Author: Admin

  • 3,962 kakitangan awam Pulau Pinang dapat setengah bulan gaji, minimum RM1,000

    3,962 kakitangan awam Pulau Pinang dapat setengah bulan gaji, minimum RM1,000

    SERAMAI 3,962 kakitngan awam di Pulau Pinang akan menerima bantuan khas kewangan sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 yang akan dibuat pada bulan depan.

    Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, bayaran itu melibatkan RM5.59 juta seperti diumumkan menerusi pembentangan Bajet 2022 dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

    “Adalah diharapkan bayaran Bantuan Khas Kewangan ini akan meningkatkan semangat penjawat awam untuk memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang lagi di tahun-tahun akan datang,” katanya dalam sidang DUN Pulau Pinang, hari ini.

    Di samping itu, Kon Yeow turut mengumumkan pembayaran sebanyak RM300 seorang kepada penyelia dan guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA); guru sekolah rendah dan menengah agama rakyat serta guru dan kakitangan sekolah persendirian Cina.

    Turut menerima bayaran sama seperti tahun-tahun sebelum ini tambahnya, ialah guru tahfiz, guru sekolah pondok dan guru Taman Asuhan Pendidikan Anak Islam (Tadis) iaitu sebanyak RM200 seorang.

    “Pembayaran ini akan melibatkan perbelanjaan berjumlah RM940,600 yang juga akan dibayar pada Disember 2021,” katanya.

    Sementara itu, Kon Yeow sekali membentangkan belanjawan defisit Pulau Pinang 2022 membabitkan nilai RM449.80 juta dengan perbelanjaan mengurus berjumlah RM935.22 juta berbanding jangkaan hasil negeri (RM485.42 juta).

    Menurut Kon Yeow, kerajaan negeri menganggarkan hasil yang dikutip pada 2022 berkurangan 4.07 peratus atau RM20.60 juta berbanding tahun ini mengambil kira kesan pandemik Covid-19 yang masih belum reda.

    “Kerajaan Negeri juga amat prihatin dengan beban yang dialami oleh rakyat berikutan pandemik ini dan berhati-hati dalam merangka strategi untuk meningkatkan hasil negeri pada tahun hadapan.

    “Selain itu, penurunan hasil ini turut disumbang oleh pengurangan kadar faedah untuk simpanan tetap dan pelaburan negeri,” katanya.

  • Bersatu cari pengganti Mohd. Rafiq – Hamzah

    Bersatu cari pengganti Mohd. Rafiq – Hamzah

    BERSATU akan mengadakan mesyuarat tidak lama lagi untuk mencari pengganti Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka selepas Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen mengumumkan peletakan jawatannya hari ini.

    Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya menerima keputusan yang telah dibuat dan menzahirkan penghargaan ke atas jasa Mohd Rafiq selama memegang jawatan tersebut.

    “Terima kasih kami ucapkan kepada Mohd. Rafiq. Kami baru terima pengumuman mengenai peletakan jawatannya pada hari ini.  Kami akan buat keputusan tidak lama lagi, dan ia akan diumumkan selepas dipersetujui Presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin,” kata Ahli Parlimen Larut itu sewaktu merasmikan Persidangan Tahunan Bahagian Larut 2021, hari ini.

    Mohd. Rafiq mengumumkan peletakan jawatan tersebut hari ini bagi memberi peluang kepada kepimpinan baharu selain memberi tumpuan untuk memperkukuhkan sokongan rakyat terhadap PN Parlimen Tangga Batu dan Bersatu Bahagian Tangga Batu.

    Ditanya mengenai post-mortem Bersatu yang gagal mempertahankan kerusi disandang mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Hamzah berkata, pihaknya akan memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti selain membuat analisa sokongan terhadap calon-calon yang telah dipilih.
     
    “Semalam ada bincang dalam mesyuarat. Analisa awal adalah kami ada sokongan yang tinggi mencecah 77,000 sokongan walaupun kami parti baharu. Ini agak baik kerana kami pertama kali letak calon. Kami juga akan perbaiki kelemahan yang kami kenal pasti,” katanya.

    Pada PRN Melaka yang melabuh tirainya Sabtu lepas, Bersatu hanya memenangi dua dari 15 kerusi ditandingi parti tersebut iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban melalui Dr Mohd Yadzil Yaakub dan Sungai Udang melalui Dr Mohd Aleef Yusof.

