Author: Admin

  • Mohd Solihan berazam tingkat perkhidmatan jika menjadi ADUN Gambir

    Mohd Solihan berazam tingkat perkhidmatan jika menjadi ADUN Gambir

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, Mohd Solihan Badri berazam meningkatkan perkhidmatannya sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat selepas menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Johor itu berkata: “Apabila saya berjaya menjadi ADUN Gambir selepas PRN Johor 2022 ini, saya pasti akan teruskan dan malah tingkatkan kualiti kerja saya.”

    Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor itu yang pada kali ini bertanding di kerusi DUN Gambir berkata demikian dalam Facebook rasmi miliknya.

    Beliau berkata, semasa menjadi ADUN Tenang tidak pernah mengenepikan mana-mana kaum termasuk orang Cina.

    “Sewaktu saya menjadi ADUN Tenang banyak perkara atau isu yang saya bantu apabila rakan kaum Cina perlukan bantuan,” katanya.

    Kata Mohd Solihan, semasa berkempen terdapat masyarakat Cina memberitahu, mereka mengenalinya kerana pernah terbaca berita semasa beliau menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor.

    “Mereka juga maklumkan pada saya yang selalu nampak cerita mengenai saya buat tinjauan projek sewaktu menjadi Exco Kerja Raya Kerajaan Negeri Johor dalam akhbar harian bahasa mandarin antaranya Sin Chew Daily dan China Press,” katanya.

  • “Rumah Felda tak siap: Siapa PM ketika itu?” – Dr Sahruddin

    “Rumah Felda tak siap: Siapa PM ketika itu?” – Dr Sahruddin

    “SIAPA PM (Perdana Menteri) ketika itu?,” soal Datuk Dr. Sahruddin Jamal ketika mengulas isu projek rumah generasi kedua Felda Seri Jaya, Bukit Serampang, Muar yang belum menjadi kenyataan sehingga ke hari ini.

    Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Bukit Kepong itu secara sinis menegaskan, peruntukkan membina rumah generasi kedua adalah menggunakan dana Felda, tetapi disebabkan Felda mengalami masalah hutang besar akibat salah urus, projek itu gagal dilaksanakan.

    Beliau mengulas mengenai rungutan penduduk di Felda Seri Jaya yang mempersoalkan status pembinaan projek 157 unit rumah generasi kedua di situ yang masih menjadi tanda tanya.

    Projek fasa pertama membabitkan 101 unit rumah sudah disiapkan dan diterima oleh generasi kedua pada 10 tahun lalu, namun bagi projek fasa kedua, masih belum ada sebarang tanda ia akan menjadi kenyataan.

    Mengulas lanjut, Dr. Sahruddin berkata, Felda Sri Jaya itu memang di dalam kawasan DUN Bukit Kepong, di bawah pentadbirannya yang memenangi kerusi berkenaan pada 2018.

    “Memang ia berada dalam kawasan saya, tetapi harus diingat, bahawa untuk rumah generasi kedua, itu (dana) adalah atas peruntukkan daripada Felda.

    “Status tanah pula daripada kerajan negeri. Jadi (apabila) timbul tanda tanya kenapa rumah itu belum disiapkan, jawapan saya mudah, siapa PM pada waktu itu?,” katanya ketika ditemui SatuBerita.

    Kenyataan sinis bekas menteri besar Johor ke-17 itu merujuk kepada kegagalan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

    Najib meninggalkan legasi hutang yang terpaksa ditanggung Felda akibat salah urus dan ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri, kerajaan PN pimpinannya berjaya menghapuskan kira-kira RM8.3 bilion hutang peneroka Felda.

    Isu itu disebut berulang kali oleh Muhyiddin dan ketika pelancaran Ikrar PN ‘Demi Bangsa Johor’ hari ini, Pengerusi PN ini sekali lagi mengulangi kejayaan mereka melakukan sesuatu yang gagal dilaksanakan BN selama berpuluh tahun memerintah.

