SRI Lanka mengisytiharkan perintah berkurung di seluruh negara dari 6 petang Sabtu hingga 6 pagi Isnin ketika negara itu berdepan krisis ekonomi dan peningkatan inflasi, lapor Xinhua.
Pada Jumaat, Presiden Gotabaya Rajapaksa mengeluarkan warta mengenai Luar Biasa yang pengisytiharan darurat itu dan berkuat kuasa serta-merta.
Rajapaksa berkata pengisytiharan darurat itu demi kepentingan keselamatan dan ketenteraman awam serta membolehkan penyelenggaraan bekalan dan perkhidmatan yang penting dilaksana untuk rakyat.
Berikutan itu penunjuk perasaan merancang mengadakan protes pada hari ini. – Bernama
DUA maut selepas kereta Toyota Vios dinaiki terbabas dan melanggar sebatang pokok sebelum terbalik di Jalan Kluang, Sri Lalang, Kluang, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pada pukul 11 malam itu, pemandu kereta itu yang merupakan seorang lelaki berusia 23 tahun dan penumpang wanita berumur 40-an maut di tempat kejadian.
Menurut Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Fauzi Md. Nor, seramai sembilan anggota dikejarkan ke tempat kejadian.
Beliau berkata, mereka dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Tiba di tempat kejadian, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Zaidi Tumiran dan pasukannya mendapati, kedua-dua mangsa tidak tersepit tetapi pintu kereta tidak dapat dibuka terutama bahagian pemandu remuk teruk.
“Kemalangan dipercayai berlaku selepas pemandu hilang kawalan dan melanggar sebatang pokok di kawasan selekoh tajam di jalan tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, kedua-dua mangsa yang berketurunan Melayu disahkan sudah meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir.
Katanya, kedua-dua mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada pukul 5.30 pagi ini.
PERSATUAN Pembina Johor (PPJ) dan Malacca Builders Association (MBA) bimbang golongan B40 serta M40 tidak mampu membeli rumah susulan harganya akan naik pada masa depan akibat kenaikan harga bahan mentah ketika ini.
Pengerusi PPJ, Datuk Kong Weng Keong dan Pengerusi MBA, Datuk Lim Hau Jan dalam satu kenyataan bersama menjelaskan, kenaikan harga rumah sukar dielakkan kerana harga barang binaan seperti simen dan konkrit naik terlampau tinggi sejak dua tahun lalu.
“Kami menjadi mangsa pertama menanggung beban kerana menjalankan projek swasta. Semua pengeluaran bahan-bahan binaan yang berkaitan sangat bergantung dengan penggunaan simen atau konkrit sebagai bahan pembinaan utama.
“Kenaikan harga simen terlampau tinggi tanpa sebarang rundingan dengan pihak industri pembinaan. Kami berharap akan ada semakan serius dan bertanya mengapa hanya kami menjadi mangsa menanggung kenaikan harga bahan mentah binaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mengemuka empat cadangan sebelum menaikan harga bahan mentah, pertamanya memberi notis pendahuluan kenaikan harga dalam jangka masa enam bulan hingga satu tahun.
Jelasnya, kenaikan harga bahan mentah itu juga perlu dilakukan secara beransur-ansur dalam tempoh berkenaan dan bukan secara terkejut atau tanpa notis awal.
“Cadangan kedua adalah menetapkan kadar bekalan untuk semua projek pembinaan semasa. Pengeluaran dan pembekal dicadang boleh menyediakan pakej harga asal selain mengekalkan harga yang dipersetujui,” katanya.
Ketiga katanya, pengilang dan pembekal perlu merumuskan mekanisme peningkatan bagi mengawal julat setiap kenaikan harga bagi memastikan pemaju tidak mengalami kerugian.
Sementara perkara keempat katanya, kerajaan selain Persatuan Arkitek Malaysia (PAM) dan Institut Jurutera Malaysia (IEM) dicadangkan boleh mengetuai advokasi dan mengkaji semula klausa variasi harga (VOP) dalam borang kontrak pembinaan semasa.
“Memahami kedua-dua borang kontrak PAM dan IEM adalah bentuk kontrak yang paling diterima pakai dalam sektor swasta, persatuan kami berusaha untuk mencadangkan semakan semula klausa semasa yang tidak membenarkan pemaju membuat tuntutan ke atas variasi harga bahan dalam amalan.