    Ditanya mengenai kedudukan dua kerusi tersebut dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka kelak, Hamzah berkata, setakat ini pihaknya belum memberikan arahan dan hal ini akan ditentukan Speaker DUN kelak. – Bernama

  • Perompak kantoi tertidur semasa ‘buat kerja’

    Perompak kantoi tertidur semasa ‘buat kerja’

    SEORANG lelaki yang sedang menunggu dua lagi rakan jenayah melarikan barangan sebuah rumah di Jalan Mangga 2, Taman MGBM Bachang, Melaka, kelmarin berjaya diberkas polis selepas tertidur dalam keretanya.

    Rakaman video perompak tersebut berjaya diberkas dengan berdurasi 1 minit 15 saat turut tular dalam laman sosial Facebook.

    Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad, suspek berusia 30 tahun itu berjaya dicekup dengan bantuan orang awam.

    Katanya, mengikut laporan polis dibuat oleh pengadu, rumah tersebut merupakan milik arwah ibunya dan kejadian pecah masuk berkenaan dimaklumkan oleh jiran kira-kira pukul 5 petang. 

    “Pengadu bersama kakak dan abang iparnya bergegas ke rumah tersebut dan setiba di lokasi mereka menjumpai seorang lelaki sedang tidur dalam kereta jenis Hyundai Sonata di belakang rumah berkenaan. 

    “Pengadu bertindak mematikan enjin dan mengambil kunci kereta tersebut,” katanya kepada pemberita, hari ini. 

    Tambahnya, dengan bantuan jiran, suspek berkenaan ditangkap dan dipercayai dalam keadaan khayal bawah pengaruh dadah. 

    Mengulas lanjut, beliau berkata, pengadu kemudian ternampak pintu bahagian dapur rumah terbabit dalam keadaan terbuka dan dua lelaki dilihat sedang cuba melarikan sebuah televisyen.

    “Menyedari kehadiran pengadu, kedua-dua suspek bertindak melarikan diri. 

    “Hasil pemeriksaan, barang-barang yang hilang adalah sebuah kamera lama beserta beg coklat dengan anggaran kerugian RM300,” katanya. 

    Katanya lagi, suspek yang dicekup kemudian diserahkan kepada pihak polis yang datang memberikan bantuan dan kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. 

    “Pasukan khas Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah telah digerakkan untuk mengesan dan menangkap dua lagi suspek yang disyaki terlibat dalam kes pecah rumah berkenaan,” katanya.

  • Tiga lelaki direman bantu siasatan kes bunuh di Flat Ashby Road

    Tiga lelaki direman bantu siasatan kes bunuh di Flat Ashby Road

    POLIS mendapat kebenaran reman tujuh hari yang bermula hari ini ke atas tiga lelaki termasuk dua beranak bagi membantu siasatan susulan daripada kes bunuh seorang lelaki di pasar pagi Flat Ashby Road, Ipoh semalam.

    Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Noor Azreen Liyana Mohd. Darus mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

    Reman tujuh hari dikeluarkan terhadap suspek berusia 60 dan anak lelakinya berusia 34 tahun dan seorang lagi berusia 47 tahun itu akan berakhir Khamis depan.

    Kesemua suspek yang ditahan semalam di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    Semalam, dalam kejadian sekitar pukul 9.30 pagi, Muhammad Noor Faqih Mohamed Ariffin, 29, maut dalam pergaduhan dengan tiga suspek yang dikatakan berpunca daripada isu kecurian pembesar suara mudah alih.

    Suspek yang dikatakan tidak berpuas hati dengan mangsa dipercayai mencuri pembesar suara milik seorang daripada mereka sehingga berlaku pertengkaran mulut yang akhirnya membawa kepada pergelutan.

    Mangsa yang dipercayai mempunyai masalah mental itu meninggal dunia di tempat kejadian dengan sebilah pisau lipat dijumpai di lokasi sama. 

  • Langgar belakang sebelum pukul mangsa, larikan kenderaan

    Langgar belakang sebelum pukul mangsa, larikan kenderaan

    MELANGGAR belakang kereta sebelum memukul mangsa dan melarikan kenderaan mangsa di Jalan Besar Kepong, Kuala Lumpur semalam.

    Itu taktik yang digunakan dua penjenayah dalam kejadian pada pukul 11.20 malam itu yang turut menyebabkan mangsa, 30-an, cedera.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kenderaan jenis Mitsubishi ASX yang dipandu mangsa dirempuh sebuah kenderaan dari bahagian belakang.

