Author: Admin

  • Tidak wajar bakar jambatan kerjasama dan persaudaraan

    Tidak wajar bakar jambatan kerjasama dan persaudaraan

    Oleh DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI

    PAS adalah parti politik Islam. Dasarnya ialah Islam. Rujukannya ialah al-Quran, as-Sunnah, Ijmak dan Qias. Untuk menghurai, menjelas dan mentafsir dasar Islam yang dipegang oleh PAS dan bagi memberi arahan dan perintah supaya dasar Islam sentiasa dipatuhi oleh PAS maka ditubuhkan Majlis Syura ‘Ulamak yang diketuai dan dipimpin oleh Mursyidul ‘Am. Inilah yang termaktub dalam Perlembagaan PAS pada Fasal 3, 7 dan 8.

    Ia bermaksud bahawa PAS dipimpin oleh dasar Islam yang diberi mandat untuk memeliharanya kepada himpunan alim ulamak yang membentuk kepimpinan para ulamak untuk memastikan PAS pada setiap masa berjalan dan seiring dengan dasar Islam. Inilah asas kepada kepimpinan para alim ulamak dalam PAS. Ia adalah kepimpinan jama’ei oleh para alim ulamak dalam PAS yang dipimpin oleh Mursyidul ‘Am untuk sentiasa memantau dan memberi arahan kepada parti. Hal ini selaras dengan firman Allah:

    وَكَأَيِّن مِّن نَّبِيٍّ قَاتَلَ مَعَهُ رِبِّيُّونَ كَثِيرٌ فَمَا وَهَنُوا لِمَا أَصَابَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَمَا ضَعُفُوا وَمَا اسْتَكَانُوا ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ الصَّابِرِينَ (146)

    “Dan betapa ramai para Nabi, berperang bersamanya “ribiyyun” (orang yang taat pada Tuhan) yang ramai. Maka mereka tidak lemah semangat terhadap apa yang menimpa mereka di jalan Allah dan mereka tidak lemah jasad dan mereka tidak tunduk hina (kepada musuh). Dan Allah sukakan orang-orang yang sabar”
    (Surah Ali Imran:146)

    “Ribiyyun” dalam ayat di atas ditafsirkan oleh Imam Ibnu Kathir nukilan daripada Hasan Basri sebagai merujuk kepada alim ulamak yang ramai, sabar, berkebajikan lagi bertaqwa. Para alim ulamak ini membantu para Nabi dalam perjuangan bagi membentuk saf kepimpinan jama’ei.

    Tujuan PAS telah digariskan dalam Perlembagaan parti Fasal 5 iaitu antaranya ‘memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah’.

    Ia bermaksud bahawa perjuangan PAS ialah memastikan Islam tertegak dalam masyarakat. Ia memerlukan kerja dakwah yang berterusan. Surau dan masjid menjadi antara medan utama PAS menyampaikan dakwah. Dakwah dalam bentuk tulisan menjadi rencam para ahli dan pimpinan PAS. Pusat pendidikan daripada peringkat asas iaitu PASTI hingga ke Sekolah Rendah dan Menengah seterusnya Universiti menjadi medan pendidikan untuk PAS memacak paksi Islam dalam masyarakat. Diskusi kecil menerusi usrah, seterusnya latihan perkaderan menerusi tamrin dan mukhayyam menjadi asas tarbiyah kepada ahli dan pimpinan PAS. Aktiviti kebajikan diperluaskan dalam masyarakat bagi membawa Islam secara praktikal dalam masyarakat. Itulah kerja-kerja PAS.

    Fasal 5 juga bermaksud bahawa perjuangan PAS ialah perjuangan politik mendapatkan kekuasaan bagi memastikan tertegaknya Islam dalam pemerintahan. Untuk itu PAS melibatkan diri seawal pilihan raya pertama negara 1955 dan telah berjaya memerintah Terengganu dan Kelantan pada tahun 1959. Perjuangan politik PAS ada pasang dan surutnya dari sudut kemenangan memerintah Kerajaan Negeri dan Pusat namun paksinya satu sahaja iaitu Islam serta hukum-hakam Islam dalam pemerintahan.

