Author: Admin

  • Warga emas maut langgar kerbau

    Warga emas maut langgar kerbau

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SEORANG warga emas maut apabila motosikal ditunggangnya melanggar seekor kerbau di Kilometer 5 Jalan Kuala Berang- Tanggol, Kampung Pulau Kudat, Hulu Terengganu, pagi semalam.

    Mangsa, Ilias Awang, 76, dari Kampung Kuala Kejir disahkan meninggal dunia pada pukul 9.06 malam ketika sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, lapor Sinar Harian.

    Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superitendan Mohd. Adli Mat Daud, kejadian berlaku ketika mangsa dikatakan dalam perjalanan untuk membeli kuih di kedai makan di Kampung Pulau Kudat pada pukul 8.15 pagi.

    Mohd Adli Mat Daud

    Beliau berkata, ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa yang menunggang motosikal Honda EX-5 gagal mengawal motosikal lalu melanggar seekor kerbau yang berada di situ.

    Menurut beliau, akibat kemalangan tersebut, mangsa cedera parah di bahagian kepala dan dihantar ke Hospital Hulu Terengganu sebelum dirujuk ke HSNZ, Kuala Terengganu.

    “Namun, pada pukul 9.06 malam, mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya hari ini.

    Menurut Mohd Adli, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • 11 kerusi Bersatu di Johor kekal boleh menang

    11 kerusi Bersatu di Johor kekal boleh menang

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEBANYAK 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diyakini akan kekal dipertahankan parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, rekod pencapaian kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin antara faktor kepada keyakinan itu.

    Kata beliau, rakyat Johor akan membuat pertimbangan sewajarnya berdasarkan rekod itu selain faktor gabungan Bersatu dan Pas serta Gerakan atas nama PN.

    “Tan Sri Muhyiddin berdepan dengan dua krisis besar iaitu kesihatan dan ekonomi namun oleh kerana kepimpinan yang kuat dan berintegriti, mampu membawa negara keluar daripada pandemik dan memulihkan ekonomi Malaysia.

    “Ini kenyataan yang tidak boleh mereka nafikan. Jadi, kalau kita mahu kerajaan yang kuat, berkredibiliti, yang ‘deliver’ kepada rakyat, yang prihatin kepada rakyat.

    “Saya yakin mereka akan memberi peluang kepada PN untuk mentadbir negeri Johor,” katanya pada sidang akhbar selepas Makan Malam Tahun Baharu Cina bersama Dewan Perniagaan Cina Batu Pahat, Batu Pahat, malam tadi.

    Turut serta, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon dan Presiden Dewan Perniagaan Cina Batu Pahat, Boo Chin Liong.

    Justeru, Mohamed Azmin berkata, PN berharap rakyat Johor memberi mandat pemerintahan kepada gabungan itu yang terbukti telah berwibawa.

    “Masa depan negeri ini biarlah ditentukan oleh rakyat Johor berasaskan fakta dan kejayaan-kejayaan yang telah dicatatkan oleh PN.

    “Kami di sini berkhidmat kepada rakyat, mengukuhkan ekonomi dan memberikan kestabilan kepada negeri Johor.

    “Berilah peluang kepada PN untuk membentuk kerajaan yang stabil dan kuat yang dapat mencerdaskan ekonomi sekaligus membawa lebih banyak pelaburan serta mencipta peluang pekerjaan untuk anak-anak di negeri Johor,” katanya.

    Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, sekiranya kerajaan di peringkat pusat dan negeri lemah serta dipimpin oleh golongan yang tidak berwibawa akan menghalang keyakinan pelabur ke negeri ini.

    “Dewan Perniagaan Cina, ahli perniagaan dan komunitinya memerlukan sebuah kerajaan yang stabil bagi menarik keyakinan pelabur ke negeri Johor. Sebab itu saya pesan ini bukan mengenai politik, ini adalah demi masa depan generasi kita,” katanya.

    Pada PRU-14, Bersatu memenangi lapan kerusi DUN iaitu Gambir, Puteri Wangsa, Tenang, Kempas, Bukit Kepong, Bukit Permai, Larkin dan Permas, manakala tiga kerusi tambahan diperolehi selepas wakil rakyat UMNO di Sedili, Johor Lama dan Endau bertindak keluar parti untuk menyertai Bersatu.

