Author: Admin

  • Abdul Latiff nafi bertanding, jadi calon MB Johor

    Abdul Latiff nafi bertanding, jadi calon MB Johor

    AHLI Parlimen Mersing Datuk Abdul Latiff Ahmad menafikan akan bertanding di mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Perkara tersebut disahkan beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas)kepada Astro AWANI hari ini.

    Beliau berkata, keputusan itu dibuat untuk membolehkannya menumpukan usaha kepada tugasnya sebagai menteri dan selaku Ahli Parlimen di kawasannya.

    Abdul Latiff akan memberikan sepenuh komitmen dalam membantu gerak kerja parti dan Perikatan Nasional (PN) bagi memastikan kemenangan calon-calon.

    “Susulan pembubaran DUN Johor, saya ingin memaklumkan bahawa saya tidak akan bertanding kerusi DUN pada PRN Johor yang akan diadakan tidak lama lagi.

    “Saya juga menyeru kepada semua rakyat Johor agar menunaikan tanggungjawab mereka untuk keluar mengundi, dan membuat pilihan bijak terutamanya 700,000 pengundi baru termasuk 180,000 anak muda yang berusia 18-20 tahun, yang didaftarkan secara automatik oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR),” katanya lagi.

    Sementara itu Setiausaha Akhbar Abdul Latiff, Mohd. Ikhmal Abu Bakar memberitahu, kenyataan itu dibuat bagi menolak spekulasi bahawa AhlI Parlimen Mersing itu merupakan calon Menteri Besar Johor bagi PN.

    “Saya minta pihak-pihak tertentu agar tidak membuat sebarang spekulasi liar, tanpa merujuk kepada pihak yang sepatutnya,” katanya lagi.

    Terdahulu, sebuah portal memetik sumber sebagai berkata, Abdul Latiff berkemungkinan besar akan ditempatkan di kerusi DUN Tenggaroh, sebagai persiapan untuk menjadi Menteri Besar, seandainya PN berjaya membentuk kerajaan dengan majoriti yang ditetapkan.

    “Pengalaman Abdul Latiff sebagai Ahli Parlimen Mersing selama lima penggal, dan sebagai Menteri JPM, memberi beliau kelebihan berbanding calon-calon lain untuk kerusi tersebut, sekiranya beliau memilih untuk bertanding dan menang kerusi itu,” menurut laporan itu lagi.

    Setakat ini, Barisan Nasional (BN) sah meletakkan Datuk Mohamad Hasni untuk terus menjadi calon MB, manakala Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik pula disebut-sebut sebagai calon paling sesuai untuk Pakatan Harapan (PH).

    Sebelum ini, Bersatu mempunyai dua Menteri Besar, iaitu Allahyarham Datuk Osman Sapian sewaktu era Pakatan Harapan, dan Datuk Dr. Sahruddin Jamal sewaktu era PN.

  • ”Siapa sebenarnya pengkhianat, saya atau mereka? ”

    ”Siapa sebenarnya pengkhianat, saya atau mereka? ”

    Oleh TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN

    ADA pemimpin UMNO menghasut orang Melayu supaya percaya saya pengkhianat.

    Kononnya sayalah yang menyebabkan kerugian kepada orang Melayu apabila menubuhkan Bersatu dan bekerjasama dengan PKR dan DAP menjatuhkan UMNO.

    Mereka cuba menutup hakikat sebenar bahawa UMNO dikhianati oleh bekas Presiden UMNO sendiri, iaitu Dato’ Seri Najib Tun Razak. Beliau membiarkan skandal 1MDB menjadi terlalu besar dan buruk sehingga majoriti rakyat membenci UMNO.

    Beliau memecat saya sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 2015 hanya kerana menyarankan agar isu 1MDB disiasat secara telus. Saya sarankan demikian supaya ia tidak menimbulkan sebarang tanggapan buruk kepada kerajaan dan parti pada ketika itu.

    Malangnya saranan saya dijawab dengan pemecatan dari kerajaan dan UMNO. Ingat, saya dipecat bukan kerana skandal rasuah mahupun salah laku moral. Saya dipecat kerana meminta diadakan siasatan bagi memastikan mereka yang bertanggungjawab dalam kehilangan RM42 bilion wang 1MDB dibawa ke muka pengadilan.

    Adakah orang Melayu telah lupa saat kita dimalu dan dipandang hina di seluruh dunia kerana skandal 1MDB? Apakah orang UMNO tidak tahu bahawa punca mereka kalah adalah kerana Dato’ Seri Najib menyeret parti dalam skandal beliau?

