Author: Admin

  • Shafie perlu fokus parti sendiri, bukan campur urusan PH

    Shafie perlu fokus parti sendiri, bukan campur urusan PH

    PEMUDA Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah membidas Presiden Parti Warisan (Warisan), Shafie Apdal berkenaan kenyataannya mengenai kepimpinan Pakatan Harapan (PH) yang perlukan perubahan.

    Ketua Penerangan Pemuda PKR Sabah, Razeef Rakimin berkata, bekas ketua menteri Sabah itu harus memberi tumpuan kepada partinya sendiri.

    “Di Sabah, parti beliau telah ditolak rakyat apabila tewas pada pilihan raya negeri (PRN) pada 2020.

    “Keghairahan Shafie juga memakan diri apabila Warisan yang gelojoh memasuki Semenanjung dan bertanding pada PRN Johor bukan sahaja tewas di semua kerusi yang ditandingi, malah semua kerusi tersebut hilang wang pertaruhan,” katanya memetik laporan Free Malaysia Today (FMT) hari ini.

    Sehubungan itu, Razeef berkata, sudah tiba masa Warisan melakukan perubahan kepimpinan jika tidak ingin kehilangan wang pertaruhan pada pilihan raya akan datang.

    Razeef mengulas kenyataan Shafie bahawa keputusan dalam tiga pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini menunjukkan rakyat mahukan perubahan dalam kepimpinan PH.

    Shafie berkata, PH tidak boleh mengabaikan kekalahan besar yang dialami dalam pilihan raya Melaka dan Sarawak tahun lepas serta PRN Johor Sabtu lalu.

    Warisan kalah semua enam kerusi yang ditandinginya di Johor.

  • Isu undi pos PRU15, EV tumpuan Dewan Rakyat hari ini

    Isu undi pos PRU15, EV tumpuan Dewan Rakyat hari ini

    ISU berkaitan undi pos bagi penduduk tinggal jauh dari pusat pengundian berdaftar khusus bagi rakyat Sabah, Sarawak dan Labuan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) serta perancangan kerajaan dalam membangunkan industri kenderaan elektrik (EV) tempatan antara perkara akan dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini. 

    Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman sesawang Parlimen, soalan berkaitan undi pos itu diajukan Datuk Rozman Isli (Warisan-Labuan) pada sesi soal jawab yang mahu Perdana Menteri menjelaskan sama ada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang mempertimbang untuk membenarkan pengundian pos dalam merangka prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang lebih berkesan pada PRU15.

    Sementara itu, Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) akan mengajukan soalan kepada Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri berhubung perancangan kementerian dalam usaha untuk membangunkan industri EV tempatan memandangkan industri itu semakin berkembang dan diterima di seluruh pasaran dunia.

    Turut tersenarai, soalan Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) yang turut meminta Perdana Menteri menyatakan apakah keperluan mendesak mengenai cadangan mewujudkan Majlis Pengurusan Bencana Negara (NADMA) 2.0 yang akan melibatkan tambahan perbelanjaan berbanding menambah baik fungsi kecekapan dan keberkesanan NADMA yang sedia ada. 

    Selain itu, pertanyaan mengenai pendirian kerajaan dalam mewujudkan hubungan dengan kerajaan Afghanistan yang ditadbir pihak Taliban serta bentuk hubungan tersebut termasuk bantuan yang ingin diberi akan dibangkitkan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) kepada Menteri Luar.

    Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) pula bertanyakan Perdana Menteri mengenai perancangan kerajaan dalam mencapai sasaran negara berpendapatan tinggi pada 2025 dengan pendapatan isi rumah mencapai RM10,000 sebulan seperti yang terkandung dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

    Selesai sesi tersebut, persidangan akan bersambung dengan sesi menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja melibatkan lapan lagi kementerian didahului dengan Kementerian Kesihatan.

    Dewan Rakyat bersidang hingga 24 Mac ini. – Bernama

  • Soal MB Johor, Zahid kena bertanggungjawab  * Politik Hasni lebih cerah di pusat

    Soal MB Johor, Zahid kena bertanggungjawab  * Politik Hasni lebih cerah di pusat

    • Zahid perlu beri penjelasan di PAU

    SERONOK sungguh, Barisan Nasional (BN) dan UMNO meraikan kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac lalu hinggakan ketika Perdana Menteri,  Ismail Sabri Yaakob masuk ke Bilik Gerakan BN, laungan bubar Parlimen bergema.