  • 16 selamat, seorang hilang bot nelayan karam di perairan Langkawi

    16 selamat, seorang hilang bot nelayan karam di perairan Langkawi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SERAMAI 16 individu selamat manakala seorang lagi masih hilang dalam kejadian bot nelayan tempatan karam di kedudukan 5 batu nautika, barat laut Pulau Payar, Langkawi semalam.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 10.40 pagi semalam ketika bot nelayan tempatan kelas ‘A’ (Bot bilis) tersebut sedang menangkap ikan bersama beberapa bot nelayan lain.

    Katanya, bot tersebut dengan nombor pendaftaran KHF 886 dipercayai karam setelah satu daripada hosnya tercabut menyebabkan air memasuki bilik jentera sekali gus menenggelamkan keseluruhan bot dalam masa singkat.

    Sebahagian daripada nelayan yang diselamatkan dan dipindahkan ke Bot Penyelamat 5 Maritim Malaysia.

    “Sebaik bot ronda Maritim Malaysia tiba di lokasi kejadian, 16 daripada 17 kru bot itu yang merupakan warganegara Thailand termasuk tekong berusia antara 27 hingga 57 tahun, telah diselamatkan oleh dua bot nelayan tempatan di sekitar situ.

    “Mereka kemudiannnya dipindahkan ke bot Penyelamat 5 milik Maritim Malaysia dengan seorang daripadanya cedera ringan di tangan serta dada. Begitu pun seorang kru bot dikenali sebagai Phanu Tarurak, 27, masih hilang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambahnya, mangsa yang selamat diserahkan kepada majikan manakala individu yang cedera dihantar ke Hospital Sultanah Maliha (HSM), Langkawi untuk rawatan lanjut.

    Seorang daripada nelayan yang diselamatkan dan mengalami kecederaan

    Usaha mengesan dan mencari seorang lagi mangsa yang disyaki tenggelam bersama bot karam itu diteruskan dengan mendapatkan khidmat penyelam dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

    Pemilik bot tersebut turut menggunakan khidmat pasukan penyelam bebas dalam misi sama selain berusaha melakukan kerja-kerja untuk menimbulkan semula bot tersebut,” katanya.

  • Wanita hamil maut selepas kulit kepala tercabut

    Wanita hamil maut selepas kulit kepala tercabut

    SEORANG wanita hamil mati dalam keadaan negeri apabila bahagian kulit kepalanya tercabut sebaik rambutnya tersangkut pada mesin.

    Menurut laporan New York Post, insiden itu berlaku ketika mangsa, Umida Nazarova, 21, hadir ke sesi temu duga kerja di sebuah kilang di Belarus.

    Nazarova yang hamil tujuh minggu memohon pekerjaan di kilang Svarmet di Borisov, yang menghasilkan wayar kimpalan dan elektrod, lapor East2West News.

    Menurut ibu mangsa, Olga, ketika dibawa meninjau ke sekitar kawasan kilang, rambut anaknya itu dikatakan tersangkut di salah satu mesin perindustrian.

    “Rambutnya melilit leher dan ‘tertarik’ ke dalam mesin itu. Seandainya kulit kepalanya tidak dicabut, dia akan ‘tercekik’ kerana rambutnya sendiri.

    “Walaupun dilepaskan daripada mesin itu, Nazarova dilaporkan tidak sedarkan diri dan meninggal dunia akibat kecederaan dialami,” katanya.

    Dia berkata, pihak kilang sepatutnya awal-awal lagi memberi sesuatu untuk menutup kepala anaknya memandangkan rambut mangsa yang panjang.

    Dalam pada itu, Jawatankuasa Penyiasatan Belarus berkata, ketika kejadian, seorang pekerja menunjukkan Nazarova bagaimana peralatan itu beroperasi.

    Katanya, individu itu berhenti seketika untuk membuat rekod dalam daftar.

    “Sebaik pekerja itu menoleh ke belakang, dia melihat mangsa sudah terbaring di atas lantai dan dalam keadaan tidak sedarkan diri. Rambutnya berpintal di dalam mesin,” kata jurucakap jawatankuasa itu.

    Susulan insiden itu, seorang pegawai kilang dijatuhi hukuman kerana gagal menjalankan tugas, tidak jujur dan cuai hingga menyebabkan kematian.

