Author: Admin

  • Penahanan salah: Khairuddin terima ganti rugi RM300,000

    Penahanan salah: Khairuddin terima ganti rugi RM300,000

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan ganti rugi RM300,000 untuk pengkritik 1MDB, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan atas penahanan salah di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau Sosma pada 2015.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Hakim Quay Chew Soon membuat keputusan itu menerusi prosiding dalam talian, selepas mendapati Khairuddin berjaya membuktikan dakwaan penahanannya menyalahi undang-undang terhadap kerajaan.

    Tetapi, Quay menolak dakwaan Khairuddin terhadap kerajaan atas pendakwaan berniat jahat.

    Pada Mei 2018, Khairuddin memfailkan saman terhadap pegawai Bukit Aman, Wan Aeidil Wan Abdullah dan Muniandy Chelliah; Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi ketika itu, Habibi Majinji; serta Ketua Polis Negara ketika itu, Khalid Abu Bakar untuk menuntut ganti rugi atas penahanan salah.

    Turut dinamakan dalam saman itu ialah Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Masri Daud, bekas peguam kanan persekutuan, Awang Armadajaya Awang Mahmud, bekas peguam negara, Apandi Ali dan kerajaan.

    Khairuddin berkata, beliau ditahan pada 18 Sept 2015 di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan atas dakwaan terbabit aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

    Selepas dibebaskan, beliau ditahan semula di bawah Sosma pada 23 Sept 2015 dan ditahan sebelum didakwa pada 12 Okt 2015 atas dakwaan cuba mensabotaj perkhidmatan perbankan serta kewangan negara.

    Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan itu mendakwa tindakan polis terhadapnya berniat jahat, mencabul hak kebebasannya dan mencemarkan nama baik serta imejnya sebagai ahli politik.

  • Najib hilang kerusi Parlimen Pekan selepas 14 hari

    Najib hilang kerusi Parlimen Pekan selepas 14 hari

    DATUK Seri Najib Razak akan kehilangan kelayakan sebagai Ahli Parlimen Pekan secara automatik selepas 14 hari, bermula hari ini jika tiada sebarang prosedur mahkamah atau pengampunan diraja diterima dalam tempoh berkenaan.

    Memetik laporan Berita Harian, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, ia selaras Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan seseorang individu hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen jika disabit kesalahan dan dihukum penjara lebih setahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 ribu ringgit serta dia mendapat pengampunan bebas.

    Ketika ini, katanya, Parlimen perlu menunggu notis rasmi daripada Mahkamah Persekutuan yang memaklumkan mengenai hukuman yang dijatuhkan kepada bekas Perdana Menteri itu.

    “Sekarang sudah tiada lagi rayuan kerana hukuman diputuskan di Mahkamah Persekutuan, namun Perkara 48(4)(b) juga ada menyebut jika ada apa-apa prosiding mahkamah lain, maka kedudukan Najib kekal sehingga prosiding itu selesai.

    “Saya perlu meneliti dahulu sama ada prosiding itu termasuk semakan, kerana proses semakan ini ada dalam tatacara mahkamah.

    “Jika termasuk dan Najib memfailkan semakan itu dalam 14 hari, maka kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Pekan kekal sehingga prosiding semakan tamat.

    “Pada masa sama, Perkara 48 juga peruntukkan jika dalam 14 hari terdapat permohonan untuk pengampunan diraja, maka kedudukannya kekal sehingga proses pengampunan selesai,” katanya kepada BH, hari ini.

    Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Datuk Seri Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

    Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

  • Kerajaan harus diberi ruang habiskan penggal Parlimen

    Kerajaan harus diberi ruang habiskan penggal Parlimen


    Oleh PROF WONG CHIN HUAT

    SAYA ingin merakamkan penghargaan ikhlas saya kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kerana memetik pandangan saya dalam Simposium Keluarga Malaysia pada ulang tahun Kerajaan Ismail Sabri Yaakob berasaskan perbandingan antarabangsa bahawa fenomena ‘Parlimen tergantung’ tidak perlu ditakuti. Semoga sikap beliau yang memandang berat pandangan sarjana dan mencabar mitos dicontohi tokoh-tokoh politik lain.

    Akan tetapi, kesimpulan susulan Zahid bahawa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) harus disegerakan berlainan sekali daripada kesimpulan saya dalam simposium bahawa Kerajaan Keluarga Malaysia harus diberi ruang untuk menghabiskan penggal Parlimen Ke-14 sehingga 15 Julai 2023. Izinkan saya jelaskan pandangan menyeluruh saya dalam bahasa ringkas untuk diteliti oleh Zahid Hamidi, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakyat Malaysia sekalian.

