Author: Admin

  • PN nekad teruskan Projek Kembara Wangsa jika menang PRN Johor

    PN nekad teruskan Projek Kembara Wangsa jika menang PRN Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama, Mohamad Alias Rasman akan meneruskan pelaksanaan Projek Kembara Wangsa yang terhenti ketika ini jika menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Beliau berkata, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan dilibatkan dalam pembangunan projek tersebut yang akan memberi banyak manfaat.

    “Sebagai anak jati Johor Lama, saya dapat melihat betapa banyak dan bernilainya produk-produk warisan sejarah serta khazanah alam di DUN Johor Lama yang boleh diketengahkan sekali gus akan menjana pendapatan serta membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

    “Justeru, sokongan pengundi DUN Johor Lama kepada calon PN di DUN Johor Lama pada PRN Johor, 12 Mac ini adalah sangat penting untuk membolehkan Projek Kembara Wangsa disambung semula dengan lebih giat berdasarkan input lebih tepat serta terperinci.

    “Semuanya itu disediakan secara profesional UTM yang mendapat kerjasama sebuah universiti di United Kingdom,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

    Selain itu, beliau melihat Sungai Johor yang mengalir pada jarak lebih 60 kilometer dalam daerah Kota Tinggi adalah asas kepada kebanyakan produk pelancongan khususnya melibatkan keunikan khazanah alam serta warisan sejarah di DUN Johor Lama.

    Di Sungai Johor katanya, terdapat pelbagai produk seperti kunang-kunang, udang galah serta pelbagai spesies ikan air tawar termasuk baung di sebelah hulu manakala spesies ikan laut di hilir yang semuanya menjadi tumpuan kaki pancing.

    “Jadi kemudahan penginapan, jeti dan tempat makan akan disusun semula supaya lebih ramai kaki pancing datang ke DUN Johor Lama,” katanya.

    Bagi produk berasaskan warisan sejarah pula katanya, di sebelah kiri tebing Sungai Johor menghala ke kuala memang terdapat banyak tinggalan sejarah dan makam lama.

    Antaranya Makam Laksamana Bentan, Makam Sultan Mahmud, Makam Cik Siti Aminah (Tembioh) dan Makam Tiga Beranak (Bukit Seluyut) selain warisan sejarah di Kampung Johor dan Teluk Sengat, katanya.

    Justeru ujarnya, aspirasi PN untuk mengutamakan kerancakan sektor pelancongan bagi mempercepatkan proses pemulihan ekonomi Johor turut menepati slogan Kota Tinggi sebagai Daerah Pelancongan Bersejarah.

    Sementara itu, daripada segi politik katanya, PN yakin mampu mempertahankan kerusi DUN Johor Lama berdasarkan sokongan padu pengundi baharu dan Undi 18.

    Ini termasuk perubahan ketara pengundi sedia yang semakin menerima aspirasi pejuangan politik berintegriti, bersih, cekap dan prihati yang didokong Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, katanya.

    Komuniti Felda di DUN Johor Lama juga katanya, berpeluang menikmati kehidupan lebih sejahtera dan menikmati pendapatan lebih baik serta peluang pekerjaan baharu menerusi program yang disusun khusus untuk mereka apabila PN menerajui kerajaan negeri selepas 12 Mac ini.

    “Ini termasuk pembinaan rumah generasi kedua Felda, pemulihan projek perumahan generasi baharu Felda yang terbengkalai serta peluang menyertai skim yang berkaitan perusahan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta usaha pendigitalan bagi perniagaan,” katanya.

    Untuk rekod, terdapat enam kawasan Felda di DUN Johor Lama iaitu Felda Ait Tawar 2, Felda Air Tawar 3, Felda Pasak, Felda Lok Heng Selatan, Felda Lok Heng Barat dan Felda Lok Heng Timur.

  • PIJ Property buat laporan polis dakwa Muda ceroboh, guna aset inkubator usahawan

    PIJ Property buat laporan polis dakwa Muda ceroboh, guna aset inkubator usahawan

    PIJ Holdings Sdn Bhd menerusi subsidiarinya, PIJ Property Development Sdn Bhd membuat laporan polis terhadap Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) berhubung dakwaan pencerobohan dan penggunaan aset Inkubator Usahawan di Taman Perbadanan Islam, Stulang Baru, Johor Bahru, tanpa kebenaran.

    Syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) Johor itu berkata berdasarkan rekod terkini, premis berkenaan digunakan oleh seorang individu bagi tujuan perniagaan perabot jati dan individu terbabit juga tidak dibenarkan menyewakannya kepada mana-mana pihak.

    “Kami kesal kerana bukan sahaja premis ini tidak dapat digunakan bagi tujuan keusahawanan, tetapi malah lebih mengecewakan apabila penggunaan aset ini adalah tanpa pengetahuan, persetujuan dan perjanjian antara pihak PIJ Property dan MUDA,” katanya.

    Sehubungan itu, PIJ Holdings meminta agar MUDA segera mengosongkan dan mengembalikan premis tersebut dalam keadaan asal dan baik bagi memastikan fungsi serta kemudahan premis tersebut dapat dimanfaatkan dengan sepenuhnya oleh usahawan di sekitar Johor Bahru.

    PIJ Holdings pada masa sama berharap agar perkara itu dapat diselesaikan dengan segera dan secara harmoni. – Bernama

  • Perbicaraan kes 1MDB di New York:Leissner ‘kambinghitamkan’ Roger Ng?

    Perbicaraan kes 1MDB di New York:Leissner ‘kambinghitamkan’ Roger Ng?

    TIM Leissner adalah pegawai bank Goldman Sachs yang sebenarnya menjalinkan hubungan ‘penting’ dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan bukannya Roger Ng, dedah seorang peguam bela kepada Ng, Marc Agnifilo .

    Menurut Agnifilo yang merupakan peguam bela kepada Ng di Mahkamah Persekutuan di Brooklyn, New York, Amerika Syarikat (AS) pada Khamis ketika menjelaskan tentang pemeriksaan balasnya terhadap Leissner yang berulang kali menyentuh tentang kehidupan peribadinya.

    “Kesemua hubungan yang dibinanya bersifat strategik. Leissner memainkan peranan penting bukan sahaja dalam kapasitinya sebagai staf Goldman Sachs yang cekap malah dalam menjalinkan hubungan secara peribadi,” ujar Agnifilo.

    Agnifilo juga mengemukakan hujah untuk menyertakan bukti kandungan e-mel antara Leissner dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia, Rohana Rozhan yang didakwa menjalinkan hubungan dengan Leissner.

    “Bukti tersebut adalah relevan memandangkan Leissner memberi keterangan bahawa Ng yang mempunyai ‘hubungan penting’ untuk mencapai perjanjian berkenaan,” kata Agnifilo.

    Menurutnya lagi, Leissner melibatkan Ng dalam kesemua ‘urusan’ tersebut sedangkan dia yang bertindak sedemikian dan kadangkala menggunakan ‘hubungan mesra’.

    Hakim bagaimanapun menyatakan beliau akan mempertimbangkan sama ada membenarkan bukti tersebut dikemukakan sebelum keputusan dibuat.

    Sebelum ini, Ng, 49, yang merupakan bekas ketua pelaburan perbankan Goldman Sachs di Malaysia dituduh bersubahat melanggar undang-undang antipengubahan wang haram AS membabitkan dana 1MDB.

    Dia juga didakwa bersekongkol dengan Leissner dan ahli perniagaan dalam buruan pihak berkuasa, Low Taek Jho atau Jho Low di bawah skim untuk memberi rasuah kepada pegawai rasmi di Malaysia dan Abu Dhabi serta melakukan penyelewengan melibatkan ratusan juta dolar daripada 1MDB.

    Difahamkan, Leissner yang mengaku bersalah pada 2018 merupakan saksi utama kerajaan dalam perbicaraan Ng.

    Ketika ini, pasukan pembelaan Ng sedang berusaha membuktikan Leissner sebagai dalang sebenar dalam skandal tersebut dan dia cuba menjadikan Ng sebagai ‘kambing hitam’ bagi mengelakkan hukuman penjara.

    Ketika sesi perbicaraan pada awal minggu lalu, Leissner menzahirkan rasa kesal selepas mengakui dia banyak berbohong dan mendedahkan pernah berkahwin dengan dua wanita pada masa yang sama selain memalsukan sijil perceraian.

    Dia juga mendedahkan Jho Low meraih sokongan daripada sekutu bekas Presiden AS, Donald Trump untuk ‘penyelesaian’ kes penyelewengan dana 1MDB.

