Author: Admin

  • Tolak parti amal kleptokrasi dalam PRN Johor-Azmin

    Tolak parti amal kleptokrasi dalam PRN Johor-Azmin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENGUNDI Johor perlu mencipta sejarah baharu dengan memilih Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan menolak golongan kleptokrat yang mahu berkuasa semula.

    Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, rakyat Johor perlu membuat pilihan bijak dan tidak memilih gabungan politik yang mengamalkan rasuah, tidam amanah dan salah guna kuasa.

    “Tidak lama lagi ada ‘hari yang besar’ di Johor, buat keputusan yang betul. Kita perlukan kerajaan yang kuat, kita perlukan pemimpin yang berkredibiliti, jangan sokong kleptokrat. Sekarang masanya untuk buang mereka daripada Johor.

    “Saya nak mengajak dan mengingatkan semua rakyat Malaysia ‘enough is enough’ (cukup-cukuplah). Dia dah curi duit kita berbilion ringgit, bukan satu atau dua bilion ringgit, kamu adalah pembayar cukai, ‘you’ kerja kuat dan bayar cukai kepada kerajaan. Akhirnya dia curi dan rompak wang kita,” katanya.

    Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program Bicara Memperkasa Ekonomi Bersama Pemain Industri dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Goodhope Hotel, Skudai, Johor Bahru, hari ini.

    Mohamed Azmin yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, ketika ini pihak yang mengamalkan rasuah dan kleptokrasi mahu datang ke Johor untuk menagih undi semata-mata kerana PRN Johor.

    “Hari ini mereka mahu datang ke Johor, mereka mahu mewakili kita, ‘no way’, ‘get out from negeri Johor’. Saya bukan marah tapi saya geram kerana saudara saudari, kamu kerja keras, nak dapat gaji RM1,000 pun susah tapi ada orang dalam akaun dia ada 2.6 bilion, macamana nak kamu nak jelaskan tu,” katanya.

    Justeru katanya, penduduk negeri ini diseru untuk memilih parti politik ditunjangi rakyat Johor yang telah berjaya menyelamatkan negara ketika menghadapi tempoh mencabar akibat pandemik Covid-19 iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Katanya, pemulihan ekonomi dan kesihatan negara ketika ini didasari pentadbiran Muhyiddin semasa beliau menjadi Perdana Menteri.

    “Kita gembira apabila Tan Sri Muhyiddin, seorang Bangsa Johor diberi tugas sebagai Perdana Menteri kerana pentadbiran beliau fokus dua perkara iaitu urus pandemik dan percepat pemulihan ekonomi dan kita berjaya.

    “Jadi rakyat Johor, cipta sejarah baharu bermula di Johor. Saya tahu pihak sana yakin boleh menang majoriti dua pertiga tetapi kita bekerja keras, jadi pada 12 Mac ini mari kita bentuk kerajaan baharu yang bersih untuk rakyat Johor,” katanya.

    Tambah Mohamed Azmin Muhyiddin tidak kekal sebagai Perdana Menteri bukan kerana beliau gagal.
    sebaliknya dijatuhkan golongan kleptokrat.

    “Jadi kita tidak boleh biarkan perkara ini berlarutan. Walaupun golongan kleptokrat itu tidak bertanding dalam PRN Johor, tetapi rakan-rakan yang menyokong mereka masih ada dan bertanding dibawah logo yang sama,” jelasnya.

  • PRN Johor:Kerjasama Bersatu-Pas tidak jejas undi bukan Melayu

    PRN Johor:Kerjasama Bersatu-Pas tidak jejas undi bukan Melayu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yakin kerjasama paeti itu dengan Pas tidak akan menjejaskan peluang Perikatan Nasional (PN) untuk menarik undi bukan Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yakin, kerjasama itu tidak akan menjadi halangan sebaliknya akan terus menyokong PN

    Jelas beliau, ini disebabkan
    kerana mereka lebih mengutamakan parti afau gabungan politik yang terbukti dan boleh membawa kestabilan serta kemakmuran negara.

