Author: Admin

  • COVID-19: Singapura kesan kes tempatan pertama varian Omicron

    COVID-19: Singapura kesan kes tempatan pertama varian Omicron

    SINGAPURA mengesan dua lagi kes positif COVID-19 varian Omicron pada ujian awal, dengan satu kes tempatan melibatkan pekerja barisan hadapan lapangan terbang dan satu kes import.

    “Kedua-dua kes sudah lengkap divaksin dan menerima suntikan penggalak. Satu bergejala manakala satu lagi mempunyai simptom tidak ketara,” kata Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu dalam satu kenyataan lewat petang semalam.

    Kementerian berkata kedua-dua kes itu semakin pulih dan ditempatkan di wad pengasingan di Pusat Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NCID).

    MOH kini menjalankan pengesanan kontak yang agresif untuk mengekang kes-kes itu.

    Kes pertama ialah seorang wanita Singapura berusia 24 tahun yang merupakan kakitangan perkhidmatan penumpang di Terminal 1 dan 3 Lapangan Terbang Changi, dan pernah bekerja di bahagian penumpang transit.

    Beliau mungkin berinteraksi dengan penumpang transit dari negara terjejas Omicron, menurut kenyataan itu.

    Dilabel sebagai Kes 276363, KKM berkata beliau tidak bekerja di Terminal 4, tempat tiga kes jangkitan Omicron sebelum ini berada.

    Petugas itu menjalani ujian COVID-19 pada 8 Dis sebagai sebahagian daripada Ujian Rutin Terdaftar (RRT) mingguan untuk pekerja barisan hadapan sempadan, dan keputusan ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) menunjukkan S-gene Target Failure, yang mungkin dikaitkan dengan varian Omicron, katanya.

    Kes kedua yang dilabelkan sebagai Kes 276223, ialah seorang wanita pemastautin tetap Singapura berusia 46 tahun yang pulang ke Singapura melalui Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) dari Jerman dengan menaiki Singapore Airlines SQ325 pada 6 Dis.

    “Ujian pra-berlepasnya di Perancis pada 4 Dis adalah negatif COVID-19.

    “Sebaik tiba di Singapura, ujian PCRnya pada 6 Dis kembali negatif.

    “Pada 7 Dis, dia mengalami hidung berair dan mendapatkan rawatan perubatan pada 8 Dis. Wanita itu disahkan positif jangkitan COVID-19 pada hari yang sama, dan disahkan menunjukkan S-gene Target Failure pada 9 Dis,” katanya.

    Singapura pada Isnin (6 Nov) mengesahkan varian Omicron yang dikesan dalam dua kes pertama COVID-19 import, yang pada mulanya disyaki sebagai pembawa varian itu.

    Keputusan ujian pengesahan untuk satu lagi kes import yang dilabel sebagai Kes 273611 belum selesai, katanya.

    “Memandangkan kebolehjangkitannya yang tinggi dan tersebar ke banyak bahagian dunia, kita seharusnya bersedia melihat lebih banyak kes Omicron di sempadan dan juga dalam komuniti kita,” kata MOH. – Bernama

  • KPM pandang serius kejadian buli – Radzi

    KPM pandang serius kejadian buli – Radzi

    KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) komited menyediakan persekitaran sekolah yang selamat selaras dengan konsep sekolahku sejahtera.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin berkata, sehubungan itu kementerian memandang serius segala pelanggaran disiplin dalam kalangan pelajar termasuk kes buli yang tular semalam.

    Bagaimanapun katanya, berdasarkan siasatan awal, didapati kejadian tersebut tidak melibatkan institusi di bawah kementerian.

    “Saya menerima hantaran video yang tular berkenaan murid yang dipukul di sebuah asrama.

    “Berdasarkan siasatan awal, kami dapati kejadian tersebut tidak melibatkan institusi bawah KPM.

    “Namun, KPM telah berhubung dengan pihak yang terlibat dan dimaklumkan bahawa tindakan susulan telah pun diambil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Semalam tular video sekumpulan pelajar menumbuk rakan mereka secara bergilir-gilir sehingga mengundang kemarahan pelbagai pihak.

    Difahamkan kejadian tersebut berlaku di salah sebuah Maktab Rendah Sains Mara di Perak.

