Author: Admin

  • Cadang PN, PH, pembangkang tubuh gabungan sempena PRN Johor

    Cadang PN, PH, pembangkang tubuh gabungan sempena PRN Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PERIKATAN Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan parti pembangkang lain yang mahu bertanding dalam Pilihanraya Negeri Negeri (PRN) Johor perlu berada di bawah satu gabungan atau blok yang sama bagi memastikan kemenangan.

    Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Johor Bahru, Razrul Anwar Rusli mencadangkan blok berkenaan dinamakan sebagai Muafakat Rakyat Johor (MRJ) atau Gabungan Rakyat Johor (GRJ) bagi memastikan tidak bertembung antara satu sama lain.

    Jelas beliau, gabungan itu nanti terdiri daripada Bersatu, PH, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Warisan Sabah (Warisan).

    “Formula gabungan PH sebelum ini berjaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Kemuafakatan dalam parti dan rakan seperjuangan adalah kunci kejayaan untuk menang dalam PRN Johor.

    “Mana-mana parti yang menentang Barisan Nasional (BN) mesti berada di bawah satu panji. Jika tidak, sia-sia sahaja kerana kemenangan akan berpihak kepada UMNO,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Semalam, Majlis Presiden PH menerusi satu kenyataan bersama-sama menyatakan hasrat mereka bergabung dengan parti pembangkang lain yang mahu bertanding dalam PRN Johor supaya bersama-sama di bawah satu khemah besar.

    DUN Johor dibubarkan Sabtu lalu selepas mendapat perkenan Sultan Johor dan pada Isnin, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan akan mengadakan mesyuarat khas berkaitan PRN Johor pada 9 Februari ini
    yang dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh.

    Mengulas lanjut, Razrul Anwar berkata, formula meletakkan PN, PH dan parti pembangkang di bawah satu panji adalah relevan dan dilihat formula terbaik untuk menang PRN tersebut.

    “Kitakan nak tentang rasuah dan pemimpin tiada integriti. Kenapa tak boleh dalam satu ’cause’. Kita buktikan kepada rakyat Johor akan tindakan maufakat kita. Tidak mustahil muafakat ini akan dapat menumbangkan BN sekali lagi,” katanya.

  • Polis tahan lelaki, rampas 180 mesin bitcoin

    Polis tahan lelaki, rampas 180 mesin bitcoin

    SEORANG lelaki ditahan kerana terlibat dalam kegiatan perlombongan Bitcoin dan merampas 180 mesin di sebuah premis di Persiaran Putra, Langkawi, semalam.

    Sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi menahan suspek warga tempatan berusia 28 tahun itu di Taman Simfoni pukul 12.05 tengah malam.

    Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, pihaknya dibantu lelaki terbabit membuka pintu di sebuah premis sebelum menemui peralatan disyaki digunakan untuk perlombongan mata wang digital bitcoin.

    “Polis turut menemui bukti berlaku penyambungan elektrik secara haram dalam premis terbabit sehingga menyebabkan kerugian pada Tenaga Nasional Berhad (TNB). Serbuan dan pemeriksaan turut disertai kakitangan Teknikal TNB.

    “Antara barangan rampasan termasuk mesin bitcoin sebanyak 180 unit, modem wifi (tiga), penyambung internet (lapan) dan router (satu),” katanya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 379 dan 427 Kanun Keseksaan.

  • Malaysia komited perangi perhambaan moden

    Malaysia komited perangi perhambaan moden

    MALAYSIA komited untuk terus memerangi perhambaan moden secara holistik agar mangsanya dapat dilindungi, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

    Beliau berkata, fokus kerajaan bukan semata-mata untuk mengurus kemasukan pekerja asing tetapi melihat kaedah berkesan untuk mengurangkan masalah pemerdagangan manusia dan buruh paksa.

    “Jadi sebab itu saya hadir bersama tokoh-tokoh dari negara kita. Saya bawa mereka untuk selesaikan masalah perundangan dalam waktu sama mahu maklumkan apa yang kita lakukan,” katanya.

    Hamzah berkata demikian di majlis makan malam bersama lebih 100 diaspora Malaysia di Jakarta semalam sempena lawatan kerjanya.

    Beliau diiringi Kuasa Usaha Kedutaan Malaysia di Indonesia Adlan Mohd Shaffieq, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud.

