Author: Admin

  • Enam laporan polis sabit video Kak Long 7E hina OKU

    Enam laporan polis sabit video Kak Long 7E hina OKU

    SEBANYAK enam laporan diterima oleh pihak polis berhubung tindakan Wan Noor Baizura atau dikenali sebagai Kak Long 7E, yang dikatakan menghina golongan orang kurang upaya (OKU) yang tular dalam media sosial sejak minggu lalu.

    Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, keenam-enam laporan dibuat oleh mereka yang tidak puas hati, khususnya golongan OKU yang terkesan dan rasa terhina ekoran perlakuan wanita terbabit mengajuk pergerakan dan mimik muka golongan itu.

    Katanya, enam laporan itu masing-masing satu diterima polis Terengganu, Johor, Perak, dan Kuala Lumpur, manakala dua lagi diterima polis Selangor.

    Menurut beliau, polis Terengganu akan memanggil wanita terbabit untuk merakam percakapan berhubung kes itu.

    “Susulan daripada laporan yang dibuat Persatuan Pembangunan Orang Kurang Upaya Anggota Terengganu (POKUAT) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Terengganu, Khamis lalu, kita akan memanggil wanita terbabit untuk mengambil rakaman percakapan di IPD Dungun dalam masa terdekat,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Perjumpaan Ketua Polis Terengganu Bersama Jawatankuasa Pembangunan Pengurusan Polis Wanita (JPPPW) Terengganu, hari ini.

    Rohaimi berkata, kes itu dirujuk kepada polis Selangor memandangkan pihak berkenaan memulakan siasatan selepas menerima laporan dairpada seorang individu golongan OKU fizikal.

    Individu berusia 42 tahun dari Taman Puchong Utama, Puchong, Selangor itu terus membuat laporan polis selepas tidak puas hati dan berasa terhina ekoran tindakan wanita terbabit.

    “Kita menyerahkan siasatan Wan Noor Baizura kepada polis Selangor dan kita sedia memberi bantuan termasuk akan mengambil rakaman percakapan wanita terbabit,” katanya.

  • Kanak-kanak tahun satu cedera diserang kera

    Kanak-kanak tahun satu cedera diserang kera

    SEORANG kanak-kanak Tahun Satu terpaksa melupakan hasratnya untuk memulakan sesi persekolahan baharu, selepas cedera akibat diserang seekor kera di Kampung Baru Kuala Abang di Dungun, pada Ahad lepas.

    Akibat serangan itu Muhammad Umar Ziyad Zaharudin, 7, terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Kemaman selepas mengalami kecederaan di bahagian betis kiri dan tangan kanan.

    Ibunya Suzilawati Ismail, 39, berkata, anak bongsunya daripada dua beradik itu jelas sangat terkilan apabila kini terlantar di hospital menerima rawatan, sedangkan pada mulanya dia nampak cukup riang dan teruja untuk hadir hari pertama di Sekolah Kebangsaan Kuala Abang.

    “Doktor maklumkan anak saya mungkin tidak dapat berjalan dalam tempoh sebulan kerana kecederaan teruk di kakinya. Sepanjang tempoh itu, dia mungkin akan menjalani pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) sahaja.

    “Meskipun agak trauma dan sedih, namun saya bersyukur kerana Muhammad Umar Ziyad semakin pulih serta ceria hari ini, dan jika tiada sebarang halangan, dia akan dibenarkan pulang ke rumah pada petang ini,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
     
    Dalam kejadian pada 6.55 petang Ahad lepas, Suzilawati berkata, beliau bersama dua anaknya berada di rumah kakaknya yang terletak bersebelahan di kampung berkenaan.

    “Muhammad Umar Ziyad pulang dahulu ke rumah, saya dan anak sulung masih berada di beranda rumah kakak, tiba-tiba terdengar dia menjerit meminta tolong di halaman rumah saya.

    “Nasib baik suami memang ada di rumah dan segera menyelamatkan dia. Kaki dan tangannya berlumuran darah dan koyakan pada kaki memang besar,” katanya yang turut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun. 

