Author: Admin

  • ADUN Bukit Batu sedia kerjasama susulan BN bakal kemuka petisyen

    ADUN Bukit Batu sedia kerjasama susulan BN bakal kemuka petisyen

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern menyifatkan tindakan Barisan Nasional (BN) mahu mengemuka petisyen pilihan raya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu seabgai satu proses biasa demokrasi dan hak mereka untuk berbuat demikian.

    Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Tebrau sedia bekerjasama dengan mana-mana dan pihaknya terbuka walaupun kemenangannya secara rasmi sudah diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    “SPR memang sudah umumkan saya sebagai ADUN baharu Bukit Batu. Keputusan yang ditetapkan SPR ini dibuat selepas melepasi beberapa ‘level’, proses dan prosedur sebelum diumumkan.

    “Namun mereka berhak membuat petisyen tersebut di mahkamah kerana negara ini mengamalkan demokrasi. Kita tunggu arahan daripada pihak SPR dan mahkamah serta melakukan persiapan secukupnya, semua dokumen itu sudah ada.

    “Kita akan bawa peguam kita dan orang parti yang berpengalaman untuk bantu kita,” katanya kepada pemberita selepas sidang akhbar Pakatan Harapan (PH) Johor di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang di Taman Maju Jaya, Johor Bahru, hari ini.

    Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng; ADUN Perling, Liew Chin Tong; ADUN Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd. Aziz; ADUN Johor Jaya, Liow Cai Tung dan ADUN Senai, Wong Bor Yang.

    Semalam, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, BN akan mengemukakan petisyen pilihan raya itu selepas Sen Sern berjaya

    memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 137 undi menewaskan calon BN daripada MIC, S Suppayah yang memperoleh 9,302 undi.

    Vigneswaran berkata, petisyen berkenaan akan difailkan di Mahkamah Tinggi selepas pihaknya dimaklumkan terdapat lebih 600 kertas undi rosak dalam pengiraan di kawasan itu.

    Mengulas lanjut, beliau akur sebarang keputusan yang akan dibuat nanti dan semua pihak juga perlu menghormati pengundi yang sudah membuat keputusan pada PRN Johor di kawasan berkenaan.

  • PH belum putuskan siapa ketua pembangkang Johor

    PH belum putuskan siapa ketua pembangkang Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PAKATAN Harapan (PH) masih belum memutuskan siapa yang akan dilantik sebagai ketua pembangkang Johor yang baharu selepas mereka gagal mendapat majoriti mudah membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Menurutu Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, perbincangan mengenai perkara itu akan dibawa ke peringkat kepimpinan tertinggi PH dalam masa terdekat.

    “Kita masih belum bincangkan siapa ketua pembangkang Johor dan itu terpulang kepada pimpinan PH Pusat,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang di Taman Maju Jaya, Johor Bahru, hari ini.

    Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng; ADUN Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd Aziz; ADUN Johor Jaya, Liow Cai Tung; ADUN Senai, Wong Bor Yang dan ADUN Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern.

    Kelmarin, Barisan Nasional (BN) mendapat kemenangan selesa melebihi majoriti dua pertiga apabila berjaya memperoleh 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan pada PRN Johor ke-15.

    Menerusi keputusan rasmi dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), PH berjaya memenangi 11 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) tiga, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) masing-masing satu kerusi.

    Chin Tong menang di kerusi DUN Perling dengan majoriti 3,347 undi dalam pertembungan tiga penjuru dengan calon (PN), Khoo Shiaw Lee dan calon BN, Tan Hiang Kee.

    Sementara itu, Kah Eng berharap kerajaan negeri yang baharu perlu bertindak proaktif dengan memberi akan memberi tumpuan kepada isu pembukaan sempadan membabitkan Johor dan Singapura.

    Katanya, perkara itu perlu diberikan keutamaan susulan pembukaan pintu sempadan antarabangsa bermula 1 April ini seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.

    “Kami berharap kerajaan negeri baharu yang dibentuk dalam masa terdekat in akan bekerjasama rapat dengan kerajaan Pusat dalam rundingan berkenaan pembukaan sempadan Johor-Singapura yang akan memberi impak kepada kedua-dua negara,” katanya.

