Author: Admin

  • Penyeludupan PATI meningkat, lebih 50 laluan tikus dikenal pasti

    Penyeludupan PATI meningkat, lebih 50 laluan tikus dikenal pasti

    LEBIH 50 laluan tikus yang digunakan penyeludup untuk membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) terutama dari Indonesia ke negara ini dikenal pasti di sepanjang perairan Selangor hingga ke Perak.

    Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Asisten Komissioner Shamsol Kassim berkata, laluan tikus itu dikenal pasti bermula di sekitar perairan Klang, Sabak Bernam, Selangor sehingga ke perairan Hutan Melintang, Perak.

    Menurut beliau, pihaknya juga mendapati aktiviti penyeludupan PATI itu meningkat kebelakangan ini susulan pembukaan semula aktiviti ekonomi terutama melibatkan sektor perladangan.

    Ujarnya, hasil siasatan juga mendapati seorang PATI membayar RM1,500 hingga RM2,000 kepada penyeludup untuk masuk ke negara ini selepas dijanjikan pekerjaan dalam bidang perladangan; pembantu rumah dan sebagainya.

    “Modus operandi yang digunakan oleh penyeludup PATI ini adalah mereka memasuki perairan negara pada waktu malam tanpa menggunakan lampu.

    “Mereka juga menggunakan bot-bot nelayan yang diubah suai sehingga mampu memuatkan antara 100 hingga 200 orang PATI dalam sesebuah bot,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

    Menurut beliau, jarak antara Indonesia dengan kawasan perairan di Selangor yang hanya kira-kira empat hingga lima jam perjalanan juga menyebabkan perairan itu menjadi laluan tumpuan penyeludup.

    Dalam masa sama ujarnya, kawasan yang menjadi laluan tikus itu juga agak jauh daripada pangkalan utama polis.

    “Bagaimanapun, kita sentiasa meningkatkan rondaan di kawasan sempadan negara terutama melibatkan kawasan-kawasan yang menjadi ‘hotspot’ laluan tikus ini,” katanya.

    Dalam perkembangan berkaitan, Shamsol berkata, sejak Januari hingga semalam, pihaknya berjaya menahan seorang warga tempatan dan 12 warga Indonesia yang merupakan penyeludup serta ahli sindiket penyeludupan.

    Dalam empoh sama tambahnya, seramai 188 PATI warga Indonesia berusia 21 hingga 45 tahun termasuk 42 wanita turut ditahan dalam operasi di perairan Sungai Buluh, Tanjung Karang dan Sungai Serdang, Selangor.

  • Na’im mohon penghakiman ingkar RM30 juta selepas Lokman gagal failkan pembelaan

    Na’im mohon penghakiman ingkar RM30 juta selepas Lokman gagal failkan pembelaan

    EKORAN kegagalan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Lokman Noor Adam atas kenyataan berunsur fitnah berhubung kes gangguan seksual, satu permohonan penghakiman ingkar berjumlah RM30 juta telah difailkan terhadap beliau.

    Permohonan tersebut telah difailkan Ketua Hakim Syarie, Datuk Mohd. Na’im Mokhtar setelah Lokman gagal memfailkan pembelaannya walaupun Mahkamah Tinggi melanjutkan tempoh akhir sehingga Jumaat lepas.

    Memetik laporan Berita Harian hari ini, Na’im menuntut RM10 juta setiap satu bagi ganti rugi teladan, teruk dan punitif berserta faedah 5 peratus sehingga jumlah penghakiman dibayar.

    Menurut laporan-laporan media, permohonan difailkan menerusi Tetuan Akberdin & Co di pejabat pendaftaran pada Isnin dan perkara ini telah disahkan peguam Na’im, Akberdin Abdul Kadir.

    Sebelum ini pada 7 Februari, hakim Rozana Ali Yusoff memerintahkan peguam Lokman memfailkan pembelaannya selewat-lewatnya pada 11 Feb dan Na’im memfailkan jawapannya, jika perlu, selewat-lewatnya pada 25 Februari.

    Rozana turut melanjutkan injunksi ex parte yang diperoleh Na’im terhadap Lokman untuk menyekatnya daripada membuat komen dan menghapuskan kenyataan yang didakwa berunsur fitnah tersebut.