    Parlimen bergantung akan kekal selepas PRU15

    Parlimen bergantung (hung parliament) ialah keadaan tiada satu parti atau gabungan pra-PRU memenangi majoriti mudah di Parlimen, yakni 112 kerusi dalam kes Malaysia.

    Ini berlaku untuk kali pertama di Malaysia apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) jatuh dan kerajaan susulan yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai pakatan longgar antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), parti kecil dan ahli-ahli persendirian. Ini berterusan dengan Ismail Sabri yang mewarisi komposisi parti kerajaan malah barisan menteri yang hampir sama.

    Ramai mengaitkan Parlimen bergantung dengan ketidakstabilan. Keperluan Perdana Menteri untuk bermusyawarah dengan parti sekerajaan dan parti pembangkang dibaca sebagai kelemahan. Mereka gagal melihat Parlimen tergantung boleh membawa ketidakstabilan seperti di zaman Muhyiddin dan juga kestabilan seperti di zaman Ismail Sabri.

    Kemenangan besar BN dalam Pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor seterusnya mezahirkan persepsi bahawa fenomena parlimen tergantung akan dihapuskan dengan PRU-15 yang awal, tanpa mengambilkira dua perbezaan utama antara PRN dan PRU15.

    Pertama, PRU15 akan merangkumi Malaysia Timur yang mempunyai 57 kerusi parlimen dengan dinamik politik yang berlainan.

    Sejak Jun 2018, GPS menjadi pemain bebas yang boleh membentuk kerajaan dengan mana-mana pihak atas tawaran terbaik, sungguhpun hubungannya paling karib dengan BN. Kini, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diketuai Bersatu Sabah dan menjalin hubungan baik dengan PN juga beranjak ke arah GPS.

    Dengan GPS and GRS dijangka akan memenangi lebih daripada 40 kerusi di Borneo, Parlimen tergantung hanya boleh dielakkan jika BN, PH atau PN dapat memenangi hampir 100 kerusi daripada 165 kerusi di Semenanjung.

    Kedua, kadar mengundi PRN Johor serendah 55 % tetapi kadar mengundi PRU15 dijangka lebih tinggi.

    Dalam PRN Johor, jumlah undi BN cuma meningkat sebanyak 17,222 undi manakala jumlah undi pembangkang utama (PH+MUDA dan PN dalam PRN; PH dan PAS dalam PRU14) telah berkurang sebanyak 170,595.

    Dalam kata lain, BN menang besar di Johor kerana undi PH telah lari ke ‘Parti Aku Malas Undi’ (PAMU) di samping terbahagi antara PH dan PN.

    Dengan terbongkahnya skandal LCS yang mengkhianati keselamatan negara dan berakhirnya pengadilan kes SRC Datuk Seri Najib Razak, lebih ramai rakyat akan keluar mengundi daripada semasa PRN Johor. Sebelum UMNO dilihat sanggup menyerang rasuah dan pengkhianatan, PRU-15 awal mungkin hanya membawa padah kepada BN.

    Parlimen sebagai wadah musyawarah

    Parlimen tergantung tidak mengancam kestabilan dan kemakmuran jika Parlimen menjadi wadah musyawarah. Dengan Parlimen tergantung, parti-parti perlu bermusyawarah dan mencapai muafakat, sama ada membentuk kerajaan campuran, memeterai perjanjian kepercayaan dan belanjawan (CSA) antara kerajaan dan pembangkang, atau kedua-duanya.

    Antara negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan berdepan dengan Parlimen bergantung, banyak yang stabil, maju dan makmur. Cukup mengambil dua contoh, Jerman dan New Zealand.

    Jerman adalah ekonomi terbesar di Eropah dan kelima besar di dunia mengikut KDNK benar. Sebanyak 20 PRU telah berlaku sejak 1949, semua menghasilkan Parlimen tergantung dan kerajaan campuran termasuk empat kali ‘campuran besar’ (grand coalition) antara parti kanan terbesar dan parti kiri terbesar.

    Dalam tempoh 24 tahun antara 1996 dan 2020, New Zealand telah diperintah oleh lapan buah kerajaan campuran majoriti termasuk kerajaan minoriti dengan CSA. Negara kecil yang maju dan sentosa ini adalah antara negara paling berjaya dalam mengatasi wabak Covid-19.

