Author: Admin

  • Jurutera, Penolong Juruukur JKR tidak mengaku salah terima rasuah

    Jurutera, Penolong Juruukur JKR tidak mengaku salah terima rasuah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG Jurutera dan seorang Penolong Juruukur Bahan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Mersing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Johor Bahru hari ini atas pertuduhan menerima rasuah yang semuanya berjumlah RM14,000, pada hujung 2019.

    Jurutera berkenaan, Mohd. Idham Mokhtar, 38, dan juruukur tersebut, Mohd. Sukrizal Mohd. Shukor, 44, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail, sejurus pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

    Mengikut pertuduhan, Mohd. Idham didakwa menerima wang berjumlah RM9,000 menerusi akaun Maybank miliknyadaripada seorang individu berusia 44 tahun melalui akaun bank milik syarikat individu tersebut.

    Kesalahan dilakukan di Maybank Islamic Berhad, Jalan Ismail, Mersing, pada 19 November 2019.

    Sementara tertuduh kedua, Mohd. Sukrizal, menerima wang berjumlah RM5,000 menerusi akaun Maybanknya daripada individu sama melalui akaun bank milik syarikat individu berkenaan.

    Tertuduh ada hubungan dengan tugas rasminya sebagai Urusetia Jawatankuasa bagi kerja pembaikan apron lantai bangunan di Sekolah Kebangsaan (SK) Lembaga Endau selain kerja pembaikan dinding dan lantai akibat mendapan di Sekolah Mengah Kebangsaan (SMK) Anjung Batu.

    Kerja-kerja turut melibatkan pembaikan bumbung dan siling bagi empat blok bangunan di SMK Ungku Hussin selain kerja pembaikan bumbung serta kerja berkaitan di SK Triang, Mersing.

    Kesalahan dilakukan di Maybank Islamic Berhad, Pusat Perdagangan, Jalan Bandar, Pasir Gudang, pada 28 Disember 2019.

    Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suhaili Sapun dengan tertuduh diwakili peguam iaitu Rosli Kamaruddin, Zahir Rosli dan Zaim Rosli.

    Mahkamah kemudian memerintahkan kedua-dua tertuduh dijamin sebanyak RM7,000 setiap seorang dan masing-masing dengan seorang penjamin, sebutan semula kes ditetapkan pada 31 Januari tahun depan.

  • Lima laluan di ibu negara ditutup, dilencongkan

    Lima laluan di ibu negara ditutup, dilencongkan

    LIMA laluan di sekitar pusat bandar masih ditutup dan dilencongkan setakat 1 tengah hari ini akibat banjir yang melanda ibu negara sejak semalam.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata, laluan berkenaan melibatkan Jalan Tuanku Sultan Abdul Halim, Jalan Rahmat, Jalan Sentul Manis, Jalan Pahang Barat dan Terowong Smart.

    Menurutnya, proses pembersihan jalan sedang giat dijalankan dan pengguna dinasihat menggunakan Jalan Tun Razak untuk ke pusat bandar.

    “Polis ingin menasihatkan pengguna jalan raya agar mengelak daripada menggunakan atau melalui jalan yang terlibat dengan lencongan dan penutupan serta patuhi arahan anggota bertugas bagi memastikan keadaan lalu lintas sentiasa lancar dan terkawal.

    “Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat, boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S.Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Keadaan hujan berterusan sejak dua hari lepas menyebabkan sebahagian besar laluan utama di sekitar pusat bandar dinaiki air bermula lewat malam tadi.

    Antara kawasan yang ditenggelami air akibat limpahan Sungai Gombak adalah Dataran Merdeka dan sebahagian besar hadapan bangunan Sultan Abdul Samad dan Jalan Raja di sini. – Bernama

  • Southern Volunteers bantu mangsa banjir – TMJ

    Southern Volunteers bantu mangsa banjir – TMJ

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengarahkan Southern Volunteers bersiap sedia untuk dihantar ke kawasan-kawasan banjir bagi usaha membantu mangsa yang terjejas.

    Menurut Tunku Ismail, badan sukarelawan itu akan berperanan membersih dan pengagihan sumbangan barangan keperluan.

    “Sama-sama kita doakan untuk keselamatan dan berkat ALLAH SWT bagi semua mangsa banjir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tunku Mahkota Johor berkata, tumpuan juga perlu diberi kepada pencegahan banjir dengan segera.

