Author: Admin

  • Pilih pemimpin tidak berintegriti satu perbuatan khianat – Presiden PAS

    Pilih pemimpin tidak berintegriti satu perbuatan khianat – Presiden PAS

    MEMILIH pemimpin yang tidak berintegriti dan mengamalkan rasuah merupakan suatu bentuk perbuatan khianat yang akan menghancurkan negara serta dunia.

    Memetik laporan Sinar Harian. Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pemimpin yang tidak berintegriti akan menguasai ekonomi negara lalu menggunakannya bagi merosakkan politik, urusan pentadbiran dan kehakiman.

    “Malah, mereka juga golongan yang paling besar merosakkan politik dan ekonomi negara, majoritinya daripada kalangan bukan Islam dan bukan bumiputera.

    Islam mendidik para penganutnya bahawa harta haram itu bukan sahaja berdosa kepada semua yang digunakan olehnya, sehinggakan menjadi umpan neraka yang membakar dirinya.

    “Selain itu, harta haram juga tidak membawa apa-apa berkat, satu perkataan yang tiada dalam kamus bahasa lain selain daripada bahasa al-Quran,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

    Menurutnya, sifat integriti itu hanya terdapat dalam kalangan mereka yang beriman serta budiman dan bukan hanya sekadar mempunyai ilmu sahaja.

    “Semua ciri-ciri itu tidak berupaya kerana dipenuhi oleh ideologi ciptaan manusia yang tidak kebal dalam menghadapi penyakit seperti rasuah.

    “Semua pihak yang ada kaitan dengan penyelewengan rasuah adalah berdosa besar. Bukan sahaja penerima rasuah termasuklah pemberi rasuah yang memulakannya juga berdosa besar dan bersalah.

    “Bahkan, semua pihak yang mempunyai kaitan dengan perbuatan tersebut turut bersalah dan sama-sama berdosa besar. Oleh itu, sepatutnya semua golongan yang terlibat dengan rasuah mestilah dihapuskan,” ujarnya.

    Beliau berkata, usaha menangani rasuah wajib dilakukan secara holistik supaya tidak menjadi wabak apabila diambil tindakan yang tidak menyeluruh sehingga ke akar umbinya.

    “Tindakan ini perlu diambil terhadap mereka yang menjadi punca rasuah kerana mengejar harta secara haram.

    “Tiada kebaikan dunia bagi diri, keluarga, masyarakat dan negara yang tersentuh dengannya (rasuah), hanya sekadar menjadi hiasan dan pemuas nafsu.

    “Selepas itu, hanya menjadi sampah, besi buruk yang hancur lebur, atau menjadi najis daripada isi perut yang menjadikan jasadnya lebih hina daripada najis itu.

    “Kelak, di akhirat juga menjadi bahan bakar api neraka yang membakar diri sekiranya tidak bertaubat atau tidak dihukum dengan adil ketika hidup di alam dunia,” katanya. 

  • Zahid Hamidi terdesak mahu segera adakan PRU-15:Bersatu Johor

    Zahid Hamidi terdesak mahu segera adakan PRU-15:Bersatu Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor menyifatkan desakan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya segera melakukan Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15) sebagai kenyataan yang terdesak.

    Ketua Badan Pimpinan Bersatu Johor, Datuk Dr. Saahruddin Jamal berkata, kenyataan tersebut menunjukkan Presiden UMNO itu sanggup menekan kerajaan pimpinan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO agar disegerakan PRU-15 dengan alasan UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan tewas PRU dilengahkan.

    “Mendakwa seteru UMNO ‘menyerang’ parti tersebut menggunakan pelbagai persepsi atau isu kononnya untuk menggugat keyakinan akar umbi. Walhal sebenarnya, UMNO kini tidak tertanggung dengan persepsi atau isu yang telah ditimbulkan oleh kumpulan kluster dalam parti terbabit.

    “Sekiranya dilengahkan PRU, mungkin lebih banyak pembongkaran yang berlaku dan UMNO tidak akan mampu untuk menanggung segala permasalahan yang timbul. Sebab itu menyelamatkan diri masing-masing mutakhir ini,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

    Hari ini, Ahmad Zahid menuntut PRU-15 diadakan segera kerana bakal menjejaskan peluang BN sekiranya ditangguhkan.

    Sahruddin yang juga bekas Menteri Besar Johor berkata, rakyat kini semakin celik politik dan tidak perlu manipulasi situasi dengan menyalahkan pihak lain kerana kebimbangan UMNO itu sendiri yang kian rebah akibat kelakuan tidak bermoral kumpulan kluster.

