Author: Admin

  • Amanah tolak cadangan gabung dengan PKR

    Amanah tolak cadangan gabung dengan PKR

    Amanah menolak cadangan penggabungan parti itu dengan PKR.

    “Ya,” kata Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub kepada Malaysiakini ketika diminta mengesahkan sama ada benar mereka menolak idea itu.

    Salahuddin berkata cadangan itu tidak perlu dipertimbangkan kerana “tidak pernah berbangkit”.

    Salahuddin Ayub 

    Katanya, Amanah tidak menerima cadangan daripada mana-mana pihak berkaitan perkara itu.

    Malah, katanya, akar umbi mereka atau mana-mana peringkat dalam Amanah juga tidak pernah membangkitkannya.

    “Kalau ada baru boleh kita ambil kira dan bincang.

    “Ini entah daripada mana datang saya pun tak tahu,” katanya yang juga anggota parlimen Pulai.

    Penganalisis politik Wong Chin Huat sebelum ini mencadangkan penggabungan PKR-Amanah selepas Pakatan Harapan (PH) kalah teruk dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

    Hujahnya, penggabungan itu akan menjadikan mereka parti terbesar dalam Dewan Rakyat, sekali gus menolak propaganda PH dikuasai DAP.

    Wong Chin Huat 

    Cadangan itu disambut oleh bekas ketua Pemuda PKR (AMK) Selangor, Najwan Halimi. Najwna bagaimana melihat ia dapat menyelesaikan ketandusan kepemimpinan di pelbagai peringkat dalam PKR.

    Semalam, Free Malaysia Today melaporkan Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata cadangan penggabungan itu sudah dikemukakan, namun belum dibincangkan.

    Anwar yang juga pengerusi PH dan ketua pembangkang bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut.

    Bagaimanapun, ketika ditanya berkaitan perkara itu, Salahuddin berkata dia tidak pasti jika Anwar menerima cadangan berkaitan daripada mana-mana pihak.

  • Sukan atas talian platform baharu murid tunjuk bakat

    Sukan atas talian platform baharu murid tunjuk bakat

    PLATFORM sukan atas talian mampu menjadi medium bagi para murid untuk kekal aktif dan menunjukkan bakat masing-masing walaupun pada ketika pandemik Covid-19.

    Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin, platform tersebut juga membolehkan para guru untuk mencungkil dan menggilap bakat serta potensi murid dalam bidang sukan.

    Beliau menambah, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran Covid-19 telah menjejas sektor pendidikan dan sosial apabila telah menyebabkan aktiviti sukan, latihan dan pertandingan secara bersemuka tidak dapat dilaksanakan.

    Pun begitu beliau mengingatkan, keadaan itu tidak wajar menjadi penghalang para guru daripada menjadi lebih kreatif.

    “Guru perlu lebih kreatif dan memanfaatkan sepenuhnya penggunaan teknologi bagi meneruskan pembelajaran termasuk menggilap potensi murid dalam bidang sukan,” ujarnya.

    Katanya, Pertandingan Kemahiran Sukan MSSM secara dalam talian 2021 anjuran Kementerian Pendidikan (KPM) bermula Ogos sehingga Oktober lalu  yang telah disertai seramai 46,269 peserta, membolehkan atlet murid melakukan aktiviti sukan di kediaman masing-masing secara dalam talian.

    “Kemahiran sukan yang dipertandingkan secara rakaman video ini bukan sahaja menjadi platform bagi mengenal pasti bakat baharu malah dapat mempersiapkan atlet murid untuk bertanding dalam mana-mana kejohanan sukan pada masa akan datang,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan majlis Anugerah Sukan Kementerian Pendidikan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (KPM-MSSM-Milo) 2019 secara maya hari ini

    Dalam pada itu, Radzi berkata, beberapa atlet murid cemerlang sukan dan akademik selain memegang jawatan yang bagus telah dilahirkan hasil usaha dan peranan MSSM dalam mencungkil serta membentuk bakat atlet murid.

    Antara atlet tersebut adalah gimnas negara, Lok Mei Hui, yang merupakan pelajar terbaik aliran Sains apabila memperoleh 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia 2020; dan jaguh basikal negara, Datuk Muhammad Azizulhasni Awang yang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

    Majlis Anugerah Sukan KPM-MSSM-Milo diadakan setiap tahun bagi meraikan kejayaan dan mengiktiraf atlet, jurulatih sukan, golongan pendidik dan warga KPM yang cemerlang dalam bidang sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

    Sebagai rekod, Anugerah Sukan KPM-MSSM-Milo 2019 menyaksikan gimnas kebangsaan, Izzah Amzan muncul sebagai penerima Anugerah Emas.