    Suzilawati berkata, disebabkan luka anaknya yang serius, dia terpaksa dihantar ke Hospital Kemaman untuk menjalani pembedahan kecil bagi mencantumkan semula kulitnya yang koyak.  – Bernama

  • Polis panggil 10 pemandu kereta mewah halang lalu lintas

    Polis panggil 10 pemandu kereta mewah halang lalu lintas

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SERAMAI 10 individu yang juga pemandu kereta mewah akan dipanggil polis bagi memberi keterangan berhubung insiden konvoi yang menghalang laluan di susur keluar Sedenak, Kulai, Jumaat lalu.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, polis akan membuka tiga kertas siasatan iaitu membabitkan kesalahan merusuh, menghalang lalu lintas serta memandu secara melulu.

    “Saya telah arahkan Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow melakukan siasatan terperinci,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, hasil siasatan awal mendapati punca insiden terbabit disebabkan wanita yang memandu pacuan empat roda jenis Ford Ranger dipercayai panik sebelum berlaku perlanggaran.

    Malah, kata beliau, wanita berusia 28 tahun itu turut dipukul pemandu kenderaan mewah ketika berada di Kilometer 34 arah selatan Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Sedenak, pada pukul 6.10 petang.

    Terdahulu, pemandu wanita berkenaan yang ditahan pada pukul 1 pagi semalam kini direman selama tiga hari selepas perintah reman dikeluarkan Majistret Sharifah Maleeha Syed Hussin.

    Baru-baru ini, tular dalam media sosial satu video berdurasi 1 minit 14 saat yang menunjukkan sebuah Ford Ranger dipandu secara merbahaya sehingga menyebabkan berlaku pelanggaran dengan sebuah kenderaan daripada kumpulan konvoi kereta mewah.

    Pemandu Ford Ranger itu dipercayai cuba memotong konvoi secara zig zag sebelum berlanggar dengan salah sebuah Lamborghini ketika cuba memasuki lorong kiri.

    Disebabkan pelanggaran itu, peserta konvoi berkenaan tidak berpuas hati dan menghentikan kenderaan di tengah-tengah lebuh raya sebelum berlaku selisih faham antara mereka.

  • Lokman mohon maaf, kes saman fitnah Mohd Na’im terhadapnya selesai

    Lokman mohon maaf, kes saman fitnah Mohd Na’im terhadapnya selesai

    KES saman Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar terhadap Datuk Lokman Noor Adam selesai secara baik pada Isnin selepas bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu membuat permohonan maaf kepada Ketua Hakim Syarie berkenaan.

    Peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Mohd Na’im ketika dihubungi pemberita berkata, pada prosiding secara dalam talian di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Rozana Ali Yusoff hari ini, beliau memaklumkan kepada mahkamah mengenai terma-terma dalam perintah persetujuan.

    “Lokman menerima maklumat salah daripada pihak ketiga dan tidak menyemaknya terlebih dahulu dengan plaintif (Mohd Na’im) sebelum menyedari maklumat yang disampaikan itu adalah salah. 

    “Beliau (Lokman) kesal dan memohon maaf dengan apa yang terjadi serta berjanji tidak akan mengulanginya dan akan menurunkan kesemua penghantaran berunsur fitnah terhadap plaintif (Mohd Na’im),” katanya dan menambah Hakim Rozana merekodkan perintah persetujuan itu.

    Prosiding itu turut disertai Na’im serta peguam Logen Eksander Abdullah dan Norfazilah Jaafar yang mewakili Lokman.

    Logen Eksander ketika dihubungi juga mengesahkan perkara itu dan berkata beberapa terma dalam perintah persetujuan tidak didedahkan atas persetujuan kedua-dua pihak.

    Mohd Na’im, 54, memfailkan saman atas kapasiti peribadi dengan menuntut ganti rugi berjumlah RM30 juta daripada Lokman berhubung dakwaan gangguan seksual terhadap beberapa wanita termasuk seorang ‘Datin.’

    Berdasarkan pernyataan tuntutan, Mohd Na’im yang juga Ketua Pengarah di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia mendakwa Lokman telah memfitnahnya dengan membuat kenyataan menerusi dua siaran langsung di Facebook ‘Lokman Noor Adam Official’ pada 10 Januari dan 13 Januari lepas.

    Mohd Na’im mendakwa defendan juga memuat naik siaran langsung itu di YouTube miliknya masing-masing pada 10 Januari dan 14 Januari selain memuat naik tiga hantaran fitnah terhadap beliau di Facebook milik defendan pada 11 Januari dan 13 Januari lepas.