    Terkini, PAS kembali dianugerahkan penglibatan dalam Kerajaan Persekutuan setelah dulunya dikeluarkan pada 1978. Ia hasil muafakat dan sepakat parti-parti yang mempunyai hala tuju bersama iaitu Islam. Meskipun kerajaan ini berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam menyatukan pemikiran kepimpinannya namun Islam, ukhuwah dan persaudaraan sentiasa menjadi landasan penyatuan kepada semua.

    Dalam usaha perdamaian politik, PAS telah melakar dasar Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) pada April 2016. Ia mengajak semua pihak berpolitik secara damai dan saling bekerjasama untuk kepentingan negara dan rakyat. Dasar ini diperkasakan dalam kerjasama politik PAS dalam Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional. Jika PAS tidak berjaya untuk memasuki pilihan raya menerusi satu landasan bersama dengan parti-parti politik Melayu Islam maka PAS mengambil politik damai dengan rakan-rakan kerjasama berkempen dalam pilihan raya secara harmoni. Rujukan kita ialah firman Allah:

    وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ (2)

    “Dan bekerjasamalah kamu atas dasar kebajikan dan taqwa dan jangan kamu bekerjasama atas dasar dosa dan permusuhan. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah… “
    (Surah al-Maidah: 2)

    Inilah yang berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. Dan ini juga mungkin akan berlaku dalam PRN Johor dan mungkin juga dalam Pilihan Raya Umum ke-15 nanti. Politik matang memagari perbezaan politik malah mendorong untuk sentiasa bekerjasama dalam perkara melibatkan umat meskipun berbeza. Hal ini kerana kerjasama politik tetap diperlukan untuk kebaikan rakyat dan maslahat Islam sama ada sebelum atau selepas pilihan raya. Politik damai dan harmoni inilah yang menjadi dasar PAS dalam berpolitik sebagaimana digariskan oleh Islam.

    Atas dasar itulah Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Hashim Jasin telah menegaskan hasil Muzakarah Majlis Syura Ulamak pada 31hb Disember 2021 bahawa PAS terus memperkasakan Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional sebagai usaha menyatukan kuasa politik Islam. Mursyidul Am menyeru semua pihak menjadikan mesyuarat dan perundingan sebagai medan penyelesaian konflik antara parti Melayu Islam yang bekerjasama. Apa pun konflik yang timbul semua pihak perlu terus bekerjasama dalam konteks yang lebih luas demi kebaikan negara dan umat.

    Dalam Piagam Muafakat Nasional dinobatkan satu peruntukan iaitu “asas rujukan persefahaman ini dan sebarang keraguan mengenainya adalah merujuk kepada sumber-sumber hukum berdasarkan al-Quran, al-Hadith, Ijmak dan Qias”.

    Ia mengambil roh peruntukan dalam Piagam Madinah yang menyebut:

    وأنكم مهما اختلفتم فيه من شئ فإن مرده إلى الله وإلى محمد
    “Dan sesungguhnya kamu apa sahaja perselisihan kamu dalam sesuatu perkara maka tempat rujuknya ialah Allah dan Muhammad”

    Hal ini menjadi asas muafakat antara PAS dan UMNO. Maka sebarang konflik hendaklah diselesaikan dengan merujuk kepada Islam dan empat sumber hukum dalam Islam.

