Author: Admin

  • Semua kerajaan PH tidak akan bubar DUN

    Semua kerajaan PH tidak akan bubar DUN

    MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) memutuskan tiada sebarang cadangan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditadbir gabungan itu sehingga tamat tempoh pada tahun hadapan.

    Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan menegaskan, keputusan itu mengambil kira keadaan ekonomi rakyat yang masih terkesan ketika ini.

    “Majlis Presiden Pakatan Harapan hari ini telah memutuskan bahawa kerajaan Negeri Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang ditadbir PH tidak akan menasihati agar DUN masing-masing dibubarkan sehingga tamat tempoh pada tahun 2023.

    “Keputusan ini dibuat mengambil kira keadaan ekonomi rakyat yang masih sangat terkesan akibat banjir besar, pandemik Covid-19, pendapatan yang berkurangan serta kos sara hidup yang meningkat mendadak,” menurut Majlis Presiden PH, hari ini.

    Kenyataan berkenaan dikeluarkan bersama oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

    Gabungan parti pembangkang itu turut menegaskan fokus PH kini adalah untuk menggerakkan segala usaha ke arah menyelamatkan rakyat dan menghidupkan semula ekonomi.

    Kelmarin, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dilaporkan berkata, hanya akan membubarkan DUN selepas tempoh penggal berakhir tahun depan.

    Kemudian, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari juga senada untuk meneruskan pentadbiran sedia ada sehingga habis penggal sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat.

    Pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU-15 menjadi antara perkara yang dibahaskan pada Persidangan Agung UMNO yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur sehingga Sabtu ini.

    Perkara itu dibangkitkan susulan kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, dan terdapatnya desakan kalangan pemimpin dan ahli parti itu supaya PRU-15 diadakan segera.

  • Pinjaman RM73,000 untuk ubah suai rumah lesap ditipu sindiket nombor TAC

    Pinjaman RM73,000 untuk ubah suai rumah lesap ditipu sindiket nombor TAC

    SEORANG penjawat awam lelaki kerugian RM73,000 apabila wang pinjaman yang baharu diluluskan untuk ubai suai rumahnya lesap dalam akaun bank selepas ditipu sindiket nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC).

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka, Superintendan E. Sundra Rajan berkata mangsa yang berusia 40 tahun dihubungi suspek lelaki tidak dikenali pada 14 Mac yang memaklumkan isteri suspek telah tersilap mendaftarkan butiran maklumat untuk perbankan dalam talian dengan mendaftarkan nombor telefon mangsa.

    “Mangsa yang bekerja sebagai pemandu jabatan telah diminta oleh suspek untuk memaklum dan menyerahkan kepadanya jika ada menerima mesej menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) nombor TAC daripada pihak bank. Tanpa membuat pengesahan lanjut, mangsa terus memberikan nombor TAC itu kepada suspek.

    “Mangsa telah menerima semula SMS daripada pihak bank yang menyatakan terdapat pindahan wang sejumlah RM50,000 daripada akaunnya sejurus mangsa menyerahkan nombor TAC kepada suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sundra Rajan berkata keesokan harinya, mangsa mendapati terdapat pindahan wang untuk kali kedua berjumlah RM23,000 ke akaun yang tidak dikenali dan mangsa kemudian pergi ke bank bagi membuat pengesahan sekali gus dinasihatkan membuat laporan polis.

    Beliau berkata mangsa membuat laporan berkaitan kes itu di Balai Polis Ayer Keroh dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. 

    Dalam pada itu, Sundra Rajan turut mengingatkan orang awam supaya berhati-hati dengan modus operandi yang baharu dikesan pihaknya dan giat dijalankan oleh ‘scammer’ sehingga mengakibatkan mangsa kehilangan wang daripada akaun bank mereka.

    “Sindiket menggunakan laman Facebook untuk mengiklankan penjualan barang atau tawaran perkhidmatan dan tawaran iklan ini akan sentiasa diubah suai bagi menjerat lebih ramai mangsa.

