Author: Admin

  • Kes buli: Perhatikan perubahan sikap anak-anak

    Kes buli: Perhatikan perubahan sikap anak-anak

    IBU bapa digesa sentiasa memantau perubahan sikap anak terutama yang bersekolah di sekolah berasrama bagi mengelak berlakunya insiden buli.

    Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata warden asrama dan guru juga perlu memainkan peranan sekiranya menyedari perubahan diri pelajar.

    “Buli mungkin satu cara untuk melepaskan perasaan, mungkin tidak berpuas hati dengan mana-mana pihak barangkali dengan keluarga atau memang tidak mahu masuk asrama tetapi dipaksa.

    “Jadi dia melepaskan tekanannya itu dengan cara memukul orang, keluarga yang ada anak di asrama kena memahami perubahan sikap anak, begitu juga guru dan warden asrama,” katanya.

    Beliau berkata demikian sebagai mengulas insiden buli di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar, hari ini.

    Kejadian itu menyebabkan semua pelajar terbabit digantung sekolah selama dua minggu dan mungkin disingkirkan terus daripada belajar di MRSM.

    Saarani menegaskan, gejala buli tidak boleh dipandang ringan kerana ia berkait rapat dengan isu dalaman individu terbabit.

    “Pada saya orang yang sanggup memukul orang ini ada sesuatu yang tidak kena, dia tidak mempunyai perasaan dan emosinya tidak stabil, ini sangat bahaya.

    “Saya harap ia tidak berulang, ini kerana berkali-kali kita tengok (kejadian buli). Apa yang saya pelik, orang yang merakam sampai hati pula melihatnya, sepatutnya orang yang merakam dan kawan yang berada di sekitar membantu meredakan,” katanya.

    Media hari ini melaporkan polis menahan enam suspek kes buli didakwa berlaku di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, seperti yang tular di media sosial semalam.

    Tindakan beberapa remaja yang dipercayai pelajar asrama menumbuk dan menendang seorang pelajar lain secara beramai-ramai tular di media sosial menerusi beberapa video berdurasi 13 hingga 30 saat.

    Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku antara jam 1 hingga 2 pagi pada 9 Disember membabitkan tujuh suspek remaja dan seorang mangsa yang kesemuanya berusia 13 tahun.

    Susulan itu, pihak polis memanggil kesemua pelajar terbabit dan pemilik akaun media sosial yang menularkan video berkenaan bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan kes di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – Bernama

  • Muhammad Erry raih Perak di Uzbekistan

    Muhammad Erry raih Perak di Uzbekistan

    SKUAD angkat berat kebangsaan terus menyinar apabila giliran Muhammad Erry Hidayat pula merangkul pingat perak, pada Kejohanan Kelayakan Sukan Komanwel 2022 di Tashkent, Uzbekistan, malam tadi.

    Bersaing dalam kategori 73 kilogram (kg), Muhammad Erry melakukan angkatan 136kg bagi acara ‘snatch’ dan 165kg untuk ‘clean and jerk’, dengan keseluruhan angkatan seberat 301kg.

    Pingat emas menjadi milik atlet India Achinta Sheuli yang sekali gus layak secara automatik ke Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, United Kingdom manakala Mudiyanselage Indika Chathur Dissanayake dari Sri Lanka membawa pulang gangsa.

    Kejohanan tersebut bersekali dengan Kejohanan Angkat Berat Dunia 2021 itu, turut menyaksikan atlet berusia 22 tahun dari Kuala Lumpur itu berada di tempat ke-12, dengan atlet Indonesia Erwin Abdullah meraih emas manakala Briken Calja dari Albania meraih perak dan gangsa menjadi milik Suttipong Jeeram dari Thailand.

    Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia Datuk Ayub Rahmat dalam kenyataan berkata atlet kebangsaan yang belum meraih tempat ke temasya di Birmingham, dijangka menyertai Kejohanan Kelayakan Sukan Komanwel di Singapura tahun depan.

    Muhammad Erry pernah melakar sejarah apabila merangkul emas acara 69kg lelaki dengan jumlah angkatan keseluruhan 255kg pada Kejohanan Komanwel Belia di Apia, Samoa pada September 2015.

    Sebelum ini, dua badang negara Muhamad Aznil Bidin meraih emas kategori 61kg semalam serta Mohamad Aniq Kasdan yang menggungguli kategori 55kg pada Selasa lepas, telah menempah slot ke Sukan Komanwel Birmingham pada kejohanan di Uzbekistan itu.

