Author: Admin

  • PDRM tubuh Unit WCB tumpaskan sindiket penyeludupan liar

    PDRM tubuh Unit WCB tumpaskan sindiket penyeludupan liar

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan menubuhkan Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar (WCB) bagi menyiasat dan menumpaskan sindiket penyeludupan hidupan liar di negara ini.

    Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, unit itu akan berpusat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan bakal dianggotai seramai 50 anggota polis termasuk pegawai.

    Jelas beliau, Unit WCB itu akan menggunakan kepakaran yang ada dalam pasukan polis untuk membantu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menumpaskan sindiket yang mempunyai rangkaian penyeludupan hidupan liar.

    “Unit ini akan ditubuhkan dalam masa terdekat dan kertas kerja mengenai penubuhannya juga telah pun siap,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sidang akhbar Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di Batu Feringghi, Pulau Pinang hari ini.

    Hadir sama Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir.

    Menurut Mazlan, polis akan menggunakan undang-undang sedia ada seperti Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram  (AMLA) untuk menyita aset-aset yang dimiliki sindiket rangkaian penyeludupan hidupan liar.

  • Kes Syed Saddiq dipindah ke Mahkamah Tinggi

    Kes Syed Saddiq dipindah ke Mahkamah Tinggi

    MAHKAMAH Sesyen di Kuala Lumpur hari ini memindahkan kes Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang menghadapi empat pertuduhan berkaitan pecah amanah, menyalahgunakan wang sumbangan dan pengubahan wang haram, ke Mahkamah Tinggi.

    Hakim Azura Alwi memindahkan kes itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan bahawa Mahkamah Tinggi pada 25 November lepas membenarkan permohonan pasukan pembelaan supaya kes dihadapi Syed Saddiq dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

    Sementara itu, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq memberitahu mahkamah bahawa dokumentasi berhubung perintah Mahkamah Tinggi yang membenarkan kes itu dipindahkan telah siap.

    “Dokumentasi itu telah siap dalam bentuk digital,” katanya semasa sebutan kes untuk pihak-pihak memaklumkan status berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu.

    Bagi pertuduhan pecah amanah, Syed Saddiq, 28, didakwa sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang diamanahkan penguasaan ke atas dana Armada, telah melakukan pecah amanah ke atas dana itu, dengan membuat pengeluaran wang berjumlah RM1 juta melalui cek CIMB Bank Berhad, tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

    Dia dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Syed Saddiq juga menghadapi tuduhan menyalahgunakan wang sumbangan untuk kempen PRU14 sebanyak RM120,000 yang dikutip melalui akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Islamic Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di antara 8 April sehingga 21 April 2018 dan dituduh mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Pada 5 Ogos di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Syed Saddiq didakwa atas dua pertuduhan pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 di dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram yang didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613], yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram.

    Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. – Bernama

  • Dua pengembara Afrika Selatan transit di Singapura positif varian Omicron

    Dua pengembara Afrika Selatan transit di Singapura positif varian Omicron

    DUA pengembara dari Afrika Selatan yang transit di Singapura sebelum meneruskan penerbangan ke Australia  disahkan positif varian Omicron COVID-19, menurut Kementerian Kesihatan Singapura (MOH).

    MOH berkata Kementerian Kesihatan New South Wales (NSW) mengesahkan bahawa kedua-dua pengembara yang tiba di Sydney dari selatan Afrika dengan penerbangan Singapore Airlines SQ211 pada 28 November disahkan positif bagi varian baharu itu.

    Kementerian berkata pengembara itu berlepas dari Johannesburg pada 27 November melalui Singapore Airlines SQ481 dan tiba di Lapangan Terbang Changi pada hari yang sama untuk penerbangan transit mereka.

    “Saringan COVID-19 yang dibuat sebelum mereka berlepas di Afrika Selatan pada 27 November adalah negatif,” katanya dalam kemas kini harian mengenai COVID-19 lewat malam tadi.