    “Saya mengambil maklum mengenai bencana banjir yang telah melanda enam negeri. Saya berharap pihak berkuasa memberi pertolongan kepada semua yang terjejas.

    Hujan lebat sejak Jumaat mengakibatkan kawasan-kawasan di sekitar Lembah Klang dilanda banjir dengan Selangor menerima kesan terburuk selepas lebih 3,000 mangsa dipindahkan ke 30 pusat pemindahan sementara (PPS).

    Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan berterusan dijangka melanda Selangor sehingga Ahad selain Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Pahang, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka.

  • Operator kilang dikhuatiri lemas dihanyut arus deras banjir

    Operator kilang dikhuatiri lemas dihanyut arus deras banjir

    SEORANG operator kilang dikhuatiri lemas selepas dipercayai dihanyutkan arus deras banjir di Jalan Pintasan Kampung Cempaka-Sungai Soi di Kuantan, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa Mohd Halmi Nazlan, 34, dari Kampung Kuala Pahang di sini, dikatakan hilang pada jam 1 pagi ini, semasa dalam perjalanan ke Pekan.

    “Mangsa difahamkan menaiki kereta bersama seorang rakan dan mereka cuba menyelamatkan diri apabila terperangkap banjir namun mangsa dikatakan gagal dikesan selepas itu,” katanya semasa dihubungi.

    Rakan mangsa bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri.

    Wan Mohd Zahari berkata, operasi mencari dan menyelamat melibatkan 10 pegawai dan anggota polis dan bomba, menggunakan dua bot dan masing-masing sebuah lori serta pacuan empat roda.

    Kejadian ini merupakan kejadian hilang kedua dalam tempoh 24 jam, selepas seorang lelaki dipercayai mengalami masalah mental masih belum dijumpai selepas dikatakan terjun di Jambatan Sri Damai di sini pada 12.25 tengah hari Sabtu. – Bernama

  • Cuaca buruk jadikan op carilamat mangsa sukar

    Cuaca buruk jadikan op carilamat mangsa sukar

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CUACA yang diramalkan buruk menyukarkan pencarian 16 mangsa yang masih hilang pada hari ini susulan tragedi bot karam di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi Rabu lalu.

    Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor, Kepten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa berkata, Op Carilamat yang memasuki hari kelima dengan tiada penemuan mangsa baharu sehingga pukul 8 pagi ini.

    Katanya, kelajuan angin dianggarkan 40 hingga 50 kilometer sejam, selain ombak pula setinggi 2.5 meter (m) hingga 3.5 m serta ribut petir di beberapa tempat.

    “Pencarian diteruskan menggunakan empat aset laut dengan keluasan sektor pencarian seluas 111 batu nautika persegi, manakala helikopter AW139 APMM akan melaksanakan pencarian udara meliputi sektor carian seluas 76.50 batu nautika persegi.

    “Misi pencarian di pesisir pantai diteruskan petugas APMM, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Polis Diraja Malaysia meliputi Tanjung Siang hingga ke Sungai Musuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, seramai 61 petugas daripada pelbagai agensi terbabit pencarian di udara, laut dan darat.

    Sebelum ini media melaporkan dalam kejadian pada awal pagi Rabu lalu, bot pancung yang membawa 50 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Lombok dan transit di Batam, karam dibadai ombak dalam kejadian di perairan Tanjung Balau.

    Sehingga kini, jumlah mangsa yang ditemui adalah seramai 34 orang iaitu 21 meninggal dunia, 13 selamat manakala 16 lagi disyaki masih hilang.

  • Lapan rumah di lereng bukit terjejas tanah runtuh

    Lapan rumah di lereng bukit terjejas tanah runtuh

    SEBANYAK lapan rumah di Kampung Palembayan Sungai Penchala, Kuala Lumpur terjejas akibat tanah runtuh dalam kejadian pada malam tadi.

    Bagaimanapun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan melibatkan semua penduduk itu yang tinggal di kawasan lereng bukit.

    Menerusi gambar yang tular di media sosial, insiden turut menyebabkan jalan raya dipenuhi runtuhan dan ditutup kepada semua kenderaan.

