Author: Admin

  • Jangan pandang remeh gerakan Ayuh Malaysia

    Jangan pandang remeh gerakan Ayuh Malaysia

    KETIKA ramai pemimpin khususnya dari blok Pakatan Harapan (PH) memilih untuk menyerang peribadi pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam siri kempen politik mereka, bekas Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bagaimanapun dilihat menongkah arus.

    Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dilihat lebih selesa menjarakkan diri daripada menjadikan isu peribadi dan kaitan kes rasuah atau perbicaraan mahkamah 1MDB melibatkan pemimpin UMNO dan BN sebagai modal politik.

    Percaturan itu ternyata langkah tepat melihat kepada keputusan beberapa pilihan raya kecil (PRK) dan negeri (PRN) yang ternyata tidak menguntungkan blok PH sebaliknya memberi kelebihan kepada UMNO dan BN.

    Tindakan itu juga berjaya menyelamatkan imej dan integriti Nurul Izzah dalam kalangan rakyat sebagai ahli politik yang tidak secara semberono menyerang peribadi pemimpin lawan apatah lagi yang ketika ini sedang meraih populariti tinggi.

    Namun ibarat diam-diam ubi berisi, Nurul Izzah sebaliknya tampil menawarkan alternatif cara dan budaya berpolitik yang lebih matang menerusi gerakan Ayuh Malaysia.

    Meskipun masih terlalu awal untuk menilai platform yang digerakkan bersama beberapa pemimpin PKR lain termasuk Naib Presiden, Mohd. Rafizi Ramli itu, namun dari segi objektif dan matlamatnya dengan mudah berjaya menarik minat dan perhatian ramai khususnya golongan muda.

    Ini kerana gerakan Ayuh Malaysia itu pada dasarnya ditubuhkan sebagai platform untuk sebahagian rakyat Malaysia yang kini dilihat sudah hilang keyakinan kepada parti-parti politik sedia ada termasuk parti dominan seperti BN dan PH.

    Mengambil kira peratusan keluar mengundi PRN Melaka dan Johor yang masing-masing hanya 66 dan 55 peratus, ini bermakna golongan rakyat yang kecewa dengan parti dominan sedia ada sehingga memilih untuk tidak mengundi itu adalah sangat besar.

    Maka, mereka inilah yang menjadi sasaran gerakan Ayuh Malaysia yang sekali gus boleh memberi kesan dalam mempengaruhi keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Usaha Ayuh Malaysia untuk dilihat sebagai entiti berasingan daripada PKR meskipun pada dasarnya dibarisi pemimpin parti itu juga memperlihatkan kesungguhan mereka dalam menarik minat golongan muda dan pengundi atas pagar untuk menjadi kuasa penentu dalam PRU-15.

    Langkah itu sangat kritikal bagi mengelak Ayuh Malaysia terpalit dengan krisis dalaman PKR dan keretakan hubungan parti tersebut dengan PH yang boleh menggagalkan matlamat asal platform tersebut.

    Teras perjuangan platform itu juga khususnya jaminan pekerjaan dan rumah mampu milik meskipun dilihat ‘simple’, namun memberi kesan mendalam dan sangat dekat dengan rakyat tanpa mengira latar belakang agama, kaum atau usia.

    Cuma apa yang mungkin membataskan platform Ayuh Malaysia untuk memainkan peranan dan berpengaruh sepenuhnya hanyalah masa memandangkan PRU-15 kelihatan hampir pasti diadakan dalam tempoh terdekat.

    Namun sebagai strategi politik jangka panjang, Ayuh Malaysia tidak mustahil boleh menjadi gerakan sangat berpengaruh dan perlu diberi perhatian oleh parti-parti politik dominan sedia ada.

  • Filem-drama tempatan umpama kompas moral yang bercelaru, tiada hala tuju

    Filem-drama tempatan umpama kompas moral yang bercelaru, tiada hala tuju

    Oleh ZULHISHAM ISAHAK

    BABAK panas dimuat naik pelakon Zul Ariffin bagi mempromosikan drama terbaharu lakonannya yang akan ditayangkan pada Ramadan nanti meledak dan menjadi kritikan sepanjang minggu lalu.

    Banyak pihak termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad menyifatkan paparan itu sebagai melampaui batas dan perlu ditegur.

    Menariknya potongan klip drama Perempuan Itu yang dimuatkan dalam Instagram milik pelakon tersebut turut mendapat perhatian menteri lain, pendakwah dan pemimpin persatuan yang kecewa dengan penularan video berkenaan.

