negeri Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung 20 November ini.

    Menurut Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Mohd. Zai Mustafa, pihaknya telah mengadakan temu bual secara bersemuka di lima kawasan pilihan raya dan hasilnya menunjukkan pengundi cenderung memilih calon dan parti yang tidak terpalit rasuah.

    Mohd. Zai berkata, dapatan temubual menunjukkan PN mampu mendapat majoriti dalam pilihan raya ini
    berkata, keyakinan mereka itu dibuat berdasarkan tinjauan lapangan yang dilakukan oleh ‘pasukan pemantau bebas’ Ummah.

    Ummah meramalkan PN akan memenangi kerusi majoriti di Melaka dan bakal membentuk kerajaan negeri selepas 20 November ini.

    “Temu bual dibuat secara rawak di lima bahagian (DUN) pilihan raya yang berumur antara 20 hingga 45 tahun selama sembilan hari yang melibatkan hampir 1,000 responden.

    “Antara soalan yang ditanya ialah sikap pengundi kepada gejala rasuah dan pilihan sukaan kepada tiga pemimpin utama parti politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Mohd. Zai dapatan kajian tersebut menunjukkan 92 peratus daripada responden menolak gejala rasuah dan 54 peratus pula sukakan Presiden PN, Muhyiddin Yassin, kerana dianggap cakna kepada kebajikan rakyat semasa pandemik Covid-19.

    Kesimpulannya kata, Mohd. Zai, pengundi mahukan pemimpin yang bersih dan tidak terpalit dengan gejala rasuah serta pemimpin yang cakna kepada kebajikan rakyat.

    PRN Melaka akan diadakan pada 20 November ini bagi memilih kerajaan baru untuk menerajui negeri itu.

    Pada pilihanraya ini, PN meletakkan calon di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan. Lapan daripada kerusi tersebut diwakili Pas.

    Ia sekali gus menyaksikan pertembungan tiga parti utama di setiap kerusi iaitu BN, PN dan Pakatan Harapan (PH).

    Selain itu PRN Melaka turut disertai Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan sejumlah calon bebas. 

  • Calon SPM parah terjun dari bangunan sekolah

    Calon SPM parah terjun dari bangunan sekolah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pelajar perempuan tingkatan lima cedera parah selepas dipercayai terjun dari tingkat empat bangunan sebuah sekolah di Kulai, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Kulai, Superitenden Tok Beng Yeow berkata, mangsa mengalami pendarahan di bahagian kepala dan muka serta kedua-dua tangan patah selain mengalami pendarahan dalaman.

    “Kejadian itu disedari seorang guru pada pukul 1.26 petang sebelum memaklumkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai. Pegawai Penyiasat bersama-sama anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kulai telah ke tempat kejadian.

    “Siasatan mendapati mangsa selesai ujian peperiksaan sebelum pergi ke tingkat empat dan bertindak terjun dari bangunan tersebut. Ketinggian bangunan itu dianggarkan 40 meter,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, pihak sekolah kemudian menghubungi ambulans dan mangsa dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja bagi mendapatkan rawatan dan dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

    Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

  • Budak 5 tahun maut terjatuh dari tingkat 16

    Budak 5 tahun maut terjatuh dari tingkat 16

    JABATAN Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang maut selepas terjatuh dari tingkat 16 sebuah kondominium di Batu Caves, Gombak, semalam.

    “Dalam kejadian pukul 10.30 pagi itu, mangsa dipercayai bermain berhampiran tingkap yang tidak berjeriji sebelum terjatuh.

    “Mangsa dan adiknya yang berusia empat tahun ditinggal bersama ibu saudara mereka yang berusia 36 tahun.

    “Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai bermain dan memanjat sebuah katil yang berada di tepi tingkap dan dipercayai terjatuh dari tingkap tersebut,” ujar Ketua JSJ Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal ketika dihubungi.

    Beliau berkata, siasatan lanjut akan dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis (IPD) Gombak di bawah Seksyen 31(1)(5b) Akta Kanak-kanak 2001 berkaitan kecuaian dan pengabaian terhadap kanak-kanak.

    Dalam pada itu, ibu saudara kanak-kanak itu Fauziah Hanum Cik Ros, 36, berkata, beliau mendapat tahu bahawa anak saudaranya itu terjatuh di koridor tingkat dua selepas dihubungi oleh ibu mangsa, yang dimaklumkan orang ramai bahawa ada kanak-kanak dikesan di tempat berkenaan.

    Menurutnya, anak saudaranya itu merupakan seorang yang aktif dan mempunyai seorang adik lelaki berusia empat tahun yang ketika kejadian turut berada di rumah.

  • Dulu digelar ‘pekan koboi’, kini Marang terus dikunjungi pelancong

    Dulu digelar ‘pekan koboi’, kini Marang terus dikunjungi pelancong

    KEINDAHAN alam semulajadi dengan landskap pantai, laut dan pulau yang menarik merupakan antara tarikan utama pengunjung ke Marang.