    Hamzah turut menjelaskan pemerdagangan manusia dan buruh paksa merupakan isu rentas sempadan yang berlaku di kebanyakan negara sama ada negara maju atau membangun.

    Bagaimanapun, perkara ini masih belum dapat diselesaikan meskipun terdapat pelbagai undang-undang yang digubal Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

    Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata, kerajaan sedang memperbaharui pengurusan pekerja asing dengan memperkenalkan sistem e-locker dan menubuhkan Pasukan Nukleus Single Border Agensi untuk memantapkan kawalan pintu-pintu masuk negara.

    Program Malaysia My Second Home atau MM2H turut ditambah baik untuk memastikan hanya warga asing yang berkualiti layak menikmati kemudahan itu.

    “Kami akan berusaha sehabis baik untuk memperbetulkan masalah-masalah sempadan negara,” tegas Hamzah.

    Dalam rangka lawatannya, Hamzah telah mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat Indonesia, Muhammad Tito Karnavian dan Menteri Kelautan dan Perikanan, Sakti Wahyu Trenggono.

    Beliau berkata, Malaysia dan Indonesia bersepakat membanteras penangkapan ikan secara haram di sempadan perairan kedua negara melalui rondaan bersama.

    “Operasi yang dilakukan bukan untuk mencegah nelayan negara lain, tetapi nelayan dari negara kita sendiri yang tidak mahu mengikuti undang-undang,” katanya. – Bernama

  • Polis cari dua lelaki bantu siasatan kes tetak dua beranak

    Polis cari dua lelaki bantu siasatan kes tetak dua beranak

    POLIS sedang mengesan dua individu bagi membantu siasatan berhubung kes tetak dua beranak menggunakan parang di Taman Jimah Jaya Site C, Chuah, Port Dickson pada 16 Januari lepas.

    Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supritendan Aidi Sham Mohamed berkata, individu berkenaan ialah V Vithyathran, 32, yang beralamat di Taman Springhill, Rantau dan B Selvam, 21, dari Taman Jaya Lukut, Port Dickson.

    Beliau berkata polis telah menahan enam lelaki dalam lingkungan 17 hingga 25 tahun antara pukul 4.40 pagi 16 Januari 9.30 malam 18 Januari lepas di sekitar Lukut dan Port Dickson yang disyaki turut terlibat dengan kes itu dan merampas dua motosikal dan sebilah parang yang disyaki digunakan untuk mencederakan mangsa.

    “Semakan rekod lampau dapati lima daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala hasil ujian saringan air kencing mendapati seorang positif ganja dan ketika kejadian mereka berada dalam keadaan pengaruh alkohol.

    Kesemua mereka telah direman selama lapan hari sehingga semalam. Arahan pertuduhan juga dikeluarkan terhadap dua daripada mereka dan seorang masih bebas manakala empat yang lain dijadikan sebagai saksi pendakwaan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

    Aidi Sham berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 326 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 3.43 pagi pada 16 Januari lepas, seorang lelaki berusia 46 tahun dan anak lelakinya, 16, dilaporkan cedera parah di bahagian badan dan tangan akibat diserang sekumpulan lelaki bermotosikal.

    Aidi Sham berkata mereka juga merosakkan kenderaan milik keluarga mangsa dengan memecahkan cermin kereta dan tingkap sebelum melarikan diri. – Bernama

  • Premis keluarkan produk kesihatan, ubatan tradisional guna logol halal tidak sah diserbu

    Premis keluarkan produk kesihatan, ubatan tradisional guna logol halal tidak sah diserbu

    PEJABAT Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang merampas pelbagai bahan yang digunakan untuk menghasilkan barangan kesihatan serta ubatan tradisional yang menggunakan logo halal tidak diperakukan.

    Rampasan bernilai kira-kira RM54,000 itu dilakukan susulan serbuan ke atas sebuah premis yang mengeluarkan produk tersebut di Bukit Tengah dekat Bukit Mertajam, kira-kira pukul 11 pagi semalam.

    Pengarah PPDNHEP Pulau Pinang, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, serbuan hasil aduan daripada orang ramai itu berjaya merampas sebanyak 4,392 unit minyak bijan; 3,192 unit minyak biji sawi; 7,968 unit air ros; 2,580 unit air lemuju (air tonik atau herba) dan 5,916 unit kapur.