    Kelompok yang terjerit-jerit macam ‘kera kena belacan’ dan ‘kuntilanak tak dapat jejak tanah’ tu, tak beradab langsung buat kat PM macam tu. Ismail Sabri bukan sekadar Naib Presiden UMNO tetapi PM, jadi hormatlah sikit. Kalau seronok sangatpun tak payahlah buat macam tu. Menang kat Johor tu pun nasib sebab ramai tak keluar mengundi. Ada orang UMNO bagi tau kat Tebuan Tanah (TT), kemenangan tu tak boleh jadi ukuran UMNO dan BN dah kuat.

    Bagaimanapun kegembiraan mereka, mungkin dah tukar sedih bila Hasni Mohammad yang menjadi ‘poster boy’ BN ‘memberi laluan’ kepada orang muda untuk menjadi Menteri Besar. ‘Beri laluan’ itu bahasa halus, apa sebenarnya berlaku bukan rahsia lagi.

    ADUN Machap Onn Hafiz Ghazi dipilih jadi MB. Dan ia mendapat perkenan Sultan Johor. Jadi kepemimpinan UMNO kena hormat perkenan baginda. Tak payah lah nak buat isu lagi. Sebaliknya, ahli-ahli UMNO patut minta Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN bertanggungjawab berikutan apa yang berlaku.

    Tak kan Ahmad Zahid tak tahu pelantikan MB harus mendapat perkenan Sultan? Tak kan Ahmad Zahid ‘tak check’ dengan golongan cerdik pandai, wajar atau tidak, BN umum ‘poster boy’ atau calon MB. Memang patut Shahrir Abdul Samad berasa malu kerana ketawakan PN dan PH pasal tak umum calon MB.

    Kepemimpinan PN,PH dah tahu…menang dulu PRN, lepas tu serah nama calon-calon MB kepada Sultan, sebab siapa MB kena dapat perkenan Sultan terlebih dahulu.  Apabila dah serah nama kepada tuanku Sultan, biarlah baginda putuskan, siapa yang baginda perkenankan..hormati saja…jangan cetus kontroversi lagi.

    Sekarang Sultan Johor dah perkenan Onn Hafiz jadi MB…cukuplah ‘tutupla buku’. Buat apa nak ‘merajuk’ sampai ada kata perwakilan UMNO Johor tak nak  berbahas masa dalam perhimpunan agung UMNO esok. TT tak pasti apakah mereka betul-betul akan buat macam tu cuma TT nak nasihatkan mereka… ”usah cari masalah”.

    Kalau itu berlaku makna Ahmad Zahid gagal kawal suasana dalam pasti sendiri. Dok gempak gempita cakap pasal kestabilan…parti sendiri berantakan. Dah ada yang cakap-cakap  kalau Ahmad Zahid tak minta perkenan Sultan Johor untuk bubar DUN…dah pasti Hasni masih MB sampai penggal berakhir.

    Sama ada cakap-cakap tu betul atau tidak, Ahmad Zahid kena la bagi penjelasan dalam perhimpunan agung UMNO. Sebab sekarang orang tengok bila tercetus isu pelantikan MB Johor, UMNO nampak buruk…tambah pula Ahmad Zahid bawa Akuan Bersumpah 39 ADUN yang sokong Hasni kekal jadi MB…tetapi Tuanku Sultan menggunakan kebijaksanaan baginda melantik Onn Hafiz.

    Jadi daripada mana-mana pemimpin UMNO nak jadikan perhimpunan agung UMNO sebagai peluang terbaik nak beri tekanan kepada Ismail Sabri untuk bubar Parlimen…lebih baik mereka minta Ahmad Zahid bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku di Johor…ada berani?

    • Politik Hasni akan lebih cemerlang…

    TT kenal Hasni Mohammad semasa beliau Ketua Pemuda Johor pada tahun 1998. Kerap juga masa tu jumpa beliau sembang-sembang politik. Sejak awal lagi kenal beliau, TT memang tahu Hasni ni ahli politik yang bijak dan baik…tak suka bermusuh dengan sesiapa dan rajin bekerja.

    Jadi bila Hasni tak lagi menjadi MB walaupun menjadi salah satu faktor utama BN menang besar di Johor, TT pun turut bersimpati. Tetapi nak buat macam mana, Hasni sendiripun redha untuk beri laluan kepada orang muda seperti Onn Hafiz Ghazi untuk ambil alih jawatan MB Johor (walaupun macam-macam cerita bertebaran selepas beliau berkata demikian dalam satu kenyataan).

