Author: Admin

  • PN nafi minta jawatan di Melaka – Wan Saiful

    PN nafi minta jawatan di Melaka – Wan Saiful

    KETUA Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan menafikan pemimpin tertinggi parti itu meminta sebarang jawatan untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu selepas Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

    Wan Saiful menegaskan, parti tersebut tidak tahu bagaimana cerita tersebut sedangkan tidak pernah disuarakan kepimpinan Bersatu.

    “Entah mana datang cerita mengenai Adun Perikatan Nasional (PN) mahu menyertai kerajaan negeri Melaka.

    “Saya mahu tegaskan bahawa pimpinan tertinggi PN tidak pernah meminta apa-apa jawatan untuk Adun-Adun PN Melaka,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook, seperti dilaporkan MalaysiaKini, hari ini.

    Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan bahawa tiada keperluan melantik dua ADUN daripada PN yang menang pada PRN Melaka Sabtu lalu sebagai ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco).

    Timbalan Presiden UMNO itu berkata, beliau tidak melihat keperluan tersebut, memandangkan BN sudah mempunyai bilangan kerusi yang mencukupi bagi membentuk kerajaan negeri Melaka.

    Mohamad dilaporkan berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Menteri Melaka, Sulaiman Md Ali yang berkata, pihaknya akan berbincang dengan kepimpinan BN mengenai penyertaan dua Adun PN dalam kerajaan negeri.

    Sementara itu Wan Saiful berkata, sebaliknya PN akan mengkaji keputusan PRN Melaka, terutama jumlah sokongan yang kelihatan meningkat di banyak kawasan.

    “Dan kita akan rangka strategi untuk membolehkan kita memperkukuh parti di atas tapak yang telah terbina.

    “Kita akan jadikan PRN Melaka sebagai batu loncatan untuk mengorak langkah mara ke hadapan,” jelasnya.

  • Pegawai Malaysia, Singapura laksana latihan pembukaan VTL darat

    Pegawai Malaysia, Singapura laksana latihan pembukaan VTL darat

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MALAYSIA dan Singapura hari ini mengadakan latihan bersama-sama bagi pembukaan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) darat melibatkan sempadan dua negara itu yang akan dilaksana serentak dengan VTL udara pada 29 November ini.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerusi ciapan dalam akaun twitter miliknya hari ini memaklumkan, pegawai dari kedua-dua negara tersebut terlibat dalam latihan berkenaan bagi memastikan semuanya lancar.

    Beliau turut memuat naik beberapa keping foto latihan berkenaan yang mendapat maklum balas positif daripada pengikut twitternya.

    “Pegawai dari Malaysia dan Singapura sedang melaksanakan ‘dry run’ bagi cadangan pembukaan VTL melalui Tambak Johor hari ini.

    “Pembukaan sempadan ini amat dinanti-nantikan oleh rakyat kedua-dua negara. Semoga berjaya,” ciapnya.

    Ahad lalu, Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad dilaporkan mengumumkan, VTL darat antara Malaysia dan Singapura akan dilaksanakan serentak dengan VTL udara pada 29 November ini.

    Hasni dilaporkan berkata, itu adalah hasil perbincangan yang memutuskan perjalanan darat hanya untuk pemegang pas jangka panjang.

    Semalam pula, Hasni menerusi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) memberitahu, Johor bersedia menerima masuk 1,440 individu pada minggu pertama laluan VTL darat antara Malaysia dan Singapura.

    Menurut Hasni, Johor sudah menghantar prosedur operasi standard (SOP) khas kepada Kerajaan Persekutuan bagi membolehkan VTL darat itu dilaksanakan sekali gus sempadan antara Malaysia-Singapura dapat dibuka segera.

    Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga dijangka mengadakan lawatan ke Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar di sini, pada 29 November ini.

    Tujuannya bagi meninjau kemasukan sulung menerusi VTL darat, selepas hampir 20 bulan sempadan Malaysia-Singapura ditutup sejak tahun lalu.

  • Enam didakwa tetak dan bunuh Ah Long di Klang

    Enam didakwa tetak dan bunuh Ah Long di Klang

    ENAM individu termasuk dua remaja didakwa di Mahkamah Majistret Klang, Selangor hari ini atas pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh seorang pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau ‘ah long’ di Lorong Batu Nilam, Bandar Bukit Tinggi, awal November lalu.