  • Sarjan polis didakwa beri keterangan palsu di mahkamah

    Sarjan polis didakwa beri keterangan palsu di mahkamah

    SEORANG anggota polis berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas pertuduhan memberi keterangan palsu di mahkamah pada April lepas.

    Mohd Fauzi Zahari, 40, didakwa melakukan perbuatan itu semasa menjadi saksi pendakwaan dalam kes perbicaraan rasuah dan peras ugut melibatkan tujuh anggota dan pegawai pasukan polis marin di Mahkamah Sesyen Dua di Kuantan pada 26 April lepas.

    Dia dituduh telah memberikan tiga keterangan yang tidak selaras dengan kenyataannya kepada seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pejabat SPRM Pahang pada 1 Februari 2020.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 27(2) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pegawai Pendakwa SPRM, Kamariah Seman menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin selain pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

    Bagaimanapun, peguam Datuk Amirul Ridzuan Hanif memohon jumlah itu dikurangkan atas alasan anak guamnya telah memberi komitmen baik sepanjang siasatan selain perlu menanggung ibu, isteri dan tiga anak masih bersekolah.

    Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai.

    Mahkamah menetapkan 14 Februari depan untuk sebutan semula kes. – Bernama

  • Mara pandang serius, siasat salah laku pelajar MRSM-Mahdzir

    Mara pandang serius, siasat salah laku pelajar MRSM-Mahdzir

    PIHAK Majlis Amanah Rakyat (MARA) memandang serius berkaitan rakaman video kejadian buli melibatkan pelajar dikatakan berlaku di sebuah sekolah bawah kelolaan agensi itu di Perak.

    Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, pihaknya maklum kejadian itu yang tular dalam Facebook dan Twitter.

    Pihak Mara katanya, memandang serius isu tersebut dan akan melaksanakan siasatan terperinci terhadap video yang tular.

    “Saya telah mengarahkan pihak pengurusan Mara untuk menjalankan siasatan terperinci berkaitan kes berkenaan dan kita tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku buli seperti yang tular di media sosial hari ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

    Tambah Mahdzir, tindakan tegas akan diambil terhadap pelajar yang terlibat berdasarkan peruntukan dan peraturan sedia ada di peringkat pengurusan Mara jika video yang tular adalah benar.

    Pihak Mara juga tegas Mahdzir, tidak sesekali memberi ruang kepada sebarang tindakan atau perbuatan salah laku yang menyalahi etika kemanusiaan.

    “Selain tidak akan berkompromi terhadap pihak yang melakukan sebarang salah laku atau perbuatan yang menyalahi undang-undang, peraturan dan tata etika di mana-mana premis seliaan kami pada bila-bila masa,” katanya.

    Video berdurasi 10 saat itu tular dalam media sosial memaparkan seorang pelajar menumbuk seorang pelajar lain dalam asrama yang dikatakan berlaku di sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar.

    Terdahulu, Ketua Polis Perak, Mior Faridalathrash Wahid berkata, beliau sudah mengarahkan polis Kuala Kangsar menjalankan siasatan.

  • Lima lelaki Indonesia terlibat sindiket judi online dicekup

    Lima lelaki Indonesia terlibat sindiket judi online dicekup

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    LIMA lelaki warganegara Indonesia yang memasuki negara ini pada 2019 menggunakan pas lawatan sosial dicekup selepas disyaki terlibat dalam sindiket perjudian dalam talian.

    Kesemua suspek berusia 21 hingga 29 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah kediaman mewah di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, Johor Bahru pada pukul 2 petang, 8 Disember lalu.

    Kelima-lima mereka yang menerima gaji antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan dipercayai berperanan sebagai operator tambah nilai dan pengeluaran kredit bagi permainan judi terbabit.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sindiket berkenaan menjadikan kediaman tersebut sebagai pusat panggilan bagi tiga laman sesawang perjudian yang menyasar pelanggan warga tempatan.

    Semua suspek berusia 21 hingga 29 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah kediaman mewah di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, Johor Bahru pada pukul 2 petang, 8 Disember lalu

    “Nilai kutipan sindiket berkenaan antara RM3,000 hingga RM10,000 sehari yang kita percaya telah beroperasi sejak Mac lalu.

    “Anggaran keuntungan yang diraih sindiket tersebut dipercayai mencecah sehingga RM2.7 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, hari ini.