    MOH berkata kebanyakan pengembara kekal di kawasan transit di Lapangan Terbang Changi sehingga berlepas ke Sydney pada 28 November, dan tidak memasuki Singapura atau melawat kawasan lain di Lapangan Terbang Changi.

    “Enam daripada tujuh penumpang daripada penerbangan itu yang berada di Singapura pada masa ini melaksanakan Notis Duduk Rumah (SHN) 10 hari di kemudahan khas dan akan membuat ujian PCR. Seorang lagi adalah kontak rapat dengan individu yang dijangkiti dalam penerbangan dan sedang dikuarantin,” kata kementerian itu.

    Pengesanan kontak sedang dijalankan ke atas kakitangan lapangan terbang yang mungkin menjadi kontak sementara kes itu, kata MOH.- Bernama

  • Pengantin baharu sebelum maut mahu pakai baju putih, ambil gambar seorang diri atas pelamin

    Pengantin baharu sebelum maut mahu pakai baju putih, ambil gambar seorang diri atas pelamin

    SEORANG pengantin baharu yang melangsungkan majlis pernikahan pada Jumaat lalu, tidak sempat melangsungkan majlis bertandang yang dijadualkan pada Jumaat ini selepas terlibat kemalangan jalan raya di Jalan Kampung Galok, Pasir Mas-Tanah Merah, Pasir Mas.

    Allahyarham Wan Ahmad Haziq Wan Abdul Razak yang berusia 25 tahun, terlibat dalam kemalangan selepas selesai menguruskan urusan pelamin untuk majlis bertandang tersebut.

    Menurut adiknya, Wan Ahmad Aizat Wan Abdul Razak, 23, sebelum kejadian, dia sempat bersarapan pagi bersama-sama arwah abangnya itu.

    Wan Ahmad Aizat yang bekerja sendiri berkata, dia sepatutnya pulang ke Perak kerana ada urusan kerja, namun membatalkan niatnya kerana berasa tidak sedap hati.

    “Saya tidak sedap hati, sepatutnya selepas makan pagi saya kemas barang untuk balik ke Perak, tapi saya batalkan niat dan keluar untuk beli barangan bertandang untuk majlis arwah pada Jumaat ini.

    “Arwah pun selepas makan pagi, dia keluar menyelesaikan urusan pelamin untuk majlis bertandang dan bercadang untuk pulang ke rumah isterinya di Jeli selepas semua urusan selesai.

    “Lebih kurang jam 4.30 petang, isteri arwah telefon beritahu mereka kemalangan tetapi dia hanya mengalami kecederaan ringan. Tapi kondisi abang saya memang agak teruk menyebabkan saya terdiam dan kaku,” katanya ditemui di Unit Forensik Hospital Pasir Mas, semalam.

    Wan Ahmad Aizat berkata, Allahyarham sangat teruja dan gembira ketika berkahwin.

    Malah, katanya, pada minggu lalu hampir setiap hari arwah menghubunginya untuk berkongsi kegembiraan tersebut.

    Wan Ahmad Aizat berkata, arwah abangnya juga memberitahu bahawa dia mahu memakai pakaian putih untuk majlis pada Jumaat ini.

    “Dia ada kata nak pakai baju putih untuk majlis ‘menghantar’ nanti. Rupanya itu salah satu petanda yang kami semua tidak perasan sehinggalah dia sudah tiada.

    “Dalam kumpulan WhatsApp keluarga pun dia ada kata rindu nak ‘melepak’ dengan kawan-kawan. Malah, turut berkongsi gambarnya di pelamin seorang diri yang diambil pada hari pernikahan pada Jumaat lalu,” ceritanya.

    Menurutnya, arwah yang juga anak keenam daripada lapan beradik adalah seorang yang mudah mesra dan sangat taat pada ibu bapa.

    Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, kemalangan pada jam 4.45 petang itu melibatkan dua kenderaan.

