Author: Admin

  • Banyak sekolah digunakan sebagai PPS – KPM

    Banyak sekolah digunakan sebagai PPS – KPM

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sentiasa sedia membantu agensi berkaitan memindahkan mangsa banjir ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sekolah bawah KPM berjalan lancar dan beroperasi dengan teratur.

    Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, melihat kepada keadaan banjir kali ini yang di luar jangkaan, banyak sekolah di bawah KPM digunakan sebagai PPS.

    Beliau berkata, sekitar pukul 1 pagi tadi beliau melawat PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Panglima Garang untuk meninjau mangsa banjir dari kawasan sekitarnya.

    “Saya diberi taklimat oleh beberapa pegawai daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkenaan situasi terkini di pusat ini.

    “Alhamdulillah, semua urusan permindahan berjalan lancar. Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada semua pihak yang telibat dalam proses membantu mangsa-mangsa banjir ini, termasuk pihak sekolah.

    Sama-samalah kita berdoa agar urusan pengendalian mangsa banjir di sini serta tempat-tempat lain di seluruh negara dipermudahkan,” katanya dalam status terhaharu dalam Facebook miliknya, hari ini.

  • Wanita warga emas cedera pokok tumbang hempap rumah

    Wanita warga emas cedera pokok tumbang hempap rumah

    SEORANG wanita warga emas cedera selepas sebatang pokok kekabu tumbang dan menghempap bahagian bilik rumahnya di Kampung Ara Payung, Batu Gajah pada awal pagi ini.

    Mangsa, 64, dilaporkan cedera dan mengalami patah kaki sebelum kejadian tersebut dilaporkan kepada pihak bomba susulan terperangkap dalam bilik itu.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Gajah, Mohd Norshah Shahri berkata, sepasukan tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 4.36 pagi.

    “Setibanya di lokasi didapati mangsa cedera selepas ditimpa runtuhan struktur dinding akibat daripada pokok tumbang.

    “Anggota mengeluarkan mangsa dan menyerahkan kepada pihak kesihatan untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

    Menurutnya, anggota meneruskan operasi membersihkan lokasi dengan memotong bahagian pokok menggunakan gergaji rantai.

    “Kejadian itu menyebabkan 30 peratus struktur rumah rosak. Operasi ditamatkan pada jam 5.46 pagi,” katanya.

  • Banjir:Sembilan PPS dibuka di Negeri Sembilan

    Banjir:Sembilan PPS dibuka di Negeri Sembilan

    SEMBILAN Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Negeri Sembilan dibuka setakat ini bagi menempatkan 358 mangsa banjir setakat ini yang dibuka sejak malam tadi selepas kediaman mereka terjejas akibat banjir.

    Lima daerah terkesan dengan bencana Monsun Timur Laut iaitu Seremban, Port Dickson,Rembau, Kuala Pilah dan Jelebu.

    Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan, Leftenan Kolonel (PA) Mohd. Syukri Madnor berkata, sebelum ini lima buah PPS dibuka dengan satu daripadanya telah ditutup semalam iaitu di Tampin di Surau Kampung Keru Hilir yang menempatkan 36 mangsa dengan 10 keluarga.

    “Bagaimana pun berlaku pertambahan pembukaan PPS menjadikan jumlah keseluruhannya sembilan PPS,” katanya dalam satu kenyataan di Seremban, hari ini.

    Katanya, sehingga kini PPS yang dibuka adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Siliau, Seremban ; empat PPS di Port Dickson (SK Jimah lama, Balai Raya Permatang Pasir, Balai Raya Kampung Linggi, Balai Raya Kampung dan Pengkalan Durian); dua PPS di Rembau (Masjid Lubok China dan Surau Nerabai); satu PPS masing-masing di Kuala Pilah (Dewan Desa Dangi), dan Jelebu (Balai Raya Kampung Juntai).

    “Ia melibatkan seramai 74 buah keluarga dengan 358 orang mangsa,” katanya.

