Author: Admin

  • Empat rumah hangus, lelaki redah api selamatkan keluarga

    Empat rumah hangus, lelaki redah api selamatkan keluarga

    SEORANG lelaki nekad meredah api untuk menyelamatkan ibu dan kakaknya selepas kediaman keluarganya terbakar dalam kejadian di sebuah penempatan tanah wakaf berhadapan Pangsapuri Bukit Piatu di Melaka malam tadi.

    Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu Cheah Wei Liang, 43, yang bekerja sebagai juruteknik turut mengalami melecur di dada dan lengan kirinya dalam kebakaran melibatkan empat rumah separa kayu yang berusia lebih 50 tahun.

    “Ketika kejadian, saya berada di rumah sendiri yang tidak jauh dari rumah ibu saya dan jiran memaklumkan ada rumah di sebelah rumah keluarga saya itu terbakar.

    “Saya cuba memadamkan kebakaran selepas mereka berdua berjaya keluar menyelamatkan diri namun api merebak dan marak dengan cepat hingga memusnahkan rumah ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Melaka lewat malam tadi.

    Katanya yang kini tinggal sehelai sepinggang, sebelum berlakunya kebakaran yang turut menjejaskan tiga lagi rumah, bekalan elektrik di kawasan tersebut mengalami gangguan sekitar 8 malam.

    Namun selepas bekalan elektrik pulih kira-kira hampir sejam kemudian, kebakaran tersebut berlaku.

    Sementara itu Pegawai Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Zulkhairani Ramli berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kebakaran sebuah rumah di kawasan tersebut pada 10.34 malam.

    Katanya tiga jentera dan sebuah jentera perkhidmatan perubatan kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh dan BBP
    Melaka Tengah dengan kekuatan 34 anggota dan pegawai dikerahkan ke lokasi.

    “Sebaik tiba, didapati api dari rumah pertama itu sudah merebak ke rumah kedua, tiga dan empat.

    “Bagaimanapun kami berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah lain dan semua enam penghuni rumah berusia antara 30-an dan 60-an terselamat sebelum api berjaya dikawal 11 minit kemudian. Tiada sebarang kecederaan serius dilaporkan,” katanya ketika ditemui di lokasi.

    Tambah beliau pihaknya berdepan sedikit cabaran untuk memadam kebakaran kerana jarak rumah berkembar yang rapat antara satu sama lain, sekali gus memudahkan api merebak dengan cepat.

    “Struktur binaan kayu menyebabkan api merebak dengan cepat di bahagian atas rumah namun kepantasan bomba berjaya mengelakkan ia merebak ke rumah lain,” katanya sambil menambah punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – Bernama

  • Najib lepaskan firma guaman Zaid

    Najib lepaskan firma guaman Zaid

    BEKAS perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak melepaskan firma guaman Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners daripada mewakilinya dalam rayuan SRC International.

    Peguam utama, Hisyam Teh Poh Teik memaklumkan perkara itu kepada Mahkamah Persekutuan ketika perbicaraan bersambung hari ini, lapor FMT.

    “Peguam cara telah dilepaskan oleh perayu (Najib),” katanya.

    Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, yang mempengerusikan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan, kemudian berkata mahkamah mengambil maklum perkara ini dan memerintahkan pendakwa ad-hoc V Sithambaram meneruskan hujahanny

    Terdahulu Warta Rakyat pada 26 Julai melaporkan, Najib melantik Hisyam Teh sebagai peguam utama bagi mewakilinya dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd.

    Pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Najib, selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International.

    Hisyam ialah peguam Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang berdepan 47 pertuduhan membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi.

  • Sindiket pelacuran wanita Afrika tumpas

    Sindiket pelacuran wanita Afrika tumpas

    SINDIKET pelacuran melibatkan wanita dari benua Afrika yang beroperasi di sebuah kondominium di Cyberjaya, ditumpaskan dalam serbuan pukul 4 petang semalam.

    Serbuan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya berjaya memberkas 10 wanita terdiri daripada tujuh wanita Tanzania dan tiga wanita Uganda.

    Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya merampas sembilan pasport, 13 buah telefon bimbit, satu kad akses, satu kad pelajar, empat set kondom dan sembilan buah buku nota yang merekodkan bukti langganan seks.

    “Siasatan awal mendapati sembilan wanita ini masuk ke Malaysia secara sah sebagai pelancong dan seorang lagi masuk sebagai pelajar antarabangsa di sebuah pusat bahasa di Kuala Lumpur.

    “Daripada kesemua tangkapan ini, dua wanita Tanzania dan Uganda telah dikenal pasti merupakan ‘mummy’ iaitu orang tengah dalam aktiviti pelacuran ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, sindiket ini menyasarkan pelanggan daripada kalangan pelajar antarabangsa dan lelaki benua Afrika terutamanya dari Nigeria dengan kadar bayaran RM200 hingga RM500.

    Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan dalang sebenar di sebalik kegiatan pelacuran serta rangkaian sindiket ini.

    “Kesemua wanita berusia 23 hingga 37 tahun itu telah dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Tambahnya, orang ramai diminta untuk terus bekerjasama dan menyalurkan aduan berkaitan aktiviti warga asing yang tidak bermoral dan melanggar undang-undang supaya tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan.

  • SPRM dalam tindakan selesaikan kes LCS, kata Azam Baki

    SPRM dalam tindakan selesaikan kes LCS, kata Azam Baki

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih dalam tindakan untuk menyelesaikan siasatan berhubung skandal perolehan kapal tempur pesisir (LCS), kata Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki.

    “Pihak SPRM telah membuka beberapa kertas siasatan berkenaan kes itu.

    “Siasatan masih dijalankan dan kita ada buka beberapa kertas siasatan di mana salah satu kertas siasatan telah dilengkapkan dan individu berkenaan telah dituduh di mahkamah.

    “Setiap kertas siasatan yang telah dilengkapkan akan diserahkan kepada pihak Pejabat Peguam Negara untuk kajian sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Azam bagaimanapun tidak mendedahkan siapa individu terlibat sama ada ia mengaitkan orang politik mahupun orang awam.

    Pada Selasa, bekas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Noor, 78, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan pecah amanah projek LCS membabitkan dana syarikat bernilai lebih RM21 juta.

    Pada 11 Ogos lalu, SPRM telah mencadangkan beberapa nama kepada Pejabat Peguam Negara untuk didakwa.

    Sebelum itu, pada 4 Ogos, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengumumkan sembilan rumusannya sebagai punca kepincangan projek LCS bernilai RM9 bilion.

    Melalui laporan berkenaan, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.

  • Kes SRC: Tiada siapa tahu apa berlaku terhadap ‘pembekuan’ RM3.6 bilion

    Kes SRC: Tiada siapa tahu apa berlaku terhadap ‘pembekuan’ RM3.6 bilion

    PIHAK pendakwaan dalam rayuan akhir Datuk Seri Najib Razak berkait kes SRC International memberitahu Mahkamah Persekutuan bahawa, tiada siapa tahu apa berlaku terhadap sebahagian besar RM4 bilion milik Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), selepas ia dipindahkan ke bank luar negara.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Pendakwaraya ad hoc, Datuk V Sithambaram berkata, “sebahagian besar daripada RM4 bilion”, atau RM3.6 bilion telah dihantar ke Bank BSI di Lugano, Switzerland pada 2012.

    Sejumlah RM4 bilion telah dipindahkan daripada KWAP kepada SRC antara 2011 dan 2012.

    “Kini dana itu nampaknya dibekukan oleh pihak berkuasa Switzerland,” katanya.

    Sithambaram menegaskan perkara itu semasa perbicaraan bekas menteri kewangan kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah ingin terbang ke Switzerland untuk menyelesaikan isu dana dibekukan itu dan seterusnya membawa pulang wang tersebut.

    Bagaimanapun, katanya, Najib telah menolak permintaan Husni.

    “Perayu (Najib) berkata (semasa perbicaraan) Husni tidak mempunyai ‘perancangan yang betul’. Ini terbukti ia tidak dapat diselesaikan walaupun Najib melepaskan jawatan (pada 2018),” katanya.