    “Secara keseluruhan, jumlah sitaan atau rampasan barangan itu dianggarkan bernilai RM54,402.90,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Mohd. Ridzuan, kes itu disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama untuk kategori bukan pertubuhan atau perbadanan.

    Serbuan ke atas sebuah premis yang mengeluarkan produk tersebut di Bukit Tengah dekat Bukit Mertajam, kira-kira pukul 11 pagi semalam.

    Katanya, kesalahan kedua dan seterusnya bagi kategori yang sama boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    Bagi pertubuhan atau perbadanan pula tambah beliau, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM200,000 bagi kesalahan pertama dan RM 500,000 bagi kesalahan kedua atau berikutnya.

    “Sehubungan itu, kita mengingatkan para peniaga supaya lebih beretika serta tidak menggunakan penandaan halal yang tidak diperakui oleh pihak berkuasa.

    “Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka jika didapati bersalah menggunakan logo halal tanpa kebenaran,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau turut menggesa orang ramai melaporkan kesalahan tersebut dengan menghubungi bilik gerakan PPDNHEP Pulau Pinang di talian 04-3840245 atau melalui portal e-aduan atau melalui aplikasi Whatsapp di nombor 019-2794317.

  • Tular lori tanah rempuh enam kenderaan

    Tular lori tanah rempuh enam kenderaan

    SEBUAH lori yang mengalami masalah brek merempuh enam buah kenderaan berhampiran Kondominium Pantai Hill Park, Jalan Kerinchi, Kuala Lumpur petang semalam.

    Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik(JSPT) Kuala Lumpur Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, pihaknya menjalankan siasatan selepas menerima video tular berkaitan kejadian pukul 4.20 petang.

    Kejadian tersebut dirakam penduduk berhampiran sebelum tular dalam Facebook sejak semalam.

    “Siasatan mendapati kemalangan kira-kira jam 1.30 petang itu berlaku semasa sebuah lori yang membawa muatan tanah dari arah tapak pembinaan berhampiran Kondominium Pantai Hill Park.

    “Ketika melalui Jalan Kerinchi berhampiran lampu isyarat pejalan kaki, sistem brek lori berkenaan dipercayai gagal berfungsi lalu melanggar kenderan yang sedang dipakir di bahu kiri jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, pelanggaran itu mengakibatkan kenderaan terbabit menggelongsor serta melanggar kenderaan lain.

    “Siasatan turut mendapati lori tersebut juga telah melanggar tiga kenderaan lain yang sedang berhenti di lampu isyarat.

    “Bagaimanapun, semua pemandu kenderaan terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

    Menurutnya, pemandu lori berusia 49 tahun itu ditahan selepas kejadian dan menjalani ujian pernafasan alkohol (EBA).

    “Hasil dari ujian mendapati pemandu tidak berada di bawah pengaruh alkohol dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk ujian saringan air kencing dan keputusannya negatif,” katanya.

    Tambahnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999.

    “Selain itu, orang ramai turut boleh menghubungi Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana- mana balai polis berhampiran,” katanya.

  • Tercampak 14 meter, suami isteri maut nahas jalan raya

    Tercampak 14 meter, suami isteri maut nahas jalan raya

    SEPASANG suami isteri terbunuh dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di jalan Inderasabah, Tawau, semalam.

    Semasa kejadian pukul 1.30 petang, Al Sebal Warid, 29, dan isterinya Nurul Aidil Fitri Nordin, 29, menaiki motosikal dari Inderasabah menuju ke Taman Sawit.

    Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Umbuas berkata, sementara kenderaan Isuzu Jeep dipandu lelaki berumur 29 tahun yang bekerja sebagai nelayan, sedang dalam perjalanan dari Taman Sawit ke Inderasabah.

    “Tiba di lokasi kejadian, Isuzu Jeep berkenaan cuba memotong dua buah kenderaan dihadapannya sebelum bertembung dengan motosikal yang dinaiki mangsa.

    “Isuzu Jeep tersebut cuba mengelak ke bahu jalan, namun kerana jarak yang terlalu dekat, motosikal yang dipandu mangsa terlanggar hadapan kiri kenderaan tersebut.

    “Akibat nahas itu, pembonceng motosikal tercampak lebih kurang 14 meter dari bahu jalan dan maut di lokasi kejadian,” katanya.

    Sementara penunggang motosikal dikejarkan ke Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal di Wad Kecemasan Hospital Tawau ketika menerima rawatan.