    Mengulas lanjut, beliau berkata, selain banjir terdapat lima kejadian lain turut dilaporkan susulan keadaan cuaca ketika ini iaitu di Jalan Sendayan-Jimah Port Dickson (jalan runtuh); Jalan Sungai Gadut (tanah runtuh); Breakwater runtuh di Port Dickson; dua warga negara Mynmar dikhuatiri lemas di pantai Teluk Kemang, Port Dickson dan tanah runtuh di Jalan Bukit Tangga menghala Jelebu.

    Media semalam melaporkan hujan lebat berterusan lebih dua jam sejak malam semalam mengakibatkan beberapa kawasan di lima daerah di Negeri Sembilan dilanda banjir kilat.

  • Jenazah ibu, lapan anak dikebumikan esok

    Jenazah ibu, lapan anak dikebumikan esok

    JENAZAH sembilan sekeluarga yang terkorban dalam kemalangan tragis membabitkan tiga buah kereta dan sebuah treler akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam, esok.

    Urusan pengkebumian sembilan beranak itu dijangka mengambil masa kerana terpaksa menunggu keputusan ujian calitan Covid-19 dan keputusan bedah siasat kesemua mangsa.

    Difahamkan, ujian calitan Covid-19 atas jenazah sembilan sekeluarga tersebut mendapati ada antara mereka yang positif, sehubungan itu langkah tambahan perlu diambil sebelum dikebumikan.

    Sementara itu, jenazah seorang lagi mangsa yang turut terkorban dalam nahas berkenaan didapati bebas Covid-19 dan akan dikebumikan di tanah perkuburan sama pada malam ini.

    Warta Raktyat hari ini melaporkan seorang ibu bersama lapan anaknya termasuk 10 yang maut dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di kilometer 8.3 Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite).

    Mangsa yang maut terdiri daripada lima kanak-kanak lelaki, tiga kanak-kanak perempuan dan masing-masing satu lelaki serta perempuan dewasa.

    Mangsa adalah Norul Naziah Buyong, 37, Muhamad Razarul Amin Abd Razak, 17, Razatul Aliah, 16, Puteri Hidayah, 12, dan Muhamad Aizat Syazwan, 10.

    Selain itu, Muhamad Rolkaizat Rezky, 9, Muhamad Hidayat Hakimie, 7, Puteri Nur Ain Syalwana, 3, Muhammad Raid Fathi berusia 10 bulan dan Mohamad Rahimi Rolex, 27.

    Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Mohd Fairus Jaafar dilaporkan berkata, pemandu treler yang berusia 37 tahun direman selama empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan.

  • Kuota 30 peratus calon muda berpatutan – Wan Fayhsal

    Kuota 30 peratus calon muda berpatutan – Wan Fayhsal

    KUOTA 30 peratus untuk calon muda bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dianggap berpatutan.

    Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kuota tersebut berpatutan kerana ia selari dengan perkembangan demografi nasional.

    “Kuota 30 peratus untuk calon muda adalah berpatutan, selari dengan perkembangan demografi nasional dan menepati aspirasi zaman hari ini. 

    “Jangan kita letakkan calon yang tidak faham atau tidak mampu menggalas aspirasi dan kehendak rakyat di akar umbi,” katanya ketika ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Tahunan Armada di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC), Kuala Lumpur, hari ini.

    Mengulas lanjut, beliau mengambil maklum semua wakil negeri Armada yang bercakap mengenai ekonomi golongan muda ketika sesi perbahasan dasar Ketua Armada Nasional.

    “Insyaallah Armada akan perjuangkan sebagai golongan pendesak kepada kerajaan yang ada pada hari ini.

    “Saya seru semua pimpinan Armada bersama saya kita masuk kampus, dan Yang Berhormat Datuk Seri (Datuk Seri Hamzah Zainudin) memberi jaminan, Armada ada perancangan di semua IPT dan IPTS,” katanya.

    Terdahulu, ucapan dasar Ketua Armada Bersatu dibahaskan selama lima jam bermula 2.30 petang oleh 17 anggota perwakilan.

    Perhimpunan Agung Tahunan Armada berlangsung secara fizikal di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (Mitec) dengan dihadiri 768 anggota perwakilan dari seluruh negara. 