    Kejohanan bermula pada 7 Disember itu akan berakhir pada 17 Disember – Bernama

  • Pasangan suami isteri warga emas maut motosikal masuk longkang

    Pasangan suami isteri warga emas maut motosikal masuk longkang

    SEPASANG suami isteri warga emas berusia 66 tahun maut selepas motosikal dinaiki mereka dipercayai terbabas ke dalam longkang dalam kejadian di Jalan Pengkalan Machang, Butterworth, Pulau Pinang semalam.

    Kejadian itu dikatakan berlaku kira-kira pukul 8 pagi ketika pasangan berkenaan dikatakan dalam perjalanan dari rumah mereka di Taman Desa Murni, Butterworth ke tempat kerja mangsa wanita di bahagian pulau.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, siasatan pihaknya mendapati ketika tiba di lokasi kejadian motosikal jenis Modenas berwarna merah yang dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan.

    Motosikal dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar batu penghadang di atas longkang sebelah kiri sebelum masuk ke dalam longkang

    “Ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar batu penghadang di atas longkang sebelah kiri sebelum masuk ke dalam longkang.

    “Penunggang dan pembonceng tercampak ke tepi kiri longkang dan kedua-duanya yang didapati mengalami kecederaan parah pada kepala dan badan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas di sini untuk dibedah siasat.

  • MRSM gantung pelajar buli serta-merta, dicadang tamat pengajian

    MRSM gantung pelajar buli serta-merta, dicadang tamat pengajian

    SERAMAI enam pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang sudah dikenal pasti terlibat dalam kes buli, digantung serta merta selama dua minggu persekolahan.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) turut mencadangkan pelajar terbabit ditamat pengajian mereka di institusi itu.

    “Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) MRSM telah pun memanggil 10 pelajar yang terlibat dengan insiden berkenaan.

    “Dalam laporan yang disediakan, enam pelajar terlibat memukul mangsa buli berkenaan manakala 4 pelajar yang berada di lokasi kejadian didapati bersubahat dan membuat provokasi, pelajar-pelajar ini berada di tingkatan 1 hingga tingkatan 3,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Padang Terap, Padang Terap, hari ini.

    Mahdzir ketika berucap menyempurnakan majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Padang Terap, Padang Terap, hari ini

    Sejak semalam video berdurasi 10 saat itu tular dalam media sosial memaparkan seorang pelajar menumbuk seorang pelajar lain dalam asrama yang dikatakan berlaku di sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar.

    Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, pihak Mara mengambil serius kejadian buli membabitkan pelajar di institusi pendidikan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar itu.

    Ditanya mengenai siasatan polis terhadap kes berkenaan, Mahdzir berkata, pihaknya tidak mencampuri urusan siasatan dan menyerahkan kepada pihak berkenaan berdasarkan siasatan luaran.

    Pihak Mara jelas beliau, mengambil tindakan penggantungan itu berdasarkan siasatan dalaman dan mengikut peruntukan hukuman yang telah ditetapkan JDM.

    “Malang bagi Maktab Rendah Sains Mara mempunyai pelajar-pelajar yang pandai, dipanggil temuduga sebagai saringan, kualiti pendidikan, ko-kurikulum dan jatidiri mereka diambil kira untuk kemasukan ke MRSM,

    “Tetapi masih juga berlaku lagi kejadian seumpama itu, jadi saya rasa amat kecewa kerana mereka tidak sepatutnya terdedah dengan perbuatan itu,” katanya.

  • Mayat mangsa kemalangan bot ditemui

    Mayat mangsa kemalangan bot ditemui

    SEORANG daripada dua mangsa kemalangan bot di Sungai Perlis, Kangar pada Khamis lalu, ditemukan hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, mangsa dikenali Mohd Faizal Hisyam Mat Taib, 39 ditemukan kira-kira jam 7.46 pagi tadi.

    Mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap, kira-kira 20 meter tidak jauh dari lokasi kemalangan bot.

    “Kita percaya ketika kejadian mangsa tenggelam di lokasi kemalangan menyebabkan mayatnya sukar ditemukan. 

    “Apabila masuk hari ketiga, mayat mula timbul dan dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk proses bedah siasat,” katanya.

    Beliau ditemui media ketika melakukan tinjauan lokasi kemalangan bot Sungai Perlis, hari ini.

    Operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan 79 anggota terdiri daripada polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

    “Fokus utama kita hari ini adalah untuk mencari seorang lagi mangsa yang masih hilang iaitu Abdul Rashid Md Derus, rakan kepada Mohd Faizal.

    “Kita juga akan menggunakan kepakaran penyelam serta Unit Anjing Pengesan (K9) dari JBPM Perlis di mana anggota penyelam akan menyelam semula di kawasan kemalangan untuk mencari sekiranya mayat seorang lagi mangsa berada di kawasan itu,” katanya.

