Author: Admin

  • Imej ‘Pekan Koboi’ Parit Yaani akan dilenyapkan – Ahmad Nawfal

    Imej ‘Pekan Koboi’ Parit Yaani akan dilenyapkan – Ahmad Nawfal

    IMEJ Parit Yaani yang dilabel sebagai ‘Pekan Koboi’ menjadi matlamat utama Ahmad Nawfal Mahfuz sekiranya beliau diangkat sebagai wakil rakyat di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani.

    Calon parti Perikatan Nasional (PN) itu berkata, beliau membawa misi segar dalam perjuangannya bagi melihat pola di kawasan yang ditandinginya berubah.

    Katanya, beberapa perkara menjadi keutamaan untuk diselesaikan segera dan ia penting demi kesejahteraan rakyat di kawasan tersebut.

    “Antara yang utama untuk dilaksanakan adalah mengenai perparitan, inilah yang perlu diselesaikan segera.

    “Kita tahu caranya untuk memperbaiki…yang penting adalah kesegaran Parit Yaani itu dan ia perlu diselesaikan segera,” katanya kepada ketika ditemui selepas berceramah sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di Parit Yaani, malam Isnin.

    KEADAAN pekan Parit Yaani.

    Sambil memberikan contoh lain, kerja-kerja menaik taraf perlu dilakukan di kawasan berkenaan, Ahmad Nawfal yang merupakan calon daripada parti Pas berkata, kemudahan infrastruktur seperti menambah lagi bilangan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) perlu dilakukan.

    Setakat ini kemudahan itu hanya ada sebuah sahaja dan ia dikongsi bukan sahaja untuk kemudahan penduduk di kawasan itu malah turut digunakan oleh orang luar.

    Tambahnya, mesin ATM tersebut yang ditempatkan di sebuah stesen minyak yang kedudukan jauh sedikit dari kawasan pekan tidak mencukupi dan penduduk akan mengahadapi masalah sekiranya mesin berkenaan rosak.

    “Kenapa masih kekal status koboi, mesin ATM pun tiada sebiji (di dalam pekan), yang ada pun satu di sebuah stesen minyak, kalau rosak habis semua orang tak boleh guna.

    “Di sini kawasan pedalaman, orang kampung tak berapa nak pandai guna debit kad lagi…jadi, duit tunai sangat diperlukan.

    “Sebab itu ekonomi tak boleh nak kembang, orang tak berani nak masuk sebab infrastruktur tak stabil…itu semua isu yang perlu diberikan tumpuan di Parit Yaani,” katanya.

  • Hukum pihak yang sengaja cetuskan PRN Johor

    Hukum pihak yang sengaja cetuskan PRN Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CALON Perikatan Nasional (PN) Johor bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram, Dr. Karim Deraman mahu rakyat menghukum pihak yang segaja mencetuskan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tanpa alasah yang kukuh.

    Jelas Yang Dipertua Pas Kawasan Gelang Patah itu, ini kerana mereka tidak memikirkan kepentingan rakyat dan risiko untuk mengadakannya.

    “Mereka membawa rakyat Johor terpaksa menghadap risiko-risiko yang tidak patut dihadapi oleh rakyat Johor itu sendiri. Sedangkan Covid-19 masih tidak selesai lagi.

    “Moga rakyat menghukum mereka yang bertindak untuk kepentingan sendiri,” katanya dalam Facebook miliknya, hari ini.

  • Ahmad Nawfal manfaat kempen hingga lewat malam

    Ahmad Nawfal manfaat kempen hingga lewat malam

    SEBELUM kempen pilihan raya menutup tirai menjelang tengah malam Jumaat ini, calon-calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor memanfaatkan kebenaran tempoh berkempen sehingga lewat malam dengan menampilkan pelbagai strategi bagi mendekati pengundi.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah meminda prosedur operasi standard (SOP) PRN Johor dengan membenarkan ceramah, syarahan dan kempen hingga 12 tengah malam berbanding sehingga 10 malam sebelumnya.

    Bagi calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani daripada Perikatan Nasional (PN) Ahmad Nawfal Mahfodz, beliau mengadakan dan menyertai pertandingan futsal pada waktu malam kerana ia aktiviti yang digemari anak muda bagi mengisi masa lapang mereka pada waktu malam.