    “Dia memaklumkan kepada saya telah bertemu dengan Jared Kusher iaitu menantu Trump di Beijing dan mendapatkan bantuan guaman daripada bekas gabenor Republikan di New Jersey, Chris Christie dengan bayaran AS$10 juta (RM41.9 juta) jika ‘penyelesaian’ itu berjaya,” tambahnya lagi.

    Christie dalam satu kenyataan bagaimanapun menegaskan, beliau tidak pernah membuat perjanjian seumpama itu bagi menerima bayaran tersebut jika pertuduhan berkenaan digugurkan sebagai pertukaran untuk pembayaran kepada kerajaan AS.

    “Tidak pernah ada perbincangan antara saya atau mana-mana pegawai pentadbiran Trump tentang ‘perjanjian’ tersebut seperti yang didakwa olehnya,” katanya.

    Beliau sebenarnya mewakili Jho Low di bawah tindakan rampasan sivil di California yang menyebabkan dia terpaksa menyerahkan AS$700 juta (RM3 bilion) kepada Jabatan Kehakiman AS. – Agensi

  • Ingat derita rakyat, bukan PRU

    Ingat derita rakyat, bukan PRU

    PILIHAN Raya Umum (PRU) ke-15 tidak perlu diadakan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tamat kerana rakyat sudah cukup derita dengan permainan politik yang kian ‘menjerut’ rakyat.

    Tinjauan SatuBerita sekitar Senai, Johor Bahru, Johor mendapati rata-rata rakyat tidak bersetuju untuk mengadakan PRU-15 sejurus selesai PRN Johor, kerana ketidakstabilan ekonomi rakyat yang masih terkesan akibat pandemik Covid-19 dan banjir yang melanda negara.

    Tidak bersetuju dengan desakan sesetengah pihak yang ingin mengadakan PRU-15 dengan segera pada masa negara dalam proses pemulihan, Moktar Sham, 51, berkata kerajaan harus menumpukan perbelanjaan wang kepada rakyat dan bukan PRU-15.

    “Ia melibatkan banyak perbelanjaan, saya tak setuju. Kita sekarang masih berdepan dengan pandemik Covid-19, rakyat banyak yang menganggur, kena buang kerja dan sebagainya. 

    “Kerajaan akan membelanjakan sejumlah wang dekat situ (PRU15), jika duit itu disalurkan sebagai bantuan kepada rakyat lebih bagus,” katanya kepada SatuBerita.

    Sebelum ini, Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan berkata, UMNO tetap akan meminta perdana menteri mengadakan PRU15 dengan segera walaupun Barisan Nasional (BN) tewas dalam PRN Johor.

    Dalam pada itu, seorang rakyat Johor yang hanya mahu dikenali sebagai Luncai, 50, meluahkan perasaan muak dengan permainan politik yang tidak mementingkan rakyat.

    “Saya dah muak dengan politik ni. Kalau boleh tak ada pilihan raya lebih bagus, saya tak minat pilihan raya ni. Sebab politik yang sekarang ini macam menyakitkan hati,” katanya seolah-olah berputus asa.

    Sependapat dengannya, Salam Sadikin, 50, menggesa kerajaan agar menunggu pandemik Covid-19 reda dan rakyat kembali stabil sebelum adakan PRU-15.

    “Sebenarnya benda ini, rasanya tak perlu lagi, sebab kita belum reda lagi kan. Dengan dos ketiga masih ada yang belum ambil, redakan Covid-19 baru buat pilihan raya. 

    “Kita tengah susah, kita kerja ada yang tak ada kerja. Hutang sana sini, nak bayar, lagi nak pilihan raya,” tegasnya.

    Seorang penghantar makanan, Eskandar Atan, 38, berpendapat ekonomi negara harus distabilkan dahulu sebelum memikirkan perbelanjaan yang tidak mendatangkan kebaikan kepada ekonomi.

    “Sekarang keadaan pandemik rakyat tak boleh bebas sangat, ekonomi pun tidak berapa stabil untuk buat pilihan raya,” ujarnya.

  • Dua bekas ADUN Semerah ‘berentap’ dalam PRN Johor

    Dua bekas ADUN Semerah ‘berentap’ dalam PRN Johor

    DUA bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah bertemu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam pertandingan lima penjuru melibatkan mereka dan tiga lagi calon termasuk calon Bebas.

    Calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Ariss Samsudin sebelum ini pernah menjadi wakil rakyat di kawasan Semerah sejak 2004 hingga 2013 dan penampilan kali ini ibarat ‘sirih pulang ke gagang’.

    Penampilan semula beliau untuk merampas kerusi itu daripada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan juga penyandang kerusi DUN berkenaan, Mohd. Khuzzan Abu Bakar.

    Ariss berkata, setelah hampir 10 tahun ‘menyepi’ di DUN Semerah, beliau kembali untuk berkhidmat kepada rakyat dan antara fokus yang akan dilakukannya sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat adalah untuk mempromosikan Semerah kepada masyarakat luar.

    “Kawasan DUN Semerah ini mempunyai beberapa tarikan yang mampu jadi lokasi pelancongan.

    “Antaranya adalah beberapa kedai makan yang menyajikan masakan ikan asam pedas yang merupakan identiti kepada Batu Pahat dan juga Semerah, serta pantai paya bakaunya, di mana saya berhasrat untuk menjadikannya sebagai pusat pelancongan.

    “Saya berharap sebaik kawasan Semerah ini menjadi tumpuan, peluang pekerjaan dalam kalangan penduduk setempat bertambah, sekali gus akan menaikkan taraf ekonomi di sini,” katanya memetika laporan Bernama.

    Menurutnya, setelah beberapa hari berkempen sejak hari penamaan calon pada Sabtu lepas, beliau mengakui ada pengundi keliru yang beliau bertanding atas tiket BN atau pun PN.

    Tiga lagi calon yang merebut kerusi DUN Semerah dalam persaingan lima penjuru adalah calon BN, Mohd. Fared Mohd. Khalid; Kamarolzaman Mohd Jidi mewakili Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Mahdzir Ibrahim daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

    Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mohd Khuzzan menang dengan majoriti 98 undi menewaskan Mohd Ismail Roslan (BN) dan Adnan Othman (Pas).

  • Pengawal keselamatan tumbuk, tendang isteri dipenjara tiga bulan

    Pengawal keselamatan tumbuk, tendang isteri dipenjara tiga bulan

    SEORANG pengawal keselamatan dipenjara tiga bulan dan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang di Selangor, hari ini kerana menumbuk isterinya di bahagian belakang kepala dan badan selain menendangnya hingga jatuh.

    Majistret Nur Hafizah Rajuni menjatuhkan hukuman itu selepas  M. Dhurai Singham, 48, mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan wanita itu dan memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.

    Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas isterinya berumur 42 tahun, di rumahnya di Kampung Sungai Bakau Rawang, pada 5.03 petang, 2 Mac lepas.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh agar tidak mengulangi kesalahan itu.

    Dhurai Singham yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana dia berpendapatan rendah dan perlu menyara tiga anak.

    Berdasarkan fakta kes, lelaki tu naik angin dan menumbuk isterinya selepas ditanya mengenai wang sewa rumah.- Bernama

  • SPR keluarkan 36,729 undi pos dalam PRN Johor

    SPR keluarkan 36,729 undi pos dalam PRN Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEBANYAK 36,729 kertas undi pos dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) bagi mereka mengundi secara pos pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pengeluaran kertas undi pos pada 1 hingga 3 Mac dijalankan petugas pilihan raya di semua 56 kawasan DUN seluruh negeri.

    “Kesemua 36,729 kertas undi pos tersebut terdiri daripada 28,421 kategori Borang 1A melibatkan petugas pilihan raya, ahli dan pegawai SPR, anggota polis, tentera serta petugas media.

    “Ini termasuk 7,814 undi pos bagi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara), 118 kategori Borang 1C (sembilan agensi dalam sektor keselamatan dan kesihatan) dan 376 pengundi tidak hadir (PTH) di luar negara.

    “Proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran wakil calon daripada semua parti atau individu yang bertanding,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Jelasnya, prosidur itu dijalankan mengikut peruntukan di bawah Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 bagi PRU Dewan Negeri Johor Ke-15.

    SPR mengingatkan kepada semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Pengisytiharan Identiti (Borang 2).

    Suruhanjaya itu mengingatkan mereka supaya segera mengembalikan kertas undi kepada Pegawai Pengurus DUN berkenaan sebelum jam 5 petang iaitu pada hari mengundi iaitu 12 Mac ini.