“Menyedari bahawa kerajaan Malaysia telah menyediakan elaun perubahan harga atau VOP untuk projek kerajaan berikutan peningkatan ketara dalam kos bahan binaan pada 2021, peranan kedua-dua PAM dan IEM kini menjadi penting dalam mengkaji semula dengan keadilan ” katanya.
KM Melaka kata sapa ditahan ponteng puasa mungkin dimandi seperti Jenazah…
Aku sokong… lepas tu bawa pi tanah perkuburan… letak dalam liang lahad…bagi mereka insaf.
TARAWIH…Masjid seluruh negara kembali meriah sebaik tibanya bulan Ramadan tahun ini apabila umat Islam dibenarkan menunaikan solat tarawih secara berjemaah dengan saf yang kembali dirapatkan.
Walaupun negara telah memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik, suasana menyambut ketibaan Ramadan tahun ini melaksanakan solat tarawih tetap berpandukan kepada prosedur operasi standard (SOP).
Sebahagian daripada jemaah hadir untuk menunaikan solat tarawih di Masjid Kampung Baru, hari ini.
GAMBAR: Warta Rakyat
Tinjauan Warta Rakyat di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur mendapati para jemaah mematuhi SOP ditetapkan seperti membawa sejadah sendiri, memakai pelitup muka dan mendaftar aplikasi MySejahtera terlebih dahulu sebelum ke masuk ke perkarangan masjid.
Solat tarawih secara berjemaah di masjid tersebut sepanjang 23 rakaat juga berlangsung dalam keadaan harmoni dan tenang dengan imam masjid membaca surah-surah lazim.
Kelihatan jemaah meluangkan masa dengan membaca Al Quran sebelum menunaikan solat tarawih di Masjid Kampung Baru, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat
Umat Islam seluruh negara akan mula berpuasa esok seperti mana pengumuman Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad yang disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM), semalam.
Tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia telah ditetapkan pada Ahad, 1 Ramadan bersamaan 3 April menurut perintah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.
Sebahagian daripada jemaah menunaikan solat tarawih secara rapat saf di Masjid Kampung Baru, hari ini.
GAMBAR: Warta Rakyat
RAMAI yang tidak setuju dengan kenyataan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad semalam yang mengatakan bahawa Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak disenangi banyak pihak ketika menjadi Perdana Menteri ke-8.
Ternyata apa yang dinyatakan Dr Mahathir itu kenyataan terpesong tanpa berpijak kepada fakta yang sebenar kerana jika disoroti kembali, rakyat bawahan sememangnya selesa dan menyukai kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada masa yang diterajui oleh Muhyiddin.
Dalam keadaan politik yang tidak berapa stabil dan dihentam dengan situasi pandemik Covid-19 yang tidak pernah berlaku dalam sejarah, Muhyiddin dengan tenang tetap berjaya membuat keputusan besar untuk menyelamatkan ekonomi dan kesihatan rakyat Malaysia.
Muhyiddin juga berjaya mengisi jiwa rakyat dengan kepercayaan bahawa kebergantungan sepenuhnya terhadap Maha Pencipta adalah kunci utama untuk menghadapi pandemik Covid-19.
Beberapa keputusan Muhyiddin dilihat berprinsip dan mempunyai integriti apabila ahli Parlimen yang benar-benar bersih tanpa kes mahkamah sahaja dilantik menganggotai kabinet.
Dalam masa sama, individu yang pakar dalam bidang masing-masing dilantik memegang jawatan utama seperti Menteri Agama dan Menteri Kewangan.
Pada ketika itu dan diakui ramai pihak, bukan mudah untuk membuat keputusan yang 100 peratus sempurna tetapi Muhyiddin berjaya menyelamatkan negara ini daripada terus jatuh akibat impak pandemik yang dirasai seluruh dunia.
Banyak juga cakap-cakap yang mengatakan bahawa, sekiranya Dr Mahathir masih memimpin negara pada ketika Covid-19, rakyat akan terus tertekan kerana pemimpin veteran berusia 96 tahun itu agak kedekut untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada rakyat berbanding Muhyiddin.
