Author: Admin

  • MCA umum 14 daripada 15 calon PRN Johor

    MCA umum 14 daripada 15 calon PRN Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MCA hari ini mengumumkan 14 daripada 15 calon parti itu yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac depan.

    Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang membuat pengumuman itu berkata, bagi kerusi DUN Puteri Wangsa akan dimaklumkan esok kerana perbincangan masih berjalan.

    “Ini adalah perkara biasa apabila melalui proses pengumuman calon, jadi pada hari ini kita umumkan 14 calon dahulu, manakala seorang lagi akan diumumkan esok.

    “Purata usia calon MCA dalam PRN Johor ini adalah berusia 43 tahun. Daripada 14 orang ini enam daripada mereka dalam usia 30-an dengan seorang berusia 27 tahun.

    “Calon paling senior berusia 60 tahun. Sembilan daripada mereka adalah muka baharu, ini signifikan,” katanya selepas mengumumkan calon MCA bagi PRN Johor di Johor Bahru, hari ini.

    Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata, partinya perlu bekerja lebih keras bagi membuktikan MCA masih relevan dan mampu menarik sokongan masyarakat termasuk pengundi baharu.

    Jelasnya, ini kerana MCA tewas dalam di semua 14 kerusi DUN yang ditandingi mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14.

    “Sebelum ini ada pihak cakap MCA tidak mampu menarik sokongan masyarakat, termasuklah golongan profesional dan muda.

    “Jadi dalam PRN Johor, kita tampilkan senarai calon yang berkelayakan, calon baharu, muda, profesional dan juga wanita,” katanya.

    Sementara itu, apabila ditanya berhubung keyakinan beliau dalam PRN Johor ini, Ka Siong berkata, pihaknya tidak suka untuk membuat ramalan berdasarkan statistik atas kertas.

    “Lazimnya saya tidak akan membuat sebarang ramalan walaupun kita ada sasaran tertentu, sebaliknya biarlah kita buat kerja bersungguh-sungguh untuk memenangi hati pengundi.

    “Atas kertas mungkin dilihat seperti kita mempelajari kelebihan, tetapi perlu diingat kita tewas kesemua kerusi yang ditandingi dalam pilihan raya umum lalu, maka kita perlu bekerja keras mendapatkan semula mandat rakyat,” katanya.

    Berikut adalah senarai 14 calon MCA:

    N.02 Jementah:See Ann Giap

    N.06 Bekok:Tan Chong

    N.10 Tangkak:Ong Chee Siang

    N.12 Bentayan:Gan Qi Ru

    N.19 Yong Peng:Ling Tian Soon

    N.23 Penggaram:Ter Hwa Kwong

    N.28 Mengkibol:Kelly Chye Pei Yee

    N.30 Paloh:Lee Ting Han

    N.42 Johor Jaya:Chan San San

    N.45 Stulang:Ang Boon Heng

    N.46 Perling:Tan Hiang Kee

    N.48 Skudai:Lim Soon Hai

    N.52 Senai:Shen Poh Kuan

    N.55 Pekan Nenas:Tan Eng Meng

  • PRN Johor:Dr. Shaharuddin, anak bekas MB antara calon Pejuang

    PRN Johor:Dr. Shaharuddin, anak bekas MB antara calon Pejuang

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SETIAUSAHA Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Dr. Saharuddin Mohd. Salleh antara 42 calon parti itu yang akan bertanding dalam
    Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Beliau yang juga Ketua Pejuang Johor dan bekas Timbalan Menteri Kerja Rayaakan merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap.

    Selain itu, anak sulung bekas Menteri Besar Johor, Allahyarham Datuk Osman Sapian seperti yang diramalkan bertanding di DUN Kempas.

    Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, Nornekman Osman ditempatkan di DUN Kempas yang pernah ditandingi arwah bapanya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

    “Memang DUN di mana Allahyarham Osman berkhidmat dulu maka anaknya telah dipilih menjadi calon (Pejuang).

    “Semoga tawaran calon kita ini untuk rakyat Johor diberikan petunjuk dan diberikan kemenangan oleh Allah,” katanya ketika mengumumkan senarai calon Pejuang bagi PRN Johor di Muar, hari ini.

    Hadir sama, Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya.