    Berikutan itu, Muhyiddin menuntut peneroka Felda sudah terus memberi sokongan kepada PN demi masa depan yang lebih baik.

    Dr. Sahruddin berkata, jika Felda berkemampuan dan mempunyai bajet serta mendapat sokongan penuh Perdana Menteri, beliau yakin masalah itu mampu ditangani dengan mudah.

    “Felda ada bajet dan Perdana Menteri dapat menyokong rumah generasi itu dibuat, saya cukup yakin rumah itu akan dibuat. Sebab itulah Tan Sri (Muhyiddin Yassin) cakap dia akan berusaha untuk membina rumah generasi kedua, di seluruh Johor.

    “Jika dia dilantik sebagai Perdana Menteri dan PN berjaya memerintah, negara dan negeri ini, semua akan diselesaikan,” katanya yang mahukan rakyat menilai rekod baik kerajaan PN membantu mengatasi masalah berkaitan Felda.

  • Bapa calon SPM maut selepas hantar anak ke pusat peperiksaan

    Bapa calon SPM maut selepas hantar anak ke pusat peperiksaan

    SEORANG pemandu lori maut dalam satu kemalangan jalan raya dipercayai selepas menghantar anak lelakinya ke sekolah untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Kilometer 6, Jalan Machang- Pasir Puteh, awal pagi ini.

    Dalam kejadian pada pukul 7.20 pagi itu, mangsa, Zainudin Ab.Samat, 56, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami parah pada bahagian kepala dan badan, lapor Sinar Harian.

    Menurut Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Ganti Jimmy, siasatan awal mendapati, mangsa menghantar anaknya di pintu pagar sekolah berkenaan dan terus melintas dari kiri ke kanan jalan untuk kembali ke lorinya.

    “Akibat jarak yang terlalu dekat, sebuah kenderaan jenis Volvo dipercayai gagal mengelak hingga berlaku pelanggaran sehingga menyebabkan mangsa tercampak dan terjatuh di lokasi kemalangan.

    “Mangsa tidak sedarkan diri disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Menurutnya, pemandu kereta Volvo berusia 54 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan saringan ujian kencing juga negatif.

    Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Mahkamah Persekutuan tolak permohonan Najib tangguh rayuan berkaitan bukti baharu

    Mahkamah Persekutuan tolak permohonan Najib tangguh rayuan berkaitan bukti baharu

    MAHKAMAH Persekutuan hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menangguhkan prosiding rayuan berkaitan bukti baharu dalam usahanya untuk mengetepikan sabitan kes melibatkan dana SRC International Sdn. Bhd., yang dijadualkan pada 15 dan 16 Mac ini.

    Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul yang mengesahkan perkara berkenaan berkata permohonan bekas perdana menteri itu supaya tarikh perbicaraan rayuan dilapangkan, ditolak menerusi hantaran e-mel pagi ini.

    “Sehubungan itu tarikh pendengaran dikekalkan sebagaimana yang dijadualkan,” katanya kepada Bernama menerusi teks pesanan ringkas WhatsApp.

    Dua hari lepas peguam Najib menulis surat kepada mahkamah memohon supaya tarikh pendengaran itu dilapangkan kerana mereka masih mengumpulkan semua nota, bukti, dan dokumen yang berkaitan dengan perbicaraan SRC di Mahkamah Tinggi, bagi menyediakan hujah bertulis sebagai tambahan bukti untuk rayuan.

    Pada 7 Disember 2021, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu bagi rayuannya dengan memutuskan bahawa Najib gagal memenuhi Seksyen 61 Akta Mahkamah Kehakiman secara kumulatif bahawa bukti baharu diperlukan untuk keadilan dalam kes itu.

    Pada hari berikutnya, mahkamah sama mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC.

    Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, yang mengetuai panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.

