Author: Admin

  • Proses pengundian berjalan lancar: Polis

    Proses pengundian berjalan lancar: Polis

    PROSES pengundian di semua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berjalan lancar dan selamat setakat ini, tanpa ada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya juga tidak menerima laporan sama ada berhubung kekecohan atau pergaduhan terjadi di pusat mengundi.

    “Proses mengundi di tempat mengundi berjalan dengan lancar, tiada juga (laporan) kejadian pergaduhan atau kekecohan diterima,” katanya ketika dihubungi Bernama di Johor Bahru, hari ini.

    Beliau berkata, secara keseluruhan seramai 11,000 pegawai dan anggota polis ditugaskan untuk mengawal keselamatan dan memantau kelancaran proses mengundi di pusat-pusat mengundi.

    Kamarul Zaman berkata, beliau telah meninjau proses pengundian di Sekolah Kebangsaan IJ Convent di Johor Bahru, hari ini.

    Beliau berkata, aliran trafik di lebuh raya juga berjalan lancar tanpa berlaku kesesakan berikutan pegawai dan anggota trafik sentiasa mengawal lalu lintas.

    “Aliran trafik di lebuh raya berjalan lancar, namun ada jalan di kawasan Tiram yang agak perlahan sedikit kerana awal pagi (orang keluar mengundi), tetapi selepas itu lancar,” katanya.

    Sebanyak 1,021 pusat mengundi dibuka untuk proses pengundian pada Sabtu dan setakat pukul 2 petang, Suruhanjaya Pilihan Raya memaklumkan sebanyak 40 peratus pengundi telah keluar mengundi.

    Seramai 2,539,606 pengundi biasa daripada 2,597,742 pengundi berdaftar layak untuk menunaikan tanggungjawab mereka pada Sabtu.

    PRN Johor kali ini menyaksikan seramai 239 calon daripada 15 parti politik bertanding. – Bernama

  • Wanita positif Covid-19 hadir mengundi dikompaun RM1,000

    Wanita positif Covid-19 hadir mengundi dikompaun RM1,000

    PEJABAT Kesihatan Daerah Johor Bahru mengenakan kompuan RM1,000 terhadap seorang wanita yang positif Covid-19 kerana hadir untuk mengundi bagi kawasan DUN Larkin di Dewan Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru, hari ini.

    Free Malaysia Today (FMT) melaporkan, wanita berusia 30-an berkenaan masih dalam tempoh kuarantin selepas dijangkiti Covid-19.

    Tindakan itu diambil oleh Inspektor Kesihatan Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru setelah membuat pemeriksaan aplikasi Mysejahtera milik wanita itu yang menunjukkan tanda merah semasa tiba di dewan berkenaan.

    Wanita itu berkata, tidak mengetahui individu yang masih menjalani kuarantin setelah didapati positif Covid-19 dilarang hadir membuang undi.

    Berlaku salah faham setelah orang terdekatnya memberitahunya individu masih boleh mengundi walaupun masih dalam tempoh kuarantin.

    Dalam pada itu, Inspektor Kesihatan, Mohd. Azrul menjelaskan kepada wanita itu bahawa semua individu yang positif tidak boleh keluar mengundi.

    Katanya, mana-mana individu yang positif Covid-19 wajib menjalani kuarantin dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

    “Sebagai individu yang didapati positif, awak tidak boleh keluar rumah langsung apatah lagi untuk keluar mengundi di pusat mengundi melainkan rumah di dalam pusat mengundi.

    “Kami menawarkan kompaun sejumlah RM1,000 dan awak perlu hadir ke Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru dalam tempoh masa 14 hari,” katanya ketika menerangkan situasi itu kepada ibu wanita terbabit.

    Inspektor Kesihatan itu mengarahkan wanita terbabit segera pulang ke rumah selepas mengeluarkan kompaun tersebut.

  • Peratusan keluar mengundi mungkin lebih rendah daripada PRN Melaka

    Peratusan keluar mengundi mungkin lebih rendah daripada PRN Melaka

    PERATUSAN undi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diramalkan mungkin rendah berdasarkan perkembangan semasa yang dikeluarkan pihak Suruhanya Pilihanraya (SPR) setakat tengah hari tadi.