    Katanya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. 

  • Wanita diperdaya RM34,936 dengan tawaran kerja sambilan

    Wanita diperdaya RM34,936 dengan tawaran kerja sambilan

    SEORANG wanita rugi sebanyak RM34,936 selepas diperdaya dengan tawaran kerja sambilan menerusi platform dalam talian yang diiklankan di laman sosial, bulan lalu.

    Mangsa, 34, yang merupakan pembantu tadbir sebuah syarikat swasta tertarik untuk menyertai kerja sambilan tersebut selepas melihat iklan berkenaan pada November lalu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa kemudian berurusan dengan seorang wanita yang merupakan suspek melalui WhatsApp dan diterima untuk menyertainya dengan tawaran komisen sebanyak 20 peratus.

    “Tugasan diberikan cukup mudah iaitu mangsa hanya perlu membuat tangkap layar gambar produk yang ingin dibeli dan menghantarnya kepada suspek bersama wang pendahuluan.

    “Selain wang pendahuluan akan dikembalikan, mangsa akan menerima keuntungan melalui komisen mengikut kadar ditetapkan.

    “Mangsa membuat tugasan pertama dengan bayaran RM30 dan wang yang diterima kembali ialah RM33,” katanya melalui satu kenyataan, hari ini.

    Mohd. Wazir berkata, mangsa kemudian menyelesaikan beberapa tugasan dengan bayaran pendahuluan lebih RM34,000.

    “Malangnya, dia gagal menerima kembali wang pendahuluan dan komisen yang dijanjikan.

    “Mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Kuantan pada Jumaat selepas menyedari ditipunya. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    “Polis sedang mengesan dua pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes tersebut bagi membantu siasatan,” kata beliau.

  • Singapura kesan tiga lagi kes varian Omicron

    Singapura kesan tiga lagi kes varian Omicron

    SINGAPURA mengesan tiga lagi kes COVID-19 yang hasil ujian saringan awal mendapati positif varian Omicron, satu daripadanya jangkitan tempatan melibatkan seorang lagi pekerja barisan hadapan di lapangan terbang manakala dua lagi kes import.

    “Ketiga-tiga kes telah lengkap divaksin dan tanpa gejala dan beransur pulih ketika menjalani pengasingan di Pusat Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NCID),” menurut Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu dalam satu kenyataan pada lewat Jumaat.

    Kes pertama melibatkan seorang lelaki berusia 38 tahun, bekerja di bahagian perkhidmatan penumpang di Terminal Lapangan Terbang Changi.

    Dikategorikan sebagai kes 276839, lelaki itu tidak berinteraksi dengan tiga kes Omicron sebelum ini.

    “Kes itu tidak mempunyai kaitan dengan kes yang dilaporkan sebelum ini – Kes 276363 – yang juga melibatkan kakitangan perkhidmatan penumpang Lapangan Terbang Changi,” menurut kementerian.

    Lelaki itu menjalani ujian saringan COVID-19 pada 9 Dis sebagai sebahagian Ujian Rutin Terdaftar (RRT) mingguan untuk pekerja barisan hadapan dan keputusan awal tindak balas rantai polimerase (PCR) didapati positif varian Omicron.

    “Dia tidak menunjukkan gejala dan sebaik diberitahu mengenai hasil ujian itu dia telah menjalani kuarantin kendiri di rumah,” menurut MOH.

    Sementara itu, kes kedua dan ketiga pula membabitkan mereka yang pulang ke Singapura melalui Lorong Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) dari United Kingdom (UK) pada 8 Dis.

    Kementerian menyatakan kedua-duanya tidak saling berinteraksi semasa dalam penerbangan.

    Dalam kenyataan berasingan, Singapura akan menggunakan dos pediatrik vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty COVID-19 untuk kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun.

    “Vaksinasi untuk kumpulan itu akan dimulakan sebelum akhir tahun ini, sebaik sahaja kami menerima dos vaksin,” menurut MOH.

    MOH menyatakan dos yang disyorkan ialah satu pertiga daripada dos yang digunakan untuk mereka berumur 12 tahun ke atas — untuk dua suntikan setiap satu dos pediatrik adalah sebanyak 10 mikrogram — berselang sekurang-kurangnya 21 hari.

    Kementerian juga akan melanjutkan program suntikan dos penggalak COVID-19 kepada individu berumur 18 hingga 29 tahun, mulai 14 Dis.