    Peperangan politik jahiliah serang-menyerang antara ahli parti Melayu Islam tidak selaras dengan dasar Islam. Semangat pertembungan jahiliah bukan lagi pendekatan yang relevan dalam situasi muafakat dan sepakat umat. Hal ini sesuai dengan teguran Nabi Muhammad SAW kepada golongan Ansar saat tercetus kembali pergaduhan selepas mereka disatukan oleh Nabi SAW:

    يا معشرَ المُسلِمينَ اللهَ اللهَ أبِدَعْوَى الجاهليةِ وأنا بينَ أظهُرِكُم بعدَ إذْ هدَاكُم ُاللهُ إلى الإسلامِ وأكرمَكُمْ بِهِ وقطَعَ بِهِ عنكُم أمرَ الجاهليةِ واستنقذَكُم به من الكفرِ وألَّفَ به بينَكم

    “Wahai sekalian umat Islam. (Takutlah kepada) Allah! (Takutlah kepada) Allah! Adakah seruan jahiliah (diseru) sedangkan aku masih berada di kalangan kamu setelah mana Allah kurniakan hidayah kepada kamu menerima Islam dan Dia memuliakan kamu dengannya? Dia memutuskan kamu daripada perlakuan jahiliah, menyelamatkan kamu daripada kekufuran dan menjinakkan hati-hati kamu”.
    (rujuk Fathul Qadir, Imam Syaukani)

    Tidak wajar membakar jambatan kerjasama dan persaudaraan kerana salah faham yang boleh diluruskan menerusi mesyuarat dan perundingan. Inilah roh peringatan daripada Mursyidul Am PAS.

    PAS terus istiqamah memimpin umat dan politik negara berasaskan Islam dengan merujuk kepada al-Quran, as-Sunnah, Ijmak dan Qias. Ahli PAS tentunya terus istiqamah membawa dakwah dan politik damai dalam Islam.

    Terus Istiqamah dengan Perjuangan!

    Penulis ialah Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS

  • Semua parti ada peluang tawan pengundi baharu

    Semua parti ada peluang tawan pengundi baharu

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    PELUANG terbuka untuk mana-mana parti atau gabungan politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor meraih undi daripada pengundi yang pertama kali layak memilih.

    Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad berkata, trend pengundian golongan itu dalam PRN Melaka tempoh hari juga dilihat terbuka kepada semua parti.

    “Perikatan Nasional (PN) mendapat banyak sokongan juga (dalam PRN Melaka), kita ambil undi-undi daripada Pakatan Harapan (PH) dan UMNO walaupun Barisan National (BN) di Melaka juga memiliki sedikit kenaikan pengundi muda.

    “Saya rasa PRN Johor apabila kita tambah lagi pengundi muda yang lain di Singapura it’s very hard to decide for determine khususnya pengundi pertama kali.

    “Semua parti ada peluang untuk menawan hati pengundi pertama kali. Sebab itu saya fikir perlu ada blok yang lebih luas untuk mereka sama-sama pergi keluar kawasan,” katanya.

    Seramai 749,751 dianggarkan akan menjadi pengundi baharu yang layak memilih dalam PRN Johor kali ini termasuk mereka yang berusia 18 tahun menerusi pelaksanaan Undi18.

    Bagaimanapun, Wan Ahmad Fahysal berpendapat, sekiranya prosedur operasi standard (SOP) yang sama seperti di Melaka dikekalkan untuk PRN Johor, ia akan menyukarkan mereka mendekati pengundi muda.

    “Saya fikir kalau kita berpegang kepada SOP yang konservatif seperti PRN Melaka tempoh hari tak boleh pakai baju parti dan sebagainya ia amat menyukarkan kita untuk menyantuni pengundi anak muda yang mungkin belum begitu kenal dengan PN.

    “Hal-hal terbuka seperti kempen malah media arus perdana juga saya harap kerajaan khususnya Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia beri laluan kepada semua parti-parti politik untuk ada suara berbahas tentang dasar apa yang ditawar kepada pengundi,” katanya.

    Malah, beliau mencadangkan agar kaedah debat antara parti-parti atau calon-calon anak muda bertanding boleh diketengahkan bagi membicarakan hal yang berkaitan golongan itu.