  • *Mampukah Ismail Sabri bertahan?               * Puad, usahlah angkuh sangat…

    *Mampukah Ismail Sabri bertahan? * Puad, usahlah angkuh sangat…

    *Ismail Sabri perlu tegas, kalau tak mahu jadi PM paling singkat

    TT berpendapat laungan bubar oleh segelintir penyokong BN ketika Ismail Sabri Yaakob memasuki ruang bilik gerakan parti itu di Johor baru-baru ini adalah isyarat awal kepada Perdana Menteri bahawa banyak lagi tekanan yang beliau akan hadapi daripada parti sendiri untuk membubarkan Parlimen.

    Mungkin agak keterlaluan tetapi TT dok fikir-fikir, Ismail Sabri tidak ada kemampuan untuk menahan gelombang itu jika beliau tidak tunjuk ketegasan untuk melawan arus tersebut.

    TT percaya Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang bermula esok akan jadi gelanggang untuk kelompok tertentu beri tekanan kepada Perdana Menteri buat PRU-15 segera. Khabarnya, geng-geng dalam UMNO dah tak sabar nak buat PRU-15 selepas menang PRN di Melaka dan terbaru di Johor.

    UMNO tahu kalau buat PRU-15 sekarang mereka ada kelebihan, peratusan undi mungkin rendah disebabkan rakyat semakin muak dengan politik. Bila perasaan itu wujud, mereka tak nak keluar mengundi, kalau itu berlaku BN akan menang mudah seperti mana di Melaka dan Johor.

    TT nak tanya perlukah Ismail Sabri ikut rentak partinya? Ismail Sabri tu PM kepada seluruh rakyat Malaysia bukannya nak layan UMNO saja. Jadi Ismail Sabri tak boleh teragak-agak…beliau kena tunjuk ketegasan, kalau PRU-15 belum sesuai lagi, jangan buat.

    Lagipun dah ada perjanjian kena berunding dengan parti-parti dalam kerajaan sebelum nak bubarkan Parlimen, tak boleh buat macam kat Johor, sekutu pun tak tahu DUN nak bubar.

    TT percaya, kalau Ismail Sabri tak ikut apa yang UMNO putuskan khususnya melalui PAU…kedudukan beliau ‘dalam bahaya’. Kita akan tengok semula adegan ‘tarik sokongan’ oleh ahli Parlimen UMNO sepertimana dialami oleh Muhyiddin Yassin sebelum ini…alasan mereka demi mewujudkan kerajaan stabil, mandat perlu diserahkan kembali kepada rakyat…paling klasik pemimpin UMNO akan kata ‘itu kehendak akar umbi’..

    Sama ada, Ismail Sabri mampu bertahan atau tidak, pilihan di tangan beliau. Ismail Sabri kena atur strategi bagaimana mahu menangani desakan UMNO untuk bubar Parlimen jika tak mahu jadi PM paling singkat dalam sejarah!

    *Bila Puad mula ‘berkepak’…

    TEBUAN Tanah (TT) dah agak Puad Zarkashi mesti ‘serang’ Muhyiddin Yassin dan Bersatu  bila BN menang di PRN Johor. Puad ‘makin berkepak’ bila beliau sendiri menang di DUN Rengit dengan majoriti 1,920 undi.

    Pesaing beliau dari Bersatu adalah muka baru, Mohammad Huzair Lajis – tak pernah pun bertanding dalam pilihan raya, tak pernah pun jadi ketua bahagian, apatah lagi jadi Timbalan Menteri, tetapi beliau berjaya memperolehi 5,983 undi manakala Puad 7,902 undi. Calon PKR, Khairuddin A Rahim pula dapat 2,065 undi.

    Di DUN Rengit, peratusan keluar mengundi 59.5 peratus.  Jumlah undi keseluruhan 16,157 undi. Puad kuasai 48.91 peratus. Mohamad Huzair (37.03 peratus) dan Khairuddin A.Rahim (12.78 peratus).

    Dari angka-angka ni, Puad tak payah ‘berkepak’ sangat’.Betul, kalau lebih satu undi pun Puad menang. Tetapi kalau tengok ‘kerajinan’ Puad yang sejak penubuhan Kerajaan PN kemudiannya sekarang UMNO jadi PM, dok ‘serang’ Muhyiddin habis-habisan, patutnya Puad dapat lebih banyak undi.

    Masa PRU-14, Ayub Jamil -yang ramai kecewa bila beliau tak  dipilih pertahan DUN Rengit – mendapat 9,642 undi daripada jumlah undi keseluruhan 17,157 undi dan menang dengan majoriti 4,172 undi. Kena ingat ketika itu, politik negara dilanda gelombang perubahan.