    “Mangsa yang berminat akan dihubungi melalui aplikasi WhatsApp dan diberikan pautan muat turun dalam telefon mangsa. Aplikasi ini menggantikan sistem SMS sedia ada, mangsa diarahkan untuk mendaftar menerusi aplikasi tersebut dengan memasukkan nama, nombor kad pengenalan, e-mel, butiran kad kredit atau kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) serta butiran perbankan dalam talian,” katanya.

    Beliau berkata selepas semua maklumat dimasukkan dan mangsa menekan butang hantar paparan ‘page error’ akan ditunjukkan kerana aplikasi ini tidak dipautkan kepada sistem perbankan yang sebenar.

    “Hakikatnya pemasangan aplikasi ini adalah dibuat semata-mata untuk sindiket mendapatkan akses terhadap kandungan SMS serta butiran perbankan yang akan digunakan oleh sindiket untuk memindahkan wang daripada akaun mangsa.

    “Pihak JSJK Melaka menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dengan tawaran yang mencurigakan dan dinasihatkan supaya membuat semakan ke atas nombor telefon dan nombor akaun yang meragukan supaya tidak menjadi mangsa penipuan,” katanya.-  Bernama

  • Lepas 3 das tembakan selepas lelaki langgar MPV polis

    Lepas 3 das tembakan selepas lelaki langgar MPV polis

    POLIS melepaskan tiga das tembakan ke arah kereta dipandu seorang lelaki yang merempuh sebuah kereta peronda polis (MPV) pada kejadian di Kampung Tandop Kedabu, Ayer Hitam, Kubang Pasu, semalam.

    Harian Metro melaporkan, dalam kejadian pada pukul 4 petang itu, dua anggota MPV Balai Polis Ayer Hitam sedang melakukan rondaan cegah jenayah sebelum terserempak dengan Honda Accord dipandu dalam keadaan mencurigakan.

    Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, anggota MPV mengekori kereta itu sejauh empat kilometer sebelum suspek berhenti di tepi jalan berdekatan kampung.

    Katanya, bagaimanapun, ketika cuba melakukan pemeriksaan, suspek tiba-tiba mengundurkan kereta dengan laju sehingga hampir melanggar dua anggota polis berkenaan.

    “Pada masa sama, kereta terbabit melanggar MPV berkenaan. Anggota terpaksa menembak tayar kereta suspek untuk memberhentikannya.

    “Suspek memecut dari lokasi manakala anggota MPV terus mendapatkan bantuan daripada unit lain,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, hari ini.

    Kejadian itu tular dalam media sosial dengan tiga rakaman video menunjukkan MPV polis mengejar sebuah kereta di kawasan sawah di kampung berkenaan.

    Rodzi berkata, hasil risikan, pihaknya menemui Honda Accord terbabit disembunyikan di belakang sebuah rumah di Kampung Tempatan, Air Hitam pukul 7 petang.

    Katanya, pemeriksaan ke atas kereta itu menemui satu paket heroin seberat 0.9 gram, dua paket syabu seberat 95 gram, pisau serta plastik yang banyak dipercayai digunakan untuk membungkus dadah.

    “Bahagian belakang kereta itu turut rosak selain kedua-dua tayar kanannya pancit akibat ditembak anggota MPV berkenaan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Kami masih mengesan suspek,” katanya.

    Beliau berkata, pihaknya percaya suspek menyembunyikan kereta itu di rumah terbabit kerana suspek mahir dengan kawasan berkenaan.

    “Kita sudah mengenal pasti pemilik Honda Accord terbabit yang dipercayai milik seorang lelaki berkemungkinan besar adalah penjenayah atau pengedar dadah.

    “Berdasarkan kesan cap jari pada kereta terbabit, kami sudah mengenal pasti identiti suspek yang berusia 44 tahun yang dipercayai penagih dan pengedar dadah,” katanya.

  • Pesara rugi RM40,000 diperdaya Macau Scam

    Pesara rugi RM40,000 diperdaya Macau Scam

    SEORANG pesara kerajaan di Port Dickson, Negeri Sembilan mengalami kerugian sebanyak RM40,000 selepas menjadi mangsa sindiket Macau Scam pada 11 Mac lepas.

    Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed, berkata wanita berusia 63 tahun berkenaan mendakwa menerima panggilan telefon daripada seorang individu bernama ‘Muhammad Faizal’ daripada Telekom Malaysia pada kira-kira pukul 1.15 tengah hari.

    Beliau berkata lelaki itu memaklumkan mangsa ada membuat pendaftaran talian Unifi pada alamat di Seremban, namun wanita tersebut menafikan perkara itu.

    “Panggilan kemudiannya disambungkan kepada ‘Inspektor Manisah’ yang memaklumkan terdapat kemasukan wang haram sebanyak RM80,000 ke akaun bank mangsa, sebelum diminta mendaftar perbankan Bank Simpanan Nasional (BSN) dalam talian oleh individu yang kononnya daripada Bank Negara Malaysia.

    “Mangsa yang percaya telah menyerahkan butiran perbankan bagi akaun BSN, Bank Rakyat dan Maybank miliknya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Aidi Sham berkata wanita itu kemudiannya membuat semakan dengan bank dan mendapati dia mengalami kerugian sebanyak RM40,000 daripada tiga akaun tersebut yang dipindahkan kepada akaun individu tidak dikenali.

    Katanya, mangsa membuat laporan polis pada keesokannya dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai panggilan yang mendakwa mereka daripada badan penguat kuasa atau institusi kewangan, selain tidak mendedahkan butiran perbankan kepada individu tidak dikenali.- Bernama

  • Jangan terpedaya taktik scammer menjelang pengeluaran khas KWSP – Timbalan KPN

    Jangan terpedaya taktik scammer menjelang pengeluaran khas KWSP – Timbalan KPN

    RAKYAT diingatkan supaya berwaspada dan tidak terjerat dengan pelbagai taktik digunakan ‘scammer’ bagi memperdaya mangsa.

    Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Hussain berkata, pihaknya sentiasa memantau dan memberi peringatan kepada orang ramai mengenai pelbagai taktik digunakan ‘scammer’ bagi memperdaya mangsa.

    Polis menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial katanya, akan memastikan semua laporan yang diterima disiasat dengan sebaiknya bagi mengelak lebih ramai menjadi mangsa.

    Bagaimanapun, beliau mengakui walaupun pelbagai kempen dan usaha membanteras kegiatan penipuan itu dilakukan pelbagai pihak, namun, masih ada yang terpedaya dengan pelbagai janji diberikan sindiket hingga menyebabkan kerugian wang yang besar.

    “Kita mengingatkan rakyat Malaysia tentang penipuan melaui scammer ini tetapi masih ada juga yang percaya… kita pun tak faham macam mana perkara ini boleh berlaku sedangkan ingatan ini kita buka sahaja Facebook sudah bagi, sudah (diberi) nombor-nombor untuk mengetahui sekiranya akaun (bank) itu palsu atau betul.

    “(Walaupun) kita dah bagi tapi masih lagi dalam satu, dua atau tiga orang masih kena tipu juga. Jadi, sekiranya masih berlaku, kita memang memantau dan siasatan memang diteruskan,” katanya memetik laporan Astro Awani.

    Razarudin berkata demikan ketika ditemui selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara KOP Mantap Berhad bersama rakan strategik di Maktab PDRM di Kuala Lumpur hari ini.

    Beliau mengulas kebimbangan orang ramai mengenai taktik-taktik baharu yang akan digunakan scammmer sebaik kerajaan mengumumkan kebenaran pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000.

    Bahkan, di laman-laman media sosial sudah mula tular pelbagawai tawaran kepada mereka yang akan memohon pengeluaran itu bermula 1 April ini.

  • PRN Melaka, Johor menelan kos RM141 juta

    PRN Melaka, Johor menelan kos RM141 juta

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) membelanjakan RM141 juta bagi melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor baru-baru ini.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, jumlah itu merangkumi perbelanjaan perolehan pembelian dan sewaan peralatan pilihan raya.

    Jelas beliau, ini termasuk kos kenderaan, pembangunan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), logistik, elaun petugas serta keperluan lain yang berkaitan.