    Najib kemudiannya memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Persekutuan. – Bernama

  • SPR pinda, tambah baik SOP PRN Johor

    SPR pinda, tambah baik SOP PRN Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SURUHANJAYA Pilihan Raya Malaysia (SPR) hari ini menetapkan prosedur operasi standard (SOP) baharu untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    SPR menerusi satu kenyataan memaklumkan, ketetapan SOP pencegahan Covid-19 dibuat berdasarkan cadangan pindaan dan pandangan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    Pindaan dan tambahan kepada SOP tersebut adalah seperti berikut:

    a. Ceramah/syarahan/kempen dibenarkan diadakan di dalam dan di perkarangan pejabat parti dan bilik gerakan parti yang rasmi;

    b. Jumlah kehadiran ceramah/syarahan/kempen tidak melebihi 100 orang atau 50 peratus kapasiti ruang mengikut mana yang terendah, bagi memastikan penjarakan fizikal sekurangkurangnya 1 meter di antara satu sama lain dan memakai pelitup muka. Jumlah tersebut termasuk penganjur, urusetia, penceramah dan peserta;

    c. Ceramah/syarahan yang diadakan tidak boleh melebihi pukul 12 tengah malam; dan

    d. Ceramah/syarahan di premis yang terbuka atau tempat umum adalah tidak dibenarkan.

    Menurut SPR lagi, pindaan dan tambahan SOP berkenaan berkuat kuasa serta merta.

    SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya serta garis panduan tersebut bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya dan tidak menggugat ketenteraman dan keselamatan awam.

  • Menang atau kalah , UMNO mahu PRU-15…’kegilaan apakah ni?…’’

    Menang atau kalah , UMNO mahu PRU-15…’kegilaan apakah ni?…’’

    TT faham UMNO dah tak sabar nak kembali berkuasa lepas hilang kuasa masa PRU-14 dahulu. UMNO tak boleh hidup tanpa kuasa, tapi kena ingatlah kuasa itu diberi oleh rakyat, jadi janganlah menyusahkan rakyat. TT cakap macam ni sebab rasa marah bila Tok Mat Hasan kata, ‘’menang atau kalah di PRN Johor, UMNO tetap desak PM buat PRU-15’’.

    TT tertanya-tanya ‘kegilaan’ apakah ni. Tak kan tak cukup lagi, masa rakyat baru nak bangkit semula di Melaka, UMNO bubar DUN.Buatla PRN. BN menang bukan sebab rakyat dah kembali sokong BN tapi pasal ramai yang tak keluar undi atau tak balik undi. Belum lagi hilang rasa bosan dok tengok BN berpolitik tak habis-habis, sekarang tengah nak PRN Johor pula.

    Cukupla! Bagi la rakyat bertenang untuk tumpu nak susun hidup balik. Masa Covid-19 geng UMNO jugak dok kacau Muhyiddin Yassin buat kerja, lepas tu tengah Covid-19 ‘menggila’ UMNO juga tarik sokongan…huru-hara politik negara. Satu dunia gelak kat Malaysia, sebab dok berpolitik masa Covid.

    Sekarang PM daripada UMNO, tak kanlah tak puas hati lagi sampai nak buat PRU pula..tak boleh ke sabar sekejab, tak lama pun tahun depan saja. Kalau UMNO nak politik juga ‘siang malam’ buat la pemilihan UMNO, rakyatpun tak kisah sebab tak libat mereka, tapi kalau buat PRU, berapa juta rakyat yang akan ‘diseret’ sama dalam mainan politik UMNO atas alasan demi kestabilan.

    Memangla sedap cakap demi kestabilan, tetapi rakyat pun tak stabil lagi dengan masalah Covid. Ramai yang positif. Kuarantin kat rumah dan ada pula masih di hospital. Jangan lupa Kelantan, Terengganu banjir, bila dah surut, mereka ‘nak bangkit semula’ bukan senang. Cuba tinjau-tinjau nasib mangsa banjir kat Selangor…adakah antara mereka dah benar-benar pulih?