    Tetapi disebabkan Ayup popular, beliau mampu bertahan walaupun undi majoriti kurang sikit berbanding 2013, namun tak ada la daripada sekitar 4,000 undi turun sampai 2,000…patutnya bila tak ada gelombang dan dengan jumlah keluar mengundi lebih kurang saja, Puad boleh dapat lebih daripada 1,920 undi.

    Namun itu tak berlaku…kenapa ya? Jadi kalau Puad nak terus ‘berkepak’ sebab dah menang kat DUN Rengit, silakan. Cuma nak tanya Puad, semasa beliau kalah di kerusi Parlimen Batu Pahat dalam PRU-13 dan tak bertanding pada PRU-14 tapi gagal bantu UMNO rampas kembali kerusi itu, kenapa Puad tak letak jawatan sebagai Ketua Bahagian? Bermaruahkah Puad membiarkan kerusi Parlimen Batu Pahat terus dikuasai parti lain.

    Satu kerusi Parlimen pun Puad tak boleh nak jaga, dok ‘berkepak’ nak cabar  Muhyiddin dan menteri Kabinet Bersatu letak jawatan.

    Patutnya Puad suruh pemimpin UMNO Johor yang kata ‘nak tanam’ Muhyiddin dan Bersatu dalam PRN Johor letak jawatan sebab mereka gagal capai misi itu. Walaupun menang tiga kerusi, Bersatu beri saingan segi kat 26 DUN lain. Kalau peratusan mengundi keluar lebih tinggi…mungkin keputusan berbeza.

    Bagaimanapun Allah SWT tentukan segala-galanya dan sesuatu yang berlaku pasti ada hikmahnya…jadi Puad jangan angkuh sangat…apatah lagi PRU adalah gelanggang berbeza… 

    *Tebuan Tanah (TT) adalah penganalisis politik yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam dunia kewartawanan.

  • PH cari formula baharu pastikan peratusan mengundi tinggi pada PRU15

    PH cari formula baharu pastikan peratusan mengundi tinggi pada PRU15

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SATU formula baharu dan segar perlu dirangka Pakatan Harapan (PH) untuk menarik rakyat keluar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong berkata, ini bagi peratusan mengundi tinggi pada PRU-15 kerana tidak mahu insiden peratusan mengundi yang rendah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berlaku lagi.

    “Formula baharu ini perlu dibincangkan nanti dan pada masa sekarang kita masih belum mempunyai formula baharu itu,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang di Taman Maju Jaya, Johor Bahru hari ini.

    Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng; ADUN Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd Aziz; ADUN Johor Jaya,
    Liow Cai Tung; ADUN Bukit Batu, Wong Bor Yang dan ADUN Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern.

    Pada Sabtu, BN mendapat kemenangan selesa melebihi majoriti dua pertiga apabila berjaya memperoleh 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan pada PRN Johor ke-15.

    Menerusi keputusan rasmi dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), PH berjaya memenangi 11 kerusi, diikuti PN tiga, Parti Keadilan Rakya (PKR) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) masing-masing satu kerusi.

    Pada PRN tersebut, Cin Tong menang di kerusi DUN Perling dengan majoriti 3,347 dalam pertembungan tiga penjuru dengan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

    Sementara itu, Amira Aisya yang menang di kerusi DUN Puteri Wangsa dan satu-satunya calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang menang PRN Johor berkata, rakyat tidak wajar dipersalahkan apabila mereka tidak keluar mengundi.

    Beliau yang juga Setiausaha Agung Muda berkata, penting untuk PH melihat semula dan mencari jalan supaya rakyat keluar mengundi pada PRU15 dan tidak berlaku seperti PRN di Sarawak, Melaka dan Johor yang menyaksikan peratusan mengundi rendah.

  • Meski kalah 2 PRN berturut-turut, Gerakan mahu kekal setia dengan PN

    Meski kalah 2 PRN berturut-turut, Gerakan mahu kekal setia dengan PN

    PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) tidak akan meninggalkan Perikatan Nasional (PN) meskipun gabungan itu tewas pada pilihan raya negeri (PRN) Johor Sabtu lalu.

    Malah, Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong berkata, keputusan Gerakan untuk tetap setiap dan bersama PN itu juga tidak berubah sewaktu gabungan tersebut turut tewas pada PRN Melaka, November lalu.

