Author: Admin

  • Kerajaan Malaysia memperoleh RM20.53 bilion aset 1MDB

    Kerajaan Malaysia memperoleh RM20.53 bilion aset 1MDB

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini giat meneruskan pemulihan aset dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam dan luar negara termasuk di Amerika Syarikat (AS), Emiriah Arab Bersatu (UAE), Taiwan dan Singapura.

    SPRM dalam satu kenyataan memberitahu, setakat ini dengan kerjasama agensi penguat kuasa antarabangsa telah berjaya memulangkan aset 1MDB berjumlah lebih RM20.53 bilion kepada kerajaan Malaysia.

    Terbaharu pada 12 November lalu, Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) Singapura membuat pemulangan wang milik bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC International Sdn Bhd (SRC), Nik Faisal Ariff Kamil kepada kerajaan Malaysia menerusi Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset milik Kementerian Kewangan berjumlah AS$864,813.27 (hampir RM3.62 juta).

    “Sebelum ini, kerajaan Singapura turut membantu dalam pemulangan aset sebanyak AS$15.4 juta (RM64.42) kepada Malaysia, membabitkan akaun Cutting Edge Industries Ltd, milik Datuk Tawfiq Ayman dan Samuel Goh.

    “Pada ketika ini juga, SPRM sedang dalam usaha untuk pemulihan aset bagi negara seperti Switzerland, Kuwait, Mauritius, Cyprus dan Hong Kong, membabitkan individu yang mempunyai kaitan dengan kes 1MDB,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Kementerian Kewangan sebelum ini memaklumkan, usaha pemulihan aset 1MDB dan SRC oleh kerajaan ketika ini, memfokuskan kepada pihak yang menyebabkan kerugian kepada 1MDB dan SRC ketika menjalankan tanggungjawab mereka, sama ada melalui pembabitan secara langsung atau tidak langsung dalam pelbagai operasi dan transaksi syarikat berkenaan.

    Menurut kenyataan itu, semua yang terbabit akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas salah laku melalui pembabitan dalam 1MDB dan/atau SRC.

  • Nahas pesawat TUDM: Mejar Mohd. Fareez telah sedar, stabil

    Nahas pesawat TUDM: Mejar Mohd. Fareez telah sedar, stabil

    ANGGOTA Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang cedera dalam nahas pesawat Hawk 108, Mejar Mohd. Fareez Omar, 33, telah sedar serta berada dalam keadaan yang stabil.

    Bahagian Perhubungan Awam TUDM menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, Mohd. Fareez yang mengalami kecederaan di bahagian tulang belakang selamat menjalani pembedahan kira-kira pukul 7 malam, Rabu lalu di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

    Bagaimanapun katanya, beliau kini berada dalam pemantauan pegawai perubatan di hospital itu dan memerlukan rawatan susulan.

    Dalam pada itu tambahnya, TUDM akan memastikan segala urusan rawatan perubatan Mohd. Fareez diuruskan dengan sebaik-baiknya.

    “Ini termasuk urusan kebajikan isterinya, Siti Hajar Abdullah serta dua anak mereka yang masing-masing berusia tiga tahun dan lima bulan yang akan dikoordinasikan oleh Pangkalan Udara Butterworth di sini,” demikian menurut kenyataan itu.

    Tambah kenyataan itu, satu Lembaga Siasatan juga telah ditubuhkan untuk menyiasat nahas itu secara lebih terperinci.

    Sehubungan itu tegasnya, TUDM meminta semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan berita yang tidak sahih kebenarannya selain turut sama mendoakan kesembuhan Mohd. Fareez.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 10.07 malam Selasa lalu itu, pesawat Hawk 108 yang sedang dalam latihan penerbangan malam terhempas di landasan Pangkalan Udara Butterworth sebelum meletup.

    Bagaimanapun, dua juruterbangnya sempat keluar menggunakan kerusi anjal namun salah seorang daripada mereka iaitu Kapten Mohamad Affendi Bustamy, 31, terbunuh manakala Mohd. Fareez mengalami kecederaan.

