Author: Admin

  • Tiga lelaki maut dalam kemalangan dua kereta

    Tiga lelaki maut dalam kemalangan dua kereta

    SERAMAI tiga lelaki maut selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan dua kereta di Kilometer 10, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, Seremban, pada pukul 2 pagi ini.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sembilan, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya mendapat panggilan mengenai kemalangan membabitkan Perodua Bezza dan Honda Accord pada pukul 2.13 pagi.

    “Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban 2 bergegas ke lokasi serta dibantu anggota dari BBP Senawang.

    “Kemalangan membabitkan dua kereta. Tiga lelaki disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mangsa diserahkan kepada pihak polis.

    “Tiga lagi mangsa lelaki yang parah diserahkan kepada pasukan perubatan untuk rawatan. Semua mangsa berusia 20-an,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

  • Lelaki parah Perodua Kancil langgar anjing, rempuh warung

    Lelaki parah Perodua Kancil langgar anjing, rempuh warung

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG penunggang motosikal mengalami kecederaan parah selepas dirempuh sebuah Perodua Kancil dalam kejadian di sebuah warung di Kilometer 96, Jalan Batu Pahat-Mersing, Kahang di Kluang, malam tadi.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, mangsa yang berusia 27 tahun sedang berada di sebuah motosikal jenis Honda RS yang diletak di hadapan warung tepi jalan berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, sebelum kejadian, pemandu kereta iaitu seorang lelaki berusia 63 tahun telah melanggar seekor anjing yang melintas sebelum kenderaannya terbabas melanggar mangsa dan warung berkenaan.

    Pemandu kereta telah melanggar seekor anjing yang melintas sebelum kenderaannya terbabas melanggar mangsa dan warung berkenaan

    “Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Kancil yang dipandu warga emas dari arah Mersing menghala ke pekan Kahang.

    “Apabila tiba di tempat kejadian telah terlanggar seekor anjing yang melintas di jalan raya menyebabkan motokar tersebut hilang kawalan dan terbabas ke tepi jalan.

    “Kereta itu kemudian melanggar sebuah motosikal yang diletakkan di hadapan kedai makan tersebut serta terbabas masuk ke dalam kedai makan dan melanggar tiang di dalam kedai terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kereta itu melanggar sebuah motosikal di hadapan kedai makan serta terbabas masuk ke dalam kedai makan dan melanggar tiang dalam kedai terbabit

    Tambah Hang Seng, akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal yang ketika itu bersandar pada motosikal terbabit telah mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang untuk rawatan lanjut.

    Pemandu kereta itu juga telah menerima rawatan sebagai pesakit luar dan tiada mangsa lain yang terlibat dalam kemalangan terbabit.

    penunggang motosikal yang ketika itu bersandar pada motosikal terbabit telah mengalami kecederaan parah

    Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.

    “Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM10,000 dan boleh juga dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 12 bulan,” katanya.

  • Jurujual, bekas kekasih terlepas hukuman gantung

    Jurujual, bekas kekasih terlepas hukuman gantung

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG jurujual telefon bimbit dan bekas kekasihnya terlepas daripada hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini melepas dan membebaskan mereka atas lima pertuduhan mengedar dan memiliki dadah pada 2017.

    Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid membuat keputusan tersebut selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap Goo Woei Tye, 33, dan Yang Wendy, 25, pada akhir pendakwaan kes terhadap bekas pasangan kekasih itu.

    Woei Tye menghadapi satu pertuduhan memiliki dadah jenis 3,4 Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) atau ekstasi seberat 2.78 gram.

    Kedua-dua tertuduh juga secara bersama-sama menghadapi tiga pertuduhan mengedar dadah jenis 3,4 MDMA seberat 91.22 gram dan 71.33 gram serta ketamin seberat 14.89 gram.

    Selain itu, kedua-duanya secara bersama-sama turut didakwa memiliki dadah jenis 3,4 MDMA seberat 40.14 gram.

    Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah pangsapuri di Jalan Dato’ Abdullah Tahir, di sini jam 6.45 petang pada 12 November 2017.

    Bagi pertuduhan mengedar dadah, mereka didakwa dibawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala bagi pertuduhan memiliki didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta yang sama.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Faizal Noor Hadi manakala kedua-dua tertuduh diwakili Mohd. Daud Ismail dan R.K. Menon.