    “Mereka tidak melihat itu sebagai kekangan atau gangguan (untuk memberi sokongan kepada PN), apa yang penting mereka mahulan kestabilan dan kepimpinan yang bersih dan bukan kleptokrat.

    “Mereka bersedia untuk mendokong kerajaan PN yang juga dianggotai Pas untuk meneruskan usaha-usaha membantu rakyat dan mencerdaskan ekonomi negara,” katanya.

    Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program Bicara Memperkasa Ekonomi Bersama Pemain Industri dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Goodhope Hotel, Skudai, Johor Bahru, hari ini.

    Mohamed Azmin berkata, keyakinan golongan bukan Melayu untuk menyokong PN adalah berasaskan rekod cemerlang gabungan itu semasa menjadi kerajaan terutama semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.

    Katanya yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, kejayaan Muhyiddin menerajui PN adalah apabila dapat mengurus serta membendung jangkitan Covid-19 dan melakukan usaha-usaha pemulihan terhadap sektor ekonomi.

    Bagi golongan peniaga katanya, mereka mahu melihat kestabilan dan lebih banyak peluang perniagaan berdasarkan dasar-dasar kerajaan yang progresif.

    “Ini telah dilakukan Tan Sri Muhyiddin dan PN, bukan sahaja dengan dasar yang cukup proaktif dan mesra perniagaan tetapi pakej rangsangan yang kita perkenal berjumlah lapan semuanya yang banyak membantu aliran tunai terutama perusahaan kecil dan sederhana dan untuk meneruskan perniagaan,” katanya.

    Beliau berkata, golongan peniaga sangat menghargai dasar-dasar itu yang cukup proaktif sekali gus sedia menyokong PN untuk meneruskan usaha memulihkan ekonomi negara dan menjamin kestabilan.

    “Kepimpinan Tan Sri Muhyiddin juga dan PN memang meletakkan kestabilan dan perpaduan, itu agenda penting kerana tapa kestabilan dan kemakmuran tidak mungkin kita dapat menarik pelaburan domestik atau luar negara untuk melabur dalam negara kita,” katanya.

    Beliau menambah, bukti pencapaian PN itu boleh dilihat menerusi jumlah pelaburan tinggi yang diterima negara dan perkembangan industri serta perniagaan yang semakin baik.

  • Beg dilarikan 5 suspek kes samun berisi barang kemas bernilai RM500,000

    Beg dilarikan 5 suspek kes samun berisi barang kemas bernilai RM500,000

    POLIS sedang memburu lima lelaki bersenjatakan parang yang melakukan samun dan melarikan satu beg berisi barang kemas dianggarkan bernilai RM500,000 di sebuah stesen minyak di Lukut, Pert Dickson, semalam.

    Ketua Polis daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, dalam kejadian pukul 10.15 pagi itu suspek menyamun mangsa yang merupakan pemilik kedai emas.

    Menurutnya, suspek mengambil tiga buah beg berisi barang kemas, sebuah telefon bimbit, wang tunai dan dokumen peribadi milik mangsa sebelum melarikan diri.

    “Bagaimana pun dua daripada tiga beg itu telah dijumpai semula di dalam Honda CRV yang terbalik di hadapan deretan kedai.

    “Siasatan awal mendapati tiada unsur penglibatan orang dalam walaupun ada pihak yang mengatakan seolah-olah kes samun itu telah dirancang,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

    Menurutnya, kumpulan suspek ini dipercayai telah mengekori mangsa sejak dari awal sehingga berhenti di stesen minyak.

    “Usaha mengesan kesemua suspek yang dipercayai bukan penduduk Port Dickson itu giat dilakukan dan orang awam atau saksi yang mempunyai sebarang maklumat diminta membantu siasatan.

    “Maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Inspektor Fatiha Nur Hamidus di talian 013-6217365 atau Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di talian 06-6462999,” katanya.