    Bagaimanapun, pemandu Isuzu Jeep bersama seorang lagi penumpang kenderaan tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Pemandu Isuzu Jeep kini ditahan untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • Tular banjir lagi di Taman Sri Muda

    Tular banjir lagi di Taman Sri Muda

    TIDAK sampai sebulan beberapa kawasan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam sekali lagi dinaiki air susulan hujan lebat 3 petang tadi.

    Difahamkan limpahan air berlaku berikutan longkang yang tersumbat sehingga menyebabkan air hujan tidak dapat mengalir dengan lancar.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam mendapati limpahan air berlaku berdekatan kolam kumbahan berhampiran sebuah pangsapuri.

    “Jalan berkenaan masih boleh dilalui kenderaan dan air melimpah berkemungkinan akibat longkang yang tersumbat.

    “Tinjauan juga mendapati air sudah mula surut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Terdahulu satu rakaman tular dalam Twitter menunjukkan kenaikan air di sebuah jalan di kawasan Taman Sri Muda bagaimanapun ia masih boleh dilalui kenderaan.

    Pada Disember tahun lalu, kawasan Taman Sri Muda antara yang terkesan teruk akibat banjir yang menyebabkan ribuan penduduk terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

    Banjir yang tidak dijangka itu dikatakan berpunca daripada hujan lebat luar biasa.

  • Babi hutan ‘serang’ Kampung Kelongkong

    Babi hutan ‘serang’ Kampung Kelongkong

    KIRA-KIRA 400 penduduk Kampung Kelongkong, Tanjung Kling, Melaka resah apabila penempatan mereka ‘diserang’ sekumpulan babi hutan sejak sebulan lepas.

    Seorang pemilik kebun, Abu Bakar Japar, 65, berkata beliau mengalami kerugian apabila pokok pisang dan ubi yang ditanamnya musnah akibat disondol haiwan itu yang berkeliaran mencari makanan di kawasan kebunnya.

    “Rasa seperti hendak putus asa pun ada, sebab sudah berbulan saya usahakan kebun itu,” katanya dan menambah beliau juga terpaksa membawa lastik setiap kali keluar rumah sebagai langkah berjaga-jaga jika diserang haiwan itu.

    Seorang lagi penduduk, Rahimah Kassim, 76, berkata dia tidak pernah melihat kemunculan babi dengan jumlah yang banyak dan kerap sepanjang lebih 50 tahun tinggal di kampung berkenaan, dan kehadiran haiwan itu sejak bulan lepas amat mengejutkan.

    “Dah lama mak cik duduk (tinggal) sini… memang perasan sejak bulan lepas banyak babi berkeliaran. Setiap hari ada sahaja mak cik nampak penduduk berlari ke sana sini kejar babi,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tanjung Kling Khairulazni Baharuddin berkata perkara itu telah dilaporkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka bagi tindakan lanjut.

    Semalam, tular di laman sosial klip video dirakam penduduk yang memaparkan babi hutan berkeliaran di hadapan sebuah rumah sehingga menimbulkan suasana cemas.- Bernama

  • Warga emas ditemui mati dengan dua kesan tikaman

    Warga emas ditemui mati dengan dua kesan tikaman

    SEORANG warga Filipina ditemukan mati dengan dua kesan tikaman dalam kejadian di sebuah pondok berhampiran Jambatan 15, Kampung Sim-Sim, Sandakan, hari ini.

    Lelaki warga emas berusia 69 tahun itu ditemui dalam keadaan terlantar dan berlumuran darah oleh anaknya pada pukul 6 pagi.

    Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd. Azhar Hamin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 7.40 pagi dan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan bergegas ke lokasi kejadian.

    “Sebaik tiba, terdapat mayat seorang lelaki terlantar dengan kesan tikaman di bahagian dada.

    “Kejadian disedari oleh anak lelakinya yang pergi ke pondok itu untuk berniaga dan sebaik tiba didapati mangsa telah mati dengan kesan darah di dada mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, mangsa merupakan seorang peniaga sayur-sayuran dan sudah berkahwin serta mempunyai dua anak.

    “Mangsa kali terakhir ditemui masih hidup kira-kira pukul 5.30 petang semalam, di mana anak mangsa ada berjumpa serta berbual dengannya di hadapan gerai mereka.

    “Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif dan punca kejadian,” katanya.

    Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu tampil memberikan maklumat.