Author: Admin

  • Peningkatan kes Covid-19 tidak halang penganjuran Sukma

    Peningkatan kes Covid-19 tidak halang penganjuran Sukma

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENINGKATAN kes Covid-19 bukan satu halangan untuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk meneruskan penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) pada tahun ini.

    Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yakin, penganjurannya boleh dilaksanakan sekiranya mengikut prosedur operasi standard (SOP), namun skala pelaksanaannya tertakluk kepada kebenaran daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    “Saya percaya kalau kita terus menjaga SOP sebagainya, tiada acara yang boleh terganggu.

    “Malangnya ia hanya akan terganggu jika orang ramai tidak patuh kepada SOP
    dan akan menyebabkan banyak jangkitan, dan apabila itu berlaku tentunya akan merencatkan kemeriahan apa juga penganjuran,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Projek Naik Taraf dan Baik Pulih Kompleks Rakan Muda Sukan Air dan Udara, Kota Tinggi, hari ini.

    Beliau mengulas sama ada peningkatan kes Covid-19 akan menjejaskan penganjuran Sukma Kuala Lumpur.

    Sementara itu, beliau memberitahu, tarikh penganjuran Sukma Kuala Lumpur serta acara yang akan dipertandingkan dijangka dapat muktamadkan pada akhir bulan ini.

    “Kita juga masih tunggu memorandum daripada jemaah menteri untuk kita mohon daripada kerajaan agar menyediakan satu jumlah peruntukan untuk kita mengadakan Sukma Kuala Lumpur,” katanya.

    Berkenan keadaan fasiliti bagi Sukma Johor yang bakal diadakan pada 2024, Ahmad Faizal berkata, pihak berkaitan diminta agar sentiasa melakukan penyelenggaraan dan berharap agar fasiliti tersebut dapat digunakan untuk kegunaan ramai.

    “Maintainence kalau pun tidak ada Sukma, kita tetap kena selenggara…saya mohon semua pihak sebagai penyelenggara fasiliti hendak lah menjaga dengan baik.

    “Kerana semua fasiliti kita bina adalah menggunakan kantung (peruntukan) daripada kerajaan dan ia wang rakyat amat perlu kita jaga sebaik mungkin,” katanya.

  • Yakin tiada ketua bahagian Bersatu Johor keluar parti -Ahmad Faizal

    Yakin tiada ketua bahagian Bersatu Johor keluar parti -Ahmad Faizal

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TIMBALAN Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yakin, tiada ketua bahagian yang akan keluar parti terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor seperti yang tular dalam media sosial ketika ini.

    Beliau berkata, empat ketua bahagian Bersatu yang didakwa akan keluar parti, tidak akan berbuat demikian selagi mereka terus berpegang dengan prinsip dan perjuangan parti yang menolak kleptokrasi, rasuah serta salah guna kuasa.

    “Mereka akan terus bersama-sama parti melainkan ‘tergoda’ dengan tawaran pihak tertentu untuk berbuat demikian.

    “Kita yakin mereka yang tetap pendirian dan yakin dengan perjuangan Bersatu yang tolak kemungkaran, tentang puak yang telah salah guna kuasa satu ketika dulu, tentu akan bertahan.

    “Tetapi jika ada yang tergoda dan (ada ditawarkan) jajaran baharu, wallahuallam. Terpulang, tapi saya yakin sebahagian besar rakyat, kita semuanya tolak kemungkaran, kleptokrasi dan salah guna kuasa.

    “Itu yang kami sedang laksanakan dan teruskan perjuangkan dengan cara kami, semoga Allah beri petunjuk dan hidayah,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyerahan Projek Kompleks Rakan Muda Sukan Air dan Udara (Kamsau), Kota Tinggi, hari ini.

    Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan
    mengulas khabar angin empat ketua bahagian Bersatu di negeri ini akan mengumumkan keluar parti dalam masa terdekat.

    Mengenai dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan beberapa cawangan Bersatu yang keluar parti baru-baru ini, beliau menjelaskan, tindakan tersebut tidak terlalu menjejaskan atau memberi kesan terhadap Bersatu pada PRN Johor.

    Jelasnya, dua ADUN yang keluar Bersatu semasa berada dalam parti, tidak banyak menyumbang dan ada yang tidak berjaya membuka cawangan di kawasan masing-masing.

    “Kalau ada yang buka cawangan pun tak ramai, mesyuarat cawangan Bersatu tidak mudah diadakan kerana tidak cukup korum dan situasi ini turut dihadapi parti lain,” katanya.