Bahkan, semasa Pakatan Harapan (PH) memerintah sebelum Covid-19, rakyat berasa tidak yakin dengan keupayaan gabungan parti dalam PH untuk membela nasib rakyat.
Muhyiddin sebaliknya, membela rakyat melalui kelulusan moratorium pinjaman bank – yang mana keputusan itu amat membantu rakyat yang hilang sumber pendapatan, kehilangan sebahagian gaji dan sebagainya.
Jika tanpa moratorium yang diberikan sebanyak dua kali, tidak tahulah apa akan berlaku kepada majoriti rakyat Malaysia ketika itu.
Tambahan pula, jika tanpa keputusan pembelian vaksin yang cepat dan program vaksinasi yang pantas, Malaysia sebenarnya agak sukar untuk pulih dan keluar daripada bencana kesihatan seperti mana sekarang ini.
Oleh itu, tiada salahnya jika Muhyiddin merancang kerjasama parti-parti politik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 kerana hanya dengan cara itu ia akan dapat menumbangkan Barisan Nasional (BN).
Muhyiddin juga calon Perdana Menteri sesuai dalam gabungan politik itu kerana tiada lagi pemimpin lain yang layak untuk diangkat menjadi Perdana Menteri.
Dr Mahathir misalnya yang sudah menjadi PM sebanyak dua kali iaitu yang keempat dan ketujuh, sepatutnya menerima dengan hati terbuka cadangan Muhyiddin itu kerana jika tidak UMNO/BN akan kembali menjadi kerajaan dengan kuasa mutlak.
Dakwaan bahawa Dr Mahathir ditikam daripada belakang juga tidak sewajarnya timbul kerana jika tanpa gerakan yang dilakukan oleh Muhyiddin, sudah pasti selepas Dr Mahathir meletakkan jawatan PM, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR akan menjadi PM.
Adakah Dr Mahathir setuju dengan keputusan memilih Anwar sebagai PM? Jawapannya sudah tentu tidak kerana jika dari awal lagi Dr Mahathir menyokong Anwar, sudah lama Ahli Parlimen Port Dickson itu menjadi PM.
*Penulis adalah penganalisis politik dan ekonomi. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya cerminkan pendirian wartaRakyat
Pejuang yang dipimpin oleh Dr.Mahathir Mohamad tak tanding di PRN Melaka, di PRN Johor, Pejuang tanding… kalah semua kerusi, dah la kalah kebanyakan calonnya pula hilang wang deposit. Dari segi undi pulak, undi yang calon Pejuang dapat masa PRN itu, orang kata ‘laaa.. awat sikit sangat’ iaitu 18,682 undi. Tu bukan tanding kat satu dua kerusi tetapi 42 kerusi.
Perikatan Nasional (PN) pula di Melaka menang dua kerusi, di Johor menang tiga kerusi. Jumlah keseluruhan undi yang PN dapat di 56 kerusi di PRN Johor ialah 334,457 undi.
UMNO yang menang di negeri parti itu dilahirkan dapat 599,753 undi keseluruhan, maknanya, PN parti kedua popular selepas UMNO. Dan fakta paling best sekali, sokongan pengundi Melayu kepada PN di dua PRN tu terus meningkat manakala Pejuang pula…orang kata ‘sekadar meriahkan majlis’.
Kalau tanya budak sekolah antara PN dengan Pejuang, parti mana yang kuat, dah pasti mereka jawab PN. Tapi tiba-tiba Dr.Mahathir dakwa Muhyiddin Yassin jumpa minta sokongan untuk jadi PM. Logiknya tak kan sebuah parti yang dianggap semakin kuat pergi jumpa parti ‘hidup segan mati tak mahu’ nak minta sokongan?
Nak salahkan Dr.Mahathir pun tak boleh jugak, maklumlah 2 kali jadi PM, 22 tahun dan 22 bulan dengan 2 gabungan berbeza, mestilah Dr.Mahathir masih ‘bermimpi’ merasakan beliau masih ada pengaruh.
Kasihan juga TT tengok Dr.Mahathir, entah siapalah yang dok bagi tahu kat Ahli Parlimen Langkawi tu, beliau masih ada cengkaman politik. TT nak bagi tahu kat Dr.Mahathir, bukan kata ‘cengkaman’ nak ‘cuit’ pun belum tentu ada lagi. Dulu bolehlah, bila Dr.Mahathir bercakap bukan kata kat Malaysia, satu dunia akan beri perhatian.