    Selain kempen rumah ke rumah, program seperti aktiviti futsal itu akan membolehkan beliau mendekati masyarakat serta mengetahui keperluan dan masalah berbangkit mereka.

    “Kempen hingga larut malam ini memang kelebihan buat semua yang bertanding, kerana kita ada lebih masa dan dapat bertemu lebih ramai pengundi,” kata Ketua Pemuda PN Johor berumur 38 tahun itu kepada Bernama.

    Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata parti-parti politik mempunyai masa lebih panjang untuk berkempen apabila SPR melanjutkan tempoh berkempen sehingga 12 tengah malam.

    “Di sebelah malam biasanya pengundi mempunyai masa, kerana pada waktu siang mereka bekerja. Parti politik yang bertanding perlu kreatif menggunakan kesempatan masa yang ada ini dengan mengadakan pelbagai aktiviti dan program,” katanya.

    Bagaimanapun, pensyarah kanan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata kempen rumah ke rumah atau secara bersemuka masih menjadi kaedah terbaik untuk menarik sokongan pengundi.

    “Ia lebih berkesan kerana ia ada sentuhan hati ke hati. Kaedah lama ini masih lagi relevan kerana pengundi akan lebih mengenali calon bertanding apabila mereka sendiri bertemu dengan calon dan mengenali perwatakan mereka dengan lebih dekat,” katanya.

  • Johor terus maju, moden apabila PN menjadi kerajaan negeri

    Johor terus maju, moden apabila PN menjadi kerajaan negeri

    CALON Perikatan Nasional (PN) Johor bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas, Nur Faizal Abdullah percaya Johor akan menjadi lebih maju dan moden sekiranya PN menjadi kerajaan negeri selepas 12 Mac ini.

    Beliau berkata, banyak usaha dapat dilakukan apatah lagi Johor merupakan sebuah negeri penyumbang utama kepada ekonomi negara pada 2020 selain Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Sarawak.

    “Johor yang mempunyai banyak potensi ekonomi termasuk bersempadan dengan Singapura memerlukan pengemudi atau kerajaan yang dapat memacu lebih banyak peluang ekonomi untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

    “Menerusi tunjang Ikrar PN iaitu keutuhan ekonomi, saya dapat lihat pelbagai pelan dirangka Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Antaranya pelan sedekad Johor yang bakal memberi manfaat kepada setiap lapisan rakyat Johor,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

    Menurut Nur Faizal, beberapa inisiatif ekonomi bakal dilaksanakan dengan pemerkasaan kegiatan ekonomi setempat bagi kawasan terletak di sempadan negeri Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan.

    “Industri strategik di kawasan yang terletak di sempadan negeri boleh ditingkatkan dengan pemerkasaan ekonomi yang dilakukan. Ia melibatkan industri pelancongan, industri kecil dan sederhana (IKS) dan pengangkutan.

    “Inisiatif yang bakal dilakukan akan mengoptimumkan pelbagai sektor termasuk ekonomi. Ikrar keutuhan ekonomi ini jelas menunjukkan perancangan yang rapi untuk Johor,” ujarnya.

    Katanya, pertumbuhan ekonomi Johor diterajui oleh sektor perkhidmatan khususnya dalam subsektor perdagangan borong dan runcit; makanan dan minuman serta penginapan; diikuti sektor pembuatan khususnya dalam produk elektrik, elektronik turut menjadi tumpuan PN.

    “Saya percaya rakyat Johor pasti mahu sebuah kerajaan yang boleh membangun dari segi ekonomi. Justeru PN jadi pilihan tepat untuk PRN Johor,” katanya.

  • BN menang di Johor, Najib layak kembali jadi Presiden UMNO

    BN menang di Johor, Najib layak kembali jadi Presiden UMNO

    *Bila ‘boss kau’ disambut meriah

    Tebuan Tanah (TT) tau Najib Razak rasa beliau paling popular, walaupun sudah didapati bersalah oleh dua mahkamah dan empat hakim dalam kes SRC International…ke mana saja beliau pergi ‘dilihat’ nampak sambutan.

    Sebab itu Najib kata, ‘’sambutan setakat ini Alhamdulillah dan saya harap semangat ‘Bossku’ ini dapat diterjemahkan dalam undi kepada BN nanti..itu saya harap sangat.’’