    Jika saya dianggap pengkhianat kerana mendedahkan skandal 1MDB dan menubuhkan Bersatu untuk menentang kumpulan kleptokrat di dalam UMNO, saya rela dengan gelaran tersebut.

    Kini terbukti perjuangan saya adalah benar. Mahkamah telah menjatuhkan hukuman bersalah ke atas Dato’ Seri Najib atas kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International yang ada hubung kait dengan 1MDB.

    Jelas skandal 1MDB bukan satu fitnah. Bukan satu rekaan. Kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan saya telah mengutip semula lebih RM16 bilion wang dan aset berkaitan syarikat 1MDB yang telah diseleweng.

    Kes 1MDB masih dibicarakan di negara kita. Keputusan Mahkamah Rayuan berhubung kes SRC International juga sedang dirayu di peringkat Mahkamah Persekutuan.

    Selain kes 1MDB dan SRC International, terdapat beberapa kes pecah amanah dan pengubahan wang haram yang melibatkan pemimpin UMNO. Mereka ini digelar Kluster Mahkamah.

    Ya, saya jadi Perdana Menteri kerana disokong oleh Ahli-ahli Parlimen termasuk daripada Kluster Mahkamah. Ada orang kata tidak malukah saya terima sokongan Kluster Mahkamah untuk jadi Perdana Menteri. Saya tidak minta untuk jadi Perdana Menteri. Saya tidak pernah berkempen pun untuk jadi Perdana Menteri. 

    Saya hanya mengikut apa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Apabila saya mendapat sokongan majoriti Ahli-ahli Parlimen, saya dilantik oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri. Maka sahlah pelantikan saya itu.

    Selepas itu barulah saya sedar bahawa sokongan mereka itu sebenarnya ibarat pepatah ada udang di sebalik batu. Selang beberapa hari selepas saya dilantik menjadi Perdana Menteri, Kluster Mahkamah ini berjumpa saya meminta saya campur tangan dalam kes mereka supaya mereka dibebaskan.

    Walaupun saya tahu kedudukan saya sebagai Perdana Menteri bergantung kepada sokongan mereka, saya katakan tidak kepada mereka kerana saya tidak mahu mengkhianati sumpah dan amanah jawatan saya sebagai Perdana Menteri.

    Saya tidak sanggup menggadai prinsip perjuangan saya dan asas perjuangan parti saya semata-mata kerana mahu kekal berkuasa.

    Saya juga tidak melantik sesiapa pun yang sedang didakwa di mahkamah atau sedang dalam siasatan pihak berkuasa untuk menjadi anggota Kabinet saya walaupun mereka berjawatan tinggi dalam parti UMNO.

    Saya buat perkara yang betul, jadi buat apa saya berasa malu?

    Sejak dari itulah bermulanya gerakan Kluster Mahkamah ini untuk menjatuhkan saya. Kalau saudara dan saudari masih ingat, sepanjang saya menjadi Perdana Menteri, UMNO yang dikuasai oleh Kluster Mahkamah menentang hampir setiap dasar dan inisiatif kerajaan Perikatan Nasional walaupun ia baik untuk rakyat. Gelagat mereka tidak ubah seperti pembangkang.

    Saudara dan saudari tentunya juga masih ingat rakaman audio seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang bercakap dalam Mesyuarat MT UMNO pada bulan Julai 2021. Dia menggesa UMNO menarik sokongan kepada saya ketika kes-kes Covid-19 sedang meningkat. Kononnya apabila kes-kes Covid-19 telah menurun, kerajaan PN akan mendapat kredit dan sukarlah untuk UMNO melawan PN.

    Itulah yang dilakukan oleh UMNO. Kira-kira sebulan selepas itu, 15 Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan kepada saya dan jatuhlah Kerajaan Perikatan Nasional. Mereka berharap apabila saya jatuh, mereka akan menguasai semula kerajaan. Dengan menguasai kerajaan mereka fikir masalah mereka boleh diselesaikan.

    Tetapi perancangan mereka masih belum berhasil kerana PN masih lagi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan dan sokongan PN kepada Perdana Menteri daripada UMNO adalah dengan syarat Perdana Menteri tidak mencampuri urusan mahkamah.

    Jadi tidak peliklah Kluster Mahkamah ini masih tidak berpuas hati. Mereka mahu PN tidak lagi menjadi sebahagian daripada kerajaan dan dengan itu kerajaan akan dikuasai sepenuhnya oleh parti UMNO yang dikuasai oleh kluster ini.