  • Seludup rokok, PATI guna kenderaan mewah

    Seludup rokok, PATI guna kenderaan mewah

    BATALION 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa berjaya menumpaskan penyeludupan rokok putih dan pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan kenderaan mewah dalam dua operasi berasingan pada 29 November lalu.

    Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa, Superintendan Mat Shukor Yusof berkata, dalam serbuan pertama pada pukul 1 tengah hari, sepasukan anggota yang melakukan tugas bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan terserempak dengan sebuah kenderaan mewah jenis Toyota Alphard.

    “Kenderaan mewah itu dipandu dalam keadaan mencurigakan dari arah Pulai Chondong menghala ke Machang dan anggota terlibat terus mengekorinya,” katanya kepada pemberita di Markas Taktikal PGA Lubok Stol di Rantau Panjang hari ini.

    Menurutnya, kenderaan itu terus memecut laju dan membelok ke jalan simpang kecil ke Kampung Mata Ayer selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

    Mat Shukor memberitahu, kenderaan itu bagaimanapun ditemui dalam keadaan enjin masih hidup dan pemeriksaan menjumpai 1,950 karton rokok putih.

    Mat Shukor berkata, pada masa sama, PGA telah menahan sebuah Toyota Vellfire ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) Lalang Pepuyu, Tanah Merah yang dinaiki empat lelaki dan dua wanita.

    “Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan seorang lelaki dan wanita warga tempatan. Turut ditemui dalam kenderaan itu ialah tiga lelaki dan seorang wanita warga Thailand yang pasportnya telah tamat tempoh.

    “Seorang lagi lelaki warga Thailand tidak mempunyai dokumen perjalanan sah,” katanya.

    Menurutnya, selang dua jam selepas itu, PGA sekali menahan sebuah Toyota Alphard yang melalui Sekatan Jalan Raya (SJR) Banggol Kong.

    Pemeriksaan mendapati dua lelaki warga tempatan dan dua wanita serta seorang kanak-kanak lelaki warga Thailand yang mengemukakan dokumen perjalanan tamat tempoh.

    Katanya, PGA akan terus membuat pemeriksaan ke atas kenderaan mewah yang menjadi pilihan penyeludup bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa selain selain dapat lolos daripada kawalan.

  • Warga emas hilang ketika jaring ikan, ditemukan mayatnya tersangkut

    Warga emas hilang ketika jaring ikan, ditemukan mayatnya tersangkut

    KEHILANGAN seorang warga emas yang keluar menjaring ikan dan tidak pulang ke rumah dalam kejadian di Kampung Tengah, Gemencheh, Tampin sejak petang semalam terjawab apabila ditemukan lemas malam tadi.

    Mayat Ahmad Sudin, 87, ditemui tersangkut di dahan pokok tidak jauh dari lokasinya memasang jaring pada jam 8.30 malam tadi.

    Mangsa dikatakan telah pergi memancing di sungai berhampiran rumahnya kira-kira jam 5 petang, namun tidak pulang menjelang malam.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sembilan, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gemencheh bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat malam tadi.

    “Cucu warga emas berkenaan telah menghubungi bomba memaklumkan datuknya yang keluar rumah kira-kira jam 5 petang masih tidak pulang.

    “Operasi mencari mangsa dilakukan. Dalam masa kurang dua minit, mangsa ditemukan tersangkut di dahan pokok tumbang tidak jauh dari lokasi mangsa memasang jaring,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, pasukan bomba cuba memberikan bantuan pernafasan terhadap mangsa, namun lelaki itu disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

    Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diterima daripada cucu mangsa, lelaki terbabit dipercayai menjaring ikan di kawasan sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya.

    “Mayat mangsa telah dihantar Hospital Tampin untuk tindakan lanjut,” kata beliau.

  • Bayi dipercayai dibaling bungkusan parcel, polis jalankan siasatan

    Bayi dipercayai dibaling bungkusan parcel, polis jalankan siasatan

    POLIS Pulau Pinang sudah menerima laporan berhubung kejadian seorang wanita dipercayai pengasuh di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di negeri itu yang didakwa menganiaya seorang bayi dengan membaling objek dipercayai bungkusan barang terhadap bayi berkenaan.

    Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian tersebut.

    “Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 3(1) Akta Kanak Kanak 2001,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Beliau mengulas mengenai video kejadian itu yang tular di dalam media sosial Facebook sejak petang semalam yang didakwa berlaku di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Bayan Baru, Pulau Pinang.

    Video berdurasi 44 saat itu memaparkan tindakan seorang wanita dipercayai pekerja di pusat jagaan tersebut yang seolah-olah bertindak membaling satu objek seperti bungkusan ‘parcel’ terhadap seorang bayi yang sedang meniarap.

    Klip video itu dikongsikan pemilik laman sosial Facebook Cahaya Naziha Mohd Nhazeri dipercayai ibu kepada bayi tersebut.

    Menerusi catatan di laman sosialnya, wanita itu menulis: “Pos dekat sini la sebagai kenangan…nanti baby tu dah besar, dia boleh  tengok apa yang orang dah buat dekat dia. Semoga Allah pelihara anak-anak syurga yang lain. Aku selalu tengok dekat anak orang ja. Sekali anak aku yang kena. Aku dah cukup baikkkkkkk”.

    Video itu mendapat kecaman warganet yang turut menggesa pihak polis menjalankan siasatan lebih lanjut dan mengambil tindakan tegas terhadap perbuatan wanita terbabit.

  • Dua beranak lemas semasa memukat udang

    Dua beranak lemas semasa memukat udang

    Oleh RIZQI ZABIDI

    HASRAT dua beranak mencari rezeki dengan memukat udang tidak kesampaian apabila kedua-dua mereka ditemukan maut dipercayai akibat lemas di Perairan Kota Kuala Muda berhampiran pesisiran Kampung Tepi Sungai dekat Kuala Muda, Kedah hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, jasad Mohamad Ariffie A. Razak, 61, dan anaknya, Zulhusni Mohamad Ariffie, 29, dari Kampung Matang Bagan, Kuala Muda ditemukan terdampar oleh seorang nelayan di pantai Kampung Tepi Sungai kira-kira pukul 10.30 pagi.

    Hasil soal siasat bersama keluarga mangsa katanya, dua beranak itu dipercayai turun ke laut kira-kira pukul 7 pagi tadi bagi memukat udang.

    “Menantu Mohamad Ariffie memaklumkan kepada pihak polis yang dia mengesyaki adik iparnya, Zulhusni mungkin diserang sawan dan terjatuh dari laut.

    Dua beranak itu dipercayai turun ke laut kira-kira pukul 7 pagi tadi bagi memukat udang.

    “Keadaan itu dipercayai menyebabkan bapa mentuanya cuba menyelamatkan Zulhusni hingga mengakibatkan kedua-duanya lemas,” katanya kepada pemberita, hari ini.

    Tambahnya, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati tiada unsur jenayah yang pada tubuh badan kedua-dua mangsa.

    “Jasad dua beranak itu dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk tujuan bedah siasat.

    “Setakat kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

  • Dua kenderaan dipercayai ditimbus runtuhan tanah

    Dua kenderaan dipercayai ditimbus runtuhan tanah

    DUA kenderaan dipercayai tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Seksyen 27 hingga Seksyen 30, Jalan Simpang Pulai – Cameron Highlands, Pahang, hari ini.

    Difahamkan kenderaan yang tertimbus ialah sebuah lori kecil dan sebuah kereta.

    Tanah runtuh itu menyebabkan laluan di kedua-dua arah ditutup kepada semua aliran kenderaan.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 1.44 petang.

    Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai dihantar ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat.

    “Setibanya jentera di lokasi, didapati tanah runtuh menghalang laluan utama ke Cameron Highlands.

    “Berdasarkan maklumat awal, sebuah kenderaan terperangkap di mana terdapat mangsa di dalamnya. Operasi kini sedang dijalankan,” katanya.

  • Doktor wanita didenda tersilap potong kaki pesakit

    Doktor wanita didenda tersilap potong kaki pesakit

    SEORANG doktor didenda 2,700 euro (RM3,059) oleh sebuah mahkamah Austria selepas dia tersilap memotong kaki seorang pesakit warga emas

    Seorang jurucakap sebuah tribunal di bandar Linz berkata, walaupun doktor wanita tersebut menyatakan bahawa perbuatan tersilap memotong satu kaki pesakit tersebut adalah kesilapan manusia, hakim pula mendapati kesilapan itu adalah berpunca daripada kecuaian.