    “Seorang suspek bertindak menghampiri mangsa dan menumbuk mata kiri dan kepala mangsa sebanyak dua kali sehingga menyebabkan mangsa terjatuh di jalan.

    “Suspek kemudian bertindak melarikan kereta milik mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Eng Lai berkata, ketika kejadian laluan berkenaan gelap kerana tiada lampu jalan.

    “Mangsa dibantu oleh orang awam yang kebetulan melalui jalan berkenaan sebelum dihantar ke Hospital Desa Park City, Kepong untuk mendapatkan rawatan lanjut.

    “Polis kini sedang giat memburu dua suspek berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Thomas dakwa saman Najib terhadapnya, kerajaan bertujuan politik

    Thomas dakwa saman Najib terhadapnya, kerajaan bertujuan politik

    BEKAS Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas mendakwa saman difailkan Datuk Seri Najib Tun Razak terhadapnya dan kerajaan atas dakwaan salah guna kuasa ketika mendakwa bekas perdana menteri itu dalam beberapa kes, adalah atas tujuan politik.

    Menerusi afidavit sokongan bagi membatalkan saman bekas perdana menteri itu, Thomas berkata beliau percaya Najib memfailkan saman itu untuk digunakan dalam kempen menjelang Pilihan Raya Negeri Melaka baru-baru ini dan juga untuk Pilihan Raya Umum akan datang, yang perlu diadakan pada pertengahan 2023.

    Thomas, 69, berkata perkara ini dibuktikan dengan fakta bahawa pertuduhan ini hanya dibangkitkan oleh Najib buat kali pertamanya, walaupun beliau telah didakwa dalam kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada September 2018 serta kes pengubahan wang haram pada 2019.

    Beliau mendakwa, Najib tidak pernah membangkitkan sebarang dakwaan ‘pendakwaan jahat’ sebagai sebahagian daripada pembelaannya dalam kes SRC International Sdn Bhd dan kes 1MDB yang sedang berjalan.

    Thomas adalah Peguam Negara dari 4 Jun 2018 sehingga 28 Februari 2020 berkata, empat kes jenayah Najib masih belum selesai di Mahkamah Tinggi dan oleh sebab itu Najib masih kekal sebagai orang yang dituduh.

    Thomas mendakwa sebagai seorang Pendakwa Raya, beliau tidak bertanggungjawab menjaga orang yang didakwa seperti Najib, antara lain kerana sistem adversarial di bawah undang-undang Malaysia.

    Beliau berkata jika saman itu tidak dibatalkan, tetapi perbicaraan diadakan atas pertimbangan pembuktian sivil, ia akan menyebabkan kes Najib akan dibicarakan semula sementara kes jenayah (dengan bebanan yang lebih tinggi) sedang berjalan.

    “Ini tidak mampan dalam undang-undang. Ia juga bertentangan dengan kepentingan awam,” katanya lagi.

    Thomas berkata dalam saman itu, Najib juga mendakwa yang dirinya (Thomas) telah membuat prasangka terhadap kesnya, sebelum membuat keputusan untuk mendakwanya serta campur tangan dalam penyiasatan.

    “Apabila setiap kertas siasatan (IP) berkaitan Najib diserahkan kepada saya, saya berpuas hati bahwa terdapat kes yang kukuh terhadapnya. Saya melihat IP itu sebaik mungkin, membincangkannya dengan pegawai berkaitan di pejabat Pendakwa Raya (PP) dan kemudiannya secara jujur membuat keputusan untuk mendakwa Najib.

    “Sehubungan itu, dakwaan dalam penyataan tuntutan yang menyatakan bahawa saya membuat keputusan untuk mendakwa beliau walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menemui sebarang salah laku, adalah dinafikan.

    “Sama ada saya atau mana-mana kakitangan daripada pejabat PP masuk campur dalam siasatan SPRM terhadap Najib yang menyebabkan pendakwaan dilakukan. Siasatan dilakukan secara bebas oleh SPRM,” kata Thomas.

    Beliau berkata, dakwaan plantif bertujuan untuk menggangu dan menakut-nakutkan beliau kerana telah menjalankan tugasnya sebagai Peguam Negara dan Pendakwa Raya dan telah menggunakan budi bicaranya di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan untuk mendakwa beliau (Najib).

