Author: Admin

  • Kes rasuah, pecah amanah ahli politik perlu dihakimi seadilnya sebelum PRU-15

    Kes rasuah, pecah amanah ahli politik perlu dihakimi seadilnya sebelum PRU-15

    KES-kes rasuah dan pecah amanah melibatkan ahli politik digesa untuk dihakimi dengan seadilnya sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Ketua Penerangan Pas Pusat, Senator Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin berkata, gesaan itu perlu dijalankan demi mengembalikan tahap kepercaan rakyat kepada institusi kehakiman, legislatif dan eksekutif negara.

    “Kes-kes rasuah dan pecah amanah dalam kalangan ahli politik seperti kes Lim Guan Eng, Syed Saddiq dan Dato Seri Zahid Hamidi dapat dihakimi dengan seadilnya sebelum PRU-15.

    “Lebih memalukan, apabila ada yang telah dan cuba menggunakan kuasa politik untuk membebaskan diri daripada dibacarakan secara adil di mahkamah,” katanya dalam satu hantaran di akaun Facebook rasminya hari ini.

    Tegasnya, pihak yang terlibat perlu memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada mahkamah sebagai ruang untuk membebaskan diri daripada tuduhan seterusnya menghentikan tohmahan dan fitnah orang ramai sekiranya mereka berani dan benar.

    Sementara itu, Khairil Nizam mengingatkan bahawa Pas sentiasa komited untuk terus memperjuangkan integriti dan melawan rasuah seiring dengan larangan agama Islam yang mengharamkan umatnya memakan harta orang lain dengan cara yang batil.

    “Alhamdulillah, PAS sehingga hari ini konsisten tidak disabitkan dengan kes rasuah meskipun mentadbir 3 buah negeri dan sebahagian kementerian dalam kerajaan Persekutuan.

    “Malah, sekiranya terdapat kes dalam PAS, PAS sendiri yang akan bawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan,” ujarnya sebagaimana dilaporkan SatuBerita.

  • Polis sahkan dua lelaki ragut wanita berbaju kelawar ditahan

    Polis sahkan dua lelaki ragut wanita berbaju kelawar ditahan

    TINDAKAN pantas orang awam berjaya menyelamatkan seorang wanita daripada menjadi mangsa ragut dua lelaki dalam kejadian di tepi Lorong Kuda persiaran KLCC, Jalan Ampang pada malam kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, suspek merupakan seorang lelaki warga tempatan dan warga asing masing-masing berusia 32 dan 35 tahun telah ditangkap polis.

    Pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada pukul 9.38 malam.

    “Turut dirampas sebuah motosikal jenis Yamaha, dua buah topi keledar dan sebuah rangkai kunci motosikal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Utusan TV.

    Noor Dellhan berkata, kes kini disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan dan suspek ditahan reman selama lima hari sehingga Jumaat bagi membantu siasatan.

    Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai menyalurkan maklumat dengan serta aktiviti menyalahi undang-undang dengan menghubungi Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang wangi di talian 03-26002222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

    Sejak semalam, tular rakaman kamera litar tertutup yang memaparkan suspek cuba meragut seorang wanita berbaju kelawar.

    Tindakan pantas orang awam terutama ‘abang GrabFood’ melanggar motosikal suspek dipuji netizen.

  • Suami isteri ditahan kemuka tuntutan palsu hampir RM90,000

    Suami isteri ditahan kemuka tuntutan palsu hampir RM90,000

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu berjumlah hampir RM90,000 kepada sebuah jabatan, empat tahun lalu.

    Menurut sumber, kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 38 dan 39 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Johor, Johor Bahru kira-kira pada pukul 11.30 pagi tadi selepas hadir memberikan keterangan.

    Difahamkan, pada 2019 dan 2020, suspek wanita yang juga merupakan pegawai daripada jabatan sama telah bersubahat dengan suaminya.

    Perbuatan itu untuk membuat tuntutan berkaitan perkhidmatan mengambil dan menghantar pelajar sekolah menggunakan invois daripada sebuah syarikat pengusaha van sedangkan perkhidmatan tersebut tidak dilaksanakan.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan kedua-dua penahanan terbabit dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

    Suspek kemudiannya dilepaskan dengan jaminan SPRM.

  • Dua lelaki didakwa beri pinjam wang tanpa lesen

    Dua lelaki didakwa beri pinjam wang tanpa lesen

    DUA lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas pertuduhan menjalankan aktiviti pemberi pinjaman wang tidak sah pada Julai dan Ogos tahun ini.

    Tertuduh, Choi Kian Chon, 28, dan Choo Chan Wah, 23, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohd Kafli Che Ali selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka, lapor Sinar Harian.

