Author: Admin

  • Maszlee akur pilihan rakyat tolak PKR

    Maszlee akur pilihan rakyat tolak PKR

    BEKAS Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menerima kekalahannya merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang Layang dengan sikap terbuka dan akur kepada pilihan rakyat.

    Beliau yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, kekalahannya dan calon gabungan Pakatan Harapan (PH) yang lain berpunca daripada peratusan kadar mengundi yang rendah.

    Katanya, ini berikutan penyokong mereka di Singapura tidak dapat pulang selain kebimbangan terhadap wabak COVID-19.

    “Saya menerima keputusan pilihanraya ini dengan sikap terbuka dengan adat bertanding dan akur kepada pilihan rakyat.

    “Jadi, kita hormati keputusan yang mereka buat kerana setiap orang mempunyai alasannya dan kita tahu lakukan pilihan raya di waktu COVID-19 ini memang mencabar.

    “Setiap orang mempunyai kerisauan mereka sendiri yang pada saya kita perlu hormati pilihan masing-masing,” katanya menerusi sidang langsung di Facebook rasminya, tengah malam tadi..

    Barisan Nasional (BN) yang mempertaruhkan Abd. Mutalip Abd. Rahim sebagai calon baharu di DUN berkenaan memperoleh majoriti lebih besar iaitu 3,016 undi, berbanding 364 undi ketika Pilihan Raya Umum Ke-14.

    Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata, pihaknya juga mendapati perhatian perlu diberikan kepada golongan muda terutama pengundi buat kali pertama selepas ini.

    “Pola pengundian mereka juga agak sukar dijangka tetapi insya-Allah dengan kesedaran sivik berterusan untuk mereka memahami peri pentingnya pembabitan dalam pilihan raya dan kepentingan untuk memberikan undi agar pada masa hadapan mereka boleh keluar mengundi dan memberikan pilihan yang terbaik.

    “Saya masih sebagai Ahli Parlimen di Simpang Renggam, saya tetap komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik, dan terus memberikan sumbangan kepada masyarakat Simpang Renggam,” katanya.

  • PRN Johor: 85 calon hilang deposit

    PRN Johor: 85 calon hilang deposit

    PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor menyaksikan cubaan 85 calon menjadi wakil rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya itu pulang dengan ‘tangan kosong’ selepas kehilangan deposit. 

    Ini termasuk calon tiga parti baharu yang membuat langkah sulung iaitu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang mempertaruhkan 42 calon, Parti Bangsa Malaysia (PBM) (empat calon) dan Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra) (seorang calon). 

    Parti Warisan yang melebarkan sayapnya di Semenanjung dengan meletakkan enam calon selain Parti Sosialis Malaysia yang bertanding satu kerusi turut menerima nasib sama.

    Selain itu, tujuh calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Medan, Semarang, Tenggeroh, Pasir Raja, Johor Lama, Tanjung Surat dan Benut turut kehilangan deposit setelah gagal memperoleh satu per lapan atau 12.5 peratus undi daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira. 

    Manakala masing-masing empat calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding di Yong Peng, Layang-Layang, Mengkibol dan Paloh dan Pakatan Harapan (PH) di Endau, Panti, Sedeli dan Penawar turut menerima nasib sama. 

    Bagi kesemua 16 calon Bebas yang bertanding di 12 DUN, hanya Zahari Osman yang berhadapan pertandingan empat penjuru di DUN Penggaram memperoleh undi tertinggi berbanding calon Bebas lain iaitu sebanyak 2,190 undi.- Bernama 

  • Keputusan PRN Johor diserah kepada istana

    Keputusan PRN Johor diserah kepada istana

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menyerahkan keputusan rasmi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 kepada Istana Johor di sini hari ini.

    Penyerahan itu dibuat Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh kepada Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani.

    Yang turut hadir ketika penyerahan tersebut, Pengarah SPR Negeri Johor, Nor Nekman Jaimon.

    Malam tadi, SPR mengumumkan BN memenangi PRN Johor selepas gabungan tersebut memperoleh lebih 29 kerusi DUN iaitu majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Johor yang baharu.

    PRN Johor menyaksikan 239 calon daripada 15 parti politik bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

    Seramai 2,539,606 pengundi biasa daripada sejumlah 2,597,742 pemilih berdaftar bagi PRN berkenaan layak mengundi pada Sabtu.