    Tertuduh, Tan Ah Chai, Yeo Ching Lian, Lau Zi Hui dan Yap Soon Kuan kelihatan mengangguk kepala dan faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Sarulatha Paramavathar.

    Kesemua empat suspek tersebut yang berusia 18 hingga 36 tahun itu dituduh mengikut Seksyen 302/34 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    Sementara dua lagi tertuduh, Gan Kok Shang dan Tan Yong Seng menghadapi pertuduhan berasingan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bersubahat membunuh.

    Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua enam individu terbabit.

    Jika disabitkan kesalahan oleh kedua-dua seksyen berkenaan tertuduh berdepan dengan hukuman gantung sampai mati.

    Empat tertuduh iaitu Tan Ah Chai, Lau Zi Hui, Gan Kok Shang dan Tan Yong Seng diwakili peguam, Lim Chee Chau, manakala Yeo Ching Lian diwakili peguam, Ng Li Kian dan Yap Soon Kuan pula diwakili Helen Fong.

    Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Nur’ain Madihah Zulkifli memaklumkan kepada mahkamah pihaknya sedang menunggu laporan forensik daripada pihak berkuasa, selewat-lewatnya 31 Januari 2022.

    Majistret kemudiannya menetapkan sebutan semula kes pada 31 Januari 2022.

    Pada 6 November lalu, media melaporkan seorang lelaki dipercayai ‘ah long’ ditemui mati disyaki ditetak dengan parang oleh dua suspek selepas menikmati makanan bersama dua anak lelakinya di sebuah restoran kopitiam di Bandar Bukit Tinggi, Klang.

    Dalam kejadian pukul 12.20 tengah hari itu, mangsa berusia 47 tahun itu sempat melarikan diri di celah kenderaan sebelum rebah dan maut.

    Susulan kejadian itu, polis berjaya menahan 16 suspek yang disyaki bersubahat dan melakukan pembunuhan tersebut.

    Salah faham dan dendam lama sesama ahli kongsi gelap Geng 24 dipercayai merupakan punca mangsa yang juga ahli geng sama telah ditetak suspek. Tangkapan suspek dilakukan di sekitar Muar dan Segamat, Johor.

  • Rampas 4.03 tan daun ketum cuba diseludup

    Rampas 4.03 tan daun ketum cuba diseludup

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEBANYAK 4.03 tan daun ketum bernilai kira-kira RM120,000 berjaya dirampas daripada diseludup ke negara jiran oleh Batalion 3, Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara bermula 24 Oktober lalu hingga hari ini.

    Menurut laporan Sinar Harian, tindakan rampasan tersebut dilakukan menerusi kawalan dilakukan dalam Op Benteng Kawalan Sempadan Darat Malaysia-Thailand.

    Pegawai Pemerinta Batalion 3, Superitendan Azhar Hashim berkata, pihak berkuasa juga menahan enam individu yang cuba menyeludup barangan ke negara jiran membabitkan nilai rampasan keseluruhan RM135,855.

    “Daun hijau disyaki daun ketum dirampas di kawasan Wang Kelian, Perlis seberat 2.5 tan. Selebihnya 0.5 tan dirampas di Padang Besar manakala 0.7 tan lagi di Chuping, Perlis.

    “Selain itu, barangan lain yang dirampas adalah sebuah kenderaan bernilai RM10,000, telefon bimbit, beg galas dan dompet,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan PGA Bukit Kayu Hitam, hari ini.

    Hadir sama, Timbalan Komander Pasukan Simpanan Persekutuan, Asisten Komisioner Rosman Kasman; Pegawal Pemerintah Unit Berkuda, Deputi Superintendan Nurhidayah Damanhoori dan juruterbang Unit Udara PDRM, Superintendan Ras Nazrin Shah Abdullah.

    Beliau dalam pada itu memaklumkan, Batalion 3 PGA itu turut menahan enam individu membabitkan berkaitan kes Pendatang Asing Tanpa Izin melibatkan tiga lelaki warganegara Myanmar di Bukit Kayu Hitam serta tiga lagi individu warganegara Thailand dan tempatan di KTM Padang Besar.