    Kian Chon didakwa dengan tiga pertuduhan iaitu didapati terlibat dan menjalankan aktiviti pemberi pinjaman wang tanpa lesen sah kepada tiga individu secara berasingan masing-masing berusia 36, 62, dan 37 tahun.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di tiga lokasi berasingan di Kampung Padang, Kempadang Utama 1 Astaka Village dan Kampung Padang Jaya di Kuantan, antara pukul 8 pagi hingga 6 petang pada Julai lalu.

    Sementara itu, Chan Wah pula didakwa terlibat dan menjalankan aktiviti pemberi pinjaman wang tanpa lesen sah kepada seorang individu berusia 41 tahun di Lorong Pandan Damai di Kuantan antara jam 8 pagi hingga 6 petang, pada bulan ini.

    Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.

    Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda tidak kurang dari RM250,000 dan tidak lebih RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya jika didapati bersalah.

    Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fathin Kasim yang menawarkan jumlah ikat jamin sebanyak RM80,000 terhadap Kian Chon manakala Chan Wah pula sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin.

    Fathin turut meminta agar mahkamah mengenakan syarat tambahan terhadap kedua-dua tertuduh supaya tidak mengganggu saksi pendakwaan termasuk pengadu dan mangsa dalam kes ini.

    Bagaimanapun, Kian Chon yang tidak diwakili peguam memohon agar mahkamah mengurangkan ikat jamin kerana mempunyai dua anak yang masih kecil.

    Tertuduh Chan Wah yang diwakili peguam, Mohd. Rizal Abdullah pula memohon pengurangan ikat jamin atas alasan kesalahan pertama dilakukan oleh anak guamnya.

    Mahkamah kemudian membenarkan Kian Chon diikat jamin RM50,000 bagi semua pertuduhan manakala Chan Wah pula sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.

    Kes disebut semula 23 September depan.

  • Kapal tangki Panama, bot tunda Singapura ditahan maritim

    Kapal tangki Panama, bot tunda Singapura ditahan maritim

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEBUAH kapal tangki ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada kedudukan 16.6 batu nautika timur laut Tanjung Penawar, Kota Tinggi pada pukul 12.30 tengah hari semalam.

    Menurut Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd. Najib Sam, pemeriksaan mendapati mereka gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh daripada pihak berkuasa Malaysia.

    “Kapal tangki ini berdaftar dari Panama yang dikendalikan 26 kru lelaki termasuk nakhoda warga Ukraine dan Georgia.

    “Mereka berusia 21 hingga 67 tahun dan didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Laut Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Sementara itu, beliau berkata, kapal ronda maritim menahan sebuah bot tunda pada kedudukan 17.7 batu nautika timur laut tanjung itu, pukul 2 petang.

    Maritim menahan sebuah bot tunda dari Singapura pada kedudukan 17.7 batu nautika timur laut Tanjung Penawar, Kota Tinggi, semalam atas kesalahan membawa kru yang tidak cukup

    Katanya, bot tunda yang berdaftar dari Singapura itu dikendalikan enam lelaki warga Indonesia berumur lingkungan 29 hingga 51 tahun dan mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

    Mohd Najib berkata, mereka didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen72(1) OPS 1952 kerana bilangan kru kapal tidak mencukupi seperti ditetapkan dalam Safe Manning Certificate dan Seksyen 477(2) OPS 1952 kerana gagal melaporkan pertukaran nakhoda kepada pegawai pelabuhan.

    Jika sabit sabit kesalahan katanya, boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi Seksyen 491B(1)(L) OPS 1952.

    Bagi Seksyen 72(1) OPS 1952, beliau memberitahu, boleh didenda sehingga RM100,000 manakala Seksyen 477(2) OPS 1952 boleh didenda RM1,000 atau penjara tidak lebih 10 hari atau kedua-duanya sekali.

    “Maritim ingin menegaskan kepada pemilik, pengusaha perkapalan serta nakhoda kapal atau bot supaya sentiasa memastikan segala prosedur dan peraturan dipatuhi kerana tindakan akan diambil tanpa kompromi dengan mana-mana pihak,” katanya.

  • Bekas guru didenda RM3,800 cedera pelajar guna penggelek cat

    Bekas guru didenda RM3,800 cedera pelajar guna penggelek cat

    MAHKAMAH Majistret Rembau hari ini menjatuhkan hukuman denda RM3,800 terhadap seorang bekas guru atas pertuduhan mencederakan seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun menggunakan penggelek cat.

