Author: Admin

  • Lelaki ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman

    Lelaki ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman

    SEORANG lelaki ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di paha kanan di Taman Usahawan Kepong, Kuala Lumpur, hari ini.

    Kejadian dalam sebuah premis di taman tersebut dimaklumkan rakan mangsa kepada pihak polis pada pukul 3.57 pagi.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Beh Eng Lai berkata, hasil siasatan polis menemui mangsa berusia 49 tahun dalam keadaan terbaring di atas lantai dan berlumuran darah.

    “Mangsa tidak memakai baju, hanya berseluar jeans panjang serta berkasut telah mati di tempat kejadian dan terdapat beberapa kesan tikaman di paha kanan.

    “Hasil siasatan mendapati premis itu telah tutup pada pukul 12 tengah malam. Mangsa bersama dua rakannya telah minum minuman keras di dalam premis tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, hasil rakaman kamera litar tertutup pada pukul 3.04 pagi, mangsa telah mengambil sebilah pisau dalam premis tersebut dan menikam paha kanannya beberapa kali sebelum dia rebah.

    Beliau berkata, terkejut dengan insiden itu, rakan mangsa segera menghubungi 999 untuk meminta bantuan.

    “Mayat mangsa telah dirujuk ke Bahagian Forensik Hospital Kuala lumpur untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian sebenar,” katanya.

    Katanya, kertas siasatan dibuka sebagai laporan mati mengejut pada ketika ini kerana siasatan awal mendapati ia tidak melibatkan unsur jenayah.

    “Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-4048 2222 atau di Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999,” katanya.

  • TNB rugi RM220,521 lombong bitcoin guna elektrik curi

    TNB rugi RM220,521 lombong bitcoin guna elektrik curi

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    MESKIPUN dikatakan mata wang digital atau bitcoin bernilai berkali-kali ganda lebih tinggi daripada wang fizikal sesetengah negara, namun kegiatan premis yang menjadi pusat melombong wang kripto itu dengan menggunakan elektrik curi terus berlaku.

    Bagaimanapun, nasib sebuah pusat perlombongan di Taman Berjaya, Skudai di Johor Bahru tidak dapat bertahan lama apabila polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyerbu premis itu, awal pagi tadi.

    Seorang lelaki berusia 40 tahun yang dipercayai bertindak sebagai penjaga premis turut ditahan dalam operasi terbabit yang dilakukan kira-kira pukul 2 pagi.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis turut merampas 170 buah mesin melombong bitcoin dan sebuah mesin pembekal tenaga yang dipercayai menggunakan sambungan elektrik haram untuk beroperasi.

    “Berdasarkan siasatan dibuat, premis berkenaan tidak berdaftar dengan TNB dan sambungan bekalan elektrik dibuat adalah secara terus daripada kotak TNB ke premis berkenaan.

    “Anggaran jumlah kerugian terhadap TNB adalah RM73,507 sebulan di mana dalam tempoh tiga bulan sejak premis berkenaan beroperasi, jumlah keseluruhan kerugian TNB adalah RM220,521,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ayob Khan berkata, suspek yang ditahan berperanan sebagai penyelia premis tersebut dan menerima gaji sebanyak RM3,000 sebulan.

    “Kegiatan membuat sambungan haram secara ‘bypass meter’ boleh mendatangkan risiko kebakaran, kerosakan dan gangguan bekalan elektrik pada premis berdekatan.

    “Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan melakukan khianat terhadap harta benda milik TNB, malah TNB turut mahu kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990,” ujarnya.

    Sementara itu, Ayob Khan memberitahu sejak Januari 2021 hingga kini, sebanyak 33 serbuan melibatkan premis perlombongan bitcoin haram dengan sembilan suspek telah berjaya ditahan.

    “Dalam tempoh berkenaan, sebanyak 2,673 mesin melombong bitcoin bernilai RM2 juta telah dirampas.