  • Dua rumah setinggan jadi makmal proses pelbagai jenis dadah

    Dua rumah setinggan jadi makmal proses pelbagai jenis dadah

    POLIS berjaya membongkar kegiatan sindiket dadah yang memproses dan membungkus dadah di kawasan setinggan berhampiran lebuh raya di Kuala Lumpur selepas melakukan serbuan baru-baru ini.

    Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJ) Bukit Aman dan JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur melancarkan serbuan di dua lokasi di rumah setinggan yang dijadikan sebagai makmal pemprosesan bahan haram itu.

    Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yahaya Othman berkata, operasi terancang itu bermula 2.30 petang pada 17 November lalu bagi membanteras kegiatan memproses dan membungkus dadah jenis heroin, syabu dan ganja yang dipercayai untuk edaran pasaran tempatan.

    “Serbuan pertama di Batu 3 1/2 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban dan menahan tiga lelaki tempatan serta seorang lelaki warga asing berusia antara 24 hingga 38 tahun.

    “Dalam serbuan itu, polis merampas 58 kilogram (kg) dadah disyaki ganja, 11 kg heroin gred tiga, 181 gram heroin gred empat, 2.6 kg methamphetamine dan 50 kg kafein bersama peralatan memproses dadah,” katanya pada sidang media di IPK Kuala Lumpur, hari ini.

    Yahaya berkata, serbuan kedua pula di Kampung Udara dekat Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban dan menahan seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing berusia 21 serta 25 tahun.

    “Warga asing yang ditahan itu positif syabu yang mana nilai rampasan dadah adalah RM419,920.

    “Kita turut menyita tiga kereta iaitu Perodua Myvi, Perodua Alza dan Perodua Bezza. Mereka ini aktif sejak Julai lalu,” katanya.

    Menurutnya, siasatan mendapati kumpulan sindiket itu memilih lokasi berkenaan sebagai makmal bagi mengelak dikesan dan mengaburi mata pihak berkuasa.

    “Semua suspek direman seminggu bermula 18 November lalu hingga esok dan akan disambung reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Kanak-kanak perempuan 2 tahun perlu RM90,000 untuk jalani pembedahan jantung keempat

    Kanak-kanak perempuan 2 tahun perlu RM90,000 untuk jalani pembedahan jantung keempat

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dari Penaga, Pulau Pinang memerlukan dana sebanyak RM90,000 bagi menjalani pembedahan jantung kali keempat secepat mungkin.

    Nur Afia Mikayla Abdul Khaliq menghadapi masalah kecacatan jantung konginental seperti kedudukan jantung yang berada di posisi yang salah atau ‘mesorcadia’ serta saluran darah yang nipis dan bertukar tempat.

    Dia telah menjalani pembedahan jantung sebanyak tiga kali dengan dua daripadanya ketika berusia dua bulan manakala satu lagi ketika usianya baru mencapai satu tahun.

    Nur Afia Mikayla kini perlu melalui pembedahan keempat iaitu pembedahan jantung pelengkap secepat mungkin untuk menyelesaikan masalah ‘pulmonary atresia with ventricular septal defect’ (PA-VSD).

    Ini kerana kanak-kanak tersebut mempunyai tanda ‘cyanosis’ atau perubahan warna tisu pada anggota badan kepada warna lebih gelap di bahagian jari dan bibir.

    Nur Afia Mikayla dari Penaga, Pulau Pinang memerlukan dana sebanyak RM90,000 bagi menjalani pembedahan jantung kali keempat secepat mungkin

    Pengerusi One Hope Charity and Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, ibu bapa kanak-kanak itu, Aizatul Melissa Abdullah, 23, dan Muhammad Hanif Mohtar, 24, menghubungi pertubuhan kebajikan, One Hope Charity and Welfare bagi membantu menguruskan kutipan dana serta rawatan dengan pihak hospital.