    Malah turut menerima kecaman hebat netizen. Ada yang menganggap apa yang cuba dipertontonkan kepada umum sebagai satu perkara yang tidak wajar dan tak kurang juga menganggap itu sebagai babak ‘soft porn’ versi Malaysia.

    Tidak cukup dengan itu, nama Siti Hariesa juga meledak dan sedikit sebanyak mempopularkan nama pelakon baharu itu dengan cara yang kurang manis.

    Dan sudah menjadi kebiasaan, mereka yang berkenaan akan memohon maaf dan memaklumkan selepas ini akan lebih berhati-hati. Mudah bukan?

    Lebih menghairankan, adakah kandungan cerita Perempuan Itu sesuai ditayang semasa Ramadan atau ini satu lagi drama yang menawarkan plot cerita basi dan tipikal seperti ditayangkan siaran televisyen percuma atau stesen televisyen berbayar?

    Sejak kebelakangan ini sering kita dengar atau lihat, penggiat drama atau filem tempatan secara umumnya suka mencetuskan kontroversi. ‘Kebetulan’ kontroversi itu pula berlaku semasa drama atau filem terbabit bakal ditayangkan.

    Tidak dapat dipastikan ‘kontroversi secara kebetulan itu’ sengaja dicipta untuk publisiti murahan atau cara mempromosi ‘hasil buah tangan mereka’ bagi mencari jalan meningkatkan ‘rating’ kerana umum mengetahui kualiti drama dan filem Melayu.

    Banyak drama dan filem Melayu yang kita dapat nilaikan sekadar hiburan kosong dan apabila menyelitkan mesej tertentu ‘kurang menjadi’.

    Karya dihasilkan lebih untuk memenuhi kantung penggiat filem yang kadang-kadang tidak layak pun dipanggil ‘karyawan’ atau seniman.

    Tidak dinafikan banyak ‘karya’ dihasilkan bertaraf sampah, jauh sekali untuk membina atau menyumbang kepada kecelaruan sosial dan perkembangan masyarakat madani yang semakin bergerak dalam jajaran milenium.

    Malah dalam keadaan tertentu, kandungannya membantu dalam proses ‘pembaratan masyarakat’ hingga menambah kegawatan dan kepincangan sosial. Ini mencetuskan krisis moral yang lebih buruk.

    Bertambah bercelaru apabila drama atau filem sampah dipilih untuk menerima anugerah atau berstatus box office – sedangkan kandungan cerita yang ditayangkan tidak layak sama sekali untuk mendapat anugerah atau status sedemikian.

    Filem hebat dan berbentuk sejarah, Lion Of The Desert antara karya agung yang masih malar segar sehingga kini serta tidak perlukan kontroversi murahan

    Mereka yang buta seni filem sudah tentu menganggap itu tidak mengapa tetapi bagi pencinta seni sebenar atau mereka yang mempunyai apresiasi seni yang tinggi, realiti itu adalah amat memalukan.

    Itu belum cerita lagi apa peranan dan fungsi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas). Namanya perbadanan kemajuan filem!

    Cuba kita lihat satu masa dahulu kebanjiran drama atau cerita-cerita hantu atau bercorak gangster yang bukan memandu masyarakat, sebaliknya menyuburkan kepercayaan tahyul dan perkembangan gangsterisme.

    Lambakan karya seperti ini yang hanya menguntungkan golongan penerbit tidak memberi sebarang faedah terhadap sosialiti atau nilai-nilai bermasyarakat – jauh sekali membina masyarakat moden, bertamadun dan Islami.

    Karya yang dihasilkan meloyakan, menghina intelek masyarakat alaf baharu malah kadang-kadang malu untuk kita menontonnya.

    Mereka mempamerkan kompas moral yang bercelaru dan hilang hala tuju. Teknologi sudah jauh berkembang tetapi industri filem masih terbantut, tidak berkembang malah tidak bercambah idealismenya – masih terperosok di bawah tempurung.

    Seakan-akan mengalami mandul pemikiran dan tumpul idealisme hingga tiada tonik atau ubat mujarab untuk merawatnya – hanya memikirkan keuntungan tanpa ada rasa tanggungjawab terhadap kebejatan sosial yang berlaku ketika ini.

    Lebih teruk ada ‘karyawan’ menganggap melakukan babak panas sebagai lambang kemajuan dalam filem kerana dilihat berani dan ‘setanding’ barat.