    “Polis Johor terus komited untuk membanteras kegiatan mencuri bekalan elektrik secara haram dan memohon kerjasama orang awam untuk menyampaikan sebarang maklumat berhubung kegiatan berkenaan di kawasan mereka,” tambahnya.

  • Pemandu bas ditahan kerana memandu melulu, dipercayai di bawah pengaruh syabu

    Pemandu bas ditahan kerana memandu melulu, dipercayai di bawah pengaruh syabu

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG pemandu bas henti-henti berusia 44 tahun ditahan polis setelah klip video memaparkan dia memandu secara melulu, dirakam oleh orang awam baru-baru ini.

    Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Sazalee Adam berkata, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 11.40 pagi, Ahad lalu dengan bas itu pada mulanya dikesan melanggar lampu isyarat merah di simpang tiga Batu 8, Lunas sebelum dipandu secara laju dan gopoh melalui pekan Padang Serai hingga ke Sungai Karangan.

    Katanya, orang awam yang mengekori dan merakam pergerakan bas tersebut cuba memberhentikan bas itu namun pemandunya enggan berbuat demikian malah bergerak ke tengah dan tepi jalan hingga melanggar cermin sisi sebuah kereta yang diletak di tepi jalan.

    “Bas tersebut berjaya ditahan di depan Balai Polis Sungai Karangan. Saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenih Meth.

    “Semakan juga mendapati suspek dikehendaki polis kerana kesalahan tidak hadir ke Mahkamah Johor Bahru atas pertuduhan menagih dadah di bawah Seskyen 15(1)(a), Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 pada 2019,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambahnya, ketika kejadian tiada penumpang menaiki bas tersebut yang beroperasi bagi laluan Sungai Petani ke Baling.

    “Pemandu itu dipercayai berada di bawah pengaruh syabu ketika memandu bas tersebut. Semakan juga mendapati dia memiliki 51 rekod saman kesalahan trafik dengan lima daripadanya berstatus waran tangkap.

    “Siasatan awal mendapati lelaki itu telah bekerja di syarikat bas berkenaan sejak lebih dua tahun lalu dan memiliki lesen memandu yang sah,” katanya.

    Sazalee memaklumkan, mahkamah telah membenarkan suspek untuk direman selama empat hari dengan bas tersebut turut disita sementara untuk siasatan lanjut.

    “Kes ini kini disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebh lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000.

    “Selain itu siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a), ADB 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun dan denda tidak lebih RM5,000,” katanya.

  • Jangan buat hal di PD jika tidak mahu dipanggil ke balai

    Jangan buat hal di PD jika tidak mahu dipanggil ke balai

    KESALAHAN ringan trafik seperti memotong barisan menggunakan laluan kecemasan selalu diambil ringan kerana kesalahan itu jarang diambil tindakan.

    Namun tidak di Port Dickson. Bukan hanya saman, anda mungkin perlu datang ke balai.

    Hal tersebut berlaku kepada sembilan pemilik kenderaan termasuk sebuah treler yang diarah datang ke balai selepas didapati memotong barisan menggunakan lorong kecemasan.

    Video kejadian yang berlaku dari arah Senggala ke Sua Betong dan di lebuh raya Seremban-Port Dickson itu tular sejak semalam.

    Ini bukan kali pertama pengguna jalan raya di Port Dickson yang melakukan kesalahan trafik dipanggil datang ke balai.

    Sebelum ini dalam dua kejadian berasingan, beberapa individu berlagak marsyal memberhentikan kenderaan lain dipanggil ke balai dan dikenakan hukuman.

    Rakaman papan pemuka yang tular pada 21 November lalu memaparkan sekumpulan penunggang motosikal yang bertindak seperti marsyal dengan memberhentikan kenderaan awam di persimpangan lampu isyarat Sua Betong, Port Dickson untuk memberi laluan kepada kumpulan konvoi mereka.