  • Bekas COO didenda RM200,000 guna dokumen palsu sebagai tulen

    Bekas COO didenda RM200,000 guna dokumen palsu sebagai tulen

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MAHKAMAH Sesyen Alor Setar hari ini menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM200,000 terhadap bekas ketua pegawai operasi (COO) sebuah syarikat pembersihan setelah dia tertuduh mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan pilihan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen pada 2017 dan 2018,

    Tertuduh, Azmi Amin Sarji, 53, yang merupakan bekas COO syarikat E-Idaman Sdn. Bhd., membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di depan Hakim, Harmi Thamri Mohamad.

    Dalam ketiga-tiga kertas pertuduhan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya menggunakan tiga dokumen sebagai tulen iaitu sijil pembayaran bagi November 2017 berjumlah RM74,489, sijil pembayaran Disember 2017 yang juga berjumlah RM74,489 dan sijil pembayaran untuk Mac 2017 berjumlah RM426,935.

    Tertuduh didakwa mengetahui bahawa kesemua dokumen tersebut adalah palsu namun menggunakannya bagi membolehkan pihak tertentu membuat tuntutan bayaran dari syarikat berkenaan.

    Kesalahan bagi pertuduhan pertama dan kedua didakwa dilakukan di Pejabat E-Idaman (Kedah dan Perlis Sdn. Bhd. di Wisma Idaman, Bandar Stargate di sini pada 4 Jun 2018.

    Manakala untuk pertuduhan ketiga, kesalahan itu didakwa dilakukan secara niat bersama dengan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat tersebut, Mhd. Shaiful Anuar Zainal antara 8 Mei dan 9 Mei 2017 di lokasi sama.

    Bagi dua pertuduhan awal, Hakim menetapkan kadar denda sebanyak RM70,000 setiap satu sementara bagi pertuduhan ketiga, tertuduh dijatuhkan hukuman denda RM60,000.

    Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama 12 bulan sekiranya gagal membayar denda bagi setiap pertuduhan dihadapi.

    Pertuduhan dibuat Timbalan Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sew Ping mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan manakala tertuduh diwakili peguam, Shamsul Sulaiman.

    Dalam sesi mitigasi untuk anak guamnya, Shamsul memohon mahkamah untuk mempertimbangkan fakta bahawa tertuduh langsung tidak mendapat manfaat daripada perbuatan tersebut memandangkan kesemua wang itu adalah untuk dana politik seperti dinyatakan dalam fakta kes.

    “Satu sen pun wang itu tidak masuk ke poket tertuduh sebaliknya dia cuma satu daripada rangkaian panjang melibatkan ramai orang, untuk satu perkara yang disebut dalam fakta kes iaitu ‘dana politik’.

    “Maaf cakap, tetapi selagi ada rasuah di peringkat tinggi, orang di bawah macam tertuduh, mereka yang bekerja untuk cari rezeki di kedudukannya, akan terpalit dengan perkara sedemikian. Sepatutnya bukan dia yang jadi kambing hitam,” katanya.

    Sew Ping yang bangkit selepas itu bagaimanapun memohon supaya hukuman setimpal dijatuhkan terhadap tertuduh bagi sebagai pengajaran tidak hanya pada dirinya malah kepada masyarakat umum agar menjauhi amalan tersebut.

  • PRN Johor:Warisan pertaruh muka baharu sebagai calon

    PRN Johor:Warisan pertaruh muka baharu sebagai calon

    Oleh ABU UBADILLAH RAHMAN

    PARTI Warisan akan menampilkan muka-muka baharu sebagai calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Presidennya, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, keutamaan diberikan kepada mereka yang belum pernah menjadi wakil rakyat.

    Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, itu adalah ketetapan diambil Warisan malah sudah diamalkan sejak dahulu.

    “Ini amalan kita dari dulu. Kita tak pilih mana parti mana calon, sebahagian besar calon kita nanti kita tapis adalah muka baharu dan tidak pernah bertanding.

    “Pasal kita parti yang perlu dilihat boleh menawarkan muka baharu dalam arena politik supaya kita akan kelihatan bahawa inilah partinya.