    Kalau Tok Mat Hasan kata, menang atau kalah di Johor nak buat PRU…TT nak nasihat Bangsa Johor beri sikit pengajaran kat UMNO ni..jangan bagi mereka menang…sebab apapun keputusan UMNO nak PRU jugak. Jadi kita tengok kalau UMNO kalah di Johor, mereka nak desak tak buat PRU-15.

    TT dah lama buat politik, UMNO nak buat PRU bukan  pasal kestabilan sangat tetapi nak ambil kesempatan sebab dok ‘seronok sendiri’ rasa boleh menang. Tapi jangan lupa gelanggang PRU tak sama dengan PRK atau PRN…PRU-14 dah jadi bukti..tak faham lagi…kalau UMNO tak belajar lagi…tak tahu la.  

    • Apa Ismail Sabri nak buat?

    TT bersimpati dengan Perdana Menteri sebab ketika beliau dok sibuk urus negara, geng-geng UMNO dok sibuk nak pilihan raya satu demi satu. Bila TT baca kenyataan Tok Mat Hasan yang kata,’’UMNO boleh desak (bubar Parlimen) atau buat apa sahaja resolusi tapi Perdana Menteri buat keputusan, sebagai pemimpin UMNO tak kan (Ismail Sabri) tak dengar cakap parti.’’- TT terkedu.

    Habis tu, rakyat macam mana? Tak kan Perdana Menteri yang mencetuskan ‘konsep Keluarga Malaysia’ hendak bagi ‘ahli keluarganya’ susah. ‘Keluarga Malaysia’ bukan hanya ‘Keluarga UMNO’.

    Walaupun Ismail Sabri adalah Perdana Menteri daripada UMNO, itu bukan bermakna UMNO boleh minta Ismail Sabri buat ikut kehendak parti. Sebelum buat keputusan apa-apa Ismail Sabri kena pertimbang betul-betul. Ismail Sabri kena tengok semua sudut khususnya melibatkan rakyat.

    Jadi Ismail Sabri kena bertegas, jika benar UMNO buat desakan. Ismail Sabri bukan Perdana Menteri UMNO atau ‘orang suruhan’ parti tetapi Perdana Menteri yang kena menjaga kepentingan hampir 30 juta rakyat Malaysia. Kalau UMNO nak meroyan buat PRU, biarkan sahaja.

    Ismail Sabri adalah ‘ketua Keluarga Malaysia’ … jadi beliau bertanggungjawab pertahan ‘Keluarga Malaysia’ ini sekurang-kurangnya sehingga tahun depan, jangan buat tindakan bagi rakyat marah. Gunakan kuasa sebagai Perdana Menteri  dengan sebaik-baiknya, Ismail Sabri kena berani untuk ‘melawan arus’, bukan nak ikut apa saja parti suruh.  

    *Tebuan Tanah (TT) berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang kewartawanan

  • Zarul cuba selesai masalah setempat jika menang kerusi DUN Simpang Jeram

    Zarul cuba selesai masalah setempat jika menang kerusi DUN Simpang Jeram

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Zarul Salleh mengambil semua input dan masalah rakyat semasa bertemu pelbagai jenis lapisan masyarakat sejak berkempen sejak lima hari lalu.

    Menurut beliau yang sebelum ini merupakan seorang guru Pendidikan Islam di Maahad Muhammadi dan juga Guru Takmir Daerah Tangkak, semua input itu amat berguna untuk membaiki taraf hidup dan menyelesaikan masalah penduduk Simpang Jeram sekiranya menang nanti.

    “Sepanjang saya dan tim menjalani tempoh kempen selama lima hari ni, saya mengambil input input bagi seluruh aspek bukan politik semata.

    “Saya mengharapkan setiap pertemuan dan perbincangan baik dengan ahli politik, peniaga, orang perseorangan, bahkan golongan profesional sekalipun, harapan besar saya manfaatnya dapat ditumpahkan ke DUN Simpang Jeram,” katanya Facebook miliknya, hari ini.