    Berikutan itu, doktor tersebut didenda dengan jumlah itu dan separuh daripadanya digantung pembayarannya, kata jurucakap berkenaan.

    Doktor itu tersilap menandai kaki seorang warga emas berumur 82 tahun yang hendak dipotong sebelum pembedahan dilakukan pada bulan Mei lalu namun dia menyedari telah melakukan kesilapan dua hari selepas pemotongan dilakukan.

    Pihak mahkamah juga telah menganugerahkan ganti rugi sebanyak 5,000 euro (RM5,665) ditambah dengan kadar faedah kepada balu pesakit tersebut.

    Ini adalah kerana pesakit berkenaan sudah meninggal dunia sebelum kesnya dibawa ke mahkamah.

    Bagaimanapun, doktor itu boleh membuat rayuan berhubung keputusan tersebut dan dia kini bekerja di sebuah klinik yang lain.

  • Wanita tahan sakit kaki dihempap forklift

    Wanita tahan sakit kaki dihempap forklift

    SEORANG wanita terpaksa menahan sakit apabila kaki kirinya dihempap jentera angkat susun (forklift) di sebuah kilang di Jalan Kemunting Bukit Beruntung, Hulu Selangor pukul 5.56 petang semalam.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, seramai sembilan anggota dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Bomba yang tiba di tempat kejadian mendapati wanita berusia 28 tahun itu berada di sebelah forklift selepas pekerja kilang berjaya mengeluarkan kaki kiri mangsa yang dihempap jentera tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Norazam berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan lanjut.

    “Operasi sepenuhnya tamat pada jam 6.50 petang,” ujarnya.

  • Kes dadah, Ismahalil kena reman di Penjara Sungai Buloh

    Kes dadah, Ismahalil kena reman di Penjara Sungai Buloh

    TEKA-TEKI akhirnya terjawab apabila peguam Ahmad Zaharil Muhaiyar mengesahkan penyampai radio Bapakku FM, Ismahalil Hamzah kini ditahan reman di Penjara Sungai Buloh berkaitan kes memiliki dadah.

    Dia mendedahkan perkara tersebut melalui satu hantaran Facebook dan mengakui telah bertemu dengan anak guamnya itu dan meminta agar semua pihak tidak membuat spekulasi mengenai kes berkenaan.

    “Pada petang semalam, saya bersama Adi Zulkarnain telah ke Penjara Sungai Buloh bertemu dengan anakguam kami, DJ Ismahalil Hamzah yang kini ditahan reman di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang mana jika disabitkan boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

    “Bagi yang bertanya, beliau dituduh dan belum lagi dibicarakan mahupun disabitkan lagi untuk pertuduhan yang dikenakan. Mohon pihak-pihak tidak menimbulkan sebarang spekulasi lagi selepas ini” katanya.

    Ismahalil Hamzah

    Tambahnya, kes berkenaan akan disebut di Mahkamah Majistret Jalan Duta pada 15 Disember ini dan akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk proses perbicaraan.

    Dalam masa yang sama, Ahmad Zahiril turut memuat naik sekeping pesanan tulisan tangan daripada Ismahalil buat semua.

    “Terima kasih kepada semua sahabat yang saya ada. Dan saya sihat adanya di Sungai Buloh Ini. Demi Allah, saya tidak seperti berita negatif yang terfitnah kepada saya.

    “Maafkan saya sebab tidak ke udara lagi. Sabarlah semua sahabat. Berpisah adalah untuk bertemu lagi. Terima kasih kerana menyokong saya,” tulisnya.

    Sepucuk surat pesanan dari Ismahalil buat semua yang dimuat naik oleh Ahmad Zahiril dalam satu hantaran di Facebook

    Pada September lalu, timbul desas-desus mengenai seorang penyampai radio ditahan pihak polis selepas didapati memiliki dadah jenis ganja.

    Menurut laporan pihak polis, suspek ditahan di kediamannya di ibu kota kerana memiliki dadah jenis ganja seberat 447.44 gram yang telah diasing-asingkan kepada 22 paket plastik.