  • Majukan pelbagai sektor ekonomi sasaran calon Ketua Menteri PN

    Majukan pelbagai sektor ekonomi sasaran calon Ketua Menteri PN

    Calon Ketua Menteri (KM) Melaka Perikatan Nasional (PN), Datuk Mas Ermieyati Samsudian meletakkan sasaran untuk memajukan pelbagai sektor ekonomi terutama perindustrian dengan menarik pelaburan tempatan dan asing.

    Beliau yang juga calon PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara berkata, ini juga termasuk meningkatkan sektor pelancongan yang terkenal di negeri itu.

    Jelasnya, hasrat itu selari dengan matlamatnya yang tidak mahu melihat orang ramai di Melaka tercicir berada dalam kesusahan.

    “Langkah ini dapat memastikan setiap rakyat di Melaka memiliki makanan terhidang atas meja, khususnya dalam kesempitan hidup yang dihadapi rakyat semasa berdepan cabaran pandemik Covid-19.

    “Selain itu, saya juga tidak akan mengetepikan sumbangan belia dalam memajukan ekonomi negeri kerana mereka adalah penggerak utama pembangunan ekonomi terutama dalam sektor industri perkilangan,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Gerakan PN Tanjung Bidara di Kampung Padang Kemunting, Melaka, malam tadi.

    Mas Ermieyati berkata, sebagai seorang ibu yang dapat melihat bagaimana pandemik menghimpit ekonomi keluarga, sedangkan yang paling penting ketika pandemik ialah ingin melihat makanan di atas meja.

    mas ermieyati Melaka

    Katanya, pencalonan beliau sebagai Ketua Menteri memberikan kelebihan kepadanya untuk berhadapan dengan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan calon Pakatan Harapan (PH), Zainal Hassan.

    Ditanya mengenai hubungannya dengan Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen, Mas Ermieyati berkata, beliau akan berjumpa dengan pemimpin itu.

    “Datuk Rafiq adalah pemimpin yang bertanggunghawab menjadikan PN seperti yang ada pada hari ini dan tanpa beliau, PN tidak akan mencapai tahap yang membanggakan seperti sekarang,” katanya.

    Sementara itu, beliau berkata, daripada keseluruhan 10,133 pengundi di Tanjung Bidara, 52 peratus terdiri wanita dan berharap mendapat sokongan padu daripada golongan itu sambil tidak mengabaikan 48 peratus pengundi lelaki.

    “Saya juga berharap jentera pilihan raya PN supaya melipatgandakan usaha bagi memastikan segala perancangan parti untuk melicinkan proses pengundian Sabtu ini,” katanya.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan Mas Ermieyati akan dilantik sebagai pemimpin nombor satu negeri Melaka.

    Pengumuman tersebut juga mendekatkan beliau untuk menjadi Ketua Menteri wanita pertama di Malaysia.

  • Jurutera maut ditetak ketika ritual ilmu hitam

    Jurutera maut ditetak ketika ritual ilmu hitam

    SEORANG jurutera memilih ilmu hitam sebagai jalan penyelesaian menyelamatkan perkahwinannya selepas isterinya meninggalkan setahun lalu.

    Bagaimanapun langkah tersebut mengundang padah apabila lelaki itu ditipu dan dibunuh seorang individu yang mengamalkan ilmu hitam.

    Anton Shabanov, 33, ditetak dengan kapak selepas melakukan satu ritual ilmu hitam kononnya untuk menyelamatkan rumah tangganya.

    Akhbar Mirror UK memetik Jawatankuasa Penyiasatan Rusia melaporkan, Anton memilih untuk menggunakan ilmu hitam bagi menyelamatkan perkahwinannya yang hampir gagal dengan isterinya, Lyubov, 29.

    Laporan itu mengatakan, jurutera terbabit bagaimanapun mendapatkan khidmat seorang penipu, Nikolay Ivanov, 32, untuk melakukan upacara ritual dengan mengebumikan harta benda mereka di sebuah hutan berhampiran.

    Ketika upacara berlangsung, Shabanov dan Lyubov dihina oleh Ivanov sehingga mencetuskan pergaduhan.

    Menurut Jawatankuasa Penyiasatan Rusia itu, ketika menggali lubang, Ivanov bercakap perkara negatif mengenai lelaki berkenaan dan isterinya sehinggakan mereka bergaduh sebelum berlakunya pembunuhan.

    Ivanov dilaporkan mengambil kapak sebelum membunuh Shabanov dengan menyasarkan pada kepala dan lehernya.