    Katanya, masalah rakyat Johor, masa depan anak muda dalam demokrasi Malaysia, masalah integriti yang ada dan sebagainya boleh menjadi antara topik debat yang akan dikupas.

    Tambah beliau, sudah tiba masanya demokrasi di Malaysia diberi ruang yang luas untuk mereka berkongsi pandangan secara sihat agar ia melambangkan semangat demokrasi yang sebenar. 

  • 30 peratus kerusi untuk anak muda – Armada

    30 peratus kerusi untuk anak muda – Armada

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    ANGKATAN Bersatu Anak Muda (Armada) mencadangkan 30 peratus daripada calon-calon Perikatan Nasional (PN) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mestilah dalam kalangan anak muda.

    Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal berkata, kuota itu juga merangkumi calon anak muda daripada Bersatu, Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

    Pada masa sama katanya, Armada menyasarkan sekurang-kurangnya lima calon daripada sayap itu akan dipertaruhkan PN dalam PRN Johor bagi memastikan keseimbangan pembahagian kerusi.

    “Kita telah menerima cadangan-cadangan daripada Armada bahagian seluruh Johor untuk dipertimbang oleh Biro Politik Bersatu termasuk soal calon, kuota dan kerusi-kerusi yang kini sedang diteliti.

    “Dalam konteks Johor, lima kerusi yang kita cadangkan untuk calon Armada bertanding meliputi kawasan bandar dan luar bandar, namun kita akan akur terhadap apa sahaja yang akan diputuskan parti dan PN,” katanya.

    Wan Ahmad Fahysal yang juga Timbalan Menteri Perpaduan sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat Armada Bahagian Johor di Pejabat Bersatu Pagoh, Muar, hari ini.

    Sebelum ini, Srikandi Bersatu turut berharap agar 30 peratus calon wanita dari parti berkenaan bertanding dalam PRN Johor akan datang.

    Ketuanya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, walaupun dasar kuota wanita sama ada dalam parti politik, agensi dan sebagainya adalah sebanyak 30 peratus tetapi pihaknya mahukan lebih ramai wanita dalam kepimpinan parti.

    Dalam pada itu, menurut Wan Ahmad Fahysal, selain proses undi pos kepada mereka yang menetap di Singapura, peluang itu juga perlu diperluas kepada mereka yang menetap di negara-negara lain.

    “Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) haruslah mempermudah urusan mengundi untuk mereka yang berada di luar kawasan.

    “Untuk jangka sederhana dan panjang, kerajaan melalui SPR perlu menggunakan teknologi terkini bagi memudahkan proses mengundi termasuk menggunakan opsyen bagi mengundi dalam talian,” katanya.

    Katanya, peratusan keluar mengundi yang tinggi adalah penting agar mandat rakyat yang jelas dapat dicapai, tidak seperti yang diharapkan oleh sesetengah pihak yang ingin menafikan hak rakyat.

    Malah katanya, SPR dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mesti mempertimbang kelonggaran prosedur untuk berkempen khususnya ceramah, rapat umum dan rayuan undi dari rumah ke rumah selari dengan transisi yang sedang berlaku daripada fasa pandemik kepada endemik bagi wabak Covid-19.

  • Lelaki maut terjun tingkat 12 selepas tikam isteri hingga mati

    Lelaki maut terjun tingkat 12 selepas tikam isteri hingga mati

    PENEMUAN mayat seorang lelaki dalam keadaan berlumuran darah di tingkat bawah sebuah pangsapuri di Paya Terubong, Pulau Pinang awal pagi tadi membongkar satu kejadian pembunuhan di dalam salah sebuah unit rumah di pangsapuri terbabit.

    Lelaki itu dipercayai bertindak menikam isterinya sehingga maut sebelum terjun dari tingkat 12 pangsapuri berkenaan dan dijumpai orang awam kira-kira pukul 7.30 pagi tadi.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V. Saravanan berkata, lelaki berusia 54 itu dipercayai bertindak menikam isterinya yang berusia 46 tahun selepas berlaku salah faham antara mereka.