    Majistret Kartini Kasran menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap tertuduh Siow Chu Lee, 44, sebaik dia membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya, lapor Sinar Harian.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menyebabkan cedera kepada seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun di telinga dan bahu bahagian kiri dengan menggunakan penggelek cat yang merupakan suatu alat yang jika digunakan sebagai senjata untuk menyerang mungkin menyebabkan kematian.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi Dewan Agora Rembau dalam Daerah Rembau pada 20 Jun lepas lebih kurang pukul 2.10 petang.

    Oleh yang demikian, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan [Akta 574] yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, atau dengan denda, atau dengan sebat, atau dengan mana-mana dua daripada hukuman hukuman itu jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yap Tsu Sheng manakala tertuduh diwakili peguam Jayaprakash Rao.

    Dalam pada itu, peguam tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan hukuman denda ringan dengan mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh selain telah membuat permohonan maaf kepada semua pihak yang terlibat.

    Malah menurutnya, tertuduh telah menjaga anak angkatnya sejak dari bayi dan kejadian buli mangsa ke atas anak angkatnya itu telah berlaku beberapa kali.

    Tsu Sheng bagaimanapun memohon hukuman maksima dengan mengambil kira usia mangsa dan tertuduh merupakan orang dewasa yang waras serta bekas guru perlu menunjukkan contoh yang terbaik terutamanya kepada individu yang bawah umur.

    Majistret dalam penghakimannya menyatakan mahkamah mengambil berat ke atas mangsa berdasarkan umurnya yang baru 13 tahun serta menasihatkan sebagai ibu bapa perlu menunjukkan contoh terbaik kepada kanak-kanak.

    Majistret kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM3,800 sekiranya gagal bayar dikenakan 10 bulan penjara.

  • Johor catat peningkatan kes HFMD, ILI dan URTI pula menurun

    Johor catat peningkatan kes HFMD, ILI dan URTI pula menurun

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KES penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) merekodkan peningkatan manakala kes jangkitan saluran pernafasan, iaitu Influenza-like-illness (ILI) dan Upper Respiratory Tract Illness (URTI) mencatatkan penurunan di Johor.

    Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon berkata, terdapat peningkatan kes HFMD sebanyak 1.5 kali ganda pada minggu epid 33 berbanding dengan minggu epid sebelumnya.

    Beliau memberitahu, secara keseluruhan, kumulatif kes HFMD di Johor menunjukkan daerah Johor Bahru mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu sebanyak 3,075 kes, Kluang (1,139), Batu Pahat (905) dan Tangkak (902).

    “Ini diikuti Segamat (797), Kota Tinggi (717), Pontian (591), Muar (334), Kulai (279), dan Mersing (133),

    “Tiada wabak aktif HFMD dilaporkan. Penularan wabak HFMD berlaku melibatkan taska (46 wabak) diikuti oleh rumah persendirian (22), tabika (14), tadika (9), prasekolah (9), sekolah rendah (3), pusat jagaan harian (3) dan lain-lain (2),” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sementara bagi wabak jangkitan saluran pernafasan, iaitu Influenza-like-illness (ILI) dan Upper Respiratory Tract Illness (URTI), sebanyak 5,689 kes dilaporkan pada minggu epid 33.

    Angka itu menunjukkan penurunan sebanyak 7.9 peratus peratus berbanding 6,177 kes pada minggu sebelumnya.

    “Kebanyakan kluster yang dilaporkan melibatkan institusi pendidikan sebanyak 77.8 peratus. Namun tiada kluster baharu yang dilaporkan sepanjang pada minggu epid 33.

    “Secara amnya, kes ILI dan URTI adalah jangkitan biasa yang berlaku tanpa musim di negara ini sepanjang tahun dan hanya memerlukan pemantauan dan pengasingan diri,” katanya.

    Situasi masih terkawal walaupun terdapat beberapa kluster melibatkan sekolah berasrama dikesan, katanya.

  • Jurutera wanita rugi RM261,000 diperdaya Macau Scam

    Jurutera wanita rugi RM261,000 diperdaya Macau Scam

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG wanita kerugian RM261,000 akibat diperdaya satu sindiket yang menawarkan pulangan pelaburan kupon tidak wujud pada bulan lalu.

    Anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara menerima laporan kejadian itu kelmarin.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superitendan Fariz Ammar Abdullah berkata, mangsa merupakan wanita warga tempatan berusia 40 tahun dan bekerja sebagai jurutera.

    “Semuanya bermula apabila dia berkenalan dengan suspek iaitu seorang lelaki tempatan menerusi aplikasi tinder pada awal Julai lalu.