     Satu cara untuk kumpulan ini kembali berkuasa ialah dengan menumbangkan kerajaan-kerajaan negeri yang dibentuk melalui gabungan dengan PN supaya diadakan pilihan raya negeri. Apabila diadakan pilihan raya dan jika parti mereka menang, kepimpinan parti yang diterajui oleh Kluster Mahkamah akan dilihat semakin kuat dan berpengaruh.

    Strategi ini bermula selepas BN menang PRN Melaka. Mereka berasa cukup yakin bahawa rakyat telah kembali menyokong mereka walaupun BN hanya mendapat 38.5 peratus undi. Kerana itu kumpulan ini telah merancang pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor untuk diadakan Pilihan Raya Negeri Johor.

    Mereka memilih Johor kerana Johor dikatakan negeri kubu kuat UMNO. Jika parti mereka menang PRN Johor, mereka akan mendesak Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen supaya Pilihan Raya Umum pula dapat diadakan.

    Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob adalah Perdana Menteri tetapi yang menguasai UMNO adalah Presiden UMNO. Apabila Parlimen dibubarkan, yang berkuasa menentukan calon yang akan bertanding dan mengetuai parti dalam pilihan raya adalah Presiden, bukan Perdana Menteri.

    Jika parti mereka menang dalam pilihan raya, lazimnya yang akan diangkat menjadi Perdana Menteri adalah Presiden parti.

    Jika ini berlaku, maka lengkaplah perancangan Kluster Mahkamah. Mereka akan kembali berkuasa dan selesailah masalah mereka, na’uzubillah.

    Jadi siapa sebenarnya pengkhianat? Saya atau mereka?

    Sebagai orang Johor, saya percaya pengundi di negeri Johor adalah bijaksana. Saya tidak fikir Bangsa Johor yang beradab, berhemah dan tinggi nilai moral dan agamanya rela membiarkan PRN Johor digunakan sebagai alat untuk Kluster Mahkamah dan kleptokrat kembali berkuasa.

    Hanya satu cara untuk mengalahkan Kluster Mahkamah iaitu dengan memastikan BN kalah dalam PRN Johor.

  • SOP PRN Johor kini peringkat akhir untuk dimuktamad

    SOP PRN Johor kini peringkat akhir untuk dimuktamad

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) yang akan diguna pakai menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum hari penamaan calon.

    Ketua Komunikasi Korporat SPR, Mohammad Azlan Charles Abdullah berkata, proses penyediaan SOP kini di peringkat akhir untuk dimuktamadkan.

    “SOP bagi PRN Johor masih lagi dalam peringat akhir dan kita akan cuba keluarkan lebih awal, SOP itu sepatutnya diumumkan sebelum hari penamaan, jadi InshaAllah kita akan keluarkan.

    “SPR akan mengumumkan melalui kenyataan media sesudah kita mendapat kelulusan daripada pihak berkenaan iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan selepas Taklimat SPR Bersama Petugas Media Sempena PRN Johor, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru, hari ini.

    Program berkenaan dihadiri petugas media tempatan daripada pelbagai platform media termasuklah akhbar, televisyen dan juga digital.

    Kelmarin, SPR memaklumkan PRN Johor akan diadakan pada 12 Mac, manakala tarikh mengundi awal pada 8 Mac dengan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari.

  • Kerana Covid-19 Indonesia tarik diri Piala AFF B-23

    Kerana Covid-19 Indonesia tarik diri Piala AFF B-23

    SKUAD Bawah-23 Indonesia terpaksa membuat keputusan menarik diri daripada saingan kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 Bawah 23 Tahun (B-23) di Phnom Penh, Kemboja dari 14 hingga 26 Februari ini.

    Keputusan itu dibuat susulan penularan jangkitan Covid-19 yang melanda skuad bimbingan Shin Tae-Yong tersebut.

    Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) dalam kenyataan di laman webnya memaklumkan, tujuh pemain dan seorang pegawai telah disahkan dijangkiti COVID-19.

    Tujuh pemain itu adalah Ronaldo Joybera R. Junior, Muhammad Ferrari, Braif Fatari, Taufik Hidayat, Irfan Jauhari, Ahmad Figo Ramadhani dan Cahya Supriyadi.

    Selain itu, empat lagi pemain iaitu Alfeandra Dewangga, Genta Alparedo, Muhammad Kanu Helmiawan dan Marcelino Ferdinan pula terpaksa menjalani tempoh kuarantin kerana menjadi kontak rapat kepada pemain yang dijangkiti.