    Dakwa plaintif, kenyataan fitnah itu membawa maksud antaranya beliau seorang penunggang agama, gagal menjadi pemimpin berkredibiliti dengan akhlak terpuji dan dihormati serta memberi teladan yang baik kepada masyarakat serta mencemarkan imej dan institusi Jabatan Kehakiman Syariah.

    Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am yang akan ditaksir oleh mahkamah, ganti rugi teladan, teruk dan punitif masing-masing berjumlah RM10 juta, faedah, serta relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah selain permohonan maaf daripada defendan yang dimuat naik di media sosial. – Bernama

  • Tidak laporan salah laku rasuah pada PRN Melaka – SPRM

    Tidak laporan salah laku rasuah pada PRN Melaka – SPRM

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka tidak menerima sebarang laporan aktiviti rasuah sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berlangsung pada November lalu.

    Pengarah SPRM Melaka, Mohd. Shahril Che Saad berkata, pihaknya tidak menerima maklumat mahupun laporan daripada mana-mana individu atau parti politik berkenaan salah laku tersebut.

    Justeru katanya, tiada kertas siasatan akan dibuka membabitkan PRN Melaka.

    “Malah kita pun tidak terima maklumat yang boleh menyiasat, kita tidak ada terima,” katanya memetika laporan Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Jalinan Kerjasama Antara SPRM Melaka Dengan CeiO – Memartabatkan Integriti Dalam Perkhidmatan 2022 di Pejabat SPRM Melaka, Alai, Melaka, hari ini.

    Hadir sama, Presiden Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah (ACeiO) Malaysia, Ahmad Sabri Mohamed.

    Sementara itu, beliau berkata, sepanjang tahun lalu SPRM Melaka menahan seramai 17 individu termasuk 12 penjawat awam dipercayai terbabit dengan kesalahan rasuah.

    Menurutnya, selain tangkapan, SPRM menerima sebanyak 157 maklumat berkaitan salah laku dalam jabatan dan agensi sebahagiannya disalurkan oleh Pegawai Integriti Bertauliah (CeiO).

    “Sebanyak 36 kertas pemeriksaan awal telah dibuka manakala 20 kertas siasatan dibuka SPRM untuk tindakan lanjut.

    “Kegiatan rasuah di Melaka hanya membabitkan kes domestik antaranya kes perolehan dan tuntutan palsu,” katanya.

  • Terma ‘lompat parti’ perlu lebih jelas, elak isu berbangkit – Hamzah Zainuddin

    Terma ‘lompat parti’ perlu lebih jelas, elak isu berbangkit – Hamzah Zainuddin

    SETIAUSAHA Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin mahu Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti diperincikan dengan memberikan definisi tepat berhubung terma ‘lompat parti, sebelum dibentang untuk dibahaskan pada persidangan Dewan Rakyat.

    Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri menegaskan, RUU berkenaan perlu mengetengahkan definisi ‘lompat parti’ yang boleh diterima semua pihak bagi mengelak isu berbangkit pada masa depan.

    Selain itu, katanya, RUU berkenaan perlu diperincikan menerusi beberapa aspek lain yang mungkin mengelirukan bagi mengelak elemen salah guna kuasa dalam kalangan pimpinan utama parti.

    “Saya beri contoh, seseorang dipecat daripada parti, tidak boleh ke parti lain. Selain itu, hak ahli untuk mempunyai ketegasan dalam parti adalah sesuatu yang patut diambil kira.

    “Misalnya, bila ahli parti tidak berpuas hati dengan pimpinan parti yang melakukan perkara salah, dia bertegas dan lawan sehingga dia dipecat. Apakah ia juga dianggap tidak boleh pergi ke parti lain? Apakah itu juga dianggap sebagai lompat parti?

    “Jadi inilah perkara terperinci patut diambil perhatian. Itu satu contoh, ada banyak lagi contoh lain,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Penjara Ke-232 di Ibu Pejabat Penjara di Kajang, Selangor, hari ini.

    Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Komisioner Jeneral Penjara Malaysia, Datuk Nordin Muhamad.