    Osman yang juga Menteri Besar Johor ke-16 meninggal dunia pada 22 Disember tahun lalu pada usia 69 tahun selepas diserang strok.

    Allahyarham memenangi kerusi itu pada PRU-14 lalu dengan majoriti 9,178 undi atas kerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Mukhriz menegaskan, komposisi calon yang diketengahkan parti itu adalah muka-muka baharu kerana kali pertama akan bertanding dalam PRN.

    “Kebanyakan mereka adalah orang-orang yang kali pertama menyertai parti politik dan ada juga yang datang daripada parti lain sebelum Pejuang ditubuhkan,” ujarnya.

    Menurutnya, ramai antara calon diketengahkan juga berkhidmat dalam sektor swasta, aktif dalam kegiatan badan bukan kerajaan (NGO) dan akademik yang sememangnya pengalaman itu amat diperlukan sekiranya Pejuang dapat menubuhkan kerajaan negeri selepas diberi mandat.

    Mukhriz menambah, empat daripada calon Pejuang adalah wanita berumur di bawah 50 tahun.

    Katanya, kesempat-empat calon itu datang daripada pelbagai latar belakang politik dan kebanyakan pertama kali menyertai politik.

  • Wan Ahmad Fayshal positif Covid-19

    Wan Ahmad Fayshal positif Covid-19

    TIMBALAN Menteri Perpaduan Negara Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal didapati positif Covid-19.

    Menerusi ciapan di Twitter, Wan Ahmad Fayshal berkata keputusan itu diperoleh hasil ujian PCR yang dilakukannya semalam.

    “Saya telah membuat ujian PCR pada hari Rabu yang telah mengesahkan saya positif Covid-19. Buat rakan-rakan yang menemui saya sejak awal minggu, saya mohon agar anda turut buat isolasi dan ujian mengikut SOP (prosedur operasi standard).

    “Maaf atas segala kesulitan. Terima kasih,” katanya. – Bernama

  • Bekas guru pusat tahfiz mengaku tidak bersalah liwat, amang seksual 6 pelajar

    Bekas guru pusat tahfiz mengaku tidak bersalah liwat, amang seksual 6 pelajar

    BEKAS guru pusat tahfiz dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kemaman hari ini di atas 10 tuduhan meliwat dan melakukan amang seksual terhadap enam pelajarnya.

    Muhammad Jamil Abdul Kadir, 23, kelihatan menangis ketika tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd sebelum dia mengaku tidak bersalah.

    Memetik laporan Harian Metro, tertuduh yang juga bekas warden di pusat tahfiz di Kemaman tersebut didakwa melakukan perbuatan itu terhadap enam pelajar lelaki berusia 11 hingga 13 tahun daripada Disember 2021 hingga Februari tahun ini.

    Dia berdepan dengan tuduhan di bawah seksyen 377C Kanun Keseksaan dan dua pertuduhan di bawah seksyen 377B Kanun yang sama.

    Tertuduh juga turut didakwa empat tuduhan di bawah seksyen 14(d) dan tiga tuduhan di bawah seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017.

    Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurhanisah SH Sahul Hamid tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

    “Ia adalah kesalahan serius terhadap kanak-kanak dan tertuduh sebagai warden sepatutnya melindungi kanak-kanak di bawah jagaannya itu,” katanya.

    Mahkamah membenarkan tertuduh yang tidak diwakili peguam itu dikenakan ikat jamin sebanyak RM51,000 bagi semua tuduhan dengan seorang penjamin.

    Selain itu syarat tambahan turut dikenakan terhadap tertuduh iaitu tidak boleh menganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai dibicarakan.

    Mahkamah juga menetapkan 29 Mac ini untuk sebutan semula kes.

  • Maut terkena renjatan elektrik

    Maut terkena renjatan elektrik

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG lelaki maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika sedang melakukan kerja-kerja menyelenggara bumbung di sebuah rumah di Lorong Pauh di Derga, Alor Setar, hari ini.

    Mangsa berusia 38 tahun itu ditemui terbaring di atas bumbung sebelum dibawa turun oleh pasukan bomba.

    Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba II, Ahmad Naufal Abdullah, pihaknya menerima panggilan pada pukul 11.46 pagi berhubung kejadian itu.

    Katanya, seramai enam anggota dan seorang pegawai bersama jentera dan kenderaan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Alor Setar di kerah ke lokasi kejadian.