    Ramai terkejut bila Hasni tak jadi MB lagi. Memang patut terkejut pun sebab masa PRN, TT ada di sana tengok rakyat Johor memang selesa dengan beliau. Mereka hormat dan kagum dengan kepemimpinan beliau. Tetapi nak buat macam mana Hasni tak ada rezeki nak terus jadi MB.

    Namun TT yakin  tidak menjadi MB bukan bermakna ‘dunia politik’ Hasni sudah berakhir, sebaliknya ia pasti ada hikmahnya. Lagipun Hasni meninggalkan kerusi MB bukan seperti mana Khaled Nordin dalam PRU-14. Sebaliknya Hasni menerajui BN untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam PRN pada 12 Mac lalu.

    Justeru TT percaya lepas ini Hasni akan lebih cemerlang di peringkat pusat pula. Hasni boleh menjadi calon favourite untuk jawatan Naib Presiden UMNO atau lebih tinggi lagi Timbalan Presiden UMNO. Oleh itu TT harap penyokong-penyokong bekas MB Johor itu janganlah kecewa sangat.

    Mereka perlu atur strategi daripada sekarang untuk meningkatkan lagi perjalanan politik Hasni. Lepas ni Hasni kena bertanding di kerusi Parlimen pula. Hasni kena jadi pemimpin pelapis UMNO dari Johor di peringkat pusat. Tak ada orang lain dah…

    • Tebuan Tanah (TT) berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang kewartawanan.
  • Mahkamah batal rayuan Peter pindah ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu

    Mahkamah batal rayuan Peter pindah ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu

    MAHKAMAH Rayuan membatalkan rayuan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony untuk memindahkan kesnya berhubung pemalsuan surat kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrik (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.

    Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Nor Bee Ariffin membuat keputusan itu pada prosiding hari ini.

    “Ini adalah keputusan sebulat suara, rayuan dibatalkan,” kata Nor Bee yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

    Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya, Zaki Asyraf Zubir berkata, Peter tidak pernah hadir ke mahkamah sepanjang pengurusan kes itu.

    “Saya memohon kepada mahkamah untuk menetapkan satu tarikh akhir bagi perayu hadir ke mahkamah,” katanya sambil memaklumkan bahawa Peter hanya memfailkan notis rayuan namun petisyen rayuan belum difailkan sejak tahun lalu.

    Peter dan peguamnya tidak hadir prosiding pada Rabu.

    Beliau memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 Mac tahun lalu yang menolak permohonannya untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.

    Peter, 51, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan bagi tujuan menipu.

    Dia didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014 mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

    Pada 14 Disember 2021, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan Peter membela diri selepas mendapati pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadapnya.

    Pada 18 Februari lalu, pembelaan telah menutup kesnya selepas memanggil tiga saksi termasuk Peter dan mahkamah menetapkan 31 Mac untuk mendengar hujah kedua-dua pihak sebelum memutuskan sama ada tertuduh disabitkan atau dilepaskan daripada pertuduhan itu. – Bernama

  • SPR digesa kaji punca peratusan mengundi rendah pada PRN Johor

    SPR digesa kaji punca peratusan mengundi rendah pada PRN Johor

    Institut Darul Ehsan (IDE) menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu melaksanakan langkah proaktif bagi meneliti secara makro dan mikro sebab atau halangan menyebabkan 45 peratus pengundi di Johor tidak keluar mengundi.

    IDE yang melaksanakan analisis Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mencadangkan penelitian punca pengundi tidak keluar mengundi itu perlu dilaksanakan dengan pelbagai pihak yang berkepentingan.

    Menurut analisis PRN Johor yang dikeluarkan IDE hari ini, Status pengundi turun mengundi adalah satu tanda aras utama bagi mengukur bagaimana rakyat berpartisipasi dalam kerajaan negeri.

    “Peratusan keluar mengundi yang tinggi amat penting dalam mengukur pengukuhan demokrasi, manakala peratusan keluar mengundi yang rendah sering dikaitkan sikap pengundi dan rasa ketidakpercayaan terhadap proses politik yang berlangsung,” memetika laporan Berita Harian.

    Mengikut rekod, seramai 2,597,742 rakyat Johor layak menunaikan hak mengundi mereka pada PRN Johor.

    IDE mencadangkan SPR menilai sama ada tindakan kumpulan yang tidak keluar mengundi itu adalah sebagai tanda protes atau mereka bosan dengan politik dan pilihan raya atau mungkin mereka tidak sedar kewujudan pilihan raya.