Sekarang tu semua dah berlalu. Kalau ada orang datang jumpa Dr.Mahathir pun sebab mereka menghormati dan mengenang jasa beliau sebagai Perdana Menteri serta tahu beliau boleh beri pandangan dalam pelbagai isu tetapi kalau nak kata minta sokongan dalam bab-bab politik ni…TT hanya tersenyum.
Sebab tu la bila Dr.Mahathir cakap pasal Muhyiddin tu orang tertanya-tanya betul ke? Dr.Mahathir lupa ni bukan tahun 80-an, orang tak boleh ‘check’ segera sama ada betul atau tidak..sesuatu kenyataan. Sekarang ni dalam tempoh sejam orang dah tahu sama ada dakwaan Dr.Mahathir pasal pertemuan dengan Muhyiddin itu benar atau rekaan.
Cara Dr.Mahathir beritahu media seolah-olah Muhyiddin yang datang minta tolong sampai Dr.Mahathir kata, ‘’Saya tak tahu nak kata apa…’’, memanglah ‘tak tahu nak kata apa’’ sebab kata Ketua Pemuda Bersatu, Wan Fayshal Wan Ahmad Kamal bukan Muhyiddin nak jumpa Dr.Mahathir tetapi Dr.Mahathir yang nak jumpa Muhyiddin. Wan Fasyhal juga kata, Muhyiddin bukan jumpa Dr.Mahathir sahaja tetapi juga ramai pemimpin pembangkang lain termasuk Anwar Ibrahim.
Kalaupun Muhyiddin nak jumpa Dr.Mahathir, ia bukan soal siapa nak sokong siapa, tetapi mencari jalan bergabung tenaga bagi menghalang ‘kluster mahkamah’ kembali berkuasa. Puak tu pun dok seronok bila baca Dr.Mahathir sebut ‘tikam menikam’ ni…sampai ada sorang tu siap posting dalam FB lagi, sedangkan dalam parti dia bukan kata ‘tikam menikam’ tapi sampai tahap nak ‘tanam menanam’ dah…pasal apa…TT ulas dalam artikel lain. Lagipun buang masa saja layan orang yang dia sendiripun ‘ada seribu satu masalah’.
Akhir kata, TT nak minta Dr.Mahathir…cukup-cukuplah bab politik ini, kata nak bersara…jadi lebih baik ’turunkan ilmu politik’ kepada Mukhriz. Terimalah hakikat, era Tun dah berlalu…isyarat dah ada masa PRN Johor…Tak kan tak faham lagi.
Ramadan…jangan lupa berterima kasih
Insha-Allah, esok kita akan berpuasa. Kali ini Ramadan lebih meriah. Dua tahun lepas sambut sederhana saja sebab Covid-19 dok ‘menggila’. Cuma TT nak ingatkan, apa yang kita nikmati sekarang bukan diperolehi cara mudah.
Kita sampai pada tahap ini selepas menyaksikan pelbagai peristiwa dan adegan termasuk manuver politik yang memualkan ketika kerajaan di bawah kepemimpinan Muhyiddin Yassin bertungkus lumus memerangi wabak itu.
Masihkah kita ingat, dulu ketika Muhyiddin mengisytiharkan ‘lockdown’, ramai yang terhasut dengan propaganda politik kelompok yang rasa mereka sahaja layak jadi PM dan uruskan negara. Macam-macam hujah dan dakyah mereka sebarkan termasuklah dengan istilah ‘PKP separuh masak’.
Ada yang tiba-tiba jadi penganalisis ekonomi, pakar kesihatan, pakar statistik dan macam-macam lagi pakar…bukan dengan tujuan baik tetapi semata-mata kerana agenda politik, nak tunjukkan kononnya apa yang kerajaan buat pada masa itu..tak betul…kononnya negara kita lebih teruk berbanding negara lain.
Biasalah benda tak betul diulang berkali-kali ditambah pula ketika itu sentimen rakyat tengah marah sebab hilang punca pendapatan walaupun berbilion ringgit diperuntukan untuk pulih ekonomi dan bantu rakyat, maka ia boleh dianggap ‘perfect storm’ untuk menghumban kepemimpinan Muhyiddin. Tetapi Muhyiddin berjiwa besar berundur dengan sukarela.