    Faktor lain yang membuatkan Indonesia terpaksa menarik diri adalah disebabkan masalah kecederaan dengan tiga pemain iaitu Gunansar Mandowen, Ramai Rumakiek, dan Muhammad Iqbal.

    Ketiga-tiga pemain itu mengalami kecederaan sewaktu tugasan bersama kelab masing-masing di Liga 1 Indonesia.

    Baca artikel berkaitan: Anak buah Maloney siap sedia ‘gempur’ Kemboja

    Keadaan tersebut memaksa Tae-Yong mengusulkan kepada PSSI untuk membatalkan penyertaan Indonesia di Piala AFF B-23 dan diterima badan induk tersebut.

    “Dengan sangat kesal, kami harus membatalkan penyertaan Indonesia di Piala AFF B-23 kerana alasan di atas.

    “Kami meminta maaf kepada semua pihak kerana situasi ini di luar kawalan kami. Saat ini, kami fokus untuk penyembuhan pemain yang dijangkiti COVID-19 dan mengalami kecederaan,” kata Setiausaha Agung PSSI, Yunus Nusi.

    Indonesia merupakan saingan terkuat Malaysia dalam Kumpulan B kejohanan tersebut yang turut menyaksikan Myanmar dan Laos berada dalam kumpulan sama.

    Malaysia sepatutnya bertemu Indonesia dalam perlawanan terakhir pada 21 Februari di Stadium Kebangsaan Morodok Techo, Phnom Penh.

  • PRN Johor: Pas telah kenal pasti jumlah kerusi

    PRN Johor: Pas telah kenal pasti jumlah kerusi

    PAS telah mengenal pasti anggaran jumlah kerusi yang bakal ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac nanti.

    Memetik laporan Sinar Harian, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bagaimanapun memberitahu, penetuan kerusi tersebut akan dibincangkan bersama rakan pakatan dalam Perikatan Nasional (PN).

    Menurut beliau, anggaran jumlah kerusi sudah ada, cuma Pas Pusat akan dengar terlebih dahulu daripada Pas Johor sebelum dinilai dengan turun sendiri ke kawasan yang sepatutnya Pas bertanding nanti.

    Abdul Hadi memberitahu demikian kepada media ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Rusila, Marang hari ini.

    Menurut Abdul Hadi, Pas akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor menggunakan tiket PN dan calon yang akan mewakili parti itu sedang dikenal pasti.

    Ahli Parlimen Marang itu berkata, antara kriteria yang akan dipilih Pas sebagai calon ialah individu yang adil dan tidak bersifat fasiq.

    “Selain itu, calon mesti berpengetahuan luas dan mampu menjalankan tugas dengan baik,” ujar beliau.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai tarikh PRN Johor bagi mengisi kekosongan 56 kerusi DUN.

  • Orang Kedah tenang-tenang saja tapi ada orang lain dok kalut nak PRN

    Orang Kedah tenang-tenang saja tapi ada orang lain dok kalut nak PRN

    Oleh RIZQI ZABIDI

    ANGIN tak ada, ribut lagilah tak ada. Tetapi entah siapa-siapalah yang memandai-mandai buat cerita kononnya politik di Kedah ini bergolak.

    Orang di Kedah ini hakikatnya tenang-tenang saja, selesa menjalani kehidupan di bawah pemerintahan ‘sempoi’ Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang terus menunjukkan keberhasilan. Namun adalah juak-juak berkepentingan yang membuat onar dengan mendakwa terdapat lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan berpaling tadah bagi menarik sokongan terhadap Muhammad Sanusi.

    Hakikatnya perkara itu tidak wajar dilayan pun kerana tiada asas kukuh untuk diperdebatkan. Kestabilan politik yang ada di Kedah pada hakikatnya tidak menggambarkan kewajaran untuk mana-mana pihak mengusahakan agar dilaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri  ini.

    Ketika dihubungi Warta Rakyat baru-baru ini, seorang daripada dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO di Kedah, Datuk Suraya Yaacob menganggap cakap-cakap mengenai pergolakan politik di Kedah hanyalah satu bentuk provokasi yang tidak perlu diambil pusing.

    “PRN yang diadakan di negeri-negeri lain sebelum ini diadakan kerana tidak terdapat kestabilan politik di sana. Di Johor misalnya, kerajaan cuma memiliki kelebihan 1 majoriti sampaikan nak buat apa pun tak boleh, sebab itu perlu ada PRN.