    Terbuktilah dalam BN tak ada lagi orang sepopular Najib, tak kisahlah, Ahmad Zahid Hamidi atau Tok Mat Hasan..semuanya tak boleh lawan populariti Najib. Zahid dilihat ‘teraba-raba’ manakala Tok Mat pula nampak tak menonjol.

    Jadi TT tak terkejutlah bila dengar cakap-cakap BN terpaksa guna Najib yang dihukum 12 tahun penjara dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan oleh mahkamah berkempen di kawasan kelabu.

    TT tak pasti sejauh mana benda ni betul tapi kalau tengok cara Najib turun  di Johor dan sebelum ni di Melaka..riak-riak itu ada, nak buat macam mana BN nak harap kat sapa lagi? Walaupun khabarnya ramai ahli-ahli UMNO di Johor tak selesa, kepemimpinan BN tak ada pilihan sebab yang penting menang.

    Kalau begitu keadaannya, jika nanti BN menang besar di Johor, Najib paling layak kembali menjadi Presiden UMNO. Lagipun khabarnya majoriti ketua bahagian masih setia bersama ‘boss kau’. Bila BN menang PRU, Najib boleh jadi PM sekali lagi. Yang lain tu boleh lah terus bermimpi…

    *Bangsa Johor bijak menilai antara integriti dan populariti

    SEORANG sahabat TT di Johor mengeluh bila lihat ramai jugak orang yang sambut Najib Razak walaupun majoritinya dikatakan bukanlah pengundi tempatan. Tapi tak kisahlah, janji bila orang tengok gambar dalam media sosial…’boss kau’ dapat sambutan.

    Sahabat TT ni bukannya tak sokong BN, dia penyokong tegar UMNO, cuma dia rasa kecewa bila tengok Najib disambut macam tu. Soal Najib tengah dalam rayuan atau tidak, itu bukan soalnya yang penting dua mahkamah dah kata dia salah, lebih buruk lagi, kes bekas Perdana Menteri – satu dunia heboh…malu Malaysia.

    Bila orang dok panggil Najib dengan pelbagai gelaran, UMNO turut terima tempiasnya, tu yang sahabat TT kecewa. Sepatutnya UMNO tak lagi bergantung kepada Najib. Parti itu kena jauhkan diri daripada Najib atau mana-mana pemimpin yang ada kes mahkamah.

    Malangnya kata sahabat TT, benda tu tak berlaku sebab dalam UMNO, semua orang tak berani buat langkah untuk pinggirkan Najib sebab mereka tak ada kekuatan. Jadi mahu tak mahu, mereka terpaksa ikut sahaja rentak politik Najib.

    Sebenarnya bukan hanya sahabat TT yang dok bercakap pasal ‘boss kau’ ni, ramai lagi ahli-ahli UMNO pun ada perasaan yang sama. Malah ada yang cakap kat TT, 12 Mac ni, mereka tak nak keluar mengundi walaupun mereka ahli UMNO, sebabnya mereka tak nak nanti kalau BN menang, UMNO tak berubah.

    Bukan mereka tak sayang UMNO, cuma kata mereka, kalau BN menang maknanya itu kemenangan untuk pemimpin ada masalah integriti. Memang betul, BN nak menang tapi kata mereka, tak payahlah bergantung kepada kelompok ‘kluster mahkamah’. Tak kan kita nak mengajar anak cucu kita untuk sanjung pemimpin yang sah-sah didapati bersalah oleh mahkamah kerana rasuah dan salahguna kuasa?

    Semua pandangan tu, TT simpan dalam hati dan bermain di fikiran sepanjang masa. Tambahan pula bila tengok orang sambut ‘boss kau’ agak meriah, cuma TT dok tertanya-tanya, adakah ia akan diterjemah dalam bentuk undi, sebab bangsa Johor ada kebijaksanaan tersendiri dalam menilai antara integriti dan populariti.

    *Tebuan Tanah (TT) berpengalaman lebih 30 tahun dalam dunia kewartawanan.

  • Najib perlu segera beri jawapan, bukan tunggu hingga PRN Johor berakhir

    Najib perlu segera beri jawapan, bukan tunggu hingga PRN Johor berakhir

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DATUK Seri Najib Tun Razak seharusnya segera memberikan penjelasan terhadap dakwaan beliau mengelirukan Dewan Rakyat berhubung isu 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) seperti diarah Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun sebelum ini.