    Terdahulu, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menggesa RUU Anti Lompat Parti dilaksanakan tidak lewat daripada mesyuarat pertama Parlimen 2022, iaitu pada bulan ini seperti dipersetujui dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai September lalu.

  • Desakan UMNO bubar Parlimen tindakan penting diri, khianat Agong

    Desakan UMNO bubar Parlimen tindakan penting diri, khianat Agong

    KEGHAIRAHAN beberapa pemimpin UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 pada minggu lalu yang membuat desakan terbuka agar Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan secepat mungkin disifatkan sebagai tindakan pentingkan diri.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr. Muhammad Faiz Na’aman berkata, tindakan itu juga boleh dianggap perbuatan khianat terhadap hak Yang di-Pertuan Agong dalam perihal kuasa membubarkan Parlimen.

    “Ketika ekonomi dunia yang makin bergolak akibat konflik ketenteraan di Ukraine dan pertikaian di Laut China Selatan antara kuasa-kuasa besar, Malaysia memerlukan satu kerajaan yang kolektif.

    “Ini bagi mewakili kepentingan setiap warganya untuk lebih fokus ke arah kemandirian ekonomi domestik seperti bekalan makanan, pendigitalan untuk menjimatkan kos dan masa serta pelan pertahanan negara yang holistik dan dikemas kini,” katanya memeyik laporan Sinar Harian.

    Beliau yang membuat kenyataan itu menerusi hantaran dalam Facebook miliknya berkata, adalah tidak masuk akal apabila laungan mahu PRU secepat mungkin itu didasarkan atas alasan mahu kestabilan, sedangkan hakikatnya mahu mengadakan PRU dalam keadaan tergesa-gesa di waktu negara sedang pulih daripada wabak Covid-19 dan rata-rata rakyat sedang merangkak keluar dari kesempitan ekonomi.

    “Saya menyeru semua warga Malaysia tanpa mengira kaum, negeri, parti politik dan status sosial agar mementingkan kestabilan serta keharmonian sebenar negara ini daripada dirobek dan diperkosa oleh kelompok oportunis.

    “Mereka bukan saja korup malah angkuh kerana mahu terus mengekalkan gaya hidup mewah golongan kayangan yang pernah mendominasi politik nasional hingga Dasar Ekonomi Baru pun gagal mencapai sasarannya manakala tanah rizab Melayu pula makin mengecil seluruh negara,” katanya.

    Katanya, kebiadaban sesetengah perwakilan UMNO yang menjerit bubar Parlimen dan tindakan Presiden UMNO yang menyisihkan Perdana Menteri, Datuk Seri ismail Sabri Yaakob menunjukkan sikap angkuh kluster mahkamah.

    Tambah beliau, pujian perlu diberikan kepada Perdana Menteri kerana masih tegas berprinsip tidak mencampuri urusan mahkamah dan institusi kehakiman sepertimana prinsip yang dipegang oleh Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    “Mungkin kerana prinsip itu jualah Datuk Seri Ismail Sabri sedang diasak dari segenap penjuru oleh beberapa pemimpin UMNO yang sudah tidak sabar untuk meruntuhkan kerajaan sendiri sekali lagi.

    “Mungkin kluster mahkamah dan para penyokongnya lupa diri bahawa kestabilan serta keharmonian tadbir urus negara ini bukan sekadar bergantung kepada dominasi satu parti tunggal namun atas kerjasama serta perkongsian kuasa yang adil antara semua pihak,” ujarnya.

    Sehubungan itu, jelas Muhammad Faiz, adalah wajar setiap pemegang taruh dalam urusan politik negara ini termasuk pihak pembangkang yang membuat memorandum persefahaman dengan kerajaan untuk turut dirujuk apabila membicarakan soal mahu bubar parlimen.

    “Begitu juga dengan parti-parti yang membentuk kerajaan Malaysia hari ini seperti Perikatan Nasional (PN) dan GPS (Gabungan Parti Sarawak), semua itu wajar dihormati dan diambil kira pendapatnya,” katanya.

  • Singapura bakal buka kedutaan di Tel Aviv

    Singapura bakal buka kedutaan di Tel Aviv

    SINGAPURA akan membuka kedutaan di Tel Aviv, Israel, bagi mengukuhkan hubungan inovasi antara kedua-dua negara, menurut Kementerian Luar (MFA) republik itu pada Isnin.