  • CAP gesa kerajaan atasi segera ancaman, pencerobohan bot pukat tunda

    CAP gesa kerajaan atasi segera ancaman, pencerobohan bot pukat tunda

    PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Perikanan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menyiasat dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah pencerobohan bot pukat tunda di kawasan tangkapan nelayan pantai di Pulau Betong, Balik Pulau.

    Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, aktiviti yang menjejaskan kira-kira 200 nelayan pantai di kawasan itu sudah lama berlaku, namun sehingga kini tiada tindakan berkesan diambil oleh pihak berkenaan.

    Menurut beliau, ancaman oleh bot-bot pukat tunda yang berpengkalan di Batu Maung dan Teluk Bahang menyebabkan sumber pendapatan nelayan pantai di kawasan berkenaan terjejas teruk.

    Selain itu katanya, kawasan pantai terbabit turut terkesan dengan aktiviti nelayan dari Pulau Pangkor, Perak yang menggunakan lampu (spot light) berkuasa tinggi yang memberi kesan buruk ke atas hidupan laut.

    Ujar beliau, tinjauan CAP dalam kalangan nelayan pantai yang terlibat mendapati masalah itu menyebabkan hasil tangkapan mereka merosot mencecah 50 peratus setiap kali turun ke laut.

    “Mereka mendakwa bot pukat tunda dan nelayan dari Pulau Pangkor, Perak kerap menjalankan aktiviti pada waktu malam.

    “Banyak benih atau anak ikan termasuk yang berkualiti tinggi mati dan musnah dan antara anak ikan yang menjadi mangsa ialah ikan kembung, bawal hitam, jenahak, tenggiri dan juga anak sotong,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurut Mohideen, CAP kesal dan bimbang dengan kejadian itu kerana gagal ditangani oleh pihak berkuasa berkenaan walaupun telah banyak aduan dibuat oleh nelayan terbabit sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

    Sehubungan itu tambah beliau, pihaknya meminta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyiasat mengapa masalah itu terus berlanjutan sehingga kini.

    Tegasnya, masalah itu jika dibiarkan bukan sahaja menyebabkan kehidupan nelayan pantai di situ terjejas dengan lebih teruk, malah sumber perikanan negara mungkin mengalami kepupusan pada masa akan datang.

    “Ini kerana sebuah bot pukat tunda memerangkap dan membunuh lebih 60 peratus anak ikan (benih) di samping mencemarkan laut dan memusnahkan tempat pembiakan ikan,” katanya.

    Tambahnya, CAP berharap Jabatan Perikanan dan Maritim Malaysia menguatkuasakan Akta Perikanan 1985 dengan berkesan dan menggesa kerajaan mengharamkan penggunaan pukat tunda dan lampu berkuasa tinggi (spot light) di negara ini dengan segera dalam menyelamatkan sumber bekalan makanan dan masa depan sektor perikanan.

  • Empat terbunuh, empat cedera dalam kejadian tembakan

    Empat terbunuh, empat cedera dalam kejadian tembakan

    SEKURANG-KURANGNYA empat orang maut dan empat lagi cedera apabila lelaki bersenjata tidak dikenali melepaskan tembakan ke arah sebuah kenderaan di daerah Mastung di wilayah Balochistan, barat daya Pakistan pada Ahad, lapor Xinhua memetik media tempatan.

    Menurut media, kejadian berlaku di kawasan Wali Khan Bypass di daerah itu dan penyerang berjaya melarikan diri.

    Mangsa dikejarkan ke hospital berdekatan.

    Polis memberitahu media tempatan bahawa kenderaan yang menjadi sasaran adalah milik seorang ketua puak tempatan yang berpengaruh.

    Tiada kumpulan atau individu mengaku bertanggungjawab terhadap kejadian itu. – Bernama

  • Anggota PGA dipatuk ular semasa operasi

    Anggota PGA dipatuk ular semasa operasi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 18 Pengkalan Hulu terpaksa menanggung kesakitan selama beberapa jam apabila dia dipatuk seekor ular dipercayai spesies kapak sumatera, di kawasan yang sukar diteroka di Hutan Simpan Ulu Muda, Gubir dekat Sik, semalam.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 4.47 petang semalam.