    Dengan mengekalkan status quo, hakim juga menetapkan 22 Mac bagi perbicaraan inter parte berhubung injunksi berkenaan.

    Pada 19 Januari, Na’im memfailkan saman fitnah dan memohon injunksi interim terhadap Lokman, yang mendakwanya terbabit dalam beberapa kes gangguan seksual, termasuk kes beliau dikatakan berbogel di dalam bilik tidur rumah seorang wanita.

    Na’im berkata, Lokman mengeluarkan kenyataan bersifat menghina terhadapnya dalam Facebook dan YouTube.

    Katanya, kenyataan tersebut membayangkan beliau seorang ‘oportunis rohani’, gagal menjadi pemimpin yang berwibawa atau menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat serta mencemarkan imej baik Jabatan Kehakiman Syariah.

    Na’im membuat laporan polis pada 12 Januari untuk menafikan dakwaan wanita itu, yang dikatakan bergelar ‘Datin’, dan terhadap Lokman atas penyiaran videonya. 

  • Lelaki parah ditetak parang, 2 lelaki diburu

    Lelaki parah ditetak parang, 2 lelaki diburu

    POLIS sedang mengesan dua lelaki selepas dipercayai menetak seorang mangsa menggunakan parang di sebuah restoran di Benut, Pontian, semalam.

    Kejadian tersebut dilaporkan orang awam kepada polis pada pukul 3.20 petang sebelum sepasukan anggota dihantar ke lokasi kejadian.

    Ketua Polis Daerah Pontian, Suprintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, berdasarkan siasatan awal, saksi kejadian memaklumkan terdapat dua lelaki melarikan diri dengan menaiki Toyota Alparhd berwarna putih.

    “Setelah semakan dibuat, nombor pendaftaran kenderaan tersebut palsu. Mangsa berusia 40 tahun telah dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

    “Mangsa mengalami parah di bahagian tangan kanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut Mohammad Shofee kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian tersebut boleh menghubungi Inspektor Muhammad Syamil A. Fadzil di talian 013-7145506 bagi membantu mengesan suspek yang terlibat dengan kejadian tersebut.

  • Remaja 15 tahun didakwa bunuh bayi sendiri

    Remaja 15 tahun didakwa bunuh bayi sendiri

    SEORANG remaja perempuan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kemaman, Terengganu hari ini atas tuduhan membunuh bayi lelaki yang baru dilahirkannya pada minggu lepas.

    Remaja berusia 15 tahun itu didakwa dengan sengaja membunuh bayi itu di sebuah rumah di Seri Bandi, Kemaman antara pukul 7 hingga 9 pagi, 8 Februari lepas.

    Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman menetapkan 16 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Azhani Azman manakala remaja terbabit diwakili peguam Nuraine Haziqah Shafii.

    Dalam kejadian pada minggu lepas, polis menemukan mayat bayi dipercayai ditikam dengan objek tajam di bahagian dada sejurus dilahirkan di rumah yang didiami remaja berkenaan. – Bernama

  • Dua lelaki maut kereta terperosok bawah treler

    Dua lelaki maut kereta terperosok bawah treler

    DUA lelaki meninggal dunia selepas kereta dinaiki terperosok dalam sebuah treler di Kilometer 362.8 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Slim River, Tanjung Malim, pukul 5.40 pagi ini.

    Kemalangan tersebut mengakibatkan kedua-dua mangsa berusia 33 dan 27 tahun yang menaiki kereta jenis Proton Waja tersepit di tempat duduk masing-masing.

    Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, siasatan awal mendapati, kereta dinaiki mangsa telah melanggar bahagian belakang treler.

    “Perlanggaran itu mengakibatkan kenderaan yang dipandu terperosok masuk dan melekat di treler.

    “Pemandu serta penumpang hadapan kereta tersepit dan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu treler berusia 47 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya memetika laporan Sinar Harian, hari ini.

    Menurut beliau, mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Slim River bagi bedah siasat.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • Permohonan Shafee padam separuh pernyataan saksi bekas pegawai LHDN ditolak

    Permohonan Shafee padam separuh pernyataan saksi bekas pegawai LHDN ditolak

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bagi memadamkan lebih separuh daripada pernyataan saksi bertulis bekas pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), mengenai kes pengubahan wang haram berjumlah RM9.5 juta yang dihadapinya.

    Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin dalam penghakiman ringkasnya memutuskan bahawa tiada kemungkinan 33 daripada 51 perenggan dalam pernyataan bertulis Syed Nasrul Fahmi Syed Mohamad, saksi pendakwaan ketujuh memprejudiskan tertuduh, Muhammad Shafee.

    Hakim itu berkata, seperti yang dinyatakan dalam Mahkamah Persekutuan berhubung kes Datuk Seri Anwar Ibrahim lawan pendakwa raya, mahkamah itu mempunyai bidang kuasa sedia ada untuk memadam keterangan yang prejudis.

    “Mahkamah Rayuan dalam kes sama (Anwar lawan pendakwa raya) turut menyatakan bahawa mahkamah ini mempunyai kuasa untuk memadam keterangan yang tidak relevan dalam membuktikan pertuduhan bagi memastikan tertuduh tidak diprejudiskan.

    “Pada pandangan saya, 33 perenggan tersebut dalam pernyataan bertulis saksi pendakwaan ketujuh adalah relevan untuk membuktikan pertuduhan ketiga dan pertuduhan keempat terhadap tertuduh,” katanya.

    Hakim Muhammad Jamil berkata, keterangan saksi itu adalah tertakluk kepada pemeriksaan balas dan kebenarannya boleh diuji seterusnya dicabar.

    “Sama ada keterangan bertulis saksi pendakwaan ketujuh dalam 33 perenggan tersebut wajar diterima atau sebaliknya adalah isu yang berlainan, dan sama ada keterangan saksi tersebut membuktikan atau tidak kesalahan bagi pertuduhan ketiga dan keempat adalah isu berbeza.

    “Mahkamah akan menilai keterangan saksi berkenaan dan memutuskan ia wajar diterima atau sebaliknya, sama ada keterangan itu adalah keterangan dengar cakap (hearsay) atau apa-apa alasan lain. Oleh itu, permohonan pihak pembelaan untuk memadamkan 33 perenggan dalam pernyataan bertulis saksi pendakwaan ketujuh ditolak dan mengekalkan 33 perenggan tersebut,” katanya.

    Turut hadir pada prosiding hari ini, peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Muhammad Shafee dan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz. Hari ini ditetapkan untuk sambung bicara dengan pihak pembelaan akan menyoal balas Syed Nasrul Fahmi.

    Pada 13 September 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta melalui dua cek dikeluarkan oleh Najib, yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

    Muhammad Shafee didakwa menerima cek RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Februari 2014.

    Peguam itu juga berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram, iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014. – Bernama

  • Hasrat BN hidupkan KMK langkah ke belakang, galakkan rasuah

    Hasrat BN hidupkan KMK langkah ke belakang, galakkan rasuah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENGUMUMAN Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad mahu menghidupkan semula skim kuota menegak kerajaan (KMK) jika menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan sebagai langkah ke belakang.

    Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu juga dilihat tidak berintegriti dan mengalakkan budaya rasuah.

    Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar itu berkata, ini kerana skim KMK sudah dimansuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Mei 2018 selepas didapati terdapat banyak salah laku dan ketidakadilan.

    “Skim KMK ini dimansuhkan kerana skim ini terdedah kepada elemen rasuah, penyalahgunaan kuasa di mana akhirnya Rumah Mampu Milik ini tidak sampai kepada kumpulan sasarannya iaitu golongan B40.

    “Sebagai contoh pernah berlaku sebelum ini Ketua Pemuda UMNO Gelang Patah bersama-sama rakan wanitanya terlibat dalam penipuan tawaran Rumah Mampu Milik Johor yang melibatkan ratusan ribu ringgit.

    “Melalui skim KMK ini akhirnya Rumah Mampu Milik bukan dimiliki kumpulan sasaran khususnya golongan B40 tetapi dimiliki oleh pimpinan politik parti UMNO, MCA dan MIC,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Hasni yang juga Menteri Besar Johor ketika berucap pada Majlis Pelancaran Briged MIC Johor Stadium Tertutup Educity, Iskandar Puteri pada malam semalam, berhasrat menghidupkan semula skim KMK.