    Apabila karya dikritik, mereka yang berkenaan akan memberikan alasan rakyat Malaysia tidak menyokong industri sendiri, tidak membantu industri filem tempatan dan sebagainya sedangkan kualiti filem masih pada tahap yang sama.

    Mereka sepatutnya bukan sahaja menghasilkan karya yang bermutu (kalau tidak bersifat global) tetapi juga mempunyai peranan dalam memberikan kesedaran dan penghayatan tinggi terhadap apresiasi seni.

    Diakui memang ada karya termasuk daripada penggiat filem indipenden yang boleh dibanggakan tetapi tidak diangkat ke tempat selayaknya.

    Tidak ada salahnya jika menyimpang idea daripada kebiasaan dengan melakukan eksperimentasi iaitu mempelbagaikan genre drama atau filem agar tidak klise dan lari daripada norma.

    Janganlah balik-balik hasilkan cerita cinta, cerita hantu, cerita korporat Melayu atau cerita-cerita yang tidak realistik.

    Banyak terma atau kisah rakyat Malaysia yang penuh warna warni boleh diangkat ke layar perak sebagai cerminan atau menjadi ‘kamera litar tertutup’ (CCTV) sebenar kepada kehidupan masyarakat majmuk.

  • KPM guna kaedah KMP untuk pengambilan guru ’one-off’

    KPM guna kaedah KMP untuk pengambilan guru ’one-off’

    KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan kaedah Kluster Mata Pelajaran (KMP) dalam pengambilan guru secara ‘one-off’ bagi memastikan tiada lambakan graduan mengambil Ikhtisas Pendidikan.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, langkah diperkenalkan itu bakal memberi peluang lebih luas kepada graduan untuk memohon berdasarkan pemetaan ijazah sarjana muda yang bersesuaian.

    “Graduan yang memiliki bidang pengkhususan utama tertentu boleh memohon untuk mengisi kekosongan mata pelajaran lain yang dikategorikan dalam kluster sama.

    “Pendekatan kita gunakan untuk pertama kali ini akan digunakan untuk pengambilan akan datang juga,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara, di sini, hari ini.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid yang ingin tahu apakah nasib graduan pendidikan keluaran universiti yang masih tiada peluang ditempatkan mengajar di sekolah.

    Pada masa sama, Radzi memaklumkan seramai 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 secara ‘one-off’ telah dilantik dalam pengambilan khas bagi mengisi kekosongan guru di sekolah KPM di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).

    “Sehingga 28 Mac lalu pula, seramai 13,255 guru baharu berjaya ditempatkan ke seluruh negara, manakala baki 515 lagi akan ditempatkan mulai 11 April ini.

    “Berdasarkan status terkini, terdapat 4,932 kekosongan jawatan di bawah pengambilan khas ini yang perlu diisi calon layak,” katanya menjawab soalan asal Iskandar Dzulkarnain yang meminta KPM menyatakan apakah status pelantikan guru secara ‘one-off’ yang diumumkan kerajaan. 

    Dalam pada itu, KPM mendapati terdapat kekurangan bilangan graduan mempunyai Ikhtisas Pendidikan bagi subjek Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam untuk pengambilan guru. 

    Bagaimanapun, Radzi berkata, KPM komited untuk berusaha mencari bekalan guru yang mempunyai Ikhtisas dua subjek kritikal berkenaan.

    “Banyak senarai mata pelajaran tidak ada bekalan mencukupi dalam pasaran graduan, namun paling kritikal ialah mempunyai Ikhtisas pendidikan Bahasa Inggeris.

    “Pendidikan Islam dalam konteks tertentu amat terhad bagi mereka yang mempunyai Ikhtisas dalam subjek itu,” katanya menjawab soalan tambahan Senator Muhammad Zahid Md. Arip yang ingin tahu apakah subjek kritikal dalam mengisi jawatan pengambilan guru.

  • Voice note’ minta ‘duit raya’ bawa hukuman RM2,000

    Voice note’ minta ‘duit raya’ bawa hukuman RM2,000

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    HANYA kerana kiriman ‘voice note’ meminta ‘duit raya’ daripada pengurus besar sebuah syarikat, seorang pembantu penguat kuasa berdepan balasan apabila didenda RM2,000 akibat suapan RM700.

    Muhamad Basri Bonari, 43, yang bertugas di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Muar membuat pengakuan bersalah selepas dituduh di depan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini.

    Mengikut pertuduhan, Muhamad Basri telah menerima suapan daripada pengurus besar sebuah syarikat pembekal barangan kawalan di stor syarikat itu pada pukul 4.55 petang, 10 Mei tahun lalu.