    “Parti Gerakan akan tetap bersama dan terus setia dengan PN.

    “Pihak kepimpinan Parti Gerakan akan berbincang dan mengkaji semula strategi baharu yang bakal digunakan untuk PRU-15 supaya mendapat sokongan daripada pengundi dan kepercayaan penyokong kami,” katanya.

    Pada PRN Johor Sabtu lalu, kesemua tujuh calon Gerakan yang bertanding di bawah logo PN tewas sekali gus mengulangi kegagalan sama lima calon mereka ketika PRN Melaka, November lalu.

    Dalam masa sama ujar beliau yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, pihaknya menghormati pilihan dan keputusan yang dibuat rakyat Johor pada PRN itu yang menyaksikan PN hanya memenangi tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

    “Namun, kita akan mengkaji sebab-sebab yang menyebabkan keputusan yang kita dapat di PRN Johor.

    “Kita dapat melihat misalnya pengundi di DUN Yong Peng khususnya golongan Melayu, mereka inginkan kestabilan politik.

    “Dalam hal ini, rakyat bukan sahaja menolak rasuah, tetapi juga mahukan pembangunan dan kelestarian di Johor kerana dengan adanya kestabilan politik, baru ekonomi negeri Johor boleh membangun,” katanya.

    Menyentuh situasi di Pulau Pinang, Tong Keong berkata, pihaknya sentiasa mengambil pendekatan mengutamakan kepentingan dan hak rakyat.

    “Keadaan politik sentiasa berubah dan sekiranya Gerakan dapat melancarkan rancangan yang lebih memanfaatkan penduduk, membantu meningkatkan ekonomi masyarakat dan negeri, maka tidak mustahil sokongan di Pulau Pinang akan beralih kepada kita,” katanya.

  • Tuntutan waris Sultan Sulu: Kedudukan Sabah dalam Malaysia tidak terjejas

    Tuntutan waris Sultan Sulu: Kedudukan Sabah dalam Malaysia tidak terjejas

    ‘FINAL award’ berhubung isu tuntutan waris Sultan Sulu yang dikeluarkan dalam prosiding timbang tara di Mahkamah Arbitari Paris, Perancis tidak akan menjejaskan kedudukan Sabah sebagai sebuah negeri dalam Persekutuan Malaysia, kata Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

    Beliau berkata, Malaysia telah banyak kali menegaskan tidak mengiktraf dan melayan sebarang tuntutan ke atas Sabah, yang telah diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa sebagai antara yang menubuhkan Persekutuan Malaysia pada 16 Sept 1963. 

    “Ingin ditegaskan kerajaan Malaysia tidak berdiam diri, sebaliknya telah mengambil beberapa langkah perlu untuk menghentikan prosiding tuntutan itu,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini. 

    Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Parlimen dan Undang-undang) berkata kerajaan tidak mengiktiraf tuntutan dan prosiding timbang tara berkaitan arahan pembayaran pampasan berjumlah RM62.59 bilion ($14.92 bilion) kepada waris Sultan Sulu itu.

    Ini memandangkan lantikan penimbang tara yang dilantik, Dr Gonzalo Stampa telah dibatalkan dan tidak lagi sah dari segi undang-undang.

    Berhubung isu Pulau Pisang di Johor, beliau menjelaskan kedaulatan pulau itu tidak dipertikaikan Singapura, dan ia adalah hak milik Malaysia, malah Singapura juga mengiktiraf hak kedaulatan itu berdasarkan perjanjian dimeterai antara Almarhum Sultan Ibrahim dan Gabenor Negeri-Negeri Selat Sir James Alexander Sweethenham pada 6 Okt 1900.

    “Hanya pengurusan rumah api di sana berada di bawah pengurusan dan pentadbiran Maritime and Port Authority of Singapore,” katanya. 

    Saifuddin berkata Malaysia mempunyai kawalan sepenuhnya terhadap Pulau Pisang dan pekerja di rumah api itu perlu mendapat kebenaran negara serta perlu melalui laluan imigresen Malaysia di Kukup, Johor untuk keluar dan masuk ke kawasan rumah api itu.

    Berkaitan keselamatan pejabat dan kakitangan kedutaan  yang berada di luar negara,  beliau berkata kerajaan sama sekali tidak berkompromi terhadap keselamatan mereka misalnya dengan melakukan proses evakuasi jika perlu. 