  • Harta bekas Exco kerajaan Johor, anak dan menantu lebih RM6 juta dilucut hak

    Harta bekas Exco kerajaan Johor, anak dan menantu lebih RM6 juta dilucut hak

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MAHKAMAH Tinggi Johor Bahru, hari ini membenarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melucut hak harta bernilai lebih RM6 juta milik bekas Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Johor, Datuk Abd. Latif Bandi, anak dan menantunya.

    Hakim, Datuk Abu Bakar Katar membenarkan rayuan SPRM itu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen pada 27 Mei 2019, yang menolak permohonan pihak pendakwaan dan memerintahkan semua harta yang disita perlu dikembalikan kepada pemilik berdaftar.

    Abu Bakar dalam penghakimannya berkata, keputusan itu dibuat selepas mahkamah meneliti semua rekod rayuan serta memperhalusi hujahan lisan dan bertulis melibatkan pelbagai pihak.

    “Hakim Mahkamah Sesyen dalam penghakimannya terkhilaf apabila gagal menimbangkan permohonan dibawah Seksyen 41(1) Akta SPRM, menjurus kepada harta-harta yang disita dan bukannya keperluan pendakwaan terhadap responden.

    “Mahkamah ini berpendapat harta-harta dalam rayuan ini tidak berkaitan dengan pertuduhan jenayah terhadap Datuk Abd Latif Bandi, Amir Shariffuddin Abd. Rauf dan Mohd. Fauzan Hatim Abd. Latif.

    “Mahkamah berpendapat SPRM telah membuktikan semua harta yang terbabit diperolehi daripada hasil haram iaitu rasuah dan tiada pembelian suci hati dengan balasan berharga berkaitan semua harta terbabit.

    “Oleh itu, mahkamah membenarkan rayuan perayu terhadap semua responden dan membenarkan semua permohonan perayu untuk melucut hak semua harta terbabit,” katanya.

    Antara harta yang dilucut hak ialah 19 kereta mewah termasuk Mercedes Benz G63 AMG, Bentley Continental GT Coupe, Land Rover Proversport, Porsche Cayenne, Nissan Skyline, Toyota Vellfire dan Honda HRV.

    Selain itu, turut dilucut hak ialah 16 jam tangan jenama mewah, 15 beg tangan mewah, 15 barangan kemas serta pelbagai mata wang asing iaitu mata wang Singapura, Hong Kong, Kuwait, Korea dan Jepun.

    Pada 27 Mei 2019, Mahkamah Sesyen, dilaporkan menolak permohonan SPRM untuk melucutkan hak harta milik bekas Abd. Latif, anak dan menantunya.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mahadi Abdul Jumaat manakala peguam, Abd. Rahim Ali, mewakil Abd. Latif, Amir Shariffuddin Abd Rauf, Mohd. Fauzan dan menantu Abd. Latif, Nur Shaliza Mohd. Salleh.

    Peguam kemudian memohon supaya arahan pelucutan hak harta itu ditangguhkan, bagi membolehkan pihak pembelaan memfailkan rayuan kes berkenaan ke Mahkamah Rayuan.

    Namun, hakim memerintahkan pihak pembelaan supaya menghantar permohonan penangguhan arahan pelucutan hak harta itu secara rasmi, bagi membolehkan satu prosiding lain dilakukan bagi mendengar hujahan.

  • Lebih ramai anggota bomba sedia dikerah bantu mangsa banjir

    Lebih ramai anggota bomba sedia dikerah bantu mangsa banjir

    LEBIH ramai anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) termasuk dari negeri yang tidak dilanda banjir sedia dikerahkan bagi membantu mangsa-mangsa banjir yang terjejas teruk di beberapa negeri ketika ini.

    Malah, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, beliau juga sudah berhubung Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid untuk bersedia menghulurkan sebarang bantuan yang diperlukan segera.

    Tambahnya, agensi berkenaan juga akan membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang akan mengkoordinasi operasi menyelamat yang dijalankan secara bersepadu bersama beberapa agensi lain.

    Ketika ini, seramai 4,819 anggota bomba termasuk pasukan bomba sukarela telah dikerahkan untuk membantu kerja-kerja menyelamat dan membawa mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri-negeri yang terlibat dengan banjir.