    Ayob Khan berkata, semua transaksi yang dijalankan sindiket itu melibatkan perbankan dalam talian dengan beberapa akaun dikenal pasti merupakan bank tempatan.

    “Semua suspek ditahan mengaku dijanjikan antara RM500 hingga RM800 komisen berdasarkan keuntungan bulanan mereka,” katanya.

    Polis merampas tiga komputer riba, sebuah tablet, 15 telefon bimbit pelbagai jenama, empat modem wifi dan kunci rumah dalam serbuan itu

    Dalam serbuan itu, polis merampas tiga komputer riba, sebuah tablet, 15 telefon bimbit pelbagai jenama, empat modem wifi dan kunci rumah.

    Tambah Ayob Khan, dalang sindiket terbabit kini sedang disiasat manakala kesemua suspek tersebut dikenakan reman empat hari bermula 9 Disember.

    Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 4 (1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

  • 33 pekerja kilang, keluarga positif Covid-19

    33 pekerja kilang, keluarga positif Covid-19

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SERAMAI 133 pekerja sebuah kilang dan ahli keluarga mereka disahkan positif Covid-19 mengakibatkan kewujudan kluster industri baharu dikenali sebagai Kluster Dah Meha Industri Kulim di Kedah.

    Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Othman Warijo berkata, daripada jumlah 133 individu yang positif itu, 97 merupakan pekerja kilang sementara 36 lagi adalah kontak keluarga.

    Jelasnya, setakat ini taburan kes positif bagi kluster itu melibatkan empat daerah di Kedah iaitu di Kulim, Sik, Baling dan Kuala Muda.

    “Setakat pukul 12 tengah hari semalam, seramai 194 individu telah menjalani saringan Covid-19. Kes ini mula dikesan setelah pihak pengurusan kilang melaksanakan saringan kendiri sebelum ini.

    “Kesemua yang positif Covid-19 itu telah lengkap divaksinasi dan hanya bergejala ringan. Buat masa ini, mereka telah diarahkan menjalani kuarantin di rumah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambahnya, siasatan awal dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kulim mengesyaki penularan jangkitan berkemungkinan berpunca daripada kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja antaranya di surau.

    Selain itu pihaknya turut tidak menolak kemungkinan penularan itu berpunca daripada kegiatan rekreasi melibatkan kumpulan pekerja seperti kembara motosikal dan futsal.

    Dr. Othman memaklumkan, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kluster.

    “Jabatan ini mendapati keadaan terkawal dan akan terus mengawasi situasi semasa. Pihak pengurusan kilang juga diarahkan untuk mengemas kini pelaksanaan SOP di lokasi berisiko tinggi dalam kilang tersebut.

    “Sehubungan itu jabatan ini menyeru orang ramai supaya terus mengamalkan norma baharu dan mematuhi SOP digariskan oleh kerajaan dalam kehidupan seharian,” katanya.

  • Pekebun sayur buntu tanah kebun dilanda banjir 10 kali dalam tempoh 2 bulan

    Pekebun sayur buntu tanah kebun dilanda banjir 10 kali dalam tempoh 2 bulan

    LEBIH 40 pekebun sayur di Kampung Selamat, Seberang Jaya, Pulau Pinang merayu kerajaan negeri menyelesaikan masalah banjir kilat yang memusnahkan tanaman mereka setiap kali hujan lebat.

    Malah, mereka mendakwa dalam tempoh hanya dua bulan lalu, kebun mereka sudah ditenggelami banjir hampir 10 kali menyebabkan mereka kini menanggung kerugian besar.

    Tambah mereka, masalah banjir kilat melibatkan hampir 10 hektar kawasan kebun sayur-sayuran itu sudah berlanjutan sejak 30 tahun lalu namun semakin serius sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

    Menurut Pengerusi Penduduk Kampung Selamat yang juga pekebun sayur di kawasan itu, Lee Kheng Hwa, 50, penduduk akan mengalami kerugian kira-kira RM3,000 setiap kali hujan lebat ekoran sayur-sayuran mereka musnah akibat banjir kilat.

    Tambahnya, pendapatan pekebun sayur di kawasan itu juga kini susut sehingga 80 peratus terutama sejak September lalu ekoran masalah tersebut.