    “Pada pertengahan Julai lalu, mangsa diperdayakan untuk membeli kupon yang dijual oleh suspek setelah suspek berjanji mangsa akan mendapat pulangan wang sebanyak lima peratus dam modal dalam tempoh 30 minit selepas pembayaran pembelian kupon dibuat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, mangsa kemudian menggunakan wang simpanan telah melakukan 17 transaksi pemindahan secara dalam talian ke dalam akaun-akaun bank yang diberikan suspek.

    Mangsa katanya, turut diberikan pautan laman web untuk melihat keuntungan yang bakal diperoleh namun pautan tersebut tidak dapat diakses oleh mangsa.

    “Lebih malang lagi suspek telah gagal dihubungi. Akibat kejadian itu mangsa kerugian RM261,000,” katanya dan memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara satu hingga 10 tahun selain sebatan dan denda.

    Beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati apabila berurusan dengan orang yang tidak dikenali atau dikenali secara maya termasuk apabila melakukan transaksi dalam jumlah yang besar.

    Orang ramai katanya, boleh memuat turun aplikasi CCID menerusi ‘playstore’untuk tujuan semakan sebelum membuat apa-apa bayaran.

  • Polis buru lelaki berhentikan kereta, lagak samseng di lebuh raya

    Polis buru lelaki berhentikan kereta, lagak samseng di lebuh raya

    POLIS sedang mengesan seorang individu selepas dipercayai bertindak seperti samseng dengan memaki hamun dan membaling objek ke arah kereta dinaiki pasangan suami isteri dalam kejadian di Lebuh Raya Lembah Klang Baru (NKVE), pada Ahad.

    Tindakan individu terbabit yang dirakam menerusi kamera papan pemuka kenderaan dinaiki mangsa tular dalam media sosial.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, mangsa membuat laporan di Balai Polis Seksyen 6 pada pukul 4.20 petang, pada hari sama.

    Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa yang berumur 41 tahun dan bekerja sebagai pengurus operasi sebuah syarikat itu memandu kenderaan bersama suaminya dari Taman Melawati ke Shah Alam.

    “Dalam kejadian pukul 2.50 petang itu, kenderaan mangsa ditahan oleh seorang lelaki yang memandu sebuah kereta jenis Honda berwarna putih.

    “Suspek bertindak memberhentikan kenderaannya di hadapan kenderaan mangsa di laluan tengah lebuh raya berkenaan,” katanya, lapor Astro Awani.

    Katanya, suspek dikatakan memarahi mangsa selain mengeluarkan kata-kata kesat.

    “Suspek bertindak demikian kerana tidak berpuas hati, mendakwa mangsa sebelum itu telah menukar lorong.

    “Sebelum beredar, suspek bertindak membaling objek ke arah kereta mangsa,” katanya.

    Menurutnya, siasatan awal juga mendapati, kereta dinaiki suspek dimiliki oleh seorang wanita tempatan.

    “Tindakan selanjutnya akan diambil bagi mengesan dan merakam percakapan pemilik kenderaan iaitu seorang wanita.

    “Selain itu, tindakan segera dijalankan bagi mengesan suspek untuk siasatan selanjutnya. Kes disiasat di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Pada Ahad, tular insiden seorang lelaki bertindak memaki hamun sebuah kenderaan dinaiki pasangan suami isteri di Lebuh Raya Lembah Klang Baru (NKVE).

    Video berdurasi 57 saat itu tular di media sosial. 

  • Mayat remaja perempuan Orang Asli ditemukan berdarah tangan, kepala dalam semak

    Mayat remaja perempuan Orang Asli ditemukan berdarah tangan, kepala dalam semak

    MISTERI kehilangan seorang remaja perempuan Orang Asli malam kelmarin terjawab selepas mayatnya ditemui dalam semak di lereng bukit berhampiran jalan masuk ke rumahnya di Bukit Ibam, Muadzam Shah pada petang hari yang sama.

    Mayat mangsa berusia 14 tahun itu ditemui pukul 2.45 petang oleh ahli keluarganya dalam keadaan berdarah di tangan dan kepala disyaki dibunuh.

    Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd. Azahari Mukhtar berkata, kehilangan mangsa yang sudah tidak bersekolah itu dilaporkan bapanya di Balai Polis Bukit Ibam selepas remaja itu tidak pulang ke rumah pada malam kejadian.

    “Susulan penemuan mayat mangsa, polis klasifikasikan kes tersebut sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 320 Kanun Keseksaan.

    “Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mohd. Azahari berkata, susulan kejadian, pihaknya telah menahan tiga lelaki di Bukit Ibam, semalan bagi membantu siasatan.

    “Ketiga-tiga suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Rompin pada Selasa untuk mendapatkan perintah tahanan reman,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi polis menerusi talian 09-4145999 atau Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Abdul Khaliq Mustopa menerusi talian 019-9999769.