    “Pada waktu sama dari semasa ke semasa kita juga menaik taraf sistem keselamatan pejabat-pejabat perwakilan Malaysia di luar negera contohnya seperti kamera litar tertutup, kad akses dan pendaftaran pelawat,” katanya. 

    Menyentuh konflik Rusia-Ukraine, Saifuddin berkata Malaysia telah menyatakan pendirian di pelbagai peringkat untuk sentiasa berkecuali, namun sentiasa menghormati hak kemerdekaan sesebuah negara dan integriti sempadan. – Bernama

  • Penjual besi buruk tetak mangsa didakwa

    Penjual besi buruk tetak mangsa didakwa

    SEORANG penjual besi buruk tidak mengaku bersalah Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas pertuduhan menetak seorang lelaki dengan sebilah parang pada minggu lalu.

    Tertuduh, Mohamad Shahzrie Sham Sabudin, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

    Astro Awani melaporkan, mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Mohd Faain Adha Azliza, 30, dengan menggunakan sebilah parang.

    Kesalahan itu dilakukan olehnya di Sungai Bechah, Gunong, Bachok pukul 12.10 tengah malam pada 8 Mac lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Sekyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau boleh dikenakan sebat.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Terdahulu, Wan Nurul Hanini tidak menawarkan sebarang jaminan atas kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh.

    Mahkamah bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 13 April depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan mangsa.

    Tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah.

  • Kes kehilangan Eric kini diklasifikasikan sebagai kes bunuh

    Kes kehilangan Eric kini diklasifikasikan sebagai kes bunuh

    POLIS kini mengklasifikasikan kes kehilangan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, Eric Chang Wei Jie, sebagai kes bunuh.

    Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ashmon Bajah berkata berdasarkan siasatan terkini, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berbanding sebelum ini iaitu ia disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

    “Dua suspek iaitu pasangan penjaga yang telah ditangkap akan terus direman untuk siasatan lanjut.

    “Usaha pencarian kini diperluas dengan bantuan pasukan Marin Wilayah 5 Kuching serta bantuan jabatan bomba serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sekitar perairan sungai Muara Tebas dan kawasan sekitar,” katanya menerusi satu kenyataan di Kuching, malam tadi.

    Sebelum ini, Eric telah dilaporkan hilang dari sebuah rumah di kawasan perumahan Bintawa, Kuching, pada 7 Mac lepas.

    Sementara itu, Ashmon menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan kes tersebut masih dalam siasatan.- Bernama

  • Pembangkang perlu susun semula strategi tumbangkan UMNO

    Pembangkang perlu susun semula strategi tumbangkan UMNO

    PEMBANGKANG perlu menyusun semula strategi sebagai persediaan menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Menurut Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Hasanuddin Mohd. Yunus, ini kerana keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor peru dijadikan panduan dan jelas menunjukkan pembangkang perlu bekerjasama lebih erat.

    “Analisa keputusan jelas menunjukkan sekiranya parti-parti lawan bergabung tentunya tiada jalan mudah untuk UMNO kembali berkuasa kerana pengundi Johor telah lakukan yang terbaik,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Kelmarin PRN Johor menyaksikan BN memperoleh kemenangan besar iaitu 40 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh 13 kerusi berbanding 27 kerusi pada 2018.

    Hasanuddin yang merupakan Ahli Parlimen Hulu Langat berpandangan, kegagalan pembangkang untuk bekerjasama memberikan kemenangan kepada UMNO dan BN sekali gus menguasai pentadbiran negeri Johor.

  • Gempa bumi kuat melanda Selatan Sumatera

    Gempa bumi kuat melanda Selatan Sumatera

    GEMPA bumi kuat berukuran 6.7 pada skala Richter melanda Selatan Sumatera, Indonesia pada 5.09 pagi tadi.

    Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), gempa itu berlaku pada kedudukan 89 kilometer (km) barat laut dari Siberut, Indonesia dengan kedalaman 10 km.

    “Gegaran dirasai di bahagian barat Semenanjung terutama Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor,” menurut kenyataan itu.

    Bagaimanapun, berdasarkan penilaian awal, gempa berkenaan tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia.

    Sementara itu menerusi ciapan di Twitter, MetMalaysia memaklumkan gempa bumi sederhana berukuran 5.7 pada skala Richter turut melanda Selatan Sumatera pada 5.38 pagi, 79 km dari Siberut, Indonesia.

    Gempa bumi itu juga tidak membawa ancaman tsunami kepada negara.- Bernama