    “Saya juga tidak lagi menyemai anak benih sayur-sayuran baru di tanah kebun saya seluas kira-kira 0.2 hektar sejak beberapa bulan lalu kerana bimbang sekiranya hujan lebat berulang dan tanaman saya musnah akibat banjir.

    “Lebih malang harga anak benih dan kos baja serta racun juga semakin mahal ketika ini dan ini menambah bebanan kepada kami yang sudah sedia kerugian akibat masalah banjir ini,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas menyerahkan memorandum berhubung masalah itu kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersama-sama anggota parti MCA negeri yang diketuai Setiausahanya, Yeoh Chin Kah.

    Dalam pada itu, Chin Kah menggesa kerajaan negeri memberi perhatian serius dan menyelesaikan segera masalah yang dihadapi pekebun sayur di Kampung Selamat berkenaan apatah lagi ini bukan kali pertama mereka membangkitkan mengenai isu tersebut.

    Katanya, keadaan menjadi lebih mendesak memandangkan sambutan Tahun Baharu Cina bakal menjelang tidak lama lagi dan isu itu jika dibiarkan berlarutan boleh menyebabkan bekalan sayur-sayuran berkurangan di pasaran sekali gus mendorong kepada kenaikan harga.

    “Sebagai langkah segera kerajaan negeri boleh memasang dua buah pam air di kawasan tanah kebun sayur milik penduduk ini untuk mengepam air keluar ke sungai atau laut setiap kali selepas hujan.

    “Selain itu, pekebun sayur ini juga meminta supaya sistem perparitan dan longkang di kawasan itu dapat dibersihkan lebih kerap memandangkan semakin cetek akibat mendapan daripada projek-projek pembangunan dan pembukaan kawasan baharu berdekatan kebun,” katanya.

  • Pulau Pinang tidak akan kenakan caj baharu lesen jual arak di restoran, kopitiam

    Pulau Pinang tidak akan kenakan caj baharu lesen jual arak di restoran, kopitiam

    PULAU PINANG tidak akan menguatkuasakan dasar baharu yang mewajibkan kedai kopi (kopitiam) dan restoran memohon lesen untuk menjual arak bermula pada 1 Januari depan.

    Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo berkata, dasar baharu itu jelas membebankan peniaga kedai kopi dan restoran yang sudah sedia terbeban dengan pandemik Covid-19 ketika ini.

    Sehubungan itu katanya, para pengusaha kedai kopi dan restoran boleh meneruskan penjualan arak sama seperti sebelum ini tanpa perlu memohon apa-apa lesen tambahan.

    “Malah, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga telah menyatakan dengan jelas pendirian kita pada mesyuarat Selasa lalu bersama pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang mana kita tidak akan menguatkuasakan keputusan berkenaan,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas meninjau projek Gurney Wharf di Georgetown, Pulau Pinang hari ini.

    Jagdeep mengulas mengenai kekeliruan berhubung arahan daripada JKDM yang mana semua pengusaha kedai kopi dan restoran perlu memohon lesen untuk menjual arak daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) bermula 1 Januari depan.

    Arahan itu mencetuskan rasa tidak puas hati pengusaha kedai kopi dan restoran yang mana mereka mendakwa perlu mengeluarkan kos sehingga RM1,300 bagi memohon lesen tersebut.

    Berikutan itu juga, beberapa pihak khususnya parti DAP mengecam arahan tersebut dan mendesak Kementerian Kewangan menarik balik selain menggesa PBT di seluruh negara tidak melaksanakan syarat pelesenan baharu terbabit.

    Dalam pada itu Jagdeep berkata, arahan terbaharu itu juga tidak selari dengan hasrat Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang ke arah meringankan beban rakyat yang masih terjejas ekoran pandemik Covid-19.

    “Kita telah melakukan pelbagai inisiatif untuk mengurangkan beban rakyat dalam mengharungi situasi pandemik ini, jadi mengapa pula peraturan yang jelas membebankan ini mahu dilaksanakan?” katanya.

  • Pemandu lori didenda RM2,000 pindah 21 ekor lembu tanpa kebenaran Veterinar

    Pemandu lori didenda RM2,000 pindah 21 ekor lembu tanpa kebenaran Veterinar

    GARA-GARA memindahkan sebanyak 21 ekor lembu hidup tanpa kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar pada Januari lalu, seorang pemandu lori didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Munisipal Seberang Perai, Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

    Denda itu diputuskan Majistret Noor Farah Hazwani Osman ke atas Mohd. Aidil Abdul Halim, 40, selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan terhadapnya.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa memindahkan 21 ekor lembu hidup dengan menggunakan sebuah lori bernombor pendaftaran DCD9845 tanpa mendapat kebenaran bertulis daripada Pengarah Negeri atau mana-mana pihak berkuasa veterinar.