    Tertuduh melakukan kesalahan itu atas dorongan agar tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap syarikat berkenaan.

    Akibat kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.

    Peguam tertuduh, Tan Song Yan membuat rayuan pengurangan dengan menyatakan Muhamad Basri mempunyai masalah kesihatan di bahagian jantung dan sedang menjalani rawatan di Hospital Muar selain tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

    Sementara itu, Pegawai Pendakwa Raya SPRM, Ikhwan Ihsan Jalaludin pula meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal kepada tertuduh kerana perbuatan berkenaan telah mencemar imej KPDNHEP.

    Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 kepada tertuduh dan satu bulan penjara sekiranya gagal bayar.

    Bagaimanapun Muhamad Basri telah menjelaskan denda berkenaan sejurus selesai proses mahkamahnya sambil ditemani peguam dan dua rakannya.

  • Lelaki Bangladesh dituduh rogol budak perempuan 12 tahun

    Lelaki Bangladesh dituduh rogol budak perempuan 12 tahun

    SEORANG pekerja binaan warga Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini atas pertuduhan merogol kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun lapan bulan, minggu lalu.

    Memetik laporan Malaysiakini, tertuduh, Md Kalam Molla, 32, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

    Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan yang ketika itu berusia 12 tahun lapan bulan di dalam sebuah rumah di Kampung Terusan Limbat, Kubang Kerian, kira-kira pukul 2 pagi pada 20 Mac lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Terdahulu, Abu Arsalnaa tidak menawarkan jaminan kerana berkemungkinan tertuduh yang merupakan warga asing melarikan diri dari undang-undang negara ini.

    Bagaimanapun Md Kalam dalam rayuannya memohon mahkamah memberikan jaminan bagi kesalahan tersebut.

    Mahkamah kemudiannya memutuskan tiada jaminan dikenakan dan menetapkan 10 Mei depan untuk serahan laporan perubatan mangsa dan sebutan semula kes.

  • Permohonan pengeluaran khas RM10,000 melalui portal khas KWSP

    Permohonan pengeluaran khas RM10,000 melalui portal khas KWSP

    KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menyediakan satu portal khas untuk pencarum yang berhasrat mengeluarkan simpanan RM10,000 daripada KWSP di bawah kemudahan pengeluaran khas diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 16 Mac lalu.

    KWSP satu kenyataan hari ini memaklumkan, pemohon boleh berbuat demikian bermula 1 April ini melalui portal pengeluarankhas.kwsp.gov.my yang juga boleh diakses menerusi aplikasi mudah alih i-Akaun.

    Bagaimanapun, dana persaraan itu menggalakkan pencarum menyemak baki simpanan KWSP mereka melalui i-Akaun, aplikasi mudah alih i-Akaun atau kios KWSP sebelum membuat permohonan pengeluaran berkenaan.

    “Dalam pengumuman pada 16 Mac lalu, KWSP memaklumkan permohonan untuk pengeluaran itu akan dibuka kepada ahli bawah usia 55 tahun, bermula 1 April ini dan tempoh permohonan berakhir pada 30 April, manakala pembayaran akan bermula pada 20 April ini.

    “Jumlah maksimum yang boleh dikeluarkan ialah RM10,000 dan minimum RM50. Ahli perlu menggunakan sepenuhnya baki dalam Akaun 2 sebelum mengakses Akaun 1 mereka serta perlu mengekalkan jumlah minimum sebanyak RM100 dalam akaun.

    “Pembayaran akan dibuat dalam satu bayaran sahaja dan dikreditkan ke dalam akaun bank simpanan atau semasa ahli yang perlu memastikan akaun bank mereka aktif dan bawah nama ahli sendiri. Akaun bersama atau yang didaftarkan di bawah nama syarikat adalah tidak dibenarkan,” kata KWSP, memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Kenyataan itu memaklumkan, pencarum boleh membuat semakan status permohonan bermula 9 April melalui portal pengeluarankhas.kwsp.gov.my.

    “Pengeluaran khas ini bertujuan membantu ahli yang masih terkesan dengan pandemik untuk memenuhi keperluan mendesak hari ini. KWSP mengingatkan ahli supaya mempertimbangkan jaminan pendapatan mereka pada masa depan dan hanya mengeluarkan simpanan sekiranya benar-benar perlu,” katanya.

    KWSP memaklumkan, pencarum boleh berjumpa dengan pegawai khidmat nasihat ahli di mana-mana cawangan agensi berkenaan di seluruh negara untuk mendapatkan nasihat percuma mengenai simpanan mereka.