    Pensyarah Kanan Universiti Putra Malaysia Prof. Madya Mohd. Izani Mohd. Zain berkata, peratusan undi yang mampu dicatatkan sehingga menjelang petang nanti mungkin akan lebih rendah berbanding apa yang berlaku pada PRN Melaka.

    Jelasnya, jika dilihat peratusan sehingga 12 tengah hari hanya 29 peratus sahaja yang keluar mengundi.

    Beliau menjangkakan sehingga pukul 6 petang nanti peratusan undi mungkin boleh mencecah sekitar 50 hingga 60 peratus sahaja.

    “Ini mungkin satu peratusan pengundian yang agak rendah berbanding di Melaka.

    “Itulah sebenarnya kebimbangan dan perkara yang pernah kita utarakan sebelum ini iaitu dengan pelaksanaan Undi18 dan juga pendaftaran secara automatik yang tidak pernah mengundi sebelum ini yang tidak ada kesedaran dan sebagainya,” katanya kepada Astro AWANI hari ini.

    Jelasnya lagi, berdasarkan kajian sebelum ini juga menunjukan bahawa daya tarikan dalam kalangan pengundi baharu membabitkan mereka yang berusia antara 18 hingga 20 tahun adalah disebabkan pengaruh rakan sebaya.

    Kata Mohd. Izani, jika rakan-rakan sekeliling mereka tidak berminat untuk menunaikan tanggungjawab mengundi, hal yang sama boleh menjadi faktor mempengaruhi sikap golongan tersebut.

    Senario itu, kata beliau, sekali gus menunjukan kesedaran tentang hak dan kepentingan terhadap mengundi itu masih lagi rendah untuk golongan tersebut.

    Justeru, beliau berkata, peratusan undi pada PRN kali ini akan menyaksikan penurunan yang mungkin akan tersasar daripada jangkaan yang telah ditetapkan oleh SPR iaitu sekurang-kurangnya 70 peratus.

    Dalam masa sama, Mohd. Izani tidak menolak peratusan rendah itu juga mungkin disumbangkan oleh keadaan semasa termasuk ancaman jangkitan Covid-19.

  • Johor jadi kerajaan minoriti jika peratusan keluar mengundi rendah

    Johor jadi kerajaan minoriti jika peratusan keluar mengundi rendah

    PRESIDEN Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berpendapat, peratusan keluar yang kecil pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan menjadikan Johor sebuah kerajaan minoriti sahaja.

    Kebimbangan itu katanya, berdasarkan kepada peratusan keluar mengundi yang tidak menggalakkan setakat ini.

    “Andai peratus keluar mengundi hanya 30 peratus (setakat 1 petang), ia boleh menjadikan kerajaan Johor (sebagai) kerajaan minoriti.

    “Manakala selebihnya tidak hadir kerana bimbang Covid-19 atau tanda protes,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Raja, Pontian petang ini.

    Hadir sama ialah calon Warisan DUN Pekan Nenas, Hishamudin Busri.

    Ahli Parlimen Semporna itu berkata, keadaan itu turut akan menyebabkan sistem demokrasi tergugat kerana rakyat menolaknya.

    “Diharap lepas ini tiada lagi PRN kerana menyusahkan banyak rakyat serta kos yang banyak,” ujarnya .

    Setakat pukul 2 petang, peratusan keluar mengundi yang dicatatkan ialah 40 peratus.

  • Nenek teruja, seluruh keluarga termasuk cucu keluar mengundi di Mersing

    Nenek teruja, seluruh keluarga termasuk cucu keluar mengundi di Mersing

    SEORANG nenek teruja buat kali pertama apabila seluruh keluarganya dapat berkumpul untuk sama-sama turun padang menunaikan tanggungjawab mengundi.

    Aisah Sulaiman, 83, yang telah beberapa kali mengundi menzahirkan rasa syukur kerana masih dikurniakan kesihatan yang baik walaupun berasa sedikit bimbang berikutan keadaan kes Covid-19.