    “Kita akan tampil calon tempatan, tak kan nak bawa dari Sabah,” katanya ketika ditemui pemberita ketika membuat lawatan di sekitar kawasan Pasar Muafakat Sabah, Pasir Gudang, hari ini.

    Shafie berkata, Warisan dalam proses memuktamadkan pemilihan calon dan meneliti jumlah kerusi yang akan ditandingi pada PRN Johor.

    Ahli Parlimen Semporna itu juga tidak menafikan bahawa parti berkemungkinan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas memandangkan kawasan berkenaan mempunyai taburan masyarakat Sabah yang besar.

    “Sikit masa lagi (mengumumkan calon) pasal itu saya mahu saya bincang dan datang ke sini. Saya akan umumkan (berapa kerusi bertanding) juga nanti. Ya..ini antara kawasan (bertanding DUN Permas),” katanya

    Dalam pada itu, mengulas mengenai adakah parti akan menjalankan kerjasama bersama parti lain pada PRN Johor, Shafie berkata, perkara itu belum diputuskan selain keutamaan kini adalah hanya untuk memperkuatkan parti dahulu.

    “(Bertanding solo), Tidak kita bersama rakyat. Rakyat tak solo. Kita bukan solo daripada segi perjuangan. Rakyat rasanya dah bosan dengan parti politik dan rakyat sekarang bukan nak pilih parti mana, mereka hanya mahu calon yang boleh memberikan perkhidmatan.

    “Setakat ni kita nak kuatkan umah kita dulu.. kita tidak boleh fikir rumah orang lain kan, rumah kita kalau dinding tidak siap, tangga tiada macam mana nak fikir umah orang lain, nanti dia datang rumah kita robohlah rumah itu,” katanya.

  • PRN Johor ‘penentu survival’ bagi PH – Syed Ibrahim

    PRN Johor ‘penentu survival’ bagi PH – Syed Ibrahim

    PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor diibaratkan ‘penentu survival’ bagi Pakatan Harapan (PH) dalam usaha mendapatkan semula mandat rakyat negeri berkenaan.

    Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, PRN itu menandakan ‘medan pertempuran’ kepada setiap parti komponennya iaitu PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) dalam persediaan untuk menghadapi pilihan raya umum seterusnya nanti.

    “Maka, setiap jentera pilihan raya perlu bekerja keras dan ketepikan perbezaan. Keputusan (jumlah) kerusi (Dewan Undangan Negeri (DUN) telah dibuat, jadi sama-sama bermuafakat untuk bantu calon masing-masing menang,” katanya semasa menjadi panel Forum: Jalan Terus anjuran Angkatan Muda Keadilan secara maya yang disiarkan menerusi Facebook, malam tadi.

    Berhubung keputusan PH dalam pembahagian kerusi DUN ditandingi pada PRN Johor, Ahli Parlimen Ledang itu berkata, perkara itu telah selesai dan mencapai kesepakatan antara parti komponen termasuk Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

    “Kita sudah rumuskan mengenai rundingan kerusi iaitu 20 ditandingi PKR, DAP (14), Amanah (16) dan Muda (enam). Ini semua telah diputuskan dan tiada pertikaian berkenaan kerusi tersebut, amat jelas ianya dirunding lebih awal,” katanya.

    Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh 12 Mac ini sebagai hari pengundian dengan penamaan calon pada 26 Februari, manakala pengundian awal pada 8 Mac. – Bernama

  • Shafie Apdal, ahli Warisan dihalang jumpa peniaga di Pasir Gudang

    Shafie Apdal, ahli Warisan dihalang jumpa peniaga di Pasir Gudang

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PRESIDEN Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berlapang dada dan tidak kisah apabila beliau bersama-sama ahli parti dihalang bertemu peniaga di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, Pasir Gudang, hari ini.

    Bekas Ketua Menteri Sabah itu menyifatkan apa yang berlaku sebagai perkara biasa dan asam garam politik.

    “Sistem demokrasi seharusnya ditegakkan termasuk tidak menghalang mana-mana pihak melakukan aktiviti yang tidak menyalahi prosedur operasi standard (SOP).

