Author: Admin

  • Penulis blog dipenjara, denda tumbuk muka abang

    Penulis blog dipenjara, denda tumbuk muka abang

    AKIBAT menumbuk muka abang kandung sehingga lebam kerana enggan memberikan RM400 kepadanya untuk membaiki motosikal, seorang penulis blog dihukum penjara 14 hari dan denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Selayang, Kuala Lumpur, hari ini.

    Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu selepas Mohd Zailan Yunus, 55, mengaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Mohd Zaidi Yunus, 56, di sebuah rumah di Jalan 23 Selayang Baru, Gombak di sini pada 1.30 tengah hari 18 Februari lalu.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323.

    Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 21 Februari lalu.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Anis Farhah Ahmad Hilmi memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada Mohd Zailan dan meminta mahkamah mengambil kira kecederaan mangsa serta rekod jenayah tertuduh pada 2020, juga membabitkan kesalahan di bawah Seksyen 323.

    Peguam M. Mariappan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan pula memohon hukuman ringan atas alasan tertuduh merupakan bapa tunggal yang mempunyai seorang anak. – Bernama

  • Suami kurung, rantai isteri dalam sebuah pondok

    Suami kurung, rantai isteri dalam sebuah pondok

    SEORANG lelaki ditahan pihak berkuasa China selepas didakwa mengurung dan merantai isterinya dalam sebuah pondok.

    Menurut pihak berkuasa tempatan, wanita itu ditemui menghidapi skizofrenia dan pernah hendak dijual beberapa kali termasuk sekali pada 1998 pada harga 5,000 yuan (RM3,313), selepas dia diambil dari kampungnya di barat daya wilayah Yunnan.

    Pegawai berkata, tindakan khas segera diambil untuk menyiasat secara komprehensif dan mendalam serta memperbetulkan isu pencabulan hak itu.

    AFP melaporkan, wanita yang dikenali sebagai Xiaohuamei yang bermaksud bunga plum kecil adalah ibu kepada lapan anak dan sedang menerima rawatan di hospital.

    Pegawai di kawasan wanita itu ditemui pada awalnya menafikan dakwaan berlaku penculikan dan pemerdagangan orang tetapi siasatan peringkat tertinggi dilancarkan selepas bantahan awam.

    Siasatan mendapati Xiaohuamei hilang selepas tinggal selama beberapa bulan dengan seorang lelaki di Jiangsu yang membawanya ke situ.

    Selepas itu, dia dibawa oleh satu pasangan yang mempunyai sebuah hotel.

    Dia kemudian dijual lagi kepada dua individu sebelum dibawa oleh keluarga suaminya sekarang.

    Pihak berkuasa berkata, suami wanita itu yang bernama Dong, ditahan secara rasmi semalam bersama-sama dua individu atas dakwaan pemerdagangan.

    Siasatan sedang dijalankan terhadap enam lagi suspek yang terbabit dengan permerdagangan wanita itu, manakala lapan pegawai tempatan dipecat dari jawatan masing-masing dan sembilan lagi dikenakan pelbagai hukuman.

    Kes itu terus mengundang kemarahan orang ramai hari ini, dengan kemunculan tanda pagar berkaitan kes itu di media sosial China seperti Weibo yang meraih 580 juta tontonan selepas berita mengenai hukuman itu diterbitkan.

    Sekurang-kurangnya 17 pegawai tempatan dihukum rentetan kes itu yang mencetuskan kemarahan.

    Insiden terbabit juga mencetuskan perdebatan hangat mengenai kesihatan mental dan pemerdagangan orang pada Januari lalu, selepas sebuah video diterbitkan seorang blogger memaparkan wanita itu dirantai dan dikunci di bahagian leher dalam cuaca sejuk dekat wilayah Jiangsu.

  • Pegawai khidmat pelanggan, pereka bangunan diperdaya ‘pegawai LHDN, polis’

    Pegawai khidmat pelanggan, pereka bangunan diperdaya ‘pegawai LHDN, polis’

    SEORANG pegawai khidmat pelanggan dan pereka bangunan kerugian RM19,300.50 setelah menjadi mangsa sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta pegawai polis pada Khamis lalu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mahidisham Ishak, kedua-dua mangsa yang berumur 29 tahun dan 36 tahun telah menerima panggilan dari seorang ‘kakitangan LHDN’ pada mulanya.