Beliau menyerahkan kerusi PM kepada Ismail Sabri Yaakob dalam keadaan negara semakin pulih daripada Covid-19. Ismail Sabri meneruskan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang disusun oleh Muhyiddin. Pada masa sama program vaksinasi yang dilaksanakan oleh Muhyiddin telah membolehkan kita menikmati apa yang ada sekarang termasuklah terbaru pembukaan sempadan.
Jadi TT nak minta la… sementara kita bersyukur kerana Allah SWT makbulkan doa kita untuk sambut Ramadan dalam suasana lebih meriah, maka jangan lupa ucap terima kasih kepada Muhyiddin.
TT cakap macam ni bukan ada apa-apa unsur politik, cuma tak nak kita terlupa kepada orang yang berjasa kepada kita. Paling TT takut…kita terhumban dalam ‘krisis adab’..yang tak patut disanjung…kita sanjung…yang patut kita berterimakasih..kita sisihkan. SALAM RAMADAN…
*Tebuan Tanah (TT) berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang kewartawanan.
Mahathir dakwa Muhyiddin minta sokongan untuk kembali jadi PM. Biasala Tun M, dok rasa dia ada pengaruh lagi
PASTINYA ramai rakyat Malaysia tersentuh hati, bahkan hingga mengalir air mata, melihat suasana pembukaan sempadan di Tambak Johor tengah malam tadi. Penulis yang menyaksikan dalam kaca televisyen pun sebak, apatah lagi ahli keluarga yang sudah menunggu lebih dua tahun.
Apa yang berlaku tengah malam tadi adalah sejarah. Tepat pukul 12 tengah malam Malaysia memasuki fasa endemik. Dari Woodlands, Singapura – ada rakyat Malaysia menaiki kereta dan motosikal, tetapi majoriti sanggup berjalan kaki menyeberang Tambak Johor untuk pulang ke tanah air.
Bagi rakyat inilah masa yang ditunggu-tunggu kerana dengan peralihan ke fasa endemik, rakyat akan kembali kepada gaya hidup normal mereka, walaupun dalam norma baharu iaitu perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti pemakaian pelitup muka, menjaga jarak fizikal dan menggunakan cecair pembasmi kuman.
Dari sudut ekonomi, pembukaan sempadan negara ini merupakan satu keputusan yang cukup penting kerana ia merupakan jawapan paling tepat untuk memulihkan pembangunan sosial dan ekonomi Malaysia.
Sektor perdagangan, perniagaan, pelancongan, perhotelan dan banyak lagi diyakini akan mencatatkan pemulihan yang pantas susulan langkah peralihan ke fasa endemik dan pembukaan sempadan negara ini.
Namun, harus kita semua sedar bahawa keputusan tepat kerajaan pada hari ini tidak mungkin dapat dilaksanakan jika tiada batu asas kukuh dibuat kepimpinan terdahulu. Malaysia dapat memasuki fasa endemik kerana Perdana Menteri Kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah meletakkan asas yang betul dalam berhadapan dan melawan COVID-19.
Kunci utamanya adalah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancarkan pada 24 Februari 2021. Hari ini sudah hampir 100 peratus populasi dewasa rakyat Malaysia yang menerima dua dos vaksin lengkap manakala sehingga 30 Mac 2022 lalu, lebih 1.3 juta atau 37.3 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun telah menerima dos pertama vaksin menerusi program PICKids.
Keputusan berani dan tepat yang dibuat Muhyiddin berkenaan PICK walaupun dalam tempoh pentadbiran yang singkat telah memungkin Malaysia hari ini muncul antara negara penerima vaksin tertinggi di dunia, sekali gus membenarkan peralihan dari fasa pendemik ke fasa endemik.
Selain program PICK, dukungan lapan pakej rangsangan ekonomi berjumlah lebih RM530 bilion yang diperkenalkan Muhyiddin memberi manfaat besar kepada lebih 20 juta rakyat semasa pentadbiran Muhyiddin. Ketika itu rakyat berhadapan dengan kesukaran hidup akibat pelaksanaan Perintah kawalan Pergerakan (PKP) yang mengakibatkan semua sektor kehidupan terutama aktiviti ekonomi dan perdagangan ditutup.