  • PN menang tiga kerusi dalam PRN Johor

    PN menang tiga kerusi dalam PRN Johor

    PERIKATAN Nasional (PN) memenangi tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang baru sahaja menutup tirainya pada malam ini.

    Ketiga-tiga kerusi itu dimenangi oleh Datuk Dr. Saharuddin Jamal di DUN Bukit Kepong (majoriti 2,556 undi); Alwiyah Talid di DUN Endau (majoriti 3,041 undi) dan Abdul Aziz Talib di DUN Maharani (majoriti 1,037 undi).

    Persaingan utama di Bukit Kepong dan Endau adalah antara PN dan Barisan Nasional (BN) di mana calon-calon BN iaitu Ismael Mohamed dan Mohd. Youzami Yusof yang masing-masing hanya berjaya meraih 9,163 dan 5,392 undi.

    Sementara persaingan utama di Maharani adalah antara PN dan PH yang mana calonnya daripada Amanah, Nor Hayati Bachok hanya meraih 6,522 undi.

    Pakatan Harapan (PH) pada PRN ini pula berjaya memenangani 12 kerusi daripada 56 kerusi yang ditandingi manakala parti baharu yang diketuai oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman iaitu Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang diwakili Amira Aisya memenangi kerusi Puteri Wangsa.

    PRN Johor ke-15 ini dimenangi oleh Barisan Nasional yang mendapat majoriti 2/3 untuk membentuk kerajaan negeri apabila memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang ditandingi.

  • Kemenangan di DUN Maharani buat semua – Abdul Aziz

    Kemenangan di DUN Maharani buat semua – Abdul Aziz

    BERIKUT adalah ucapan calon Perikatan Nasional, Abdul Aziz Talib yang memenangi kerusi DUN Maharani, sekaligus menumbangkan penyandang Nor Hayati Bachok dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam:-

    “Kemenangan ini satu pinjaman daripadaNya.

    Alhamdulilllah, saya memanjatkan rasa syukur kehadrat Allah atas kemenangan di Dun Maharani ini.

    Tidak salah saya katakan pengalaman hari ini merupakan pengalaman yang cukup indah bagi diri saya.

    Jutaan terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada isteri yang menjadi tulang belakang saya bersama anak-anak. Para petugas yang sangat komited tanpa mengenal erti penat lelah.

    Sahabat handai yang sentiasa memberikan kata-kata semangat kepada saya.Paling saya hargai dan tidak dilupakan adalah sokongan para pengundi yang memberi kepercayaan kepada saya untuk membawa harapan mereka di Dun Maharani.

    Seperti yang saya maklumkan sebelum ini, saya bukanlah siapa-siapa dalam hidup mereka tetapi pesanan dan mesej yang saya terima sudah cukup membuatkan saya bahagia dan dihargai.

    Akhir kata, kemenangan ini adalah milik anda semua yang telah bertungkus lumus bekerja sebelum bermulanya lagi pilihanraya kali ini. Kemenangan ini adalah satu ujian buat saya untuk menggalas amanah baru sebagai YB (Yang Berkhidmat) di Dun Maharani.

    Insyaallah, saya berazam untuk meneruskan legasi Dr Mohammad Taslim di Dun Maharani ini dengan memberikan khidmat terbaik kepada anda semua.

    Saya akhiri dengan serangkap pantun yang direka khas untuk warga Maharani yang saya kasihi.

    Tanjong Emas bersih dan indah, Tumpuan pengunjung Timur dan Barat, Kemenangan ini satu amanah, Warga Maharani medan berkhidmat.

    Mohon doakan saya sahabat.

    Salam ukhuwah dari saya,

    Cikgu Aziz Talib,Yang Berkhidmat untuk Maharani.”

  • PRN Johor:Kemenangan BN disumbangkan peratusan mengundi yang rendah

    PRN Johor:Kemenangan BN disumbangkan peratusan mengundi yang rendah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PRESIDEN Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Muhkriz Mahathir menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah kerana peratusan keluar mengundi yang rendah.

    Justeru katanya, BN tidak seharusnya terlalu berbangga dengan kemenangan mereka kerana kira-kira 40 peratus tidak keluar mengundi malah sebahagian daripada pengundi juga tidak menyokong mereka.

    “Walaupun Pejuang tidak memenangi satu daripada 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi, pihaknya tetap berpuas hati dan menerima keputusan tersebut dengan lapang dada.

    “Kita merasakan keputusan ini mengecewakan walaupun begitu kita terima dengan sepenuh hati dengan keputasan yang dibuat rakyat Johor.