    Selain itu, SPR diminta meneliti sama ada pengundi tidak keluar mengundi kali ini kerana mereka beranggapan, akan mengundi sekali lagi jika Parlimen dibubarkan dan pilihan raya umum diadakan.

    Faktor ketakutan dan kebimbangan terhadap jangkitan Covid-19 juga perlu diberikan perhatian dan kemungkinan kurang berkemampuan untuk balik mengundi berikutan tinggal di luar Dewan Undangan Negeri (DUN) atau tempat mengundi.

    “SPR perlu mencari kaedah yang lebih efektif harus dicari bagi memudahkan pengundi luar negara untuk mengundi.

    “Pengalaman negara lain seperti mewujudkan pusat pengundian di Kedutaan Malaysia luar negara, antara alternatif yang boleh dipermudahkan,” katanya.

    IDE menyatakan sasaran turun mengundi 70 peratus yang disasarkan oleh SPR masih tidak dapat dicapai kerana pada PRN Johor hanya 54.92 peratus keluar mengundi.

    Justeru, IDE mencadangkan supaya muafakat bersama perlu dicari antara SPR, parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan pelbagai agensi untuk bekerjasama meningkatkan kesedaran demokrasi bagi membina satu momentum dan memahami aspirasi tanggungjawab turun mengundi di negara ini.

    “Proses pilihan raya tidak wajar hanya terhad kepada pengurusan dan teknikal pilihan raya saja. Ia wajar diperkukuhkan dengan kekuatan kefahaman pengundi mengenai peranan dan tanggungjawab sebagai warga Malaysia yang efektif mendukung prinsip Ruku Negara dan Perlembagaan Malaysia.

    “Maka, pendidikan demokrasi dan kenegaraan adalah penting untuk dipupuk dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya pengundi baru dari pelbagai umur dan undi 18,” katanya.

    Analisis itu mendapati rekod peratusan keluar mengundi terendah di Johor dicatatkan di DUN N46 Perling dengan 43.28 peratus yang mana kebanyakan kawasan dengan peratusan undi di bawah 50 peratus ini dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) melalui DAP dan satu lagi kawasan iaitu DUN N41 Puteri Wangsa oleh Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

    Peratusan tertinggi keluar mengundi adalah DUN N18 Sri Medan dimenangi BN, manakala hampir semua 14 DUN yang melebihi 60 peratus keluar mengundi adalah DUN yang dimenangi oleh BN kecuali DUN N07 Bukit Kepong (61 peratus) yang dimenangi PN, Datuk Dr Sahruddin Jamal (bekas Menteri Besar) yang memperoleh 9,873 undi.

    IDE juga membangkitkan isu undi rosak yang mana sebanyak lebih 25,000 undi dikenal pasti yang dipercayai wujud kerana tiga keadaan.

    “Satunya, undi adalah refleksi kepada undi protes rakyat Johor, bahkan ada PACA (Ejen Tempat Mengundi dan Ejen Kiraan Undi) memaklumkan wujud situasi orang menconteng kertas undi dengan ekspresi tidak puas hati.

    “Keduanya, undi rosak boleh diertikan kemungkinan wujud keadaan rakyat tidak tahu untuk mengundi. Justeru, pendidikan politik yang betul untuk mencelikkan rakyat perlu dalam suasana kini oleh SPR, parti politik dan NGO.

    “Ketiga, wujud isu teknikal yang menyebabkan undi menjadi undi ragu dan seterusnya ditolak dan dianggap undi rosak. Antara isu yang ditimbulkan soal dakwat dan lain-lain.

    Justeru, SPR perlu melaksanakan kajian khusus bagi mengelak masalah teknikal berlaku hingga semangat demokrasi hak mengundi pengundi telah gugur dari diambil kira sebagai satu undi.

    Sementara itu, analisis IDE mendapati Barisan Nasional (BN) yang membentuk kerajaan negeri dengan kemenangan 40 kerusi DUN, memperolehi 599,753 undi atau 23 peratus sokongan diperoleh daripada rakyat Johor yang layak menunaikan hak mengundi.

    “Kedudukan kedua sokongan terbanyak diperoleh Pakatan Harapan (PH) Plus yang merangkumi Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP disokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan (Muda) berjaya memperolehi 416,956 undi atau 16.05 peratus manakala PN di tempat ketiga dengan perolehan undi 334,457 (12.8 peratus)

    Parti lain seperti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang); Parti Warisan Sabah (Warisan); Parti Bangsa Malaysia (PBM); Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra); Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan calon Bebas memperoleh peratusan sokongan kurang daripada satu peratus.