    “Tidak apalah, itu perkara biasa. Saya tidak kisah sangat politik sebegini. Semasa kita perintah Sabah semua dewan boleh pakai, sama ada pembangkang ke atau kerajaan ke, yang penting mereka sewa dewan. Saya tidak pernah halang.

    “Sistem demokrasi yang ada patut ditegakkan, terserah. Bagi rakyat pilih, jangan halang mana-mana pihak.

    “Kalau rakyat dah ditetapkan itu kehendak mereka, itu bukan kehendak kita, maka kita tiada pilihan selain menerima kehendak rakyat dengan hati terbuka.

    “Sistem demokrasi seharusnya ditegakkan termasuk tidak menghalang mana-mana pihak melakukan aktiviti yang tidak menyalahi prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melakukan tinjauan mesra di kawasan perniagaan Seri Alam, Pasir Gudang, hari ini.

    Sebelum itu Mohd. Shafie dijadualkan melakukan tinjauan mesra ke Pasar Muafakat Sabah pada pukul 10 pagi tadi tetapi didapati ditutup.

    Penjaga premis di situ memberitahu, perniagaan tersebut ditutup hari ini, bagi menjalankan kerja-kerja sanitasi.

    Sebelum ini, Pasar Muafakat Sabah di Seri Alam, beroperasi tujuh hari seminggu dari jam 7 pagi hingga 7 malam, setiap hari.

    Kelmarin, Warisan mengesahkan akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

    Mohd Shafie dilaporkan berkata keputusan parti berkenaan untuk bertanding pada PRN Johor adalah bagi memberi pilihan kepada pengundi.

    Kawasan Permas mempunyai ramai bilangan penduduk Sabah dan Sarawak yang berhijrah dan menetap di Pasir Gudang dan Johor Bahru.

    Dianggarkan seramai 250,000 masyarakat Sabah dan Sarawak berada di dua daerah tersebut dan sebilangan mereka turut bekerja di Singapura.

  • Pegawai khas ADUN diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud

    Pegawai khas ADUN diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud

    SEORANG pegawai khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerugian RM9,345 selepas diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud.

    Sinar Harian melaporkan, mangsa, 52, mendapat maklumat berhubung pinjaman berkenaan di laman sosial Instagram pada Selasa lepas.

    Ketua Polis daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, lelaki tersebut ingin membuat pinjaman sebanyak RM10,000 kemudiannya berurusan dengan dua ejen pinjaman dikenali sebagai Tony 011-17856169 dan Daniel Heng 011-72212382 melalui aplikasi WhatsApp.

    “Percaya dengan urusan yang dijalankan mangsa telah diminta untuk melakukan bayaran disebabkan ‘scoring’ akaun bank mangsa tidak layak untuk melakukan pinjaman.

    “Mangsa membuat pembayaran sebanyak RM9,345.92 untuk menguruskan akaun bank tersebut termasuk bayaran cukai bagi meluluskan pinjaman di tiga akaun berbeza atas nama Sapiah Mohd Yusof, Vynielly Deli dan Jordan Choo Tai Syn.

    “Bagaimanapun, mangsa masih lagi diminta untuk melakukan bayaran tambahan untuk meluluskan pinjaman ini. Menyedari dirinya ditipu, mangsa membuat laporan polis pada Rabu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Sementara itu dalam perkembangan lain, Chang Hook berkata, seorang pelajar perempuan berusia 18 tahun juga mengalami kerugian RM1,950 selepas ditipu dengan tawaran pembelian sebuah komputer riba menerusi Instagram.

    “Dia melihat iklan jualan komputer riba itu pada 2 Februari lepas bernilai RM1,950 lalu berurusan dengan seorang lelaki dan barang itu akan sampai dalam masa dua hari sekiranya pembayaran penuh di buat.

    “Mangsa bersetuju dengan tawaran berkenaan lalu membuat pembayaran dalam sebuah akaun bank atas nama Viknesh Chandran sebanyak RM1,400 pada 3 Februari secara dalam talian seterusnya RM550 pada 9 Februari atas nama K. Prabu.