    Katanya, ‘pegawai LHDN’ berkenaan mendakwa mangsa mempunyai masalah cukai yang tertunggak dan belum dijelaskan.

    “Panggilan mangsa kemudiannya telah disambungkan kepada pihak ‘polis’ dan menerusi panggilan tersebut dimaklumkan bahawa nama mangsa terlibat dalam kegiatan jenayah dadah.

    “Mangsa kemudiannya diarahkan untuk memuat turun satu aplikasi dan mengisi maklumat akaun bank milik mangsa ke dalam aplikasi tersebut.

    “Selang beberapa minit, mangsa telah menerima notifikasi pesanan ringkas dan mendapati telah berlaku pengurangan wang dalam akaun mereka.

    “Jumlah wang berkurangan dalam akaun mereka melibatkan sebanyak RM5,600 dan RM13,700.50,” katanya memetika laporan Sinar Harian.

    Menurutnya, menyedari bahawa diri mereka ditipu, kedua mangsa terus segera melaporkan kepada polis.

    Menurutnya, siasatan lanjut berkaitan kejadian ini sedang dilakukan.

    “Kes disiasat dibawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 kerana telah membuat capaian tanpa kuasa yang sah terhadap akaun mangsa,” katanya.

  • Polis terima 6 laporan berhubung kenyataan Ramasamy

    Polis terima 6 laporan berhubung kenyataan Ramasamy

    POLIS menerima enam laporan berhubung kenyataan yang dimuat naik Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy menerusi akaun Facebooknya, minggu lepas. 

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, hantaran bertarikh 13 Februari itu dikatakan bersifat provokatif dan pihaknya sedang menjalankan siasatan mengenainya.

    “Hantaran itu dikatakan mencetuskan rasa tidak puas hati pelbagai pihak kerana mengaitkan pihak berkuasa agama Perlis dengan istilah pengislaman unilateral, penculikan, manipulasi, paksaan dan ancaman dalam mengulas isu hak penjagaan anak-anak Loh Siew Hong,” katanya dalam kenyataan beliau hari ini. 

    Beliau berkata, siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian Pendakwaan Undang-Undang JSJ Bukit Aman di bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapi-apikan golongan atau kaum.

    Selain itu, siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 504 kanun sama kerana membuat kenyataan mengaibkan yang boleh menyebabkan pecah keamanan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian. 

    Abd Jalil turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan selain cakna dan prihatin tehadap isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama serta kaum.

    “Orang ramai digesa menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform itu sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara,” katanya. 

    Beliau berkata, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam. 

    Isnin lepas, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan tiga adik-beradik yang dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat diserahkan dengan segera kepada ibu mereka iaitu Siew Hong selepas membenarkan permohonan habeas corpus difailkan ibu tunggal itu. – Bernama 
     

  • Pesara guru maut tersepit dalam kemalangan

    Pesara guru maut tersepit dalam kemalangan

    SEORANG lelaki yang juga pesara guru maut selepas tersepit dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Kilometer (KM) 3, Jalan Sedia Raja-Mampong, berdekatan Jalan Perigi Gaung, Rembau, pukul 8.50 pagi tadi.

    Mangsa, Sulaiman Harun, 79, disahkan maut di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik manakala seorang lagi pemandu mengalami patah kaki.

    Kemalangan membabitkan kereta Perodua Kancil dipandu pesara guru itu dengan kereta Perodua Myvi dipandu seorang lelaki berusia 56 tahun.

    Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, siasatan awal mendapati pemandu Perodua Myvi dalam perjalanan dari arah Sedia Raja menghala ke Mampong dan bertembung dengan Perodua Kancil yang datang dari arah bertentangan.

    “Akibat rempuhan, pemandu Perodua Kancil disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Rembau untuk bedah siasat.

    “Pemandu Perodua Myvi yang patah kaki kanan kini berada di Zon Kuning, Hospital Rembau bagi rawatan lanjut,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan.

  • Berus gigi, pemetik api, pisau cukur guna cap dagangan palsu dirampas

    Berus gigi, pemetik api, pisau cukur guna cap dagangan palsu dirampas

    SEBANYAK 2,765 unit pemetik api; 500 unit berus gigi dan 552 unit pisau cukur yang menggunakan cap dagangan berdaftar disyaki palsu dirampas Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang semalam.