  • Banjir Sabah: jumlah mangsa naik mendadak kepada 719 orang

    Banjir Sabah: jumlah mangsa naik mendadak kepada 719 orang

    JUMLAH mangsa banjir dipindahkan di daerah Pitas naik mendadak pagi ini kepada 719 mangsa daripada 236 keluarga, berbanding 313 orang daripada 96 keluarga malam tadi.

    Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah dalam kenyataan memaklumkan empat pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka dengan PPS Dewan Kampung Sinukab menempatkan mangsa teramai iaitu 510 mangsa daripada 170 keluarga.

    Tiga PPS lain ialah Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Pitas II kekal menempatkan 81 mangsa daripada 29 keluarga; Dewan SK Rukom (55 mangsa daripada 17 keluarga); dan Dewan Kampung Kusilad (73 mangsa daripada 20 keluarga).

    Sebanyak 10 kampung terlibat banjir susulan hujan lebat sejak Ahad lepas dengan dua kampung terbaharu yang dilanda bencana itu malam tadi ialah Kampung Boribi dan Kampung Untang-Untang/Mulung Kulung.

    Lapan lagi kampung terbabit ialah Kampung Tambilidon, Kampung Kalumpang, Kampung Taka, Kampung Saab Darat, Kampung Rukom Ulu, Kampung Kusilad, Kampung Desa Seberang dan Kampung Kanibongan.

    Cuaca pagi ini cerah di Papar, Kota Kinabalu dan kawasan lain di pantai barat Sabah, bagaimanapun hujan di kawasan utara antaranya Paitan, Labuk serta Sugut dan kawasan tengah antaranya Telupid dan Tongod. – Bernama

  • Polis buru Sajat kes penipuan tukar maklumat kad pengenalan

    Polis buru Sajat kes penipuan tukar maklumat kad pengenalan

    POLIS sekali lagi memburu usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat bagi membantu siasatan kes penipuan menukar maklumat kad pengenalan.

    Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan, Sajat yang juga saksi dikehendaki hadir prosiding perbicaraan kes berkenaan di Mahkamah Ampang Jaya pada 22 Februari.

    “Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Ampang Jaya sedang mengesan Muhammad Sajjad yang beralamat terakhir di Kota Damansara, Seksyen 10, Petaling Jaya bagi menghadiri perbicaraan kes terbabit.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan saksi itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mastura Abdul Basher di talian 0182053955,” memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Sebelum ini media melaporkan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap terhadap Sajat kerana gagal hadir pada sebutan semula kesnya tanpa sebab pada 23 Februari tahun lalu.

    Sajat turut dikehendaki di Malaysia mengikut Seksyen 186 dan 353 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam serta menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan tugas.

    Sajat kemudian menghilang dan dikesan melarikan diri ke Thailand, namun pada 8 September lalu, dia ditahan pihak imigresen negara itu kerana memiliki pasport tidak sah.

    Ketika ditahan, Sajat mengemukakan kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang dikeluarkan ibu pejabat suruhanjaya itu di Bangkok dan memaklumkan dia akan berhijrah ke Australia.

  • Bas terbabas: Empat pelajar perempuan USIM cedera di Nilai

    Bas terbabas: Empat pelajar perempuan USIM cedera di Nilai

    EMPAT pelajar perempuan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) cedera selepas bas persiaran yang dinaiki terbabas lalu melanggar sebatang pokok dan kemudiannya terbalik dalam kemalangan di Bandar Baru Nilai, di Nilai, hari ini.

    Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Nilai Raihan Che Mat berkata pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada kira-kira 7.40 pagi.

    Beliau berkata, empat pelajar tersebut masing-masing mengalami kecederaan di tangan dan di bahagian tulang belakang.

    “Bas itu membawa 17 pelajar dan sedang dalam perjalanan ke USIM. Kami menerima laporan mengenai tumpahan minyak di atas jalan raya berhadapan McDonald’s di Bandar Baru Nilai…dan bas dipercayai terbabas kemungkinan berpunca daripada tumpahan minyak itu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Katanya, kesemua pelajar itu dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) dengan ambulans unit bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS) dan Kementerian Kesihatan. – Bernama

  • Rayu Agong isytihar darurat tangguh PRN Johor

    Rayu Agong isytihar darurat tangguh PRN Johor

    PERTUBUHAN Gerak Tani Negeri Johor merayu pertimbangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengisytiharkan darurat bagi menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Menurut Pengerusinya, Datuk Maslan Aliman, pengisytiharan darurat adalah perlu selepas melihat peningkatan kes Covid-19 sejak beberapa hari lalu dan kebimbangan mengenai varian Omicron yang boleh tersebar luas.