  • Lelaki ancam, ugut Ketua Hakim Negara ditahan – PDRM

    Lelaki ancam, ugut Ketua Hakim Negara ditahan – PDRM

    POLIS telah menahan seorang lelaki berusia 30 tahun berhubung ancaman dan ugutan yang dibuat menerusi media sosial terhadap Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, baru baru ini.

    PDRM hari ini menerusi kenyataan Ketua Komunikasi Korporat PDRM Bukit Aman, Asisten Komisioner Skandarguru Ananda mengesahkan perkara itu.

    “Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menerima laporan polis mengenai ancaman dan ugutan di media sosial terhadap Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook ‘Apiez Bond’.

    “Hasil daripada laporan tersebut, tangkapan telah dibuat ke atas seorang lelaki berusia 30 tahun di sebuah rumah di Puchong, Selangor pada 19 Ogos 2022 sekitarnya jam 11.15 malam.

    “Turut dirampas daripada suspek satu unit telefon bimbit berserta kad sim yang dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran ugutan tersebut,” jelasnya memetik laporan Astro Awani.

    Suspek kini direman selama empat hari sehingga 23 Ogos depan bagi siasatan lanjut. Siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah.

    Kes disiasat dibawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kenyataan berkencenderungan menghasut, Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimerdia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

    “PDRM memandang serius perkara ini dan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang tindakan membabitkan isu salah laku jenayah dan isu ketenteraman awam yang boleh menganggu gugat keamanan.

    “Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati menyalahgunakan platform media sosial untuk mengancam keselamatan,” katanya.

    Terdahulu, tular di media sosial tindakan lelaki terbabit yang mengeluarkan komen di laman sosial berbaur ugutan dan ancaman terhadap Ketua Hakim Negara.

    Tindakan terbabit mendapat reaksi pelbagai pihak terutamanya netizen yang mengecam tindakan lelaki terbabit.

  • [VIDEO] Langgar lampu isyarat, lelaki melambung dirempuh kereta

    [VIDEO] Langgar lampu isyarat, lelaki melambung dirempuh kereta

    PADAH langgar lampu isyarat merah, seorang penunggang motosikal cedera parah dirempuh sebuah kereta di simpang empat lampu isyarat Jalan Besar-Jalan Bandar, Pasir Gudang, pada Jumaat.

    Kejadian pada pukul 1.43 petang itu menyebabkan mangsa lelaki berusia 29 tahun itu dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru untuk menerima rawatan.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, kemalangan tersebut melibatkan sebuah kereta Proton Saga dan motosikal jenis Yamaha.

    Katanya, siasatan awal mendapati kereta Proton Saga yang dipandu seorang lelaki berumur 47 tahun dalam perjalanan menuju ke Mount Austin, di sini.

    “Setibanya di tempat kejadian, lelaki itu meneruskan perjalanan setelah lampu isyarat telah bertukar hijau, namun tiba-tiba datang sebuah motosikal jenis Yamaha ditunggang oleh seorang lelaki dari simpang kanan.

    “Pemandu kereta tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal berkenaan yang disyaki tidak mengikut isyarat lalu lintas,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Salah beri ubat: Jabatan Kesihatan Sabah mohon maaf

    Salah beri ubat: Jabatan Kesihatan Sabah mohon maaf

    JABATAN Kesihatan Negeri Sabah hari ini memohon maaf kepada keluarga pesakit berhubung insiden pesakit diberi ubat yang salah oleh pegawai perubatan semasa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Felda Sahabat, Lahad Datu, baru-baru ini.

    Pengarahnya, Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, berdasarkan siasatan, terdapat kelemahan komunikasi antara pegawai perubatan yang memberikan rawatan kepada pesakit berkenaan.

    “Pegawai perubatan terbabit telah melihat buku rawatan yang dibawa oleh pesakit ke Klinik Kesihatan Felda Sahabat iaitu pesakit mempunyai rekod diberi ubat kencing manis.

    “Jabatan Kesihatan Negeri Sabah mengesyaki buku rawatan yang dibawa pesakit bercampur dengan buku rawatan isteri pesakit, ini menimbulkan kekeliruan kepada pegawai perubatan berkenaan yang meneruskan pemberian ubat kencing manis kepada pesakit.

    “Mengikut rekod, pesakit sebenarnya mempunyai sejarah perubatan penyakit darah tinggi dan pembengkakan kalenjar prostat,” katanya dalam kenyataan di Lahad Datu.

    Dr Rose Nani berkata, sepatutnya pegawai perubatan memberikan penerangan kepada pesakit dan keluarga pesakit tentang status penyakit yang dihidapi serta jenis ubat yang diberikan.

    “Sekiranya proses penerangan dilaksanakan sudah tentu kekeliruan dapat dielakkan,” katanya lagi.