    “Pada waktu yang sama terima kasih banyak-banyak kepada rakyat Johor khususnya yang mengundi calon kami, begitu juga ucapan terima kasih kepada jentera parti dari dalam dan luar Johor,” katanya.

    Bekas Menteri Besar Kedah itu berkata demikian dalam sidang akhbar di Taman Seri Setanggi, Johor Bahru, malam ini.

    Dalam PRN Johor, Pejuang bertanding 42 kerusi DUN dengan majoritinya di kawasan Melayu terutama di penempatan Felda.

    Mengulas lanjut, Muhkriz berkata, penyertaan Pejuang dalam PRN Johor adalah satu permulaan dalam memperkenalkan parti itu kepada rakyat dan gerak kerja untuk persiapan Pilihan Raya Umum ke15 akan dilakukan bermula esok.

    Jelasnya, Pejuang tidak sampai tujuh bulan didaftarkan dan masih belum dikenali termasuk logo parti itu yang baru lima bulan diperkenalkan serta tempoh itu singkat untuk rakyat mengenalinya.

    Walaupun begitu, beliau mengakui Pejuang tetap mempunyai kelemahan dan akan membaikinya pada masa depan sekali gus tidak melunturkan semangat mereka terutama teras perjuangan mereka dalam memerangi rasuah.

    “Kita harap keputusan ini akan menjadikan kita lebih cekal pada masa depan. Kita akan lihat mana-mana faktor yang perlu dibaiki dan kita akan terus maju ke depan,” katanya.

    Pihaknya akan menyusun strategi dalam menambat hati rakyat kerana banyak perkara yang dapat dipelajari dalam PRN Johor.

    “Kita tidak masuk PRN ini sebagai satu medan ujian atau populariti. Sebenarnya perjuangan kami dari asal adalah untuk menang sebanyak mungkin kerusi ditandingi dan kalau diizinkan akan tubuh kerajaan namun tidak menjadi, kita ambil ini sebagai ikhtibar,” katanya.

  • BN menang laungan bubar Parlimen bergema, PM tunduk membisu

    BN menang laungan bubar Parlimen bergema, PM tunduk membisu

    LAUNGAN ‘bubar Parlimen’ terus bersahutan di ibu pejabat UMNO Johor, Jalan Yahya Awal, Johor Bahru selepas Barisan Nasional (BN) dikatakan menang dua pertiga, menerusi keputusan tidak rasmi, setelah Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selesai, hari ini.

    Keputusan tidak rasmi sehingga pukul 10.48 malam ini menunjukan BN memenangi 37 kerusi, Pakatan Harapan (12), Perikatan Nasional (lima), dan masing-masing satu oleh PKR dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

    Gesaan dalam kalangan dipercayai penyokong dan ahli UMNO itu tercetus apabila Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sedang bergerak untuk ke pentas utama.

    Meski dihimpit dengan laungan sedemikian, Ismail Sabri yang dikelilingi pengawal keselamatan dilihat sekadar tunduk membisu, tanpa memberikan sebarang perhatian terhadap kumpulan terbabit, lapor BH.

    Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menggesa supaya Perdana Menteri mengambil keputusan segera dengan membubarkan Parlimen untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Percaturan itu dikatakan bertepatan dengan masanya, memandangkan sentimen dalam kalangan rakyat dipercayai memihak kepada UMNO dan BN, susulan kemenangan bertali arus menerusi beberapa PRN sebelum ini.

    Bagaimanapun Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional tidak mahu PRU diadakan lebih awal, khususnya semasa negara masih bergelut dengan pandemik Covid-19.

  • PBM akan ubah strategi selepas tewas dalam PRN Johor

    PBM akan ubah strategi selepas tewas dalam PRN Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PARTI Bangsa Malaysia (PBM) akan mengubah strategi mereka mendekati pengundi pada masa akan datang selepas mendapat pengalaman bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Pengarah Pilihan Raya PBM, Haniza Mohamed Talha berkata, walaupun tewas di keempat-empat kerusi ditandingi, mereka tetap berpuas hati dengan pencapaian mereka dalam PRN berkenaan.

    Katanya, ini kerana jumlah undi diterima parti itu dilihat sebagai satu petanda signifikan dalam usaha memperkenal PBM kepada masyarakat.

    “Pencapaian kami dalam PRN Johor ini dilihat sebagai sesuatu yang baik. Ini adalah permulaan baik untuk parti baharu, kalau menang itu bonus buat kami.