    Menurut Hasni yang juga Menteri Besar Johor, KMK akan memberikan peluang perumahan kepada semua masyarakat jika menang PRN Johor.

    Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, semasa kerajaan PH memerintah Johor sudah memperkenalkan sistem pengagihan Rumah Mampu Milik yang lebih telus bermula 1 Ogos 2018.

    Jelasnya, pengagihan Rumah Mampu Milik dilakukan secara undian terbuka kepada mereka yang layak dengan semua proses permohonan pembelian kediaman tersebut dikendalikan sepenuhnya oleh Setiausaha Kerajaan Johor Bahagian Perumahan.

  • UMNO yang amalkan politik katak-Syed Saddiq

    UMNO yang amalkan politik katak-Syed Saddiq

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mendakwa UMNO mengamalkan politik katak hingga mengakibatkan beberapa kerajaan negeri tumbang.

    Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, perkara itu jelas dapat dilihat dalam senario politik ketika ini.

    Justeru katanya yang juga Ahli Parlimen Muar, tuduhan UMNO bahawa Muda mengamalkan politik katak adalah tidak benar sama sekali.

    Jelas beliau, pendirian Muda itu adalah selaras dengan cadangan yang diusulkan parti itu sebelum ini iaitu Akta Lompat Parti yang diharap dapat diluluskan secepat mungkin.

    “Ketua Penerangan UMNO yang cakap macam itu? Saya nak ingatkan kepada UMNO ya, yang dalam UMNO, mereka telah pun menjatuhkan beberapa kerajaan negeri melalui politik katak yang tidak ada pengakhirannya.

    “Muda daripada awal mencadangkan Akta Lompat Parti diusulkan dan diluluskan secepat mungkin, supaya politik kata ini dapat diperangi.

    “Pada masa yang sama Muda telah menerima keahlian daripada pelbagai latar belakang, daripada kepimpinannya juga ada bekas pemimpin Pas, UMNO malah ada kawan baik Ketua Penerangan UMNO itu sendiri dan ada kawan-kawan daripada parti yang lain juga,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengumumkan Amira Aisya Abd Aziz calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa dalam satu majlis di Taman Eco Cascadia di sini malam tadi.

    Syed Saddiq mengulas kenyataan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan yang mempersoal tindakan Muda kerana sebelum ini menjanjikan politik bersih dan menolak politik katak dalam parti itu.

    Shahril berkata, ini berikutan lantikan ahli Jawatankuasa Pusat Muda, Nurainiee Haziqah Shafii yang sebelum ini adalah calon Exco Wanita PKR Pusat 2018 dan Ahli jawatankuasa Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 2021.

    Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, 92 peratus ahli Muda datang daripada mereka yang tidak pernah menyertai mana-mana parti politik.

    “Sekarang ini kita menggembeleng tenaga rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama, latar politik pun berbeza muda dan yang tua untuk mengangkat politik khidmat, politik dasar dan politik nilai. Itu adalah keutamaan kami,” katanya.

  • Ketua Penerangan AMK Johor nafi letak jawatan kerana tidak dicalon dalam PRN Johor

    Ketua Penerangan AMK Johor nafi letak jawatan kerana tidak dicalon dalam PRN Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MOHAMAD Taufiq Ismail menafikan peletakan jawatannya sebagai Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor dan Setiausaha PKR Cabang Johor Bahru kerana tidak dicalonkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Beliau menjelaskan, peletakan kedua-dua jawatan itu tidak ada kena mengena dengan isu pencalonan parti itu yang diumumkan semalam.

    “Tidak benar saya letak jawatan kerana kecewa tidak dicalonkan pada PRN Johor. Ia 100 peratus tidak benar. Sebenarnya ada isu yang perlu selesaikan dengan cabang sehingga saya mengambil keputusan meletakkan jawatan.

    “Saya membuat keputusan letak jawatan selepas berfikir panjang dan keputusan ini adalah muktamad. Saya tidak akan tarik balik keputusan yang dibuat. Bagaimanapun, saya tidak keluar parti dan akan terus setia dengan PKR sebagai ahli biasa,” katanya ketika dihubungi.