    “Atas keprihatinan terhadap kesihatan rakyat ekoran peningkatan mendadak kes Covid 19 dan varian Omicron, patik merayu kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat bagi menangguhkan PRN Johor.

    “Keutamaan ketika ini adalah melaksanakan langkah segera bagi mengekang Covid 19 yang kembali meningkat termasuk menghadkan pergerakan rakyat melalui prosedur operasi standard (SOP),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Maslan yang juga bekas ahli jawatankuasa (AJK) Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional berkata, perkara itu dilihat bersesuaian apabila sebelum ini telah diisytiharkan darurat pilihan raya bagi beberapa negeri berikutan isu sama.

    “Perkara ini (darurat) telah dilakukan pada PRN Sarawak, Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi (Sabah) dan PRK Gerik (Perak) atas alasan sama.

    “Nyawa rakyat adalah segala-galanya sekarang, manakala mandat (PRN Johor) yang diberikan rakyat kita boleh buat sekali ketika Pilihan Raya Umum ke-15 nanti, lebih sesuai dan menjimatkan,” katanya.

  • SPRM tahan bekas pengarah kolej swasta, buat tuntutan palsu RM300,000

    SPRM tahan bekas pengarah kolej swasta, buat tuntutan palsu RM300,000

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang bekas pengarah sebuah kolej swasta di Kota Kinabalu, hari ini bagi membantu siasatan membabitkan kesalahan membuat tuntutan palsu.

    Harian Metro melaporkan, lelaki berusia 40-an itu ditahan di Pejabat SPRM Kota Kinabalu pada 10 pagi hari ini, selepas dipanggil untuk memberi keterangan.

    Suspek dipercayai melakukan kesalahan mengemukakan tuntutan palsu bernilai keseluruhan lebih RM300,000 kepada sebuah agensi kerajaan sekitar 2018 membabitkan tiga tuntutan berasingan.

    Tuntutan itu membabitkan tiga program dilaksanakan di kolejnya dengan membuat tuntutan penuh kehadiran serta elaun pelajar sedangkan terdapat pelajar tidak pernah hadir serta tidak menghabiskan kursus berkenaan.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

    “Tiada permohonan reman dan suspek dibebaskan pada hari sama selepas selesai memberi keterangan.

    “Wang jaminan ditetapkan RM5,000 dengan seorang penjamin dan suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu pada satu tarikh akan ditetapkan kemudian,” katanya.

  • Tiada keperluan percepat PRU-15:Pas

    Tiada keperluan percepat PRU-15:Pas

    TIADA keperluan untuk melaksanakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam tempoh terdekat memandangkan kerajaan yang mentadbir negara ketika ini berada dalam keadaan stabil.

    Selain itu kata Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Abdullah, perkembangan terkini kes Covid-19 yang menunjukkan peningkatan dilihat tidak sesuai untuk membenarkan PRU-15 dilangsungkan.

    “PRU15 hanya sesuai dilangsungkan jika wujud ‘gangguan’ daripada pihak pembangkang yang boleh menjejaskan kestabilan serta majoriti kerajaan.

    “Sekiranya PRU15 terus dijalankan dalam masa terdekat, berkemungkinan jangkitan akan terus meningkat. Situasi itu dilihat boleh memberikan kesan dan membahayakan rakyat.

    “Kalau ikutkan saya sebagai orang politik menang hendak pilihan raya supaya dapat menentukan kerajaan yang kukuh. Cuma kita perlu lihat keadaan, pertama peningkatan kes jangkitan Covid-19 yang sudah mencecah 10,000 kes ketika ini,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Terdahulu Timbalan Menteri Besar Kelantan itu merasmikan Majlis Apresiasi dan Penyampaian Sumbangan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) serta Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Parlimen Pengkalan Chepa 2022, Kota Bharu, hari ini.

    Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang mahu PRU-15 diadakan dengan segera untuk membolehkan rakyat memberikan mandat kukuh kepada kerajaan yang lebih stabil.

    Mohd Amar berkata, kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob ketika ini berjalan lancar dan mendapat sokongan daripada parti pembangkang iaitu Pakatan Harapan (PH) menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani pada 13 September lalu.