    Pada 22 Oktober Najib memfailkan saman terhadap Thomas berhubung dakwaan menyalahgunakan kuasa untuk mendakwanya dalam kes 1MDB, International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa dan pengubahan wang haram, dan menuntut ganti rugi lebih RM1.9 juta.

    Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan terhadapnya, sebahagian daripada perbuatan yang telah dirancang lebih awal oleh Thomas dan ia juga selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

    Beliau mendakwa, pada 2015, Thomas telah bertemu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membincangkan kesalahan-kesalahan dan salah urus yang kononnya dilakukan kepada dana 1MDB dan turut menasihati Dr Mahathir supaya mengambil tindakan sivil dan jenayah terhadap Najib berhubung penglibatannya dalam 1MDB.

    Mahkamah Tinggi menetapkan 19 Januari 2022 untuk pengurusan kes. – Bernama

  • Guru wanita berputih mata RM140,000 lesap angkara ‘pegawai polis’

    Guru wanita berputih mata RM140,000 lesap angkara ‘pegawai polis’

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    GURU sambilan wanita rugi RM140,000 apabila ditipu dua lelaki menyamar polis yang memperdaya mangsa kononnya sebagai bayaran untuk mengurangkan hukuman terhadap abangnya yang disabit kes dadah.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa berusia 38 tahun itu hanya menyedari ditipu setelah suspek meminta bayaran tambahan RM50,000 lagi beberapa hari selepas bayaran pertama.

    Polis menerima laporan dibuat mangsa pada pukul 12.52 tengah hari, kelmarin yang memaklumkan dia ditipu dua suspek.

    “Kejadian berlaku pada 11 November lalu ketika mangsa berada di rumah telah didatangi seorang suspek lelaki menaiki kereta yang mempunyai lambang polis.

    “Suspek itu kemudian meminta pengesahan sama ada wanita itu mengenali individu bernama Woon Kim Foo iaitu abang kepada mangsa yang telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes pengedaran dadah,” katanya dalam kenyataan.

    Raub berkata, suspek telah mengarahkan mangsa untuk berhubung dengan seorang lelaki iaitu suspek kedua yang dikenali sebagai Tuan Nazri dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di talian 016-4420728.

    “Ketika menghubungi suspek kedua itu, mangsa dimaklumkan sekiranya ingin mengurangkan hukuman terhadap abangnya, mangsa perlu membuat bayaran sebanyak RM100,000 ke akaun yang telah diberikan sebagai syaratnya.

    “Keesokkan harinya, mangsa telah membuat pemindahan wang tersebut dan memaklumkan kepada suspek mengenai perkara itu,” katanya.

    Tambah Raub, selepas menerima bayaran RM100,000, suspek meminta mangsa untuk membuat pemindahan wang tambahan sebanyak RM40,000 sebelum mangsa melakukannya pada hari sama.

    Setelah kesemua transaksi dibuat, mangsa telah ke IPK Johor dan berhubung dengan suspek kedua semula namun tiada sebarang jawapan yang diterima dari suspek.

    Namun, katanya, mangsa telah menerima panggilan semula dari suspek tidak lama kemudian menggunakan nombor 07-2254422 yang memintanya untuk pulang ke rumah.

    “Selang beberapa hari kemudian, suspek telah menghubungi mangsa dan meminta mangsa untuk membuat pembayaran tambahan berjumlah RM50,000.

    “Namun kali ini, mangsa enggan membuat sebarang bayaran kerana mengesyaki dirinya ditipu suspek,” ujarnya.

    Kes disiasat dibawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

  • Dua sahabat edar dadah digantung sampai mati

    Dua sahabat edar dadah digantung sampai mati

    DUA sahabat dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Tawau, hari ini, selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 70,942.52 gram tiga tahun lalu.

    Hakim Dr. Lim Hock Leng menjatuhkan hukuman itu terhadap Tan Teng Siong, 52, dan Tay Thong Keng, 34, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

    Menurutnya, pendakwaan berjaya membuktikan kes bahawa kedua-dua tertuduh itu mempunyai niat untuk menyeludup dadah.

    “Oleh itu, kedua-dua tertuduh didapati bersalah mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

    “Kedua-dua tertuduh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati,” katanya.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh bersama-sama seorang lagi, Tan Teng Sang, 37, didakwa bersama-sama mengedar methamphetamine seberat 70,942.52 gram di Jalan Haji Karim (belakang bangunan Mahkamah Tawau) pada 12.30 tengah malam, 9 November 2018.