    Maklumat lanjut mengenai kemudahan pengeluaran khas boleh diperoleh dengan menggunakan kemudahan ‘Ask ELYA’ dalam laman web KWSP di www.kwsp.gov.my, Facebook, Twitter dan Instagram KWSP atau menghubungi Hotline Pengeluaran Khas di talian 03-8922 4848, bermula 1 April ini.

  • Mahkamah Singapura tolak rayuan, Nagaenthran ke tali gantung

    Mahkamah Singapura tolak rayuan, Nagaenthran ke tali gantung

    Oleh MASSITA AHMAD

    MAHKAMAH Rayuan Singapura menolak rayuan warganegara Malaysia, Nagaenthran K. Dharmalingam berhubung hukuman mati yang dihadapinya.

    Mahkamah membacakan keputusannya pada Selasa selepas mengekalkan penghakiman perbicaraan Nagaenthran yang diadakan pada 1 Mac.

    Peguam M Ravi menerusi hantaran di Facebooknya memaklumkan bahawa “Mahkamah @menganggap rayuan itu sebagai menyalahi proses dan undang-undang antarabangsa tidak terpakai.”

    “Nagaenthran yang merupakan orang kurang upaya (OKU) mental akan dihukum gantung mungkin dalam beberapa hari akan datang,” menurut Ravi.

    Ravi memberi bantuan teknikal kepada peguam Nagaentran, Violet Netto.

    Perbicaraan hari ini berlangsung di hadapan panel hakim lima orang terdiri daripada Ketua Hakim Negara Sundaresh Menon, Hakim Andrew Phang, Judith Prakash, Belinda Ang dan Chao Hick Tin.

    Selain rayuan itu, peguamnya Violet Netto, turut memohon mahkamah menggunakan kuasanya bagi membolehkan dia menjalani penilaian pakar psikiatri.

    Nagaenthran yang berasal dari Perak dijatuhkan hukuman mati pada 2010 selepas disabitkan kesalahan mengedar 42.72 gram dadah jenis heroin pada 2009 di Singapura yang diketahui antara negara yang mempunyai undang-undang narkotik paling tegas di dunia.

    Kes Nagaenthran telah menarik perhatian antarabangsa.

    Pada 7 Nov 2021, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan telah mengutus surat kepada rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong memohon kelonggaran berhubung kes ini.

    Sementara itu pada 3 Dis lepas, Presiden Singapura, Halimah Yacob berkata, Nagaenthran telah melalui segala proses mengikut undang-undang.

    Peguam Nagaenthran mendakwa anak guamnya kurang upaya daripada segi intelek.

    Dia dijadualkan menjalani hukuman gantung pada 10 Nov 2021 tetapi mendapat perintah penangguhan sementara pada 9 Nov selepas mahkamah dimaklumkan dia didapati positif COVID-19 ketika hadir untuk mengemukakan rayuan terakhirnya. — BERNAMA

  • KKM syor kanak-kanak segera divaksin sebelum 1 April

    KKM syor kanak-kanak segera divaksin sebelum 1 April

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengesyorkan supaya kanak-kanak yang belum mendapatkan vaksin agar berbuat demikian menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) dengan kadar segera sebelum negara beralih ke Fasa Peralihan ke Endemik mulai 1 April ini. 

    Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dalam kenyataan hari ini berkata langkah itu bagi memastikan kanak-kanak berusia lima hingga bawah 12 tahun mendapat perlindungan daripada jangkitan teruk dan komplikasi COVID-19. 

    Beliau berkata, terdapat dalam kalangan ibu bapa menganggap semasa fasa peralihan ini, kanak-kanak dalam lingkungan umur berkenaan tidak perlu lagi diberi vaksinasi, namun pada hakikatnya, terdapat peningkatan 160 peratus bilangan kes COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital pada tahun ini. 

    “Ibu bapa diminta mendaftarkan anak sebagai tanggungan dalam aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan pautan janji temu atau membawa anak lima hingga bawah 12 tahun secara ‘walk-in’ ke pusat pemberian vaksin (PPV) yang telah diberitahu sebelum ini.

    “Pilihlah untuk vaksinkan anak kerana manfaatnya lebih besar daripada risiko mendapat kesan sampingan vaksin,” katanya.