    Sehingga kini, 96 peratus penduduk yang layak di Singapura sudah lengkap menerima vaksin COVID-19 manakala 30 peratus daripada jumlah penduduk telah mendapat dos penggalak.- Bernama

  • Korban nahas treler di Mexico meningkat kepada 55 orang

    Korban nahas treler di Mexico meningkat kepada 55 orang

    JUMLAH migran Amerika Tengah yang maut dalam nahas treler di Chiapas, Mexico meningkat kepada 55 orang, kata Gabenor Rutilio Escandon pada Jumaat, lapor Xinhua.

    Treler membawa lebih 150 pendatang tanpa izin itu terbalik kira-kira 3.30 petang waktu tempatan pada Khamis dalam satu kejadian di lebuh raya yang menghubungkan Tuxtla Gutierrez dengan bandar Chiapa de Corzo.

    “Seorang lagi mangsa meninggal dunia hari ini,” kata gabenor itu di Twitter.

    Penyelaras Perlindungan Awam Mexico, Laura Velazquez Alzua yang berada di lokasi kejadian  memberitahu akhbar tempatan, daripada 152 migran, seramai 73 cedera dan 24 lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.  

    Presiden Mexico Andres Manuel Lopez Obrador yang dukacita dengan kejadian itu berkata perlunya usaha untuk menangani punca penghijrahan besar-besaran untuk mengelakkan lebih banyak tragedi sama berulang. 

    Sementara itu, Menteri Luar Mexico,Marcelo Ebrard, berkata kementerian sedang berhubung dengan kerajaan negara asal migran tersebut termasuk Guatemala dan Ecuador serta beberapa lagi negara lain.

    Pihak berkuasa berkata nahas itu dipercayai berpunca daripada masalah teknikal menyebabkan trak terbabas dan melanggar tembok penghadang sebelum merempuh jambatan pejalan kaki.- Bernama

  • Harga barang stabil sepenuhnya awal tahun depan

    Harga barang stabil sepenuhnya awal tahun depan

    HARGA barangan khususnya ayam dan sayur-sayuran yang dilaporkan meningkat mendadak sebelum ini dijangka kembali stabil sepenuhnya awal tahun depan malah sudah menunjukkan tanda-tanda penurunan ketika ini.

    Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, penurunan itu disebabkan beberapa faktor termasuk keadaan cuaca yang kembali normal di negara-negara pengeluar.

    Selain itu menurut beliau, langkah yang diambil kerajaan khususnya menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk mengimport bekalan ayam dari luar negara turut memastikan harga bekalan ayam mentah tidak terus melonjak.

    Dalam masa sama jelasnya, Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang dilancarkan sejak 2 Disember lalu turut membantu mengurangkan beban perbelanjaan rakyat ekoran peningkatan harga barang tersebut sebagai penyelesaian jangka pendek.

    “Disebabkan itu juga kita merancang meneruskan program ini sehingga Mac tahun depan meskipun harga barangan sudah kembali stabil ketika itu.

    “Jika harga barang dikesan terus berlaku terutama menjelang musim perayaan termasuk Hari Raya Aidilfitri pada awal Mei tahun depan, kita akan terus memantau keadaan ini dari semasa ke semasa dalam memastikan rakyat tidak terkesan,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas meninjau program PJKM di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Bandar Perda, Pulau Pinang hari ini.

    Mengulas mengenai inisiatif PJKM tambah Rosol, program yang menawarkan harga barangan murah secara terus kepada rakyat itu telah dilaksanakan di 15 buah Parlimen di seluruh negara sehingga kini.

    Tambahnya, program itu juga mendapat sambutan menggalakkan selepas dihadiri hampir 30,000 penduduk setempat dengan nilai jualan sebanyak RM423,844.

  • UMNO tak perlu kelam kabut minta PRU lebih awal…

    UMNO tak perlu kelam kabut minta PRU lebih awal…

    SEBUAH portal berita melaporkan dalam Mesyuarat Tertinggi (MT) UMNO kelmarin, terdapat desakan kuat dalam kalangan ahli-ahli MT mahu supaya Pilihan Raya Umum  Ke- 15 (PRU-15) diadakan lebih awal.

    Entah benar atau tidak, Perdana Menteri yang juga Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dikatakan tertekan dengan desakan tersebut. Tetapi kalaulah betul apa yang dilaporkan kenapa UMNO kelam kabut sangat? Apakah alasannya?

    Adakah  selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuan bekas Presiden parti itu dalam kes penyelewengan dana SRC pada Rabu lalu? Atau adakah UMNO masih lagi berasa teruja dengan kemenangan di PRN Melaka baru-baru ini?