    Dia kemudiannya melarikan diri setelah menutup mayat Shabanov menggunakan ranting pokok.

    Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama sembilan tahun enam bulan ke atas Ivanov serta mengarahkannya membayar ganti rugi sebanyak £20,700 (RM116,737).

  • Berikan PN kemenangan besar untuk kepentingan besar di Melaka – Hadi Awang

    Berikan PN kemenangan besar untuk kepentingan besar di Melaka – Hadi Awang

    DEMI kepentingan rakyat, Perikatan Nasional (PN) perlu diberikan kemenangan besar dalam pilihan Raya negeri PRN Melaka yang akan berlangsung esok (20 November).

    Menurut Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, PN merupakan satu gabungan baru yang stabil dan sejak memegang tampuk kuasa perikatan itu telah membawa banyak kebaikan kepada rakyat.

    Tambah beliau lagi, sejak PN mengambil alih pemerintahan banyak perkara telah dilakukan bagi membantu rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

    Bukan setakat itu sahaja, di bawah pentadbiran PN kata beliau, perpaduan kaum menjadi lebih kuat dan pertumbuhan ekonomi juga menjadi semakin baik.

    “Jadi kalau mahu yang elok-elok dan baik-baik bersamalah dengan PN dan kita hendak seboleh-bolehnya peningkatan ini menang besar di Melaka.

    “PN ini satu perikatan baru yang kukuh kita buat, jadi kita seru semua rakyat pengundi-pengundi mereka khususnya untuk memilih calon perikatan nasional,” kata beliau dalam satu video yang disiarkan dalam laman media sosialnya.

  • Tujuh projek atasi bencana banjir di Melaka – Tuan Ibrahim

    Tujuh projek atasi bencana banjir di Melaka – Tuan Ibrahim

    SEBANYAK tujuh projek besar bagi mengatasi masalah banjir di negeri Melaka telah diluluskan di peringkat kerajaan pusat, kata Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

    Beliau berkata projek itu melibatkan projek naik taraf kolam tebatan banjir di Krubong yang bernilai RM600 juta.

    “Projek lain ialah projek tebatan banjir di Alor Gajah Fasa 1 dengan peruntukan RM30 juta, RTB (Rancangan Tebatan Banjir) Sungai Duyong (RM163 juta), RTB Jasin dengan peruntukan RM60 juta dan RTB Sungai Melaka Fasa 1 sebanyak RM40 juta diperuntukkan.

    “Ini tanggungjawab kita sebagai kerajaan pusat, semua senarai projek ini telah kita sahkan dalam Parlimen yang sebahagiannya sedang berjalan dan yang lain dalam peringkat proses pelaksanaan yang lain,” katanya dalam rancangan ceramah PRN Melaka bersama beliau selaku
    Timbalan Presiden Pas yang disiarkan dalam Facebook Melaka Update di sini malam tadi.

    Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata lapan calon parti itu yang dipilih untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Sabtu ini telah melalui tapisan yang ketat bagi memastikan integriti mereka apabila bergelar wakil rakyat kelak.

    PRN Melaka menyaksikan Pas bertanding di lapan kerusi di bawah Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu (15 kerusi) dan Parti Gerakan pula sebanyak lima kerusi. – Bernama

  • Lembaga Pengarah 1MDB ‘harimau tidak bertaring’ – Sri Ram

    Lembaga Pengarah 1MDB ‘harimau tidak bertaring’ – Sri Ram

    DATUK Seri Gopal Sri Ram menyifatkan Ahli Lembaga Pengarah (BOD) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai ‘sekumpulan harimau tidak bertaring’ kerana gagal melindungi dan menasihati Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan urusan syarikat.

    Bekas hakim Mahkamah Persekutuan yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan empat kes rasuah membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama, yang dihadapi Najib, mencadangkan demikian ketika menyoal bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB Tan Sri Ismee Ismail, 57.

    Sri Ram: BOD 1MDB sebenarnya adalah sekumpulan harimau yang tidak bertaring dan kamu gagal melindungi dan menasihati Perdana Menteri. Apakah pendirian kamu dalam hal itu?