    Selain itu, ia turut diserlahkan pula dengan pelbagai produk, aktiviti serta gaya hidup masyarakat setempat yang mempersonakan.

    Malah, sejak Marang yang suatu ketika dahulu pernah digelar sebagai ‘pekan koboi,’ sehingga sekarang ia masih lagi menjadi tumpuan pelancong.

    Seingat penulis, pada tahun 1970an hanya terdapat tiga deretan bangunan kayu hampir roboh di pekan ini disamping pasar tradisional dan juga sebuah perhentian bas yang terletak di tepi sungai Marang (lokasi berhampiran jeti pelancongan sekarang).

    Dua laluan bas yang menghubungkan ke perhentian ini ialah Marang -Kuala Terengganu (bas kuning) dan Marang -Wakaf Tapai (bas biru).

    Manakala pasar tradisional pula banyak menjual hasil produk penduduk tempatan termasuk produk pertanian seperti sayuran dan buah-buahan serta kraftangan seperti anyaman tikar mengkuang, topi, raga, bakul,lekar,dan tudung saji.

    Turut dijual ialah makanan tempatan dan kuih muih seperti manisan kerek, dodol, akok, keropok, sotong dan ikan kering.

    Kesemua produk berkenaan sebenarnya turut menggambarkan gaya hidup masyarakat ketika itu.

    Sebahagian penduduk yang tinggal di beberapa kampung di kawasan hulu membawa hasil untuk dijual ke pekan dengan mengunakan jalan air iaitu menaiki perahu jalur dan ada juga yang menaiki bas.

    Biasanya mereka akan ‘mendayung’ ke pekan dua kali setiap minggu, iaitu pada petang hari Selasa dan pulang hari Rabu serta petang hari Jumaat dan pulang hari Sabtu.

    Ada juga yang bermlam di gerai-gerai jualan di pasar tersebut dengan memasang pelita.

    Apa yang menarik, bersebelahan pasar itu pula terdapat perkampungan nelayan di pantai yang kini dinamakan Pulau Kekabu.

    Aktiviti kehidupan penduduk di sini ketika itu ialah melibatkan menyiang dan menjemur ikan, mencari teritip serta membuat bubu.

    Begitulah betapa meriahnya gambaran aktiviti dan gaya hidup masyarakat dahulu sehingga menjadi tarikan para pelancong asing termasuk golongan pelukis dari dalam dan luar negara.

    Selain dalam bentuk lukisan, suasana indah gaya hidup masyarakat dan perkampungan nelayan di sekitar ‘pekan koboi’ ini turut diabadikan dalam bentuk ‘poskad’.

    Penulis pernah adaptasikan suasana ini ke dalam skrip filem Debu Debu Kasih terbitan Berjaya Film sekitar pertengahan tahun 1990an dahulu.

    Lokasi pengambaran filem dibintangi Sham Visa, Aida Aris, Raja Azura dan Rosli Rahman Adam itu banyak dilakukan di perkampungan ini.

    Kini Marang sudah banyak berubah, dari sebuah ‘pekan koboi’ kini bertukar menjadi sebuah bandar tarikan pelancong.

    Selain pasar moden, Marang juga turut mempunyai pusat perniagaan komersil termasuk bank dan pasaraya serta jeti pelancongan bagi urusan ke Pulau Kapas.

    Selain Pulau Kekabu dan Pulau Kapas, lain-lain produk pelancongan popular di Marang ialah Candat Sotong, Kampung Jenang, Batangan, Dataran Batu Putih, Lubuk Mandi, Rusila, Bukit Temiang, Bukit Kemas dan Pengkalan Berangan.

  • Kekalkan kereta api ikonik Bukit Bendera

    Kekalkan kereta api ikonik Bukit Bendera

    PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) melahirkan kebimbangan terhadap kemungkinan penduduk negeri itu bakal kehilangan satu lagi perkhidmatan ikonik seperti feri iaitu kereta api furnikular Bukit Bendera yang sudah berusia hampir 100 tahun itu.

    Kebimbangan itu berikutan pengumuman Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang sedang mempertimbangkan menutup perkhidmatan tersebut yang bermasalah jika terus rosak, dengan menekankan kepentingan keselamatan penumpang.

    Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya terkejut dengan pengumuman itu dan berharap penutupan tersebut tidak akan kekal selamanya.

    Dalam masa sama, beliau mempersoalkan sama ada pengumuman cadangan menutup keretapi furnikular itu untuk memberi laluan kepada projek kereta kabel yang dicadangkan.

    “Pengumuman kemungkinan penutupan Kereta api Bukit Bendera ini nampaknya memberikan kewajaran kepada keperluan untuk kereta kabel, sama ada sebagai pengganti atau alternatif bagi membawa orang ramai ke atas bukit itu.

    “CAP tidak menentang penutupan Kereta api Bukit Bendera untuk pembaikan atau penyeleggaraan kerana keselamatan kereta api adalah yang paling penting, tetapi untuk memberi alasan kereta api itu terus rosak dan bermasalah, dan oleh itu ia mungkin ditutup adalah seperti melepaskan sebarang harapan terhadap perkhidmatan ikonik ini yang penting untuk pelancong dan penduduk di atas bukit itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kereta api Bukit Bendera, Pulau Pinang yang ikonik itu dibuka pada tahun 1923 dengan kerja pembinaannya bermula pada tahun 1920.