  • Op Benteng:32 PATI Myanmar panjat pagar keselamatan ditahan

    Op Benteng:32 PATI Myanmar panjat pagar keselamatan ditahan

    CUBAAN 32 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar memanjat pagar keselamatan ketika hujan lebat untuk masuk ke negara ini tidak berjaya apabila mereka berjaya ditahan, semalam.

    Sepasukan anggota Batalion 2, Pasukan Gerakan Am (PGA) Kulim berjaya mengesan mereka yang terdiri daripada 21 lelaki dan 11 wanita berusia antara 17 hingga 38 tahun pada pukul 6 pagi semalam selepas menerima maklumat.

    Pegawai Pemerintah Batalion 2 PGA Kulim, Superintendan Md. Dali Jamil berkata, ketika kejadian, sepasukan pegawai dan anggotanya melakukan pemeriksaan di kawasan semak berhampiran tangki air BKH 3 di sini dalam Op Benteng Covid Kawalan Keselamatan Sempadan Darat Malaysia/Thailand.

    Beliau berkata, sewaktu pemeriksaan dilakukan, pegawai dan anggotanya menemui kesemua PATI berkenaan sedang bersembunyi di kawasan semak dalam keadaan mencurigakan.

    “Kesemua mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri sah masuk ke negara ini.

    “Berikutan itu, kesemua mereka dibawa ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk dibuat laporan tangkapan dan tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Md. Dali berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(3)(C) Akta Imigresen 1963.

    Dalam pada itu, Md. Dali berkata, sejak 1 Disember sehingga kini, Batalion 2 PGA merekodkan rampasan daun ketum sebanyak 4,131 kilogram dengan anggaran nilai RM123,930 serta 218 bungkusan air ketum anggaran RM1,484.

    Beliau berkata, turut dirampas rokok pelbagai jenama yang dianggaran bernilai RM25,906, tiga buah motosikal anggaran RM164,602.

    “PGA Batalion 2 berjaya menahan 13 lelaki warga tempatan, seorang lelaki warga Thailand termasuk 32 warga Myanmar semalam atas pelbagai kesalahan.

    “Pihak batalion 2 Kulim akan meneruskan lagi usaha bagi membanteras dan mencegah kegiatan pencerobohan, penyeludupan Pati dan barangan terlarang yang aktif di kawasan sempadan,” katanya.

  • KPM diminta beri kuota khas ambil guru Sabah, Sarawak – Armada Bersatu

    KPM diminta beri kuota khas ambil guru Sabah, Sarawak – Armada Bersatu

    SEORANG perwakilan Armada Bersatu hari ini meminta Kementerian Pendidikan (KPM) memberi kuota khusus untuk rakyat Sabah dan Sarawak dalam program pengambilan khas guru secara ‘one-off’ untuk mengisi kekosongan jawatan itu di kedua-dua negeri berkenaan.

    Exco Armada Nasional Johainizamshah Johari berkata kuota khusus itu dapat menjimatkan kos kerajaan bagi penempatan guru di dua negeri berkenaan selain membuka peluang pekerjaan untuk rakyat.

    Johainizamshah Johari

    “Pada tahun ini, kita lihat KPM akan membuat pengambilan khas guru secara ‘one-off’ bagi mengisi kekosongan jawatan guru yang dihadapi di seluruh negara terutama di Sabah, Sarawak, Johor dan Selangor.

    “Pendedahan ini jelas membuktikan bahawa Sabah dan Sarawak menghadapi masalah kekurangan guru. Justeru,saya mengusulkan menerusi pengambilan ini, berilah kuota yang  khusus untuk rakyat Sabah dan Sarawak.

    “Ini perlu diberikan perhatian kerana pada tahun ini, dilaporkan seramai 840 guru berasal dari Semenanjung ditempatkan di Sabah dan Sarawak bagi tempoh 2018 hingga 2021 bagi memenuhi keperluan opsyen di dua negeri itu,” katanya semasa membahaskan ucapan dasar Ketua Armada pada Perhimpunan Agung Tahunan Armada Bersatu kali ketiga, di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec), Kuala Lumpur, hari ini.