    Pada 23 November lalu, lima ‘marsyal’ dikompaun selepas tampil menyerahkan diri di IPD Port Dickson.

    Pada 5 Disember lalu, sekali lagi sekumpulan lelaki bertindak marsyal diburu polis Port Dickson kerana melakukan kesalahan sama selepas video mereka tular di media sosial.

    Sehubungan itu, polis menahan dua lelaki termasuk salah seorang berpangkat Datuk setelah mereka menyerahkan diri mereka di IPD.

    Sementara itu Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya telah mengenal pasti butiran pemilik dan jenis kenderaan yang melakukan kesalahan memotong barisan menggunakan laluan kecemasan.

    Beliau berkata, pihaknya meminta pemandu yang berkenaan untuk tampil ke IPD Port Dickson bagi membantu siasatan yang disiasat di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan /Kaedah 53(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

    Dalam pada itu, beliau menyeru agar pengguna jalan raya tidak mementingkan diri dan mengamalkan sikap bersabar serta mematuhi peraturan lalu lintas dalam apa jua keadaan bagi mengelak sebarang kesulitan.

    “Pihak polis juga tidak berkompromi pada mana-mana pemandu atau penunggang yang mengambil ‘jalan pintas’ dan berlagak sebagai ‘raja’ di lebuh raya bagi menjamin keselamatan pengguna yang lain” tegasnya.

  • M. Nasir positif Covid-19 namun stabil

    M. Nasir positif Covid-19 namun stabil

    KOMPOSER dan penyanyi terkenal, Datuk M. Nasir positif Covid-19 dan sedang menjalani kuarantin kendiri di kediamannya sejak semalam.

    Perkara tersebut disahkan oleh isterinya Datin Marlia Musa kepada Astro AWANI.

    “Beliau (M. Nasir) buat ujian kendiri semalam sebab sepatutnya ada program di Pesta Buku Selangor. Bila keputusan positif, kami ambil buat ujian PCR dan keputusan hari ini juga positif.

    “Setakat ini beliau tidak apa-apa gejala dan hanya jalani kuarantin kendiri,” kata Marlia ketika dihubungi.

    Berikutan itu, Marlia dan anaknya Suci Muslamah turut melakukan ujian dan keputusan yang diperoleh mereka negatif.

  • Wanita warga emas maut jatuh flat

    Wanita warga emas maut jatuh flat

    SEORANG wanita berusia 62 tahun maut dipercayai terjatuh dalam kejadian di sebuah flat perumahan di Cheras, Kuala Lumpur, hari ini.

    Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras Kuala Lumpur menerima panggilan kejadian tersebut melalui Mers 999 berkenaan pada pukul 7.22 pagi.

    Ketua Polis Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Idzam Jaafar berkata, warga emas itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas sebuah kenderaan di kawasan tempat letak kereta flat tersebut.

    “Mangsa dipercayai terjatuh dari flat tersebut dan disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) yang hadir di lokasi kejadian,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa mengalami masalah mental dan tiada unsur jenayah dalam kejadian tersebut.

    “Siasatan lanjut akan diteruskan bagi mengetahui punca kematian mangsa.

    “Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian ini diminta untuk menyalurkannya dengan cara menghubungi Ketua Polis Balai Cheras Asisten Superintendan Mohd Redzuan Md Darus di talian 03-92050301 sambungan 302,” katanya.

  • Kes rasuah projek solar ditangguh lagi, status MySejahtera Rosmah masih jingga

    Kes rasuah projek solar ditangguh lagi, status MySejahtera Rosmah masih jingga

    PERBICARAAN kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor berkaitan projek tenaga solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak ditangguhkan buat kali ketiga setelah status MySejahteranya masih menunjukkan beliau mempunyai kontak rapat dengan individu positif COVID-19.

    Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menangguhkan perbicaraan kes itu selepas Timbalan Pendakwa Raya (TPR) kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram memaklumkan mengenai status MySejahtera Rosmah yang masih jingga.