    Apapun alasannya UMNO  janganlah terlalu ghairah sangat mahukan PRU-15. Ia memandangkan sekarang bukanlah waktu yang sesuai untuk terus menyeret rakyat ke gelanggang pilihan raya hanya semata-mata kerana UMNO semakin ‘ketagih’ untuk membuktikan rakyat sudah kembali menyokong parti itu atau ‘berasa dukacita’ dengan keputusan mahkamah.

    Penulis faham UMNO kecewa berikutan apa yang berlaku dalam kes Najib tetapi biarlah urusan itu diselesaikan oleh bekas Perdana Menteri tersebut melalui proses undang-undang yang ditetapkan.

    Belajarlah menghormati keputusan mahkamah sama ada keputusan  yang dibuat menyebelahi pemimpin parti itu atau tidak.
    Kenapa berasa dukacita dengan keputusan mahkamah? Bukankah dahulu apabila pemimpin pembangkang dihukum dan mereka membuat pelbagai tuduhan kepada mahkamah, pemimpin-pemimpin UMNO juga terpekik terlolong bercakap berhubung ‘rule of law’ dan mendesak supaya pembangkang menghormati keputusan mahkamah.

    Mereka juga menafikan bahawa berlaku pendakwaan terpilih. Tetapi kenapa sekarang apabila kena kepada pemimpin UMNO, mereka ‘melatah’ tidak tentu pasal?

    Najib masih ada peluang untuk membuktikan bahawa ‘malu apa bossku’ tidak berubah menjadi ‘memalukan negara’ apabila kes rayuannya didengar di Mahkamah Persekutuan nanti.

    Sepatutnya UMNO berterimakasih kerana mahkamah telah menangguhkan sabitan dan hukuman dalam kes yang mendapat perhatian dunia itu. Janganlah kerana dukacita dan kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan  rakyat pula mahu dipaksa ke gelanggang pilihan raya.

    Rakyat sudah muak dengan mainan politik tidak berkesudahan sejak PRU-14. UMNO perkukuhkan dulu struktur kepemimpinannya termasuk kedududukan Presiden parti tersebut Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

    Adakah UMNO begitu yakin barisan kepemimpinan sedia ada parti boleh mencapai kejayaan cemerlang di PRU nanti?

    Kepemimpinan UMNO patut faham  apabila menyebut Najib dan Zahid sudah pasti orang teringat apa yang sedang mereka hadapi, soal bersalah atau tidak…biar mahkamah tentukan tetapi ‘parut’ sudah ada! Kalau UMNO yakin akar umbi parti masih menyokong kedua-dua mereka buatlah pemilihan, kita lihat apa keputusannya.

    Jadi tidak payah dok kelam kabut mahu mendesak pilihan raya awal, ia tidak mendatangkan faedah kepada rakyat. Cukuplah UMNO buat perangai di Melaka, tak kan kat peringkat pusat pun nak buat perangai sama?

    Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob  baru 101 hari menjadi Perdana Menteri sudah pasti banyak yang beliau mahu lakukan…jangan ganggu beliau dengan soal politik seperti mana UMNO lakukan ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.

    Sebagai Perdana Menteri  dan individu cukup berpengalaman dalam politik Ismail Sabri pasti tahu bila paling sesuai untuk mengadakan pilihan raya. UMNO tidak perlu memberi tekanan kepada beliau untuk mengadakan pilihan raya lebih awal.

    Izinkan Ismail Sabri menguruskan negara dengan tenang terutamanya membantu rakyat mengharungi fasa pemulihan negara selepas menempuh fasa pandemik Covid-19 yang memeritkan.

    Jangan sampai keterujaan UMNO untuk mendesak PRU lebih awal akan menyebabkan politik negara bergolak lagi, kalau itu berlaku sanggupkah UMNO dituduh ‘memalukan negara’ ?

    Sampai bila UMNO mahu menghumban negara dan menyeret rakyat ke dalam konflik politik sehingga impian mereka untuk melihat negara aman dan tenteram hanya sekadar ibarat ‘hikayat seribu satu malam’?

    Kesimpulannya, PRU awal bukanlah pilihan terbaik untuk rakyat, sebaliknya yang lebih baik buat dulu pemilihan UMNO kerana parti itu memerlukan barisan kepemimpinan baharu yang lebih mantap dan bukannya terus bergantung kepada ‘yang sudah ada parut’.

    Jangan sampai keterujaan UMNO mahu mengadakan PRU lebih awal akan menyebabkan wujudnya persepsi bahawa ia ada kaitan dengan kes-kes mahkamah yang sedang dihadapi oleh segelintir pemimpin-pemimpinnya. Penulis percaya sebagai sebuah parti yang memegang teguh ‘rule of law’, UMNO tidak mahu dianggap demikian. Betul tak?