    Sinar Harian melaporkan, perbelanjaan berkenaan turut mengambil kira peralatan mengikut garis panduan pencegahan Covid-19.

    Menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini, didapati kos bagi PRN Melaka dan PRN Johor masing-masing berjumlah RM45 juta dan RM96 juta.

    Sebagai rekod, PRN Melaka berlangsung pada 20 November 2021 manakala PRN Johor diadakan 12 Mac lalu.

  • Penarik kereta dilepas, dibebas daripada tuduhan bunuh kontraktor

    Penarik kereta dilepas, dibebas daripada tuduhan bunuh kontraktor

    MAHKAMAH Tinggi Kota Bharu, Kelantan hari ini melepas dan membebaskan seorang penarik kereta atas pertuduhan membunuh seorang kontraktor, 11 tahun lepas.

    Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh membuat keputusan tersebut ke atas Syaiful Afikin Mohd Firus, 46, selepas pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes berkenaan di akhir pembelaan.

    “Mahkamah juga mengambil maklum bahawa pendakwaan mengambil masa tujuh tahun sebelum memutuskan untuk mendakwa tertuduh, malah tiada keterangan forensik baharu diperoleh selepas tertuduh dilepaskan dari reman antara 2011 dan 2018 apabila berlaku pendakwaan ke atas tertuduh,” katanya.

    Sehubungan itu, mahkamah memutuskan Syaiful Afikin dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan, katanya.

    Mengikut pertuduhan, Syaiful Afikin didakwa membunuh Saw Yew Siang yang ketika itu berusia 56 tahun bersama seorang lagi yang masih bebas di Kampung Pak Jah, Tumpat lebih kurang  8 hingga 10 malam, 3 Okt 2011.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hajarul Falenna Itah Abu Bakar Adli manakala Syaiful Afikin diwakili peguam Azura Ghazali.

    Terdahulu, mahkamah turut melepas dan membebaskan tertuduh terhadap pertuduhan memiliki kerambit tanpa kebenaran selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

    Bagi kes itu, tertuduh didakwa memiliki senjata itu di hadapan kedai runcit, Jalan Rambutan Rendang, Panji, Kota Bharu kira-kira 3.30 pagi pada 11 Jun 2018.

    Syaiful Afikin didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – Bernama

  • Mahdzir dakwa kenyataan Tok Mat tidak tepat

    Mahdzir dakwa kenyataan Tok Mat tidak tepat

    MENTERI Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyifatkan kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa prestasi menteri UMNO tidak menunjukkan keyakinan yang diharapkan sebagai tidak tepat.

    Naib Presiden UMNO itu berkata, semua menteri UMNO sudah melakukan yang terbaik terutama dalam membantu rakyat ketika berhadapan pandemik Covid-19.

    “Saya fikir kenyataan Tok Mat itu sendiri tidak tepat. Beliau tidak boleh ambil dari sudut orang yang di luar (daripada kerajaan).

    “Kita tahu apa yang kita buat dan kita berusaha sedaya-upaya supaya yang penting adalah untuk rakyat terutama ketika Covid-19 dan kita tahu macam mana nak tolong rakyat dalam pemulihan ekonomi,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pameran Korporat Kementerian Pembangunan Luar Bandar bersempena Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

    Mengulas lanjut, beliau berkata, setiap menteri tahu tanggungjawab dan tugas di setiap kementerian mereka.

    “Saya sebagai Menteri Luar Bandar, kita tahu apa naratif kita. Apa yang penting adalah perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau mengharapkan setiap pihak tidak menimbulkan sebarang polemik berhubung Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    “Perkara berkaitan pilihan raya ini adalah perkara yang besar. Hak pembubaran adalah hak Yang di-Pertuan Agong.

    “Semua pihak mesti menghormati sistem beraja. Perdana Menteri boleh berbincang dengan kepimpinan UMNO tarikh sesuai untuk adakan pilihan raya.

    “Jika dah bersetuju barulah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong. Jadi, jangan timbulkan polemik,” katanya.