    Sithambaram berkata, pinjaman RM4 bilion daripada KWAP bertujuan untuk melaksanakan kerja memenuhi dasar tenaga negara.

    “Bagaimanapun, wang itu tidak digunakan untuk ini dan tidak ada satu projek pun diusahakan oleh SRC International,” katanya.

    Perbicaraan diteruskan di hadapan panel Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat. Panel lain terdiri Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim Nallini Pathmanathan, Mary Lim dan Zabidin Mohamad Diah.

    Najib berusaha untuk membatalkan sabitan atas kesalahan salah guna kuasa, pengubahan wang dan pecah amanah jenayah ke atas dana SRC berjumlah RM42 juta yang dimasukkan ke akaun banknya.

    Sabitan beliau dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Dis tahun lalu, begitu juga hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

  • Tiga termasuk pemuda Amanah, PKR terbabit perhimpunan kenaikan harga barang didakwa

    Tiga termasuk pemuda Amanah, PKR terbabit perhimpunan kenaikan harga barang didakwa

    DUA aktivis politik dan seorang presiden kesatuan pelajar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini secara berasingan, atas tuduhan selaku penganjur, gagal memaklumkan kepada polis mengenai perhimpunan membantah kenaikan harga barang di ibu negara, pada bulan lalu.

    Mereka yang didakwa adalah Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd. Hasbie Muda, 35, Ketua Angkatan Muda (AMK) PKR Cabang Batu, Muhammad Sabda Suluh Lestari Yahya, 33, dan Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa (KPUIAM), Mohamad Aliff Naif Mohd Fizam, 24.

    Kesemua mereka membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Wong Chai Sia, S Mageswary dan Aina Azahra Arifin, lapor Astro Awani.

    Mengikut pertuduhan, mereka didakwa gagal memberitahu polis Dang Wangi lima hari sebelum mengadakan perhimpunan berkenaan di Masjid Jamek, Kampung Baru, Jalan Raja Alang dan hadapan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman, pukul 2 dan 3.30 petang, pada 1, 9 serta 23 Julai lalu.

    Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 9(5) akta sama dan jika disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda maksimum RM10,000.

    Mereka diwakili peguam, Faiz Fadzil; Bryan Ng dan Asheeq Ali, sementara pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Aris Kamaluddin; Mohd Radzi Shah dan Muhamad Zuraidi Zulkifli.

    Mahkamah memerintahkan Mohd. Hasbie dan presiden kesatuan pelajar itu masing-masing diikat jamin RM3,000, manakala jaminan RM7,000 dikenakan terhadap Muhd Sabda Suluh Lestari tanpa sebarang syarat tambahan.

    Sebutan kes Mohd. Hasbie ditetapkan pada 22 September ini, Muhd. Sabda Suluh Lestari (28 September) dan Mohamad Aliff Naif (21 September).

    Turut hadir, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan timbalannya, Datuk Salahuddin Ayub bagi memberi sokongan kepada Mohd Hasbie, manakala Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil hadir sebagai tanda solidariti bersama Muhammad Sabda Suluh Lestari.

    Media sebelum ini melaporkan himpunan itu dipercayai dianjurkan bagi menyatakan protes terhadap peningkatan harga barang sejak kebelakangan ini yang disifatkan sebagai menekan rakyat terutama golongan kurang berkemampuan.

  • Curi seluar dalam wanita guna kayu, penganggur dipenjara 2 tahun

    Curi seluar dalam wanita guna kayu, penganggur dipenjara 2 tahun

    ANGKARA mencuri seluar dalam wanita, seorang lelaki dikenakan hukuman penjara 24 bulan oleh Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, hari ini.

    Hukuman diputuskan Majistret Jessica Ombou Kakayun ke atas Muhammad Rizal Richard Abdullah, 39, selepas tertuduh mengaku salah atas pertuduhan itu.

    Tertuduh didakwa mencuri pakaian dalam wanita di Taman Puncak, Menggatal, Kota Kinabalu, pada pukul 1.39 pagi, 11 Ogos lalu.