    Kesemua barangan bernilai kira-kira RM4,087.50 itu dirampas dalam dua serbuan berasingan di Georgetown dan Butterworth kira-kira pukul 11.30 pagi.

    Pengarah PPDNHEP, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, serbuan itu dilakukan di sebuah kedai runcit di Jalan Sungai Ujong dan sebuah premis borong di Taman Seri Murni.

    Menurut beliau, pemeriksaan terhadap kedua-dua premis itu menemukan produk jualan tersebut yang menggunakan cap dagangan berdaftar disyaki palsu.

    “Sehubungan itu, kita menyita kesemua produk jualan tersebut untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Menurut Mohd. Ridzuan, kes itu disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama bagi bukan pertubuhan perbadanan.

    Pemeriksaan menemukan produk jualan tersebut yang menggunakan cap dagangan berdaftar disyaki palsu.

    Sementara itu katanya, bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda sehingga RM20,000 akan dikenakan bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    Jelasnya, bagi kesalahan melibatkan pertubuhan atau perbadanan, denda sehingga RM15,000 boleh dikenakan bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar iaitu untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM30,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

    “Sehubungan itu, kita mengingatkan mana-mana individu yang cuba menjual barangan tiruan bahawa tindakan tegas boleh diambil terhadap mereka.

    “Selain mengalu-alukan maklumat atau aduan daripada orang awam berhubung aktiviti penjualan barangan tiruan.

    “Aduan-aduan tersebut boleh disalurkan menerusi Bilik Gerakan PPDNHEP Pulau Pinang di nombor 04-3840245, aplikasi WhatsApp (019-279 4317) atau hadir sendiri ke mana-mana pejabat cawangan (PPDNHEP) di seluruh negara,” katanya.

  • Kanak-kanak perempuan maut tersangkut di buaian

    Kanak-kanak perempuan maut tersangkut di buaian

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia setahun tiga bulan meninggal dunia selepas kepalanya dipercayai tersangkut pada kain buaian di sebuah pusat penjagaan kanak-kanak di Bandar Sri Sendayan, di Seremban, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Nanda Maarof berkata, Nour Rania Asyifaa Yuseri disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan (KK) Sendayan oleh pegawai perubatan pada 4.30 petang selepas seorang wanita yang juga pengasuhnya membawanya ke klinik berkenaan untuk rawatan.

    Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, kanak-kanak itu diberikan susu dan dibawa ke dalam sebuah bilik di pusat penjagaan berkenaan untuk ditidurkan dalam buaian bersama dua kanak-kanak lain pada 12.30 tengah hari sebelum pengasuhnya keluar dari bilik itu untuk tugasan lain pada 2 petang.

    “Sejam kemudian, wanita itu (pengasuh) kembali semula ke bilik dan mendapati mangsa (Nour Rania Asyifaa) tidak sedarkan diri dengan bahagian leher dan kepala telah terkeluar serta tergantung pada kain buaian manakala badan masih berada di dalam buaian.

    “Wanita itu terus mengambil mangsa dan menjalankan bantuan pernafasan (CPR) tetapi mangsa didapati gagal bernafas semula sebelum membawanya ke KK Sendayan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, hasil siasatan mendapati pusat penjagaan di rumah teres satu tingkat itu beroperasi sejak 2019 dan tidak dilengkapi  kamera litar tertutup (CCTV) selain turut dimiliki bersama seorang lagi pengasuh wanita.

    Menurutnya, selain Nour Rania Asyifaa, terdapat 14 bayi dan kanak-kanak berusia lingkungan enam bulan hingga tujuh tahun di pusat penjagaan tersebut bersama kedua-dua pengasuh berusia 37 dan 29 tahun itu.

    Nanda berkata mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar di sini untuk bedah siasat.

    Katanaya kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga keputusan bedah siasat diperoleh dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – Bernama
     

  • Kru warga Rusia kapal tangki disyaki jatuh laut

    Kru warga Rusia kapal tangki disyaki jatuh laut

    SEORANG kru kapal tangki warga Rusia disyaki terjatuh ke laut di kawasan perairan Tanjung Gelang, Kuantan, selepas dilaporkan hilang kelmarin.

    Pekerja warga asing tersebut, Nerkrasov Sergey, 48, kali terakhir dilihat di atas kapal yang ketika itu berada pada kedudukan sekitar 4.2 batu nautika barat daya Pulau Aur, Mersing.

    Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, kehilangan lelaki itu disedari pukul 10.30 malam semasa kapal berada di kedudukan sekitar 1.6 batu nautika Timur Tanjung Gelang.

    Katanya, selepas menerima laporan kejadian, bot ronda Maritim yang sedang beroperasi di sekitar lokasi segera diatur gerak untuk melaksanakan Operasi Carilamat.

    Menurutnya, kapal tangki yang berdaftar di Liberia itu dilaporkan belayar dari Pasir Gudang, Johor menuju ke Pula, Croatia.

    “Maritim Malaysia Negeri Pahang telah menyalurkan maklumat kepada Pusat Penyelamat Maritim (MRSC) Johor dan aset udara Maritim Malaysia untuk bantuan mengesan mangsa.

    “Maklumat berkenaan kejadian turut disalurkan kepada komuniti nelayan tempatan dan beberapa rakan agensi untuk bantuan dalam misi pencarian,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Kamal Ariffin memberitahu, pihaknya sentiasa bersiap-sedia memberikan perkhidmatan dan bantuan kecemasan kepada komuniti maritim serta agensi kerajaan yang mengalami kecemasan di laut atau bencana.

    Beliau berkata, sebarang maklumat berkaitan kejadian kecemasan dan kegiatan jenayah di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999.

  • Suap pegawai, kakitangan KTMB RM2 juta: Pengarah syarikat direman 7 hari

    Suap pegawai, kakitangan KTMB RM2 juta: Pengarah syarikat direman 7 hari

    SEORANG pengarah syarikat direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes memberi suapan sebanyak RM2 juta kepada pegawai dan kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pada 2016 dan 2017.

    Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Mohamad Fared Abdul Latif di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur selepas permohonan reman itu dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi ini.

    Menurut sumber SPRM, lelaki berusia 63 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur pada 3.10 petang semalam ketika hadir memberi keterangan.

    Lelaki itu dipercayai memberi suapan kepada pegawai dan kakitangan KTMB sebagai dorongan membantu syarikatnya mendapatkan kerja-kerja pembinaan jalan kereta api serta pembangunan pelabuhan di Wilayah Songkhla, Thailand.

    Pengarah SPRM Kedah Datuk Shaharom Nizam Abd Manap yang mengesahkan tangkapan itu, turut memaklumkan bahawa kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – Bernama

  • Netizen puji Muhyiddin menghadap Sultan Johor

    Netizen puji Muhyiddin menghadap Sultan Johor

    Oleh ABU UBAIDILAH RAHMAN

    TAN Sri Muhyiddin Yassin diterima menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Johor Bahru, hari ini.

    Pertemuan tersebut dimuat naik dalam Faceboook rasmi Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Rata-rata netizen memuji dan teruja dengan pertemuan antara Sultan Ibrahim dengan Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu.

    “Daulat Tuanku…..Semoga Allah Swt Pelihara Dan Melindungi Seluruh Ahli Kerabat Tuanku… Kepada Abah TSMY Sentiasa Didalam Lindungan Dan Kasih Sayang Ilahi,” tulis Shyazreen Asri di ruangan komen.

    “Semoga perjumpaan ini akan diberkati dan akan dipermudahkan,” ujar Mohd. Sayuti manakala Raja Eylis pula menitipkan harapan, “Demi bangsa Johor…Daulat Tuanku! Semoga kemenangan milik PN.”

    Syed Fauzi Syed Abdulla pula menulis, “Mg ada sesuatu yg terbaik bg pembntukn kerjaan negeri johor..tahniah tuan presiden.daulat tuanku.”

    “Alhamdulilah Pertemuan yg sangat3 baik…sudah pasti byk yg dibincangkan utk keharmonian bangsa johor dan segala hal kebaikan demi rakyat malaysia bersama..Daulat Tuanku..Johor Memilih Perikatan Nasional,” ujar Aendrie Aziz pula.

    Jsamsudin Hamdan menulis, “Yg pasti prn johor.. PN adalah calon2 yg bersih dri segala rasuah dn salah guna kuasa.”

    “Yus Ismail turut memuji Muhyiddin: “Kesetiaan pada raja dan negara.TSMY Bapa Prihatin Negara. PERIKATAN NASIONAL.”