    Dr Noor Azmi berkata ibu bapa yang membawa anak mereka ke PPV COVID-19 pada hari bekerja akan diberikan surat pengesahan kehadiran (time-slip) yang membuktikan mereka membawa anak untuk divaksin justeru, beliau berharap majikan sektor kerajaan dan swasta memberi kerjasama dalam hal itu.

    Semalam, sebanyak 1,315,497 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun atau 37.1 peratus populasi itu di Malaysia telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 menerusi PICKids. – Bernama

  • Empat rumah musnah dijilat api

    Empat rumah musnah dijilat api

    EMPAT buah rumah di Kampung Motou, Jalan Masak, di Keningau, Sabah musnah dalam kebakaran pada pukul 7.45 malam tadi.

    Semua penghuni empat rumah itu selamat, tetapi tinggal sehelai sepinggang apabila tidak sempat menyelamatkan barangan mereka.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8 malam dan 16 anggota dan pegawai dikerahkan ke lokasi kejadian.

    “Sebaik tiba di lokasi kejadian, api sudah memusnahkan sebahagian besar daripada empat rumah berkenaan dan operasi dimulakan segera bagi mengelakkan api daripada terus merebak ke rumah berhampiran,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Menurutnya, api dikawal daripada terus merebak ke 13 lagi rumah berhampiran.

    Katanya, tiada mangsa atau kecederaan dilaporkan dan api berjaya dikawal pada 9 malam sebelum .

    “Pasukan bomba kemudiannya membuat pemeriksaan bagi memastikan tiada bahaya lain sebelum operasi ditamatkan pada 1.47 pagi,” katanya.

  • Anwar dijangka kekal Presiden PKR, Rafizi tak mahu lawan

    Anwar dijangka kekal Presiden PKR, Rafizi tak mahu lawan

    NAIB Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menyifatkan jawatan Presiden PKR hanya layak diduduki Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Jelasnya yang mengumumkan mahu bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden PKR baru-baru ini, posisi jawatan itu lebih sesuai untuknya bagi menggerakkan usaha persiapan menuju Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

    Rafizi kembali daripada persaraan dunia politik untuk membantu parti itu menjadi lebih kukuh dan lebih meyakinkan para pengundi selepas gagal dalam siri Pilihan Raya Negeri (PRN) pasca PRU yang lalu.

    “Bagi saya, cukup jelas bahawa satu-satunya calon Perdana Menteri yang berkebolehan untuk menarik minat pengundi yang tidak bersetuju dengan Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN) adalah Anwar.

    “Ini bukan soal Presiden atau kedudukan, isunya ialah bagaimana kita nak memperkukuhkan persiapan PKR dan Pakatan Harapan (PH) untuk masuk dalam PRU akan datang dengan lebih berkeyakinan selepas kita tewas dalam empat PRN,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Pada 17 Mac lalu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mencadangkan Rafizi supaya bertanding melawan Anwar dan mensasarkan jawatan Presiden dalam pemilihan PKR yang bakal ditandingi beliau.

    Menurut Guan Eng, Rafizi sepatutnya mensasarkan jawatan tertinggi dalam PKR bukannya sekadar jawatan Timbalan Presiden PKR.

    Guan Eng, menurut laporan Malaysiakini memberikan cadangan itu bagi membalas kritikan kononnya Pakatan Harapan (PH) sedang menimbang untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

    Sementara itu, bercakap mengenai kekalahan itu, Rafizi melihat bahawa sebahagian besarnya adalah berpunca daripada pengundi atas pagar yang merasakan mereka terpisah daripada diskusi politik negara.

    “Ia disebabkan oleh senario di mana kita lihat gabungan-gabungan politik yang ada ketika ini lebih kepada merebut kuasa, tetapi tidak menumpukan kepada usaha untuk menyelesaikan isu harian dan permasalahan yang dihadapi rakyat,” katanya.

    Jadi, disebabkan itu, beliau tergerak untuk membantu membawa kembali diskusi politik negara ke arah PRU akan datang supaya lebih tertumpu kepada isu-isu rakyat seperti harga barang, ekonomi anak muda, pekerjaan dan sebagainya.

    “Sebahagian besar kami tidak begitu berminat dengan jawatan tapi kita nak pastikan bahawa kemajuan yang kita telah capai sehingga menyebabkan perubahan politik negara pada 2018 itu dapat diteruskan dalam PRU akan datang.

    “Jadi tempat yang terbaik ialah masuk di peringkat Timbalan Presiden supaya kita dapat perkuatkan jentera dan juga naratif serta persiapan ke arah Pilihan Raya Umum ke-15,” kata Rafizi.