    “PBM memerlukan lebih banyak masa untuk diperkenalkan kepada pengundi. PBM bakal mengubah strategi dalam memperkenalkan calon kepada pengundi selain mendidik mereka untuk mengundi berdasarkan kapasiti individu, bukannya parti atau logo,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat PBM Johor, Johor Bahru malam ini.

    Pada PRN Johor, PBM bertanding di empat kerusi dengam mempertaruhkan Steven Choong Shiau Yoon di kerusi DUN Puteri Wangsa; Muhammad Hanis Asmui Md. Salleh (Maharani); Mohd. Azmi Ali (Tiram) dan Muhammad Saiful Bahri Sahari (Stulang).

    Mengulas lanjut, Haniza berkata, PBM akan membuat kajian terhadap corak pengundian di setiap negeri termasuk sama ada terdapat keperluan untuk parti itu bergabung dengan mana-mana gabungan politik.

    “Di Johor, masyarakat mengundi berdasarkan logo dan parti, jadi selepas ini kita akan putuskan sama ada PBM akan bekerjasama dengan parti lain atau tidak, kajian itu perlu dilakukan,” katanya.

    Dalam pada itu, Shiau Yoon yang juga Ahli Parlimen Tebrau berkata, PRN Johor merupakan pengalaman baik buat parti itu dalam persediaan mereka menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

    “Apa yang kami dapati adalah jentera kami tahu apa strategi kempen yang baik untuk PBM, jadi ini adalah perkara positif buat kami,” katanya yang juga Naib Presiden PBM.

  • Muda nekad terus beri khidmat walaupun tewas dalam PRN Johor

    Muda nekad terus beri khidmat walaupun tewas dalam PRN Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) akan terus memberi khidmat di semua tujuh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor walaupun hanya menang satu kerusi DUN.

    Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, menang atau kalah politik khidmat yang diperkenalkan Muda akan tetap diteruskan.

    Beliau berkata, Muda nekad menjadi pembangkang yang berkualiti selepas tewas enam daripada tujuh kerusi DUN yang ditandinginya.

    “Muda akan menjadi pembangkang yang melakukan semak dan imbang secara berkesan bagi memastikan rakyat Johor mendapat pembelaan sewajarnya.

    “Kita akui baru bertapak kira-kira dua bulan, tidak mudah bila kita guna bendera sendiri yang baru disebarkan (diperkenalkan) tetapi saya rasa, pada masa depan kita perlu kuat kerja.

    “Walaupun kalah kita akan tetap memberikan khidmat sebaik mungkin di kawasan-kawasan yang kita kalah,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama Muda, Taman Desa Tebrau, Johor Bahru, malam ini.

    Pada PRN Johor, Muda bertanding di kerusi DUN Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa, Bukit Permai dan Larkin.

    Berdasarkan perkiraan undi sehingga kira-kira jam 11 malam, calon Muda bagi kerusi DUN Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd Aziz mendahului kiraan undi dengan memperoleh 18,891 undi.

    Beliau yang juga Setiausaha Agung Muda meninggalkan calon Barisan Nasional (BN), Ng Yew Aik yang meraih 14,362 undi dan calon Perikatan Nasional (PN) Loh Kah Yong memperoleh 7,914 undi.

    Tiga lagi calon, Khairil Anwar Razali dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mendapat 2,158 undi, calon Parti Bangsa Malaysia (PBM) mendapat 2,103 dan calon Bebas, Adzrin Adam mendapat 346 undi.

    Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, kiraan undi untuk kerusi DUN Puteri Wangsa tinggal sedikit sahaja lagi dan apabila diisytiharkan menang nanti merupakan satu permulaan baharu untuk Amira Aisya.

    Beliau mengucapkan tahniah kepada Amira Aisya serta semua jentera Muda yang bekerja keras sejak hari pertama berkempen dan selepas ini apabila sah menjadi wakil rakyat perlu mendahulukan kepentingan rakyat mengatasi segala-galanya.

  • PN rampas DUN Maharani daripada PKR

    PN rampas DUN Maharani daripada PKR

    PKR gagal mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 yang berlangsung hari ini.

    Calon PN, Abdul Aziz Talib daripada Pas menundukkan penyandang kerusi DUN Maharani, Norhayati Bachok daripada Amanah dengan kelebihan 1,037 undi.

    Abdul Aziz dalam PRN kali ini berjaya meraih 7,559 manakala Norhayati hanya mampu meraih 6,522 undi daripada 21,016 pengundi yang keluar mengundi di DUN berkenaan.