    Bagaimanapun tambahnya, kejadian itu hanya terbongkar beberapa jam kemudian apabila ibu kepada mangsa wanita memaklumkan gagal menghubungi anaknya yang merupakan isteri kepada lelaki berkenaan.

    Kata beliau, polis kemudiannya ke rumah mangsa di tingkat 12 sebelum mendapati wanita berkenaan dalam keadaan berlumuran darah di atas katil di dalam bilik.

    “Hasil pemeriksaan ke atas mayat mendapati ada dua kesan tikaman pada leher dan paha mangsa selain penemuan pisau yang dipercayai digunakan untuk membunuh mangsa.

    “Kita tidak menolak kemungkinan suspek menikam isterinya sebelum bertindak terjun,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.

    Menurut Saravanan, pasangan itu yang bekerja kilang mempunyai anak berusia 18 tahun yang ketika kejadian berada di rumah neneknya di Air Itam.

    Dalam pada itu, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat.

  • MBPP beri notis tunjuk sebab kepada peniaga bergaduh rebut pelanggan di Padang Kota Lama

    MBPP beri notis tunjuk sebab kepada peniaga bergaduh rebut pelanggan di Padang Kota Lama

    DUA peniaga yang terlibat dalam  pergaduhan di Kompleks Medan Renong, Padang Kota Lama, Georgetown, Pulau Pinang sehingga tular dalam media sosial 2 Februari lalu telah diberikan notis tunjuk sebab oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

    MBPP dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kedua-dua peniaga itu perlu memberikan penjelasan berhubung kejadian tersebut dalam tempoh tujuh hari atau sehingga 10 Februari ini.

    Menurutnya, MBPP berasa amat kesal dengan kejadian pergaduhan itu dan peniaga terlibat  perlu memberi penjelasan berhubung kejadian tersebut.

    Tambahnya, insiden itu tidak seharusnya berlaku dan MBPP selaku pemiik kompleks makanan berkenaan amat memandang serius kejadian tersebut.

    “Siasatan dalaman serta tindakan susulan juga telah diambil dan tarikh akhir bagi peniaga berkenaan untuk membalas surat tun tersebut adalah pada 10 Februari ini.

    “Penjelasan daripada kedua-dua peniaga akan diambil maklum oleh MBPP dalam Mesyuarat Jawatankuasa Majlis untuk keputusan dan tindakan lanjut tanpa sebarang prasangka,” katanya.

    Dalam pada itu tambah MBPP, pihaknya tidak akan bertoleransi dan berkompromi dengan apa-apa tindakan yang akan mengganggu ketenteraman awam atau merosakkan keharmonian di kawasan awam dan kemudahan yang disediakan oleh MBPP. 

    Jelasnya, MBPP juga tidak membenarkan mana-mana peniaga di dalam kompleks milik MBPP untuk memonopoli mana-mana ruang atau meja yang disediakan untuk kepentingan persendirian.

    “Orang awam adalah bebas untuk memilih tempat duduk mereka dan membuat pesanan atau membeli makanan dan minuman dari mana-mana gerai yang mereka suka,” katanya.

    Pada 2 Februari lalu, insiden pergaduhan tercetus di Kompleks Medan Renong, Padang Kota Lama yang merupakan lokasi tumpuan pelancong dengan videonya turut tular di dalam media sosial.

    Polis Pulau Pinang kemudiannya mengesahkan kejadian itu dengan siasatan awal mendapati ia disebabkan perebutan pelanggan dan dendam lama antara dua peniaga di medan selera berkenaan.

  • PRN Johor: Senarai calon PKR akan segera dimuktamadkan

    PRN Johor: Senarai calon PKR akan segera dimuktamadkan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, senarai calon parti itu untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan umum dalam masa terdekat.

    “(Kita akan memuktamadkan) segera, sesegera mungkin. Kita kira ada beberapa hari lagi,” ujarnya ketika ditemui pemberita semasa melakukan ‘walkabout’ di pekan Kelapa Sawit, Kulai, hari ini.