    Katanya, orang ramai lebih faham apa yang diperjuangkan Bersatu dan percaya mereka akan bersama-sama parti yang tidak menodai janji.

    “Ada yang mengatakan perjuangan untuk agama, bangsa dan tanahair di bibir tetapi kelakuan seharian (pemimpin) semasa berkuasa berbeza. Rakyat faham perkara ini dan mereka bukan bodoh,” katanya.

    Bekas ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang dan bekas ADUN Larkin, Datuk Mohd. Izhar Ahmad mengumumkan keluar Bersatu serta merta pada 27 dan 29 Januari lalu kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan tertinggi parti itu.

  • Pasangan suami isteri antara 3 individu ditahan dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah

    Pasangan suami isteri antara 3 individu ditahan dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah

    SEPASANG suami isteri antara tiga individu warga tempatan yang ditahan polis Pulau Pinang dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah dalam tiga serbuan di sekitar Air Itam, Ahad lalu.

    Dalam operasi bermula kira-kira pukul 9 malam itu, polis turut merampas dadah iaitu masing-masing ganja seberat 22 kilogram (kg) bernilai RM55,697.50 dan syabu seberat 61.50 gram (RM6,150) dengan nilai keseluruhan RM61,847.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, sindiket itu terbongkar selepas polis menahan dua lelaki tempatan di sebuah rumah flat di Air Itam dan menjumpai empat ketul ganja serta pelbagai peralatan untuk membungkus dadah.

    Ujar beliau, kedua-dua suspek berusia 38 dan 40 tahun itu dipercayai menjalankan kegiatan mengedar dadah berkenaan di unit kediaman berkenaan yang disewa oleh abang salah seorang suspek.

    Jelasnya, serbuan itu kemudian membawa kepada penemuan sebuah kereta jenis Proton Waja yang diparkir di kawasan flat berkenaan yang mana polis menjumpai 18 bungkusan ganja yang disimpan di dalam kereta tersebut.

    “Polis kemudiannya menyerbu sebuah rumah flat berhampiran yang merupakan rumah  suspek pertama dan merampas sejumlah dadah jenis ganja dan methamphetamine serta peralatan menghisap dadah.

    “Dalam serbuan itu, kita turut menahan seorang wanita tempatan berusia 40 tahun yang merupakan isteri kepada salah seorang suspek.

    “Siasatan awal bagaimanapun mendapati wanita berkenaan tidak mengetahui mengenai aktiviti suaminya bersama rakannya itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Timur Laut hari ini.

    Menurut Soffian, suspek berusia 38 tahun merupakan penganggur dan mempunyai empat rekod jenayah lampau manakala rakannya yang bekerja sebagai pencuci kereta mempunyai tujuh rekod lampau dengan kedua-duanya positif dadah.

    Tambahnya, polis kini juga sedang mengesan abang kepada salah suspek yang ditahan kerana dipercayai merupakan dalang utama sindiket pengedaran dadah tersebut.

    Selain itu katanya, dalam operasi sama polis turut menyita sebuah kereta Toyota Vios; motosikal KTN Duke dan Yamaha LC135 dengan nilai keseluruhan dadah dan sitaan sebanyak RM151,047.

    “Dadah yang dirampas ini dipercayai untuk pasaran tempatan dan kesemua suspek direman sehingga 11 Februari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Langgar SOP Covid-19; Polis Timur Laut keluar 49 kompaun bernilai RM49,000

    Langgar SOP Covid-19; Polis Timur Laut keluar 49 kompaun bernilai RM49,000

    POLIS daerah Timur Laut, Pulau Pinang mengeluarkan sebanyak 49 kompaun berjumlah RM49,000 atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) mencegah penularan Covid-19 sepanjang Januari lalu.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 27 kompaun membabitkan mereka yang tidak mengamalkan penjarakan sosial; gagal mengimbas daftar masuk (17), tidak memakai pelitup muka (1) dan melakukan aktiviti terlarang (4).

    Kompaun itu dikeluarkan hasil pemeriksaan ke atas 167 premis-premis perniagaan, lokasi pelancongan dan sebagainya hasil kerjasama antara dengan Kementerian Kesihatan (KKM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan lain

    “Daripada pemantauan kita, orang ramai didapati mula berasa selesa dengan situasi pandemik Covid-19 apabila kes positif menunjukkan penurunan sebelum ini.

    “Jadi, kebanyakan daripada mereka semakin leka dan mengabaikan SOP pencegahan Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut hari ini.