    “Saya dimaklumkan oleh rakan saya bahawa anak guam mereka masih tidak dapat hadir ke mahkamah kerana statusnya (MySejahtera jingga). Saya berada dalam situasi yang sangat sukar kerana saya sudah mencadangkan kepada mahkamah mengenai kemungkinan mengadakan perbicaraan secara hibrid.

    “Saya juga mencadangkan bahawa kami akan memudahkan Rosmah memberikan keterangan dari rumahnya, dengan kehadiran dua timbalan pendakwa raya dan peguam bela boleh menemaninya dengan pegawai mahkamah turut hadir,” kata Sri Ram.

    Peguam Datuk Jagjit Singh yang mewakili Rosmah mengesahkan status Rosmah MySejahtera masih tidak berubah sehingga hari ini dan beliau memohon maaf atas perkara itu.

    “Perbicaraan seterusnya dijadualkan pada 23 Dis dan saya memberi jaminan anak guam saya akan dapat hadir. Saya lebih suka prosiding dijalankan seperti biasa dengan semua pihak hadir secara fizikal di mahkamah,” kata Jagjit.

    Bagaimanapun, hakim berkata beliau akan mengambil kira cadangan Sri Ram untuk prosiding perbicaraan secara hibrid bagi memastikan kesinambungan perbicaraan tanpa gangguan lagi.

    “Saya akan meneliti peruntukan berkaitan dan jika ia boleh dilakukan, saya akan memaklumkan kepada semua pihak terlebih dahulu dan itu dengan andaian status tertuduh kekal kecuali biru. Jika statusnya kembali biru, semuanya baik dan tidak perlu menyusahkan diri kita untuk sebarang peruntukan lain.

    “Saya perlu membuat ketetapan kerana kita tidak boleh berterusan seperti ini, perbicaraan perlu berakhir,” kata hakim.

    Mahkamah kemudian  menetapkan dua tarikh perbicaraan tambahan iaitu 23, 24 Dis dan enam hari lagi, pada 10, 11, 12, 13 dan 14 Jan serta 4 Feb tahun depan bagi perbicaraan itu.

    Pada 8 dan 10 Dis, hakim menangguhkan perbicaraan kes Rosmah kerana prosedur operasi standard (SOP) kompleks mahkamah hanya membenarkan orang yang berstatus biru MySejahtera boleh memasuki bangunan dan tidak membenarkan mereka yang mempunyai kontak rapat atau kasual (dengan kes COVID-19) masuk ke dalam premis.

    Rosmah, 70, dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings mendapatkan projek bernilai RM1.25 bilion untuk membekalkan tenaga hibrid solar kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak. – Bernama

  • 16 PATI Indonesia baru mendarat ditahan

    16 PATI Indonesia baru mendarat ditahan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CUBAAN pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia masuk ke negara ini selepas mendarat di pantai Kampung Baru, Teluk Ramunia, Kota Tinggi, malam tadi gagal apabila kehadiran mereka disedari penduduk setempat.

    Penduduk yang melihat pegerakan mencurigakan itu kemudian menghubungi pihak Tentera Darat Malaysia (TDM) mengenai kemasukan PATI di kampung tersebut pada pukul 8.15 malam.

    Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) dalam satu kenyataan memberitahu, Tim rondaan motosikal dikerahkan membuat rondaan di sekitar kawasan itu bersama-sama Tim Quick Reaction Force (QRF) dan Tim Dron Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

    “Serbuan dilakukan sekitar pukul 8.55 malam tadi berjaya menahan sembilan PATI yang cuba masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak sah.

    “Kemudian pada pukul 4.20 pagi tadi, kita mendapat maklumat daripada Pasukan Polis Marin mengenai tangkapan dua PATI di kawasan yang sama,” demikian menurut kenyataan itu yang dikeluarkan hari ini.