    Daripada demokrasi bersifat pertembungan (adversarial) ala Britain, kestabilan bermusyawarah sebenarnya lebih sesuai dengan jati diri Malaysia. Tamadun Nusantara menghargai kepelbagaian dan sikap rendah diri manakala Islam juga meraikan perbezaan dan mengajak pemuafakatan.

    Parlimen Berpenggal Tetap

    Akan tetapi, kestabilan bermusyawarah dalam parlimen tergantung perlukan kuasa Parlimen dan jawatankuasa untuk memantau kerajaan dan menteri, kedaulatan undang-undang tanpa pendakwaan terpilih, kebebasan kewangan parti-parti untuk tidak mencari rasuah dan kroni, serta ketentuan dan insentif untuk parti bersaing secara profesional dengan visi panjang, bukan semacam penjudi politik yang mencuba nasib.

    Dengan memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai dengan PH, Kerajaan Keluarga Malaysia telah membawa reformasi institusi penting seperti undang-undang anti-lompatan tetapi banyak lagi seperti pendakwa raya yang bebas, pendanaan parti dengan dana awam masih belum dilaksanakan.

    Daripada mendesak pembubaran awal, UMNO seharusnya mendukung konvensi baru Parlimen Berpenggal Tetap, sampai 15 Julai 2023. Dalam bahasa mudah, pembubaran awal hanya dipohon jika kerajaan hilang kepercayaan atau wujud muafakat dua pertiga ahli parlimen.

    Ini akan mengurangkan ketidaktentuan dalam politik dengan tarikh PRU yang ditunda-tunda dan membenarkan reformasi perlu dilengkapkan sebelum PRU15.

    Disaji lauk dengan nasi
    Bersyukurlah atas nikmat
    Tiada kestabilan tanpa reformasi
    Biar lambat PRU asalkan selamat

    • Prof Wong Chin Huat ialah ahli sains politik di Sunway University yang mengkhusus dalam sistem pilihan raya, demokrasi berparlimen dan politik parti.
  • Keputusan mahkamah buktikan Muhyiddin benar dalam perjuangan

    Keputusan mahkamah buktikan Muhyiddin benar dalam perjuangan

    KEPUTUSAN Mahkamah Persekutuan hari ini terhadap Datuk Seri Najib Razak dalam kes SRC International Sdn Bhd membuktikan perjuangan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini adalah benar dalam menegakkan kebenaran bagi menentang kemungkaran.

    BERIKUT ADALAH KENYATAAN PENUH KETUA BADAN PIMPINAN PARTI PRIBUMI BERSATU MALAYSIA (BERSATU) JOHOR, DATUK DR. SAHRUDDIN HAJI JAMAL

    1. Mahkamah Persekutuan hari ini, mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Dato’ Sri Najib Razak yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
    2. Parti Pribumi Bersatu Malaysia menyanjung tinggi keputusan yang telah dibuat oleh panel lima hakim yang dipengerusikan YAA Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Ketua Hakim Negara yang mencerminkan keadilan dan kebebasan Badan Kehakiman di negara ini.
    3. Penghargaan yang tidak terhingga dizahirkan kepada YB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Mohd Yassin atas prinsip ‘berkata benar’ dan ‘nothing to hide’ dalam perjuangan sehingga beliau akhirnya dipecat daripada UMNO pada tahun 2016.
    4. Sejak dipecat daripada UMNO, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia ini telah menempuh pelbagai liku dan cabaran dalam perjalanan karier politiknya hanya kerana menegur skandal moral dan kewangan melibatkan Najib.
    5. Dengan berakhirnya perbicaraan rayuan akhir Najib di Mahkamah Persekutuan, telah membuktikan perjuangan YB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Mohd Yassin adalah benar dalam menegakkan kebenaran bagi menentang kemungkaran.’
    6. Sebuah perjuangan yang penuh dengan kesabaran telah dibuktikan kebenarannya dan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia wajar berasa bangga dengan sosok pemimpin yang ikhlas berjuang demi agama, bangsa dan tanah airnya.
    7. Parti Pribumi Bersatu Malaysia Negeri Johor merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada YB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Mohd Yassin kerana telah mengambil langkah berani tanpa lelah membongkar skandal terburuk dalam negara selama ini.
    8. Keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan pada hari ini akan menjadi sejarah dan terus terpahat dalam ingatan seluruh rakyat Malaysia. Semua yang berlaku ini juga atas ketentuan Allah SWT dan kita perlu redha serta mengambil ibrah daripadanya.
    9. Perjuangan nilai-nilai moral dan integriti akan terus Parti Pribumi Bersatu Malaysia perjuangkan, kerana tiada siapa yang rela untuk membiarkan negara ini diperlakukan sewenang-wenangnya oleh pemimpin rakus yang menyalahgunakan kuasa.’
    10. Kepada seluruh ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia, rapatkan saf dan yakinlah dengan perjuangan kita sekali gus terus bersemangat untuk berjuang serta memenangkan Perikatan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