    “Tetapi di Kedah ini apa benda yang tidak stabil? Pembangkang di Kedah ada 13 kerusi manakala di pihak kerajaan ada 23 kerusi dengan 15 daripadanya dikuasai Pas. Jadi apa yang tak stabil?” Soalnya.

    Justeru kata Ketua Penerangan UMNO Kedah itu, semua pihak seharusnya lebih bijak bertindak untuk tidak menari mengikut gendang dipalu golongan tertentu.

    “Bagi saya ini semua provokasi daripada pihak yang memiliki kefahaman salah mengenai kestabilan politik yang ada di Kedah,” katanya.

    Tidak cukup dengan itu, ada pula pihak yang mengaitkan lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Kedah baru-baru ini sebagai ‘petanda’ kononnya akan berlaku PRN di negeri ini.

    Walhal dalam lawatan kerja itu, Perdana Menteri bersama Muhammad Sanusi cukup mesra duduk bersebelahan bagi melancarkan Bandar Raya Getah Kedah (KRC) di Padang Terap, yang bakal menjadi ‘game changer’ kepada pembangunan ekonomi negeri ini.

    Malah pertemuan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO bersama Jawatankuasa Biro Politik UMNO Bahagian seluruh Kedah sehari sebelum itu, tidak langsung membincangkan mengenai penarikan sokongan terhadap Muhammad Sanusi atau perancangan mengadakan PRN di Kedah dengan perkara tersebut disahkan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Othman Aziz.

    “Saya sahkan bahawa perkara mengenai penarikan sokongan atau PRN tidak langsung berbangkit dalam pertemuan itu. Tiada pihak yang mendesak untuk diadakan PRN malah perbincangan lebih kepada hal dalaman parti termasuk persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    “Isu penarikan sokongan dan PRN ini bagi saya cuma ditimbulkan oleh golongan tertentu yang mahu ‘test market’. Mungkin juga pembangkang yang menimbulkannya kerana mereka mahu mengalihkan pandangan orang ramai terhadap kelemahan mereka di Johor,” katanya.

  • Pendaki wanita meracau semasa di Gunung Kinabalu

    Pendaki wanita meracau semasa di Gunung Kinabalu

    SEORANG wanita berusia 50-an tiba-tiba meracau ketika mendaki di Gunung Kinabalu di Ranau, petang semalam.

    Kejadian itu disedari pendaki lain sebelum sepasukan anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (Mosar) datang membantu.

    Pendaki wanita berkenaan kemudian dibawa turun dari Kilometer 4 menuju ke Pondok Timpohon dengan menggunakan alat ‘stretcher’.

    Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 7 malam.

    Katanya, seramai lima pegawai bomba bantuan (PBB) Mosar digerakkan selepas menerima laporan tersebut.

    “Pasukan Mosar kemudian bergegas ke lokasi dan bertindak membawa mangsa turun menggunakan Robinson Stretcher untuk ke Pondok Timpohon,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Katanya, sebaik tiba mangsa diserahkan kepada ahli keluarganya untuk dibawa ke rumah penginapan dan operasi tamat pukul 1.20 pagi.

  • Pelajar retak tempurung kepala dipukul senior kerana berebut gadis

    Pelajar retak tempurung kepala dipukul senior kerana berebut gadis

    HANYA kerana seorang gadis, seorang pelajar senior sanggup memukul kepala seorang pelajar lain dengan sebiji batu sehingga menyebabkan tempurung kepalanya retak.

    Dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Gua Musang, Kelantan itu, seorang pelajar lelaki dipukul pelajar senior sehingga retak tempurung kepala.

    Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, kejadian berlaku pada 11.15 pagi Selasa lalu, di mana mangsa, seorang pelajar Tingkatan 4 sekolah itu didatangi lima pelajar tingkatan lima ketika berada di luar kelas.

    Katanya, mangsa terus dipukul oleh mereka pada bahagian badan beramai-ramai sebelum seorang suspek memukul kepala mangsa menggunakan batu sehingga menyebabkan bahagian kiri tempurung kepalanya retak.

    “Pergaduhan itu dileraikan oleh pengawas yang lalu di situ.

    “Selain cedera di kepala, mangsa turut bengkak di beberapa bahagian anggota badan seperti tangan kanan dan kiri, belakang badan dan lenguh di kaki,” katanya.

    Choon Foo berkata, mangsa menerima rawatan di Hospital Gua Musang dan dimasukkan ke wad untuk menjalani rawatan susulan.