Pelbagai bentuk bantuan yang diberikan kerajaan ketika itu seperti Prihatin, Prihatin PKS Tambahan, Penjana, Kita Prihatin, Permai, Pemerkasa, Pemerkasa Tambahan dan Pemulih banyak membantu rakyat sama terutama golongan miskin, B40, M40, golongan peniaga atau penjaja kecil mahukan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Semua ini dilaksanakan semata-mata untuk satu tujuan murni iaitu memastikan kehidupan dan kebajikan rakyat sentiasa terbela.
Suka atau tidak, inilah fakta yang perlu diterima oleh semua pihak.
Mungkin bagi musuh politik, asas pemulihan kukuh yang dilaksanakan oleh Muhyiddin ini pastinya tidak akan disebut. Bahkan, tidak mustahil jika selepas ini ada pihak yang cuba menuding jari menuduh Muhyiddin cuba mengambil kredit politik – tetapi kepada yang terlupa, elok juga direnung kembali apa yang dikatakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahalan dalam rakaman audio semasa Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO tidak lama dahulu.
Kata Abdul Rahman Dahlan, pemulihan COVID-19 tidak akan menguntungkan UMNO, sebaliknya yang mendapat kredit adalah Muhyiddin Yassin.
“Tetapi bila kes COVID menurun, kita juga akan rugi, sebab kita tidak akan dapat kredit, yang claim kredit ialah Perdana Menteri (Muhyiddin). Saya khuatir bila keadaan sudah reda dan ekonomi meningkat, apa akan jadi kepada UMNO?”
Sebenarnya, rakyat Malaysia harus juga berterima kasih kepada Abdul Rahman Dahlan kerana Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu tidak lupa untuk menyatakan sesuatu yang benar, walaupun naratifnya mungkin sedikit berbaur politik.
Terima kasih Muhyiddin, terima kasih kerajaan Perikatan Nasional!
Penulis adalah penganalisis politik dan ekonomi. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian WartaRakyat.
BAGI memastikan kegiatan jenayah di sempadan tidak berleluasa menjelang pembukaan sempadan esok, Polis Kedah mengambil inisiatif untuk menubuhkan sebuah pasukan khas kawalan sempadan yang disertai oleh pegawai serta anggota unit-unit khas dalam badan beruniform itu.
Ketua Polis Kedah, Wan Hassan Wan Ahmad berkata, pasukah khas tersebut akan disertai antara 70 hingga 100 pegawai serta anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), unit kereta peronda polis (MPV), Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), sekatan jalan raya (SJR) serta unit Unit Anjing Pengesan (K9).
Menurutnya, pasukan khas kawalan sempadan itu bakal memberi fokus kepada kawasan-kawasan yang lebih dekat dengan komuniti di wilayah tanah air berbanding Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menumpukan kepada kawasan di garis sempadan tanah air.
“Pasukan khas ini akan turut menggunakan keanggotaan dari Balai Polis Bukit Kayu Hitam dan Balai Polis Changlun bagi membantu Pasukan PGA yang ketika ini sememangnya melaksanakan tugas mengawal pintu masuk negara.
“Selain rondaan berkala secara berjalan kaki, menunggang motosikal serta menaiki kenderaan pacuan empat roda, pasukan khas kawalan sempadan ditubuhkan ini juga akan melaksanakan rondaan di kawasan khas serta melakukan pemeriksaan di SJR,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Penugasan Sempena Pembukaan Pintu Sempadan Malaysia Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Bukit Kayu Hitam di Kubang Pasu, hari ini.
Wan Hassan dalam sidang akhbar selepas itu menambah, pihaknya akan melakukan pemantauan terhadap pasukan tersebut dan melihat sama ada terdapat keperluan untuk menambah pegawai serta anggota selepas ini.
“Jika dicampurkan cengan jumlah pegawai serta anggota PGA sedia ada, kita akan ada kira-kira 300 anggota polis yang akan bertugas mengawal sempadan selepas ini.
“Pasukan khas ini tidak hanya akan memberi fokus kepada Bukit Kayu Hitam atau Kubang Pasu sebaliknya rondaan akan turut dilaksanakan hingga ke Durian Burung di Padang Terap melibatkan radius antara 30 hingga 40 kilimeter (KM) katanya.