    “Setibanya di lokasi, didapati terdapat seorang mangsa lelaki terbaring di atas bumbung dan dipercayai terkena renjatan elektrik semasa kerja-kerja penyelanggaraan di atas bumbung

    “Komander operasi melakukan kerja menyelamat membawa mangsa turun menggunakan alat pengusung.

    “Lelaki berusia 38 tahun itu disahkan telah meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ahmad Naufal berkata mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

  • Calon Muda mohon maaf, ralat profilnya dikaitkan dengan 2 animasi popular

    Calon Muda mohon maaf, ralat profilnya dikaitkan dengan 2 animasi popular

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENGERUSI Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Johor, Mohd Azrol Ab Rahani ralat dan kesal apabila profilnya sebagai calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai dikaitkan dengan animasi Anak-Anak Sidek dan Keluang Man.

    Azrol berkata tidak pernah mendakwa sebagai tulang belakang untuk kedua-dua animasi popular tersebut.

    “Kerdil betul bila saya dengar ada petikan saya ini tulang belakang. Bila saya tengok kembali video pengumuman, tak ada pun sebut menjadi tulang belakang.

    “Mungkin ada ralat waktu profil saya diumumkan. Cuma saya nak sebut, waktu kegemilangan animasi tempatan, saya adalah antara insan yang bertuah merasai pengalaman di dunia animasi, cuma bukan lagenda Anak-Anak Sidek dan Keluang Man,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Isnin lalu, media melaporkan Azrol yang sebelum ini merupakan antara tulang belakang pasukan animasi Anak-anak Sidek dan Keluang Man berazam mewujudkan peluang pekerjaan bagi generasi muda Felda jika menang dalam PRN Johor.

    Persatuan Animasi Malaysia (Animas) kemudian menafikan Azrol sebagai tulang belakang malah memaklumkan pernah terlibat dalam dua animasi popular tersebut.

    Menerusi profil dikeluarkan Muda dalam bentuk kenyataan akhbar semasa pengumuman beliau sebagai calon DUN Bukit Permai pada Isnin, memaklumkan Azrol merupakan sebahagian daripada kumpulan yang bertanggungjawab mencipta animasi Keluang Man dan Anak-Anak Sidek.

    Malah semasa majlis mengumumkan beliau sebagai calon di kerusi tersebut, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut memaklumkan Azrol pernah terlibat dengan dua animasi tersebut.

    Mengulas lanjut, Azrol sedar soal hak cipta sesuatu jenama termasuk dalam bidang animasi perlu dipelihara dengan baik.

    “Saya tidak ada niat untuk melafazkan atau melakukan perkara perkara yang mengguris hati rakan-rakan komuniti animasi tempatan. Untuk itu, saya mohon maaf atas perkara ini. Saya sedia ditegur. Kalau ada masa untuk bertemu, saya boleh bertemu kawan-kawan juga.

    “Tapi saya memang terlibat dalam pembikinan animasi tempatan waktu berada di Makmur Megah. Waktu itu, saya antara yang terlibat dengan team animasi ‘Wise Mise’ sebagai animator, syarikat ini juga yang menerbitkan animasi Mergastuah dan Tok Tam,” ujarnya.

  • Muda, PKR bertembung, berebut kerusi DUN Larkin

    Muda, PKR bertembung, berebut kerusi DUN Larkin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PERSEFAHAman antara Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) gagal dicapai apabila kedua-dua parti akan berebut Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Menurut Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, pertindahan kerusi itu ‘tidak dapat dielakkan’ dan parti itu meletakkan Ketua Penerangan Muda Johor, Rasid Abu Bakar di kerusi DUN Larkin.

    Jelas Ahli Parlimen Muar itu, Muda tidak mengumumkan calon mereka di DUN Larkin lebih awal kerana menghormati proses rundingan kerusi antara parti tersebut dan PKR sebelum ini.

    “Berhubung kerjasama dengan PKR, kita sudah cuba menjalankan rundingan demi rundingan, kita juga hormat PKR kerana telah umum calon di kesemua 20 kerusi mereka.

    “Kita tidak umum kerusi awal kerana menghormati proses rundingan tersebut dan masih cuba guna saluran lain untuk pastikan tidak ada pertindihan kerusi.