    “Bapa Nur Afia Mikayla hanya bekerja sebagai penghantar kurier dengan gaji RM1,250 manakala ibunya suri rumah sepenuh masa dan kami memutuskan menjalankan kutipan amal bagi membantu menguruskan kos pembedahan Nur Afia Mikayla,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurut Shi Hau, orang ramai yang ingin membantu kanak-kanak tersebut boleh melayari laman sesawang www.onehopecharity.org dan menyalurkan sumbangan mereka menerusi akaun Public Bank Berhad pertubuhan kebajikan itu di nombor 3201428817.

    Katanya, orang ramai juga boleh  menghubungi talian 016-4192192, 019-2322192 atau 04-5399212 untuk maklumat lanjut.

  • Mayat bayi membengkak, membusuk ditemukan di sawah

    Mayat bayi membengkak, membusuk ditemukan di sawah

    SEORANG pemilik sawah terkejut apabila menemukan mayat bayi perempuan dalam keadaan membengkak dan membusuk di kawasan sawah berdekatan lorong Taman Serai Muda ke Kampung Padri di Bagan Serai, semalam.

    Bayi berkenaan yang dipercayai dibuang di situ ditemukan pemilik tanah berkenaan sekitar pukul 8.30 pagi dalam keadaan tidak berbaju yang dianggarkan berusia lebih kurang sembilan bulan.

    Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, siasatan di lokasi kejadian tidak menemui sebarang dokumen atau kain balutan berkaitan kes itu.

    “Status hidup atau mati semasa dilahirkan tidak dapat dipastikan kerana organ dalaman mayat bayi berkenaan telah hancur.

    “Setakat ini punca kematian bayi tidak dapat dipastikan dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Menurutnya, kali terakhir pemilik tanah melalui kawasan itu kelmarin sekitar jam 4.30 petang untuk menjalankan kerja membaja, tetapi masih belum terlihat mayat bayi tersebut.

    “Mayat bayi telah di bawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk tujuan bedah siasat.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan dan membuang mayat,” katanya.

  • JTPD : PH Johor tolak pelawaan Hasni jadi pemerhati, desak diberi taraf ahli ‘ex-offico’

    JTPD : PH Johor tolak pelawaan Hasni jadi pemerhati, desak diberi taraf ahli ‘ex-offico’

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    KESEMUA 27 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) negeri Johor sepakat menolak pelawaan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad untuk menjadi pemerhati dalam Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD).

    Keputusan sebulat suara itu dicapai pada mesyuarat PH Johor yang dipengerusikan Ketua Pembangkang Johor, Aminolhuda Hassan selepas pembentangan Belanjawan Johor 2022, Khamis lalu.

    Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, tawaran Hasni tidak adil memandangkan mereka adalah wakil rakyat yang dipilih untuk menyuarakan pandangan dan masalah di kawasan masing-masing.

    Maka ujar beliau, pelawaan sekadar menjadi pemerhati tidak sepatutnya ditawarkan kerana tiada apa-apa perkara yang boleh dilakukan mereka melainkan hanya duduk dan dengar sahaja dalam JTPD.

    “Hanya sekadar dibenarkan datang, duduk, dengar dan balik, itu memang kita tolak. PH Johor desak diberikan taraf ahli ‘ex officio’ supaya ADUN pembangkang dapat beri pandangan dan meminta penjelasan berkaitan isu di kawasan masing-masing dalam JTPD,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

    Khamis lalu, Hasni ketika membentangkan Belanjawan Johor 2022 berkata, kerajaan negeri telah bersetuju untuk menjemput ADUN Pembangkang untuk menyertai mesyuarat itu sebagai pemerhati.

    Pada pembentangan itu, Hasni turut mengumumkan peruntukan tetap tahunan sebanyak RM200,000 kepada 56 ADUN Johor bagi tujuan pengurusan dan pentadbiran serta kerja-kerja kecil dan bekalan. Beliau turut memberikan tambahan RM50,000 untuk tujuan perayaan-perayaan besar.

    Jimmy Puah yang juga Bendahari PH Johor berkata, Aminolhuda selaku Ketua Pembangkang DUN Johor juga sudah menyampaikan keputusan sebulat suara mereka itu kepada Hasni.

    Manakala, ADUN Jementah, Tan Chen Choon pula akan membawa usul mengenai isu terbabit pada sesi penggulungan Belanjawan Johor 2022, Ahad ini.