    Dalam pada itu, beliau melahirkan kekesalan kerana terdapat pemimpin Islam yang berpolitik tidak mengikut panduan ditetapkan agama itu.

    Katanya, mereka sanggup melanggar peraturan ditetapkan syariat dan hukum agama seperti sanggup membuat fitnah dan adu domba, bahkan d luar negara ada yang sanggup membunuh dan berperang sesama sendiri semata-mata kerana ingin mengejar takhta kekuasaan.

    “Inilah antara penyakit yang melanda umat Islam di seluruh dunia dan ia seolah-olah tiada ubat atau jalan penyelesaian.

    “Kita semua faham bahawa fenomena seperti ini tidak menguntungkan umat Islam sebaliknya mendatangkan banyak keburukan seperti memberi ruang luas kepada musuh Islam melemahkan dan seterusnya menghancurkan umat Islam.

    “Oleh itu mana-mana pihak yang mempunyai wibawa atau yang mendapat mandat harus mengusahakan perdamaian antara kelompok umat Islam yang bergaduh sesama sendiri agar tiada lagi yang keruh menyelubungi umat dan masyarakat Islam seluruhnya,” katanya.

  • 10 balai polis, 11 pos kawalan PGA rosak dilanda banjir

    10 balai polis, 11 pos kawalan PGA rosak dilanda banjir

    SEBANYAK 10 balai polis serta 11 pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Terengganu dan Kelantan rosak akibat banjir besar yang melanda penghujung musim Monsun Timur Laut (MTL) di negeri berkenaan.

    Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razaruddin Husain berkata, ia termasuk empat balai polis di Terengganu dan enam di Kelantan, manakala 11 lagi melibatkan pos PGA yang kesemuanya terletak di kawasan sempadan Kelantan-Thailand.

    Beliau berkata, bencana banjir luar jangka pada penghujung MTL bukan sahaja merosakkan balai polis, malah kediaman keluarga anggota di kuarters dan kawasan luar turut terjejas.

    “Di Terengganu balai polis yang terlibat ialah Balai Polis (BP) Kuala Jengai dan BP Pasir Raja di Dungun, BP Air Putih di Kemaman dan BP Manir di Kuala Terengganu yang sebelum ini tidak pernah dinaiki air meskipun lokasinya di tepi sungai.

    “Sementara di Kelantan yang terjejas ialah BP Rantau Panjang, BP Bakong, BP Jeram Perdah, BP Kuala Jambu, BP Simpangan dan BP Meranti,” katanya kepada pemberita selepas melawat BP Manir, Kuala Terengganu, hari ini.

    Hadir sama meninjau keadaan balai pascabanjir itu, Ketua Polis Terengganu Datuk Rozaimi Md Isa.

    Razaruddin berkata, 11 pos PGA yang terjejas ialah Pos PGA Terusan, Pos PGA Salleh Berek, Pos PGA Tok Kana, Pos PGA Antah, Pos PGA Serongga, Pos PGA Ibrahim Pencen, Pos PGA Kaloi, Pos PGA Wakaf Zain, Pos PGA Pulau, Pos PGA Kubang Pak Hitam dan Pos PGA Mek Gombak.

    Menurut Razaruddin, pihaknya sedang mengenal pasti serta membuat penilaian infrastruktur dan peralatan bagi mendapatkan anggaran sebenar nilai kerosakan semua balai dan pos kawalan berkenaan.

    Katanya, bantuan segera juga akan disalurkan bagi membantu keluarga anggota polis yang terjejas akibat bencana tersebut.

    “Walau bagaimanapun di Terengganu dan Kelantan persiapan awal sudah dilakukan oleh pihak kami dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma). Jadi banyak peralatan di balai polis dapat diselamatkan lebih awal kecuali di kawasan yang tidak dijangka,” katanya.