    Ketua Badan Pimpinan Bersatu Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal

  • Lelaki ditemui maut depan rumah akibat diserang haiwan

    Lelaki ditemui maut depan rumah akibat diserang haiwan

    POLIS mengesahkan punca kematian seorang lelaki yang ditemui maut dengan luka pada leher di hadapan rumahnya di Kampung Merua, dekat Ipoh, semalam, akibat serangan haiwan.

    Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh hari ini mendapati mangsa mengalami kehilangan darah yang serius disebabkan luka serangan itu.

    “Selain itu lelaki berusia 58 tahun itu juga didapati positif Covid-19 dan mengalami saluran darah jantung tersumbat.

    “Sehubungan itu, kes berkenaan yang sebelum ini disiasat sebagai bunuh, diklasifikasikan semula sebagai kematian mengejut (SDR).

    “Pemeriksaan luaran si mati dapati terdapat luka di bahagian muka kiri dan leher dan beberapa helai bulu di sekeliling luka tersebut. Luka pada si mati berpadanan dengan haiwan seperti anjing atau seumpamanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, pemeriksaan dalaman pula menunjukkan dua saluran darah jantung mangsa telah tersumbat dengan keadaan yang teruk selain juga mengalami jangkitan Covid-19.

    Media sebelum ini melaporkan, mayat Norzi Jaafar ditemui dalam keadaan terlentang dengan kesan luka di leher dipercayai akibat dilibas senjata tajam.

    Siasatan mendapati lelaki itu masih bujang dan tinggal seorang diri di rumahnya.

  • Isu politik, rasuah ‘menggetarkan’ pelabur asing – Pakar

    Isu politik, rasuah ‘menggetarkan’ pelabur asing – Pakar

    KEMEROSOTAN saham bursa Malaysia selama empat hari berturut-turut memberi indikasi pelabur asing tidak yakin untuk membuat pelaburan di negara ini.

    Pakar kewangan dan saham, Dr. Wan Nazri Wan Daud berkata ketidaktentuan politik menjadi salah satu punca pelabur tidak mahu mengambil risiko untuk melabur.

    “Sedikit sebanyak, ketidaktentuan politik boleh ‘menggetarkan’ pelabur asing, seperti desakan pilihanraya oleh UMNO yang akan mengakibatkan pembubaran parlimen.

    “Ditambah lagi dengan kehadiran perikatan parti-parti politik lain, perkara ini akan membuatkan pelabur luar mempersoalkan situasi pasaran selepas pilihan raya dan akan menjejaskan sentimen pasaran,” katanya ketika dihubungi SatuBerita hari ini.

    Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Sains Pengurusan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu berpendapat kerajaan harus menjaga imej Malaysia dari terpalit dengan isu rasuah dan korupsi.

    “Untuk Malaysia, persepsi ‘berlegar’ di peringkat antarabangsa adalah rasuah, dalam indeks rasuah Malaysia berada pada tahap tinggi dan memberi gambaran negatif kepada kita.

    “Bila pelabur datang melabur, mereka inginkan negara yang mempunyai polisi jelas jadi mereka mempunyai keyakinan dan akan membuat pelaburan pada jangka masa panjang dengan membuka kilang dan mencipta peluang pekerjaan,” katanya.

    Selain itu, tindakan negara luar seperti Amerika Syarikat dan Eropah menaikkan kadar faedah demi mengekang inflasi pada negara juga sedikit sebanyak memberi kesan kepada Malaysia.

    Menurutnya, hal tersebut menyebabkan berlaku pengeluaran wang kerana pelabur lebih berminat dengan negara-negara yang memberi faedah lebih tinggi jadi berlakunya kemerosotan ringgit.

    “Malaysia bergantung kepada perdagangan (eksport dan import) luar negara, apabila negara luar terjejas ia akan memberikan kesan kepada pasaran saham.

    “China merupakan rakan dagang terbesar dan sekarang mereka sedang berhadapan ‘recession’ (kemelesetan ekonomi) menyebabkan kejatuhan harga komoditi penting Malaysia iaitu minyak petrol dan minyak sawit,” katanya.