    Usaha tersebut dibantu oleh aset logistik terdiri daripada 125 buah kenderaan angkut serta 214 bot yang turut digerakkan ketika ini.

    Menurut Reezal Merican, beliau juga akan mendapatkan perkembangan terkini situasi banjir itu daripada pihak bomba di Balai Bomba Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor selepas ini sebelum langkah seterusnya dapat diambil.

    “Saya difahamkan ketika ini sebanyak enam negeri terlibat dengan bencana banjir terutama di Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya.

    Reezal Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Khatan Perdana Peringkat Parlimen Kepala Batas yang disertai seramai 150 kanak-kanak di Kubang Menerong, Pulau Pinang hari ini.

    Dalam pada itu, Reezal Merican menasihatkan orang ramai khususnya mangsa banjir segera menghubungi talian kecemasan dan mematuhi arahan pihak berkuasa setiap masa bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga.

    “Setakat ini, saya dimaklumkan pihak bomba bersama beberapa agensi lain masih berusaha untuk membantu mangsa yang terlibat,” katanya.

  • Bomba bantu 4 pesakit terkandas banjir jalani dialisis

    Bomba bantu 4 pesakit terkandas banjir jalani dialisis

    JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Jeli membantu empat pesakit buah pinggang dari Kuala Balah, Jeli untuk mendapatkan rawatan dialisis di Hospital Jeli selepas kawasan kediaman mereka dinaiki air sejak awal pagi semalam.

    Semua mangsa banjir berkenaan yang perlu menjalani rawatan dialisis dibawa menggunakan trak sejauh 300 meter untuk mendapatkan rawatan di Hospital Jeli.

    Ketua Balai Bomba Jeli, Adni Ibrahim berkata, semua pesakit berkenaan berusia antara 30-an hingga 40-an.

    “Kami terpaksa bantu mereka sebab laluan utama Jeli-Dabong, Kuala Krai dinaiki air sehingga 0.8 meter,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurut beliau, selain itu, pihaknya juga menyelamat seorang wanita awal 30-an yang menghidap penyakit darah tinggi serta batuk berdarah.

    Beliau berkata, wanita berkenaan juga terlantar dan terpaksa dibawa menggunakan pengusung dan semuanya dibawa ke Hospital Jeli untuk rawatan selanjutnya.

  • Banjir:100 penduduk berlindung lebih 12 jam atas bumbung surau

    Banjir:100 penduduk berlindung lebih 12 jam atas bumbung surau

    DIANGGARKAN 100 penduduk di Taman Sri Nanding terpaksa berlindung lebih 12 jam atas bumbung Surau Al Munir Taman Sri Nanding di Hulu Langat, hari ini, yang terperangkap akibat banjir.

    Seorang penduduk, Puteri Nadia Natasha Mohamed Ramzan, 24, berkata, perkara itu dimaklumkan seorang rakannya menerusi perkongsian video ketika berada di atas bumbung surau berkenaan.

    Menurutnya, penduduk terpaksa menyelamatkan diri di atas bumbung surau berikutan air naik pada paras tertinggi meskipun dalam keadaan kesejukan akibat hujan renyai.

    “Saya antara penduduk yang menetap di Taman Sri Nanding, namun sempat menyelamatkan diri keluar dari kawasan bencana.

    “Namun ada beberapa rakan yang tidak sempat keluar terpaksa berlindung atas bumbung surau sementara menunggu bantuan tiba,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian, hari ini.

    Puteri Nadia berkata, lebih menyedihkan apabila ada dalam kalangan bayi, wanita mengandung, pesakit kronik dan warga emas terpaksa menumpang teduh di atas bumbung terbabit.

    “Rumah kami kebanyakannya sudah tenggelam dan keadaan semakin teruk apabila air dari Sungai Pangsun melimpah deras ke penempatan penduduk.

    “Banyak kerugian harta benda dialami dan sebahagian kereta yang tidak sempat diselamatkan tenggelam selain operasi menyelamat berdepan kesukaran,” jelasnya.

    Katanya, pada masa ini penduduk mula dipindahkan dengan bantuan bot dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Surau Taman Perkasa.

    “Setakat jam 10 pagi tadi (Ahad) proses pemindahan penduduk ke lokasi lebih selamat masih dijalankan dan berharap semuanya dalam keadaan selamat,” katanya.