    “Jika ada sekalipun kita sudah cuba mengurangkan pertindihan kerusi semaksimum mungkin dan apabila berlaku (pertindihan), kita akan serahkan kepada pengundi untuk membuat keputusan terbaik,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas memperkenalkan tiga lagi calon Muda di Taman Eco Cascadia, Johor Bahru, hari ini.

    Selain Rasid, 28, Muda mengumumkan Setiausaha Jawatankuasa Muda Johor, Fikri Musa, 28, akan bertanding di kerusi DUN Parit Raja dan Timbalan Pengerusi Muda Johor R Sangaran, 32, di DUN Machap.

    Mengulas lanjut, Syed Saddiq menjelaskan tidak boleh bercakap bagi pihak PKR sama ada kemungkinan akan berlaku sabotaj semasa kempen.

    Sementara itu, Ahli Parlimen Muar itu masih berteka-teki berhubung sama ada turut bertanding dalam PRN Johor pada 12 Mac ini.

    “Buat masa ini, hanya tujuh kerusi yang akan ditandingi Muda dalam PRN Johor dan kita mahu menampilkan calon-calon Muda lain yang jauh lebih baik dan layak daripada saya.

    “Sekali lagi saya tegaskan Muda bukan Syed Saddiq sebaliknya suara anak muda tempatan yang mempunyai hati untuk berkhidmat kepada rakyat negeri ini,” jelasnya.

  • Saya tak kenal Leissner, tak pernah terima rasuah-suami Zeti

    Saya tak kenal Leissner, tak pernah terima rasuah-suami Zeti

    SUAMI bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tawfiq Ayman menegaskan beliau tidak mengenali bekas pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner atau Roger Ng dan tidak pernah bertemu, maupun berkomunikasi dengan salah seorang daripada mereka.

    Suami kepada Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dalam satu kenyataan menegaskan, tidak pernah menerima rasuah daripada sesiapa sepanjang hidupnya.

    “Saya terkejut dengan kenyataan yang dibuat terhadap saya oleh Tim Leissner yang dilaporkan media.

    “Saya tidak mengenali Tim Leissner atau Roger Ng dan saya tidak pernah bertemu (dengan mereka), mahupun pernah berkomunikasi dengan salah seorang daripada mereka.

    “Saya ingin menyatakan bahawa sepanjang hidup, saya tidak pernah menerima rasuah daripada sesiapa,” katanya.

    Tawfiq berkata, memandangkan perbicaraan sedang berjalan di New York, beliau telah dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang kenyataan lanjut kerana ia mungkin boleh menyebabkan subjudis.

    “Kami akan mendapatkan nasihat undang-undang mengenai tindakan seterusnya yang akan diambil terhadap kenyataan yang dibuat terhadap saya,” katannya memetik laporan FMT, hari ini.

    Semalam, FMT melaporkan Leissner memberitahu mahkamah di Amerika Syarikat bahawa Bank Negara membenarkan pindahan keluar negara wang sebanyak USD1 bilion daripada 1MDB kepada PetroSaudi International (PSI), selepas Tawfiq disogok agar ia terlaksana.

    Pindahan itu berjaya dilakukan dalam tempoh semalaman, katanya. Zeti merupakan gabenor BNM ketika itu.

    Leissner, saksi penting dalam perbicaraan seorang bekas pengurus bank Goldman Sachs, Roger Ng, menyifatkan penghantaran USD1 bilion dalam tempoh semalaman itu sebagai ‘tidak pernah berlaku dahulu’.

    Difahamkan USD1 bilion itu termasuk USD700 juta untuk anak syarikat PSI, Good Star Ltd yang didakwa dikawal oleh ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho.

    Dokumen mahkamah yang dilihat FMT menyebut Leissner pada Selasa memberitahu juri mahkamah persekutuan bahawa Ng memberitahunya apa yang didengarnya tentang kelulusan segera daripada BNM itu sebaik sahaja mereka dapat tahu 1MDB membuat pindahan itu.

  • FELCRA catat peningkatan keuntungan hampir 200 peratus pada 2021

    FELCRA catat peningkatan keuntungan hampir 200 peratus pada 2021

    FELCRA Berhad mengisytiharkan Keuntungan Boleh Agih Akhir Projek Penyatuan dan Pemulihan (P&P) tahun 2021 kepada pesertanya berjumlah RM272.75 juta.

    Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, jumlah itu menjadikan keseluruhan keuntungan Boleh Agih FELCRA bagi tahun 2021 berjumlah RM475.2 juta.

    Ia merupakan peningkatan 199 peratus atau RM316.12 juta berbanding keuntungan tahun 2020 berjumlah RM159.086 juta.

    “Walaupun FELCRA antara syarikat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 daripada segi kekurangan tenaga kerja dan tahap pengeluaran hasil, cabaran itu tidak menghalang bagi FELCRA mempertingkatkan usaha untuk mengoptimumkan pulangan dividen kepada para pesertanya.

    “Antaranya melalui penambahbaikan proses aliran kerja, peningkatan penggunaan mekanisasi serta pengenalan automasi secara berkesan,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pengisytiharan dan Penyerahan Keuntungan Boleh Agih Akhir Projek Peserta FELCRA Berhad 2021 di Dewan Hasil, Kluang, hari ini.

    Turut hadir, Pengerusi FELCRA Berhad, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, KPLB, Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FELCRA Berhad, Datuk Mat Roni Zakaria.

    Jelas Mahdzir, keuntungan itu memberi manfaat secara langsung kepada 72,509 peserta FELCRA di seluruh negara.

    Bagi Keuntungan Boleh Agih Akhir 2021, fasa pertama agihannya akan dibuat pada 25 Februari ini berjumlah RM136.37 juta kepada peserta yang layak iaitu dua bulan lebih awal dari kebiasaan.

    Sementara agihan fasa kedua berjumlah RM136.37 juta lagi akan disalurkan pada April depan.

    FELCRA sebelum ini mengumumkan Keuntungan Boleh Agih bagi Agihan Interim 1 bulan Ogos 2021 berjumlah RM76.22 juta.

    Bagi Agihan Interim 2 bulan November 2021 pula berjumlah RM126.23 juta.

    “Di peringkat KPLB, kita hendak pastikan agensi seperti FELCRA Berhad memberi manfaat kepada peserta dan masyarakat setempat terutamanya daripada segi peningkatan pendapatan mereka menerusi projek pembangunan berimpak tinggi yang dilaksanakan di luar bandar,” katanya.

    Bagi negeri Johor jelas Mahdzir, sejumlah RM42.5 juta keuntungan Boleh Agih Projek Peserta FELCRA bakal dinikmati oleh 8,853 orang pesertanya.

    “Saya tegaskan kepada pengurusan FELCRA untuk memastikan pulangan yang baik dapat disalurkan kepada para Peserta di projek-projek yang berhasil untung.

    “Saya juga mahu FELCRA mengurangkan tahap kebergantungan kepada tenaga manual bagi tempoh jangka panjang dalam operasi perladangan, dan pada masa yang sama, komited dalam membantu lebih ramai Usahawan di bawah FELCRA bangkit meningkatkan pendapatan serta mewujudkan peluang pekerjaan sendiri,” kata Mahdzir.

    Untuk rekod, FELCRA Berhad menjana keuntungan perniagaannya menerusi beberapa bidang perniagaan seperti perladangan, pembajaan, hartanah, pembinaan, pendidikan dan penghasilan makanan termasuk ternakan tenusu.

    Terbaharu, FELCRA Berhad telah memajukan seluas 220,086 hektar ladang bagi pihak 112,337 orang Peserta merangkumi 1,417 Projek Penyatuan dan Pemulihan, serta 33,145 hektar estet milik syarikat itu.

  • Muda umum calon kerusi DUN Parit Raja, Machap, Larkin

    Muda umum calon kerusi DUN Parit Raja, Machap, Larkin

    Oleh ABU UBIDILLAH RAHMAN

    PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) hari ini mengumumkan tiga lagi calon mereka yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

    Fikri Musa, 28, akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Raja manakala R. Sangaran (DUN Machap) dan Rasid Abu Bakar, 28, (DUN Larkin).

    Pengumuman tersebut dibuat Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu majlis khas di Taman Eco Cascadia, Johor Bahru, hari ini.

    Sebelum ini Muda sudah mengumumkan empat calon bagi kawasan DUN Puteri Wangsa, Bukit Permai, Bukit Kepong dan Tenang.

    Berita selanjutnya menyusul