    Sementara itu, Ketua Armada Perak Faizul Ismail mencadangkan KPM supaya mengkaji silibus pembelajaran di sekolah selaras dengan pindaan had usia kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik diwartakan.

    Faizul Ismail

    “Kajian silibus perlu melibatkan pelajar berusia 16 tahun bagi menimbulkan kesedaran kepada mereka sebagai pemilih,” katanya.

    Terdahulu, ucapan dasar Ketua Armada Bersatu dibahaskan selama lima jam bermula 2.30 petang oleh 17 anggota perwakilan.

    Perhimpunan itu kemudian diteruskan dengan ucapan penggulungan dan penangguhan oleh Ketua Armada Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

    Perhimpunan Agung Tahunan Armada berlangsung secara fizikal di Mitec dengan dihadiri 768 anggota perwakilan dari seluruh negara. – Bernama

  • Srikandi Bersatu mahu 30 peratus jadi calon PRU-15

    Srikandi Bersatu mahu 30 peratus jadi calon PRU-15

    SRIKANDI Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencadangkan supaya parti itu meletakkan 30 peratus calon daripada kalangan sayap itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, cadangan itu berdasarkan pengalaman Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini, apabila Perikatan Nasional (PN) berani mempertaruhkan Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon Ketua Menteri Melaka sekiranya menang ketika itu.

    “Ini menunjukkan kepimpinan wanita diiktiraf dan diberi kepercayaan memimpin negeri dan negara. Srikandi menaruh sepenuh keyakinan agar peranan wanita dalam politik dapat terus diperkasakan, digemilangkan lagi bagi memperkukuhkan proses libat urus bersama kaum wanita di negara ini.

    “Justeru, saya dengan ini mencadangkan untuk PRU-15 akan datang, 30 peratus calon mestilah datang daripada kalangan Srikandi bagi memperkasakan dan memartabatkan kepimpinan daripada kalangan wanita sepertimana keyakinan sama diletakkan terhadap sayap Srikandi di PRN Melaka baru-baru ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Srikandi Waja Negara pada Perhimpunan Agung Tahunan Srikandi kali ketiga bersempena Perhimpunan Agung Tahunan kali keempat Bersatu, hari ini.

    Rina turut menyokong penuh penubuhan sayap Srikandi Muda sebagai penggerak mendekati golongan beliawanis.

    Beliau berkata, Srikandi Muda sebelum ini hanya merupakan sebuah biro wanita dalam kalangan beliawanis yang menjadi sukarelawan membantu program Srikandi.

    “Sudah tiba masanya biro ini diangkat untuk menjadi salah satu sayap dalam parti Bersatu. Saya percaya sayap keempat ini pasti akan mengukuhkan lagi parti, membolehkan Bersatu terus terbang lebih tinggi dengan mendampingi golongan beliawanis menerusi program dan platform yang sesuai dengan usia mereka,” katanya.

    Pada 16 Dis, Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata penubuhan sayap Srikandi Muda akan melibatkan pindaan Perlembagaan Bersatu yang bakal dimuktamadkan pada perhimpunan kali ini.

    Selain itu, Rina mengumumkan untuk mewujudkan Tabung Kebajikan Srikandi untuk membantu dan membela kebajikan para Srikandi dan sebagai permulaan, beliau menyumbangkan RM50,000 hari ini untuk diagihkan kepada ahli Srikandi yang kehilangan suami dan sumber mata pencarian.

  • Buaya sesat atas jambatan di Port Dickson

    Buaya sesat atas jambatan di Port Dickson

    KEMUNCULAN seekor buaya yang tersesat selepas air sungai yang naik mendadak di jambatan berhampiran Sungai Linggi Port Dickson, pada pukul 3 petang tadi mengejutkan pengguna jalan raya.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang, Mohd Kamal Timar berkata, Pasukan Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang segera ke lokasi kejadian dan mendapati ada seekor buaya yang berada di jambatan di Linggi.

    “Kami percaya buaya ini tersesat dan anggota bomba mengambil inisiatif menghalau buaya ini kembali ke habitat asalnya di kawasan sungai berhampiran.

    “Buaya ini tidak agresif cuma ia tidak tahu arah yang mahu dituju,” katanya ketika dihubungi tadi.

    Dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini katanya, diharapkan agar orang ramai lebih berhati-hati kerana boleh terserempak dengan buaya dan bimbang berlaku sesuatu yang tidak diingini.

    “Cuaca masih tidak menentu ketika ini dan diharapkan agar orang ramai tidak membiarkan anak-anak bermain di lokasi berhampiran sungai yang parasnya semakin naik,” katanya.

    Sementara itu, Mohd. Kamal berkata, banjir kali ini adalah yang terburuk sejak sejak beberapa tahun lalu.

    “Dua kawasan yang teruk dilanda banjir ialah di kawasan Permatang Pasir dan Linggi termasuklah rumah kedai kawasan Linggi.

    “Dua pusat pemindahan dibuka iaitu di Balai Raya Permatang Pasir dan Balai Raya Linggi sejumlah 86 orang mangsa dipindahkan ke sini namun keadaan ini mungkin ada pertambahan mangsa,” katanya.

  • Jangan biarkan syarikat besar eksploitasi anak muda – Wan Fayshal

    Jangan biarkan syarikat besar eksploitasi anak muda – Wan Fayshal

    DALAM musim wabak yang melanda dunia, anak muda berdepan dengan cabaran yang dahsyat dan kebanyakan rasa tersinggung dengan aturan ekonomi sehingga bertindak untuk mengundurkan diri daripada arus perdana.

    Ketua Angkatan Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal memandang serius perkara itu kerana mengakibatkan ketirisan bakat atau ‘brain drain’ secara lokal.

    Beliau berkata, tenaga kerja mahir tidak mampu mendapatkan kerja dan gaji yang berpadanan dengan kebolehan dan kelayakan mereka.

    “Gaji yang tidak setimpal, eksploitasi oleh majikan dan pelbagai isu lain telah mengakibatkan bukan sahaja kadar keberhutangan yang tinggi, malah kualiti hidup dan kebahagiaan yang rendah dalam kalangan anak muda.

    “Bayangkan, takkanlah graduan universiti perlu menjual nasi lemak atau jadi ‘rider’ untuk jangka panjang sebagai sumber rezeki? Kita tidak memperkecilkan pekerja ekonomi ini, malah kita alu-alukan kebebasan berekonomi. 

    “Namun ini tidak seharusnya menjadi norma dalam berkerjaya,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Armada Bersatu kali ke-3 tahun 2021, hari ini.

    Tambah beliau, kesenjangan ekonomi akibat pandemik Covid-19 melahirkan suatu generasi muda yang seolah-olah hilang punca, yang dinamakan ‘belia resah’, jika tidak disantuni, boleh menjadi bom jangka yang bakal meranapkan struktur sosio-ekonomi semasa.

    “Jangan sampai generasi muda ini terkandas, menjadi generasi yang hilang – atau the lost generation. Habis nanti senggang yang mereka tinggalkan ini mahu diisi oleh siapa? 

    “Jika tiada generasi penyambung, habis kita perlu bermula semula dari bawah. Sia-sia usaha generasi terdahulu, dan ternganga generasi yang datang selepasnya,” kata Wan Fayshal.

    Sementara itu beliau berkata, selain daripada Dasar Belia Negara sedia ada, negara juga perlukan sebuah pelan tindakan untuk menterjemah wawasan ini sehingga hasilnya dapat dikecap oleh pemuda-pemudi di lapangan.

    “Selaku Ketua Armada Nasional, saya menyeru kerajaan pada harini menggagaskan sebuah Dasar Ekonomi Belia Malaysia yang perlu diwujudkan di bawah payung besar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030

    “Perkara ini akan merangkumi Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (2026-2030), agar program-program yang dilaksanakan oleh kerajaan secara ‘whole of government approach’ dan ‘whole of society approach’ benar-benar membuahkan hasil untuk golongan sasar,” katanya.

    Menurut beliau, anak muda bukan sekadar menjadi nota kaki dan statistik dalam pembikinan dan pelaksanaan polisi, sebaliknya, selayaknya menjadi rakan kongsi dan rakan sejawat utama dalam penentuan dasar negara.