    “Sehingga ke hari ini mangsa tidak menerima komputer riba seperti mana yang di janjikan malah lelaki berkenaan juga gagal dihubungi. Hasil Siasatan awal nombor akaun yang digunakan mempunyai rekod penglibatan penjenayah penipuan,” ujarnya.

    Tambahnya, mangsa membuat laporan polis pada Rabu kedua-dua kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

  • Sindiket curi Proton Wira tumpas, sembilan ditahan

    Sindiket curi Proton Wira tumpas, sembilan ditahan

    SEMBILAN individu ditahan termasuk seorang wanita selepas polis menumpaskan sindiket curi Proton Wira yang aktif di Lembah Klang.

    Kesemua suspek berusia antara 24 hingga 38 tahun itu berjaya diberkas oleh Bahagian Risikan Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul dalam beberapa siri serbuan Op Lejang Wira sejak 9 Februari sehingga kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, siasatan dan risikan dilakukan selepas menerima laporan kes kecurian kenderaan.

    “Seramai lapan lelaki dan seorang wanita tempatan berjaya ditahan di beberapa lokasi berasingan di Sentul, Petaling Jaya dan Rawang, Selangor.

    “Hasil penahanan itu, polis menemui empat kereta Proton Wira yang pernah dilaporkan hilang. Turut dirampas sembilan telefon bimbit, tiga kunci Allen(allen key ) ditajamkan dan dua jenis spanar yang diubahsuai disyaki digunakan untuk mencuri kenderaan.

    “Kesemua rampasan itu dianggarkan bernilai lebih RM24,000,” katanya memetika laporan Harian Metro, hari ini.

    Terdahulu, beliau mengadakan lawatan mesra bertemu peniaga dan pengunjung di Pasar Pagi Taman Kok Doh, Sentul, di sini.

    Mengulas lanjut, Beh berkata, soal siasat dilakukan mendedahkan modus operandi kumpulan berkenaan yang menyasarkan kenderaan berkenaan bagi mendapatkan komponen untuk dijual.

    “Komponen dijual kepada individu berminat dan pemilik kedai alat ganti kenderaan dikenali di sekitar kawasan Gombak, manakala bateri kereta pula dijual di kedai barangan lusuh,” katanya.

    Katanya, semakan mendapati kesemua suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau dengan suspek utama adalah bekas tahanan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) yang baru selesai menjalani hukuman.

    Kata beliau, enam suspek masih dalam tahanan reman manakala dua suspek dibebaskan dengan jaminan dan dijadikan saksi polis.

    Beliau percaya, dengan tertumpasnya kumpulan curi kenderaan itu, ia berjaya menyelesaikan lima kes kecurian di Lembah Klang.

  • Lebih 1,600 hilang tempat tinggal, 179 rumah atas air terbakar

    Lebih 1,600 hilang tempat tinggal, 179 rumah atas air terbakar

    LEBIH 1,600 penduduk kehilangan tempat tinggal selepas 179 rumah atas air di Kampung Landung Ayang, Kudat, Sabah musnah dalam kebakaran, semalam.

    Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian yang berlaku pada 4.26 petang itu.

    Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan, seramai 48 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Kota Marudu dikejarkan ke lokasi kejadian dengan dibantu anggota Persatuan Bomba Sukarela (PBS).

    “Apabila tiba di lokasi, api sedang marak dan operasi pemadaman menggunakan 1 aliran 2 pancutan 400 kaki sumber air dari jentera dan pili bomba.

    “Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 6.43 petang dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 8.17 malam,” menurut kenyataan itu.

    Operasi pemadaman turut dibantu polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

    Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan berasingan berkata susulan kejadian ini, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) Bencana Kebakaran telah diaktifkan di Dewan Tun Mustapha, Kudat.

    “Dianggarkan 200 keluarga dengan lebih 1,600 mangsa dipindahkan ke PPS berkenaan,” menurut kenyataan itu. – Bernama