    Sehubungan itu, Soffian mengingatkan orang ramai yang mana polis tidak akan teragak-agak mengeluarkan kompaun kepada mana-mana individu yang didapati melanggar SOP.

    Dalam masa sama, beliau juga menasihatkan para peniaga supaya turut memainkan peranan dengan mengehadkan jumlah pelanggan ke premis masing-masing supaya tidak terlalu ramai.

    “Orang ramai juga dinasihatkan supaya mengelak berada di kawasan-kawasan yang sesak dan sentiasa patuh dengan SOP dan kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan untuk memutuskan rantaian Covid-19 terutama membabitkan varian Omicron,” katanya.

  • SPR adakan sidang media PRN Johor esok

    SPR adakan sidang media PRN Johor esok

    PENGERUSI Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh akan mengadakan sidang media mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di Johor Bahru, esok.

    Menerusi satu kenyataan pada hari ini, SPR memaklumkan sidang media itu akan diadakan pada jam 12.30 tengah hari selepas selesai mesyuarat khas berkenaan tarikh-tarikh penting dalam PRN tersebut.

    “SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas Berkaitan Urusan Pilihan Raya Umum Dewan Negeri Johor ke-15 pada 9 Februari 2022 bermula jam 10 pagi.

    “Sidang media oleh Datuk Abdul Ghani Salleh, Pengerusi SPR akan diadakan selepas mesyuarat khas tersebut,” menurut kenyataan itu.

    Sidang media tersebut dijangka bakal mengumumkan tarikh-tarikh penting PRN Johor seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan.

    Mesyuarat tersebut susulan penerimaan satu notis rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat berhubung pembubaran DUN Johor penggal yang ke-14 seperti yang termaktub di bawah Fasal (2) Perkara 23 Bahagian Kedua, Undang-Undang Negeri Johor, Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895.

  • Agong seru rakyat ambil vaksin, dos penggalak

    Agong seru rakyat ambil vaksin, dos penggalak

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa menyeru rakyat yang belum mendapatkan vaksinasi COVID-19 supaya berbuat demikian.

    Seri Paduka bertitah ia termasuklah mendapatkan dos penggalak bagi memastikan negara dapat mengawal pandemik COVID-19.

    “Negara masih lagi belum bebas daripada pandemik COVID-19, justeru marilah kita bersama-sama mematuhi panduan dan peraturan dalam usaha untuk memerangi COVID-19 yang telah digariskan oleh kerajaan beta,” titah baginda sempena Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2022 di Istana Negara Kuala Lumpur hari ini.

    Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke istiadat itu.

    Pada majlis itu, Seri Paduka berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat kepada 263 penerima bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2022.

    Sementara itu, Al-Sultan Abdullah bertitah supaya rakyat Malaysia bersama-sama mengulangi iltizam untuk terus mengeratkan perpaduan dan menghindari perpecahan.

    “Sesungguhnya asas kekuatan sebuah negara adalah ikatan perpaduan serta semangat seia dan sekata dalam menjunjung prinsip Rukun Negara demi memastikan kedaulatan tanah tumpahnya darah ini terus terpelihara,” titah baginda. – Bernama

  • Bicara kes Shahrir Samad bermula 26 Julai

    Bicara kes Shahrir Samad bermula 26 Julai

    PERBICARAAN kes bekas Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Ab Samad yang didakwa gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan bermula 26 Julai depan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di hadapan hakim lain.

    Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh itu semasa pengurusan kes tersebut, hari ini.

    Timbalan Pendakwa Raya Mohd ‘Afif Ali berkata, kes itu dipindahkan dari Mahkamah Tinggi Jenayah lima (MTJ 5) untuk didengar di hadapan Hakim Muhammad Jamil.

    “Tarikh bicara sebelum ini telah ditetapkan di MTJ 5 (Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh),” katanya yang turut memaklumkan akan memanggil 19 saksi pada perbicaraan kes itu.

    Hakim Muhammad Jamil berkata, tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan oleh mahkamah sebelum ini terpaksa dijadualkan semula kerana beliau perlu mendengar beberapa kes lain dan menetapkan 26 hingga 28 Julai, 8 hingga 11 Ogos, 5 hingga 8 September dan 3 hingga 6 Oktober untuk perbicaraan.

    Hakim Ahmad Shahrir yang dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Sivil mulai semalam sebelum ini menetapkan perbicaraan bermula pada 6 April.

    Shahrir, 72, yang diwakili peguam Syahrul Syazwan Salehin hadir pada prosiding hari ini.

    Shahrir didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113 (1) (a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun bank milik tertuduh.

    Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di Kuala Lumpur pada 25 April 2014.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – Bernama

  • Dua penjawat awam direman 4 hari kes rasuah

    Dua penjawat awam direman 4 hari kes rasuah

    DUA penjawat awam direman empat hari bermula hari ini oleh Mahkamah Majistret, di Shah Alam, Selangor kerana disyaki meminta wang suapan RM20,000 sebagai balasan untuk menutup satu kes siasatan berkaitan dokumen palsu. 

    Majistret Sabreena Bakar @ Bahari membenarkan perintah reman sehingga Jumaat selepas permohonan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.

    Memetik laporan Berita Harian, sumber memaklumkan, kedua-dua suspek lelaki berusia 36 tahun dan 37 tahun itu dipercayai meminta wang daripada seorang lelaki atas dakwaan menggunakan dokumen palsu dalam perjanjian sewaan rumah membabitkan wang berjumlah RM4,000. 

    Sumber berkata, kedua-dua suspek ditahan pada jam 4 petang dan 6 petang semalam di sekitar Gombak.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

  • Polis tahan lelaki warga asing seludup minuman keras

    Polis tahan lelaki warga asing seludup minuman keras

    PASUKAN Gerakan Am (PGA) menahan seorang lelaki warga asing disyaki terlibat menjalankan penyeludupan minuman keras tidak bercukai dianggarkan bernilai RM28,116 selepas menyerbu sebuah rumah di Taman Kim Chuan, Pelabuhan Klang, Shah Alam, semalam.

    Menurut Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Rizal Mohamed, semakan lanjut mendapati lelaki berusia 45 tahun itu tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

    “Hasil pemeriksaan lanjut di dalam dua kenderaan, kita menemui 172 kotak berisi minuman keras disyaki diseludup, kita turut merampas telefon bimbit suspek,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian, hari ini.

    Rizal berkata, suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan untuk siasatan lanjut.

    “Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau memohon masyarakat agar memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kepada Polis Diraja Malaysia berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.

  • Kes rasuah 1MDB: Proses pemilihan juri perbicaraan Roger Ng bermula

    Kes rasuah 1MDB: Proses pemilihan juri perbicaraan Roger Ng bermula

    PERBICARAAN kes rasuah 1MDB membabitkan bekas ketua pelaburan perbankan Goldman Sachs Malaysia, Roger Ng kini bermula prises dengan pemilihan juri oleh mahkamah di New York, Amerika Syarikat pada Isnin lepas.

    Roger berhadapan dengan pertuduhan berkomplot dalam pengubahan wang haram melibatkan ratusan juta wang 1MDB dan merasuah pegawai kerajaan Malaysia.

    Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan berkomplot untuk mengubah wang haram dan melanggar undang-undang antirasuah.

    Bekas majikan Roger, Goldman Sachs membantu penjualan bon 1MDB bernilai AS$6.5 bilion, yang dilancarkan bekas perdana menteri Najib Razak untuk menggalakkan pembangunan ekonomi.

    Pihak berkuasa berkata, pegawai syarikat dan sekutu mereka menyelewengkan sebahagian wang tersebut untuk berbelanja mewah, manakala pegawai Goldman Sachs memberi rasuah lebih AS$1.6 bilion kepada pegawai di Malaysia dan Abu Dhabi untuk urus niaga 1MDB.

    Pada 2020, Goldman setuju untuk membayar penalti AS$2.9 bilion dan agar unitnya di Malaysia mengakui salah laku jenayah bagi menyelesaikan siasatan oleh Jabatan Kehakiman AS (DOJ) dan pihak berkuasa lain berhubung peranannya dalam 1MDB.

    Pada Isnin, Hakim Daerah AS, Margo Brodie menyoal sejumlah calon juri di mahkamah persekutuan Brooklyn berhubung kemungkinan perkaitan mereka dengan individu atau entiti yang mungkin disebut dalam perbicaraan, dan jika mereka boleh berlaku adil dan tidak berat sebelah.

    Beberapa calon juri berkata, mereka mempunyai tanggapan negatif yang kuat tentang bank, walaupun tiada yang disingkirkan serta-merta.

    Pernyataan pembukaan untuk perbicaraan ini dijadual bermula pada hari Isnin, 14 Februari.

    Roger telah ditangkap di Malaysia pada November 2018 dan diekstradisi enam bulan kemudian.

    Tim Leissner, seorang lagi bekas pegawai Goldman, mengaku bersalah pada 2018 atas peranannya dalam skandal itu. Dia dijadualkan dijatuhkan hukuman pada Mac. – Reuters