    Dalam pada itu, ketidaktentuan ekonomi semasa yang melanda dunia kini, rakyat disarankan untuk tidak berbelanja secara melulu dan mengurang pembelian jangka masa pendek.

    “Sebagai rakyat, kita kena fikir panjang sebelum berbelanja kerana kita berada dalam ‘economy uncertainty’ (ketidaktentuan ekonomi).

    “Dari segi pasaran saham, kita berada dalam keadaan tidak tahu ke mana hala tuju, dalam bahasa teknikal saham kita panggil ‘sideways’,” katanya.

    Terdahulu, Bernama melaporkan Bursa Malaysia mengalami penyusutan selama empat hari berturut-turut pada hari ini.

  • Mekanik tunggang motosikal maut diseret kereta

    Mekanik tunggang motosikal maut diseret kereta

    SEORANG mekanik maut selepas motosikal ditunggani terjatuh ke laluan bertentangan sebelum dilanggar sebuah kereta lalu diseret di hadapan sebuah stesen minyak di Tendong, Pasir Mas, pukul 2 pagi tadi.

    Mangsa, Muhammad Yazid Zakaria, 33, meninggal dunia di lokasi kejadian dalam kemalangan akibat cedera parah.

    Polis menerima maklumat daripada Gerakan Pasir Mas berkaitan satu kemalangan maut melibatkan sebuah motosikal dan sebuah kereta di hadapan Caltex Tendong, Pasir Mas.

    Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, seorang buruh lelaki yang berusia 45 tahun juga pemandu kereta yang terbabit dengan kemalangan itu bagaimanapun tidak cedera.

    “Siasatan awal mendapati pemandu kereta tersebut memandu dari arah Wakaf Bharu menghala ke Pasir Mas.

    “Sampai di tempat kejadian, penunggang motosikal itu dipercayai terjatuh lalu memasuki laluan bertentangan. Oleh sebab jarak yang dekat, pemandu tersebut tidak dapat mengelak dan terseret mangsa,” katanya memetik laporan Sinar Harian

    Menurut beliau, pemeriksaan di lokasi itu mendapati keadaan jalan basah dan gelap kerana tidak berlampu.

    “Motosikal mangsa mempunyai kesan calar di bahagian sebelah kanan, manakala kereta buruh tersebut tercabut penghadang di bahagian hadapan,” katanya.

    Mohd. Nasaruddin berkata, punca kemalangan disebabkan oleh penunggang motosikal yang hilang kawalan dan terjatuh lalu masuk ke laluan bertentangan serta diseret oleh kereta sehingga menyebabkan kematian mangsa.

    “Bedah siasat akan dijalankan dan siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

  • Lelaki asing serang dua anggota polis diberkas

    Lelaki asing serang dua anggota polis diberkas

    SEORANG lelaki warga Algeria ditahan selepas menyerang dua anggota polis di pondok pengawal dan menceroboh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, pukul 1.40 pagi tadi.

    Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, suspek datang ke pondok pengawal dan cuba bertanyakan sesuatu kepada salah seorang anggota polis yang bertugas.

    “Suspek tiba-tiba mengeluarkan tukul besi dan mengetuk kepala anggota terbabit sebelum mengejar seorang lagi anggota polis lain dipercayai untuk merampas senjata api jenis HK MP5 yang dibawa oleh anggota terbabit.

    “Suspek turut mengetuk belakang badan anggota polis terbabit dengan tukul besi yang dibawanya.

    “Beberapa anggota polis lain datang serta menghalang tindakan agresif suspek,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Azmi berkata, suspek berkemungkinan berada dalam keadaan mabuk atau kurang siuman itu berjaya diberkas untuk tindakan lanjut.

    “Suspek kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan akibat kecederaan semasa pergelutan, manakala dua lagi anggota juga turut dihantar ke hospital sama juga untuk rawatan lanjut,” ujarnya.

  • Lelaki maut dalam kemalangan babit tiga lori, satu motosikal

    Lelaki maut dalam kemalangan babit tiga lori, satu motosikal

    SEORANG penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya membabitkan kenderaannya dan tiga lori di KM206.7 Lebuhraya Plus arah selatan di Alor Gajah tengah malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu berkata dalam kejadian kira-kira pukul 12.40 tengah malam itu, peniaga burger Rosli Yaakob, 39, yang mengalami kecederaan di keseluruhan badan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Siasatan awal mendapati kesemua kenderaan terlibat dari arah Utara dan kemalangan berlaku di lorong kiri apabila lori pertama yang membawa muatan bungkusan memperlahankan kenderaan dengan menyalakan lampu kecemasan kerana terdapat pembinaan jalan di lorong paling kanan.