    MFA menerusi satu kenyataan memaklumkan, kedutaan itu akan menjadi pusat tumpuan dan menyokong syarikat Singapura yang ingin menjalin kerjasama dengan rakan kongsi Israel.

    Menteri Hal Ehwal Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan yang kini berada di Israel berkata kedua-dua negara harus memperkasa kerjasama dalam bidang baharu seperti teknologi pertanian makanan, teknologi kesihatan, Kecerdasan Buatan (AI), dan pendigitalan, setelah dunia pulih dari pandemik Covid-19.

    Pada Ahad, Singapura menzahirkan hasrat menubuhkan pejabat perwakilan di Ramallah bagi memudahkan kerja-kerja penyelarasan Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkat (ETAP) bagi rakyat Palestin bernilai S$10 juta.

    Pejabat perwakilan itu bertanggungjawab menyelaras bantuan teknikal dan menyokong usaha wakil Singapura untuk pihak berkuasa tempatan.

    Hasrat itu disampaikan Menteri Hal Ehwal Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan ketika bertemu rakan sejawatannya Dr Riyad Al-Malki di Ramallah. – Bernama

  • 95 cedera, dua kereta api bertembung

    95 cedera, dua kereta api bertembung

    SEKURANG-KURANGNYA 95 penumpang cedera apabila dua kereta api bertembung di selatan ibu kota Tunisia, Tunis pada pagi Isnin, lapor Xinhua memetik seorang pegawai dari Jabatan Pertahanan Awam.

    Kemalangan berlaku di kawasan Jebel El Jloud berhampiran stesen utama Barcelona yang terletak di tengah-tengah Tunis apabila sebuah kereta api jarak jauh melanggar kereta api lain yang bergerak di landasan sama, kata Samir Oueslati, pemangku pengarah serantau Perlindungan Awam seperti dilapor stesen radio swasta Mosaique FM.

    Bagaimanapun kata jurucakap Pertahanan Awam, Moez Triaa, hanya satu kereta api yang membawa penumpang.

    Menurutnya, tiada kematian dilaporkan dan kebanyakan yang cedera mengalami patah tulang serta lebam.

    Sistem kereta api Tunisia telah menyaksikan beberapa kemalangan maut dalam beberapa tahun kebelakangan ini. – Bernama

  • Nahas pesawat Eastern Airlines:  Boeing sedia bantu siasatan, tiada yang terselamat setakat ini

    Nahas pesawat Eastern Airlines:  Boeing sedia bantu siasatan, tiada yang terselamat setakat ini

    PENGELUAR pesawat berpusat di Amerika Syarikat (AS), Boeing Co. sedia membantu siasatan nahas membabitkan pesawat China Eastern Airlines (MU 5735) yang terhempas di kawasan pergunungan di selatan China, semalam.

    Dalam kenyataannya di Twitter, Boeing memaklumkan pihaknya sedang berhubung dengan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat (NTSB) dan pakar teknikalnya bersedia membantu siasatan yang diketuai Pentadbiran Penerbangan Awam China.

    Syarikat itu juga memaklumkan akan turut bekerjasama dengan pelanggan syarikat penerbangan China itu.

    Dalam pada itu, usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa nahas pesawat itu setakat ini menunjukkan tiada yang terselamat.

    Media melaporkan, setakat ini tiada tanda-tanda menunjukkan mungkin ada antara 132 penumpang dan kru pesawat malang itu mungkin terselamat.

    Pada Isnin, pesawat jenis Boeing 737 yang membawa 132 penumpang dan kru terhempas di barat daya China.

    Ini adalah nahas pesawat pertama China sejak 2010 dan pasukan SAR masih meneruskan usaha mereka di kawasan hutan pergunungan di selatan Guangxi, dengan media China menggambarkan suasana di sana sebagai ‘suram’.

    Serpihan pesawat Boeing 737-800 ditemui semalam berselerakan di lereng gunung yang penuh tompokan kesan terbakar.

    Cuaca hujan yang diramal bagi minggu ini di lokasi nahas dijangka menyukarkan lagi kerja SAR di kawasan yang dikelilingi gunung pada tiga sisi dengan hanya satu denai sempit sebagai jalan masuk.