    Katanya, anggota tersebut yang berpangkat koperal dan berusia 38 tahun dipercayai sedang menjalankan tugas operasi dalam hutan berkenaan bersama-sama beberapa anggota lain.

    Mangsa sukar dibawa turun oleh rakan-rakannya kerana faktor muka bumi yang cerun dan berbukit

    “Difahamkan mangsa sukar dibawa turun oleh rakan-rakannya kerana faktor muka bumi yang cerun dan berbukit. Mangsa dianggarkan berada pada paras 500 meter dari aras laut.

    “Justeru pada pukul 6.40 petang, pihak kami dibantu pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta dua anggota PGA Batalion 18 Pengkalan Hulu menyertai operasi untuk membawa turun mangsa,” katanya ketika dihubungi Warta Rakyat, hari ini.

    Tambahnya, operasi tersebut berdepan kesukaran kerana tiada liputan radio komunikasi mahu pun telefon mudah alih di kawasan tersebut.

    Terpaksa menanggung kesakitan selama beberapa jam apabila dia dipatuk seekor ular dipercayai spesies kapak sumatera

    “Perhubungan antara kedua-dua pihak terpaksa dilakukan dengan menggunakan satelit fon PGA. Akhirnya pada pukul 10 malam, barulah pasukan penyelamat tiba di lokasi mangsa dan dia diberi rawatan awal oleh pasukan perubatan PGA.

    “Akhirnya pada pukul 12.37 pagi, mangsa selamat dibawa turun dan dihantar ke Hospital Sik dengan menaiki jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS). Mangsa yang dipatuk di tangan dilaporkan berada dalam keadaan selamat,” katanya.

  • Kedah sambut baik langkah Persekutuan setuju bayar pampasan kekalkan hutan simpan

    Kedah sambut baik langkah Persekutuan setuju bayar pampasan kekalkan hutan simpan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KERAJAAN negeri Kedah menzahirkan rasa terima kasih terhadap Perdana Menteri dan kerajaan Persekutuan berikutan persetujuan untuk memberikan pampasan kepada negeri-negeri yang mengekalkan kawasan hutan simpan sebagai kawasan tadahan air di negara ini.

    Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, pembayaran itu bagaimanapun diharap dapat dibuat dalam bentuk pampasan fiskal dan bukannya berbentuk kos projek penanaman pokok atau sebagainya.

    Katanya, mengambil kira kerugian akibat kehilangan hasil hutan, kos penyelenggaraan sumber dan aliran bagi memelihara hutan dan kelestarian alam semula jadi, nilai pampasan sekurang-kurangnya RM100 juta setahun adalah jumlah yang paling munasabah untuk diterima Kedah.

    “Luas keseluruhan kawasan hutan di Kedah adalah 344,865.09 hektar yang meliputi 36.4 peratus daripada keseluruhan negeri. Pengekalan kawasan hutan ini bukan semata-mata untuk manfaat kegunaan domestik tetapi juga sebagai satu pengorbanan untuk seluruh negara.

    “Ini kerana fungsi kawasan tadahan daripada hutan simpan di Kedah adalah untuk pengairan kawasan penanaman padi bukan saja di Kedah malah di negeri berjiran iaitu Pulau Pinang dan Perlis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau mengulas pengumuman dibuat Perdana Menteri semalam mengenai persetujuan kerajaan Persekutuan untuk memberi pampasan kepada Pahang serta negeri lain atas komitmen mengekalkan hutan simpan di negeri masing-masing.

    Selain itu katanya, kawasan tadahan di Kedah khususnya di Hutan Simpan Ulu Muda seluas 163,000 hektar turut membekalkan air kepada Pulau Pinang dengan negeri itu mengabstrak 1,100 juta liter air sehari (mld) dari Sungai Muda berbanding rakyat Kedah sendiri yang cuma menggunakan 800 mld sehari dari sungai sama.

    “80 peratus daripada air digunakan Pulau Pinang setiap hari diabstrak dari Sungai Muda tetapi kerajaan negeri itu bukan saja tidak pernah membayar, malah surat-surat yang dihantar untuk ajak runding juga tidak pernah dijawab.