    Ketika mengulas sama ada isu berkenaan akan memberi kesan kepada sokongan pihaknya terhadap undian Belanjawan Johor 2022, Jimmy berkata, PH Johor perlu menunggu maklum balas Hasni ketika menggulung belanjawan berkenaan.

    “Kita tunggu pada masa itu sama ada pembangkang akan sokong Belanjawan Johor 2022 atau tidak. Johor mempunyai jumlah ADUN kerajaan dan pembangkang yang tipis iaitu 29 kepada 27 kerusi dan Hasni sebagai Menteri Besar diharap dapat meneruskan politik matang demi kebaikan masyarakat.

    “Jika Menteri Besar benarkan ADUN pembangkang sertai JTPD sebagai ahli ‘ex officio’, PH Johor akan menarik semula usul mengenai isu ini. Soal menyelesaikan isu rakyat, kita akan bertegas,” katanya.

  • 1.7 juta batang rokok tidak bercukai bernilai hampir setengah juta dirampas

    1.7 juta batang rokok tidak bercukai bernilai hampir setengah juta dirampas

    POLIS Pulau Pinang merampas sebanyak 1,718,8000 batang rokok iaitu bersamaan 85,940 kotak rokok tidak bercukai pelbagai jenama bernilai RM482,000 dalam beberapa serbuan di sekitar Bukit Mertajam dan Butterworth semalam.

    Rampasan itu dilakukan dalam serbuan bermula pukul 7.50 pagi di premis rumah kedai dan di dalam empat buah van yang mana empat lelaki warga tempatan turut ditahan.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Shafee Abdul Samad berkata, serbuan pertama dibuat di sebuah premis kosong di Taman Kota Permai yang mana pelbagai jenama rokok disyaki tidak bercukai dijumpai disimpan di dalam premis berkenaan manakala tiga lelaki berusia lingkungan 30-an turut ditahan.

    Ekoran tangkapan itu katanya, polis menyerbu beberapa premis lain di sekitar Bukit Mertajam dan Butterworth dengan seorang lagi suspek lelaki tempatan berusia 30-an ditahan selain sejumlah rokok pelbagai jenama turut dirampas.

    “Hasil siasatan awal mendapati premis-premis tersebut dijadikan gudang penyimpanan rokok tidak bercukai untuk dijual kepada pelanggan mengikut permintaan khususnya di sekitar Pulau Pinang.

    “Pemeriksaan lanjut juga mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan penyalahgunaan dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurut Shafee, kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPT untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

  • 20 kereta mewah disita bernilai RM711,018

    20 kereta mewah disita bernilai RM711,018

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan melakukan sitaan terhadao 20 buah kereta mewah pelbagai jenama bernilai RM711,018 selepas kerana diimport tanpa cukai.

    Pengarah JKDM Negeri Sembilan, Mohammad Hafiz Ishak berkata, semua kereta mewah berkenaan dirampas dalam serbuan di sebuah premis pada 11 September lalu.

    “Premis itu turut dijadikan tempat penyimpanan kenderaan import terpakai yang belum dibayar cukai dan tanpa kelulusan kastam di Johor.

    “Pemeriksaan mendapati terdapat 20 unit kereta mewah pelbagai jenama melibatkan duti dan cukai bernilai RM1,108,930,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mohammad Hafiz berkata, modus operandi suspek ialah memindahkan kenderaan import berduti yang belum dibayar cukai tanpa kelulusan kastam bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

    Jelasnya, kenderaan tersebut dipercayai dipindahkan ke Johor dari Selangor yang kononnya bagi tujuan kerja-kerja penyelenggaraan tetapi dipercayai untuk dijual di pasaran di Johor.

    “Pemilik premis seorang lelaki tempatan telah dipanggil ke Pejabat Penguatkuasaan JKDM Negeri Sembilan untuk membantu siasatan.

    “Kes sedang disiasat mengikut Akta Kastam 1967 iaitu memindahkan barang-barang berduti dari kawalan kastam tanpa kelulusan dan melanggar syarat-syarat Gudang Berlesen (PEKEMA) yang telah ditetapkan di bawah Perintah Tetap Kastam.

    “Jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 138, Akta Kastam 1967 iaitu denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.