    “Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan
    menularkannya dalam laman media sosial,” kata SPR lagi.

  • PN mampu selesai masalah pembinaan 3,245 rumah generasi kedua Felda di DUN Sedili

    PN mampu selesai masalah pembinaan 3,245 rumah generasi kedua Felda di DUN Sedili

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PERIKATAN Nasional (PN) mampu menyelesaikan masalah perumahan generasi kedua Felda di enam kawasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sedili di sekiranya menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Calon PN bagi kerusi DUN Sedili, Mohd. Hasnolhadi Mohd Sebalas berkata, terdapat 3,245 rumah milik generasi kedua Felda yang perlu dibina di enam kawasan tanah rancangan berkenaan.

    Beliau memberitahu, generasi kedua yang terlibat dengan masalah itu dari Felda Aping Timur, Felda Aping Barat, Felda Simpang Waha, Felda Bukit Waha, Felda Bukit Easter dan Felda Tenggaroh Selatan 1.

    “Mereka tidak boleh membina kediaman masing-masing kerana ketiadaan infrastruktur di tempat mereka khususnya jalan, longkang serta bekalan air dan elektrik.

    “Semalam, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, melancarkan Ikrar Perikatan Nasional Untuk Bangsa Johor untuk ditawarkan kepada rakyat Johor termasuk komuniti Felda, sempena PRN Johor.

    “Sebagai calon yang mewakili PN, saya amat yakin ikrar untuk mensejahterakan komuniti Felda menerusi Tunjang 4 – Keprihatinan Kepada Rakyat, adalah sangat penting untuk merubah generasi kedua Felda untuk memiliki kediaman dan membina kehidupan dengan keluarga sendiri.

    “Saya juga ingin menyampaikan berita gembira kepada komuniti Felda sekiranya PN menerajui kerajaan negeri selepas PRN Johor nanti, premium tanah bagi semua lot tanah yang diluluskan oleh kerajaan negeri di bawah Program Pemberimilikan Lot Tanah Generasi Baharu Felda bagi tujuan pembinaan rumah akan ditetapkan pada kadar RM1 sekaki persegi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Untuk rekod katanya, kesemua 3,245 lot tersebut telah diserahkan kepada pemiliknya dari kalangan generasi kedua Felda, sejak tahun 2019.

    Bagaimanapun katanya, mereka tidak dapat membina rumah kediaman masing-masing berikutan ketiadaan infrastruktur di lokasi tersebut.

    “Saya memandang serius kesukaran generasi kedua di enam kawasan Felda di DUN Sedili ini,” katanya.

    Katanya, komitmen lain yang diikrarkan untuk komuniti Felda termasuk di DUN Sedili adalah tindakan segera meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat, penyediaan kemudahan dan prasarana di kawasanrancangan tersebut.

    PN juga katanya, berikrar akan memastikan projek perumahan generasi baharu Felda yang sedang dibaik pulih dan disiapkan pada 2022 ini supaya dapat disempurnakan dengan segera.

    “Kami juga memberi jaminan bahawa projek perumahan generasi baharu Felda yang terbengkalai tetapi berpotensi untuk dibaik pulih, akan diselamatkan.

    “Kerajaan PN juga akan memperhebatkan penyertaan komuniti FeldaA dalam aktiviti pertanian bernilai tinggi melalui penggunaan teknologi dan automasi terkini serta strategi pemasaran menyeluruh bagi meningkatkan pendapatan termasuk pemasaran menerusi e-dagang,” katanya.

    Beliau yakin semua ikrar ini boleh ditunaikan dengan kebijaksanaan kepemimpinan PN termasuk menjalin dan memperkukuhkan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan serta Felda.

  • Kanak-kanak 11 tahun maut dalam kebakaran kilang

    Kanak-kanak 11 tahun maut dalam kebakaran kilang

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG kanak-kanak berusia 11 tahun maut dalam kebakaran melibatkan sebuah kilang getah sintetik di Bakar Arang dekat Sungai Petani, Kedah awal pagi tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 4.11 pagi.

    Setibanya di lokasi kejadian katanya, api didapati sedang marak di kilang tersebut dengan pihaknya turut menerima makluma mengenai keberadaan mangsa di kilang tersebut.