    Kemudian pada pukul 6.30 pagi, tim QRF berjaya membuat tangkapan lima lagi PATI yang merupakan saki baki daripada tangkapan yang pertama.

    Pada pukul 4.20 pagi Pasukan Polis Marin memberkas dua PATI di kawasan yang sama

    Tambah kenyataan itu, kesemua 16 PATI merupakan lelaki warga Indonesia berusia sekitar 17 hingga 56 tahun.

    Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM5,827 melibatkan RM751, matawang Rupiah Indonesia IDR7,573,100 (RM2,234.10) bersama-sama lapan buah telefon bimbit bernilai RM2,762 serta jam tangan bernilai RM80.

    Kesemua PATI katanya, ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan serta saringan Covid-19 dan didapati negatif, sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia Setia Tropika, Kempas, Johor Bahru.

    Laporan kejadian tersebut pula katanya, telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai.

    “Pasukan meneruskan atur gerak Tim QRF dan Tim Dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) serta bantuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI sekitar kawasan tangkapan,” katanya.

  • Hanya tersalah hantar nombor TAC, jururawat rugi RM30,000

    Hanya tersalah hantar nombor TAC, jururawat rugi RM30,000

    SEORANG jururawat kerugian RM30,000 selepas membantu menghantar semula nombor kod pengesahan transaksi (TAC) yang tersalah hantar ke telefonnya, kelmarin.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, nasib malang menimpa jururawat itu berlaku selepas dia menerima panggilan daripada pemanggil tidak dikenali ketika berada di rumah pada petang kelmarin.

    Menurutnya, pemanggil langsung tidak memperkenalkan diri sebaliknya terus meminta mangsa menghantar kembali nombor TAC yang diterima.

    “Pemanggil memberi alasan dia tersalah daftar nombor telefon dalam maklumat akaun banknya kepada nombor telefon mangsa.

    “Mangsa segera berbuat demikian tanpa menyedari ia taktik sindiket penipuan untuk melesapkan wang dalam akaun banknya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Hasil semakan mendapati berlaku penolakan RM15,000 daripada akaun itu dan RM15,000 lagi daripada akaun Tabung Haji.

    Mohd. Wazir berkata, susulan kejadian mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Mentakab, semalam.

    “Polis membuka kertas siasatan kes di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Bekas pegawai bank mengaku tidak bersalah terima RM3.41 juta hasil aktiviti haram

    Bekas pegawai bank mengaku tidak bersalah terima RM3.41 juta hasil aktiviti haram

    SEORANG bekas pegawai bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas 14 pertuduhan menerima wang tunai hasil aktiviti haram berjumlah RM3.41 juta pada 2017 hingga 2019.

    Tertuduh, R. Ganesan, 35, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa menerima sejumlah wang antara RM20,000 hingga RM670,000 dengan keseluruhannya berjumlah RM3.41 juta daripada 12 individu yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

    Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah cawangan bank di Taman Inderawasih, Perai antara 22 Ogos 2017 sehingga 23 Oktober 2019.

    Ganesan didakwa melakukan kesalahan itu di bawah perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Syeqal Che Murat manakala tertuduh diwakili peguam Pyara Singh.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM140,000 manakala kes itu akan disebut semula pada 17 Januari depan.

    Mengikut fakta kes, sepasang suami isteri telah membuat pelaburan pada Jun 2019 dengan seorang pegawai bank dengan tawaran pulangan 8.88 peratus bagi setiap enam bulan.

    Mangsa telah dimaklumkan bahawa pelaburan sebanyak RM716,000 hanya boleh membuat wang dividen dan wang pokok tidak boleh dikeluarkan dalam tempoh tiga tahun.

    Bagaimanapun, mangsa tidak pernah menerima pulangan seperti dijanjikan dan pegawai bank tersebut dikatakan melakukan pengubahan wang haram menggunakan wang pelaburan mangsa.