    Menerusi entri dalam Facebook miliknya malam tadi, beliau mengumumkan perletakan jawatan itu dan kedua-dua surat perletakan jawatannya itu dimuat naik dalam akaun Facebooknya malam tadi.

    Mohamad Taufiq turut memuat naik status yang menggambarkan kekecewaannya, namun tidak merujuk kepada mana-mana parti.

    Beliau sedang menunggu surat rasmi PKR berhubung perletakan jawatannya itu sebelum membuat kenyatan lanjut.

    “Tunggulah sehari dua lagi. Saya akan beri kenyataan penuh berhubung perletakan jawatan saya,” katanya.

    Sementara itu, menerusi Facebook miliknya, beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada pimpinan AMK Johor atas segala tunjuk ajar dan kepercayaan diberi sepanjang tempoh menjawat jawatan berkenaan.

    “Saya berharap AMK Johor akan terus maju ke hadapan dalam memenangi isu rakyat dan menjayakan agenda reformasi parti,” katanya.

    Mohamad Taufiq turut memuat naik satu kenyataan ringkas yang menunjukkan kekecewaan dengan sebuah parti politik, namun tidak menamakan parti berkenaan.

    “Parti ini parti derita, memang deritalah sampai bila-bila. Tiba di penghujung kerjaya politik saya. Terima kasih semua,” tulisnya.

  • Harap tidak berlaku sabotaj di DUN Puteri Wangsa

    Harap tidak berlaku sabotaj di DUN Puteri Wangsa

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KONTROVERSI kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa melibatkan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) diyakini tidak akan berlarutan sehingga menjejaskan kempen atau akan berlaku sabotaj dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Setiausaha Agung Muda, Amira Aisya Abd Aziz menggangap, isu tersebut sudah selesai selepas persefahaman dicapai dengan parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) sebelum kerusi itu diberikan kepada Muda.

    Beliau yang dicalonkan di kerusi DUN Puteri Wangsa berkata, semua pihak perlu memandang ke hadapan dan fokus kepada PRN Johor.

    Pada masa sama, beliau menghormati Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Napsiah Kamis Maharan yang sebelum ini tidak berpuas hati kerusi tersebut diberikan kepada Muda.

    “Saya amat menghormati semua rakan dalam parti-parti pembangkang seperti PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang merupakan kawan-kawan dalam PRN negeri Johor.

    “Saya juga menghormati puan Napsiah dan saya tahu Napsiah telah melakukan banyak kerja-kerja baik di kawasan Puteri Wangsa. Namun begitu saya telah diamanahkan untuk membawa nama Muda dan juga nama ‘our partners’ di DUN Puteri Wangsa,

    “Saya pasti Napsiah juga seorang yang sangat senior dalam politik dan beliau juga memahami amanah tersebut. Ia tidak akan mengganggu gerak kerja saya di sini dan pastikan gerak kerja diperkemas,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkannya sebagai calon kerusi DUN Puteri Wangsa dalam satu majlis di Taman Eco Cascadia di sini malam tadi.

    Amira Aisya, 27, merupakan anak kelahiran Kampung Melayu Majidee di sini dan merupakan calon pertama diumumkan Muda untuk bertanding dalam PRN Johor sementara calon lain akan diumum selepas ini.

    Pada 9 Februari, Napsiah meluahkan rasa tidak berpuas hati dengan keputusan Amanah yang menyerahkan kerusi DUN Puteri Wangsa kepada Muda dan menganggap tindakan itu sebagai satu pengkhianatan.

    Kerusi Puteri Wangsa diserahkan kepada Amanah melalui rundingan yang dijalankan dalam kalangan pemimpin parti komponen gabungan tersebut.

    Mengulas lanjut, Amira Aisya bersyukur dan menganggap isu tersebut sudah selesai terutama selepas Muda mementerai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan DAP dan Amanah baru-baru ini.

    “Dalam MoU tersebut kita juga telah tandatangani bahawa Muda akan membantu calon-calon DAP dan Amanah dan mereka juga akan membantu kami, ‘together we stronger’. Untuk PKR pula sebenarnya sesi rundingan bersama PKR belum tamat,” katanya.