    Beliau berkata, kenderaan dipandu Allahyarham dari arah Tanah Merah menghala ke Pasir Mas.

    “Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan dan kenderaannya terbabas masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan sebuah kenderaan lain.

    “Mangsa dibawa ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pasir Mas untuk mendapat rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia pada 6.50 petang dan dibawa ke unit forensik untuk bedah siasat,” katanya.

    Allahyarham Wan Ahmad Haziq dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Beris Harab, Kota Jembal, Kota Bharu.

  • Dua pendaki Kinabalu cedera, terjatuh ketika aktiviti paragliding

    Dua pendaki Kinabalu cedera, terjatuh ketika aktiviti paragliding

    DUA pendaki cedera selepas terjatuh ketika melakukan aktiviti paragliding di Gunung Kinabalu, Kundasang, Sabah, pagi tadi.

    Dalam kejadian 7 pagi itu, kedua-dua mangsa ditemui di Kilometer 7.5 Summit Trail dalam keadaan sedarkan diri.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.30 pagi dan empat anggota bersama empat malim gunung berkejar ke lokasi.

    “Sebaik tiba di lokasi pada 9.30 pagi, mangsa pertama didapati cedera di bahagian lutut, namun masih mampu bergerak sendiri turun ke kaki gunung.

    “Mangsa kedua pula didapati bengkak di bahagian lutut kanan dan disyaki mengalami retak tempurung lutut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Jurucakap itu berkata, mangsa diberikan rawatan awal dan lukanya dicuci serta dibalut sebelum dibawa turun dengan ‘stretcher’.

    “Ketika ini, kedua-dua mangsa bersama pasukan penyelamat masih dalam perjalanan turun,” katanya.

  • Kanak-kanak austisme ditemukan lemas

    Kanak-kanak austisme ditemukan lemas

    SELEPAS dua hari dilaporkan hilang, sorang kanak-kanak austisme ditemukan lemas di Sungai Sarawak, hari ini.

    Mangsa dilaporkan hilang di Kampung Rantau Panjang, Batu Kawa, di Kuching sejak Ahad.

    Muhd. Ramadhan Muhd. Ridhwan, 8, dijumpai tersangkut pada pukat nelayan, kira-kira lima kilometer dari pos kawalan bomba (PKB) di Kampung Rantau Panjang, 7.20 pagi tadi.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang, Raffy Saibi berkata, anggota yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) menaiki bot bergegas ke lokasi penemuan.

    “Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke PKB dan disahkan oleh ibu dan bapanya.

    “Keadaan mayat ditemui dalam keadaan sempurna tanpa ada sebarang kesan kecederaan,” katanya.

    Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

    Pada Ahad lalu, mangsa disedari hilang dari kediaman mereka di Kampung Rantau Panjang, Batu Kawa, kira-kira 2 petang.

    Ketika kejadian itu, mangsa tinggal di rumah bersama ibu saudaranya manakala bapanya keluar berniaga.

    BBP Batu Lintang menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 7 malam sebelum sepasukan anggota dikerah ke lokasi bagi melancarkan operasi SAR.

  • 7 maut termasuk kanak-kanak selepas makan hidangan daging penyu

    7 maut termasuk kanak-kanak selepas makan hidangan daging penyu

    SERAMAI tujuh maut termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun selepas menikmati hidangan daging penyu dalam kejadian di Pulau Pemba, Tanzania, Khamis lalu.

    BBC melaporkan, tiga lagi dilaporkan masih dirawat di hospital.

    Hidangan itu sering dinikmati penduduk di kepulauan negara itu namun telah diharamkan selepas didapati mengandungi bahan toksik.

    Ketua Polis Pulau Pemba, Juma Said Hamis berkata, ketika kejadian, sekurang-kurangnya lima keluarga sedang menikmati hidangan penyu itu, memetik laporan BBC.

    Tiga mangsa dilaporkan meninggal dunia pada Jumaat dengan empat lagi pada Ahad.