    Tun Dr. Mahathir Mohamad bagaimanapun berkata, tindakan Najib yang memaklumkan hanya akan memberi penjelasan perkara itu selepas berakhir Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, seolah-olah menunjukkan Ahli Parlimen Pekan tersebut tidak mampu memberi penjelasan memuaskan.

    “Beliau tak boleh bagi penjelasan, sebab itu Beliau tak buat demikian. Kalau penjelasannya betul dan boleh diterima akal, maka dia perlu bagi penjelasan sebelum PRN kerana perkara tu akan mempengaruhi orang untuk menyokong dirinya.

    “Ini sebab tak boleh pengaruhi orang sokong, sebab itu beliau tak bagi penjelasan,” katanya ditemui pemberita ketika mengadakan lawatan ke Lang Agro Park di Langkawi, hari ini.

    Sementara itu, Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengesahkan yang beliau tidak lagi akan bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

    Begitu pun katanya, beliau akan tetap memainkan peranan untuk berkempen bagi individu yang akan menggantikannya.

    “Saya masih tak pulih sepenuhnya, masih lemah dan tidak kuat. Tetapi setakat nak ke Johor, bercakap sikit-sikit dan ke Langkawi untuk berkempen, itu bolehlah.

    “Tetapi saya ingat, kita bagi peluang kepada orang lainlah (Untuk bertanding di Langkawi dalam PRU-15),” katanya.

    Tambahnya, calon yang bakal menggantikannya itu sudah tentu seseorang yang lebih muda daripadanya.

    “Kita nak cari orang yang lebih muda dari saya. Saya boleh ada bersama, beri nasihat dan boleh ambil bahagian dalam kempen pun.

    “Kalau ada satu tempat yang saya perlu hadir, saya akan hadir. Mungkin boleh bercakap sikit untuk membantu kempen calon,” katanya.

  • Bekas pengarah ditahan SPRM terima rasuah RM1.2 juta

    Bekas pengarah ditahan SPRM terima rasuah RM1.2 juta

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang bekas pengarah sebuah jabatan kerajaan negeri kerana dipercayai meminta dan menerima rasuah lebih RM1.2 juta pada 2017 dan 2018.

    Astro Awani melaporkan, bekas pengarah berkenaan menerima suapan membabitkan kerja-kerja perkhidmatan daripada dua buah syarikat.

    Lelaki berusia dalam lingkungan 50-an itu ditahan di pejabat SPRM Sabah di Kota Kinabalu kira-kira pukul 10 pagi tadi.

    Katanya, lelaki itu yang kini berkhidmat dengan sebuah agensi kerajaan lain disyaki menerima habuan itu sebagai balasan memberi projek perkhidmatan penundaan di jabatan tersebut antara tahun 2017 hingga 2018.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan itu.

    Beliau berkata, bekas pengarah itu disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

  • PN pilihan terbaik anak muda Johor

    PN pilihan terbaik anak muda Johor

    DI satu sudut di kawasan deretan kedai di Taman Pagoh Jaya, seorang remaja Aiman Tosiran tekun membelek telefon pintar untuk mendapatkan siaran secara live program Pentas Anak Muda yang menampilkan pemimpin-pemimpin golongan muda Perikatan Nasional.

    Meskipun boleh sahaja mendengar terus ceramah di lokasi, namun kerana sistem audio yang kurang jelas, ditambah jiwa muda yang sememangnya sangat dekat dengan teknologi dan media sosial, Aiman lebih selesa mengikuti menerusi telefon pintarnya.

    Berbeza dengan ratusan anak muda lain yang siap memakai baju PN, Aiman hanya mengenakan seluar, kurta dan kopiah, mungkin baru lepas urusan di surau.

    “Saja tengok orang,” katanya sebaik disapa sambil menanggalkan sebelah fon telinganya.

    Aiman memberitahu, jika Sabtu ini dia keluar mengundi, itu bakal menjadi pengalaman pertamanya menggunakan hak sebagai seorang warganegara memilih pemimpin negeri dan negara.

    Sebenarnya Aiman adalah salah seorang daripada 749,731 pengundi berusia 18 tahun yang layak mengundi pada PRN Johor kali ini susulan pendaftaran Undi18.

    Jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak 28 peratus kepada jumlah keseluruhan pengundi PRN Johor yang kini berjumlah kira-kira 2.5 juta pengundi berbanding 1.8 juta pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

    Namun seperti kebanyakan pengundi muda lain, Aiman juga masih keliru tentang pilihan.

    Selain faktor legasi dan keluarga, lambakan maklumat di media sosial dan kempen agresif jentera parti-parti politik di media sosial yang cuba mempengaruhi pandangan golongan muda, menjadikan ramai keliru.

    Tidak dinafikan ramai mereka terperangkap dalam persepsi dan sejarah keluarga yang telah menyokong sesebuah parti sejak dahulu lagi.

    Dan Aiman tidak terkecuali masih terperangkap dalam pilihan sama ada meneruskan pilihan keluarga atau pun melakukan perubahan mencuba yang baru.

    “Itu masalahnya,” kata Aiman bercakap tentang sokongan keluarga khususnya kedua-dua ibu bapa.

    Namun Aiman dan lebih 700,000 pengundi muda sebenarnya tidak sukar untuk membuat pilihan jika menyoroti kembali ucapan Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari malam tadi.

    “Selepas 60 tahun, tidak dinafikan ada kebaikan daripada BN sebelum ini tetapi setakat mana mereka beramanah dan berintegriti dalam mentadbir negara ini.’ ujarnya.

    Kisah kerakusan pemimpin BN bukan lagi sekadar kisah di kedai kopi, namun sudah dibicarakan panjang lebar di mahkamah, malah sesetengahnya sudah disabitkan kesalahan oleh mahkamah.

    Tiada lagi rahsia pemimpin BN yang bergelumang dengan rasuah dan salah guna kuasa, malah PRN Johor juga bukti BN hanya mementingkan kuasa berbanding survival rakyat.

    Justeru Ahmad Fadhli mengingatkan pengundi muda jika mereka menyerahkan sekali lagi masa depan ini kepada golongan yang tidak menghiraukan survival rakyat, maka mereka, golongan muda akan berdosa kepada negeri ini dan menggadaikan masa depan mereka sendiri.

    “Justeru kepada adik-adik berumur 18, 19, 20 tahun, bersaksilah bahawa peluang anda untuk memangkah kali pertama tidak akan anda gunakan untuk memangkah penyamun merompak.

    “Tidak akan anda gunakan (peluang) mengundi (kali pertama) menggadaikan masa depan negara,” ujarnya sambil menyeru anak muda menjadikan kehadiran di Bukit Kepong malam tadi medan kebangkitan anak muda menolak pemimpin rasuah dan memilih pemimpin berintegriti yang diketengahkan PN.

    Mungkinkah Aiman akan menjadi sebahagian kebangkitan anak muda Johor pada PRU Johor kali ini, 12 Mac akan menentukannnya.

    Yang pasti Aiman pasti kembali dengan pendirian lebih jelas dan memilih parti yang memberikan tawaran terbaik untuk anak muda Johor seperti Perikatan Nasional.

  • Calon PH DUN Skudai, Marina Ibrahim positif Covid-19

    Calon PH DUN Skudai, Marina Ibrahim positif Covid-19

    CALON Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai, Marina Ibrahim disahkan positif Covid-19 melalui ujian kendiri pada Isnin lepas.

    Perkara itu disahkan oleh Marina menerusi hantaran pada akaun Twitter rasminya pada Rabu dan turut memaklumkan beliau sedang menjalani kuarantin di rumah serta menunggu hasil ujian RT-PCR.

    Bagaimanapun beliau berkata, semangatnya untuk meneruskan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak luntur dan akan meneroka cara lain termasuk media sosial untuk berhubung dengan pengundi Skudai dalam tempoh kuarantin.

    “Saya berharap anda semua akan terus memberi sokongan kepada saya dan pasukan kempen saya sehingga hari pengundian nanti. Pasukan saya akan meneruskan kempen walaupun dengan ketiadaan saya secara fizikal,” menurut hantaran tersebut.

    Marina berdepan pertandingan tiga penjuru antara Lim Soon Hai yang mewakili Barisan Nasional (BN) dan calon Perikatan Nasional (PN) Khoo Kong Ek.

    PRN Johor akan diadakan Sabtu ini. – Bernama