    Kejadian itu dirakam menerusi rakaman litar tertutup (CCTV) yang memaparkan tertuduh dengan tidak memakai baju mencuri pakaian dalam wanita menggunakan sebatang kayu di beranda belakang rumah mangsa sebelum laporan polis dibuat.

    Muhammad Rizal ditahan di rumahnya pada 13 Ogos lalu dan pemeriksaan menemui 10 jenis pakaian dalam wanita dalam simpanan tertuduh.

    Pertuduhan dilakukan Inspektor Albert Basiri selaku pegawai pendakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    Terdahulu ketika rayuan, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nabila Norsahar, meminta hukuman ringan memandangkan Muhammad Rizal mengaku bersalah dan menyesal atas perbuatannya.

    Nabila menegaskan tertuduh sudah bercerai dan mempunyai dua anak selain tidak bekerja dan dibiayai keluarganya.

    Namun, pegawai pendakwa meminta hukuman berat dikenakan memandangkan tertuduh melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab terhadap wanita.

    Menurut laporan BH Online, Albert juga menekankan bahawa kesalahan sebegitu amat memalukan golongan lelaki, malah semasa ditahan tertuduh didapati memakai seluar dalam wanita itu.

  • Hak saya untuk hidup, kebebasan, perbicaraan adil di hujung tanduk – Najib

    Hak saya untuk hidup, kebebasan, perbicaraan adil di hujung tanduk – Najib

    BEKAS perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan bahawa hak beliau sudah terjejas selepas Mahkamah Persekutuan hari ini tidak membenarkan peguamnya, Hisyam Teh Poh Teik menarik diri daripada rayuan kes SRC International.

    “Saya ingin merakamkan bantahan sekeras-kerasnya berhubung prosiding rayuan hari ini, yang mana hak saya untuk hidup, kebebasan, dan perbicaraan adil di hujung tanduk.

    “Seperti anda sedia maklum, peguam saya memaklumkan bahawa beliau tidak mahu meneruskan rayuan saya kerana mempunyai masa yang terhad untuk membuat persiapan…Malangnya, mahkamah tidak membenarkan,” katanya yang dipetik Free Malaysia Today.

    Sebelum itu, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang mengetuai panel lima hakim berkata, mahkamah sebulat suara berpendapat Hisyam “gagal mendedahkan alasan kukuh” untuk mewajarkan permohonan menarik diri.

    Akibatnya, kata Najib, beliau tiada peguam dan tidak mampu membela dirinya di mahkamah hari ini. Hanya pihak pendakwaan mengemukakan kes.

    Najib menambah perkembangan ini, yang mana tertuduh tiada peguam untuk mewakili kesnya sama sekali tidak pernah berlaku dalam kes berprofil tinggi seperti kes beliau.

    “Perkara ini amat berat. Saya berharap mahkamah pertimbangkan hal ini dan mengambil langkah-langkah untuk membetulkan keadaan,” tegasnya.

    Sementara itu, Hisyam pada sidang media sama berkata, beliau tidak nampak bagaimana boleh beliau menjalankan tugas-tugas sebaik mungkin selaku peguam Najib, memandangkan tiada masa secukupnya untuk menghadapi perbicaraan.

    Hisyam hanya dilantik kurang sebulan lalu.

    “Maka, dalam keadaan ini, saya tidak dapat memainkan peranan dengan berkesan. Jadi, pada dasarnya, Najib tidak diwakili,” katanya.

    Terdahulu, rayuan Najib kepada Mahkamah Persekutuan bagi kes SRC International dimulakan dengan permohonan daripada Hisyam yang memohon untuk menarik diri daripada mewakili bekas perdana menteri itu.

    Hisyam memberitahu mahkamah bahawa pasukannya perlukan masa “tiga hingga empat bulan” untuk membuat persiapan, memandangkan mereka baru dilantik bulan lepas.

    Permohonan beliau bagaimanapun ditolak.

    Kes diteruskan dengan Hisyam terpaksa bergantung kepada hujah pasukan peguam terdahulu.

    Mahkamah kemudian meminta pendakwaraya, V Sithambaram, berhujah.