    Seramai 38 individu dikejarkan ke hospital dan telah dibenarkan pulang, namun tiga lagi masih menerima rawatan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

    Pada Mac lalu, 19 individu termasuk sembilan kanak-kanak maut selepas menikmati hidangan daging penyu di Madagascar, menurut laporan agensi berita AFP.

    Insiden sama pernah dilaporkan di Indonesia, Micronesia dan kepulauan Lautan Hindi.

  • Remaja maut kereta bertembung SUV

    Remaja maut kereta bertembung SUV

    SEORANG remaja maut apabila kereta yang dipandunya dipercayai bertembung dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Taman Hijau, Sitiawan, Perak, awal pagi tadi.

    Mangsa yang dikenali sebagai Nga Hu Chen, 18, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 1.12 pagi.

    Setibanya di lokasi kejadian, didapati kemalangan melibatkan dua buah kenderaan bertembung menyebabkan pemandu Perodua Myvi tersepit, manakala pemandu Proton X70 mengalami kecederaan dan telah dikeluarkan orang awam,” katanya dalam kenyataan.

    Anggota bomba terpaksa menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

    Bagaimanapun, katanya, mangsa disahkan maut di tempat kejadian dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

  • SPRM tahan pengurus besar agensi kerajaan

    SPRM tahan pengurus besar agensi kerajaan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengurus besar di sebuah agensi kerajaan di Sabah di pejabat SPRM Tawau semalam.

    Suspek berusia lingkungan 40-an itu ditahan pada jam 9 pagi selepas disyaki menerima suapan sebanyak kira-kira RM8,000.

    Lelaki tersebut dikatakan telah menggunakan kedudukannya untuk meluluskan baucar bayaran pada tahun 2018 sedangkan kerja-kerja itu dilakukan oleh suspek sendiri.

    Difahamkan, suspek dilepaskan dengan bon jamin SPRM sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

    Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

    “Lelaki itu ditahan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009 dan akan dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau pada 3 Disember ini,” katanya.

  • Lelaki curi tiang besi ditahan di bangunan kosong

    Lelaki curi tiang besi ditahan di bangunan kosong

    SEORANG lelaki yang dirakam sedang mencuri tiang besi di kawasan perumahan di Ipoh dan tular dalam media sosial ditahan polis semalam.

    Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, suspek yang merupakan warga tempatan, 41, ditahan di sebuah bangunan kosong di Manjoi sekitar pukul 12.15 tengah malam selepas polis menerima laporan daripada orang awam.

    “Menerusi tangkapan itu polis turut menemui beberapa barangan kes. Siasatan awal menunjukkan suspek melakukan perbuatan mencuri tiang besi di sekitar kawasan Manjoi dan Jelapang.

    “Semakan lanjut mendapati, suspek ini memiliki 11 rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kesalahan termasuklah jenayah narkotik.

    “Ujian saringan air kencing yang dilakukan mengesahkan lelaki terbabit positif dadah jenis morfin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, lelaki itu ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

    Dalam pada itu, Yahaya berkata, terdapat dua video berkaitan kes itu telah dimuat naik ke dalam akaun Facebook bernama ‘Acai D Raja’ dan ‘Info Santai Anak Utara’ memaparkan seorang lelaki mencuri tiang besi walaupun tindakan itu telah ditegur orang awam.

    Susulan daripada video dan laporan dibuat, polis berjaya melakukan tangkapan ke atas suspek, katanya.

    “Polis Daerah Ipoh mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang prihatin dan tampil menyalurkan maklumat berkaitan pelakuan jenayah tersebut sehingga tertangkapnya suspek dalam masa yang singkat,” ujarnya.

    Dua video berdurasi 34 saat dan satu minit lima saat itu tular di aplikasi TikTok memaparkan gelagat seorang lelaki merosakkan tiang disyaki milik syarikat telekomunikasi sambil ditegur seorang lelaki.

    Difahamkan, kejadian itu masing-masing dirakam pada Khamis lalu dan semalam.