    Pemodenan terakhir kereta api itu adalah pada tahun 2011 yang mengurangkan masa keseluruhan perjalanan kepada hanya 10 minit.

    Menurut Mohideen, kereta api Bukit Bendera itu telah mencipta banyak kenangan indah untuk kedua-dua rakyat Pulau Pinang dan pelancong dan orang ramai akan membantah jika Kerajaan Negeri Pulau Pinang memutuskan untuk menutupnya untuk selamanya.

    Katanya, perkhidmatan kereta api Bukit Bendera adalah di bawah kerajaan negeri  dan akan menimbulkan kemarahan rakyat Pulau Pinang sekiranya kerajaan negeri memutuskan untuk menutup Kereta api Bukit Bendera.

    Jelasnya, punca kerosakan kereta api itu harus dikesan dan diperbetulkan dan pada zaman berteknologi tinggi hari ini, adalah sesuatu yang luar biasa kerosakan itu tidak dapat dikurangkan atau dicegah dengan ketara.

    “Untuk menutup sepenuhnya dan meninggalkannya adalah tidak bertanggungjawab kerana kereta api itu telah ditukar dan dimodenkan hanya pada tahun 2011.

    “Seharusnya tiada dwistandard dalam melindungi ikon dan warisan Pulau Pinang,” katanya.

  • Ketua sindiket pengedaran ditahan, dadah 27kg dirampas

    Ketua sindiket pengedaran ditahan, dadah 27kg dirampas

    SEORANG pekerja pusat cuci kereta yang dipercayai bertindak sebagai ketua sindiket pengedaran dadah ditahan polis dalam sebuah kereta jenis Perodua MyVi ketika serbuan di kawasan letak kereta di Seberang Jaya.

    Lelaki warga tempatan berusia 37 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 12 tengah hari hingga 2 petang, Ahad lalu bersama-sama dadah jenis ganja seberat 6.4 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM15,000.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, susulan penahanan itu polis menyerbu sebuah rumah yang disewa suspek di kawasan flat kos rendah di Seberang Jaya dan merampas pelbagai jenis dadah.

    Menurut beliau, antara yang dirampas adalah 12 ketulan ganja seberat 12.4 kg; tiga peket syabu (1.8 kg); satu ketulan heroin base seberat 375 gram dan serbuk kafein (6.6 kg).

    Polis Pulau Pinang merampas pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM113 juta serta merampas aset bernilai RM31.4 juta sepanjang tempoh Januari hingga November tahun ini

    “Secara keseluruhannya kita merampas lebih 27 kg pelbagai jenis dadah daripada suspek yang bernilai kira-kira RM146,774,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Georgetown, hari ini.

    Menurut beliau, suspek berkenaan dipercayai bergiat aktif mengedar dadah sejak awal Jun lalu dan mendapatkan bekalan dadah daripada rangkaian sindiket tempatan.

    Jelasnya, suspek yang bertindak sebagai ketua sindiket mengedarkan dadah berkenaan kepada pembeli di negeri ini dan polis kini sedang giat mengenal pasti ahli-ahli sindiket tersebut.

    Tambahnya, hasil saringan air kencing ke atas suspek mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine, namun tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan dadah lampau.

    “Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula kelmarin hingga 21 November ini dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

    Dalam perkembangan berkaitan, Mustafa Kamal Gani berkata, polis Pulau Pinang berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM113 juta dan menahan 6,778 individu serta merampas aset bernilai RM31.4 juta sepanjang tempoh Januari hingga November tahun ini.

    Mustafa menunjukkan gambar mereka yang ditahan melibatkan 66 lelaki tempatan dan tiga lelaki warga asing menerusi Op Sarang sekitar daerah Barat Daya dan Seberang Perai Utara

    Tambahnya, sepanjang tempoh sama pihaknya turut menjalankan sebanyak 30 operasi Op Sarang  dan menahan seramai 609 orang di atas pelbagai kesalahan melibatkan penyalahgunaan dadah.

    Katanya, jumlah itu termasuk 66 lelaki tempatan dan tiga lelaki warga asing berusia 19 hingga 60 tahun yang ditahan menerusi Op Sarang yang dijalankan di sekitar daerah Barat Daya dan Seberang Perai Utara (SPU) pada Isnin lalu.

    Katanya, operasi itu dijalankan serentak di daerah Barat Daya dan SPU bermula pukul 12 tengah malam hingga 4 petang melibatkan lokasi di sekitar Teluk Kumbar; Batu Maung dan Teluk Bahang (Barat Daya) serta di Pekan Darat dan sekitar SPU.

    “Kebanyakan yang ditahan bekerja sebagai buruh dan nelayan kita turut merampas dadah jenis syabu, heroin serta cecair ketum bernilai RM1,768 dalam operasi itu,” katanya.