    “Alhamdulillah.. Allah sihatkan tubuh badan saya dapat berjalan pergi ke pusat undi. Gembiralah.. anak cucu semua ada kali ini sama-sama keluar mengundi.

    “Ada lah takut sikit keadaan Covid-19, tapi Alhamdulillah, insya-Allah tiada apa-apa… kita banyakkan doa lah,” katanya ketika ditemui sebaik sahaja seluruh keluarganya selesai mengundi di Sekolah Agama Bandar Endau, Mersing, hari ini.

    Sementara itu, cucu kepada Aisah, Noratiqah Jumien, 34, yang merupakan seorang guru tadika, bersyukur diberi ruang untuk membawa kesemua ahli keluarganya pulang ke kampung halaman di Endau bagi melaksanakan mandat tersebut.

    Isu Covid-19 tidak dinafikan menjadi perkara yang amat dibimbangkan namun perancangan masa yang teratur berjaya mengelakkan keluarganya daripada bersesak di pusat undi.

    “Saya kerja di Kuala Lumpur, jadi mak semua duduk dengan saya. Jadi kita cuba jugalah bawa balik semua (keluarga) untuk tunaikan tanggungjawab bersama nenek.

    “Mula-mula memang risau pasal Covid-19 tapi kita rancang pergerakan dan Alhamdulillah orang tak ramai sangat semasa kita semua mengundi,” katanya memetika laporan Astro Awani.

    Dalam pada itu, Noor Syahirah Jumien, 22, yang merupakan adik bongsu kepada Nooratiqah tidak melepaskan peluang selaku pengundi baharu untuk kali pertama terlibat dengan proses demokrasi itu.

    Selain itu, dia mengakui berdebar berikutan buat pertama kalinya terlibat dengan proses menunaikan tanggungjawab itu.

    “Kita berdebarlah juga sebab kali pertama undi, takut undi kita salah atau tak diterima tapi pengalaman ketika undi di kampus dulu ada belajar juga sedikit pasal proses undi.

    “Sebelum ini, kita tak pernah undi.. jadi tak tahu sangat situasi politik negara. Jadi bila dah boleh mengundi, kita nampak macam mana keadaan sebenar politik negara dan apa yang berlaku,” katanya lagi.

    DUN Endau melibatkan saingan lima penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) serta calon dari parti Bebas.

  • PRN Johor: Pusat mengundi Balai Raya Pulau Besar, Mersing ditutup

    PRN Johor: Pusat mengundi Balai Raya Pulau Besar, Mersing ditutup

    BALAI Raya Pulau Besar di Mersing, ditutup pada pukul 11 pagi, menjadi pusat mengundi pertama bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang ditutup hari ini.

    Pusat mengundi yang mempunyai satu saluran bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh dan mempunyai 34 pengundi yang layak mengundi itu dibuka untuk proses pengundian selama tiga jam bermula 8 pagi.

    Setakat pukul 11 pagi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaporkan sebanyak 22 peratus pengundi telah keluar mengundi.

    Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh dan Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak turut meninjau beberapa pusat mengundi termasuk di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Selesa Jaya 2 di DUN Skudai dan Dewan Hassan Abdullah di DUN Perling bagi melihat kelancaran proses pengundian hari ini.

    Di Muar, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menyasarkan jumlah yang keluar mengundi hari ini, mencecah antara 70 hingga 80 peratus berdasarkan trend dan pergerakan rakyat Johor dari luar negeri yang pulang mengundi.

    Bekas perdana menteri itu berkata peratusan mengundi yang tinggi adalah penting bagi mencerminkan kehendak realiti rakyat Johor terhadap kerajaan yang akan dibentuk.

    “Kalau peratusan jumlah pengundi itu agak rendah, ia tidak akan mencerminkan realiti kehendak rakyat Johor yang saya percaya mahukan perubahan dan sebuah kerajaan yang baharu.

    “Saya harap mereka yang ada dalam daftar pemilih, keluarlah beramai-ramai untuk mengundi,” katanya kepada pemberita selepas selesai mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Muar bagi DUN Maharani.

    Sebanyak 1,021 pusat mengundi dibuka untuk proses pengundian hari ini.