    Menurutnya, kini masih terdapat 17,385 mangsa banjir di Terengganu yang ditempatkan di 86 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri itu. – Bernama

  • Pelajar tetap duduki peperiksaan SPM walaupun kemalangan

    Pelajar tetap duduki peperiksaan SPM walaupun kemalangan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KECEDERAAN dialami calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021, Zahiruddin Zulkarnain, 18, akibat kemalangan motosikal petang semalam tidak menghalangnya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang bermula hari ini.

    Dia yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Kota Masai 2 di sini, nekad mengambil kertas peperiksaan Bahasa Melayu Kertas 1 dan 2 kerana amat penting dan jika terlepas akan gagal dalam SPM.

    “Saya membuat keputusan untuk menamatkan kedua-dua kertas itu terlebih dahulu sebelum pergi mendapatkan rawatan di hospital hari ini.

    “Saya tidak mahu gagal atau terpaksa mengulangi kertas peperiksaan ini, jadi walaupun berada dalam kesakitan sehingga tidak boleh duduk terlalu lama, saya nekad untuk menamatkan kertas ini.

    “Walaupun perlu berhenti sekali sekala untuk baring dan berehat, saya tidak kisah kerana semua persiapan untuk menjawab kertas peperiksaan ini sudah dibuat,” katanya.

    Dia ditemui pemberita selepas selesai mengambil peperiksaan Bahasa Melayu Kertas 1 di SMK Taman Kota Masai 2, hari ini.

    Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin sebelum itu melakukan tinjauan hari pertama SPM di SMK tersebut.

    Dr. Mohd. Radzi membuat tinjauan mengejut pada hari pertama peperiksaan SPM 2021 di SMK Kota Masai 2, Pasir Gudang, hari ini

    Zahiruddin menganggap itu ujian kecil dan berharap akan segera pulih untuk terus menduduki peperiksaan SPM bersama-sama rakan lain.

    Dia yang menetap di rumah keluarga di Taman Kota Masai di sini memberitahu, kemalangan itu berlaku jam 6.40 petang semalam ketika menunggang motosikal menuju ke Stulang untuk bertemu saudaranya.

    Ceritanya, ketika dalam perjalanan di Lebuh Raya EDL menghala ke pusat bandar raya Johor Bahru dihimpit sebuah kereta dan sebuah lori.

    “Cuaca ketika itu hujan dan saya berada di tengah-tengah antara sebuah kereta dan sebuah lori yang seakan-akan menghimpit saya menyebabkan saya brek mengejut sebelum terjatuh,” katanya.

    Dia mendakwa hampir digilis tayar lori namun sempat mengelak dan kemalangan itu mengakibatkan luka di beberapa bahagian badan dan sakit di bahagian pinggang.

    Zahiril berharap agar kesihatannya segera pulih dan tiada kecederaan lanjut bagi membolehkan dia melakukan yang terbaik untuk peperiksaan SPM sekali gus membolehkan hasratnya untuk menyambung pengajian dalam bidang automotif.

  • PRN Johor:Polis buka 13 kertas siasatan

    PRN Johor:Polis buka 13 kertas siasatan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS sudah membuka 13 kertas siasatan sepanjang tempoh empat hari kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bermula Sabtu lalu.

    Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 dan Seksyen 4A (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

    Selain siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam tempoh tersebut juga pihak polis meluluskan 369 permit ceramah di seleruh negeri, termasuk 81 dikeluarkan semalam.

    “Kita menasihatkan semua parti politik dan penyokong mereka mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 dan peruntukan undang-undang yang sudah ditetapkan dalam tempoh berkempen.

    “Polis juga menasihatkan parti politik dan penyokong mereka supaya memastikan kempen yang dijalankan tidak mengganggu atau menghalang laluan orang ramai.

    “Sekiranya masalah timbul, mana-mana pihak boleh merujuk kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya berlandaskan undang-undang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.