    Sementara itu, Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, perbincangan akhir senarai calon PKR negeri yang bertanding akan dilakukan sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bermesyuarat berkenaan tarikh-tarikh penting berkenaan PRN Johor pada 9 Februari ini.

    Beliau memberitahu, PKR negeri akan bertanding 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN tersebut berbanding 12 kerusi DUN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

    Bagaimanapun katanya, PKR dan parti komponen Pakatan Harapan (PH) sedang berunding dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berkenaan pembahagian kerusi.

    “Kita sudah berunding dengan Pengerusi Muda Johor, Mohd Azrul Ab. Rahani dan juga Setiausaha Agung Muda, Nur Amira Aisyah Abd. Aziz berkenaan pembahagian kerusi sebelum Tahun Baharu Cina.

    “Kita rasa lebih berat untuk bekerjasama dengan Muda berbanding parti lain dan setakat ini tiada perbincangan dengan parti pembangkang lain (parti pembangkang di luar komponen PH),” katanya.

  • Kaki berkecai terpijak bom ketika pergi memancing

    Kaki berkecai terpijak bom ketika pergi memancing

    HASRAT seorang lelaki untuk memancing di daerah Chana, Songkhla, Thailand tidak kesampaian apabila kakinya berkecai apabila terpijak sebutir bom pada petang semalam.

    Kejadian yang berlaku dekat sebuah jambatan landasan kereta api itu tidak jauh dari lokasi pertembungan tentera tempatan dengan kumpulan pemberontak, lapor Agensi berita Bangkok Post.

    Mangsa, Sutthisak Meansen, 44, meninggalkan rumahnya untuk memancing ikan di jambatan berkenaan, di Kampung Nam Khem.

    Sewaktu melangkah mencari tempat paling sesuai untuk memancing, sebutir bom meledak di bawah telapak kakinya. Pihak polis memberitahu, kaki kanannya berkecai selain mengalami kecederaan parah di tangan kanannya.

    Penduduk kampung berdekatan bergegas membawanya ke Hospital Chana dengan menaiki motosikal.

    Polis percaya, bom itu diletakkan di lokasi itu oleh pihak pemberontal. Kedudukan lokasi kejadian adalah kira-kira 5 kilometer dari sebuah kawasan masjid yang menyaksikan pertembungan askar Thailand dan sekumpulan pemberontak pada pagi semalam.

    Media tempatan melaporkan, tiga militan terbunuh apabila mereka cuba merempuh pasukan keselamatan di sebuah pusat pengajian al-Quran di Ban Na, Chana.

    Unit pemusnah bom turut membuat pemeriksaan teliti di sekitar lokasi kejadian berikutan kebimbangan terdapat lebih banyak bom yang ditanam di situ.

  • Annuar ingatkan pihak tertentu kenang jasa, jangan takbur

    Annuar ingatkan pihak tertentu kenang jasa, jangan takbur

    BEKAS Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa memberi peringatan untuk pihak tertentu agar mengenang ‘jasa’ orang yang membantu di kala mengalami kesusahan.

    Menerusi catatan dalam Facebooknya, Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, pihak berkenaan harus berhenti mengamalkan sikap sombong, riak, dan takbur.

    Biarpun tidak menamakan mana-mana pihak, perkongsian itu dipercayai berhubung kait dengan hubungan yang semakin dingin antara UMNO dan Pas, biarpun kedua-dua parti itu meraih keuntungan politik sewaktu mereka bersama-sama dalam Muafakat Nasional.

    “Sewaktu kita jatuh dan tercedera, ada orang membantu kita, memberi tongkat di kiri, ada yang memberi tongkat di kanan. Perlahan-lahan kita beransur pulih, dan mungkin semakin kuat sehingga berasa yakin dan teringin berjalan tanpa tongkat.