    Ismee: Berdasarkan semua maklumat dan pendedahan baharu, bagaimana saya akan bertindak secara berbeza? Saya akan menolak jawatan itu. Maaf untuk mengatakannya.

    Saksi pendakwaan ke-13 itu berkata beliau merasakan seperti lembaga itu diguna untuk menjadikan semua inisiatif dan transaksi dalam 1MDB kelihatan sah sehinggakan maklumat mengelirukan diberikan atau lebih teruk lagi, tiada maklumat diberikan langsung dan dirahsiakan daripada lembaga itu.

    Sebagai ahli lembaga pengarah, adalah sentiasa menjadi kepentingan beliau dan bekas rakan sekerjanya yang lain untuk memastikan kepentingan syarikat dilindungi, kata Ismee.

    “Setiap seorang daripada kami (BOD) mempunyai perspektif berbeza tentang apa yang berlaku dalam 1MDB, termasuk persepsi kami sendiri mengenai peranan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dalam 1MDB.

    “Kami juga bercakap tentang Jho Low secara tertutup dan dari perspektif saya, beliau menguruskan hubungan antara dua pihak. Saya melihat dengan jelas bahawa beliau menguruskan hubungan antara kami (1MDB) dan Abu Dhabi. Saya dapat melihat bahawa beliau mempunyai hubungan yang baik dengan (negara) Arab,” katanya.

    Sebagai ahli lembaga pengarah, Ismee berkata beliau tidak mempersoalkan urus niaga yang dibuat oleh 1MDB, tetapi lembaga pengarah pastinya akan mempersoalkan pihak pengurusan mengenai ekonomi dan daya maju urus niaga yang sedang dilaksanakan.

    Bagaimanapun, Ismee berkata mereka hanya mengetahui mengenai hal ehwal 1MDB atas dasar yang perlu diketahui.

    “Pada 2015, semasa kami menjadi pengarah, kami hanya tahu sebanyak ini. Kami mengetahui lebih banyak maklumat semasa siasatan dan kami dapati lebih banyak lagi sepanjang kes itu. Selepas semua ini, saya tidak fikir kami sebagai ahli lembaga pengarah boleh bertindak secara berbeza untuk melindungi kepentingan 1MDB,” katanya.

    Saksi itu berkata beliau tidak menerima sebarang wang yang dikeluarkan daripada 1MDB dan juga daripada Low Taek Jho atau Jho Low.

    Terdahulu, ketika membacakan pernyataan saksi setebal 111 muka surat, Ismee berkata beliau menyerahkan surat peletakan jawatannya pada 2015, kerana merasa bimbang dan tidak lagi mahu terlibat dalam keputusan yang akan dibuat oleh syarikat itu pada masa depan.

    Katanya, surat itu diserahkan kepada bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin pada Jun 2015 dan surat itu tidak diterima, malah Amhari memintanya supaya menangguhkan keputusannya pada ketika itu kerana antara pilihan yang sedang dipertimbangkan adalah untuk menukar keseluruhan lembaga pengarah.

    “Namun, pada 2016, kami semua Ahli Lembaga Pengarah (BOD) dan pengurusan 1MDB telah meletak jawatan memandangkan lembaga pengarah dan pengurusan baharu dilantik,” katanya.

    Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 13 Dis ini.- Bernama

  • Pemandu Kancil lawan arus di plaza tol Juru dicari

    Pemandu Kancil lawan arus di plaza tol Juru dicari

    POLIS Pulau Pinang sedang mengesan pemandu kereta jenis Perodua Kancil yang didapati memandu secara melawan arus berhampiran kawasan plaza tol Juru di Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di Bukit Mertajam yang videonya tular dalam media sosial.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Shafee Abdul Samad berkata, siasatan polis mendapati kejadian itu berlaku pukul 8.17 pagi semalam.

    Katanya, rakaman video berdurasi tiga minit itu tular di dalam laman sosial Facebook sejak pukul 9.05 pagi ini.

    “Siasatan masih diteruskan untuk mengesan pemandu kereta tersebut dan polis memohon pengguna lebuh raya yang menyaksikan kejadian itu supaya tampil untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Ami Syuqri di talian 013-4194072 atau 04-5382222 bagi membantu siasatan.