    “Ketika ini wujud kos untuk penyelenggaraan dan pengekalan sumber air termasuk kawasan tadahan, selain kehilangan hasil hutan. Pembayaran pampasan ini sebenarnya telah ditunggu oleh kerajaan dan rakyat Kedah sejak sekian lama,” katanya.

  • Tinggal Toyota Prius, barangan peribadi atas jambatan sebelum terjun

    Tinggal Toyota Prius, barangan peribadi atas jambatan sebelum terjun

    SEORANG dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke laut dari Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah atau lebih dikenali jambatan kedua Pulau Pinang di Kilometer 8.5 arah Batu Kawan menghala ke Batu Maung pagi tadi.

    Mangsa, Chow Yarn Wai, 39, dipercayai dari Kuala Lumpur turut meninggalkan kereta jenis Toyota Prius bersama barangan peribadi di atas jambatan itu dalam kejadian kira-kira pukul 4.40 pagi.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu dari Pusat Kawalan Trafik Jambatan Kedua Pulau Pinang awal pagi ini.

    Sehubungan itu katanya, operasi mencari dan menyelamat segera diaktifkan ke lokasi kejadia melibatkan bot PENGGALANG 12 dan KILAT 4.

    Jelasnya, operasi dengan keluasan pencarian 22.42 batu nautika persegi itu turut melibatkan bantuan agensi penyelamat lain iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Polis Marin Batu Uban dan Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM).

    Lelaki tersebut meninggalkan Toyota Prius dan barangan peribadi atas jambatan sebelum terjun dari atas jambatan

    “Pangkalan hadapan carilamat (PHC) turut ditubuhkan berhampiran jambatan kedua dan sehingga kini usaha pencarian masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Tambah beliau, Maritim Malaysia memandang serius kes sebegitu dan berharap masyarakat tidak mengambil jalan mudah untuk menyelesaikan sesuatu masalah dengan membuat keputusan yang terburu-buru.

    Katanya, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta menghubungi pihak Maritim Malaysia dan melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut menerusi talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang: 04-2626146.

  • 10 rumah di Kampung Jati hangus terbakar

    10 rumah di Kampung Jati hangus terbakar

    SEKURANG-KURANGNYA 10 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Jati, Jalan Apas Batu 5, Tawau, pada pukul 6 pagi ini.

    Namun tiada sebarang mangsa dilaporkan cedera atau melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Julius John Stephen berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 6.21 pagi.

    Susulan itu katanya, seramai 16 anggota bersama jentera dikejar ke lokasi yang terletak 10 kilometer dari balai bomba.

    “Kebakaran melibatkan 10 rumah jenis tidak kekal dan separuh kekal terbakar 100 peratus dan didapati jarak rumah begitu rapat.

    “Operasi memadamkan kebakaran segera dilakukan dengan menggunakan sumber air terbuka iaitu dari sungai berdekatan,” katanya ketika dihubungi.

    Katanya lagi, api berjaya dikawal pada pukul 6.50 pagi dan operasi memadamkan sepenuhnya kebakaran masih dilakukan sehingga kini.

  • Warga emas maut selepas lihat bumbung rumah dibaiki

    Warga emas maut selepas lihat bumbung rumah dibaiki

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    HASRAT seorang warga emas mahu melihat bumbung rumahnya di Felda Pasak, Kota Tinggi, hari ini yang siap dibaiki tidak kesampaian apabila ditemukan meninggal dunia di atas bumbung.

    Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd. Rafi Mohd. Nor, kejadian itu disedari jiran mangsa yang kebetulan berada di kawasan tersebut.

    Berikutan itu katanya, kejadian tersebut dilaporkan kepada pihaknya pada pukul 3.44 petang.

    “Seramai sembilan anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    Kejadian disedari jiran mangsa yang kebetulan berada di kawasan tersebut.

    “Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian mendapati mangsa, Yam Ramin yang berusia 80 tahun telah pengsan di atas bumbung ketika ingin melihat keadaan bumbung rumahnya selepas dibaiki.

    “Bomba bertindak menurunkan mangsa menggunakan sistem tali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang hadir sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

    Beliau menambah, operasi tersebut tamat pada pukul 5.25 petang.