    Beliau berkata, punca kejadian dipercayai akibat rasa tidak puas hati suspek kerana mereka meminati pelajar perempuan yang sama.

    “Semua pelajar senior yang didakwa memukul mangsa sudah diambil keterangan oleh polis dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya selain memaklumkan bahawa kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

  • Lelaki maut tersepit celah tayar lori

    Lelaki maut tersepit celah tayar lori

    SEORANG penunggang motosikal maut selepas tersepit di tayar belakang sebuah lori kontena di Jalan Sungai Buloh menghala Damansara Damai, Sungai Buloh, hari ini.

    Kemalangan tersebut membabitkan lori kontena dengan sebuah motosikal Honda EX5 yang ditunggang mangsa.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada 8.16 pagi.

    “Seramai enam anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh dikejarkan ke lokasi kejadian.

    “Penunggang motosikal terbabit dikenali Danial Imran Kamarolzama berusia 31 tahun tersepit dan disahkan meninggal dunia,” katanya memetika laporan Harian Metro, hari ini.

    Norazam berkata, anggota bertindak membawa keluar mangsa menggunakan peralatan ‘air lifting bag’ dan jentera lain.

    “Kami mengambil masa beberapa minit bagi mengeluarkan mangsa sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

  • Mahkamah tangguh prosiding saman 1MDB AS$8 bilion terhadap Najib, tujuh lain

    Mahkamah tangguh prosiding saman 1MDB AS$8 bilion terhadap Najib, tujuh lain

    PROSIDING saman sivil 1Malaysia Development Berhad (1MDB) AS$8 bilion di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini terhadap Datuk Seri Mohd. Najib Razak dan tujuh pihak lain ditangguhkan.

    Penangguhan itu sehingga kes jenayah berkaitan penyelewengan dana syarikat pelaburan strategik negara yang dihadapi bekas Perdana Menteri itu selesai, lapor Sinar Harian.

    Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Mohd Najib berkata, pihak 1MDB selaku plaintif dan defendan-defendan bersetuju untuk menangguhkan prosiding saman sivil itu.

    “Maka anak guam saya menarik balik permohonan untuk menggantung prosiding berkenaan yang sepatutnya didengar hari ini.

    “Bagaimanapun mahkamah meminta kedua-dua pihak memfailkan pembelaan dan permohonan interlokutori sebagai persediaan sebelum bicara kes saman bermula,” katanya ketika ditemui selepas prosiding pengurusan kes di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Atan Mustaffa Yussof Ahmad.

    Ia turut disahkan oleh peguam Datuk DP Naban yang mewakili 1MDB dan empat anak syarikatnya iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited selaku plaintif.

    Pada Khamis, mahkamah dijadualkan mendengar permohonan Mohd Najib untuk menggantung prosiding saman sivil AS$8 bilion oleh 1MDB.

    Namun, permohonan penggantungan itu ditarik balik selepas kedua-dua pihak bersetuju perbicaraan tidak akan dimulakan buat masa ini.

    Saman AS$8 bilion itu adalah salah satu daripada 22 saman sivil yang difailkan untuk menuntut lebih AS$23 bilion terhadap beberapa individu yang didakwa terlibat dalam skandal kewangan melibatkan 1MDB.

    Pada 7 Mei 2021, writ saman itu pada asalnya difailkan oleh 1MDB dan dan empat anak syarikat kepada 15 defendan termasuk bekas Perdana Menteri.

    Empat anak syarikat itu ialah 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited, atau lebih dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited selaku plaintif.

    Selain Mohd Najib, saman itu difailkan terhadap bekas Pengarah 1MDB, Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, Tan Sri Ismee Ismail, Tan Sri Ong Gim Huat dan Ashvin Jethanand Valiram.

    Turut dinamakan sebagai defendan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Mohd Hazem Abdul Rahman, Azmi Tahir, Radhi Mohamad serta bekas pegawai 1MDB, Terence Geh Choh Heng, Jasmine Loo Ai Swan, Casey Tang Keng Chee, Vincent Beng Huat Koh, Kelvin Tan Kay Jin dan Nik Faisal Ariff Kamil.

    Bagaimanapun pada 16 Ogos 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya dilapor menggugurkan tujuh daripada 15 defendan itu.

    Mereka ialah Che Lodin, Ismee, Gim Huat, Ashvin Jethanand, Shahrol Azral, Mohd. Hazem dan Azmi.