    “Kes itu disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • Jalan darat Malaysia, Singapura dibuka mulai 29 November

    Jalan darat Malaysia, Singapura dibuka mulai 29 November

    KERAJAAN negeri Johor pada Khamis mengesahkan bahawa Laluan Perjalanan Vaksin (VTL) darat melalui Tambak Johor dan Laluan Kedua akan dibuka serentak dengan VTL melibatkan laluan udara antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 29 November ini.

    Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, perjalanan darat antara Singapura dan Johor Bahru hanya merangkumi pemegang pas jangka panjang bagi mereka yang bekerja di Singapura dan juga bekerja di Johor Bahru.

    “Saya ada berita baik untuk dikongsi. Kami sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa berkaitan dan kerajaan Persekutuan dan negeri telah disahkan bahawa perjalanan darat akan bermula pada 29 November ini,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Four Points oleh Sheraton Desaru Hotel, Kota Tinggi, hari ini.

    Pada 8 November lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatannya, Lee Hsien Loong dalam kenyataan bersama mengumumkan individu yang sudah melengkapkan vaksinasi Covid-19 boleh berulang-alik antara Malaysia dan Singapura menerusi perjalanan udara tanpa perlu menjalani kuarantin bermula 29 November ini.

    Sementara itu, Hasni berkata, tahun depan akan menjadi tahun optimis dan pertumbuhan bagi semua sektor ekonomi di Johor.

    “Memandangkan sempadan antarabangsa dibuka semula secara perlahan-lahan dan pergerakan manusia tidak lagi terhad seperti sebelum ini, Johor berharap pemulihan segera kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan penurunan kadar pengangguran,” katanya.

    Hasni berkata, pelancaran Four Points by Sheraton Desaru Hotel akan menjadi bukti yang paling sesuai untuk apa yang akan dibawa pada 2022 ke Johor, bukan sahaja untuk sektor pelancongan tetapi juga untuk ekonomi secara amnya.

    Beliau menambah Johor adalah tempat yang tepat bagi sektor swasta untuk menganjurkan acara sukan dan riadah antarabangsa kerana kedudukannya yang ideal dengan Singapura, kesalinghubungan dan infrastruktur. – Bernama

  • Ja’afar Othman ikrar perkukuhkan ekonomi penduduk Durian Tunggal

    Ja’afar Othman ikrar perkukuhkan ekonomi penduduk Durian Tunggal

    CALON Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, Ja’afar Othman menawarkan untuk meningkat ekonomi makro dan mikro penduduk setempat sekiranya diberi mandat oleh rakyat menerajui DUN berkenaan.

    Ja’afar berkata, penduduk Durian Tunggal banyak menghasilkan produk-produk persendirian namun menghadapi situasi yang sukar apabila produk yang dihasilkan itu tidak dapat dipasarkan dengan baik.

    “Jadi, itu adalah aspek ekonomi yang mungkin akan saya perkukuh dan perkemaskan. Seperti yang saya cakap sebelum ini, produk kita ada, tapi pemasarannya kurang. Jadi perkara ini kita akan bantu secara teknikal.

    “Sebab sekarang kita sudah ada teknologi, mereka juga boleh berniaga secara atas talian contohnya. Jadi kami akan cuba membantu peniaga-peniaga kecil ini dari sudut pemasaran,” katanya dalam satu bual bicara Sembang Santai HarapTV secara langsung di Facebook.

    Di samping itu, Ja’afar turut beriltizam untuk membantu pengusaha kecil beragama Islam yang menjual produk makanan untuk mendapatkan sijil halal kepada produk mereka.

    “Ini kerana, produk makanan halal ini satu produk besar pada masa ini, yang kita boleh eksport sampai ke Timur Tengah atau ke negara China. Jadi, itu adalah satu perkara yang kita boleh pasarkan. Siapa tahu suatu hari nanti produk anak Durian Tunggal akan pergi peringkat antarabangsa,” tambahnya.

    Perkara ini selari dengan tunjang pertama daripada enam tunjang Ikrar PN Untuk Melaka yang dilancarkan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Glanmerie Shah Alam pada 14 November lalu.

    Tunjang pertama itu memfokuskan untuk memantapkan ekonomi negeri Melaka agar lebih utuh dan mampan termasuk memberi tumpuan kepada industri strategik dan berimpak tinggi selain memberikan fokus terhadap pendigitalan dan pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).