    “Namun janganlah kita mudah membaling dan membuang tongkat dgn mencampak tongkat melalui tingkap, atau membakar tongkat kita.

    “Tiada siapa yang tahu. Suatu hari kita mungkin teraba-raba mencari tongkat lagi. Elak kesombongan, elak riak dan elak takabbur,” katanya seperti dilaporkan Astro AWANI.

    Sejak Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan, kedua-dua pimpinan kanan UMNO dan Pas saling berbalas kenyataan, sehingga menggambarkan kerjasama Muafakat Nasional bakal berakhir begitu saja.

    Pada 2 Februari, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan parti pimpinannya itu tidak akan sekali-kali diperbodohkan dengan ‘politik sempit’ UMNO.

    Menerusi catatan Minda Presiden Pas di Facebooknya pada Rabu, Ahli Parlimen Marang itu mendakwa UMNO masih lagi membawa pendekatan ‘asabiyyah’ Melayu yang hanya melibatkan dua parti sahaja dan meminggirkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Pada Khamis, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin membalas kenyataan itu, dan bertegas bahawa UMNO bersama-sama Barisan Nasional (BN) akan terus mara ke hadapan

    Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, tiada faedah untuk terus melayan Pas, kerana parti itu secara berterusan melemparkan segala ugutan, tohmahan, dan sanggahan terhadap UMNO.

    Mengulas lanjut, Annuar berkata, “.. bersederhana itu baik, bersahabat itu lebih baik”.

    “Muafakat dan tolong-menolong itu Taawun… dan bijak hidup bersama itu Taayush. Taawun dan Taayush membina kekuatan ummah, dan asas untuk memimpin.

    “Bermain sentimen biarlah bersulamkan kebijaksanaan,” katanya lagi.

  • PRN Johor: Cabar UMNO guna Najib, Zahid sebagai ‘poster boy’

    PRN Johor: Cabar UMNO guna Najib, Zahid sebagai ‘poster boy’

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    UMNO dicabar menggunakan Datuk Seri Najib Tun Razak atau Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai ‘poster boy’ untuk Barisan Nasional (BN) menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, mereka perlu berani jika benar UMNO masih satu parti yang harmoni dan tidak mahu berselindung di sebalik watak ‘baik’.

    Jelas beliau, ini termasuk membawa nama individu bermasalah dan mereka perlu membuktikannya dengan memaparkan dua pemimpin itu sebagai ‘poster boy’.

    Selain itu katanya, perkara itu juga bagi menjawab persoalan seringkali ditujukan oleh pimpinan UMNO adakah Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden Bersatu akan terus menjadi ‘poster boy’ bagi PRN kali ini.

    “Mereka (UMNO) sering mempersoalkan adakah kita berani lagi untuk membawa nama Tan Sri Muhyiddin sebagai ‘poster boy’ dalam PRN Johor, ini apa punya soalan tak logik, dari awal sampai habis Tan Sri memang ‘poster boy’ kita, tiada persoalan dan tiada keraguan.

    “Beliau ini (Muhyiddin) adalah sosok dan lambang utama seorang pejuang yang sanggup kehilangan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri serta sebagai timbalan presiden parti hanya kerana mahu mengembalikan integriti dalam negara.

    “Sebab itu kalau kita memang sah akan gunakan Tan Sri, kita akan jemput secara hormat, UMNO berani?

    “Cuba tampal gambar Zahid satu pelosok Johor, ada yang mungkin fikir tiga ke empat kali sebab dalam UMNO ini Presiden sebenarnya Zahid, tapi bila tampal muka dia Najib marah, tampal muka Najib nanti kalah (PRN) pula,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah Penerangan Isu Semasa Negeri Johor di Kahang, Kluang, malam tadi.