    “Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami cuma masuk ke dalam kilang itu bagi memastikan keberadaan mangsa di situ namun usaha itu terbatas akibat api yang terlalu marak.

    “Pihak kami kemudiannya meneruskan usaha untuk memadam kebakaran tersebut dan api dapat dikawal pada pukul 5.10 pagi,” katanya.

    Tambahnya, mangsa kemudiannya ditemukan kira-kira pukul 7.30 pagi di tingkat atas bangunan tersebut.

    “Setakat ini punca kejadian masih disiasat,” katanya.

  • Manifesto PN Johor realistik, semuanya mampu direalisasikan

    Manifesto PN Johor realistik, semuanya mampu direalisasikan

    MANIFESTO atau Ikrar Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mampu dilaksanakan kerana dihasilkan selepas melakukan kajian dan tahap kemampuannya.

    Calon PN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, kemampuan itu juga berdasarkan pengalaman PH mentadbir kerajaan, selain kepakaran ahli-ahli parti yang datang daripada pelbagai latar belakang.

    “Sekiranya kita berjaya membentuk kerajaan, kita akan berusaha sehabis baik. Ikrar PN ini dihasilkan daripada penglibatan banyak pihak, daripada golongan profesional, pakar ekonomi dan tokoh-tokoh politik.

    “Kerangkanya juga dibuat berdasarkan pengalaman mereka yang pernah berjasa dalam kerajaan negeri termasuk saya sebagai Menteri Besar Johor sebelum ini dan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga pernah memegang jawatan sama dan Perdana Menteri Malaysia.

    “Justeru, kita rasa tiada masalah untuk melaksanakannya kerana semua yang ditawarkan adalah perkara dinilai sebaiknya, bukan semata-mata untuk meraih undi,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Sahruddin berkata, tawaran seperti pemberian kad prihatin Johor dan skim pemberian air percuma 20 meter padu kepada golongan berpendapatan rendah adalah antara teras utama ingin ditonjolkan PN sebagai kerajaan yang faham dengan keadaan terkini rakyat.

    “Sebab itu kita tidak panggil manifesto, ia adalah aku janji kita daripada PN yang mahu memberi bantuan dan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Johor.

    “Paling utama kesediaan kita untuk tawaran skim air percuma 20 meter padu kepada isi rumah berpendapatan rendah. Tawaran berkenaan, kita tidak nyatakan spesifik kepada golongan B40 kerana ada golongan lain yang kini memerlukannya.

    “Kita akan menilai semula, contohnya satu keluarga yang mempunyai pendapatan RM2,000 tetapi mempunyai dua anak, berbeza dengan satu keluarga lain pendapatan sama tetapi anak empat. Perkara itu kita akan ambil kira,” kata beliau.

    Sahruddin yang juga Setiausaha PN Johor memaklumkan pemberian bantuan air percuma itu akan merangkumi semua golongan berkelayakan tidak kira di kawasan bandar mahupun luar bandar.

    “Skim ini dahulu semasa kami berada dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH), ia telah dilaksanakan, tiada masalah.

    “Cuma kali ini dengan kekuatan parti yang lebih kukuh, kita mahu lakukan penambahbaikan iaitu menambah lagi jumlah bantuan kepada 20 meter padu air percuma,” jelas beliau.

    Katanya lagi, Ikrar PN bagi PRN Johor itu amat dekat dengan kehidupan semasa rakyat pada masa kini, serta perkembangan situasi ekonomi negeri yang terkesan akibat wabak Covid-19.

    Jelasnya, kos sara hidup yang membelenggu rakyat diberikan perhatian sewajarnya oleh PN apabila pelbagai inisiatif lain turut rangka dan akan diterjemahkan jika diberi mandat oleh rakyat.

    Ujar beliau, PN juga mempunyai pelbagai perancangan diterapkan dalam ikrar berkenaan yang semestinya begitu dekat dan mesra dengan Bangsa Johor.

    “Bukan sahaja tawaran air, kita juga akan melakukan Program Jualan Prihatin Rakyat, penghapusan bayaran lesen dan sewa tapak perniagaan serta bantuan khas nelayan.

    “Saya berharap Ikrar PN bagi PRN Johor akan diterima baik oleh Bangsa Johor, sekali gus pengundi sama-sama membuat keputusan terbaik dengan memilih kesemua 56 calon kami yang bertanding,” kata beliau.