    “Lori kedua dalam perjalanan ke Melaka yang membawa sangkar ayam dari arah yang sama turut memperlahankan kenderaan dengan menyalakan lampu kecemasan namun datang lori ketiga yang terus melanggar belakangnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Arshad berkata setelah pelanggaran itu, lori yang membawa sangkar ayam tersebut mengelongsor ke depan, melanggar belakang lori yang membawa muatan bungkusan manakala lori ketiga itu terhenti tanpa sebarang lampu di lorong paling kiri selain pemandunya tersepit dalam kenderaan.

    Beliau berkata apabila lori ketiga itu berhenti tanpa lampu isyarat dan papan tanda amaran di belakang, kelindan lori sangkar ayam telah menjaga laluan dengan menggunakan isyarat lampu telefon bimbit di lorong kecemasan.

    “Dan datang motor berwarna merah jenis Benelli ditunggangi mangsa melanggar kelindan warga Bangladesh berumur 39 tahun tersebut seterusnya melanggar belakang lori yang ketiga itu.

    “Pemandu lori ketiga berumur 29 tahun dan kelindan yang mengalami kecederaan dibawa ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan manakala dua lagi pemandu lori tiada sebarang kecederaan,” katanya.

    Beliau berkata mayat penunggang motosikal itu telah dibawa ke Hospital Alor Gajah dan kes diklasifikasi di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ ) 1987. – Bernama

  • Polis rampas 1 tan syabu bernilai RM50 juta

    Polis rampas 1 tan syabu bernilai RM50 juta

    POLIS melakukan rampasan terbesar dalam tahun ini apabila merampas dadah jenis syabu seberat lebih 1 tan dengan nilai mencecah RM50 juta.

    Dadah syabu yang boleh mencapai harga pasaran sehingga RM60,000 sekilogram dirampas susulan penahanan tiga ‘jutawan’ dadah di Bentong, Pahang, kelmarin.

    Sumber berkata, kejayaan membongkar kegiatan pengedaran dadah skala besar itu dilakukan Pasukan Tindakan Khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJN) Bukit Aman susulan rampasan syabu seberat lebih 350 kilogram (kg) di Ampang, Selangor, baru-baru ini.

    “Susulan kejayaan pertama itu, pihak JSJN Bukit Aman meneruskan risikan sebelum menahan dua lelaki tempatan berusia 60-an di sebuah kedai makan di Kampung Bukit Tinggi, Bentong, Pahang, pukul 7 malam kelmarin.

    “Hasil dari soal siasat, suspek membawa polis ke sebuah rumah di Taman Anggerik, Bentong, Pahang yang dijadikan stor sindiket.

    “Pemeriksaan polis di ruang tamu menemui lebih 97 plastik lut sinar berisi serbuk kristal disyaki syabu seberat lebih 97kg. Pemeriksaan lanjut menemui berpuluh lagi bungkusan berisi syabu dianggarkan seberat lebih 740kg.

    “Semua syabu boleh menjangkau harga melebihi RM50 juta berdasarkan nilai pasaran semasa,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Difahamkan hasil serbuan itu, polis turut menemui pistol model Glock, sepucuk senjata api tiruan dan sejumlah peluru hidup.

    Menurutnya, semua dadah syabu itu kemudian dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong.

    Difahamkan setakat ini, tiga individu ditahan reman di IPD Bentong untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Siasatan masih dilakukan polis bagi mengesan punca dadah syabu itu diperoleh sama ada diseludup dari negara jiran atau dikilangkan di makmal haram tempatan,” katanya.

    Pada 3 Jun lalu, polis turut berjaya melumpuhkan dua sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah menerusi tiga serbuan selain merampas 696kg dadah bernilai RM25.3 juta di Selangor dan Kedah.

    Hasil operasi itu, polis merampas syabu 404.3kg, heroin (7.7kg) dan pil ekstasi (35.3kg) selain menahan empat suspek termasuk wanita berusia 25 hingga 39.

    Sementara pada 25 April lalu, polis turut merampas 287kg dadah syabu bernilai RM10.3 juta dan menahan empat lelaki, termasuk dalang utama, seorang jurulatih renang hasil serbuan di Selangor dan Johor.