  • KDN tidak benar eksport ketum ke Thailand – Hamzah

    KDN tidak benar eksport ketum ke Thailand – Hamzah

    KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) tidak akan membenarkan daun ketum dari negara ini dieksport ke Thailand seperti mana yang dicadangkan oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

    Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ini kerana perkara itu bertentangan dengan Akta Racun 1952 yang dikuatkuasakan di negara ini, yang antara lain melarang sebarang aktiviti mengimport, mengeksport, mengilang, membekal, menjual atau memiliki serta menggunakan ketum secara haram. 

    “Ini mungkin permintaan peribadi Menteri Besar. (Namun) pada ketika ini memang kita tidak akan benarkan (penjualan daun ketum) untuk apa-apa tujuan pun mengikut akta sedia ada,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis pelancaran Kempen ‘Kita Demi Negara’ di Kuala Lumpur pada Khamis.

    Semalam, Sanusi dilapor mencadangkan kerajaan Persekutuan memberi kebenaran kepada Kedah bagi mengeksport ketum secara sah ke Thailand bagi tujuan perubatan. 

    Beliau berkata, daun ketum khususnya yang ditanam di Kedah, mendapat permintaan tinggi terutama di negara jiran itu, kerana dikatakan gred paling baik untuk tujuan perubatan dan dijadikan pil atau minuman kesihatan. – Bernama 
     

  • Permohonan naik tarif air Pulau Pinang tidak wajar

    Permohonan naik tarif air Pulau Pinang tidak wajar

    PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Pulau Pinang menyifatkan cadangan menaikan tarif air di negeri itu buat masa ini adalah tidak wajar ketika ekonomi negeri dan majoriti penduduknya masih belum pulih sepenuhnya daripada pandemik Covid-19.

    Sehubungan itu, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berharap Kerajaan Pusat khususnya Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menolak permohonan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) untuk menaikan tarif air tersebut.

    Menurut beliau, tarif air di Pulau Pinang juga telah dinaikkan banyak kali sejak DAP menjadi kerajaan negeri iaitu sepanjang 14 tahun lepas.

    “Ekonomi Pulau Pinang masih belum pulih dan rakyat masih berdepan dengan impak ekonomi akibat pandemik Covid-19.

    “Tetapi kerajaan negeri pula ingin menaikkan tarif air, adakah mereka ingin melihat rakyat terus hidup dengan sengsara?,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Tong Keong yag juga Timbalan Presiden Gerakan Pusat, semua pihak ketika ini harus memberi tumpuan dalam memacu pembangunan ekonomi Pulau Pinang dan menambah baik serta meningkatkan kehidupan rakyat, bukannya membebankan dan memburukkan lagi keadaan yang dihadapi mereka.

    Tegas beliau, PBAPP tidak seharusnya membuat cadangan itu dalam tempoh ketika ini kerana kehidupan rakyat masih terkesan akibat Covid-19.

    “PBAPP boleh mengemukakan cadangan kenaikan tarif air pada masa yang sesuai, tetapi bukan sekarang!”, katanya.

    Ekoran itu juga, Tong Keong menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diketuai DAP memandang serius tekanan kewangan yang bakal dihadapi rakyat akibat kenaikan tarif air tersebut sekiranya dilaksanakan kelak.

    Dalam masa sama, beliau menyeru penduduk Pulau Pinang tidak lagi memberi sokongan dan mandat kepada DAP sekiranya kerajaan negeri berkeras mahu menaikkan tarif air itu.

    “Parti Gerakan tetap berpendirian mana-mana institusi pun perlu mengutamakan kepentingan rakyat dan kenaikan tarif air buat masa ini hanya akan membebankan rakyat sekali gus merupakan keputusan yang tidak wajar,” katanya.

    Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir. Jaseni Maidinsa dilaporkan akan memohon semakan tarif air di Pulau Pinang pada tahun ini untuk meningkatkan dana bagi pelaksanaan projek Pelan Kontingensi Air Mentah 2030 (RWCP 2030).

    Menurut Jaseni, permohonan PBAPP itu akan dikemukakan kepada SPAN namun tertakluk kepada kelulusan Kerajaan Persekutuan.