    Mohd. Aidil didakwa melakukan kesalahan itu di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Bakap di Lebuh Raya Utara Selatan daerah Seberang Perai Selatan di sini kira-kira pukul 10.07 malam pada 29 Januari lalu.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Perintah 4(1)(a) Perintah Haiwan (Kawalan dan Pembasmian Contagious Abortion serta Penyakit Kuku dan Mulut) 2003 yang dibaca bersama Subseksyen 36(1)(c)(i) Akta Binatang 1953.

    Jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Subseksyen 36(7) akta yang sama yang membawa hukuman denda maksimum RM15,000.

    Kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar negeri, Roziman Awang Tahrin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Ketika prosiding hari ini, Mohd. Aidil turut memohon kepada mahkamah untuk mengurangkan denda kerana perlu menyara keluarga termasuk ibu bapa selain menanggung bayaran insurans dan pinjaman rumah.

    Tertuduh turut merayu mahkamah memulangkan lori yang disita memandangkan perlu digunakan untuk mencari rezeki.

    Mahkamah kemudian menetapkan denda RM2,000 atau penjara selama dua bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda selain memerintahkan hasil jualan ternakan sebanyak RM7,200 dilucut hak.

    Difahamkan tertuduh menjelaskan denda tersebut hari ini.

  • 2,288 pelajar terima tawaran pinjaman Mara ke luar negara

    2,288 pelajar terima tawaran pinjaman Mara ke luar negara

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MAJLIS Amanah Rakyat (Mara) terus memperkasakan sektor modal insan dalam bidang pendidikan dengan menawarkan pinjaman pelajaran ke luar negara kepada 2,288 pelajar.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkara, Mara masih mengamalkan dasar penghantaran pelajar ke luar negara terutama pelajar cemerlang untuk menyambung pengajian di pelbagai peringkat daripada Ijazah Pertama hingga ke peringkat profesional dan Doktor Falsafah.

    “Pelaksanaan program ini adalah selari dengan hasrat kerajaan dalam menghasilkan modal insan yang berkualiti, bertaraf global yang bukan sahaja berjaya dalam akademik tetapi mempunyai akhlak dan sahsiah terpuji serta berketerampilan,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas Majlis Simbolik Penyerahan Surat Tawaran kepada tiga pelajar tajaan Mara sempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

    Turut hadir Timbalan Menteri 1 KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pengarah Mara, Datuk Azhar Abdul Manaf.

    Antara pelajar yang menerima tawaran itu ialah Irfan Shamer Burhanudin yang menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Usulluddin) di Universiti Al Albayt, Jordan.

    Nurul Hanis Muhammad yang menerima tajaan melalui Profesional Development Programme (Pro-P) untuk mengikuti pengajian Perakaunan-ACCA di University of South Wales, United Kingdom.

    Noorshafrina Zulkalnain ditawarkan ke pengajian Ijazah Sarjana Applied Mathematics & Physics di Moscow Institute of Physics & Technology, Rusia melalui tajaan Graduate Excellence Programme (GREP).

    Jelas Mahdzir, Mara pada tahun ini telah menaja seramai 57,351 orang pelajar untuk menyambung pengajian di dalam dan luar negara.

    Daripada jumlah itu, 52,556 pelajar menyambung pengajian dalam negara dan 4,795 pelajar ke luar negara.

    Itu melibatkan program pinjaman pelajaran Mara peringkat siswazah (YTP), TESP, STEP dan pasca siswazah (GREP & Pro-P).

    Mara jelas Mahdzir, mengamalkan polisi tajaan 89 peratus kepada golongan B40, 10 peratus untuk golongan M40 dan satu peratus kepada golongan T20.

    “Melalui peruntukan yang disediakan, ini membuktikan kerajaan menerusi Mara terus komited dalam agenda pemerkasaan bumiputera terutama mereka yang datang daripada masyarakat luar bandar untuk menjadi tulang belakang kepada asas pembangunan negara,” kata Mahdzir.