KERTAS siasatan rakaman aksi berbahaya tiga kanak-kanak berpakaian seragam sekolah yang bertindak mengeluarkan kepala ketika sebuah kereta jenis Mercedes-Benz sedang bergerak di jalan raya pada 22 Mac lalu sudah lengkap.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kertas siasatan kes itu telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk arahan dan tindakan selanjutnya.
“Siasatan selesai dijalankan dan kita telah merujuk kertas siasatan kepada TPR atau Pengarah Pendakwaan Negeri untuk arahan lanjut.
“Kita telah tahan penjaga atau bapa kepada kanak-kanak ini dan suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.
Terdahulu beliau hadir dalam program ‘First Day at School’ di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan, Jalan Batu Bungkal di Ipoh.
Beliau turut mengingatkan ibu bapa perlu lebih bertanggungjawab terhadap keselamatan anak-anak mereka.
Media melaporkan polis menahan seorang lelaki berusia 37 tahun pada 24 Mac lalu bagi membantu siasatan selepas video terbabit tular dalam media sosial.
Aksi berbahaya tiga kanak-kanak berpakaian seragam sekolah yang bertindak mengeluarkan kepala ketika sebuah kereta jenis Mercedes-Benz sedang bergerak berjaya dirakam pengguna jalan raya.
Polis membuat siasatan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain dan Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu mendedahkan kanak-kanak dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Dalam perkembangan lain, Mior Faridalathrash berkata, pemantauan prosedur operasi standard (SOP) akan terus dilaksanakan termasuk di bazar Ramadan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Meskipun negara sudah memasuki fasa endemik, SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) masih perlu dipatuhi sepenuhnya.
“Kita tidak mahu bazar Ramadan menjadi tempat penularan wabak Covid-19 ini jadi, kita akan bersama PBT pastikan semua patuhi SOP,” katanya.