    Justeru katanya, pihaknya akan memastikan para pegawai perubatan yang bertugas di kawasan pedalaman di negeri itu agar mendapatkan latihan secara berkala berkaitan merawat pesakit termasuk komunikasi berkesan. – Bernama

  • Remaja lelaki curi wang majikan buat beli aksesori motosikal

    Remaja lelaki curi wang majikan buat beli aksesori motosikal

    SEORANG remaja lelaki ditahan kerana disyaki mencuri wang majikannya di sebuah premis cuci kereta di Ampang Waterfront, Kuala Lumpur, pada Selasa lalu.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek berusia 17 tahun itu ditahan di Lembah Permai pada pukul 9.50 malam Khamis.

    “Kita menahan suspek susulan laporan yang dibuat oleh pengurus premis cuci kereta itu mendakwa wang hasil perniagaan sebanyak RM815 yang disimpan dalam bekas kotak berzip telah hilang,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Mohamad Farouk berkata, pihaknya turut merampas pakaian yang digunakan semasa kejadian serta sebuah motosikal jenis Modenas.

    “Suspek dipercayai bekerja di premis cuci kereta itu sejak dua bulan lalu. Wang curi berkenaan telah digunakan suspek untuk membeli aksesori motosikal,” katanya.

    Menurutnya, suspek telah direman selama empat hari bermula semalam hingga Isnin bagi membantu siasatan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

  • Polis Johor tumpas sindiket seludup rokok, rampasan RM1.8 juta

    Polis Johor tumpas sindiket seludup rokok, rampasan RM1.8 juta

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SATU sindiket penyeludupan rokok putih tumpas selepas polis menahan dua lelaki dan sebuah lori di Taman Fasa Indah, Jalan Kota Tinggi-Sungai Rengit, Kota Tinggi, pukul 3.20 pagi tadi.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sebelum ditahan dua lelaki tempatan yang ditahan itu berusia 31 dan 47 tahun berada dalam keadaan mencurigakan.

    “Seorang daripadanya cuba menghalang pihaknya semasa menjalankan pemeriksaan.

    “Hasil pemeriksaan dalam lori tersebut menemukan kotak-kotak berisi rokok seludup yang tidak dibayar cukai. Dalam serbuan itu pihak polis merampas lori berkenaan, 244 kotak mengandungi 12,200 karton rokok jenama Conept Blend.

    “Jumlah keseluruhan rampasan dalam operasi tersebut berjumlah RM1,830,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, kes disiasat di bawah 135(1) (d) Akta Kastam 1967, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM100,000, yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    Tambahnya, kes juga disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

    Polis Johor berharap agar masyarakat terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan menerusi Urusetia Task Force Kontinjen

    Johor, Superitendan Nur Azlan M Kudus iaitu 019-2396318 atau mana-mana balai berdekatan.

  • Arkitek libat tuntutan palsu RM3 juta ditahan SPRM

    Arkitek libat tuntutan palsu RM3 juta ditahan SPRM

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang arkitek kerana disyaki membuat tuntutan palsu berjumlah anggaran RM3 juta berkaitan sebuah projek pembangunan di pantai timur.

    Menurut sumber, lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan susulan penahanan empat individu termasuk seorang pengurus syarikat hartanah berhubung kes sama pada 16 Jun lalu.

    Sumber berkata, lelaki tersebut ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada pukul 6 petang semalam.

    “Dia disyaki terlibat dalam tindakan mengemukakan tuntutan palsu bagi projek yang keseluruhannya bernilai lebih RM300 juta sedangkan kerja-kerja tidak dilaksanakan.

    “Suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga Selasa setelah Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan reman oleh SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Sabtu,” ujarnya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

  • Srikandi Bersatu kenal pasti calon, termasuk Srikandi Muda

    Srikandi Bersatu kenal pasti calon, termasuk Srikandi Muda

    SRIKANDI Bersatu dalam peringkat mengenal pasti calon, termasuk kemungkinan mengetengahkan calon dari Srikandi Muda bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Naib Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata sayap wanita Bersatu itu sedang mengenal pasti calon Srikandi berusia 35 tahun ke atas dan tidak menolak kemungkinan Srikandi Muda, iaitu sayap Srikandi yang berusia antara 18 hingga 35 tahun, turut diberikan peluang menjadi calon.

    Setakat ini, katanya, proses mengenal pasti calon terbabit masih berjalan sebelum dikemukakan kepada pucuk kepemimpinan Bersatu, tidak lama lagi.

    “Kita sedang mengenal pasti calon yang boleh diketengahkan bagi calon Srikandi yang berusia 35 tahun ke atas manakala Srikandi Muda berusia antara 18 hingga 35 tahun.