    Wan Saiful berkata, dalam keadaan UMNO yang dilihat kucar kacir kini, pihaknya juga ingin mencabar beberapa nama pimpinan parti berkenaan untuk menamakan calon mereka sebagai perdana menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Beliau berkata, ketelusan sering disembunyikan itu juga terus ditonjolkan apabila UMNO sehingga kini tetap menolak nama presiden mereka yang merupakan individu utama mengepalai parti.

    “Saya nak cabar balik (Datuk Seri Dr.) Puad Zarkashi, (Datuk) Nur Jazlan Mohamed dan (Datuk Seri) Mohamed Khaled Nordin, kalau betul berani cuba sebut siapa yang kamu mahu namakan bakal Perdana Menteri daripada UMNO selepas PRU-15.

    “Saya cabar tolong namakan Zahid Hamidi yang akan jadi perdana menteri daripada UMNO. Kalau pengecut tak berani sebut nama Zahid jangan duduk sentuh nama presiden daripada Bersatu,” katanya.

    UMNO juga katanya, sehingga kini takut menamakan perdana menteri mereka adalah Zahid kerana kurangnya keyakinan ahli-ahli mereka kepada presiden yang sedang mempunyai kes mahkamah prima facie dan salah laku penggunaan wang.

  • JAKIM arah jabatan agama negeri siasat jika wujud ajaran sesat

    JAKIM arah jabatan agama negeri siasat jika wujud ajaran sesat

    JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengarahkan jabatan agama di setiap negeri mengambil tindakan jika terdapat laporan kegiatan ajaran sesat yang berlaku di negeri masing-masing.

    Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, jika kegiatan ajaran sesat itu dipaparkan dalam media sosial, JAKIM yang menerima laporan berkenaan akan memaklumkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

    “Apabila kegiatan ajaran sesat itu berlaku di mana-mana negeri, JAKIM akan menghubungi jabatan agama di negeri terbabit untuk mengambil tindakan. Ia sama seperti kes kegiatan ‘Mimpi Terakhir’, apabila JAKIM meminta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bertindak.

    “Begitu juga kes bomoh di Perak, kita minta pihak berkaitan yang bertindak. Jabatan agama di setiap negeri memang bekerjasama baik dengan JAKIM, jadi masing-masing akan bertindak jika memerlukan,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

    Terdahulu beliau melancarkan Bulan Solat Peringkat Kebangsaan 2022, di Auditorium Kompleks Islam Putrajaya, hari ini.

    Idris mengulas tindakan yang akan diambil mengenai ajaran ‘mimpi’ lelaki Pakistan yang disebarkan oleh kumpulan dikenali Gerakan Akhir Zaman (Gaza).

    Kumpulan Gaza itu berasal dari Indonesia dan dikatakan sedang membuat persiapan untuk akhir zaman berdasarkan mimpi seorang lelaki dari Pakistan yang dikenali sebagai Muhammad Qasim Abdul Karim yang mendakwa hanya mengikut kehendak Allah dalam mimpinya.

    Antara dakwaan mimpi lain yang dialami Muhammad Qasim adalah bertemu Allah, bertemu Rasulullah sebanyak 300 kali namun tidak berani memandang baginda serta diberikan amanah oleh Allah untuk berkongsi mimpinya dengan masyarakat.

    Selain itu, lelaki itu mendakwa bermimpi bertemu dajal beberapa kali, selain dapat melihat Yakjuj dan Makjuj ketika dilepaskan di bumi.

    Sementara itu, Idris turut menasihatkan umat Islam di negara ini untuk mempelajari ilmu agama dengan guru yang bertauliah supaya tidak terjebak dengan sebaran fahaman sesat.

    “Saya lihat terdapat segelintir umat Islam hanya bergantung dan ‘berguru’ di media sosial semata-mata, seperti yang dinyatakan Imam Ghazali, mengaji tanpa berguru itu tok gurunya adalah syaitan.

    “Sebab itu, kita perlu belajar sekurang-kurangnya ilmu asas agama Islam, jika mempunyai asas agama, bila ada fahaman sesat itu, kita tahu perkara itu tidak logik,” katanya.