    Bagaimanapun, Teng Sang sudah dilepaskan dan dibebaskan ketika akhir kes pendakwaan pada 20 dan 21 Mac lalu.

    Sepanjang perbicaraan yang bermula pada November 2020 itu, pihak pendakwaan memanggil tiga saksi sementara pihak pembelaan masing-masing hanya menampilkan kedua-dua tertuduh sebagai saksi sehingga perbicaraan selesai pada Jun lalu.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Ali Imran manakala peguam Dominic Chew Luke Ressa mewakili Teng Siong dan Ram Singh mewakili Thong Keng.

  • Jawatankuasa jaga kebajikan 299 kanak-kanak yatim piatu akibat Covid-19

    Jawatankuasa jaga kebajikan 299 kanak-kanak yatim piatu akibat Covid-19

    KERAJAAN Pulau Pinang akan menubuhkan jawatankuasa petugas khas (task force) dengan sokongan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM); Jabatan Pendidikan negeri dan agensi lain bagi menjaga kebajikan kanak-kanak terbabit menjadi yatim piatu akibat Covid-19.

    Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar serta Kesihatan negeri, Dr. Norlela Ariffin memberitahu, jawatankuasa petugas khas itu akan melihat bentuk sokongan dan bantuan yang diperlukan kanak-kanak terbabit khususnya dalam memastikan mereka meneruskan sesi persekolahan.

    Ini kerana ujarnya, terdapat kes iaitu dua pelajar masing-masing berusia 16 dan 18 tahun yang menjadi yatim piatu akibat pandemik Covid-19 memilih untuk bekerja bagi meneruskan kehidupan serta menyara empat lagi adik mereka.

    “Selain itu, JKM ketika ini turut menghubungi kumpulan kanak-kanak yang terjejas akibat Covid-19 ini bagi menawarkan khidmat kaunselor dan sokongan selain kita turut menghulurkan bantuan-bantuan lain seperti bakul makanan dan sebagainya,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.

    Menurut Dr. Norlela, seramai 299 kanak-kanak di Pulau Pinang menjadi menjadi yatim piatu sejak pandemik Covid-19 melanda dua tahun lalu.

    Katanya, daripada jumlah itu, majoriti mereka yang kehilangan ibu bapa yang merupakan punca utama rezeki keluarga iaitu seramai 194 orang; kehilangan ibu (78); penjaga (6) dan kedua-dua ibu dan bapa (4).

    Daripada jumlah itu juga katanya, seramai 224 merupakan kanak-kanak dari keluarga Melayu; 47 (Cina); India (24) dan lain-lain bangsa (4).

    Tambahnya, daripada segi pecahan daerah pula, 95 daripada mereka tinggal di Timur Laut; Seberang Perai Utara (46); Seberang Perai Tengah (84); Seberang Perai Selatan (33) dan Barat Daya (41).

    “Seramai 142 atau 47.7 peratus daripada kanak-kanak merupakan murid sekolah rendah, 152 atau 50.8 peratus pelajar sekolah menengah dan lima orang atau 1.7 peratus ialah pelajar sekolah agama,” katanya.

  • 52 maut kemalangan lombong arang batu di Rusia

    52 maut kemalangan lombong arang batu di Rusia

    ANGKA kematian akibat kemalangan lombong arang batu di bandar Kemerovo, Rusia meningkat kepada 52 orang semalam, menurut pihak berkuasa.

    Mangsa yang maut termasuk anggota pasukan penyelamat, kata Kementerian Situasi Kecemasan.

    Setakat ini, 239 orang telah dipindahkan dari lombong itu selepas habuk arang batu yang terbakar menyebabkan asap tebal pada kedalaman 250 meter (820 kaki), manakala 45 orang yang cedera dimasukkan ke hospital, lapor Agensi Anadolu.

    Menurut pejabat gabenor Wilayah Kemerovo Oblast, ketika kejadian 285 pekerja berada di dalam lombong tersebut.

    Wilayah Kemerovo Oblast adalah antara kawasan perindustrian paling penting di Rusia di barat daya Siberia, dengan beberapa deposit arang batu terbesar di dunia.

    Asap tebal menghalang usaha pasukan kecemasan untuk menyelamatkan pelombong yang masih terperangkap.

    Pejabat pendakwa raya Wilayah Kemerovo Oblast sudah memulakan siasatan ke atas kemalangan itu.

    Presiden Rusia Vladimir Putin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terbunuh dan berharap mereka yang masih terperangkap segera diselamatkan. – Bernama