  • Serang rumah bekas isteri dengan ‘molotov cocktail’, pemilik restoran popular Singapura dipenjara

    Serang rumah bekas isteri dengan ‘molotov cocktail’, pemilik restoran popular Singapura dipenjara

    SEORANG lelaki warga Singapura bertindak memandu ke rumah bekas isterinya semasa tempoh pemutus litar (circuit breaker) sebelum melempar bom api menyebabkan kerosakan pada kediaman tersebut.

    Singapura melaksanakan tempoh pemutus litar antara 7 April dan 1 Jun 2020 untuk mengekang penularan COVID-19.

    Lelaki itu, Ismail Didih Ibrahim merupakan seorang pemilik restoran popular Hajah Maimunah di Jalan Pisang, dekat Arab Street dan melakukan perbuatan tersebut kerana tidak berpuas hati.

    Tetapi dokumen mahkamah menyatakan bahawa pada masa kesalahan itu dilakukan, dia merupakan pengurus kedai makan milik ibu bapanya.

    Susulan itu Ismail, 37, pada Khamis dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan perbuatan khianat dengan api atau bahan letupan dengan niat untuk menyebabkan kerosakan, serta kesalahan di bawah Akta Covid-19 (Sementara).

    Menurut Astro Awani yang memetik laporan Agensi, Ismail dan bekas isterinya berkahwin pada 2017 tetapi bercerai dua tahun kemudian.

    Kerana mahu membalas dendam, dia memandu ke rumah wanita itu di Telok Kurau pada 12 Mei 2020, membawa bersama beberapa senjata termasuk sebotol pencair (thinner) dan tin semburan cat hitam.

    Dia juga membawa baju hujan bagi tujuan penyamaran.

    Wanita itu dan ahli keluarganya tidak menyedari kejadian tersebut pada mulanya kerana mereka berada di tingkat atas.

    Seorang jiran mereka, terlihat api dan cuba memadamkannya sendiri sebelum memaklumkan kepada keluarga mangsa.

    Kebakaran itu menyebabkan kerugian kira-kira SG$6,000 (RM19,387).

    Ismail telah membuat pembayaran balik sukarela sebanyak SG$5,000 (RM16,156) kepada bekas isterinya dan menderma SG$3,000 kepada tiga badan amal pilihannya.

    Kejadian itu tidak mengakibatkan kecederaan tetapi bekas isteri Ismail menjadi trauma sehingga terpaksa menghadiri sesi kaunseling.

    Keluarganya juga membelanjakan kira-kira SG$600 (RM1,938) untuk memasang kamera CCTV di sekitar rumah mereka kerana tidak berasa selamat selepas kejadian itu.

    Tiga pakar psikiatri yang merawat Ismail mengesahkan dia mengalami gangguan kemurungan yang teruk.

    “Setelah semakan laporan, didapati idea untuk menyerang rumah mangsa dengan molotov cocktail berkemungkinan bersifat impulsif, namun serangan itu adalah disengajakan dan menunjukkan perancangan teliti, bukan didorong kemurungannya,” kata pendakwa raya.

    Ikat jamin Ismail ditetapkan SG$20,000 (RM64,624) hari ini dan dia diperintahkan menyerah diri pada 14 September untuk mula menjalani hukuman.

  • Jurukimpal ditahan langgar kereta secara mengundur

    Jurukimpal ditahan langgar kereta secara mengundur

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS menahan seorang jurukimpal yang bertindak memandu secara mengundur dan melanggar sebuah kereta di Taman Megah Ria, Masai, Johor Bahru, pada minggu lalu.

    Suspek yagn berusia 53 tahun ditahan di kediamannya di Permas pada pukul 10.30 malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, punca kejadian berlaku disebabkan kenderaan Proton Wira milik suspek bergesel dengan pintu kereta sebuah lagi.

    “Ssuspek kemudian meminta tuntutan ganti rugi kepada pemandu kenderaan terbabit, tetapi tidak dihiraukan.

    “Akibat perselisihan faham itu, suspek bertindak melanggar kenderaan terbabit sebelum melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mohd. Sohaimi berkata, suspek kemudian berjaya ditahan berdasarkan nombor pendaftaran kereta.

    Katanya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan tidak mengambil tindakan yang boleh membahayakan orang awam.