    “Pemimpin kita sudah umumkan Srikandi Muda dipimpin oleh Nurul Fadzilah Kamaluddin sebagai Ketua dan Suhainna Jamri sebagai Naib Ketua

    “Bagaimanapun, Srikandi menyerahkan kepada pucuk kepemimpinan Bersatu untuk membuat keputusan calon yang benar-benar diyakini menang pada PRU-15,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Satu Hati, Satu Keluarga, iaitu Hari Keluarga Bersatu Bahagian Masjid Tanah di pantai peranginan Tanjung Bidara, Melaka, hari ini, lapor BH Online.

    Yang turut hadir, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Dr. Mohd Yadzil Yaakub dan ADUN Sungai Udang, Dr. Mohd. Aleef Yusof.

    Mas Ermieyati yang juga Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri dan Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata, usaha mengenal pasti lebih ramai calon Srikandi sejajar hasrat Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Harun untuk meningkatkan jumlah calon wanita pada PRU-15.

    Mengenai jentera pilihan raya Srikandi, Mas Ermieyati berkata, kaedah penyusunan jentera diselaraskan dengan jentera parti komponen Perikatan Nasional (PN), iaitu Bersatu, Pas, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Solidariti Tanah Airku (Star Sabah) dan Parti Progresif Sabah (Sapp).

    Mas Ermieyati juga berkata, beliau bersedia mempertahankan kerusi Parlimen Masjid Tanah pada PRU-15 jika diputuskan pucuk kepemimpinan Bersatu.

    “Jika pucuk pimpinan mahu saya mempertahankan Masjid Tanah, saya bersedia memikul amanah parti dan saya pastikan seluruh jentera bekerja kuat untuk kejayaan parti,” katanya.

    Parlimen Masjid Tanah mempunyai lebih 51,000 pengundi di lima DUN, iaitu Tanjong Bidara, Ayer Limau, Kuala Linggi, Lendu dan Taboh Naning.

    Mas Ermieyati adalah bekas Ketua Puteri UMNO dan keluar daripada parti itu pada 1 Julai 2018, iaitu dua bulan selepas PRU-14, sebelum mengemukakan borang keahlian Bersatu kepada Pengerusi Bersatu ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad pada pertengahan Disember 2018.

    Beliau disahkan sebagai ahli Bersatu Cawangan Ramuan Cina Kecil, Masjid Tanah pada 31 Disember 2018.

    Pada PRU-14, Mas Ermieyati yang ketika itu mewakili Barisan Nasional (BN), menang dengan majoriti 8,159 undi selepas menewaskan Datuk Dr. Sabirin Ja’afar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Nasir Othman (PAS).

    Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) November 2021, Mas Ermieyati bertanding di kerusi DUN Tanjung Bidara tetapi beliau yang dinamakan sebagai calon Ketua Menteri Melaka jika PN berjaya membentuk kerajaan negeri, tewas kepada calon BN, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

  • Dua wanita maut tersepit

    Dua wanita maut tersepit

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA wanita maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua kereta berhampiran Felcra Dusun Panti, Kota Tinggi, hari ini.

    Kemalangan kira-kira pada pukul 10.30 pagi itu melibatkan Proton Saga dinaiki empat orang dan Proton Wira dianiki tiga orang.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II Ibrahim Wahid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian tersebut pada jam 10.51 pagi.

    “Susulan itu seramai 10 anggota dari BBP Kota Tinggi dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga dan kereta jenis Proton Wira.

    “Terdapat empat mangsa Proton Saga dan Proton Wira telah berjaya keluar daripada kenderaan sebelum ketibaan pihak bomba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Kedua-dua mangsa yang tersepit dikeluarkan menggunakan peralatan ‘resque tools’ sebelum disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi.

    Katanya, empat mangsa yang cedera itu ialah Mohd Fahmi Aizat Mokhtar, 24, yang berada dalam Proton Wira dan Junaidah Muhmad, 48, Liqwan Shah Nasution Lindung Saputra, 26, dan Lizwan Sharel Nasution Abdullah, 18, dalam kereta Proton Saga.

    “Sementara dua mangsa lagi iaitu Titah Abd Ghani, 58, dan Samsiah Abdullah, 21, yang berada dalam Proton Wira tersepit di tempat duduk masing-masing,” katanya.

    Pihaknya mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit menggunakan peralatan ‘resque tools’ sebelum dua wanita tersebut disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi.

    Katanya, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kota Tinggi menggunakan EMRS serta Ambulan Kementerian Kesihatan (KKM).

    Mayat pula katanya, diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut, operasi tamat pada pukul 12.15 tengah hari.