    “Jika dirangkumkan, akan didapati bahawa pengundian yang menolak BN secara ‘solid’ keseluruhan termasuk undi rosak adalah 817,362 atau 31.46 peratus.

    “Jika wujud solidariti pertandingan antara semua parti selain BN, pastinya memberikan kedudukan kemenangan kerusi yang berbeza.” menurut analisis itu.

  • Warga emas maut dihempap mesin penurap jalan

    Warga emas maut dihempap mesin penurap jalan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG warga emas maut setelah dihempap sebuah mesin penurap jalan di Kampung Sungai Baru, Kuala Sungai dekat Alor Setar, Kedah hari ini.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba II, Ahmad Naufal Abdullah berkata, kejadian itu menyebabkan mangsa yang berusia 60 tahun maut di lokasi kejadian.

    “Pihak kami menerima panggilan mengenai kejadian itu pukul 11.47 pagi dan tiba di lokasi kira-kira 15 minit kemudian.

    “Bagi mengeluarkan mangsa, kami terpaksa menggunakan khidmat dua mesin pengangkut (forklift) untuk mengangkat mesin penurap jalan tersebut,” katanya kepada Warta Rakyat, hari ini.

    Tambahnya, mangsa yang berjaya dikeluarkan kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.

    “Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

  • Onn Hafiz ziarah pusara Onn Jaafar, Jaafar Muhammad

    Onn Hafiz ziarah pusara Onn Jaafar, Jaafar Muhammad

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MENTERI Besar Johor yang baharu, Datuk Onn Hafiz Ghazi meluangkan masa menziarahi pusara pengasas UMNO, Datuk Onn Jaafar dan Menteri Besar Johor yang pertama, Datuk Jaafar Muhammad di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, Johor Bahru, hari ini.

    Beliau melakukan ziarah tersebut selepas selesai dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-19 oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene.

    Onn Hafiz, 44, merupakan anak saudara kepada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, meluangkan masa kira-kira 15 minit di pusara berkenaan.

    Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Datuk Mohd. Rofiki Shamsuddin dan Timbalan Mufti Johor, Datuk Ahmad Faisal Mohamed.

    On Hafiz juga merupakan cicit kepada Datuk Onn Jaafar yang merupakan Presiden UMNO pertama serta cucu kepada bekas Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn.

    Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 Sabtu lalu, beliau menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap dengan majoriti 6,543 undian menewaskan Azlisham Azahar daripada Perikatan Nasional (PN), R. Sangaran daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Datuk Dr. Sharuddin Md. Salleh mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

    Sebelum ini, beliau menyandang kerusi DUN Layang-layang yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14.

    Mendapat pendidikan dalam bidang perakaunan di University of Hertfordshire, United Kingdom (UK), Onn Hafiz mula aktif dalam politik apabila memegang jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Sembrong.

    Kemudian Ketua Pemuda UMNO Sembrong dan selepas itu menjadi Naib Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam sehingga kini.

    Beliau juga pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Hishammuddin ketika Ahli Parlimen Sembrong itu menjadi Menteri Pertahanan sewaktu pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

    Onn Hahiz menggantikan Datuk Hasni Mohammad yang dilantik sebagai Menteri Besar ke-18 pada 28 Februari 2020.

  • ‘Runner’ dipenjara sehari, denda RM17,500 kes rasuah keluarkan lesen memandu

    ‘Runner’ dipenjara sehari, denda RM17,500 kes rasuah keluarkan lesen memandu

    SEORANG lelaki yang bekerja sebagai ‘runner’ dijatuhi hukiman penjara sehari dan didenda RM17,500 oleh Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas tiga pertuduhan menerima rasuah membabitkan pengeluaran lesen memandu pada 2017.

    Tertuduh, Mohamad Khairie Marzuki, 28, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa secara rasuah menerima suapan wang tunai sebagai dorongan untuk pegawai badan awam di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dikenalinya bagi mengeluarkan lesen memandu kelas B2 dan D tanpa perlu melalui ujian memandu pada 2017.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

    Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Selvaranjini dan Mohammad Azlan Basri manakala Mohamad Khairie diwakili peguam Ahmad Zaki.

    Mohamad Khairie kemudian membayar denda tersebut hari ini dan dihantar ke Penjara Seberang Perai di Jawi, Nibong Tebal bagi menjalani hukuman penjara sehari.