    Sebanyak 2,539,606 pengundi biasa daripada 2,597,742 pengundi berdaftar layak untuk menunaikan tanggungjawab mereka hari ini.

    Pada PRN Johor kali ini, seramai 239 calon daripada 15 parti politik akan bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).- Bernama

  • Bawa anak autisme tunai tanggungjawab mengundi satu tugas besar

    Bawa anak autisme tunai tanggungjawab mengundi satu tugas besar

    MEMBAWA anak yang menghidap autisme untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada hari ini, disifatkan sebagai tugas yang besar buat seorang ibu bagi memastikan anaknya itu turut menunaikan tanggungjawabnya memilih wakil rakyat.

    Tan Chiew Lian, 59, berkata, beliau bersama anak lelakinya, Tee Wen Jian yang berusia 32 tahun itu mengundi bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang di pusat mengundi Sekolah Menengah Foon Yew, Stulang Laut di Johor Bahru.

    Chiew Lian yang juga guru di sekolah itu sejak 26 tahun lepas berkata, proses pengundian anak keduanya itu berjalan dengan lancar, meskipun ini merupakan pengalaman pertama kalinya mengundi.

    “Dia tahu (cara mengundi), sebelum ini saya sudah jelaskan dan beritahu dia kalau ada nampak (apa-apa simbol pada kertas mengundi), orang itu akan jadi wakil rakyat. Dia juga mengundi sendiri, tanpa saya dan orang lain jadi wakil,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di pusat mengundi itu.

    Ibu kepada tiga cahaya mata itu turut menjelaskan walaupun anaknya itu sukar untuk bertutur atau berinteraksi, dia bersemangat untuk bangun awal dan memakai pakaian yang kemas untuk pergi ke pusat mengundi.

    Chiew Lian pada masa sama mengharapkan agar mana-mana calon yang menang di DUN itu dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik, ikhlas dan amanah.
    Sementara itu, pesara kerajaan Abdul Latip Jaappan, 69, berkata, biarpun bertongkat sejak enam bulan lepas berikutan mengalami ‘slip disc’, ia tidak menghalangnya untuk mengundi, malah turut dibantu dengan kerusi roda ke saluran ditetapkan oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    Bapa kepada seorang cahaya mata itu mengundi bersama isterinya Fauziah Ismail, 61, di Sekolah Menengah Foon Yew.

    Tinjauan Bernama di pusat mengundi itu mendapati keadaan cuaca pagi tadi cerah dan orang ramai dilihat berbaris di luar pagar pusat mengundi itu setengah jam awal, sebelum diarahkan petugas penunjuk arah ke bilik menunggu untuk mengundi yang bermula jam 8 pagi.

    Di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Taman Rinting 1, Pasir Gudang bagi DUN Permas pula, usia dan pergerakan yang terhad tidak menghalang warga emas Ahmad Taha @ Idris Omar untuk mengundi pada Sabtu.

    Ahmad yang berusia 78 tahun diiringi oleh ahli keluarga tiba di pusat mengundi dengan berkerusi roda.

    “Saya memang tidak akan melepaskan peluang mengundi ini melainkan keadaan sakit dan uzur. Walaupun lutut dan kaki saya masih sakit, saya tetap hadir mengundi juga bagi menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat,” katanya.

    Seorang penyelia tapak, Hafiz Mahyiddin, 34, tetap hadir ke pusat mengundi walaupun masih bercuti sakit akibat patah kaki selepas terbabit dalam kemalangan bulan lepas.

    “Hari ini saya ditemani isteri turun mengundi. Ini kali kedua mengundi dan saya tidak mahu terlepas peluang ini walaupun kaki saya belum pulih sepenuhnya dan perlu menjalani fisioterapi,” katanya. – Bernama

  • PRN Johor: SOP hari mengundi dilaksana dengan baik

    PRN Johor: SOP hari mengundi dilaksana dengan baik

    PROSEDUR operasi standard (SOP) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor khususnya pada hari mengundi setakat ini dilaporkan dilaksanakan dengan baik, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

    Beliau berkata, petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sangat tegas terhadap SOP yang ditetapkan dalam mengawal penularan Covid-19.