  • Hasni ucap tahniah kepada Onn Hafiz

    Hasni ucap tahniah kepada Onn Hafiz

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad mengucapkan tahniah kepada Datuk Onn Hafiz Ghazi yang dilantik sebagai Menteri Besar Johor baharu, hari ini.

    Ucapan tersebut dimuat naik dalam Facebook miliknya sejurus selesai majlis angkat sumpah Menteri Besar Johor itu.

    Hasni turut mengulangi kenyataan dibuatnya semalam bahawa tiada mana-mana ideologi atau pemimpin politik yang lebih besar daripada negeri Johor.

    “Seperti yang saya telah nyatakan, tiada ideologi politik, ahli politik dan parti politik yang lebih besar, lebih penting dan lebih utama daripada Johor Darul Ta’zim.

    “Kini masa untuk kita bersama-sama membina Johor yang lebih makmur. Insya-Allah di bawah kepimpinan baharu, negeri Johor yang kita cintai ini akan menjadi lebih makmur dan sejahtera,” katanya dalam kenyataan tersebut.

    Terdahulu, Onn Hafiz sah dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-19 selepas mengangkat sumpah sebagai di hadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, petang tadi.

    Onn Hafiz menerima surat tauliah pelantikan dan melafazkan sumpah menyandang jawatan dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor yang berlangsung di Balai Mengadap Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

    Sebelum ini Hasni yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-18 pada 28 Februari 2020.

    Beliau adalah Menteri Besar Johor yang ketiga dilantik selepas, Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018, selepas Allahyarham Datuk Osman Sapian dan Datuk Dr. Sahruddin Jamal.

  • Onn Hafiz hargai pengorbanan Hasni

    Onn Hafiz hargai pengorbanan Hasni

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MENTERI Besar Johor yang baharu, Datuk Onn Hafiz Ghazi menghargai pengorbanan Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad yang melepaskan jawatan dan memberi peluang kepada orang muda memimpin Johor.

    Onn Hafiz berkata, pengorbanan bekas Menteri Besar Johor itu bukan sahaja menunjukkan betapa besarnya hati dan jiwa tetapi membuktikan beliau meyakini peranan dan kemampuan orang muda dalam mengemudi Johor.

    “Insya-Allah, saya akan sentiasa memohon khidmat nasihat beliau yang jauh lebih berpengalaman daripada saya.

    “Semoga gabungan orang yang berpengalaman dengan tenaga dan idealisme orang muda akan dapat membangun dan memperkukuhkan negeri ini agar terus disegani dan melangkah lebih jauh lagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-19 selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene, Johor Bahru, hari ini.

    Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu lalu, Onn Hafiz, 44, yang merupakan anak saudara kepada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Husseinmenewaskan tiga pencabarnya di kerusi DUN Machap dengan majoriti 11,029 undi.

    Mengulas lanjut, Onn Hafiz berkata, segala janji yang dibuat Barisan Nasional (BN) semasa PRN Johor akan ditunaikan sebaik mungkin.

    Beliau memohon semua Bangsa Johor tidak kira kaujm, agama dan latar belakang untuk bersama-samanya bersatu hati, minda dan tenaga untuk terus membangunkan negeri ini.

    “Saya juga ingin memohon doa daripada semua agar segala langkah yang akan kita atur bersama selepas ini akan mendapat keberkatan Allah SWT serta mencapai segala matlamat yang disasarkan demi kemaslahatan Negeri ini dan setiap daripada rakyatnya.

    “Saya percaya bahawa sesuatu itu hanya akan terjadi dengan izin dan kehendak-Nya jua. Justeru, saya terima mandat ini dengan tekad dan keazaman untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberi dengan segala tenaga, kudrat dan kemampuan yang saya ada,” katanya.

    Anak saudara kepada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein itu juga merafak sembah menjunjung kasih kepada Sultan Johor atas perkenan baginda melantiknya sebagai Menteri Besar Johor yang ke-19.

    “Patik sesungguhnya merasa insaf dan kerdil dengan amanah dan kepercayaan yang diberikan. Namun, tanggungjawab yang amat besar ini akan patik galas dengan sepenuh hati dan dedikasi, serta dengan sedaya upaya patik demi kesejahteraan dan kemakmuran Negeri dan Bangsa Johor.

    “Patik juga menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang turut berangkat sama. Patik menjunjung kasih diatas segala nasihat dan tunjuk ajar yang diberikan,” katanya.

    Setinggi-tinggi penghargaan juga dizahirkannya kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan; Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kepimpinan UMNO Pusat dan Johor.