    “SOP setakat hari ini ok… mereka (petugas SPR) lebih peka dan tegas,” katanya kepada pemberita selepas mengundi di Sekolah Agama Taman Sri Lambak, Kluang, hari ini.

    Hishammuddin juga yakin petugas SPR akan mengawasi, mematuhi dan melaksanakan semua SOP PRN Johor terhadap pengundi yang hadir menjalankan kewajipan mereka pada Sabtu.

    Selain itu, Ahli Parlimen Sembrong itu juga melahirkan rasa kesyukuran susulan tiada sebarang laporan mengenai insiden yang tidak diingini diterima setakat hari terakhir kempen PRN Johor, semalam, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh dan Kahang.

    Beliau juga mengakui tidak ramai pengundi yang pulang untuk mengundi seperti sebelum ini, namun berkata, ia merupakan hak dan pilihan masing-masing.

    Beliau dan isterinya, Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah sebelum itu selesai mengundi bagi memilih wakil rakyat bagi DUN Kahang di sekolah itu pada pukul 11 pagi.

    Hishammuddin yang mengundi di saluran dua sempat bergurau serta beramah mesra dengan pengundi yang hadir di lokasi berkenaan termasuk merakamkan foto selfie bersama pengundi.

    Turut bersama Hishammuddin, mengundi di lokasi berkenaan ialah calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DUN Kahang, R Vidyananthan.

    Rakyat Johor pada Sabtu mengundi bagi memilih wakil rakyat mereka di 56 kawasan DUN, yang melibatkan 239 calon daripada 15 parti politik yang bertanding. – Bernama

  • Suspek tembak pengawal depan bank direman 7 hari

    Suspek tembak pengawal depan bank direman 7 hari

    SUSPEK yang menembak mati seorang pengawal keselamatan dan mencederakan seorang lagi dalam kes rompakan bank di Puchong Prima, dekat ibu negara semalam, kini direman selama tujuh hari.

    Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Abd Khalid Othman ketika dihubungi Bernama pada Sabtu berkata, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, dan Seksyen 3 Akta Senjata Api Lebih Berat 1971.

    Semalam, susulan kejadian pada pukul 5.50 petang, Abd Khalid dilaporkan berkata polis menahan seorang suspek berumur 38 tahun di tempat awam sekitar Seksyen 24, Shah Alam pada pukul 7 malam bersama karung berisi wang tunai. – Bernama

  • Abang sanggup bunuh adik kembar enggan kongsi syabu

    Abang sanggup bunuh adik kembar enggan kongsi syabu

    DISEBABKAN berebut dan enggan berkongsi dadah, seorang lelaki tergamak membunuh adik kembarnya di kediaman mereka di Kampung Seri Cheeding, Kuala Langat semalam.

    Siasatan awal pihak polis mendapati kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 4.30 petang selepas dua beradik kembar itu bertengkar sesama mereka kerana dadah jenis syabu.

    Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor berkata, pertengkaran itu telah membawa kepada pergaduhan sebelum salah seorang daripada mereka iaitu abang telah menikam adik kembarnya di bahagian dada menggunakan sebilah pisau.

    “Majikan mangsa yang tiba ke rumah terbabit selepas dihubungi mangsa mendapati adik mangsa berada dalam keadaan terbaring di tepi jalan dengan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri.

    “Mangsa yang ketika itu masih bernyawa telah dikejarkan ke Hospital Banting sebelum disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Beliau berkata, siasatan di lokasi kejadian telah menemui senjata yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu.

    Katanya, suspek kemudian telah ditahan polis pada pukul 10.45 malam pada hari kejadian di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat selepas dibawa oleh majikan mangsa.

    “Siasatan mendapati dua beradik kembar itu adalah pekerja kebun sayur di mana mangsa memiliki rekod lampau bersabit satu kes jenayah dan 10 kes dadah manakala abangnya (suspek) mempunyai 12 rekod kes dadah.

    “Suspek yang positif dadah jenis ganja dan syabu itu telah direman tujuh hari sehingga 18 Mac untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.